Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 33

Selepas rakannya itu berlalu, tidak lama kemudian seorang pemuda memakai baju haori dengan corak burung sagi melalui jalan yang sama.

 

Oi bijin (perempuan cantik).” Tegur lelaki itu.

 

Sae tersentak, wajah dipaling.

 

Seorang lelaki berbaju haori dengan corak sagi muncul di hadapannya. Dia tidak tahu mengapa baju lelaki itu bercorak sagi, hidupnya sejak lahir hanya di sini bergelumang dengan padi dan pacat.

 

Lelaki itu tersenyum sebaik Sae memandangnya, namun seperti ada sinis dapat dibaca dari raut senyum itu. Agak biadap, fikir Sae. Menegur aku begitu, apakah lelaki ini jenis pengurat atau hidung belang?

 

“Apa yang boleh kubantu wahai pemuda?” Soal Sae penuh sopan, diiringi tunduk hormat. Lelaki itu mengusap-usap dagunya dengan mata tidak lekang merenung sambil senyum sinis, barangkali terpesona dengan keayuan dan kesopanan Sae.

 

“Ehem. Aku dengar engkau perlukan rawatan untuk ibubapamu?” Tebak lelaki itu.

 

Nande kyuu ni (mengapa tiba-tiba sahaja), getus Sae. Dan bagaimana dia tahu?

 

“Ya.” Jawab Sae pendek.

 

Aku menjawab ya, kerana aku mahu mendengar jawapannya dahulu dan menilainya kemudian. Mungkin jalan pintas, mungkin jalan yang berliku, namun pastinya jalan yang memberikan harapan baru buat kami. Dan aku mahu menilai jawapan itu agar aku boleh mempercayainya, kerana aku tidak mahu harapan palsu. Aku tidak mahu mengejar yang tidak pasti sedang keciciran apa yang sedang aku miliki, dan aku masih menduga entah siapa entah gerangan lelaki ini yang tiba-tiba sahaja datang ke kampungku, bahkan tahu pula penderitaan kami!

 

Sae merakam penampilan lelaki itu. Dia pendek sedikit dari dirinya, kurus, dan berkulit cerah namun nampak cergas seperti seorang petarung. Dia hanya berjalan kaki dan memakai topi kon, dan di balik haori bercorak burung sagi itu dia memakai kimono dan umanori warna kelabu. Kainnya nampak mahal, seperti kaum pedagang. Apa yang didagangkannya pasti barang lumayan, seperti candu, seperti teh, seperti sutera. Atau mungkin pemerdagang gadis?

 

“Nah, ada borang perlu diisi. Jika engkau ada adik atau kakak, boleh ajak mereka sekali. Jika kau bersetuju, isi borang ini, dan tunggu aku di sana dalam tiga hari dari sekarang.” Katanya, sambil sebelah tangan mengunjuk ke arah sebatang pokok sakura yang sudah tiada bunga namun dipenuhi daun baru dan sebelah tangan lagi menghulur segulung surat kepada Sae.

 

“Mengapa kami perlu mengisinya? Apa kaitan dengan rawatan ibubapaku?”

 

Bijin, jika engkau mahu mereka dirawat, engkau perlu bekerja dengan kami. Jika kau ada adik atau kakak, jemput mereka sekali bekerja denganmu.”

 

“Kerja? Di mana?” Soal lanjut Sae.

 

“Osaka.”

 

Jauhnya! Bisik keras Sae dalam hati. Mulutnya melopong. Dia pernah membaca di perpustakaan Saori berkenaan Osaka namun tidak pernah melihatnya. Osaka yang dibacanya itu ada kubu besar yang dikelilingi parit-parit. Osaka juga ada pekan-pekan yang besar dan barangan dari negara luar. Di sana ada orang Belanda. Bagaimana rupa orang Belanda? Aku dengar dan membaca, bahawa orang Belanda tinggi-tinggi, pakaian mereka lain, hidung mereka besar, badan mereka tinggi. Namun itu hanya imej dalam gambar dalam buku itu. Aku mahu melihat mereka dengan mata kepala juga. Dan bahasa kami di Osaka juga berlainan bunyinya. Loghatnya aneh. Apakah aku boleh bertahan di sana?

 

“Mengapa ke sana? Apa kerja kami di sana?”

 

Lelaki itu menghampiri Sae dan berbisik perlahan, “Pelayan wanita kelas tinggi.”

 

Oiran?”

 

“Ya, oiran.”

 

Sae serba salah. Dia tidak pandai selok-belok menjadi oiran. Namun pendapatannya lumayan, dia maklum itu juga dari pembacaan di perpustakaan Saori. Dia juga maklum oiran tidak semestinya perlu meniduri pelanggan, dia maklum risiko itu namun pendapatan lumayan lebih mengaburi. Ini peluang yang tidak boleh dipersiakan. Dia tidak pernah menerima tawaran begini tiba-tiba. Tidak pernah juga dia keluar dari kampung ini. Tidak pernah juga orang luar datang sehingga ke ceruk di sini. Dia hanya hidup dengan padi dan pacat. Namun kini padi dan pacat dikaburi pandangan berkenaan Osaka. Dan lelaki ini seolah-olah kami yang baru menyampaikan khabar dari langit.

 

“Apakah aku akan dilatih?”

 

Mochiron (Sudah pasti). Kami ada pelatih khas.”

 

“Siapa namamu? Engkau dari mana?”

 

“Maaf lupa memperkenalkan diri. Aku Nakanishi Suneo. Wakil dari Syarikat Keihin.”

 

Syarikat Keihin?

 

Lelaki itu, Nakanishi, menghulurkan kad perniagaannya. Sae mengamati kad itu seketika dan yakin ia sahih, sekurang-kurangnya dengan pengetahuan yang diraih dari buku-buku di perpustakaan Saori itu.

 

“Bagaimana engkau tahu berkenaan sakit ibubapaku?”

 

“Adalah.” Jawab Nakanishi selamba. Sae mula mencurigainya.

 

“Jika benar, apa sakit mereka?” Duga Sae dengan tegas dan merenung Nakanishi yang pendek itu.

 

“Ibu bapamu sakit pada kaki bukan?”

 

Melopong mulut Sae mendengarkan rinciannya.

 

“Kami boleh menghantar mereka ke tempat rawat. Kami ada ramai tabib pakar dan mereka pasti akan disembuhkan. Tapi syaratnya, engkau mesti tandatangan borang persetujuan itu dan tunggu kami di bawah pokok sakura itu, tiga hari dari sekarang. Hanya selepas itu, kami akan uruskan penghantaran ibu bapamu ke tempat rawat. Dan engkau akan terus kami hantar ke Osaka untuk kerja itu.”

 

Sae kembali berbolak-balik, matanya memandang tanah bendang. Hatinya masih condong kepada sawah padi yang terbentang luas milik keluarganya. Jika dia meninggalkan kampung ini, tiada sesiapa lagi yang akan menguruskannya.

 

“Nakanishi-san, tawaranmu lumayan. Namun aku tidak boleh meninggalkan kampung ini. Kami ada sawah padi yang perlu diuruskan.”

 

“Jika engkau bekerja dengan kami, ibubapamu akan sembuh dan engkau akan memperoleh pendapatan yang lebih besar dari sawah padi ini. Bahkan pendapatanmu sebulan boleh mencecah sepuluh kali ganda pendapatan dari sawah padi ini selama setahun.” Nakanishi menambah jarum-jarum.

 

Mata Sae membulat. Apakah tawaran lelaki ini boleh dipercayai? Ah, aku tidak ada masa untuk memikirkan semua itu. Kad perniagaan yang dia berikan padaku ini pun sudah memadai demi memastikan kesahihan identitinya. Lagipun dia nampak seperti pedagang, dengan kain mahal pakaiannya. Jika dia ada bisnes yang sahih, pasti dia juga boleh merawat ibu bapaku. Lagipun aku sudah terlalu penat. Mereka sudah sakit hampir setahun. Dan aku tidak boleh melakukan perkara lain selain merawat mereka. Aku sudah terlalu penat.

 

Sae mengangguk. Lelaki itu berlalu pergi sambil bersiul-siul. Itu kisah kelmarin. Sae memberitahu Sumire dahulu. Sumire yang masih anak-anak dan naif hanya bersetuju, pada fikirannya Sae akan membawa dia mengembara di luar, tempat yang tidak pernah dia pergi, jauh dari kampung ini. Sae pun sudah banyak bercerita akan kota-kota di luar tika sebelum tidur malam hari. Pastinya Sumire teruja pabila kesempatan itu bertandang menjadi kenyataan. Kisah-kisah dari Sae menjadi mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan, barangkali.

 

Sae membisik pada Shiori yang masih dipeluknya. “Esok dia akan datang mengambil kita.”

 

“Apakah Sumire akan mengikut kita juga?”

 

“Aku sudah beritahu Sumire. Dia juga setuju.”

 

“Namun Sumire terlalu muda, nee-chan. Dia baru lapan tahun.”

 

“Sumire akan dijadikan perantis jika umurnya muda. Engkau pun masih muda Shiori, engkau masih lima belas tahun umurmu. Engkau akan dijadikan perantis dahulu.”

 

Sou ka.”

 

“Hanya mereka yang berumur enam belas tahun ke atas akan diserap masuk menjadi oiran selepas tamat latihan.”

 

Sae membisik dalam hati.

 

Saat itu, aku masih merahsiakan pada Shiori yang naif, akan realiti sebenar menjadi oiranOiran mungkin akan dipaksa meniduri pelanggannya. Aku tahu, ada oiran yang tidak perlu melakukannya, namun ia bukan jaminan, kerana aku tidak tahu apa dasar yang dikuatkuasakan Syarikat Keihin kepada pekerjanya. Aku tahu aku mementingkan diri, aku membawa sekali Shiori dan Sumire agar aku tidak berseorangan di sana. Namun aku juga bimbang mereka tinggal hanya berdua di kampung ini tanpa otou-san dan okaa-san, lebih baik sahaja ikut aku ke Osaka.

 

Aku tidak terfikir perkara jelik berkenaan pekerjaan ini bakal terbongkarkan kepada Shiori begitu mudah sekali, oleh Ryouji dan rakannya dari Kogen kelak. Namun hanya ini jalan dan kesempatan yang terbuka untukku saat itu, demi otou-san dan okaa-san dan Shiori dan Sumire. Kami telah berhabis banyak wang simpanan otou-san untuk rawatan mereka, namun disebabkan rawatan-rawatan itu dilakukan selepas penyakit itu melarat, semua tabib tidak dapat melakukan apa-apa. Hanya ini jalan yang tinggal, tanpa mengeluarkan wang lagi, demi merawat mereka. Harap ia berhasil.

 

Aku juga memilih jalan ini demi diriku, kerana aku sudah penat dengan semua ini, dengan nasib yang menimpa kami dan terperangkapnya aku di kampung ini. Aku bimbang andai aku penat dan berterusan penat, aku akan menjadi gila. Dan andai aku gila, aku bimbang andai aku tidak lagi menjadi diriku. Aku kenal baranku. Aku tidak pasti apa yang akan aku lakukan pada otou-san dan okaa-san jika keadaan terlalu menekan. Sebelum semua ini melarat, aku mahu meninggalkan kampung ini. Biar aku serahkan sahaja otou-san dan okaa-san kepada tabib.

 

Malam itu Sae memberitahu ibu dan bapanya.

 

Otou-san, aku sudah bertemu tabib yang boleh merawatmu. Esok mereka akan tiba di sini mengambilmu dan okaa-san.”

 

“Benarkah? Bagaimana engkau menemuinya?”

 

“Rakanku di perpustakaan kampung memperkenalkan.” Bohong Sae.

 

Sumire dan Shiori berada di sisi ibu mereka yang sedang terlantar kerana demam. Cahaya pelita berolak-alik dan bayang-bayang mereka meliang-liuk seperti ular dipalu.

 

“Syukurlah. Apa bayaran kepada tabib itu?” Soal Takatori.

 

“Kami bertiga perlu bekerja dengannya.” Jawab Sae terus terang. Raut wajah Takatori berubah kelam.

 

“Maksudmu, kalian perlu meninggalkan bendang ini? Dan meninggalkan kampung ini?”

 

“Ya, otou-san.”

 

“Aku tidak akan terima rawatan itu. Aku lebih rela mati dari melepaskan kalian!”

 

Otou-san, kiite (tolong dengar). Jika engkau dan okaa-san sembuh, kalian akan dapat bekerja seperti sebelum ini, mengusahakan sawah-sawah itu.”

 

“Dan jika kalian pergi meninggalkan rumah ini, bagaimana dengan sawah-sawah itu? Siapa yang akan menguruskannya?”

 

“Aku tidak tahu, otou-san.” Sae menggetap gigi. “Sungguh aku tidak tahu.” Dia mengulang seperti mahu menegaskan namun dengan cara lembut. Selagi boleh dia tidak mahu didesak lagi menjawab soalan itu. Ini kerana dia sudah dapat mengagak soalan itu pasti akan ditanya bapanya tanpa berjawab kerana dia sendiri tiada jawapannya, namun keadaan sekarang tidak sepatutnya menumpu pada soalan begitu. Kesihatan bapanya dan ibunya lebih harus diutamakan dari bendang-bendang itu, juga kesihatan mental Sae sendiri.

 

“Sae, apakah engkau telah fikirkan masak-masak keputusanmu?”

 

Sae hanya diam.

 

“Engkau telah selidik dahulu apa pekerjaanmu? Siapa mereka yang mencadangkan perkara itu kepadamu? Atau mereka penculik gadis yang akan dijual sebagai pelacur?”

 

Sae masih diam, tangannya menggigil kerana bimbang mungkin bapanya sudah dapat menghidu pekerjaan sebenar yang ditawarkan. Kemudian sebelum bapanya membuka mulut, barulah dia bersuara,

 

Otou-san. Pekerjaan itu lumayan. Gajinya sebulan mampu membeli kembali tanah bendang baru sepuluh kali ganda luas bendang yang kita ada. Kita boleh lupakan dahulu bendang sini.”

 

“Apa pekerjaanmu?”

 

Sumire dan Shiori cuba membuka mulut, namun ditenung Sae setajamnya. Mereka menggetap bibir masing-masing, ketakutan dan menundukkan wajah.

 

“Mereka tidak memberitahuku kerana ia rahsia syarikat. Akan tetapi dari kad perniagaannya, lelaki itu boleh dipercayai. Dia bahkan memakai kimono yang mahal, barangkali ahli perniagaan.”

 

“Engkau tidak boleh keluar dari sini, adik-adikmu pun. Aku tidak akan benarkan. Jika tidak sawah-sawah itu tiada sesiapa yang akan uruskan.” Tegas Takatori dalam memberi kata dua.

 

“Bukankah telah aku katakan kita boleh membeli sawah baru nanti dengan gajiku?”

 

“Aku tidak mempercayai orang yang kau temui itu. Barangkali penipu. Lebih baik pertahankan apa yang kita ada di sini dari mengejar apa yang tidak pasti.”

 

Sae tersentak. Kata-kata bapanya itu seolah menarik kembali pegangan dirinya yang kian tenggelam ke jurang akal ditolak tawaran lelaki asing yang datang tempoh hari. Namun memandang kaki bapa dan ibunya yang membengkak sekian lama dan mengenang dirinya yang sudah penat dan terpenjara dengan semua ini, dia hanya memikirkan satu perkara sahaja: dia mahu melarikan diri. Walau apa yang menanti di Osaka atau di mana sahaja, dia mahu menuju ke arahnya dan melupakan kehidupan di sini. Persetankan semuanya. Apa yang penting, otou-san dan okaa-san mesti dirawat. Persetankan bendang ini.

 

“Persetankan sawah-sawah itu!” Tengking Sae tidak semena-mena. Sumire dan Shiori menganga. Ibu mereka terbeliak mata di perbaringan. Tidak mereka sangka Sae boleh menjadi begini marah sekelip mata. Apakah Sae sedang meletup kerana sudah lama menyimpan rasa jelak menjaga mereka yang terlantar hampir setahun itu?

 

“Kesihatan kalian lebih utama. Persetankan sawah dan semua ini. Otou-san, esok kereta kuda akan mengambil kalian dan kalian mesti bersetuju malam ini juga!” Sae lagi membentak dan mendesak. Sumire dan Shiori masih menganga macam batu.

 

Sae berjalan laju keluar dari rumah. Jamung yang menerangi menghasilkan bayang panjang menjulur ke dalam rumah kala dia keluar.

 

“Anak kita dah jadi kurang ajar...” Gumam Youko seperti sedang mengigau di perbaringannya, mata separa terkatup. “Apalah salah kita dikenakan karma begini...apalah salah kita di kehidupan yang lepas. Sudahlah ditimpa sakit, dan anak kita bakal meninggalkan kita...” Sambung Youko dengan suara lemah.

 

Esoknya, kereta kuda datang ke depan rumah mereka. Mulut Youko dan Takatori menyumpah-nyumpah Sae kala dibawa masuk ke dalam kereta kuda oleh beberapa pemuda, untuk dibawa ke rumah rawat. Sae memandang dengan pandangan kaku dan bersahaja.

 

“Anak derhaka! Anak tak kenang budi!” Herdik mereka dengan suara lemah dan mengumat-kamit, mengulang-ulang seperti sami Buddha menyanyikan lagu monoton dalam upacara keagamaan mereka. Namun segala cercaan itu menampar Sae seperti angin lalu, tiada kesan.

 

Ini demi kebaikanmu, otou-san, okaa-san. Usah kalian berdegil lagi. Keengganan kalian merawat di peringkat awal kerana terlalu percaya dengan kepercayaan karut kalian akan “penyakit nak keluar, biarkanlah, tabib sekadar menerukkan lagi keadaan,’’ aku ingat kata-kata degil itu. Kata-kata degil itu telah memakan diri kalian sendiri. Sudah beberapa kali aku nasihatkan agar bertemu tabib di peringkat awal namun kalian berdegil, sehingga kalian terlantar. Silap kalian bukanlah di kehidupan lalu, namun di kehidupan yang kini. Karma itu adalah kerana kesilapan pada kehidupan kini.

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov