“Taihei, gembira semacam engkau.”
Lelaki tua itu tersentak dari lamunannya.
“Engkau senyum sahaja? Mengapa?”
“Aku lega.”
“Hah?”
“Anak perempuanku bakal berkahwin, Katsuzawa.”
“Wah. Omedetou (Tahniah)! Bila tu? Engkau akan mengambil cuti panjang? Dan apakah engkau telah mengenali bakal menantumu?”
“Aku ada pulang sehari dua sebelum ini.”
“Patutlah. Balik kampung bertemu bakal menantu rupanya.” Panjang sengih Katsuzawa sambil mengusik rakannya. Katsuzawa ialah pengawal Taihei yang sudah lama berkhidmat dengannya dan melindungi kargo sutera yang dibawa berdagang.
“Aku lihat dia seorang remaja yang bertanggungjawab. Malah aku dengar dia pernah berkhidmat kepada Kogen sebagai petarungnya.”
“Wahhh...”
“Aku dengar...” Taihei membuat isyarat agar rakannya Katsuzawa mendekatkan sedikit telinganya.
Taihei berbisik, “Dia mengenali keluarga Shirasaka.”
Menganga mulut Katsuzawa.
“Remaja itu petarung elit Kogen. Namun dia dihantar ke kampungku atas arahan Shirasaka Koichi, ketua Kogen kini.”
“Mengapa pula begitu? Apakah dia dibuang Kogen?”
“Aku tidak fikir begitu. Aku fikir ada sebab lain. Koichi mungkin sedang merancang sesuatu.”
“Aku tidak faham.”
“Barangkali, dia dihantar sebagai pengintip.”
“Pengintip? Pengintip apa pula dihantar ke celah gunung begitu? Langsung tiada apa yang patut diintip di kampung yang aman itu.”
“Entahlah. Namun aku tidak kisah. Yang penting dia mengenali Koichi. Dapatlah aku merasa sedikit habuannya.”
“Engkau usah berangan jauhlah Taihei. Tumpukan pada perniagaanmu. Usah dikejar perkara yang tidak tentu. Perniagaan engkau pun sekarang semakin maju.”
“Aku mahu mencari pasaran baru. Seperti Eropah. Aku dengar Koichi dan Kogen banyak berhubungan dengan orang-orang Belanda. Aku mahu menerobos pasaran sana.”
“Apakah mereka mampu menggunakan sutera kita? Aku lihat mereka tidak memakai sutera.”
“Katsuzawa, engkau masih belum melihat strategi aku?”
“Aku tidak nampak. Aku hanya pengawal. Manalah aku tahu strategi perniagaanmu.”
“Kita cipta pasaran. Cipta keperluan dan permintaan baru. Bukan sekadar memenuhi permintaan sedia ada. Engkau pun nampak bagaimana pembeli-pembeli suteraku tidak hanya menggunakannya untuk membuat kimono namun pelbagai produk lain juga. Aku fikir, Katsuzawa, sutera boleh digunakan untuk membuat baju kalis peluru juga.”
“Hah? Baju kalis peluru?”
“Aku yakin orang-orang Belanda pasti berminat jika mereka tahu perkara ini. Bahkan Kogen juga.”
“Mustahil. Bagaimana mungkin sutera yang lembut itu mampu menghindar tembusan peluru?”
Taihei ketawa kecil. “Aku mendapat idea daripada pedang yang Kogen gunakan sewaktu menyelamatkan kargo kita sebulan lepas. Engkau sudah lupa?”
“Aku masih ingat. Jika bukan kerana Kogen sudah pasti kita akan terlepaskan kargo itu. Maafkan aku.”
“Tidak mengapa Katsuzawa. Perompak itu ramai dan engkau hanya berdua dengan Suzuki. Aku sepatutnya mengupah lebih ramai pengawal kerana kargoku yang besar. Atau mungkin aku akan menghantarmu belajar bertarung dengan Kogen?”
“Aku tidak kisah. Jika itu yang engkau mahukan, aku sanggup demi berkhidmat denganmu.”
Taihei menyambung, “Aku fikir sains mampu mengubah alatan biasa menjadi luar biasa. Bagaimana dengan mengolah bahan di dalam pedangnya sehingga ia menjadi begitu kuat dan ringan. Sutera yang lembut, jika diolah dengan kaedah dan bahan tertentu, pasti mampu menjadi lebih kuat dari tubuh manusia yang memakainya.”
“Mana engkau tahu semua ini?”
“Aku ada membawa soal pedang Kogen itu kepada seseorang ketika singgah di salah sebuah shukuba. Kata orang itu, pedang itu dihasilkan Kogen dengan menambah resin dari sejenis pokok ke dalam bijih. Aku bilang, mungkin jika ulat sutera diberi makan daun dari pokok yang mengeluarkan resin itu, sutera yang dihasilkannya akan lebih kuat. Itu hanya teoriku. Namun aku ingin sekali membawa teori ini berhadap-hadapan dengan Shirasaka Koichi. Jika ia terbukti benar, aku mahu memfailkan hakcipta dan hak pengkomersialan.”
