Kapal yang terumbang-ambing dipukul ombak menggoncang mereka sudah lima ke enam jam. Mereka mabuk, tidur dan bangun, mabuk lagi, sambung tidur, dan sekarang akan masuk kali ketiga tidur jika mereka tidur lagi. Di ruang dek bawah yang gelap itu, hanya beberapa lubang tingkap membenarkan cahaya masuk menerangi ruang dan menjadikan ruang tempat mereka berdiam itu malap berbanding gelap-gelita.
Chisato sudah termuntah dua kali, dan dia enggan makan dan hanya bersandar pada bahu Chiho yang duduk bersandar pada dinding dek. Hanya Chiho yang sudah pulih dari mabuk laut.
“Nee-chan masih mabuk?”
“Lega sedikit.” Maklum Chisato, nadanya lemah.
“Berapa lama lagi dari sini sehingga sampai ke pulau itu?” Soal Chisato tiba-tiba, sedang kepalanya masih diampu bahu Chiho. Chiho tersentak mendengarkan soalan itu.
“Err... lagi seminggu. Nee-chan.”
“Ya.”
“Engkau tak apa-apa?”
“Apa...maksudmu?”
“Engkau tak sedih lagikah? Chinami sudah meninggalkan kita?”
“Aku masih bersedih. Namun apa yang kita boleh lakukan... Chinami adalah korban sebuah perang yang sia-sia.”
Chiho rasa sungguh janggal. Kakaknya bertutur normal, seperti sebelum kemurungan dan gila selepas kematian Chinami.
“Nee-chan, boleh aku tanyakan sesuatu?”
“Tanyalah.”
“Apakah kau benar-benar gila?”
Chisato ketawa kecil, namun tenaganya masih lemah dek mabuk laut.
“Aku tidak gila, Chiho.” Jawab Chisato dengan setulus riak wajahnya.
Chiho tersentak mendengarnya. Dia mendiamkan diri, demi memberi ruang kepada Chisato meneruskan luahannya dan tidak menampakkan yang dia mendesak.
“Aku terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan Chinami. Aku terlalu sedih waktu itu. Namun semua itu sudah berlalu. Cuma, aku memilih untuk berpura-pura gila ketika Ryouji datang bertemu kita.”
“Mengapa nee-chan buat begitu?”
“Tanganku sudah dikotori darah. Kita sudah dijadikan pembunuh oleh Ayame-san. Aku tidak layak menjadi pacar Ryouji lagi. Seorang adiwira yang bertarung untuk Maharaja beristerikan pemberontak yang memerangi Maharaja, pembunuh yang menumpahkan darah ronin di Yokuma dan tentera Maharaja di Nakasendo?”
“Namun setiap orang ada rahsia hitam nee-chan. Jika engkau masih cintakan Okuhida-san, tiada salahnya engkau bercinta dengannya lagi.”
“Aku tidak mahu dia menderita lagi. Biarkanlah aku pergi dari sana. Jika aku ditangkap oleh tentera Maharaja, dia pasti akan menderita lagi.”
“Apa maksudmu, Okuhida-san pernah menderita?”
“Dia pernah beristeri dahulu, selepas meninggalkanku. Namun perkahwinan mereka terlalu singkat. Itu yang kudengar dari Shinji. Isterinya dibunuh. Lelaki yang membunuhnya itu pernah cuba menyerang kami sewaktu di Hidagawa dulu. Tatsuya, salah seorang pengikut Tsugiyama, bekas samurai Hamada.”
Chiho menutup mulut mendengarkan pendedahan dari kakaknya. Dia teringat pesan Ryouji agar merahsiakan bahawa dia masih hidup seandai kakaknya sembuh dari gilanya. Kini, kakaknya ternyata waras dan tidak pernah gila. Namun semua itu tidak perlu lagi, kakaknya sudah tahu Ryouji sememangnya Ryouji.
“Aku melihat derita dalam air mukanya, dalam matanya. Dia sudah berputus asa dengan hubungan. Seolah dia hanya melihat mendiang isterinya dalam matanya, membayangi dan menabir pandangannya. Hanya adiknya itulah penyambung harapannya untuk terus hidup.” Tambah Chisato lagi.
“Maa, ii kara Chiho. Kita sudah bebas dari Jepun. Kita lupakan semua cerita pahit ini dan mulakan lembaran baru. Ikou!” Nada suara Chisato yang bergula dan mekar begitu menyegarkan telinga. Chiho mengukir segaris senyuman, air matanya meleleh, sekian lama tidak didengari suara ceria Chisato yang begitu, sehingga berbunga-bunga telinga dan hatinya. Chisato menyeka dan membelai rambut Chiho, memandangnya. Chiho pantas membenamkan wajahnya ke dada Chisato dan menangis semahu-mahunya.
“Mengapa, Chiho? Chiho?”
“Maafkan aku nee-chan! Maafkan aku, kerana aku Chinami mati! Aku yang meminta dia melakukan jurus kedua sewaktu di Yokuma! Aku mahu menunjukkan kebolehanku di hadapan Ayame-san! Maafkan aku nee-chan!” Raung Chiho diiringi esak tangisnya yang bersedu-sedan.
Namun Chisato tidak sedikitpun menyalahkan Chiho. Dia hanya mahu melupakan semuanya seperti apa yang diluahkan. Cerita yang pahit biarkan ia tenggelam dalam pekat laut dan dingin malam, biarkan ia berlalu dibawa angin yang berhembus dari timur. Lembaran baru harus dibuka, dan hidup mesti diteruskan. Bak sungai-sungai yang menghakis pepasir bermacam galian di gunung-gunung di Hidagawa dan Alp Jepun Utara, hakisan yang berat itu harus dimendapkan di liku-liku, kerana sesungguhnya perjalanan ke lembah itu masih panjang dan berliku, dan berbagai rintangan harus diredah dan berbagai bakti harus ditaburkan dan hidup harus dikerah mengharunginya.
**
Selepas Ayame dan baki Skuad Sakura kembali menyusun bala tentera, mereka melancarkan serangan gerila ke atas mana-mana pembawa makanan yang cuba memasuki salah satu dari lapan pintu Kogen. Mereka menangkap pembawa makanan itu dan dijadikan tebusan, sementara makanan mereka dirampas. Tentera Yoshinobu pula membekalkan tentera dan bekalan senjata demi memusnahkan Kogen. Kogen dikepung tentera Yoshinobu dan Ayame di setiap pintu masuknya.
Tentera Maharaja yang terkesan dan mengalami kematian yang ramai dalam pertempuran di Nakasendo sebelumnya, telah membawa masuk lebih banyak bom. Mereka menyedari bahawa pasukan Ayame yang mampu mengelak peluru menggunakan kaminari hanya boleh dihapuskan dengan berkesan menggunakan bom. Meski mereka masih mampu mengelak kuasa letupan bom dengan kaminari, namun dalam jarak yang dekat – syaratnya mereka mesti diperangkap dahulu – mereka tidak akan mampu mengelak, kerana kuasa bom bertindak ke semua arah. Tentera Yoshinobu turut sama menggunakan bom, namun disebabkan tekanan kewangan yang dialami Yoshinobu, jumlah bom yang mampu dibeli mereka dari pedagang Rusia sedikit berbanding apa yang dimiliki tentera diraja. Tentera Yoshinobu kebanyakannya tidak tahu kaminari, maka mereka dihapuskan dengan mudah oleh senjata api tentera Maharaja yang juga anggotanya lebih ramai dan bersusun, yang dikeluarkan baginda dari pasukan tentera simpanan, atas nasihat dan seliaan Jeneral Yamagata.
Penggunaan bom yang berleluasa oleh kedua-dua pihak yang berperang telah mengakibatkan kemusnahan hutan yang berleluasa, di kedua-dua belah bahu Nakasendo yang masih merentas medan tempur mereka, dengan pokok-pokok kayu kini rentung dan kayu hangit ada di mana-mana, burung dan unggas hilang sarang, fauna hilang tempat cari makan. Namun pengeboman yang ganas ini juga telah mencederakan dan membunuh ramai tentera Ayame yang tahu kaminari itu. Tentera Koichi keluar dari lapan pintu masuk Kogen selepas menyedari tentera Ayame cuba melarikan diri dan tentera Yoshinobu sudah tewas, dengan mendapatkan pemerhatian dari para pemerhati mereka di atas gunung-gunung. Tentera Koichi keluar dari pintu masuk Kogen, bersatu dengan tentera diraja dan mengejar dan membunuh tentera Yoshinobu dan Ayame yang masih berbaki. Maka semua Skuad Sakura yang masih berbaki turut dibunuh. Antara yang mati dibunuh adalah Hotaru.
Ayame kehilangan keseluruhan tenteranya yang direkrut saat akhir itu, termasuk Skuad Sakura. Dia berseorangan dan dikepung. Namun kepungan dileraikan dengan mudah oleh jurus kaminari-nya yang tinggi. Dengan ramai ahli Kogen pecahan Koichi masih teragak-agak untuk menamatkan riwayat Ayame memikirkan dia anak pemimpin mereka, Ayame mengambil kesempatan membunuh mereka dengan mudah seperti membunuh serangga, menggunakan kaminari.
Ayame terus melarikan diri selagi mana dia tidak dikepung, dengan berkuda ke sebarat-barat laluan yang boleh ditempuh. Dia mahu menghala ke satu tempat. Tentera Kogen dan Maharaja seorang demi seorang cuba mengejar dan menangkapnya, namun bila seorang demi seorang menjadi mayat, yang menyusul di belakang membatalkan hasrat dan mengundur. Dalam ramai-ramai itu, hanya Ryouji sahajalah yang mampu dan berani mengejar Ayame sehingga mereka berdua tiba di satu tempat di Hidagawa, yang mana Ayame masuk selepas menyebut namanya. Ryouji yang mengekor melakukan perkara sama, dan kini mereka berada di lembah yang sunyi dan mati itu, berdua, tanpa diganggu sesiapa lagi. Hanya diri masing-masing yang akan menguji dan menyaksikan siapa menang dan siapa kalah, siapa mati dan siapa hidup.
**
Kuda Ayame terhenti di hadapan lubang sebatang pokok gergasi.
“Bagaimana engkau tahu tempat ini?” Soal Ayame tanpa menoleh, sedang masih di atas kudanya. Dia tahu dia diekori sejak dari Nakasendo lagi.
“Shinji mengkhabarkan padaku. Termasuk kaedah memasukinya. Mujur namaku dibenarkan masuk.” Ryouji memandang sekeliling, dan perasan formasi batu-batu tama-no-iwa yang disusun membulat, ia pernah ditunjukkan Shinji bahawa bulatan itu sebenarnya portal pemindahan ruang. Tidak jauh dari lubang pokok itu adalah tiang batu putih Amaguri. Inilah lembah Amaguri, yang terletak di Hidagawa, dan portal pemindahan ruangnya menghubungkannya dengan tingkat bawah tanah perpustakaan di Shirasaka-no-Kogen.
“Sebenarnya, Shinji yang membenarkan engkau masuk, dia dan moyangnya tuan kepada lembah Amaguri ini. Aku sengaja membawamu ke sini. Agar tiada sesiapa mencampuri urusan kita.”
“Ia bukan lagi ‘urusan kita’, Ayame-san. Ia urusan negara. Aku diarahkan bapamu, dan Maharaja, agar membunuhmu.”
Ayame memusingkan kudanya menghadap Ryouji. “Mengapa engkau masuk campur dalam perang ini Ryouji? Tidak cukupkah dengan hanya berdiam di Gero?”
Ryouji enggan menumpu pada soalan Ayame itu, namun menyoal, “Ayame-san, mengapa engkau melakukan semua ini? Engkau harapan Koichi dan Kogen. Negara ini memerlukan orang sepertimu. Maharaja memerlukan orang yang boleh memimpin Kogen dan melahirkan ramai intelektual untuk Pembaharuan.”
“Selepas baginda mendapat semua itu dari Kogen, apa yang Kogen akan dapat?” Tebak Ayame.
“Dana dari baginda. Keutamaan dari baginda.”
“Namun aku akan masih berada di bawah telunjuk baginda bukan?”
“Itu tidak dapat dielakkan. Kecuali jika engkau maharaja.”
“Ya, aku mahu menjadi Maharaja.”
“Apa alasan engkau?”
“Ia cita-citaku sejak dahulu.”
“Cita-cita? Atau sakit hatimu? Engkau sakit hati dengan bapamu lantas merancang menghapuskan segala yang telah dibinanya?”
Ayame diam. Dalam hatinya dia sebenarnya keliru akan apa yang sebenarnya dimahukan. Penggerak mulanya, dia sakit hati dengan Koichi. Kedua, ramalan yang didengarinya itu berkenaan Kaisenjyo dari datuknya. Yang ketiga, suara-suara aneh yang menawarkan bantuan dan merasuknya agar memerangi Jepun, suara yang mengakui dirinya Kaisenjyo itu.
Keliru menguasai diri. Apakah dia benar-benar mahu menguasai bumi Yamato ini atau sekadar menjadi hamba kepada hawa nafsu dan dendamnya?
“Jika kau tak tahu apa-apa berkenaanku, usah mengarut.”
“Koichi mendedahkan kisahmu ketika masih anak-anak. Engkau kematian ibumu. Koichi mengakui dia menyesal mengabaikanmu. Dia mengabaikanmu kerana mempercayai ramalan itu.”
“Ya, itu aku tahu. Mengapa aku dilahirkan, Ryouji? Andai sudah diramalkan begitu hitamnya, mengapa aku dilahirkan? Salah siapa aku dilahirkan? Salah bapaku! Dan sekarang aku hanya memenuhi ramalan itu? Maka salah siapa? Salah bapaku!”
“Kita sentiasa diberi pilihan, Ayame-san. Ramalan tidak semestinya benar, kita bukan Tuhan.”
Ayame terdiam sejenak. Pilihan? Benaknya mengimbas kembali suara-suara yang didengarinya di tepi Gaung Maut itu. Ia bukan Kaisenjyo yang memintanya memilih jalan ini. Kaisenjyo mengutarakan pilihan. Ayamelah yang memilihnya. Namun mengapa? Mengapa dia begitu kepingin memiliki kuasa? Kerana mahukan perhatian, dambaan pengikut? Mendapatkan sanjungan dari mereka? Segala alasan itu berkitar dan berputar kembali dalam benak Ayame. Ia tersembunyi ketikamana dia memilih jalan itu, dia memilih pantas dan memancutkan pilihannya kepada Kaisenjyo, namun saat itu dia masih kabur akan alasannya. Namun ketika itu juga dia sedang dilanda kebencian terhadap Koichi. Dia membenci Koichi yang telah mencadangkan penggubalan Kod Kogen. Dia benci perubahan itu, yang memansuhkan hukuman bunuh untuk penjenayah yang pada hemat Ayame, wajar dibunuh. Disebabkan itu dia mahu menguasai semuanya, hatta seluruh tanah Yamato ini, agar segala perubahan itu dapat dikekang dengan mudah. Dia memikirkan lagi, bahawa dengan kuasa di tangannya ini, dengan kaminari, dengan Berahi Kuasa, dia mampu berperang.
Namun dia tewas jua. Segala pelaburan itu sudah tiada makna, tiada guna lagi saat ini. Yang tinggal sekarang hanyalah usaha melarikan diri sahaja. Hanya teruskan hidup dan melarikan diri dari Maharaja. Hanya hidup dan teruskan hidup. Lupakan usaha merebut kuasa.
Tidak, getus Ayame. Aku akan berjuang bermati-matian. Aku akan rampas kembali Kogen dengan caraku, dengan diriku sendiri sahaja. Andai aku masih hidup selepas itu, Kogen menjadi milikku, semua ahli di dalamnya adalah pengikutku, dan aku akan lancarkan pertempuran kedua memerangi Maharaja. Aku tidak akan sekali-kali berhenti di sini. Aku akan bina kekuatan baru dan akan aku musnahkan takhta baginda.
“Engkau silap Ryouji. Aku memilih jalan ini bukan kerana kebencian terhadap otou-san, namun demi Kogen. Selagimana penjenayah-penjenayah dari kalangan penjaga rumah perlindungan dibiarkan hidup, aku tidak akan berdiam diri. Aku yang akan mengubah Kogen. Pengecut seperti otou-san, seperti engkau, tidak layak memimpin Kogen. Jadi bersedialah. Hunus pedangmu, dan bertarung denganku. Andai aku menang, engkau akan aku bunuh, dan Kogen akan aku ketuai.”
Ryouji meloncat turun dari kudanya, dan menghunus pedang, diikuti Ayame melakukan perkara sama.
Mereka berpusingan, menanti siapa yang akan memulakan tetakan. Ayame nampaknya meluru dahulu dan melibas, dielak Ryouji. Ryouji menghadkan gerakan hanya untuk menyahsenjatakan Ayame sahaja. Meskipun arahan dari Maharaja dan Koichi meminta dia membunuh Ayame, dia tidak sanggup, sekurang-kurangnya sekarang. Lagi pula, Ayame adalah anak Koichi sendiri. Ihsan harus ada. Ayame bukan tidak pernah berjasa kepada Kogen, malah jasanya cukup besar. Dialah yang menubuhkan Skuad Sakura yang menguatkan lagi fungsi nazir Kogen. Tanpa Skuad Sakura, nazir tidak akan secekap itu lagi mengintip rumah-rumah perlindungan Kogen. Skuad Sakura tahu kaminari dan bertarung, mengintip gaya shinobi. Siapa lagi yang mampu melatih kaminari, dan Skuad Sakura juga sudah dibasmi sepenuhnya dalam perang yang baru tamat semalam. Kogen sudah tiada harapan, kecuali jika ia dikepalai Ayame. Betapa besarnya jasa Ayame tidak dapat sesiapapun nafikan. Ayame, yang dilawannya sekarang, tidak lama dahulu pernah bersama-sama melaksanakan misi.
Dalam libas demi libas, elak demi elak, cantas-mencantas dan tahan-menahan, Ryouji ditebak sebak yang menghiris, seolah pedang Ayame, meski belum mencecah tubuhnya, menghiris hatinya secara batin. Bagaimana seorang wanita muda yang berjuang bersamanya dalam misi di rumah-rumah perlindungan, menjadi begini gelap jiwanya, membunuh ratusan tentera Maharaja dan ronin di Yokuma. Bukan firasat itu tidak ada, bahkan benih-benih kegelapan itu sudah lama disemai. Siapa tidak kenal Hitokiri Ayame, kerana andai hukuman bunuh mengikut Kod Kogen perlu dikuatkuasakan dalam satu-satu situasi, Ayamelah orang yang akan diserahkan tanggungjawab mencantas kepala penjenayah itu. Ia meski dilakukan dengan akar undang-undang Kod Kogen yang dipersetujui ramai, menggelapkan hati pelakunya. Jika mula hayunan pedang mencantas itu terlalu berat, namun bila dilakukan berulang kali, ia menjadi ringan dan melalikan, pelakunya menjadi kebas dan terbius dari ihsan dan kasihan. Dan natijahnya bila disedarkan dengan hakikat bahawa dia tidak akan tertewaskan, dia akan mula lupa. Kemanusiaan terhakis. Dan mabuk darah akan menguasai. Buktinya telah nyata di depan mata. Perang yang penuh berdarah di tengah-tengah Nakasendo dan Yokuma itu adalah kenyataan.
Apakah aku harus membunuh Ayame? Soal Ryouji dalam hati. Mengapa aku harus berbolak-balik sekarang, sedangkan arahan Maharaja dan Koichi sudah amat jelas. Aku tiada pilihan. Bahkan Ayame cukup berbahaya. Jika dia dibiarkan hidup, dia akan memerangi Maharaja sekali lagi. Lihatlah apa yang telah berlaku di Nakasendo dan Yokuma.
“Engkau tahu kenapa aku membawamu ke sini?”
Ryouji tidak menjawab.
“Kerana andai kau mati di tanganku, senang aku bawakan mayatmu ke Kogen. Jalan pintas ke Kogen hanya portal pada bulatan batu-batu itu.”
“Dan bila sampai di Kogen, aku akan gantungkan mayatmu sebagai pengajaran kepada semua. Aku akan kuasai Kogen dan lancarkan perang ke atas baginda lagi.”
Tidak syak lagi, Ayame pasti akan membunuhku, bisik Ryouji.
“Ayame-san, engkau tahu apa arahan Maharaja dan bapamu kepadaku? Pastikan engkau dibunuh.”
“Sou, jadi cubalah.” Pertarungan masih hangat, dentingan pedang mengisi bening lembah yang tiada kehidupan itu. Dalam diam Ayame dirundung kepiluan dan menyoal dirinya, apakah bapanya begitu membencinya kerana ramalan Kaisenjyo itu?