Dia tidak memberitahu Safiah masalahnya sekalipun jelas sekali Safiah
ingin tahu. Bukan kerana dia tidak percaya pada Safiah tapi kerana dia sendiri
tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya.
Masalahnya bermula enam bulan lalu. Tidak, hal tersebut
bermula setahun yang lalu, ketika dia baru bertukar jabatan. Dia yang sebelum
ini bekerja di Jabatan Sumber Manusia telah ditukarkan ke bahagian Jualan
kerana mereka kekurangan pekerja. Dia tidak mahu, kerana dia bukanlah seorang
yang ramah mesra melainkan bila dia bersama rakan-rakan terdekat. Namun begitu,
dia menerimanya apabila pengurusnya, Encik Saleh merayu agar dia bersetuju.
“Bolehlah ya, Masni? Kami memang perlukan orang untuk
kerja kat sini.”
“Tapi saya tak pandai, encik.”
“Semua tu boleh belajar. Ramai yang masuk bidang ni tanpa
ada kemahiran apa-apa. Tapi after a
while, diorang semua develop skil
tu. Ini bukan saja bagus untuk kerjaya awak tapi juga untuk diri awak sendiri.”
Dia termakan umpan itu. Dia fikir itu perkara yang baik.
Dia boleh mengasah kemahiran sosialnya. Dari mana lagi dia akan mendapat
peluang melakukan hal tersebut? Pekerjaan tersebut pasti akan membuatkan dia
lebih pandai berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Anggapkan saja
seolah-olah dia dibayar untuk mengasah skil komunikasi berbanding orang lain
yang terpaksa membayar untuk menyertai kelas komunikasi.
Lalu dia menerima jawatan tersebut.
Malang sekali, hanya selepas itu baru dia tahu realiti
sebenar kerjayanya. Tidak seperti kerjanya sebelum ini yang hanya memerlukan
dia memberikan prestasi yang baik, kini dia perlu bekerja berdasarkan kuota
yang diberi dan dia perlu mencukupkan kuota jualan tahunan. Dia perlu menepati
tahap piawaian dalam penilaiannya. Malah tidak mudah untuk melakukan kerja
tersebut apabila anda bukan seseorang yang ada kemahiran untuk meyakinkan
sesiapa apa yang anda ingin jual.
Dalam enam bulan pertama, dia tidak menepati kuota yang
sepatutnya. Dari lima klien berpotensi yang ditugaskan kepadanya, dia hanya
berjaya membuat jualan kepada sebuah syarikat sahaja. Hal tersebut membuatkan
Masni rasa sakit hati bila semua usahanya berakhir dengan penolakan, apatah
lagi bila dia bersungguh-sungguh melakukannya.
Bidang tersebut amat sukar untuk ditempuhi. Dia pernah
bertemu dengan eksekutif jualan yang lain dan mereka semua tampak sungguh
mencabar. Setiap eksekutif memiliki gaya tersendiri. Dengan solekan yang tebal,
pakaian yang agak menjolok mata atau berjenama, tumit tinggi yang tidak kurang
dari tiga inci, minyak wangi yang harum semerbak sehingga anda boleh hidu dari
jarak 100 meter, semuanya punya senjata sendiri untuk menarik perhatian klien.
Masni lihat dirinya sendiri. Dia yang bercermin mata,
menyembunyikan matanya yang kecil, diwarisi daripada nenek moyangnya yang
berasal dari tanah Siam. Dia yang berkemeja dan seluar sut biasa. Kasutnya sentiasa
leper kerana dia tidak suka menyeksa kakinya. Dia yang sejak dahulu lagi suka
menyelempang beg tangannya seperti pelajar sekolah, kad matriknya sentiasa
diikat di beg dan jarang digantung di leher seperti orang lain. Dia yang pudar
di balik gadis-gadis setinggi lima kaki tujuh dengan haruman Elie Saab atau
Chanel No. 5.
Dia tidak mahu menjadi si gadis yang menyalahkan
kecantikan orang lain sebagai punca dia tidak berjaya. Malah Masni tidak suka
spesis wanita yang sentiasa merasakan kegagalan mereka berpunca daripada
kecenderungan orang lain memilih seseorang yang tampak lebih seksi atau jelita.
Namun begitu, dia juga rasa bengang apabila setiap usahanya tidak membuahkan
hasil dan dia rasa lebih mudah untuk meletakkan kesalahan tersebut ke atas bahu
eksekutif jualan lain yang suka bermain cinta dengan klien mereka.
Menyedari yang dia makin lama semakin berubah menjadi
golongan yang dia tidak suka itu, Masni membuat keputusan untuk mencuba dengan
lebih jitu. Dia pendam semua kekecewaannya dan dia terus berusaha. Jika dulu
dia sentiasa pulang pada waktunya, kini dia akan balik lewat. Dia cuba untuk
mendapatkan projek daripada kliennya. Dia akan terus menghubungi mereka dan
sentiasa menghantar kerjanya secepat mungkin. Dia berusaha untuk bertemu dengan
setiap pelanggan, bertanya khabar, mewujudkan hubungan yang baik sekalipun
masa, keadaan dan tempat yang dia miliki agak terhad.
Dia tidak boleh melakukan hal yang sama seperti Jane dan
Eloise, yang bertemu kliennya di kelab-kelab yang menghidangkan arak. Dia tidak
boleh jadi seperti Elina yang boleh merokok bersama-sama kliennya. Dia juga
tidak boleh bertindak seperti Hasrin yang boleh bertepuk tampar dengan klien
yang sama jantina. Setiap kali mereka bermesyuarat, Masni terpaksa tahan
telinga mendengar kejayaan rakan sejabatan yang lain sementara dia masih tidak
berjaya memenuhi kuotanya. Dia juga terpaksa tahan sabar mendengar komen-komen
mereka.
“Kalau you tak serius, memanglah you tak akan dapat
projek,” kata Hasrin.
Dia mempertahankan dirinya. Dia kata dia sedang mencuba
dan dia sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya. Namun rezeki
masih belum berpihak kepadanya. Lagipun berbanding mereka berempat yang bekerja
dalam dua pasukan, dia masih sendirian melakukan semuanya.
“It’s not about the
amount of hardwork, Masni. It’s about the result,” itu yang Jane katakan.
En. Saleh yang kasihan pada Masni. Dia tahu Masni berada
dalam kesulitan kerana menerima tawarannya. Kerana itu dia segera
mempertahankan gadis itu.
“It’s okay, guys.
Masni masih baru. Kita perlu beri dia masa.”
Namun tindakan itu hanya mengundang khabar angin,
kononnya Encik Saleh sayangkan Masni. Kononnya En. Saleh dan Masni mungkin
lebih dari sekadar ketua dan orang bawahan dan kerana itu Masni membuntutinya
ke jabatan tersebut. Masni pujuk diri untuk bersabar dan cuba membuktikan
dirinya melalui kerjanya. Namun kejayaan yang dia harapkan masih belum berlaku
dan kata-kata belakang semakin menikam.
Itu sebelum kehadiran Badariah.
Masni sangat lega apabila Badariah muncul di jabatan
mereka dan diperkenalkan sebagai eksekutif jualan yang baru. Badariah tidak
banyak bezanya dengan Masni. Dia budak baru yang tidak tahu politik pejabat.
Dia juga tidak memiliki sebarang pengalaman dalam bidang jualan korporat,
memandangkan sebelum ini dia bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan di
sebuah bank.
Encik Saleh menugaskan Masni untuk membantu Badariah
dalam menggunakan sistem dan aplikasi yang diperlukan untuk melakukan kerja
mereka. Ada beberapa langkah yang perlu dibuat sebelum satu-satu tender itu
dihantar. Kerjasama mereka berdua merapatkan hubungan antara Masni dan
Badariah. Buat kali pertama Masni merasakan yang dia tidak bersendirian dalam
jabatan tersebut. Encik Saleh menjadikan mereka sepasukan.
Namun itu empat bulan yang pertama. Selepas tempoh
percubaan Badariah dalam dua bulan pertama, gadis itu mula berubah. Badariah
yang baik dan pemalu itu mula menunjukkan sikap sebenar. Pada mulanya dia
melakukan perkara-perkara kecil, seperti banyak menghabiskan masanya dengan
Elina dan Jane. Kemudian dia mula berpakaian seperti mereka. Tudung bawalnya
mula bertukar menjadi turban, baju kurung modennya mula bertukar menjadi gaun
dan seluar sendat. Kasut sarungnya mula bertukar menjadi killer heels. Dia juga mula berbau minyak wangi berjenama.
“Issey Miyake. Sedap tak?” tanya Badariah sambil
menghulur tangannya ke arah muka Masni. Mungkin sedap bila dihidu dari jarak
100 meter. Bila di depan hidung, baunya tak ubah seperti bahan kimia yang boleh
membunuh.
“Boleh tahan,” jawab Masni pendek. Dia tidak faham
keperluan untuk menyembur minyak wangi macam menyembur Ridsect, tapi demi
menjaga hati Badariah, dia bersetuju sahaja.
“El yang cadang kat Bad untuk beli yang ni,” jelas Badariah
tanpa dipinta.
Masni cuma membalas dengan senyuman.
Namun hubungan mereka semakin lama semakin menjauh,
apatah lagi Masni mula merasakan dirinya dipergunakan oleh Badariah. Pada awalnya
dia tidak sedar. Masni sangka Badariah memang tidak tahu apa-apa kerana bidang
tugasnya yang dahulu amat berbeza dengan pekerjaannya sekarang.
Masni tidak mahu menjadi seperti empat rakan sejawat yang
lain. Mereka tidak membantu Masni melakukan apa-apa ketika pertama kali dia
dipindahkan ke jabatan tersebut. Masni perlu belajar menggunakan sistem dan
cara menghantar tender sendirian. Bila En. Saleh ada masa lapang, pengurusnya
yang akan datang membantu, itu pun hanya mengakibatkan desas-desus dari mereka
berempat mengenai hubungan baiknya dengan En. Saleh.
Jadi Masni tidak mahu melakukan hal yang sama dengan
Badariah. Bila gadis itu tidak tahu, Masni mengajarnya dengan sabar. Bila
Badariah tersilap, Masni yang akan membetulkan kembali kerjanya. Badariah
sangat menghargai jasa baiknya dan sentiasa memuji Masni. Namun begitu, kini
Masni rasa mungkin dia hanya ditipu gadis itu. Dia mula merasakan Badariah
mempergunakan kebaikannya untuk kepentingan sendiri.
Contohnya seperti apa yang berlaku hari ini yang
menyebabkan Masni lambat pulang dan tidak dapat berjumpa dengan bakal penyewa
baru mereka.
Usai makan tengah hari, dia menghadiri mesyuarat dengan
semua pekerja di bahagian jualan. Masni muncul bersama Encik Saleh selepas
mereka bertembung di parkir. Melihatkan mereka masuk ke bilik mesyuarat
bersama, para eksekutif yang lain mula berpandangan sesama sendiri, ada
senyuman menyindir di bibir mereka.
“Mana Bad?” tanya En. Saleh.
“Bad call I
tadi, En. Saleh. Dia kata dia ambil half
day hari ni. Malam tadi dia duduk ofis sampai pukul 11 malam. Dia rasa tak
sihat,” jelas Elina sambil berpeluk tubuh.
“Kenapa dia duduk ofis sampai 11 malam?” tanya En. Saleh.
“Apparently dia
kena siapkan sorang-sorang tender yang sepatutnya dihantar pagi ni. And here I thought we all have our team,”
perli Elina, memperlahankan suaranya pada ayatnya yang kedua, tapi cukup kuat
untuk didengari Masni.
Memang benar. Masni tidak nafikan bahawa Badariah telah
pulang lewat kerana menyiapkan tender. Tapi itu disebabkan dia tidak pulang ke
pejabat pada waktu yang sepatutnya. Masni dan Badariah telah keluar bertemu
klien pagi sehari sebelum itu dan mereka sepatutnya pulang selepas waktu makan
tengah hari.
Tapi entah bagaimana, Badariah tidak sampai ke pejabat
pada waktunya. Masni harus bertemu dengan klien lain petang itu, jadi dia tidak
dapat membantu Badariah menyiapkan tender. Usai bertemu klien, jam sudah pun
menunjukkan pukul 7 malam. Masni telah menghubungi Badariah dan bertanya sama
ada Badariah perlukan pertolongannya, tetapi Badariah kata dia boleh lakukan
sendiri.
“Salah Bad sendiri sebab balik lambat,” ujar Badariah
pada malam dia pulang lewat tersebut.
Oleh sebab itu, Masni membuat keputusan untuk pulang dan
membiarkan Badariah menyiapkan kerjanya.
Dia baru hendak membuka mulut untuk menjawab tetapi Encik
Saleh terlebih dahulu bersuara.
“Tak kisahlah kalau rasa tak sihat atau apa pun. Tapi
sepatutnya dia beritahu saya dulu, bukannya keluar sesuka hati. Kalau bukan
saya pun, dia sepatutnya beritahu Masni.”
“Kenapa Masni pulak?” tanya Eloise pula, tidak puas hati
dengan apa yang Encik Saleh katakan. Masni bukannya pengurus ataupun eksekutif
kanan.
“Dia satu pasukan dengan Badariah. Dia patut tahu apa-apa
yang Badariah buat,” jelas Encik Saleh.
Mereka berempat diam membatu, namun Masni nampak rasa
ketidakpuasan yang jelas tertera di muka masing-masing.
Selesai sahaja mesyuarat, Masni kembali ke tempat
duduknya. Dia baru sahaja hendak memulakan kerjanya apabila dia mendapati
tender yang sepatutnya dihantar oleh Badariah tidak ada dalam senarai emelnya.
Bagi setiap tender yang dibuat, eksekutif yang bertanggungjawab sepatutnya
menghantar laporan penghantaran kepada emel umum bahagian jualan. Namun begitu,
Masni tidak menemui emel tersebut. Dengan rasa tidak sedap hati, dia memeriksa
sistem. Nama Badariah dan nama syarikat tidak ada. Dia terus ke meja Badariah
dan mendapati kotak berisi dokumen yang sepatutnya dihantar gadis itu masih
berada di atas meja.
Masni segera menghubungi Badariah.
“Helo?” suara Badariah menunjukkan dia mengantuk. Pasti
dia sedang tidur ketika panggilan itu dibuat.
“Bad, ni Masni ni.”
“Ada apa Mas?” tanya Badariah.
“Bad tak hantar tender ke?”
“Tender apa? Kan Mas yang sepatutnya hantar?”
“Bad tak cakap pun.”
“Bad dah cakaplah semalam. Bad kata biar Bad yang
siapkan. Esok pagi, Mas hantar.”
Masni mengerut dahi. Seingat dia, Badariah tidak ada
mengatakan apa-apa, kecuali yang dia boleh menyiapkan tender itu sendiri.
“Bad tak cakap.”
“Bad cakaplah,” suara Badariah mula meninggi.
“Kalau Bad ada cakap pun, kenapa Bad tak letak atas meja
Mas atau ingatkan Mas pagi tadi?”
“Mas, Bad tak sihatlah. Lagipun Bad memang dah beritahu
Mas semalam. Bad assume jela Mas tahu
dan dah ambil.”
Masni mengurut dahinya. Ini tidak mungkin berlaku. Tender
tersebut amat penting dan mereka sepatutnya menghantar semua dokumen tersebut
pada awal pagi tadi.
“Tak apalah kalau macam tu,” ujar Masni.
“Eh, jangan salahkan Bad tau. Mas yang tak dengar apa Bad
cakap,” ujar Badariah. Suaranya lembut, tapi bernada menuduh.
Masni terus mematikan panggilan. Dia segera kembali ke
mejanya. Tender tersebut perlu dihantar dalam dua cara. Salinan digitalnya
perlu dihantar melalui portal rasmi e-Perolehan di internet sementara dokumen
salinan cetaknya perlu dihantar ke pejabat klien. Jika satu daripada salinan
tersebut tidak dihantar, tender tersebut akan dianggap tidak sah dan ditolak.
Tempoh untuk menghantar hanya dibuka sehingga 12 tengah hari sahaja.
Masni menemui kotak dokumen di meja Badariah pada jam
3.35 petang.
Dia segera bangun. Beg tangannya disangkut ke bahu dan
kotak berisi pelbagai jenis fail dan dokumen tender yang perlu dihantar itu
terus dimasukkan ke dalam beg. Ketika itulah Elina muncul sambil
tersenyum-senyum.
“Masni, boleh tolong I tak? Tolong check my grammar,” ujarnya.
“Kemudian ya, Eli?” pinta Masni sebelum tergesa-gesa
keluar dari pejabat. Dia ada terfikir untuk memberitahu En. Saleh, tetapi Masni
tidak fikir dia punya masa yang cukup untuk itu. Dia tidak fikir dia punya masa
langsung untuk menghantar tender tersebut, tetapi dia perlu mencuba. Apa
gunanya dia menghadiri taklimat tender dan menghabiskan wang syarikat untuk
membeli perisian akses e-Perolehan sekiranya akhirnya mereka tidak menghantar
dokumen mereka.
“How rude!”
“Mana dia nak pergi tu?”
Itu ayat terakhir yang dia dengar dari Elina dan Hasrin
sebelum dia menolak pintu cermin dan terus berlalu.
Dia tiba setengah jam selepas itu, sekalipun kaunter
penghantaran telah lama ditutup. Masni merayu-rayu agar dokumennya diterima,
sekalipun kerani yang berada berdekatan kaunter tidak mampu melakukan apa-apa.
“You bukan lambat seminit dua tau. You lambat beberapa
jam,” ujar kerani tersebut, sebelum meninggalkan Masni sendirian, masih
tercungap-cungap sambil memeluk kotak yang agak berat.
Dengan sebegitu saja, semua hasil kerjanya musnah.
Dia tiba semula ke pejabat pada jam lima petang. Masni
hanya mahu berehat seketika memandangkan dia sudah penat naik turun tangga
untuk menghantar tender yang bukan menjadi tugasnya. Kerjanya sendiri masih
banyak yang terbengkalai. Namun begitu, Elina muncul sekali lagi di depan
mejanya.
“Kenapa tadi you blah macam tu je? Biadap tau,” ujar
gadis itu.
“Maaflah, Eli. Tadi I tergesa-gesa hantar tender,” Masni
jujur.
“What? You baru
hantar tender? Apa yang you buat dari pagi tadi?”
Elina tidak perlu menguatkan suaranya kerana pejabat itu
cukup sunyi. Namun dia sengaja melakukannya agar rakan-rakan sejawat lain
mendengarnya. Serentak dengan itu, ketiga-tiga eksekutif yang lain menoleh ke
arahnya.
“You baru hantar tender?” Eloise mengerut dahinya.
Di bahagian jualan ini, mengumumkan penghantaran tender
yang lambat tidak ubah seperti mengumumkan bahawa anda baru sahaja membunuh
seorang kanak-kanak...
...yang miskin...
...kurang upaya...
...dan tinggal di Palestin.
“Bukan I saja hantar lambat. Bad tak beritahu I yang dia
belum hantar,” dia ingin menjelaskan dengan lebih lanjut, tetapi kata-katanya
dipotong oleh Elina.
“Mas, you satu team.
You tak boleh salahkan Bad. Lagipun dia penat siapkan tender tu sepanjang malam
sampai demam. Janganlah lepaskan tangan macam tu je,” ujar Elina. Nadanya
selamba, tidak ada bunyi menuduh atau menghina, tetapi Masni tetap terasa hati.
Bagaimana pula tidak? Kini mereka sedang memandangnya
seolah-olah dia gadis yang tidak punya perasaan dan hanya mementingkan dirinya.
Pada akarnya, dia tahu dia tidak bersalah. Tapi kata-kata orang sekelilingnya
kini mula mempengaruhi fikirannya. Masni mula rasa yang dia memang bersalah dan
dia telah menyusahkan Badariah. Dia mula berfikir yang sekiranya syarikat tidak
mendapat projek tersebut, dialah puncanya.
Dia tidak membalas kata-kata rakan sejawatnya. Dia terus
diam dan menghidupkan semula komputer ribanya yang berhibernasi sejak dia
meninggalkan pejabat tadi. Ada beberapa emel baru daripada Elina yang meminta
dia untuk memeriksa dokumennya. Ini bukan tugas Masni. Kalau Elina perlukan
bantuan dengan kerjanya, dia patut memintanya dari Hasrin. Namun begitu, Masni
tidak mahu mencari gaduh. Dia tidak sukakan konflik. Oleh itu dia membuat
keputusan untuk melakukannya.
“Masni, about the
documents, siapkan hari ni tau. Esok I kena hantar. Jangan pukul empat petang
esok pulak baru you nak buat,” sindir Elina.
“Okay,” ujar Masni, tidak faham kenapa dia membenarkan
dirinya dibuli, tetapi tidak tahu caranya untuk menghalang hal tersebut
daripada berlaku.
Kerana itu dia hanya tiba di rumah pada jam sebelas malam
dan kini sedang makan maggi tomyam sambil menonton ‘Peep Show’ di komputer riba
seorang novelis.
Tapi Safiah tidak perlu tahu tentang itu.