Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 5: Roul dan Rama-Rama

Seminggu kemudian

Iza pindah. Dia bawa dua beg baju, enam penyangkut baju dengan bajunya masih dalam plastik cucian kering, sebuah beg komputer riba, dan sebuah kotak berisi harta benda yang lain. Dia tinggalkan televisyen sebab itu hasil pembelian secara berkongsi dengan Jis dan seorang lagi bekas penghuni yang telah lama berpindah. Dia juga tinggalkan bidai tingkap sebab dia tahu aku tak akan beli baru.

Aku tak suka kerja-kerja membeli barang keperluan. Aku akan biarkan tingkap tu tidak berbidai atau berlangsir atau cuma menutupnya dengan cadar. Bukan sebab aku tak kewanitaan, tapi sebab aku tak suka pergi membeli-belah. Melainkan aku jumpa langsir yang dijual atas talian, memang haramlah aku nak pergi menapak ke Baagus atau Jakel untuk tengok kain langsir.

Helmi datang untuk menolong.

Aku kata dia mengada-ngada sebab sibuk nak menolong. Bukannya berat sangat.

Tapi Helmi kata, “Aku bukan nak datang menolong. Aku cuma nak datang tengok ekspresi muka kau yang bengang.”

Kemudian dia ketawakan aku.

Iza siku lengan Helmi.

Aku bagi Helmi jari tengah. Kali terakhir aku bagi Helmi jari tengah ialah.....

Ini kali pertama.

Aku tak nak ulang perbuatan itu lagi. Mungkin ini akibatnya apabila anda bercinta dengan lelaki macam Roul.

Helmi ketawa melihat reaksi aku tapi dalam masa yang sama dia terkejut sebab dia tak sangka aku akan bagi reaksi sedemikian. Tidak lama selepas itu, Roul datang.

Aku kata, “Aku tak selesa ada dua orang lelaki di rumah anak dara.”

Roul kata, “Iza dah nak sampai tarikh luput pun.”

Iza ternganga dengar ayat selamba Roul. Tapi Roul buat tidak tahu. Dia kata dia bukan ke situ untuk membantu kerja pemindahan. Dia kata dia nak ajak aku keluar.

Iza pandang aku. Muka dia jelas memaksudkan “Kau tak nak tunggu sampai aku siap pindah?”, lengkap dengan gaya membulatkan mata seperti Zooey Deschanel dan mengetap bibir macam Katy Perry. Aku selalu terkeliru antara Katy Perry dan Zooey Deschanel.

Itu tidak ada kena-mengena dengan situasi sekarang.

Tapi aku tidak peduli. Dia cuma nak berpindah ke rumah orang tuanya sebelum berkahwin nanti, bukan nak bermigrasi ke Congo. Aku setuju dengan pelawaan Roul. Aku suruh dia tunggu di dalam kereta sementara aku bersiap. Aku bersiap tak lama. Cuma dalam lima minit. Roul sengih bila aku memang muncul lima minit kemudian seperti yang aku janjikan.

“Sebab ni gua suka Lulu. Mana nak jumpa perempuan yang siap dalam masa lima minit lagi.”

“Perempuan ada tiga jenis. Perempuan yang semulajadinya cantik, perempuan yang cuba jadi cantik dan perempuan yang terima kenyataan. I’m the third one,” ujar aku.

“No. You’re the first one,” jawab Roul.

Gombal.

Tapi Roul jarang bermanis mulut. Jadi aku terima saja dengan senyuman. Aku tahu yang dia cuba nak hiburkan hati aku sebab Iza berpindah hari ini. Aku bersyukur untuk itu.

“Kita nak pergi mana?” tanya Roul.

“Mana orang tau. Roul yang ajak keluar,” ujar aku.

“Gua ajak je. Gua tak buat plan seterusnya,” balas Roul.

Gagal.

Kami berada dalam kereta hampir sejam. Tidak ke mana-mana. Roul melepasi satu lebuh raya ke satu lebuh raya yang lain, mengharapkan otaknya akan terfikirkan idea untuk ke suatu tempat. Namun tiada apa yang menarik perhatian atau membuat aku berminat.

Pusat membeli-belah? Bosan. Tengok wayang? Bosan. Berjalan-jalan di taman tasik? Ini tahun 90-ankah? Karaoke? Jangan mengarut. Mendaki Bukit Broga? Klise. Pergi makan? Tak lapar.

Melawat muzium?

Anehnya, kami sudah buat hal tersebut banyak kali. Begitu juga dengan perpustakaan, arkib, galeri seni, dan apa-apa saja bangunan yang ada pameran. Kenapa? Sebab ini cara aku dan Roul. Kami tidak sentiasa suka benda yang sama atau memiliki hobi yang sama. Tapi kalau ditanya apa satu persamaan kami, jawapannya ialah “merenung sesuatu selama tiga ke empat minit dan kemudian membuat lawak tentang benda tersebut”.

Seperti pameran hantu di Muzium Shah Alam. Aku dan Roul merenung botol berisi jenglot selama tiga minit. Aku kata ia berasal daripada zaman dinosaur atau mungkin era Paleolitik. Mungkin bayi orang batu yang digugurkan kerana teman wanita orang batu itu malu melahirkan anak luar nikah lalu dimasukkan ke dalam botol dan ditanam. Kemudian berlakunya era Pleistosen dan botol itu bertahan sampai sekarang.

Roul gelak.

“Macam mana pulak zaman pleistosen boleh muncul sebelum paleolitik? Tu dah terbalik.”

“Dia naik DeLorean dan balik ke zaman silam,” jawab aku.

“Mana dia jumpa deLorean?”

“Dia hidup semula di masa depan lepas dibekukan dalam ais.”

“Di zaman Paleolitik?”

“Tak, di zaman Pleistosen.”

Timeline bersepah. Mana dia jumpa botol?”

“Dalam DeLorean.”

Roul ketawa berdekah-dekah, mengganggu beberapa pengunjung lain yang sedang menjenguk ke dalam kereta Volkswagon kuning legenda, yang dipercayai adalah kereta hantu yang selalu bersiar-siar di Lebuhraya Karak.

Kemudian Roul pula meneliti jenglot tersebut.

“Hasil seni surrealism 1920-an. Ini hasil sculpture Louise Bourgeois,” ujarnya.

“Bourgeois? Ukir jenglot?” aku rasa idea Roul lebih mengarut.

“Atau mungkin sampel makhluk “Silent Hill” yang tak cukup menakutkan untuk dimasukkan ke dalam game,” balas lelaki itu.

Aku ketawa. Tidak sekuat Roul, tapi cukup menjengkelkan pengunjung lain yang tidak memahami perbualan kami. Mereka ke muzium hantu untuk melihat hantu. Aku dan Roul ke muzium hantu untuk menjadi kacang hantu.

“Nak pergi cari apa-apa pameran untuk ditengok?” tanya Roul, mematikan lamunan aku. Kenapa aku perlu mengelamun tentang dia sedangkan dia di sebelah aku pun, aku sendiri tak faham.

Aku menggeleng kepala. Aku tidak ada mood nak melihat sesuatu yang tidak bergerak.

Tidak lama kemudian Roul tersengih dan terkekek sendirian.

“Apa?” tanya aku.

“Gua tahu nak pergi mana,” ujar lelaki itu. Tidak lama kemudian dia membuat pusingan U haram dan memasuki lebuhraya.

45 minit kemudian, kami berada Taman Rama-rama. Di Ayer Keroh, Melaka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.