Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 2

Lewat musim luruh, 1874

 

Sudah sebulan setengah berlalu sejak Hamada ditumpaskan di kubu persembunyiannya di Kobe.

 

Ryouji dan Hisamiko kini tinggal jauh di sebuah kampung di pedalaman Wilayah Jooryoku (Hidagawa), di rumah yang telah dijanjikan Koichi selepas mereka berjaya menumpaskan Hamada. Kampung ini terletak berhampiran pekan Gero.

 

Ryouji mengusahakan bendang di hadapan rumah, dibantu Hisamiko. Kehidupan baru di sini sedikit sebanyak meredakan keperitan jiwa yang membelenggu mereka beberapa tahun belakangan ini.

 

Sejak Hamada ditumpaskan, dan kematian Sonzaemon yang menyusul, onar-onar semakin berkurangan meski masih wujud dan kadangkala meningkat dalam musim tertentu.

 

Penguatkuasaan undang-undang dan pemerkasaan pasukan polis masih diteruskan dan masih banyak yang perlu dipelajari polis. Sebahagian bekas-bekas samurai yang berkelayakan turut diserap masuk ke dalam pasukan polis dan tentera yang baru ditubuhkan Maharaja. Wilayah Gizen dan Kodama kini dipimpin anak Hamada, Daimyo Hamada Yoshinobu.

 

Ryouji masih ditebak kerisauan. Risau kerana dia mungkin akan diburu orang-orang Daimyo Yoshinobu kerana telah menyebabkan kematian Hamada. Daimyo Yoshinobu mungkin berdendam. Meskipun ada ura-ura mengatakan bahawa Daimyo Yoshinobu turut menghantar samurainya memburu Hamada bapanya sendiri itu pada hari-hari sebelum peristiwa di Kobe, di mana Ryouji mengambilnya sebagai petanda bahawa Daimyo Yoshinobu sememangnya mahu membunuh bapanya sendiri, namun mungkin, Daimyo Yoshinobu masih mahu memburu dia dan adiknya, kerana bimbang nasib yang menimpa bapanya bakal menimpa dirinya. Pendek kata, Daimyo Yoshinobu mungkin menyimpan niat mahu menghapuskan sebarang ancaman dan mengekalkan kuasanya. Tambahan, Daimyo Yoshinobu masih meneruskan perniagaan pemerdagangan karayuki.

 

Ryouji melepaskan keluhan berat, merenung menengadah pohon momiji yang merah menyala di bawah cerah sinar mentari musim luruh, di hadapan rumah barunya. Hisamiko masih nyenyak setelah kepenatan membanting tulang menampi padi semalam. Padi-padi itu telah dituai dan disimpan di bilik setor oleh seorang gadis bernama Kiku dan pekerjanya sebelum mereka tiba di sini sebulan setengah lepas, hanya menunggu untuk ditampi bagi membuang kulitnya. Angin gunung yang menyegarkan berhembus lembut merentas bendang yang kini hitam tanpa pokok padi, terbentang luas di hadapannya, menambah kedinginan suasana pagi musim luruh di sini.

 

Aku telah menjadi salah seorang pahlawan ulung. Aku dan Hisamiko, kami sekarang memegang empat persepuluh dari kuasa hayabusa, hampir menyamai kuasa Shirasaka yang memegang enam persepuluh, terima kasih kepada Tsuneki yang mewasiatkannya kepada hayabusa-no-kami sebelum kematiannya. Tsuneki, kami amat merinduimu, kenakalanmu pengubat sunyi kami semua. Engkau pergi kerana melindungiku Tsuneki! Engkau pergi pada usia yang begitu muda kerana melindungiku!

 

Air mata bergenang, Ryouji membiarkan ia mengalir menuruni pipi, pantas dikeringkan bayu musim luruh yang dingin dan kering itu.

 

Dengan matinya Hamada, sumpahan hayabusa ke atasku juga telah terlerai. Aku kini hidup normal seperti biasa, dan akan mati seperti manusia normal. Jika panjang umurku, panjanglah ia, jika pendek, pendeklah ia. Tiada had akibat apa-apa sumpahan. Juga aku diberikan rumah dan tanah oleh Koichi di atas usaha aku dan Hisamiko menumpaskan Hamada. Kami hidup di sini aman damai dan terlindung dari konflik.

