Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 28: Mamak is the Shizz

Aku sangat mengantuk tatkala Roul datang menjemputku keesokan harinya.

Mana tidaknya, malam itu aku balik agak lewat. Bukan kerana aku habiskan masaku bersama Zaniel. Langsung tidak. Usai sahaja pertemuan kami di Starbucks Coffee, dia menghantar aku pulang.

Oh, ya. Aku harus menjelaskan hal ini kepada Chaq. Dia tidak boleh buat begini padaku. Meminta orang asing menghantar aku balik, sekalipun lelaki itu merupakan kawannya, bukan sesuatu yang patut dilakukan oleh seorang kawan. Ini hanya akan menimbulkan fitnah. Apa yang jiran-jiran sekeliling akan cakap? Aku tahu jiran-jiran kami bukan suka sangat dengan rumah sewa yang dipenuhi wanita. Terlalu mudah untuk kami menjadi bahan fitnah. Kalau tuan rumah tahu, pasti dia akan membebel tentang keperluan menjaga maruah seorang wanita.

Ketika Zaniel menghantar aku pulang, dia ternampak samar-samar kelibat seseorang sedang termenung di luar.

“Siapa tu? Klien kaunseling awak?” dia bergurau.

“Kawan serumahlah,” jawabku.
“Saya rasa dia ada masalah,” ujar Zaniel.

“Wow, ye ke? Terima kasihlah sebab beritahu. Kalau tak cakap mungkin saya tak perasan langsung,” balasku sarkastik.

Dia ketawa rendah.

Kunci automatik keretanya ditekan, dan aku terus membuka pintu kereta.

“Safi,” dia memanggil, bila aku menutup pintu kereta. Cermin kereta diturunkan.

Aku menoleh.

“Sabtu,” dia mengesahkan sekali lagi. Bukan sebagai soalan, tetapi sebagai peringatan.

“Ya, Sabtu,” balasku.

Dia terangguk-angguk sendiri sebelum memecut pergi.

Aku terus mendekati Masni yang sedang termenung di penghadang simen yang terletak di luar pagar rumah, dicipta sebagai sempadan longkang, tetapi biasa dijadikan tempat melepak.

Dia menoleh ke arahku, sedar kehadiran aku di situ.

“Kau ada skandal baru ke?” tanya Masni, separa bergurau. Aku nampak wajahnya yang lesu dan murung di sebalik jenaka tidak seberapa itu.

Ku cebikkan bibir.

“Pfft. Not my taste,” ujarku, sekadar membalas gurauan Masni.

“Ya, taste kau mata merah yang kuat mencarut,” balas Masni.

Itu membuatkan aku ketawa. Masni sekadar tersenyum. Tiada kata-kata lain terbit dari bibirnya. Aku ingin bertanya lagi apa masalah sebenar gadis itu tetapi aku tahu Masni tidak akan menjawabnya. Selama aku mengenali Masni, dia seorang yang tidak banyak bicara. Biasanya Masni hanya akan menyambung apa saja yang Jis katakan atau memberi idea jika tiada siapa punya sebarang ilham. Namun begitu, dia bukan seorang gadis yang akan memulakan perbualan. Aku tidak rasa dia akan memulakannya hari ini.

“Mas, nak pergi minum tak? Aku haus,” tanyaku.

“Kau dari tadi pergi mana? Tak minum ke keluar tadi?” tanya Masni.

“Aku pergi minum air yang tak kena dengan tekak. Aku perlukan teh ais segelas dua,” aku sengih.

Aku tidak dahaga. Aku cuma mahu menemani Masni. Mungkin dengan cara itu, dia akan mengatakan sesuatu. Kalau bukan seluruh kisahnya, sedikit petunjuk untuk aku pun sudah cukup. Sekurang-kurangnya aku tahu apa yang sedang berlaku dalam hidup rakan serumahku.

“Kau pergi mana tadi?” tanya Masni.

“Starbucks.”

“Ha, sekarang baru aku percaya lelaki tadi tu bukan skandal kau. Kau memang tak boleh bercinta dengan lelaki kaya sebab kau tak akan boleh pergi minum-minum tempat mahal. Taraf kau kedai mamak je,” ujar Masni, berseloroh dalam kelesuan.

“Sebab mamak is the shizz yo,” balasku.

Dia memberikan kunci keretanya kepadaku dan meminta aku yang memandu.

Kemudian kami habiskan masa di restoran mamak. Tiga keping roti canai, sepiring aiskrim goreng, dua gelas besar teh ais kemudian, kami pulang ke rumah. Bila aku masuk bilik, Chaq sudah pun terbungkang di atas katil tanpa menukar baju mahupun mandi terlebih dahulu. Aku mandi, kejutkan Chaq untuk tunaikan solat Isyak dan terus tertidur di atas tilam.

Aku langsung terlupa apa yang aku dan Masni bualkan di restoran mamak sebelum itu. Aku hanya terjaga pagi itu apabila Roul menghantar SMS dan mengatakan dia dalam perjalanan ke rumah.

Terus tersentak dari lena, macam kena simbah air panas.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.