Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 46

Seketika kemudian datanglah Chiho dan Chinami dan Chisato. Chisato seolah dirasuk melapor kepada Ayame dalam nada monoton, bahawa dia telah berjaya menebarkan keseluruhan pasukan Konoe sejauhnya dari pusat Yokuma di Higashi-no-yane menggunakan jurus kedua Chiho dan Chinami. Pasukan Konoe yang ditebarkan itu tercampak sehingga ke dalam gaung berhampiran. Ayame seringai mendengarkannya. Chisato berdiri statik selepas selesai laporan. Chiho dan Chinami pun sama, namun Natsuki dapat mengesan kadangkala Chiho menjeling ke arah lain, begitu juga Chinami.

 

Kembar itu, mereka tidak dikuasai Ayame seperti Chisato! Getus Natsuki dalam hati. Barangkali hanya kami bertiga sahaja yang tidak aneh di sini. Yang lain terutama... ya terutama Nariko. Nariko yang kami sempat lihat memegang pedang dengan kesan darah dan pasukan Konoe yang sudah menjadi mayat bergelimpangan di sisinya. Nariko dan Tokui dan yang lain semuanya hanyalah boneka Ayame, juga Chisato juga. Ya, aku boleh menggunakan Chinami dan Chiho.

 

“Hotaru, aku akan ke Kogen. Engkau jaga mereka semua di sini.” Arah Ayame kepada Hotaru. “Dan jadikan Higashi-no-yane kawasan larangan dimasuki.”

 

“Engkau kembali ke Kogen untuk itu bukan, Ayame-san?”

 

“Ya. Aku akan kembali dalam tiga hari.”

 

“Baiklah.” Ujar Hotaru dan disusuli tunduk hormat. Ayame membalas tunduk, dan bergegas ke kudanya. Dia menarik telinga Tokui yang masih bersujud, remaja lelaki itu bangkit kebodoh-bodohan dan menurut Ayame seperti boneka. Tokui naik ke atas kudanya seperti seolah diarahkan Ayame dalam diam seolah telepatik. Tokui menunggang kudanya mengekori Ayame, ke mana arah berkudanya Ayame, ke situlah dia mengekor. Natsuki memandang penuh kebencian dan keloyaan, mahu sahaja dia meludah ke muka Tokui yang padanya seorang penjilat itu, jauh sekali Natsuki mahu memikirkan bahawa Tokui sedang dirasuk Berahi Kuasa Ayame yang amat ampuh itu.

 

Aku tidak akan mengikut Ayame, getus Natsuki. Kerana jika aku mengikutnya, rosaklah rancanganku. Ayame sudah pasti dapat menghidu yang aku mahu membunuhnya. Aku akan bertahan di sini dan memerhati pasukannya ini. Terutama Chisato dan adik kembarnya itu. Adik kembarnya Chiho dan Chinami nampak mencurigakan. Hanya mereka yang benar-benar nampak normal berbanding yang lainnya, ketika Ayame menggunakan kuasanya. Hanya mereka yang sepertiku dan Hatsuki.

 

**

 

Sementara itu, Seijurou dan Takajiro baru sahaja tiba di Yokuma, dan menemui mayat-mayat pengikut Konoe yang bergelimpangan dalam hutan itu sedang pasukan Ayame sudah pun beredar.

 

“Apakah ini perbuatan Ayame...?” Soal Seijurou dalam kejutan.

 

“Boleh jadi. Pastinya jurus kedua dari jarak jauh. Nariko dikawal dari jauh oleh Ayame.”

 

“Oh, ia boleh dilakukan dari jarak jauhkah?”

 

“Engkau tak ingat? Bukankah kita pernah melakukannya dulu?” Tebak Takajiro.

 

“Oh yalah. Tapi itu sepuluh tahun lepas, ketika latihan dahulu. Sudah lama kita tinggalkan dan tak mempraktiknya...”

 

“Bagaimana mahu mempraktikkannya, tiada lagi perang bahkan dalam banyak situasi, Ayame menegah kita kerana dia tak mahu pengawalnya keletihan.”

 

“Tapi... dahsyatnya kesan jurus itu. Lihatlah mayat-mayat yang bergelimpangan ini.” Gumam Seijurou, matanya menyorot mayat-mayat ronin dari balik rimbunan belukar tempat mereka mencangkung.

 

“Ayame sudah mabuk darah, tidak, bukan setakat mabuk darah, malah mabuk kuasa.” Getus Takajiro. “Aku tak fikir dia boleh memimpin Kogen lagi dengan sikap begini. Apa fikiranmu Seijurou? Aku fikir aku tidak akan bersama Ayame lagi.”

 

“Aku fikir kita patut tinggalkannya. Ayame sudah berubah jauh. Dia mengganggu ronin yang mendiami kawasan yang bukan di bawah bidang kuasa kita.” Balas Seijurou tenang, tanpa berselindung. “Akan tetapi kita harus berhati-hati. Koichi memberitahuku tentang kebolehan Ayame yang satu itu.”

 

“Apakah ia?”

 

“Berahi Kuasa. Engkau akan dibonekakan oleh Ayame dengan kuasa ini. Biasanya yang akan terkesan ialah yang terhutang budi dengannya.”

 

“Terhutang budi?” Soal Takajiro kebingungan.

 

“Engkau tak ingat? Dua tahun sebelum kita menyertai Kogen.”

 

“Oh peristiwa itukah? Rumah kita dibakar sekongkol Hamada kerana bapa tidak membayar cukai dan kita ditemui masih hidup dan tercedera, sedang ibu bapa kita sudah rentung. Sekongkol Hamada mahu membunuh kita demi menghapuskan saksi, namun Ayame datang menyelamatkan kita.” Imbas Takajiro akan kisah latar mereka. Seijurou berubah sugul wajahnya, namun Takajiro seolah tiada apa perasaan langsung terlukis pada wajahnya.

 

“Benar. Aku amat yakin Ayame mampu menggunakan Berahi Kuasa ke atas kita. Aku tidak mahu menumpahkan darah sewenang-wenangnya seperti dia.”

 

“Jadi kaufikir kita boleh mengelak dari Berahi Kuasa dengan bersembunyi dari Ayame?” Soal Takajiro.

 

“Bukan, tetapi aku fikir, dengan mengelak renungan matanya. Sekali engkau tertembung matanya, engkau akan dikunci dan dikejap, dan renungan itu akan menelan jiwamu dan membonekanya.”

 

“Aneh. Bagaimana mungkin? Macam mustahil.”

 

“Aku fikir kita terpaksa berhadapan dengan Ayame, namun aku akan berusaha mengelak renungannya.”

 

“Apa perancanganmu, Seijurou?”

 

“Aku perasan ada beberapa orang yang tidak terkesan dengan Berahi Kuasa Ayame. Engkau nampak kembar perempuan itu?”

 

“Chiho dan Chinami?”

 

“Ya. Dan Natsuki. Aku hairan, Natsuki seorang diri? Di mana kembarnya?” Soal Seijurou.

 

“Aneh. Mereka selalunya berdua.”

 

“Nampaknya kita harus berhati-hati dengan Ayame. Haih, kita datang ke sini semata-mata untuk menyelamatkan dia, namun kini kita perlu menyelamatkan diri kita dari dia pula.” Ujar Seijurou disertai keluhan.

 

“Ayuh Seijurou, selamatkan budak-budak itu dan bawa pulang ke Kogen.”

 

**

 

Kembar Hosokawa itu meneruskan perjalanan sehingga bertemu pasukan Ayame yang kini duduk berehat di pangkalan mereka di sebuah kawasan lapang yang dikelilingi pokok-pokok daun tirus termasuk sugi yang batang-batangnya tumbuh menegak. Ayame dan Tokui tiada dan mereka kini duduk dalam keadaan letih. Sebahagian letih kerana bertarung, sebahagian lagi trauma dan ketakutan melihatkan Nariko hampir diperkosa di hadapan mereka. Kelihatan Hotaru, Chisato dan dua adik kembarnya dalam kalangan pengikut Ayame itu.

 

Nariko dengan yukata masih ada kesan darah, duduk seorang diri dan bersandar pada sebatang pokok. Sementara itu Hotaru pula duduk di atas tanah bersila dan termenung.

 

“Di mana Ayame?” Soal Takajiro.

 

“Aku pun tak nampak di mana dia.” Jawab Seijurou. “Apapun, lebih mudah mendekati mereka tanpa dia di sini.”

 

“Aku akan cuba bertanyakan Hotaru dahulu, engkau keluar kemudian.”

 

“Engkau fikir apakah mereka masih dikawal dari jauh?”

 

“Aku fikir tidak. Mereka nampaknya melakukan hal masing-masing, tidak kaku seperti dikawal. Aku akan ansur ke depan. Engkau tunggu di dalam belukar ini dan perhatikan keadaan.”

 

Ryoukai.”

 

Takajiro keluar perlahan-lahan mendekati kumpulan Skuad Sakura yang sedang berehat itu. Kala dia berjalan ke dalam kawasan lapang, beberapa orang ahlinya menyedari dan menyorot tubuh Takajiro, namun Takajiro tidak mempedulikan mereka dan terus mara ke arah Hotaru yang sedang bersila atas tanah.

 

“Hotaru-san.”

 

Hotaru mengangkat wajahnya, memandang Takajiro. Wajah Hotaru pucat.

 

“Takajiro-san jyanai?” Soal Hotaru, nada suaranya lemah.

 

“Ya, ini aku Takajiro. Apa dah berlaku di sini? Mengapa ronin-ronin itu...” Takajiro tidak sanggup menghabiskan kata-katanya.

 

“Ayame-san punya angkara. Aku pun tak tahu kenapa aku mengikutnya ke sini. Seingatku aku separa sedar namun aku hanya menurut.”

 

“Engkau telah dikuasai Berahi Kuasa Hotaru-san.”

 

“Apakah ia?”

 

“Antara kebolehan Ayame. Itu diberitahu kepadaku oleh Koichi. Kalian harus pulang segera ke Kogen.”

 

“Aku tidak boleh pulang. Tidak, kami semua tidak boleh pulang.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Ayame ketua kami dan ketuamu juga. Apakah aku harus terangkan? Apakah kami masih layak kembali kepada Koichi selepas semua ini berlaku? Tidak, Takajiro. Andai kami pulang, automatik Ayame akan menghukum kami sebagai pembelot. Perang sudah bermula, Takajiro. Perang sudah pun bermula! Dan kami, mahu tak mahu, diperangkap Ayame di sini dan kami perlu menjadi tenteranya!”

 

“Lagipun kami menceroboh hutan Yokuma ini, jika kami pulang, kami akan dihukum. Lebih baik kami tinggal sahaja di sini.” Tambah Chisato perlahan. Chisato duduk tidak jauh dari Hotaru, dengan ditemani dua adik kembarnya.

 

“Aku...aku telah membunuh. Aku tidak akan kembali lagi ke Kogen.” Tambah Nariko pula di kejauhan, suaranya sayup, yang sedang bersandar pada sebatang pokok. Nada Nariko sugul dan monoton. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa tangannya telah menumpahkan darah besar-besaran. Nariko mencapai pedang. Hotaru menyedarinya seraya pantas beranjak ke tempat Nariko dan menahan tangannya.

 

“Apa kau cuba buat Nariko?!”

 

“Orang sepertiku harus mati saja! Ke tepi, usah kautahan tanganku!” tengking Nariko.

 

Hotaru mengilas tangan Nariko dan merenggangkan bilah itu sehingga ia tercampak jauh. Nariko ditiarapkan, lengannya dikunci, tubuhnya ditindih, dan kepalanya ditekan ke bumi. Air matanya meleleh menuruni wajah meresap ke bumi.

 

“Bagaimana aku boleh teruskan hidup Hotaru...” Ujar Nariko dengan esakan.

 

“Anggap ia tidak pernah berlaku. Ia semua salah Ayame, Nariko. Salah Ayame! Ayame telah memperalatmu, dia cuba merosakkan jiwamu. Jiwa kami juga. Dengan jiwa-jiwa rosak inilah dia akan mudah mengawal kita.”

 

“Tetapi tanganku yang menikam, tanganku yang melakukannya...”

 

“Engkau tidak mengingininya bukan? Hanya itu sahaja sudah mencukupi. Hidup dengan hati yang begitu, Nariko!”

 

Nariko semakin lemah dan tenggelam dalam tangisannya. Selepas Nariko reda dan lemah, Hotaru melepaskan cengkamannya dan menyandarkan Nariko pada pokok.

 

Takajiro hanya memerhati sedari tadi. “Hotaru, kami akan kembali ke Kogen dan berbincang dengan Koichi. Buat masa sekarang aku fikir kalian tetap di sini dahulu. Engkau benar, Hotaru, adalah kurang selamat jika kalian kembali ke Kogen sekarang.”

 

Seijurou rasa kurang senang dengan Takajiro yang membuat keputusan tanpa berbincang dengannya. Takajiro membuat isyarat tangan agar Seijurou tidak keluar dari belukar.

 

Takajiro kembali ke Seijurou.

 

“Apa maksudmu membiarkan mereka di sini?”

 

“Kita bincang dengan Koichi dahulu. Usah bimbang, mereka selamat di sini tanpa ronin-ronin itu lagi. Lagi pula, Ayame sedang di Kogen sekarang. Kita harus melindungi Koichi.”

 

“Apa kalian bincangkan?” Soal seorang remaja lelaki tiba-tiba. Mereka berdua menoleh.

 

“Aku pergi membuang air tadi, dan sepulangnya dari situ aku nampak engkau dari kawasan kami berkumpul.” Remaja lelaki itu menuding ke arah Takajiro.

 

“Engkau Natsuki bukan? Bukankah engkau salah seorang dari pengakap Kogen di Shinagawa?”

 

“Ya, aku Natsuki. Aku datang dengan Tokui dan kembarku. Namun kembarku baru mati di sini...”

 

Kedua-dua mendengarnya dan mendiamkan diri sejenak.

 

“Bagaimana dengan Tokui?” Soal Seijurou.

 

“Tokui mengikut Ayame kembali ke Kogen. Hanya Hotaru dibiarkan bertahan di sini menjaga pasukan Ayame. Tokui telah dirasuk sesuatu.. nampak seperti dia dipukau...” Natsuki mendedahkan pemerhatiannya.

 

“Bukan dipukau Natsuki, dia dirasuk Berahi Kuasa Ayame.” Jelas Takajiro.

 

“Apakah itu?”

 

“Kebolehan mistik Ayame. Aku diberitahu Koichi akannya. Sekarang kita harus pulang ke Kogen.”

 

Maka ia dipanggil Berahi Kuasa, getus Natsuki dalam hati.

 

“Apakah kalian datang ke sini untuk menyelamatkan Ayame?” Soal Natsuki.

 

“Ya.”

 

“Samalah denganku.” Natsuki menambah, dan meneruskan, “Tokui mendekati meminta bantuan kami. Namun bagaimana dengan Furukawa kalian?”

 

“Ada bantuan dari Kogen menjaganya.”

 

“Nampaknya lain yang kita rancang, lain jadinya.” Gumam Natsuki.

 

“Maksudmu?”

 

“Kita datang mahu selamatkan Ayame, namun kini kita yang perlu menyelamatkan diri dari Ayame.”

 

Takajiro mengangguk kecil, bertepatan dengan apa yang dirasakan dan juga kata-katanya sebentar tadi.

 

“Apapun, kalian sahajalah yang kembali. Biarkan aku di sini.” Natsuki mencadangkan.

 

“Mengapa tidak kau ikuti kami?”

 

“Aku tiada alasan untuk kembali. Kembarku sudah mati di sini. Lagipun aku boleh melihat-lihatkan mereka di sini.”

 

“Ada baiknya juga kau melihatkan mereka. Baiklah, kami harus bergegas. Ayuh, Seijurou!”

 

Kembar Hosokawa kembali segera ke Kogen.

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov