Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 31

YORU-NO-KAZE (KAISENJYO: BUKU 2)

ARKA 2 DARIPADA 2: AYAME


**


Musim panas, 1875

 

Kini, sudah hampir setahun Ryouji meninggalkan Kogen, dan sudah hampir dua tahun Chisato sembuh dari racun aotsuyu.

 

Kehidupan Chisato di Kogen-no-shita dilalui seperti hari-hari biasa, membantu apa yang perlu dibantu di Kogen-no-shita, seperti membasuh pakaian para pengakap Kogen, memasak makanan dan membantu di kawasan pertanian padi huma. Chiho dan Chinami juga sudah menginjak enam belas tahun dan membantu kerja-kerjanya. Mereka menuruti sahaja tegahan Kogen dari keluar dari situ. Meskipun mereka tahu di luar sudah kian selamat selepas tertewasnya Hamada, namun anaknya Yoshinobu masih hidup dan berdendam dengannya. Bahkan, musuhnya masih terlalu ramai, seperti tali barut Tsugiyama contohnya. Lebih baik berdiam di sini buat sementara waktu fikirnya.

 

Perit dari keterpaksaan melepaskan Ryouji sudah kian melenyap. Fikir Chisato, Ryouji mungkin sudah menemui pasangan baru, dan mungkin telah berkahwin, itupun jika dia masih hidup. Namun Ryouji tetap cinta pertamanya. Parut di hati yang ditinggalkan masih belum lenyap. Memori bersama Ryouji masih kadangkala bermain bilamana dia berasa senggang. Mungkin Ryouji sudah mati akibat sumpahan itu. Jika begitu, malanglah. Malangnya dia tidak dapat menatap Ryouji di akhir hayatnya.

 

Di mana engkau mati, Ryouji? Apakah Hisamiko berada di sisimu? Atau engkau mati keseorangan? Di mana kuburmu? Apakah mayatmu sudah dibakar? Aku mendengar engkaulah yang menewaskan Hamada, namun apa yang berlaku selepas itu? Apakah engkau benar sudah dimakan sumpahan itu?

 

Oi Hatsuki, ikou (jom pergi)!” Kedengaran bisik keras seorang remaja lelaki kepada kembarnya, tidak jauh dari lokasi Chisato yang sedang tunduk termenung dengan tangan masih memegang kain pada ampaian. Hatsuki tersentak dan menoleh ke sebelah. “Nani yatte no (apa yang kaubuat)?!” Soal kembar yang menegurnya tadi.

 

Chisato mengangkat muka, dan sempat menangkap pandangan Hatsuki yang rupanya dari tadi merenungnya yang sedang menerawang dari jauh, dari balik kain pada ampaian. Ketika berjalan meninggalkan tempatnya, Hatsuki sempat menoleh sejenak kemudian langsung mengikut kembarnya itu beredar.

 

Chisato meneruskan kerja-kerjanya menjemur pakaian. Dari cakap-cakap orang ramai, dia ada terdengar lelaki bernama Hatsuki itu menaruh hati terhadapnya, namun masih malu-malu. Bilamana Chisato dan Hatsuki berada berdekatan satu sama lain di mana-mana sahaja, Hatsuki pasti akan menjauhkan dirinya atau mengalihkan pandangannya. Dia ada mendengar dari Shinji yang Hatsuki itu sebaya dirinya, dan Hatsuki juga ahli sebuah rumah perlindungan Kogen di Shinagawa dan pernah membantu Shinji dan Ryouji ketika misi pertama mereka. Shinji juga memberitahu Hatsuki sering bertanyakan perihal dirinya. Chisato hanya tersenyum mengingatkan kata-kata Shinji. Bahkan Shinji adalah rakan yang paling sesuai untuk dia berborak panjang kerana telah lama dikenalinya. Shinji juga telah berkahwin, maka senanglah untuk dia dijadikan penghubung kepada bakal-bakal pacar.

 

Chisato memandang salah satu ampaian di hadapannya, di mana Chinami sedang menjemur kain juga. Namun dia perasan sesuatu. Pergerakan Chinami seperti kaku, seperti sedang dirasuk. Ia terlalu teratur, seolah disusun, seolah boneka dalam persembahan Noh yang digerakkan tok dalangnya. Chisato mencari di mana Chiho, kerana Chiho selalunya bersama Chinami. Dia perasan Chiho sedang duduk di atas batu dan merenung Chinami dari jauh. Mata Chiho tidak berkedip, ke mana Chinami bergerak, mata Chiho akan mengekor rapat seperti telah dilekapkan dengan resin.

 

“Chiho!” Laung Chisato. “Apa yang sedang kaubuat?”

 

Chiho tersentak. Matanya beralih pada Chisato. Sejurus itu Chinami terjelepok ke atas rumput, kain pada tangan terlepaskan.

 

Chisato bergegas ke tempat Chinami dan memangkunya. Chinami membuka mata, tersenyum namun wajahnya pucat.

 

“Apa yang kalian dah lakukan?!” Gertak Chisato.

 

“Kami hanya bermain-main.” Chinami menjawab sambil ketawa kecil. Nada suaranya lemah.

 

“Chiho, ke mari engkau!” Chisato memanggil dengan nada tinggi, wajahnya merah berang.

 

Chiho berjalan lambat dan malas-malas seolah ada batu yang diikat pada kedua-dua kakinya. Matanya kuyu. Barangkali dia sudah tahu apa natijahnya jika kakaknya memanggil begitu.

 

“Apa yang kau dah buat pada Chinami? Beritahu kakak cepat!”

 

Nani mo (tak ada apa-apa).”

 

Ne, Chiho. Cakap cepat!” Gesa Chisato sambil menggoncang-goncang bahu Chiho. Chiho kian berkerut wajahnya, perbuatan Chisato jelas sungguh merengsakannya.

 

Nani mo!” Chiho menengking, merentap bahu dari pegangan kakaknya dan melarikan diri pantas. “Chiho matte!” Jerit Chinami yang baru bangkit, dia cuba mengejar namun terjatuh pula.

 

Chisato melepaskan keluhan besar, berdiri memandang Chiho yang sudah jauh lari di hadapannya. Pinggang dicekak. Mukanya yang putih gebu bertukar merah menyala, geram dengan tindakan Chiho mengabaikan soalannya.

 

**

 

“Aku rasa hanya engkau yang boleh mencari jawapannya, Shinji. Engkau paling bijak dalam kalangan kami. Lagipun kami semua pernah tinggal bersama denganmu. Pasti engkau ada melihat atau ternampak perkara aneh sepanjang di rumah Takasaki.” Malam itu Chisato menemui Shinji demi menyoal tingkah aneh adik kembarnya itu.

 

Mereka duduk di bangku panjang di hadapan rumah Chisato di Kogen-no-shita itu. Bini Shinji, Shiori, turut sama berada di situ dan mengikuti perbualan mereka atau mungkin cemburu dan bagi memastikan Shinji tidak tergoda dengan Chisato yang cantik itu. Bulan mengambang di dada langit menerangi malam musim panas ini yang nyaman dan mendamaikan meski tidak berangin. Air terjun nun jauh di belakang menghasilkan hingar yang sayup-sayup.

 

“Chiho mengawal Chinami dari jauh? Apakah hanya berlaku sekali itu?”

 

“Banyak kali. Kadangkala Chinami mengawal Chiho. Mereka seolah tahu apa yang mereka lakukan, siap ketawa-ketawa lagi. Namun hanya kali itu, di ampaian itu, aku mendesak Chiho. Sukar benar mengorek rahsia Chiho. Chiho makin degil sekarang!” Suara Chisato mengeras. “Mentang-mentanglah dia lebih tua beberapa saat sahaja dari Chinami.”

 

“Bagaimana dengan Chinami?”

 

“Chinami enggan menjawab. Setiap kali aku bertanya, dia hanya ketawa, kemudian sambung ralit dengan aktivitinya sendiri.” Namun dia tetap degil juga, getus Chisato.

 

“Jujurnya, aku tidak pernah melihat atau ternampakkan perkara aneh berkenaan adik-adikmu sewaktu di rumah Takasaki. Cuma satu yang kutahu, mereka mampu melakukan jurus kedua bukan?”

 

“Ya. Mengapa?”

 

“Mungkin ada kaitan. Mungkin. Dan ada kaukesan baru-baru ini akan barang tabiat aneh mereka?”

 

“Apa ya... oh, aku ingat. Mereka kerap juga ke perpustakaan sana. Membaca apa entah.”

 

“Apa kata pustakawan?”

 

“Tidak ada pula aku bertanyakannya.”

 

“Aku harus bertemu pustakawan.”

 

“Aku boleh membantumu, Shinji.” Shiori, bininya, menawar diri.

 

“Engkau tak perlu libatkan diri.” Tegah Shinji dengan nada dingin.

 

“Aku fikir Shiori lebih sesuai. Perempuan sama perempuan. Pustakawati itu lebih mudah didekati.” Chisato menawarkan sedikit sokongan kepada Shiori. Chisato tahu Shinji gemar mengawal tindak-tanduk isterinya. “Dan engkau pun bukan tahu berbual dengan perempuan sangat, kan Shinji?” Chisato menikam kata. Shiori sudah ketawa kecil. Shinji menjeling ke arah Shiori. Shiori merencatkan tawa dan tunduk. Namun dalam hatinya mungkin masih sedang mengetawakan Shinji.

 

“Lagipun aku mengenalinya.” Shiori menambah.

 

“Apa?” Shinji tergamam dengan pengakuan Shiori. Chisato membulatkan mata, turut terperanjat.

 

**

 

“Kaho nee-san.” Tegur Shiori sebaik menjejakkan kaki ke dalam bangunan utama perpustakaan. Perpustakaan yang sunyi dan besar itu menjadikan suara Shiori bergema. Namun Kaho tidak muncul pula.

