Iza sampai
ke rumah pada waktu malam, dan aku menantinya seperti harimau menghendap
mangsa. Aku mengintai saat dia mematikan enjin keretanya, saat dia keluar dan
menutup pintu kereta, menekan punat LOCK dan kemudian menutup pagar. Pagar
dikunci. Iza kembali berjalan menuju ke arah pintu rumah.
Bunyi mangga
dibuka, pintu gril ditarik dan kemudian pintu rumah terbuka. Bunyi kasutnya
ditanggalkan dan dia menegur Masni dan Jis yang sudah tentu sedang menonton
filem di ruang tamu. Kemudian dia berbual seketika dengan kedua-dua teman
serumah itu. Pasti Masni memberitahu Jis tentang perkahwinan Iza yang akan
berlangsung dan kini mereka sedang bersoal jawab mengenai hal itu. Iza ketawa.
Tawa gembira. Tawa seorang bakal pengantin.
Aku
benci Iza.
Aku
terpaksa menunggu setengah jam kemudian untuk Iza benar-benar kembali ke bilik.
Bilik utama yang menjadi perkongsian aku dan Iza kini sudah berubah bentuk.
Katil saiz permaisuri sudah Iza hantar ke rumah keluarganya selepas aku membuat
keputusan untuk terus menyewa di rumah itu. Kami membeli katil berkembar kerana
aku tidak suka berkongsi katil dengan Iza. Bila tidur berdekatan, aku kerap
terdengar perbualannya dengan Helmi. Percayalah, aku tidak menghargai perbualan
manja antara pasangan kekasih, apatah lagi apabila teman lelaki aku sendiri
mempunyai kemahiran romansa kelas ketiga.
Kalau
aku tahu dia akan membuat keputusan untuk berkahwin enam bulan selepas kami
membeli katil berkembar itu, aku tak akan habiskan wang beli katil berkembar.
Aku hanya akan beli toto!
Iza
membuka pintu bilik dan hanya memandang aku tanpa mengatakan apa-apa. Aku rasa
dia boleh baca aura di dalam bilik itu. Dia boleh baca fikiran aku dan apa yang
aku akan tanya. Dia boleh nampak perkataan KONFRANTASI di dahi aku seperti mana
Tunku Abdul Rahman nampak di dahi Bung Karno pada tahun 1962.
Iza
menarik nafas panjang. Dia tahu dia perlu berterus-terang dan menjelaskan kepadaku
kenapa aku tidak tahu hal ini lebih awal dan kenapa ia perlu dijelaskan dengan
mudah bersama Helmi di sebuah restoran mamak, sedangkan dia tahu aku tidak akan
cuba menanyakan hal ini sedalam-dalamnya apabila aku bersama Roul. Sebab itu,
selepas dia menanggalkan tudungnya, dia terus duduk di sebelah aku dan cuba
mencari cara untuk menerangkannya.
“Libang-libu?”
tanya aku, separa sarkastik.
“Kau
pun tahu aku akan kahwin juga akhirnya,” ujar Iza.
“Aku
tahu. Tapi aku assume kau akan
bertunang. Aku assume aku akan jadi
orang yang ada dengan kau masa mak Helmi sarungkan cincin dan kita akan ada
banyak masa untuk lepak sampai waktunya untuk kau kahwin.”
“Kau
anggaplah aku dah bertunang sekarang ni dan kita akan ada banyak masa untuk
lepak sampai aku kahwin.”
“Tak
samalah, Iza.”
“Dari sudut apa yang tak sama?”
“Dari sudut psikologi aku.”
Iza
terdiam. Aku tahu dia beranggapan yang aku tidak rasional. Aku pun rasa aku tidak
rasional. Aku sedang mempersoalkan niat baik kawan baik sendiri untuk terus
berkahwin dan tak habiskan masa dan wang untuk buat majlis pertunangan.
Ini
cara aku berfikir. Kalau Iza kata “Aku nak bertunang”, aku akan ada masa untuk
setkan otak aku untuk terima kenyataan bahawa kawan baik aku yang aku kenal
sejak di sekolah akan bertunang dan berkahwin selepas itu. Aku ada jarak masa
antara waktu dia ‘bercinta’ dan ‘bertunang’. Lepas tu aku ada jarak masa antara
dia ‘bertunang’ dan ‘berkahwin’. Aku boleh setkan otak aku untuk dua jarak
masa. Tapi bila dia kata “Aku nak kahwin”, otak aku telah disetkan kepada idea
bahawa dia sudah melepasi tahap pertunangan itu dan dia kini di separuh masa
kedua.
Aku tak
pasti orang lain faham atau tidak maksud aku, tapi aku peduli apa. Aku faham
dan aku tahu Iza juga faham.
Iza
cuma menguis kuku. Dia tidak tahu nak cakap apa.
Aku
mengeluh.
“Bila
kau akan pindah semula ke rumah emak kau?”
Iza
mengetap bibir.
“Aku
bukan budak kecillah, Iza. Cakap sajalah.”
“Minggu
depan,” balas gadis itu.
Macam
ada guruh berdentum dalam otak aku. Aku sangka dia akan jawab “Dua bulan lagi”
atau “Lepas aku kahwin”. Aku tak jangka jawapan “Minggu depan”. Bunyinya sama
macam “Anda dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Esok.”
Aku
bangun.
“Kau
nak ke mana?” tanya Iza.
“Aku
tak tahu. But I don’t want to talk to you
right now,” balasku.
Ku
capai baju peluh yang aku sangkut di kerusi meja solek, menyarung selendang
yang masih berkerongsang dan kemudian menutup kepala aku dengan hood yang ada
di baju peluh itu. Ia sangat besar kerana ia milik Roul. Aku tahu memakai baju
teman lelaki juga dikira mengada-ngada, tapi bau tembakau yang masih melekat di
baju itu membuat aku rasa tenang. Seketika aku memahami kenapa orang merokok.
Aku tak kata aku menyokong tabiat itu. Aku masih lagi menentang tabiat itu
habis-habisan. Tapi aku faham.
Aku
tinggalkan Iza di dalam bilik. Aku ambil pesanan daripada Masni dan Jis yang
mahukan maggi goreng dengan telur mata. Kemudian aku menyarung selipar jepun
dan terus ke restoran mamak berdekatan.
Cuma
ada tiga elemen yang boleh menenangkan aku. Pujukan Iza, suara Roul dan teh ais
mamak gelas besar. Buat masa ini Iza buat aku rasa geram dan aku tidak mahu
mengganggu Roul. Jadi aku cuma ada teh ais mamak gelas besar yang dibuat oleh si
Ali.
Baiklah,
sebenarnya aku pun tidak pasti namanya memang Ali atau dia tipu aku, sebab aku
rasa kebanyakan pekerja kedai mamak berbangsa Bangladesh dipanggil Ali
seolah-olah mereka tak ada nama lain. Ali, atau gelaran aku padanya, Saif Ali
Khan. Yang juga ada perkataan Ali di dalamnya.
Ini bukan kenyataan berbaur rasisme. Aku cuma tertekan.
Mungkin aku patut beli Ipad.