“Selain hubungan dengan Belanda, mengapa kaufikir Koichi turut berminat dengan teorimu?”
“Aku fikir masih ada yang tidak berpuas hati dengan Maharaja.”
“Maksudmu?”
“Aku mendengar beberapa orang bekas samurai dari Kyushu yang sebelum ini menyokong Pembaharuan, mulai tidak berpuashati dengan dasar Maharaja yang terlalu pro-Barat. Aku fikir, perkara ini boleh melarat sehingga menjadi peperangan.”
“Jangan-jangan engkau cuba menangguk di air keruh?”
“Bukanlah begitu. Aku tidak mahu era baru ini berakhir. Jika mereka memberontak dan cuba menggulingkan Maharaja, aku bimbang kita akan kembali ke era shogun di mana kita akan dikawal para samurai yang korup itu. Meskipun shogun juga pro-Barat, aku tidak mahu samurai mengawal serba-serbi, mengurung kita di sini dan hanya menguntungkan pegawai mereka dengan melacurkan undang-undang dan hak awam. Aku menyokong Maharaja sepenuh hati.”
Taihei berhenti sejenak sebelum menyambung,“Bara ketidakpuashatian terhadap Maharaja masih ada. Hanya menunggu angin menderu menghidupkannya kembali. Nampaknya pertempuran di Hakodate itu bukanlah penutup sepenuhnya pemberontakan menentang baginda. Kogen selaku proksi Maharaja pastinya sedang menggembleng usaha mencipta senjata dan peralatan perang baharu. Koichi pasti berminat dengan teoriku.”
“Bijak engkau. Bukan calang-calang ahli perniagaan engkau ini! Aku fikir, engkau berbakat menjadi ahli politik, Taihei.” Seloroh Katsuzawa.
Mereka berdua ketawa, mendengarkan seloroh Katsuzawa.
**
Awal tahun 1875.
Musim sejuk 1874 semakin hampir ke penghujungnya. Hari-hari kian cerah dan hangat. Salji mencair dan bongkah-bongkah yang terkumpul di atas bumbung jerami di rumah-rumah di Gero satu persatu gugur menghentam bumi.
Tokizawa Taihei pulang bertemu anak-anak dan isterinya. Setiap sebulan atau dua bulan dia pasti akan pulang ke Gero. Maka dalam tempoh-tempoh itu dia ada bertemu dan juga telah mengenali Ryouji. Namun selalunya dia hanya bercuti singkat. Kali ini dia bakal bercuti lebih lama demi menguruskan perkahwinan anak perempuannya Kiku dengan Ryouji.
Hisamiko sedang duduk di atas pokok keyaki yang sudah muncul sedikit anak daunnya dan meriba Azuchi. Begitulah hobinya saban hari jika dia kelapangan dari mengajar di sekolah Kogen di pekan Gero.
“Mengapa engkau monyok semacam saja Hisamiko?”
“Abangku bakal berkahwin. Aku akan keseorangan.”
“Apakah engkau akan dihalau dari rumah itu?”
“Tidak. Namun onii-san pasti akan kurang berbicara denganku lagi. Dia pasti sibuk bersama nee-chan.”
“Bukankah aku ada?”
Hisamiko melepaskan keluhan. Tiba-tiba terbit satu idea di benak.
“Azuchi, engkau kata engkau mahu ke Nara dahulu bukan?”
“Mengapa?”
“Aku mahu ke sana.”
“Bukankah engkau kata abangmu tidak benarkan?”
“Dia sibuk sekarang. Dia pasti tidak akan sedar aku meninggalkan Gero seketika.”
Onii-san sudah punya isteri. Maka aku sepatutnya menikmati saat-saat kebebasan ini. Dia tidak lagi akan menghalangku ke mana-mana. Dia akan sibuk-sesibuknya.
**
Kofukuji, Nara.
Awal musim bunga 1875.
Hisamiko berdiri di hadapan sebuah taman zen. Azuchi memerhatinya sedari tadi dari atas sebatang pokok keyaki di tengah-tengah taman awam di Nara. Ada kelompok rusa sedang sibuk mengunggis entah apa di tanah tidak jauh dari mereka. Angin sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba bertiup.
Zen Hisamiko sedikit terganggu tatkala bau busuk tajam menusuk hidung.
“Azuchi, aku terbau busuk. Engkau tak mandikah?”
“Mana ada! Aku mandi setiap hari tahu?”
Azuchi memusing-musing, cuba mengesan punca bau itu.
“Cuba kau lihat di belakangmu.”
Hisamiko menoleh. Terkejut bukan kepalang dia. Seekor anak rusa berbintik sedang tunduk seperti mahu menyondolnya. Pada rusa itu ada kutu berterbangan. Hisamiko pantas menekup hidung tatkala bau busuk itu kembali menusuk. Tahulah dia bau itu sebenarnya datang dari tubuh anak rusa itu.
“Azuchi, aku fikir anak rusa inilah yang tak mandi.”
“Tahu pun.”
Anak rusa itu mendekati Hisamiko. Dia kaget, perlahan-lahan mengambil langkah mengundur.
“Beri dia ini.” Azuchi menghulurkan biskut beras menggunakan paruhnya kepada Hisamiko, sambil terbang setempat di udara.
Hisamiko mengambil seraya mencampakkan ke arah anak rusa itu. Pantas ia mengambil dengan lidahnya dan mengunyahnya. Hisamiko berlari anak sedang rusa itu asyik makan.
“Fuh, nasib baik ia tak mengejarku.”
“Jika ada mana-mana rusa datang kepadamu, hanya berikan biskut ini.”
“Mana engkau dapat?”
“Aku berpura-pura mahu makan. Seorang lelaki mencampakkannya kepadaku. Cuba kaulihat di sana.”
Hisamiko memandang ke arah kolam air. Di tepi kolam itu sekumpulan anak gadis berkimono cantik sedang memberi makan biskut beras kepada sekumpulan rusa bintik.
“Bagaimana rasanya Azuchi? Bukankah engkau kepingin sangat biskut itu?”
“Lebih sedap dari lima ratus tahun lepas. Entah apa yang mereka letakkan di dalamnya sekarang. Engkau ingin cuba?” Azuchi menyua sekeping.
“Tak mahulah. Bukankah ini yang engkau kata dicampakkan kepadamu?”
“Betul juga. Engkau manusia tak boleh makan makanan kotor atau akan ditimpa sakit. Lemah!” Kutuk Azuchi.
Hisamiko menerawang panorama sekeliling. Indah sekali. Pagoda setinggi tiga tingkat berdiri megah menjadi mercu utama perkarangan kompleks kuil besar yang berusia lebih sealaf ini. Ia dibangunkan ketika Maharaja Jepun pada ketika itu masih mengemudi negara dari kota Nara ini, sebelum berpindah ke Heian-kyo di Kyoto pada sekitar abad ke-9.
Pepohon sakura sudah mulai menyerlahkan seri lembayung dan putih yang berselang seli. Para pelawat berpakaian kimono berwarna warni semakin ramai mengerumuni perkarangan kompleks itu demi menikmati warna sakura atau ber-hanami. Gerai-gerai di luar perkarangan kuil mulai dibuka. Mereka menjual pelbagai jenis makanan, termasuk bebola nasi atau dango.
“Rugi aku tidak mengajak onii-san.”
Azuchi bertenggek di atas lengan Hisamiko yang dibalut dengan kain bagi mengelakkan dicederakan cakarnya.
Engkau merajuk bukan, Hisamiko? Soalan itu kerap bermain dalam benak Hisamiko tatkala dia bersiar-siar di sekitar kuil besar itu.
Mana ada! Aku...aku cuma... Hisamiko cuba menafikan suara-suara itu.
Engkau cemburu dengan Kiku nee-chan bukan? Disebabkan itu engkau melarikan diri ke sini. Engkau keliru. Engkau juga sayangkan nee-chan bukan?
Semakin kuat dan berlebihan pula suara itu merasuk fikirannya.
“Hisamiko...Hisamiko!” Tegur Azuchi. “Engkau menangiskah?”
Hisamiko sedang berdiri mengelamun memandang pohon sakura yang lebat dengan putik di hadapannya. Air matanya mengalir tanpa disedari. Dia mengesat dengan lengan yukatanya.
Azuchi terbang turun dan merenung Hisamiko. Dia tiba-tiba tumbang, lidahnya terjelir, nafasnya mencungap. Matanya terbeliak. Tubuhnya kaku tiba-tiba.
Hisamiko cuak. Dia menggoncang-goncang tubuh Azuchi.
“Azuchi...bangun, bangun!”
Tiada sahutan.
“Azuchi... mengapa engkau tinggalkan aku juga? Azuchi!”
Hisamiko meraung-raung seperti anak kecil.
Azuchi membuka mata.
“Azuchi, engkau masih hidup!”
“Engkau masih sayangkan aku rupanya.”
“Jadi engkau sekadar mempermainkanku?”
Azuchi terbang meninggalkan Hisamiko, sedang Hisamiko cuba mengejarnya. Orang ramai di situ bingung melihat seorang anak gadis bermain dengan seekor burung.