Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 20

Onii-san, kita akan berpindah lagikah?” Soal Hisamiko. Ryouji tidak hairan dan sudah mengagaknya kerana dia sedar Hisamiko curi-curi mendengar perbualannya dengan Tokizawa sebentar tadi.

 

“Hmm. Kita mungkin tidak akan pulang ke sini lagi.”

 

“Ke Prussia di Eropah? Apa ada di sana?”

 

“Entahlah. Mungkin di bumi sejauh itu, kita dapat melupakan kisah-kisah perit di sini. Hidup di negara asing yang lebih aman dan tenteram.”

 

“Bagaimana dengan makan di sana? Apakah di sana ada nasi dan ikan saba?”

 

“Aku fikir tiada, jika ada pun harganya pasti mahal kerana diimport. Budaya mereka juga berlainan. Mungkin mirip orang-orang Belanda yang gemar makan roti dan daging itu.”

 

“Namun apakah onii-san berfikir semasaknya? Bagaimana dengan nyawa Kiku nee-chan yang masih belum dibela? Apakah onii-san sanggup membiarkan ia berlalu begitu sahaja?”

 

Ryouji selagi boleh tidak mahu memikirkannya buat sementara waktu. Namun Hisamiko telah membangkitkannya. Bukan dia tidak mahu membawa ke mahkamah, mahkamah di sini korup. Dia mahu mencari Tatsuya dan menghukum dengan tangan sendiri, namun dia tidak pasti apakah dia didorong dendam atau keadilan undang-undang. Yang kedua itu ialah rasa yang jelas muncul tatkala dia menumpaskan Hamada. Namun ia tidak lagi sejelas ketika itu, sekarang. Sekarang, rasa dendam lebih menyerlah dan menguasai benak. Dengan dendam di dada, amarah membakar, dan hidup akan senantiasa gelap selepas itu kerana awan-awan mendung tidak akan lagi beredar dari langit. Engkau tidak akan mampu menjalani hidup dengan aman. Engkau telah menyerah diri pada amarah sendiri. Maka apa lagi makna yang tinggal? Hidup yang menyusul selepas itu adalah sesalan. Engkau akan mengulang perbuatan sama dipandu jiwa yang sudah rosak, tembok pertahanan diri yang sudah diruntuhkan tidak mampu dibangunkan kembali.

 

Aku fikir aku akan menolak tawaran Tokizawa. Mungkin aku harus bertahan di sini sehingga jiwaku tenteram dan aku menangkap Tatsuya dengan jiwa yang tenteram yang bukan didorong oleh rasa dendam.

 

**

 

 

Selepas Tokizawa berpindah ke luar negara, Ryouji dan Hisamiko masih kekal di Gero. Mereka enggan mengikut Tokizawa. Hisamiko menyambung kerjanya sebagai tenaga pengajar selepas urusan kematian Kiku selesai.

 

Sudah seminggu keluarga Tokizawa meninggalkan rumah mereka untuk berhijrah ke Eropah. Lengang di sekitar. Rumah mereka dikosongkan dan Tokizawa telah berpesan agar membakar rumah itu. Yang ada cuma kucing-kucing mereka. Ryouji telah berjanji dengan Tokizawa untuk menjaga kucing-kucing tersebut sehingga dia bertemu seseorang yang sudi menjaganya.

 

Hisamiko saban hari ke pekan Gero, kini bekerja sebagai tenaga pengajar tetap Kogen. Sedang Ryouji seperti biasa sibuk dengan kerja-kerja di bendang. Ryouji mengambil masa melupakan Kiku. Dalam masa-masa senggang dia mula merancang sesuatu di luar pengetahuan Hisamiko. Ketika Hisamiko sibuk mengajar, dia ke pekan Gero menampal poster-poster demi menjayakan perancangannya.

 

Ryouji akhirnya bertemu individu yang sudi menjaga kucing-kucing tersebut. Berat hati melepaskan mereka, terutama Kuneko, kucing yang paling disayangi yang berwarna oren itu. Namun dia harus bersedia. Dia tidak boleh meninggalkan apa-apapun di sini demi perancangannya. Dia harus bersedia meninggalkan tempat ini.

 

Ryouji menyedari sedikit demi sedikit dia mula menyimpan dendam terhadap Tatsuya. Dahulu, kematian bapanya mendorongnya menumpaskan Hamada. Namun pada mulanya ia hanyalah dendam. Selepas peristiwa dia bertembung Sonzaemon di Furukawa, ia bertukar kepada keinginan menegakkan undang-undang dan bukan lagi kerana amarah. Ryouji berjaya membendung amarahnya dan menumpaskan Hamada, demi undang-undang.

 

Namun kematian Kiku berbeza. Ryouji tidak pasti mengapa. Setiap kali dia memikirkan Kiku, setiap kali itulah keinginannya menuntut bela nyawanya datang menerjah. Bukan kerana ingin menegakkan undang-undang seperti di Yokuma dan Kobe, atau Naraijuku, namun kerana amarah semata.

 

Ryouji berusaha melupakan dendam terhadap Tatsuya. Dia akan menangkapnya dan membawanya ke Kogen untuk dibicarakan.

 

Disebabkan itu dia harus melakukan sesuatu. Dia harus keluar dan melakukan misi-misi. Sendiri. Tanpa Kogen. Mencekup pelaku onar dan membiarkan Kogen sendiri mengambil tindakan. Inilah perancangan Ryouji yang cuba dicapai dengan mengiklankan diri menggunakan poster-poster di pekan Gero itu.

 

Dengan terisi masanya dengan perkara begini, Ryouji berharap dia masih kekal di landasan yang betul, dan bukan dikuasai amarah terhadap Tatsuya. Tatsuya pasti akan ditangkap, namun dia hanya akan ditangkap pabila Ryouji sendiri mengawal dirinya, sepertimana yang telah dilakukan terhadap Hamada. Itulah yang dirancang Ryouji.

 

Tatkala amarah dibendung, berlalulah awan mendung.

 

Nampaknya pesan bapanya itu masih relevan, meskipun sumpahan hayabusa itu telah berakhir. Ryouji bertekad untuk berpegang dengan pesan bapanya. Hanya dengan pegangan ini, dia dapat mengelakkan dirinya dari terjerumus ke gaung kegelapan dendam, dan menjadi seperti Kobato, Tatsuya, Tsugiyama, Hamada dan Sonzaemon.

 

**

 

Dek risaukan abangnya di rumah kala dia sibuk mengajar, Hisamiko telah mengupah seorang wanita membersihkan rumah dan memasak untuk Ryouji, dan melihat-lihat sekiranya Ryouji memerlukan pertolongan.

 

Dalam hari-hari seterusnya, Ryouji masih kemurungan. Dia semakin murung berbanding ketika di awal hari-hari kematian Kiku, barangkali ia kemurungan tertangguh yang mana ia boleh melarat jika mangsanya dibiarkan kerap berseorangan. Dia hanya tidur dan kurang sekali menjamah makanan. Jika terjaga, dia hanya berbaring dan merenung bumbung dan menangis. Bilamana Hisamiko pulang, dia akan menutup wajahnya laju-laju dan berpura-pura tidur jika sedang menangis. Jika tidak menangis, dia hanya tidur dan berbaring, seolah mati dalam jaga.

 

Hisamiko sedar dia juga pernah begitu selepas kematian Tsuneki. Namun pabila memikirkan keadaan abangnya berlanjutan sehingga tiga bulan, dia mulai risau. Tiada perkembangan baru, tiada perubahan yang positif, hanya datar dan sama setiap hari, kekal tidur di atas tatami dan mengiring memandang dinding. Makanan kadangkala disentuh, dan jika dijamah, hanya sedikit, iaitu hanya pabila dia benar-benar lapar.

 

Suatu hari Hisamiko agak terkejut melihatkan rupa abangnya yang kurus cekung, tatkala wajahnya terdedah ketika dia baring menelentang. Dia bertanyakan pelayan yang diupahnya itu. Pelayan itu memberitahu abangnya hanya menjamah sedikit meskipun didesak berkali-kali. Hisamiko tidak menyalahkan pelayan itu, dia sendiri faham situasi abangnya.

 

Onii-san, okite (bangunlah). Sampai bila engkau mahu tidur begini?” Soal Hisamiko sedang dia duduk di tepi abangnya yang sedang baring mengiring, kaku, pada suatu petang. Tangannya menarik-narik bahu Ryouji agar berpaling, namun tubuh Ryouji tidak berganjak pun. Juga tiada jawapan dari mulutnya.

 

Hisamiko mengerah tangannya dan menarik Ryouji sekuat hati sehingga dia terlentang. Wajah Ryouji lebih cekung dari semalam. Matanya separa terkatup, bebola mata tenggelam dalam soket, warna putih mata terdedah sedikit. Mulutnya mengumat-kamit sesuatu. Bila Hisamiko mendekatkan telinganya, dia mendengar bisikan ‘Kiku...Kiku...’. Hisamiko meraba dahi abangnya, panas. Dia mengambil air sejuk semangkuk dan dijelung. Ubat diambil dari tempayan dan disumbatkan ke mulut Ryouji.

 

Seminggu selepas demam, Ryouji masih berbaring sahaja di rumah. Namun pagi sebelum dia ke tempat mengajar, Ryouji makan sarapan dengan lahapnya. Hisamiko berasa sungguh aneh.

 

Onii-san makanlah perlahan-lahan.” Nasihat Hisamiko.

 

Ryouji tidak mengendahkan nasihat Hisamiko. Hisamiko memendam rasa aneh. Mungkin kesan baru sembuh demam agaknya, fikir Hisamiko.

 

Sepulangnya ke rumah selepas habis mengajar, Hisamiko mendapati Ryouji tiada di rumah. Puas dia mencari serata Gero.

 

Dia menemukan Ryouji di laman rumah selepas dia baru sahaja pulang dari mencarinya. Ryouji berjalan dalam keadaan lesu. Anehnya pada Hisamiko, ia pertama kali juga dia menemukan abangnya berjalan di luar rumah. Pertama kali selepas tiga bulan lebih. Apa yang dilakukannya di rumah? Dari manakah dia berjalan pulang? Soal Hisamiko dalam hati.

 

“Engkau ke mana onii-san? Puas aku mencarimu. Dan engkau berjalan... apakah engkau sudah sihat?”

 

“Aku ke pekan.” Jawab Ryouji perlahan, namun bertenaga sedikit dari selalunya selama tiga bulan itu.s

 

“Apa yang kaubuat di sana?”

 

“Aku mahu makan daging lembu. Jadi aku ke pekan.”

 

“Kalau kau mahu makan daging lembu, beritahu sahaja aku, aku boleh masakkan.”

 

“Tak apalah Miko. Engkau pun sibuk. Lagipun aku dah lama tak berjalan-jalan.”

 

“Ikut onii-san-lah.” Dalam hati Hisamiko bersorak gembira, perasaannya berbunga-bunga. Abang kesayangannya kini sudah kembali bertutur sejak pemergian Kiku. Dia tahu abangnya belum benar-benar sembuh melihatkan wajahnya yang masih pucat dan keadaan tubuhnya yang kurang bermaya ketika berjalan dengan bahu yang kendur dan langkah yang perlahan, namun mendengarkan sedikit bicara dari mulutnya yang sudah berbulan membisu itu pun sudah cukup melegakan hatinya.

 

Sekurang-kurangnya ada perubahan, getus hati Hisamiko. Sekurang-kurangnya hari-hari yang datar itu sudah meminggir lalu. Moga perubahan ini makin bertambah dari hari ke hari, dan onii-san benar-benar sembuh seperti dahulu. Moga tiada lagi hari-hari yang sama dan datar itu.

 

Ryouji ansur ke dalam rumah. Ketika di dalam biliknya, dia memerhati kalau-kalau Hisamiko mengekorinya. Selepas yakin dia berseorangan, dia memeriksa satu bungkusan kain yang disorok dalam almari dan mendapati isinya masih belum dibongkarkan Hisamiko, dia menghembus nafas lega. Dia mengalihkan bungkusan kain itu ke dalam lipatan futon agar lebih sukar ditemui.

