“Aku sudah beri amaran. Sekarang bersedialah untuk mati.” Ujar Ryoichi dengan angkuhnya.
Kala itu mereka sedang berdiri dengan Ryoichi bersedia memancung kepala Itobashi. Itobashi, menyedari Ryoichi di luar kaminari kerana sedang berdiri, menunggu peluang. Kala Ryoichi melibas pedangnya, Itobashi tunduk dan meluru serta menyondol Ryoichi. Pedang Ryoichi tercampak ke tepi. Dengan badannya yang besar gajah, Itobashi menghempap tubuhnya ke atas Ryoichi dan menumbuknya bertubi-tubi sehingga dia lembik seperti ikan. Dia mematahkan kaki Ryoichi agar dia tidak boleh melarikan diri. Raungan Ryoichi bergema ke serata pelusuk kuil. Ryoichi kemudiannya diikat.
“Engkau silap Ryoichi. Aku bukan samurai. Aku tidak akan membiarkan engkau membunuhku hanya kerana aku tewas bertarung. Keselamatan dan kelangsungan kuil ini lebih penting. Engkau tunggulah sehingga Kogen mengambil tindakan ke atasmu.” Ujar Itobashi sebaik selesai mengikat Ryoichi. Ryoichi tidak berkutik namun hanya memandang sinis Itobashi.
Sementara itu, api di puncak Pagoda Timur sudah berjaya dipadamkan oleh Kousaka dan rakannya. Mereka turun dengan membawa Ryouji yang sedang pitam, topengnya sudah ditanggalkan. Meski begitu, mereka belum mengetahui identiti sebenar Ryouji.
“Siapa dia ini?”
“Dia dihantar polis Maharaja demi menangkap Ryoichi. Kami menemuinya pitam dan terikat di atas pagoda. Dia menggelarkan dirinya yoru-no-kaze.”
“Yoru-no-kaze?”
“Kami menanggalkan topengnya demi memudahkan dia bernafas. Mujur dia masih hidup. Namun kakinya melecur teruk.”
“Bawakan dia ke dalam bilik rawatan.”
“Baik, Itobashi-san.”
Bahagian kaki Ryouji yang melecur itu ialah bahagian kaki yang sama yang pernah ditembak Sonzaemon di Furukawa dan juga yang pernah diserang pedang Shizuo di hutan Hidagawa. Jika Ryouji tidak dirawat dengan betul, mungkin kaki ini sudah tidak boleh digunakan lagi, memburuk dan menyebabkan ia terpaksa dipotong. Sami yang merawatnya menyedari kesan kecederaan lama. Kecederaan tembakan sudah dirawat oleh tama-no-iwa ketikamana Ryouji dan Koichi di lembah Okuhida. Namun kecederaan oleh pedang Shizuo telah merosakkan sebahagian sarafnya.
“Budak ini perlu berehat selama sebulan di sini. Ada kecederaan lama yang perlu dirawat juga.” Kata sami tabib kepada Itobashi.
“Kalau begitu, baiklah.”
Itobashi bertemu Kousaka kemudiannya.
“Tadi inspektor polis diraja Kasukabe menemuiku. Mereka telah mengambil Ryoichi untuk dibawa ke Kogen. Kasukabe juga mengesahkan budak bertopeng itu yoru-no-kaze. Namun tiada maklumat lain tentang latar belakangnya.”
“Bagaimana dengan Souta?”
“Souta sudah mendapatkan ilustrasi budak bertopeng itu dari pelukis kita. Dia sedang ke Kyoto bertemu penyiasat persendirian. Dalam dua ke tiga hari kita akan dapat maklumat latar belakang budak bertopeng ini.”
Sementara itu, di ibu pejabat polis Maharaja di bandar Kyoto, Kasukabe bertemu pegawai-pegawai bawahannya.
“Ingat kalian, bawa keluar yoru-no-kaze dari kuil itu tanpa sebarang kesan. Aku akan memberikannya topeng baru.” Pesan Kasukabe kepada orang bawahannya.
“Baik tuan!” balas mereka seraya berlalu.
Usai pertemuan dengan pegawainya, Kasukabe menyalakan sebatang rokok dan menyedut asapnya, sambil pandangan dilempar ke luar jendela pejabatnya yang terletak dalam tingkat tinggi sebuah bangunan empat tingkat di bandar Kyoto.
Corak apa pula untuk topeng baru budak Okuhida itu, getusnya.
Ingatannya kembali kepada beberapa bulan lepas. Dia baru naik pangkat menjadi inspektor dan perlu membuktikan dirinya kepada Maharaja. Terlalu banyak masalah melanda laluan pedagang Nakasendo. Ronin dan perompak semakin berleluasa, dimangkin kehilangan status samurai dan hak milik tanah sawah. Banyak masalah ini tidak dapat diselesaikan polis dek kekurangan pengetahuan bertarung dan juga ilmu penyiasatan. Seseorang yang berpengalaman diperlukan Kasukabe. Seseorang yang boleh mengubati segera masalah ini sebelum ia menjadi barah dan mengganggu kelancaran kerjayanya sebagai pegawai polis. Dia harus menyelamatkan kepercayaan awam dan Maharaja kepada dirinya. Dan Koichi, rakan lamanya itu mencadangkan kepadanya Okuhida Ryouji, seorang remaja yang tahu kaminari, bekas petarung Kogen yang menumpaskan Hamada, dan celik akalnya. Meski dia kurang pengalaman menyiasat, akalnya bijak dan belajar dengan cepat. Kasukabe tidak mempercayainya, lantas menghantar orang memerhati Ryouji sejak itu.
Kasukabe menghembuskan asap rokok, mata dan dahinya berkerut menahan sakit di dada. Kekesalan menggelapkan matanya. Bagaimana rakannya yang memerhati lelaki yang membunuh isteri Ryouji itu boleh terleka sehingga balingan pisau lelaki itu mengenai isteri Ryouji. Sungguh kami polis yang tidak cekap! Namun tragedi itu hanyalah permulaan, getus Kasukabe. Setiap bala ada hikmahnya. Setiap pusingan takdir ada rahmat yang tersembunyi. Jika Ryouji dibenarkan berkepit dengan bininya di Gero, barangkali tidak akan ada yoru-no-kaze. Nama yang tidak pernah aku cadangkan padanya, getus Kasukabe lagi. Kreatif dia, dari mana digalinya nama itu sungguh tidak aku tahu. Namun aku yakin, lelaki yang membunuh isteri Ryouji ini pastinya akan menjadi satu masalah besar suatu hari nanti. Masalah yang sama. Kerana lelaki ini juga mahir kaminari, seni bertarung pantas yang juga dipelopori bapa remaja Okuhida ini. Keturunan Okuhida ini telah mencipta masalah, dan aku fikir biarkan keturunan ini juga yang menamatkannya.
Dan pemerhati yang kuhantar itu kemudian menyerahkan topeng dengan corak api senyap-senyap kepada remaja Okuhida itu. Mengapa remaja Okuhida ini tidak membuangnya? Mengapa dia mengambilnya pula? Mengapa tidak aku jumpa dirinya dan berterus-terang bahawa aku memerlukan pertolongannya? Kerana aku mahu dia bertindak sendiri. Memutus sendiri. Jika dia hanya melakukannya kerana wang upah, dia tidak akan bersungguh. Dengan bertindak sendiri maka dia akan bersungguh sepertimana yang telah dilakukan di pagoda itu. Berdasarkan penerangan Koichi, budak ini sememangnya ingin benar meneruskan apa yang telah dilakukannya di Kogen namun dek risaukan adiknya, dia meninggalkan Kogen. Mungkin disebabkan itulah dia menerima topeng itu kerana jauh di sudut hatinya, dia mahu kembali melakukan apa yang telah dilakukan di Kogen dahulu. Mungkin kematian bininya telah menguatkan keazaman itu kembali. Apakah dia berdendam? Mungkin. Apakah dia melakukannya agar tiada lagi orang lain yang menerima nasib sama seperti isterinya? Mungkin juga. Namun kematian boleh mengubah manusia. Dan manusia paling cepat membuat keputusan di saat paling rendah hidupnya.
Pintu pejabat Kasukabe diketuk.
“Masuk!”
Masuk seorang lelaki kurus keding memakai baju haori dengan corak kotak-kotak warna warni dan seluar hakama dengan hujung yang labuh, rambutnya panjang diikat tocang dan bibirnya digincu merah menyala, bulu mata dialis lentik.
“Kasukabe-san. Ini corak baru untuk topeng yoru-no-kaze.”
Kasukabe mengambil kertas itu dari tangan pereka topeng tersebut, seraya mengamati corak topeng tersebut. Ia lebih mirip dengan topeng kabuki biasa, corak api telah ditukarkan kepada corak ombak tsunami berwarna kirmizi, ombak itu menutup kening dan sisi hidung.
“Hmm. Lebih garang. Warna kirmizi itu lebih menyerlah.”
“Jadi, tuan setuju?”
“Tambah sedikit warna kuning pada hujung bebola ombak itu.”
“Hanya itu?”
“Hanya itu. Sebentar. Engkau boleh merekabentuk pakaian ninja juga?”
“Ya.”
“Buatkan satu untuk lelaki dengan ketinggian dan lebar begini.” Kasukabe berdiri seraya mengisyaratkan ketinggian dan kelebaran tubuh Ryouji.”
“Hanya satu?”
“Buat dua. Tidak, empat.”
“Empat pasang, semua sama?”
“Tidak, dua pasang lagi untuk wanita. Tingginya begini.” Kasukabe mengisyaratkan ketinggian seorang wanita yang sekitar lima kaki sahaja. Ryouji memerlukan seorang pasangan, aku tahu dia masih belum pulih sepenuhnya dari menghadapi kematian isterinya, getus Kasukabe dalam hati. Dan wanita itu ialah adiknya sendiri.
Pereka fesyen dan topeng itu berlalu. Kasukabe menyambung rokok kedua. Dalam fikirannya cuba membayangkan bagaimana topeng-topeng itu dipadankan dengan pakaian ninja yang serba hitam. Apakah ia menarik atau bakal diketawakan orang ramai? Namun semua pakaian itu ialah demi penyembunyian identiti. Setakat ini hanya beberapa orang sami dan pegawai polis sahaja yang tahu siapa mereka. Aku mahu meminimumkan bilangan manusia yang tahu identiti mereka. Maka untuk itu, sami yang dihantar oleh Kuil Enryakuji ke Kyoto itu harus diberi amaran agar tidak menyebarkan identiti Ryouji. Dia mungkin sudah mendapatkannya dari penyiasat persendirian. Mereka ini sungguh menyibuk.
Souta namanya. Dia pernah cuba menyertai pasukan polis namun selepas tidak tahan latihan di sini, dia melarikan diri dan sekarang cuba menjadi sami. Jika dia tak bekerjasama denganku, aku akan paksa dia masuk pasukan polis kembali, sebagai hukuman.
Perasaan gusar mula merayap ke dalam hati Kasukabe. Aku mengharapkan Ryouji menghapuskan para pengganas yang menggunakan kaminari ini sehingga semuanya berjaya ditangkap, kerana aku fikir dia mampu melihatkan jasa-jasanya kepada Kogen sebelum ini. Selepas itu aku akan meminta Maharaja mengharamkan seni pertarungan ini dan aku akan memantau Ryouji agar tidak memperturunkannya kepada sesiapa lagi. Namun aku hairan bagaimana Ryouji masih boleh ditewaskan semudah itu di pagoda itu. Sungguh menghampakan. Bagaimana boleh aku mengharapkan khidmatnya kelak? Apa yang boleh kulakukan untuknya? Apa yang melemahkannya di sana?
Jika ia disebabkan oleh kematian isterinya, maka ada baiknya jika dia berteman. Seperti perancanganku ini.
**
Hisamiko sudah penat berkejaran ke sana sini di bandar asing ini, berhenti bertanyakan orang ramai secara rawak namun tiada satu pun jawapan menggembirakan yang diterimanya. Dia menambat kudanya pada satu stesen kuda, dan berjalan kaki ke sebuah rumah penginapan yang turut ada kedai makan di dalamnya. Dia mahu bermalam di Kyoto sebelum menyambung pencarian esoknya.
Sedang dia menikmati makan malam, fikirannya kembali mengenang perangai abangnya yang kian aneh belakangan ini. Tiga bulan dia berbaring tanpa sebarang bicara dan sedikit sekali menjamah makanan, kemudian beberapa hari lepas dia makan penuh selera dan keluar dari rumah, bahkan pertama kali berbicara denganku. Dan hari ini dia ke Kyoto? Mengapa Kyoto dan mengapa tiba-tiba? Adakah Shirasaka Koichi memanggilnya? Atau adakah dia sedang menjejaki pembunuh Kiku-nee chan?
Ah, aku terlalu sibuk mengajar di sekolah Kogen. Aku juga sesungguhnya bersedih dengan pemergian nee-chan. Dia sungguh baik denganku. Aku telah melaporkan kes itu kepada polis Maharaja dan penyiasatan masih berjalan. Aku tidak akan menggerakkan sendiku sendiri demi membalas dendam, biarlah undang-undang yang melakukannya. Lagipun, bukankah ini yang onii-san mahukan? Aku sudah mendapat kerja baru sebagai guru, dan aku tidak akan melakukan kerja-kerja seperti yang telah aku lakukan di Kogen dulu, kerana onii-san sendiri yang tidak membenarkannya.
Hisamiko sedar ada banyak pasang mata lelaki yang sedang makan di situ sekali-sekala mencuri pandang, barangkali keanehan melihat seorang gadis makan berseorangan di rumah penginapan ini. Hisamiko sentiasa bersedia, dia bahkan membawa pedang bersarung dan disisip di pinggang, demi mempamerkan citra seorang petarung dan membuatkan mana-mana lelaki yang cuba mengganggunya berfikir dua kali atau lebih. Rimas dengan mereka, dia mempercepatkan makan.
Usai makan, Hisamiko terus ke biliknya dan berbaring di atas futon, menyambung menerawang alam fikir yang terbantut ketika makan tadi.
Apa ada di Kyoto? Shinji? Ya, di sinilah asalnya dia. Juga di sini tempat asal dinasti Maharaja bersemayam. Dalam banyak-banyak kerajaan kecil yang muncul pada zaman purbakala di Honshu ini, kerajaan di sini menumpaskan kerajaan-kerajaan lain dan meletakkan mereka di bawahnya, dan rumah Yamato diangkat menjadi rumah dinasti pertama kami. Dari situ, empayar Yamato berkembang dan menakluk sehingga ke sejauh-jauh pulau utara.
Kini, dinasti Yamato kembali berkuasa selepas beberapa ratus tahun mereka menjadi boneka samurai yang diketuai shogun. Apakah zaman ini akan terus bertahan selama beberapa ratus tahun berikutnya? Atau akan berkubur jua? Apakah bangsa ini bersedia mempertahankan tamadun yang telah dibina sejak zaman purbakala ini? Aku lihat keadaan semakin tidak terkawal. Undang-undang seolah tidak dikuatkuasakan, penjenayah berleluasa di jalan-jalan pedagang. Jika berterusan, kami mungkin akan kembali ke zaman purba, tanpa undang-undang, hanya yang kuat akan berkuasa, persis undang-undang rimba.
Malam semakin larut. Hisamiko terlena jua dek terlalu letih seharian menunggang kuda dari Gero. Dalam tidur dia bermimpi. Mimpinya tidak lain hanyalah ulangan akan apa yang diperhatikan dan didengari di sepanjang jalan-jalan di Kyoto, tentang kes pembunuhan tujuh orang sami Buddha di jalan menghala ke Kanazawa merentas Hiei. Kes itu menjadi bualan ramai dan merebak pantas bak api marak membakar hutan kering.
Bangun dari tidur, Hisamiko seolah mendapat firasat. Dia merasakan bahawa Ryouji ke sini demi kes itu. Rasa itu cukup kuat. Hisamiko segera bersiap dan terus ke Kuil Enryakuji.
Onii-san sudah lama tidak bertarung. Tiga bulan dia hanya berbaring. Dia mungkin telah dicederakan!
**
“Budak bertopeng sudah hilang! Budak bertopeng sudah hilang!”
Jeritan Kousaka, sami di Kuil Enryakuji bergema memecah hening pagi yang dingin dan berangin. Daun-daun luruh berterbangan di serata kuil beserta bunyi hutan dirempuh angin yang menyeramkan.
“Hilang? Bagaimana mungkin?”
Souta terkocoh-kocoh berjalan ke arah Kousaka.
“Kousaka, lihat tali tu. Ia diikat dari tiang kuil terus ke lereng.”
Kousaka berjalan ke arah yang dituding Souta. Souta mengekorinya.
“Tali apakah ini?”
“Nampaknya mereka mengangkut budak bertopeng itu ke bawah dengan tali ini.”
Mereka ke bawah dan mendapati ada kesan roda kereta kuda di atas tanah. Dari pemerhatian, mereka menyimpulkan Ryouji dibawa lari dengan kereta kuda yang menuruni dari lereng ke kaki gunung.