Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 25: Count Chaqula

Aku sampai ke rumah 45 minit kemudian.

Aku bayar pak cik teksi. Aku keluar. Aku buka mangga di pagar. Aku masuk rumah dan kunci pagar semula. Aku buka kunci gril dan mangganya pula. Tolak gril. Buka kunci pintu. Buka pintu. Tolak gril. Kunci gril. Mangga gril seperti mana-mana wanita yang sendirian di rumah. Tanggalkan tudung dengan rasa marah (esok aku akan pakai tudung bawal, biar pada muka Roul! Aku tak hingin nak lilit-lilit tudung keluar dengan dia!), baling beg ke atas sofa, tanggalkan jeans dan campak ke tepi pintu bilik, hidupkan kipas dan terus baring atas sofa dengan hanya blaus yang labuh menutupi sebahagian paha.

Mujur aku sendirian di rumah. Ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan kalau aku tinggal bersama ibu bapaku!

Aku merenung kipas angin yang berputar. Dari gerakan perlahan, kini bilahnya sudah terlalu pantas sehingga tidak dapat aku ikut.

Mengeluh.

Aku cuba untuk merasionalkan keadaan, tetapi aku tidak mampu. Aku sentiasa ada buat Iza. Aku sentiasa menemani Helmi apabila dia perlu melepaskan tekanan. Malah aku pertemukan mereka berdua. Namun apabila sampai masanya untuk mereka berkahwin, mereka ketepikan aku begitu saja. Ini baru nak kahwin. Kalau sudah berkahwin nanti? Bila sudah punya anak?

Roul pun tak membantu langsung!

Aku bukan macam dia yang tidak mempedulikan apa-apa. Aku bukan Roul yang boleh memutuskan hubungan dengan kekasih lama tanpa pengetahuan wanita tersebut, atau masih buat tidak tahu tentang masalah bil galeri yang semakin bertambah. Ya, mungkin masalah aku sangat kecil berbanding perkara lain. Masalah aku bukan tsunami Jepun yang memusnahkan banyak nyawa. Masalah aku bukan perang di Palestin dan Syria. Masalah aku bukan isu buruh kanak-kanak dan kemiskinan.

Tapi masalah aku tetap penting bagi aku. Dia sebagai teman lelaki aku patut memahaminya, lebih daripada orang lain.

Sudahlah. Lebih baik aku cuba mulakan manuskrip baru. Mungkin kisah tentang pengkhianatan rakan karib dan teman lelaki yang tidak memahami.

Namun begitu, niat tersebut terbantut apabila telefon bimbitku berbunyi. Ku selongkar beg tangan dan menemui telefon tersebut. Nama ‘Count Chaqula’ terpampang di skrin.

Chaq yang menghubungi.

Lantas aku menerima panggilan.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam. Hei, perempuan. Kau free tak malam ni?” tanya Chaq. Ada bunyi dentingan dan muzik di hujung talian. Mungkin Chaq masih sedang mencuba makanan. Atau mungkin dia tidak setuju dengan makanan yang telah dihidangkan oleh katerer pertama, jadi kini dia pergi menemui katerer kedua. Mungkin syarikat katering kedua ini terletak di dalam hotel mewah.

Kenapa aku perlu fikirkan semua hal tidak penting ini?

“Macam free je.”

Tentulah aku ada masa lapang. Siapa yang nak ajak aku keluar malam-malam buta kan? Bukannya macam aku ni ada kawan baik yang perlukan bantuan dan telinga untuk mendengar. Kawan baik aku dah teruskan hidup dan nak berkahwin. Apalah yang dia perlukan dengan perempuan bujang ni.

“Ha, baguslah. Aku dah setkan jadual untuk kau. Malam nanti aku datang ambil kau,” ujar Chaq dengan tegas, seolah-olah aku dah bersetuju dengan entah apa yang dia mahu lakukan.

“Kau nak culik aku untuk apa?”

“Untuk yang aku cakap semalam tulah,” ujar Chaq.

“Oh, Zainal tu.”

“Zaniel!” dia memperbetulkan. Kemudian menyambung, “Aku tahu, macam cepat sangat. Tapi dia sibuk. Malam ni je dia ada masa,” ujar Chaq lagi, menjelaskan situasi tanpa aku minta.

“Kalau aku tak jadi, macam mana?”

Aku dengar bunyi nafas Chaq yang tertahan. Perempuan nan seorang ini memang dramatik.

Don’t you even dare. Kau tahu tak betapa susahnya aku nak yakinkan Zaniel? Sekarang kau nak suruh aku yakinkan kau pulak?”

Aku mengeluh. Angin aku memang tak baik hari ini dan aku hanya mahu berehat di rumah. Namun begitu, aku tidak mahu Chaq pulang dan berleter pada aku tentang janji yang perlu dikotakan atau profesionalisme yang sepatutnya menjadi prinsip hidup aku sebagai seorang novelis. Dia mungkin tidak pernah lagi berleter macam tu sepanjang dia tinggal di sini, tetapi aku cukup kenal sifat lama Chaq. Dia suka menggunakan topik-topik sedemikian untuk buat orang rasa bersalah. Aku tidak fikir usianya yang semakin meningkat mengubah sifat zaman remajanya itu.

“Yelah. Yelah. Aku pergilah,” ujarku. Aku tak mahu bertekak dengan Chaq pula. Cukuplah Roul merosakkan hari aku.

“Bagus. Itulah penulis yang kita cari,” ujar Chaq sebelum mematikan panggilan. Tidak ada ucapan selamat tinggal atau maklumat tambahan. Sebegitu sahaja dia mematikan panggilan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.