 

Namun apa maknanya semua ini, kuasa magis, kemahiran bertarung dan wang dan tanah warisan bapaku dan ganjaran dari Kogen yang aku miliki, jika perniagaan haram Daimyo Yoshinobu itu masih dibenarkan berleluasa? Apakah aku hanya perlu berdiam diri di sini, membutakan mata hati dan membiarkan anak-anak gadis sebaya Hisamiko diperdagangkan seperti barang mainan? Menjadi saksi bisu keculasan pelaksanaan undang-undang? Apa maknanya semua kuasa yang telah Tuhan kurniakan kepadaku jika aku berdiam diri hidup penuh selesa di sini?

 

Suara-suara itu kerap bermain di fikirannya akhir-akhir ini, tatkala dia sendiri sudah sejak lama dahulu memutus mahu bersara dari dunia berdarah di luar sana. Bahawa dia telah memutus, penghapusan kuasa Hamada adalah misi terakhir yang disertainya, juga arahan terakhir Kogen yang dipatuhinya. Namun mengapa masih hatinya berbolak-balik? Apakah dia telah sebenar-benarnya berfikir dan memutus semasaknya? Atau lebih kepada risaukan Hisamiko bakal menjadi penumpah darah seperti ramalan Amaguri?

 

Secara rasminya, selepas dia tamat misi menumpaskan Hamada, dia bukan lagi ahli pasukan khas atau mana-mana unit yang dikendalikan Kogen, meskipun dia masih kekal ahli Kogen, seperti para pengintipnya yang ramai dan bertebaran di serata Jepun itu. Dengan status ini, Ryouji dan Hisamiko tidak lagi menerima tugas atau misi dari Koichi dan Kogen, namun masih kekal sebagai sumber maklumat dan penyumbang dana sebagaimana para pengintip Kogen disebabkan statusnya sebagai ahli.

 

Namun dalam bolak-balik hati Ryouji, ternyata ia masih tertambat di sana, Shirasaka-no-Kogen. Karisma Koichi menyerlah dalam kepercayaan yang semakin menebal dalam misi demi misi. Koichi yang dikatakan ramai sebagai seorang pendiam itu sebenarnya seorang pemimpin yang tahu mengemudi bahtera Kogen.

 

Aku percayakan Koichi. Aku juga percayakan Ayame. Namun masih, kapal yang mereka kemudi itu kini terumbang-ambing dipukul ribut kiri dan kanan, depan dan belakang, bahkan dari kacau-bilau dalaman juga oleh pengkhianat dari dalam kalangan ‘anak kapal’ itu sendiri. Bahkan bibit-bibit perpecahan mulai kelihatan. Ayame kulihat mulai menunjukkan tanda-tanda berontak. Skuad Sakura yang dikendalikannya itu, meskipun punya wawasan murni, masih berpotensi untuk dijadikan kuda tunggangannya bagi membawa gagasan baru, dalam satu pecahan Kogen yang bernaung di bawahnya, sebuah pasukan renegad, seterusnya membina dan memperkukuh tapak kuasanya di Kogen. Ayame juga punya karisma tersendiri. Dia lebih tegas, garang seperti singa betina dan sukar dikompromi, amat bertentangan dengan peribadi bapanya Koichi yang tenang seperti air mengalir. Namun karisma mereka sebagai pemimpin kufikir setara.

 

Meski semua ini, hatiku masih kepingin untuk menjadi salah seorang dari anak kapal itu, membantu mereka berdua sehingga ke puncak jaya. Koichi masih belum menyingkirkan namaku dan Hisamiko dari senarai mereka yang dibenarkan memasuki rumah-rumah perlindungan Kogen. Betapa mereka mempercayaiku. Dan hanya Kogen satu-satunya harapanku yang tinggal demi menegakkan kembali undang-undang di negara ini.

 

Dari jauh Ryouji dapat mengesan suara halus yang cuba menerobos kabut lamunannya, seperti seseorang mendendangkan lagu. Dia beredar, menelusuri perkarangan rumahnya menuju ke denai di hutan bambu kecil.

 

Ryouji menyusur denai sehingga ke kawasan penternakan ulat sutera berdekatan, di pinggir sebuah pekan kecil. Pekan kecil persinggahan pedagang ini dinamakan Gero. Di sinilah ulat sutera berkualiti dibiak dan diternak. Benang-benang sutera yang dihasilkan di sini akan dipintal dan ditenun menjadi kain-kain kimono akhirnya, diperdagangkan di sejauh-jauh Osaka dan Tokyo.

 

Semakin dia menghampiri, semakin jelas nyanyian halus itu. Suara seorang gadis.

 

Inochi, mijikashi

Koi se yo otome ya

Kokoro suzuro ni

Nani utau

Yosakoi, yosakoi

 

(Hidup ini singkat,

gadis, carilah cinta.

Dengan hati yang bergelora

lagu apa yang kau dendangkan?

Yosakoi, yosakoi.)

 

Jelas di mata Ryouji gadis itu sedang tekun memintal gentian sutera, memusing-musing mesin mekanikal pemintal sutera diperbuat daripada kayu dan logam, di atas anjung sebuah rumah. Jika lama dahulu, Jepun bergantung kepada kemahiran tangan dalam memintal dan menenun sutera, kini mereka menggunakan mesin mekanikal yang direkabentuk dan ditambahbaik dari mesin asal yang diimport dari Barat.

 

“Kiku...” tegur Ryouji perlahan. Pantas dendangan gadis itu terhenti. Dia turut berhenti mengendali mesin tenun itu, menoleh memandang Ryouji.

 

“Oh Ryouji, terkejut aku. Awal engkau bangun pagi ini.” Jelas merah mukanya menyedari nyanyiannya didengari seorang lelaki seusia. Namun senyuman tetap terukir di bibirnya. Kiku memakai pengikat rambut berwarna putih yang agak lebar sehingga menutup separuh kepalanya, membendung rambut hitam pekat dan panjang dari mengganggu kerjanya. Dia berwajah kecil, bujur, putih mulus, matanya kecil dan nipis namun lengkungannya halus dan cantik, keningnya tidak tebal, mengenakan jinbei berwarna biru air. Tubuhnya lebih rendah dan lebih kurus dari Chisato, langsing, sehingga jelas bentuknya di balik yukata. Masih muda, sekitar umur Ryouji sahaja.

 

“Lagu apa yang kau dendangkan itu?”

 

“Oh, itu lagu warisan. Yosakoi.”

 

“Yosakoi?”

 

“Lagu yang ibu ajarkan padaku.”

 

“Dendangkanlah lagi, Kiku, jika ia tidak memberatkanmu.”

 

“Oh...” Kiku menoleh. “Aku hanya menyanyikan untuk diriku. Tidak mengapa Ryouji. Aku sudi.” Tidak mahu menghampakan Ryouji, malah berasa bangga masih ada insan yang sudi mendengar lagu yang kian lapuk ditelan masa itu, dia kembali mengalunkan bait-bait itu, meski hatinya dirundung perasaan malu tidak terhingga, dan wajahnya masih merah. Ryouji mendengar penuh khusyuk, terpana dengan keindahan liriknya, dan mungkin juga, kemerduan suara Kiku. Mungkin juga, kerana kejelitaan gadis ini.

 

Ryouji mengenali Kiku seawal perpindahannya ke sini bersama Hisamiko. Sebenarnya, rumah yang diduduki Ryouji dan Hisamiko itu beserta bendangnya ialah bekas milik keluarga Kiku yang dijual kepada Kogen, sejak keluarga gadis itu berpindah ke sini demi meneruskan perniagaan sutera mereka. Kikulah yang banyak membantu Ryouji dan Hisamiko menyesuaikan diri dengan rumah tersebut beserta pengurusan bendang mereka.

 

Namun sejak mereka saling mengenali, inilah kali pertama Ryouji mendengar Kiku menyanyi. Kali pertama juga, Ryouji maklum akan lagu tradisi itu. Meski Jepun sudah membaharu, tradisi masih dikekalkan. Kerana dalam tradisi itu terkandung identiti mereka sebagai sebuah bangsa. Yang baik dikekalkan dan diteladani, yang buruk dijauhkan dan dihapuskan.

 

Hidup ini singkat. Ya, meskipun sumpahan itu telah berakhir, masih, hidup ini tetap singkat padaku. Seratus tahun sudah dikira terlalu lama umur seseorang di sini yang mampu dicapai. Hidup ini terlalu singkat untuk berduka lara dan berfikir panjang keterlaluan. Kebahagiaan itu lebih penting. Namun dengan kuasa yang aku miliki, mampukah aku bahagia? Sedang Daimyo Yoshinobu masih berwenang melakukan kegiatannya di luar sana. Sedang aku dikurniakan kuasa oleh hayabusa-no-kami.

 

Jika bukan aku yang sudi mengangkat pedang, siapa lagi?

 

Namun tiap kali aku memandang Kiku, aku lupa akan tingkah di luar. Onar-onar dan kejahatan itu. Di sini, jauh di celah gunung ini, kami agak terlindung, mungkin, untuk sementara waktu, ketikamana Daimyo Yoshinobu masih belum bersungguh memburuku. Kami agak terhindar dari para perompak dan penjenayah kerana di sini pergunungan, dan agak jauh dari laluan pedagang seperti lebuh Nakasendo di mana mereka selalunya menumpukan aktiviti jenayah mereka. Jika aku memilih untuk terus melupakan dunia di luar, di sinilah tempat yang sesuai. Amat sesuai untuk aku melindungi Hisamiko dari menjadi petarung yang digeruni seperti ramalan Amaguri. Dan memulakan hidup baru, dan melupakan Chisato yang aku tinggalkan di Kogen itu.

 

Chisato... maafkan aku. Maafkan aku kerana terpaksa meninggalkanmu. Pada saat itu aku fikir aku akan pergi awal dari dunia ini. Aku fikir aku akan pergi pada ulangtahun kelahiran kedua puluhku. Aku bimbang engkau akan berseorangan di luar ini dengan keluarga Hamada masih memburumu dan adik-adikmu. Dan sekarang, aku berasa serba salah sekiranya aku kembali bertemumu. Aku tidak mahu mempermainkan perasaanmu lagi. Engkau sudah pun bersedia melepaskanku. Apa yang berlalu biarlah berlalu pergi.

 

Dendangan Kiku masih berkumandang. Jari-jemarinya yang putih halus mengendali mesin pemintal sutera. Kenangan bersama Chisato tenggelam dalam lunak merdu suara gadis itu. Harum sisa-sisa bunga sakura di atas pepohon hangat menusuk deria hidu tatkala angin musim luruh bertiup, seolah-olah cuba meredakan bisa nestapa yang masih mencucuk sanubari.

 

Kiku berlainan dari Chisato. Cirinya tersendiri. Indah matanya, luhur tutur bicaranya, merdu suaranya, berlainan namun sama mengkhayalkan. Ah, Chisato. Mengapa masih belum mampu aku melupakanmu?

 

Carilah cinta, gadis. Koi se yo otome ya. Carilah cinta yang baru, Chisato. Semoga engkau berbahagia di sana bersama adik-adikmu, dan kekasih barumu.

 

Ryouji bersandar pada susur pemegang di tangga anjung. Kiku masih berdendang sambil terus menyambung kerjanya, sehingga Ryouji terlelap. Kiku berhenti tatkala dia pasti Ryouji sedang nyenyak. Dia bangun perlahan-lahan, melangkah menuju ke arah Ryouji.

 

“Sungguh elok.” Kiku menatap wajah Ryouji lama. Dia tersenyum manis. Tidak pernah semanis itu senyumnya sepanjang dua dekad umurnya.

 

Namun aku dapat mengesan garis-garis sengsara dari raut ini. Pipinya cekung. Ada kedutan sedikit di bawah matanya yang aku tidak jangka muncul pada raut wajah seorang yang berusia sebayaku. Apa yang telah engkau lalui Ryouji sehingga saat ini? Aku ingin sekali mendengar kisahmu. Mungkin, aku mampu merawat luka-luka itu? Atau mungkin sekadar menjadi pendengar setia?

 

“Kiku-chan!” Dari jauh kedengaran suara seorang lelaki tua. Penjaja ikan bernama Matsuda tiba, dan melaung nama Kiku sedari dalam hutan buluh.

 

Kiku turun ke perkarangan menunggunya, dan mengambil bekalan ikan dari penjaja itu sambil berbual-bual kosong beberapa ketika. Dia membawa ikan-ikan segar itu ke dapur untuk disiang. Sebaik sahaja dia mula menyiang, berduyun-duyunlah kucing datang mahu merembat sisa-sisa siangan ikan. Di sini banyak kucing, sengaja dipelihara keluarga Kiku. Tujuan mereka ialah agar kucing-kucing ini menangkap tikus-tikus yang seringkali menyerang ulat-ulat sutera mereka.

 

Ada enam ekor kucing semuanya. Semua berbulu lebat, mungkin kerana cuaca di celah pergunungan yang sejuk ini. Tiap mereka punya nama, diberi mengikut warna bulu masing-masing. Yang oren tanpa belang bernama Kuneko (‘kucing oren’’), yang hitam bernama Kurogane (‘emas hitam’), yang calico bernama San’iro (‘tiga warna’), yang belang kelabu bernama Saba (‘ikan mackerel’), yang belang oren bernama Tora (‘harimau’), yang berbulu hitam pada belakang dan putih depannya seperti memakai tuxedo bernama Igirisu (‘orang Inggeris’).

 

Kiku mengumpulkan sisa perut dan kepala ikan ke dalam satu bekas besar. Jika mana-mana bekas makan kucing itu licin, dia akan menambah sisa ikan yang baru dari bekas besar. Maka gemuk-gemuklah belaka kucing-kucing itu kerana saban hari diberi makan sisa ikan segar.

 

Jika tiada bekalan ikan, tikus-tikus di situ sudah mencukupi. Kadangkala Ryouji akan membawa ikan lebihan yang dipancing di bendangnya ke sini.

 

Nee-chan.” Kedengaran suara seorang budak lelaki.

 

“Takeru.” Takeru ialah adik kepada Kiku berusia enam tahun.

 

Nee-chan, aku mahu pergi sekarang.”

 

“Sebentar, Takeru. Ambil ini.”

 

Kiku menghulurkan kotak bambu berbalutkan kain kepada Takeru. Di dalamnya berisi makanan.

 

“Terima kasih nee-chanIttekimasu!”

 

Itterasshai.”

 

Ryouji terbangun dari lelap tatkala terdengar bunyi Takeru berlari menuruni tangga. Dek kerana laju berlari Takeru tidak perasan keberadaan Ryouji di situ dan dia terus berlalu menuju ke destinasinya, iaitu kelas membaca yang diadakan Kogen di pekan Gero.

 

Ryouji menggosok-gosok mata. Dia memandang ke anjung dan mendapati Kiku tiada. Mesin pemintal sutera telah ditutup dengan kain. Mungkin dia sedang sibuk di dapur.

 

Aku agak bosan sekarang. Kerja-kerja mengumpul jerami di bendang sudahpun selesai. Kerja menampi pun sudah hampir selesai. Selalunya jika aku bosan aku akan ke sungai memancing. Namun bosan juga jika selalu melakukannya. Oh ya, Kiku punya kucing. Mungkin mereka sedang sibuk makan sisa ikan siangan Kiku seperti selalu yang kulihat?

 

Ryouji ke belakang rumah. Tepat telahannya. Enam ekor kucing sedang sibuk melahap sisa ikan dari bekas masing-masing.

 

Ryouji datang ke belakang kucing oren bernama Kuneko dan membelai belakangnya. Kucing itu tidak terkejut, kerana ia sudah mengenali Ryouji.

 

“Engkau pasti mencari Kuneko.” Tegur Kiku sambil tersenyum, sedang membasuh ikan-ikan yang siap disiang.

 

“Kuneko serupa dengan kucing di kampungku dahulu.”

 

“Oh begitukah? Engkau tidak pernah memberitahuku pula. Ceritakanlah lagi, Ryouji.”

 

“Namanya Mio.”

 

Kiku ketawa kecil. Mungkin kelakar baginya.

 

“Mengapa engkau ketawa?”

 

“Namanya sama seperti nama anak gadis.”

 

“Aku petik nama itu kerana ia kucing betina. Warnanya oren seperti Kuneko.”

 

“Apa terjadi pada Mio-chan?”

 

“Aku temui dia mati tiba-tiba pada satu hari.”

 

Ara, maafkan aku!” Sayu tonanya suara Kiku.

 

“Tidak mengapa Kiku. Itu kisah lama.”

 

“Jika engkau sudi kisahkan, boleh kutahu apa penyebab kematiannya?”

 

“Aku tidak pasti. Tiada tanda-tanda cedera pada tubuh. Berkemungkinan dia termakan sesuatu yang telah diracun.”

 

“Diracun? Engkau ada mengesyaki seseorang?”

 

“Tidak ada. Yang anehnya aku temui jasad Mio berhampiran rumahku. Berkemungkinan dia sempat berjalan ke rumahku sebelum rebah. Ada buih pada mulutnya.”

 

“Racun apalah ya. Kejamnya.”

 

“Aku tidak pasti.”

 

Sugul wajah Ryouji tatkala menggali kembali kisah sedih itu.

 

“Engkau datanglah selalu ke sini. Engkau boleh bermain dengan Kuneko selalu.”

 

Dan aku boleh memandangmu sehari-hari! Bisik Kiku dalam hati.

 

“Hmm.” Ryouji masih menggosok-gosok dan mengelus bulu lebat oren Kuneko. Kuneko tidak menghiraukan, masih sedang asyik melahap sisa ikan.

 

“Engkau pun tidaklah sesibuk minggu-minggu sebelum ini bukan?” Tebak Kiku.

 

“Aku perlu melihat-lihat makhluk perosak di bendang.”

 

“Makhluk perosak? Ne, Ryouji. Padi pun sudah dituai semua. Apa yang kaurisaukan dengan makhluk perosak?”

 

“Oh, sekadar mahu memusnahkan sarang tikus. Waktu bendang kering beginilah mudah meracun mereka.”

 

“Hmm. Oh ya, di mana Hisamiko?”

 

“Dia masih tidur sewaktu aku keluar rumah tadi. Mungkin kepenatan semalam menampi padi.”

 

“Ajaklah dia ke mari. Aku bosan di sini.”


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov