Sae menemui Suneo di bawah pokok sakura yang berdaun namun tidak berbunga. Suneo datang bersama sebuah lagi kereta kuda yang akan membawa mereka ke jeti Kisennuma. Kereta kuda itu beroda kayu dan dipacu dua ekor kuda dan dikawal seorang lelaki yang mereka panggil Saiki-san. Kemudian, ada dua orang penunggang kuda lain bernama Takeo dan Shizuo, Shizuo seorang lelaki kulit gelap, bertubuh tinggi dan sasa, dan memakai lilit di kepala mengawal belakang kereta. Sementara Takeo bertubuh gempal dan bermisai tebal, berkawal di bahagian kanan, dan Suneo turut menunggang kuda dan berkawal di bahagian kiri. Suneo, Takeo dan Shizuo masing-masing berpedang. Sae sedikit terkejut melihatkan penampilan Suneo yang agak berlainan hari ini berbanding tika pertemuan mereka tempoh hari, dan lebih mirip kepada penampilan samurai dengan pedang dan kudanya. Sae turut tertanya-tanya mengapa mereka begini ketat dikawal sedangkan kereta ibubapa mereka tidak begitu.
“Nakanishi-san, mengapa begitu ramai mengawal kami? Bukankah lebih baik engkau peruntukkan kawalan begini untuk ibubapa kami?”
“Oh, tidak Sae-chan. Kalian terlalu berharga buat kami. Lagipun ini arahan ketua kami di Osaka. Andai apa-apa berlaku kepada kalian...” Suneo membuat isyarat memotong pada leher.
Sae mengangguk namun keraguan dalam hati belum sepenuhnya dilunturkan. Dia merisaukan adik-adiknya. Dia ada bertanyakan pasukan yang mengambil ibubapanya itu sebentar tadi. Mereka tampak terlatih, mana mungkin mereka menipu. Ah, usah difikir melalut-lalut, bisik keras Sae dalam hatinya. Asalkan otou-san dan okaa-san dirawat sehingga sembuh, aku sudah tidak kisah apapun lagi. Asalkan aku dapat keluar dari kampung ini dan menjadi kaya, tiada apa pun lagi yang perlu dirisaukan.
Kala mereka tiga beradik sudah berada dalam kereta kuda, kereta kuda ibu dan bapa mereka berselisih. Shiori dan Sumire melambai-lambai tangan diiringi esak tangis, begitu juga Youko dan Takatori dari jendela kereta mereka. Namun Sae hanya memandang kaku sambil memeluk tubuh.
Selesai satu masalah, getus Sae. Selepas ini aku bebas. Jika mereka sihat seperti dahulu, mereka akan kembali ke sini mengusahakan sawah itu. Namun aku tidak akan kembali. Kerana duniaku di luar. Aku tidak akan betah tinggal di kampung ceruk ini. Aku mahu hidup di luar dan menjadi kaya-raya, aku mahu melihat semuanya, apa yang telah aku raih dari buku-buku di perpustakaan kampung itu.
Masuk hari kedua, perjalanan mereka kini merentas hutan pergunungan Hidagawa. Pada ketika ini pengintip Kogen sudah melaporkan kepada Takasaki. Takasaki telah menghantar Natsuki dan Hatsuki dari Shinagawa dan Ryouji dan Shinji dari Hidagawa di bawah mandat Kogen bagi menahan rombongan ini dan ‘menyelamatkan’ gadis-gadis yang Sae tidak minta diselamatkan itu. Ini ialah misi pertama Ryouji dan Shinji sebagai latihan persediaan sebelum menyertai Kogen sepenuhnya.
**
Kereta kuda yang membawa Sae dan adik-adiknya dan juga kereta kuda yang membawa ibubapa Sae sudah jauh meninggalkan kampung Yari-mura mengikut haluan bertentangan. Di tengah jalan utama bendang, Saori berdiri di sisi basikal tuanya sedang merenung kereta kuda Sae sehingga ia benar-benar lenyap dari pandangan ditelan hutan dan gunung-ganang Alp Jepun Utara.
Maafkan aku Sae. Hanya ini yang dapat kubantu. Aku tidak ingin melihat engkau menderita berterusan disebabkan ibubapamu. Aku tidak tahu jika engkau suka atau tidak akan cadangan ini. Namun hanya ini yang mampu kulakukan. Tempoh hari Nakanishi-san menghampiriku dan bertanyakan bagaimana untuk mendekatimu kerana dia mahu menawarkan rawatan. Aku bertanya dia bagaimana dia mengetahui tentang ibubapamu. Dia mengatakan dari rakannya. Lalu aku menceritakan kisahmu kepadanya. Dan aku fikir dia bukanlah penipu melihatkan kad perniagaannya yang menunjukkan dia bekerja untuk satu syarikat. Namun aku tidak tahu apa bayarannya yang perlu kaujelaskan.
Sebenarnya, sebelum Nakanishi-san menemuiku hari itu pun aku telah cuba meminta bantuan bapaku yang rapat dengan Kogen untuk merawat ibubapamu, namun bapaku nampak tidak bersungguh dan agak lambat. Maka, hanya ini bantuan yang boleh aku berikan.
Namun aku tetap memberitahu bapaku yang engkau telah menerima rawatan dari Nakanishi-san tanpa pengetahuanmu, kerana aku risaukan engkau, aku syak akan bagaimana engkau membayar Nakanishi-san, pekerjaan apakah yang akan engkau ceburi untuk membayarnya jika dia meminta engkau bekerja untuknya.
Sae, apakah ini bayarannya? Iaitu engkau perlu meninggalkanku tanpa mengucapkan selamat tinggal pun?
Saori mengalirkan air mata. Perasaannya bercampur baur antara kesal kerana menyusun perancangan bersama Nakanishi dan sedih ditinggalkan.
Disebabkan aku mengesyakinya, maka aku turut memberitahu bapaku agar mengusahakan intipan Kogen ke atas Nakanishi. Bapa seperti biasa masih tidak bersungguh, namun mengambilkira aku yang sudah banyak kali mendesaknya sebelum ini, dia berubah fikiran. Harapnya engkau diselamatkan sekiranya pembayaran itu melibatkan sesuatu yang tidak engkau sukai, seperti dipaksa melacurkan diri contohnya.
“Saori. Buat apa? Erk, naiteru no (engkau menangiskah)?” Tiba-tiba suara seorang gadis menegur Sae yang sedang menyeka air mata.
“Oh, Kaho nee-chan. Tak ada apa-apa.” Saori cuba melarikan diri dengan bersedia menunggang basikal tuanya namun ditahan Kaho.
Kaho seorang gadis yang tinggi sedikit dari Saori, dan turut menunggang basikal tua. Rambutnya tocang dua, namun dia tidak memakai cermin mata.
“Saori tunggu. Aku ingin beritahu sesuatu.”
Saori terhenti.
“Nani yo (Apa dia).”
“Tentang bantuan terhadap mereka itu, otou-san akhirnya berjaya mendapat bantuan Kogen.”
“Maji ka... (seriuslah). Hontou maji ka?”
“Hontou.”
“Bantuan bagaimana? Apakah mereka akan menghantar pengintip?”
“Mungkin. Aku tidak pasti.”
“Dan apa yang akan mereka lakukan terhadap bapa dan ibu Sae-chan?!” Suara Saori sedikit membentak.
“Aku dengar Kogen akan membayar balik pampasan kepada kumpulan pemerdagang ini dan akan merawat ibu bapa Sae. Andai kita awal-awal lagi melaporkan kepada Kogen sudah pasti ia tidak akan melarat sehingga jadi begini. Kogen ada sumber baharu sejak dana dari Maharaja diperolehi. Namun kita perlu bersabar kerana mereka masih baru bermula. Jadi agak lambat sedikitlah untuk mendapatkan bantuan mereka. Namun yang pasti bantuan itu ada. Sepatutnya Sae hanya perlu menghubungi Kogen dan Kogen akan mengatur rawatan ibu bapanya.”
Saori menyedari dia lewat meminta bantuan bapanya menghubungi Kogen. Ini kerana hanya selepas sembilan bulan ibu bapa Sae terlantar, barulah Sae membuka ceritanya itupun selepas didesak Saori. Sikap bapanya juga yang endah tak endah dan melambatkan usaha meminta bantuan Kogen menambah teruk keadaan.
“Sebentar, nee-chan. Engkau kata mereka pemerdagang?”
“Oh, engkau tak tahu? Apakah Sae tidak memberitahumu?”
“Tiada. Bagaimana kakak tahu?”
“Aku curidengar perbualan otou-san dengan wakil Kogen kala di bilik bawah tanah kita. Wakil Kogen itu memberitahu dari intipan awalnya, kumpulan itu berkait dengan Daimyo Hamada. Nampaknya kumpulan itu telah lama diintip Kogen. Usah kaurisau Saori. Rakan kau itu pasti akan diselamatkan Kogen.”
Saori merasa serba salah seraya memecut basikal tuanya meninggalkan Kaho terpinga-pinga di tengah jalan bendang itu. Kaho tidak mengerti apa-apa. Tidaklah dia mampu menaksir graviti perasaan bersalah yang sedang menekan bahu Saori kala itu.
**
“Saiki-san, engkau ke depan dahulu, biar kami bertiga uruskan budak ini.” Arah Shizuo, lelaki berkuda dan berbadan sasa, tinggi, kulit gelap dan memakai lilit di kepala itu.
“Ryoukai-desu!” Balas pengendera kereta kuda yang bernama Saiki itu seraya mengerahkan kuda-kudanya memecut ke depan.
Laluan berkerikil yang dilalui kereta kuda itu kini dilindung bayang-bayang pokok sugi yang semakin banyak. Ia bahagian Nakasendo yang menganjur sehingga ke jeti Kisennuma. Kuda mereka tiba-tiba terhenti, kaki hadapannya masing-masing terangkat, mereka berteriak seolah ditahan sesuatu.
Saiki cerlang mata. Di hadapannya berdiri dua orang lelaki, seperti dalam lingkungan remaja, berkulit cerah, mereka masing-masing berkuda dan berpedang, kuda ditambat pada pokok. Mulanya Saiki menyangkakan mereka perempuan melihatkan wajah mereka yang putih dan tiada misai dan janggut, namun mendengarkan mereka berkata-kata, sangkaan Saiki meleset.
“Kami dari Kogen. Serahkan kereta kuda ini kepada kami.” Salah seorang dari remaja lelaki itu memberi kata dua.
“Saiki-san doushita no?” Sae menyoal dari langsir belakang Saiki.
“Kogen.”
“Kogen? Mengapa mereka menahan kita?”
“Mereka fikir kami akan memperdagangkan kalian?”
“Ha?”
“Memperdagangkan... apa maksudmu?” Soal Shiori yang terdengarkan perbualan mereka. “Bukankah kita akan bekerja sebagai oiran?”
“Aku tidak tahu. Kerjaku hanyalah menghantar kalian. Selebihnya kalian tanyalah sendiri pada tiga orang yang berkuda di belakang itu.”
“Jadi, yang menahan tiga orang berkuda itu juga Kogen? Maksudku remaja lelaki yang sedang bertarung di belakang itu?” Soal Sae.
“Barangkali.”
“Saiki-san, lepaskan salah seekor kudamu.” Pinta Sae.
“Untuk apa?”
“Aku ingin lakukan sesuatu. Harap selepas ini perjalanan kita lancar. Bantu aku, Saiki-san.”
Saiki teragak-agak. Renungan Sae tidak mampu dibalasnya. Dia akur. Mungkin Sae ada solusi segera. Dia pun mahu kemelut ini segera diselesaikan kerana dia mahu pulang bertemu bini dan anak di Kisennuma. Kerjanya hanyalah menghantar mereka ke jeti Kisennuma dan tidak lebih dari itu.
Saiki melepaskan ikatan pada salah seekor kuda, dan dia menunggangnya. Kemudian dia menarik Sae ke atas pelana membolehkan dia membonceng. Saiki berpesan kepada dua orang remaja itu agar memerhati kereta kudanya, kerana dia mahu ke belakang sebentar.
Salah seorang remaja yang menahan kereta itu berbisik pada rakannya, “Boleh pula dia meminta kita menjaga kereta kudanya? Hah. Apapun kita tetap akan rampas kereta ini kerana Kogen telah memberi arahan.”
Sumire dan Shiori terpinga-pinga. Shiori tidak mahu berdiam diri, dia mahu merungkaikan persoalan yang bercangkaliwang dalam kepala, lantas menegur salah seorang dari remaja lelaki itu. “Siapa namamu?”
“Hatsuki.”
“Dan kamu?” Shiori beralih pandang kepada seorang lagi.
“Natsuki.”
“Aku Takatori Shiori. Mengapa kalian menahan kami?”
“Kerana arahan Kogen.”
“Bukan, aku ingin tahu, apa yang mereka ini akan lakukan ke atas kami sehingga Kogen meminta menahan kami?”
“Kalian tidak tahu? Kalian akan dilacurkan!” Natsuki memberikan jawapan yang telus dan tidak berlapik, memeranjatkan Shiori.
Nee-chan tak pernah memberitahu kepadaku perkara ini. Nee-chan, nee-chan, nee-chan... apa yang telah kausembunyikan selama ini? Apakah ini bayaran demi merawat otou-san dan okaa-san. Shiori tergagau. Matanya membulat merenung tanah dari atas kereta kuda. Dunianya berpusing. Tekaknya terasa pahit. Pandangannya berpinar-pinar. Oiran? Nee-chan memberitahuku kami semua akan direkrut sebagai oiran, iaitu pelayan wanita kelas tinggi.
“Jadi oiran itu pelacurkah?”
“Kebanyakan oiran ialah pelacur kelas atasan. Engkau sanggupkah digaji untuk meniduri lelaki?” Terang Natsuki lagi.
Jantung Shiori berdebar-debar. Bagaimana harus dia berhadapan dengan kakaknya selepas ini? Apakah harus dia memarahi kakaknya itu? Dia tidak terdetik bertanya lanjut kerana berdasarkan kakaknya, oiran diberi gaji yang besar dan hanya perlu menghidang teh dan bermain alat muzik kepada pelanggan. Bahagian hitam kerja-kerja oiran tidak pernah didedahkan kakaknya. Dan Shiori tidak pula menyelidik dahulu sebelum menyertai kakaknya, kerana dia mempercayai kakaknya. Namun selepas mengetahui semua ini, apakah dia harus tetap di sini atau lari sahaja? Tidak, bagaimana dengan Sumire? Aku perlu membawa Sumire lari bersama. Sumire masih terlalu muda. Nee-chan mungkin sudah gila, gila.
“Namun aku syaki mereka menipu engkau Takatori-san. Mereka pemerdagang karayuki sebenarnya, didalangi Daimyo Hamada Yoshitsugu. Kalian akan dilacurkan dan diperdagangkan sehingga ke luar Jepun. Itu yang sebenarnya mereka lakukan. Sudah ramai yang dijual ke luar negara dan tidak pulang-pulang lagi ke sini. Karayuki lebih mengerikan dari menjadi oiran. Sudahlah dibayar murah, engkau tidak akan dapat pulang ke sini melihat ibu bapamu lagi.” Terang Hatsuki pula.
Shiori hilang kata-kata. Terlalu banyak kejutan diterimanya sehingga tidak terhadam dek minda, tidak terjangkau dek jiwa. Dia bersandar lesu pada dinding kereta kuda. Sumire pula tercengang kerana tidak memahami apa-apa. Dia hanya merenung Shiori yang sasau.
“Nande nee-chan?” Soal Sumire.
Shiori seolah tidak mendengar soalan Sumire. Matanya membulat dan mulutnya menganga. Dia seolah sedang mati dengan mata terbuka. Jika dicucuk wajahnya pun dia tidak akan menyahut saat itu.
**
Sae dan Saiki kembali ke kereta kuda mereka. Usai mengikat kembali kuda pada tali penarik kereta, Saiki terdengar bunyi detakan kaki kuda dari belakang. Dia menoleh mendapati Suneo, Takeo dan Shizuo berkuda ke arah mereka. Ryouji di belakang mereka sedang melutut di atas jalan kerikil berdebu, mungkin sudah ditewaskan, atau mungkin pertarungan mereka telah dihentikan Sae.
“Habis kita Natsuki. Mereka bertiga. Dan aku tidak yakin aku boleh menewaskan yang paling tinggi dan sasa dengan kepala berikat itu.” Kata Hatsuki kepada rakannya.
“Kalian aku nasihatkan kalian beredar dari sini.” Nasihat Saiki kepada dua remaja dari Kogen itu.
Sae menambah pada nasihat Saiki, dari jendela belakangnya, “Kalian, aku sudah berunding dengan rakanmu di belakang sana. Aku yang merelakan diri mengikut mereka ini. Jadi, usah campuri urusanku dan beredar segera.”
“Natsuki, aku fikir baik kita berundur saja. Ryouji pun sedang cedera di belakang sana. Bukankah perancangan asal kita menahan kereta ini hanya jika Ryouji berjaya menewaskan mereka? Namun mereka tidak ditewaskan pula.” Ujar Hatsuki dengan nada kesal.
Natsuki berfikir sejenak. Andai dia tidak menjayakan misi ini, tiada apa-apa yang merugikannya. Dia sudah pun menjadi pekerja Kogen dan berpangkalan di sebuah rumah perlindungan dalam Wilayah Shinagawa. Tiada kenaikan gaji mahupun pangkat dijanjikan dari menjayakan misi ini, juga tiada penalti dalam kerjayanya jika dia gagal. Kami hanya diminta menahan kereta kuda ini oleh Takasaki-san dan menariknya keluar dari laluan ini andai Ryouji menewaskan mereka. Andai Ryouji tidak mampu melakukannya, kami harus lepaskan sahaja kereta ini dan pasukan lain di jeti Kisennuma akan menyambung misi ini.
“Jyama shina (ke tepi)!” Tengking Shizuo, lelaki paling tinggi dan sasa, berikat di kepala dan menghunus pedang di atas kuda ke arah Natsuki dan Hatsuki. Jantung mereka hampir luruh mendengarkan suara yang dalam dan garau itu bergema dalam hutan sugi ini.
Hatsuki dan Natsuki akur seraya berpatah balik ke arah kuda mereka yang diikat. Dalam hati mereka perasaan gerun menjalar. Suara lelaki sasa itu besar dan dalam, seperti seorang samurai yang cukup berpengalaman. Usianya dalam sekitar empat puluhan. Wajahnya kasar dan berurat-urat pabila dilihat dari jarak dekat.
“Engkau takutkah Natsuki?”
“Engkau tak takut?” Natsuki memulangkan kembali soalan itu kepada Hatsuki.
“Takut juga. Andai Kogen memaksa kita menjayakan misi ini, apakah engkau akan teruskan pertarungan?”
“Ya, pastinya. Namun aku mengikut arahan Takasaki, usah diteruskan pertarungan andai Ryouji gagal menewaskan mereka.” Jelas Natsuki.
“Engkau kenal siapa budak Ryouji itu?” Soal Hatsuki.
“Dia pewaris Okuhida, anak Mitsuo, pencipta seni kaminari-no-kaze.”
“Hmm. Andai Okuhida pun tidak mampu menewaskan mereka, mana mungkin kita.” Tambah Hatsuki.
“Tapi aku nampak tadi, dua lelaki yang berkuda mengiringi lelaki paling tinggi dan sasa itu semacam menahan sakit pada wajah mereka. Sekali-sekala aku lihat mereka memegang kaki mereka.”
“Bererti Ryouji mungkin sudah berjaya mencederakan mereka. Agak menakjubkan untuk misi pertama.” Ulas Hatsuki.