 

“Kaho nee-sanDoko iru no (mana kau)?” Soal Shiori lagi, bergema lagi ke segenap pelusuk perpustakaan.

 

Chotto matte!” Kedengaran sayup-sayup suara seorang wanita dari balik lantai kayu. Shiori sedikit berasa aneh. Dia mencangkung ke arah lantai kayu di hadapan meja utama pustakawan yang menghadap pintu masuk itu, kerana menyangkakan suara wanita itu datang dari bawah lantai tersebut.

 

Kedengaran bunyi detakan seperti orang memanjat tangga, juga dari bawah lantai itu. Shiori mengundur kala bunyi itu makin dekat. Dia berdiri tegak berpura-pura tidak mempedulikannya, seolah tidak tahu apa-apa, namun matanya menjeling ke arah kiri yang dipenuhi rak-rak buku yang besar dan tinggi seperti hutan gergasi. Sejurus itu, ada bunyi seperti pintu dikuak dan engsel merengek dari belakang meja pustakawan. Kepala seorang perempuan tertonjol dari belakang meja dan wajahnya tersengih, nafasnya sedikit mencungap.

 

Nee-san. Engkau dari mana?”

 

“Aku sedang mengemas setor bawah tanah. Ada apa Shiori, kyuu ni (tiba-tiba sahaja)?”

 

Shiori sedikit terkejut kerana baru saat itu dia maklum akan kewujudan setor bawah tanah. Dari cara jawapan Kaho, ia tampak seolah bukanlah perkara rahsia namun dia masih tidak mengetahuinya.

 

“Aku mahu membincangkan sesuatu.” Ujar Shiori sambil tangannya mengisyaratkan kepada Kaho, pustakawati itu agar mengambil tempat duduk di sebuah kerusi yang ada meja bulat di hadapannya.

 

“Oh sou? Sebentar ya.”

 

Usai mereka mengambil tempat duduk, Shiori memulakan bicara.

 

“Engkau ada selalu melihat satu pasangan adik-beradik perempuan masuk ke sini?”

 

“Ya. Mengapa dengan mereka?”

 

“Kakak mereka bertanya. Sejak bila mereka bertandang ke sini?”

 

“Sejak sebulan lalu. Mereka kerap ke sana.” Kaho mengunjuk ke arah satu rak yang terletak hampir dengan dinding, di sebelah kanan Shiori.

 

“Engkau tahu mengapa mereka sering ke sana?”

 

“Membaca sebuah buku.” Kaho merapatkan kepalanya ke Shiori seperti mahu mengelakkan suaranya dari dicuridengar. “Mereka sangat khusyuk membaca sebuah buku.”

 

“Buku apa?”

 

“Aku tidak pasti. Ada banyak buku di situ. Tapi kulitnya berwarna perang.”

 

“Berapa banyak buku berkulit perang?”

 

“Ada banyak. Aku tak tahu yang mana satu mereka buka.”

 

“Ayuh, bantuku!” Shiori menarik tangan Kaho. “Eh, eh, mengapa?”

 

“Bantulah aku. Kakak mereka risaukan mereka.”

 

“Mereka hanya membaca buku. Apa yang dia risaukan sangat?”

 

“Aku tak tahu.”

 

“Aku banyak kerjalah Shiori. Buku kulit perang itu terlalu banyak.”

 

Nee-san... sekali ini sahaja boleh? Bantu aku carikan buku itu.”

 

Selepas beberapa lama memujuk, Kaho mengalah.

 

“Yalah, yalah. Namun aku tak boleh jamin buku yang tepat.” Kaho mengalah dan menyahut malas-malas. Jika bukan kerana dia mengenali Shiori sejak kecil, sudah pasti diabaikan sahaja permintaan Shiori itu.

 

Banyak betul buku berwarna perang, getus Shiori kala berdiri di rak buku yang diperkatakan Kaho. Dari lantai sehingga ke bumbung, ada sepuluh para. Bukunya kecil-kecil. Ada tangga kayu yang boleh ditarik keluar dari pintu kecil pada sisi para, dan dipanjat untuk mencapai rak yang tinggi. Setiap buku tersebut hanya ada sebaris tajuk pada kulitnya yang ditulis dalam kanji maka ia mudah dikelirukan jika dilihat dari jauh. Lagi pula, kanji adalah tulisan simbol yang hampir serupa kebanyakannya.

 

“Mereka biasanya tak memanjat tangga. Maka fokus pada rak-rak rendah saja.” Kaho mencadangkan.

 

“Sungguh?”

 

“Sungguh.”

 

Mereka membuka hampir semua buku, namun hampa. Kaho mengeluh memikirkan yang dia perlu mengemas kembali buku-buku itu. Shiori perasan, seraya menegurnya, “Tak mengapa, engkau pergilah sambung kerja-kerjamu. Aku akan susun kembali semua buku ini.”

 

Arigatou, Shiori.”

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov