Tepat jam 8.15
malam, aku terdengar bunyi hon kereta di luar rumah. FLX hitam berjalur kuning
itu berada di luar pagar, tanda Chaq tidak akan masuk dan hanya menunggu aku di
luar.
“Jis, aku blah dulu. Kalau Masni balik nanti, beritahu
dia aku ada buat pasta salad,”
pesanku pada Jis yang baru lima minit sampai ke rumah dan sedang menanggalkan
tudungnya. Makanan paling mudah disediakan buat mereka bila anda tergesa-gesa.
Hanya perlu rebus spageti, dan kemudian gaul dengan minyak zaitun, buah zaitun,
cuka, limau, daun selasih, bawang putih dan tomato. Siap.
“Pesanan kau ni untuk Masni je? Aku?” tanya Jis.
“Ada sekali la. Aku letak dalam peti sejuk. Jangan kau
panaskan pulak. Memang kena dimakan sejuk-sejuk,” jelasku.
“Okay. Thank you,
la-ling,” Jis sengih.
Aku hanya tersenyum dan meneruskan langkahku. Chaq sudah
menekan hon kali kedua. Aku nampak dia menekan hon tersebut dengan sikunya
sementara dia sibuk membetulkan solekan. Mungkin isyarat agar aku mempercepatkan
langkah atau mungkin dia tidak sengaja tertekan hon tersebut.
Ku buka pintu tempat duduk penumpang di sebelah pemandu
dan muzik yang terkedap di dalam kereta bagaikan menerpa keluar. Isi kereta
Chaq merupakan gabungan kesejukan penghawa dinginnya yang agak ekstrim,
lagu-lagu nyanyian kumpulan ABBA yang berkumandang di pemain CD dan gabungan
pelbagai haruman, dari minyak wangi kereta, minyak wangi yang disembur di tubuhnya
dan bau baju dobi yang baru diambil dan digantung di tempat duduk belakang.
Chaq tersengih memandangku. Kemudian menyambung
nyanyiannya sambil membuang sememeh gincu di pinggir bibirnya.
“In my dreams I
have a plan, If I got me a wealthy man, I wouldn't have to work at all, I'd
fool around and have a ball...” dia menyanyi dengan penuh perasaan.
Aku masuk dan memasang tali pinggang keledar. Chaq masih
menari-nari mengikut lagu sebelum menyambung nyanyiannya.
“Money money money, must be funny,
In a rich man’s world...”
Menari lagi.
“Apa tema muzik kereta kau ni? Eurovision 1976?” tanyaku.
Aku terasa seperti kembali ke tahun 70-an bila mendengar lagu ABBA di dalam
keretanya.
Kembali? Aku masih belum lahir pada tahun 70-an!
Chaq cuma tersengih. Dia memasukkan kembali semua alat
soleknya ke dalam beg tangan, meletakkan beg tangannya di ruang antara dua
tempat duduk kami, dan terus memecut pergi.
Tidak sampai sepuluh minit kemudian aku berada di Starbucks
Coffee, Bangsar Village.
Dia seorang
yang tinggi lampai.
Ya, aku memang sudah melihat gambarnya tapi imej tidak
bergerak tidak sama dengan prototaip asal.
Gayanya mengingatkan aku pada pelakon Rupert Penry-Jones.
Ketinggiannya, potongan rambutnya yang kemas, wajahnya yang tampak serius
dengan dahinya yang berombak tatkala dia berkerut sambil menaip sesuatu di
telefon pintarnya.
Lelaki ini bagaikan lelaki yang aku impikan suatu masa
dahulu, cuma bezanya sekarang kami di Starbucks Coffee tanpa bertemu terlebih
dahulu di kedai buku, dan dia pula sedang sibuk bercinta dengan telefon
pintarnya bagaikan dia akan mati kalau ada sesiapa merampas telefon itu
daripadanya. Tidak seperti babak impianku dahulu, kami tidak berbincang tentang
pasca-feminisme dan karya Virginia Woolfe dan aku tidak memesan french vanilla
manakala dia menggunakan cawan besar.
Ada kemungkinan dia sedang minum kopi berperisa tofi!
Apa yang aku fikirkan ni? Aku ada Roul!
Cuba fokuskan otak untuk fikir tentang Roul. Roul dan mata
merahnya. Roul dan rokok gulungnya. Roul yang kini sudah berambut hitam tetapi
masih berperangai macam lelaki berambut merah. Roul yang masih belum beritahu
kekasih lamanya yang mereka sudah berpisah dan yang telah mengatakan bahawa aku
suka memperbesarkan hal kecil.....
Baiklah, Roul versi itu memang menjengkelkan berbanding
Rupert Penry-Jones di depan mata ini.
Dia memandang ke arah kami. Tangan kanannya masih menaip
sesuatu sementara tangan kirinya menupang dagu. Dia hanya menggerakkan jari
telunjuk kirinya sebagai isyarat yang dia tahu kehadiran kami. Kemudian dia
kembali mengalihkan matanya ke arah telefon bimbit di tangan kanan, membaca
sesuatu dan kembali menaip.
Chaq datang menghampiri lelaki itu sementara aku hanya
mengekori dari belakang.
“Zane, lama sampai?” tanya Chaq, terus mengambil tempat
di depan lelaki itu.
“I memang ada kat sini dari petang tadi. ‘Was buying present for Linda,” ujarnya.
“Untuk apa?” tanya Chaq, mengisyaratkan agar aku duduk di
satu-satunya kerusi yang masih kosong. Aku hanya menuruti.
“She’s getting
married.”
“Serius? Dengan siapa? Khal tak beritahu I pun. What did you get her?” tanya Chaq
bertalu-talu.
Dia mengeluarkan sekeping sampul surat dari poket
seluarnya dan menyerahkannya pada Chaq.
Chaq ternganga. Aku tidak tahu apa yang hebat sangat
sampai begitu sekali reaksi Chaq.
“You serius nak bagi dia ini? I patut ajak Khal kahwin
cepat-cepat!” ujar Chaq, separa bergurau. Aku kata ‘separa’ sebab aku tahu dia
memang mengharap apa yang diberikan Zaniel buat wanita bernama Linda ini juga
akan menjadi hadiah perkahwinannya suatu hari nanti. Hadiah itu pastinya sangat
hebat. Chaq mengembalikan sampul itu kepada Zaniel, sekalipun aku tahu dia
sangat berat hati melepaskannya.
“So,” Chaq
berdehem sebelum memperkenalkan, “Zaniel, Safiah, Safi, Zaniel.”
Aku hanya
tersenyum dan dia mengangguk padaku.
“Okay. I nak pergi jumpa Khal. Zaniel, nanti you
hantarkan Safi balik. Thanks. Pergi
dulu.”
Aku tidak sempat mencerna
kata-kata Chaq. Tiba-tiba sahaja dia bangun, melambaikan tangannya dan terus
berlalu sementara aku hanya dapat menoleh dan melihat dia berlalu dengan
pantas. Aku rasa perkara yang sama dirasakan oleh Zaniel, kerana dia juga
nampak terpinga-pinga. Tetapi dia tetap mengatakan “Okay” seolah-olah kami
sama-sama bersetuju untuk berdua-duaan di sini dan balik bersama-sama.
Khairunnisa. Wanita ini memang bukan sebaik-baik wanita
seperti namanya! Sanggup dia buat begini pada kawan sendiri!
“Dia memang macam tu,” ujar Zaniel, bagaikan memahami apa
yang aku fikirkan.