 

**

 

Dia tidak tahu bagaimana dia boleh berada di sini, terbaring di atas padang lalang ogi sejak mata dibuka. Hanya langit yang cerah yang terbentang di hadapan mata, di sekelilingnya dilitup lalang ogi yang tumbuh rapat dan berwarna kuning keperangan yang menghalang pandangan.

 

Dia bangun mendapati ada satu kawasan di tengah padang lalang ogi itu ditumbuhi bunga-bungaan yang berwarna-warni. Ada seorang wanita yang kurus dan langsing memakai yukata berwarna serba putih sedang terbongkok-bongkok memetik satu dua bunga-bunga itu. Rambut hitamnya panjang mengurai sehingga ke pinggang dan melambai-lambai ditiup angin sederhana kuat.

 

Dia bingkas bangun, seraya berjalan mendekati wanita itu. Dia memegang bahunya.

 

Wanita itu terhenti dari memetik, memaling wajahnya.

 

“Kiku... Kiku!” Pantas dia menerkam dan memeluk wanita itu. Wanita itu menyambut pelukannya tanpa bantahan, bunga-bunga di tangan terlepaskan.

 

“Ryouji... Ryouji...” Kedengaran gemersik halus suara wanita itu menusuk telinga lelaki itu.

 

“Kiku... aku rindukan engkau.”

 

Air mata Ryouji meleleh. Esak tangis Kiku turut kedengaran mengiringi. Lama mereka berpeluk melepaskan rindu dendam.

 

Selepas itu barulah Ryouji bertanya, “Ke mana engkau pergi Kiku? Aku ingat engkau telah mati.”

 

“Aku telah mati di dunia.”

 

Di dunia?

 

“Apa maksudmu Kiku?”

 

“Namun aku tidak mati di sini. Tidak, kita tidak akan mati di sini Ryouji.” Kiku memegang kedua-dua belah pipi Ryouji dan tersenyum.

 

Kiku berkata, “Di sini bumi abadi yang tiada kesedihan, tiada kesengsaraan. Hanya ketenangan dan keabadian. Sengsara di dunia kita yang dahulu melebur bak salju dibakar mentari. Lihatlah Ryouji, di sini hanya ada kita berdua. Kita punya seluruh padang lalang ini. Sehingga sejauh-jauhnya sehingga ke ufuk itu di sana, di sana dan di sana. Kita bebas dari derita dunia lama di sini. Ayuh Ryouji, lupakan dunia yang lama dan hidup denganku di sini.”

 

“Bagaimana mungkin aku hidup di sini?”

 

“Ayuh ikut aku!” Kiku menarik tangan Ryouji dan berlari merentas padang lalang ogi. Angin bertiup sederhana menerbangkan bunga-bunga liar ke udara. Langit cerah namun tidak terik suasana.

 

Mereka tiba di satu tiang batu.

 

“Sentuh batu ini pada tanda bulat itu.” Kiku menunjuk ke arah satu tanda bulat pada tiang batu itu. “Jika kau menyentuhnya, kita akan hidup abadi di sini bersama.”

 

“Bagaimana dengan kehidupanku di dunia?”

 

“Engkau tidak akan kembali lagi ke sana. Engkau akan mati di sana.”

 

Mati? Tidak, bagaimana dengan Hisamiko? Bagaimana dengan Tatsuya yang telah membunuh Kiku dan masih bebas bergerak ke mana-mana? Aku perlu menemani Hisamiko. Aku juga perlu menangkap Tatsuya.

 

Dou Ryouji? Mudah sahaja. Hanya tekapkan seluruh tanganmu pada tanda bulat itu, dan engkau akan dapat hidup denganku di sini. Bukankah itu yang engkau mahukan? Ryouji, aku amat mahukannya. Apakah kau juga sama fikir denganku?”

 

Ryouji kaku. Dia harus membuat pilihan sekarang. Namun ada perkara di dunia yang belum benar-benar selesai. Ada tanggungjawab yang menariknya, ada hutang-hutang yang mesti dilangsaikan. Ryouji tenggelam dalam dilema seperti disedut pasir jerlus.

 

“Kiku, apakah engkau tenang?” Soal Ryouji.

 

Kiku menunduk, gesaannya terhadap Ryouji sejak tadi mengendur, tangannya yang memegang tubuh Ryouji dilepaskan.

 

“Kiku jawabku. Apakah engkau tenang di sini?”

 

“Tidak selagi engkau tiada di sini.”

 

“Aku perlu kekal hidup di dunia kerana ada perkara yang masih belum kuselesaikan.”

 

“Jadi apakah itu lebih penting dari bersamaku? Hidup berdua kita di sini?”

 

“Aku ada adik yang perlu aku temani.”

 

“Hisamiko? Hisamiko lebih penting dariku?”

 

“Tidak, Kiku! Tidak, engkau dan Hisamiko sama-sama penting!”

 

“Ryouji. Pilihlah. Engkau nampak bukan, bahawa engkau tidak boleh memilih kedua-duanya. Pilihlah, Hisamiko atau aku.”

 

Ryouji menggetap gigi dan menggenggam tangannya.

 

“Kiku, bukan tidak aku mahu tinggal di sini. Aku perlu berada di dunia buat masa sekarang. Engkau tidak kisah pembunuhmu masih terlepas di sana?”

 

“Itu tak penting lagi. Aku sudah mati di sana dan aku hanya mahu engkau menemaniku di sini.” Kiku menatap Ryouji dengan air matanya sudah mula mengalir menuruni pipi jatuh ke tanah berlalang.

 

Ryouji semakin ditekan tatkala melihatkan Kiku yang menangis. Wajah Kiku yang amat dirinduinya itu terlalu berat untuk ditinggalkan. Perlahan-lahan tangannya digerakkan ke atas tanda bulat pada tiang batu. Namun hanya seinci cuma dari tanda bulat itu, dia menghentikan. Bolak-balik hatinya masih menguasai.

 

“Apa lagi Ryouji. Apa lagi yang engkau fikirkan. Tekapkanlah tanganmu sekarang. Tekapkan. Ryouji. Ryouji!” Kiku makin mendesak.

 

Ryouji mula berasa sesuatu yang janggal. Peribadi Kiku yang lemah-lembut dan bertolak ansur sudah lama tertanam dalam mindanya. Kiku seorang wanita yang akur dan setia. Kiku tidak pernah mengarah dan memaksa begini. Kiku tidak pentingkan diri. Bahkan sewaktu dia mencari Hisamiko yang keluar ke Nara dulu, Kiku membenarkan meskipun esoknya mereka bakal melangsungkan perkahwinan.

 

“Ryouji!”

 

Pantas Ryouji menarik tangannya yang hanya seinci dari tanda bulat itu tatkala dia menyedari Kiku cuba menolak tangannya. Tangan Kiku pula tersentuh tanda bulat itu tanpa sengaja.

 

Wajah Kiku berubah, rambutnya menjadi putih sehelai demi sehelai, wajahnya berkedut, giginya tumbuh taring, tubuhnya menjadi semakin kurus dan tulang selangka jelas dari yukata.

 

“Engkau bukan Kiku!”

 

Makhluk yang menjelma dari Kiku itu cuba menerkam Ryouji, namun tubuhnya makin mengecut dan akhirnya hancur sehingga yukatanya terdampar di atas lalang dan diterbangkan angin. Jasadnya turut terbang keluar dari yukata itu seperti debu tanah.

 

Ryouji terbangun dari tidurnya. Dahinya berpeluh-peluh. Malam sudah larut dan dingin. Hisamiko di sebelah duduk dalam keadaan mamai, ditemani pelita. “Onii-san kenapa bising. Onii-san kenapa bising.” Gumam Hisamiko sedang mata separa terbuka dalam duduk.

 

Oh, aku bermimpi rupanya, getus Ryouji.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov