Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 4

Tahun ini (1874) Ryouji berumur sembilan belas tahun. Tahun depanlah dia akan mati akibat sumpahan hayabusa yang diperkatakan Koichi itu. Shinji berbisik dalam hati ketika duduk-duduk di bangku di hadapan rumah perlindungan di Kogen-no-shita. Di sebelahnya Shiori isterinya, juga bekas mangsa aotsuyu yang pernah dirawatnya dahulu. Mereka baru sahaja berkahwin sebulan lepas. Mereka saling berpegangan tangan. Keberadaan Shiori sedikit melegakan nestapa Shinji.

 

Shinji mengelamun lagi, kali ini benaknya mencapai naskhah Tsuneki pula dari kotak memori.

 

Tsuneki, aku mendengar berita kematianmu. Mengapa engkau begitu degil sekali mengikut Ryouji keluar? Dan engkau adalah Higashihara? Aku langsung tidak menyangka. Engkau yang berupa seperti anak-anak yang kurang matang ini datang dari keturunan pahlawan itu?

 

Shinji teringat kembali saat dia membantu Tsuneki menunggang kuda. Budak itu pantas belajar. Dengan sekali tunggang dia mampu mengawal kudanya. Selain itu, Tsuneki turut mampu memanah tepat, bahkan memecahkan tama-no-iwa, sesuatu yang Shinji tidak mampu lakukan. Barangkali, tanda-tanda inilah yang mewajarkannya.

 

Aku sering terlepas tanda-tanda begini!

 

Tentang perkara-perkara mencurigakan oleh Kobato dan Saki, kemudian Ryouji yang ditimpa sumpahan sedangkan aku telah melihat tanda hitam itu di pergelangan tangannya, dan juga Tsuneki!

 

Ah, aku benar-benar tidak faham aturan Tuhan yang diperkatakan Koichi. Sebijak mana sekalipun aku, aturan Dia lebih mengatasi. Sebijak mana sekalipun aku di pandangan ramai, masih ada perkara yang terlepas dari pemerhatianku.

 

“Apa yang engkau fikirkan, Shinji?” Gemersik halus suara Shiori menerjah telinga Shinji menariknya keluar dari gaung lamunan kembali ke alam nyata.

 

“Oh, tiada apa yang serius. Sekadar teringat rakan-rakanku.”

 

“Ryouji, Tsuneki, Kobato? Yang mana satu?” Jelas Shiori maklum kisah latar Shinji. Petunjuk bahawa begitu banyak sekali masa mereka bersama, dan begitu bijak Shiori mengorek kisah-kisah Shinji.

 

“Semuanya.”

 

“Apa yang kaufikir tentang mereka?”

 

“Aku hanya tidak faham.”

 

Nani kai?” Lembut suara Shiori menyoal, matanya merenung dalam mata Shinji.

 

“Mengapa ada sahaja tanda-tanda berkenaan rakan-rakanku yang aku terlepas pandang.”

 

“Aku tidak faham.” Ujar Shiori.

 

“Lupakan Shiori. Sukar untuk aku terangkan.”

 

Shiori tidak mendesak. Dia menggenggam erat tangan Shinji.

 

“Shiori. Aku mahu keluar menjejaki Ryouji. Engkau tinggal di sini.”

 

“Aku mahu mengikutmu.”

 

“Tidak Shiori, usah berdegil.”

 

“Engkau tahu dia di mana?”

 

“Aku tidak tahu. Namun aku pasti dia berada di celah-celah gunung di Hidagawa. Selepas menumpaskan Hamada, dia pastinya melarikan diri dari warisnya Yoshinobu dan juga bekas samurai Hamada yang masih setia.”

 

“Jadi, engkau akan merayau-rayau di celah gunung itu demi mencarinya?”

 

“Begitulah perancanganku.”

 

“Engkau tidak akan mampu bertahan di sana berseorangan Shinji. Engkau tidak tahu bertarung. Ronin gelandangan banyak di dalam gunung itu.” Shiori cuba menghalang.

 

“Disebabkan itu aku mahu engkau tidak mengikutku.”

 

“Aku tidak mahu kehilanganmu.”

 

“Shiori, aku akan pergi bersama seseorang. Engkau usah risau. Aku tidak akan keluar berseorangan seperti dulu. Aku akan meminta kebenaran dari Koichi dahulu. Ne?”

 

Shiori tunduk sugul. Tangan Shinji dilepaskan. Dia pantas pulang ke rumah mereka, merajuk nampaknya. Shinji dan Shiori kini tinggal bersama sebagai pasangan suami isteri di sebuah rumah di Shirasaka-no-Kogen, namun sekali-sekala Shinji akan duduk di depan rumah perlindungannya yang pernah dihuni dahulu di Kogen-no-shita. Mereka diberikan rumah mengambilkira Shinji yang kini merupakan tenaga kerja penyelidikan Kogen.

 

Perempuan, getus Shinji. Biarkan dia merajuk. Esok redalah nanti, harapnya.

 

**

 

Hisamiko suatu hari meminta kebenaran keluar seorang diri ke Nara. Berkali-kali juga dia membatalkan hasratnya kerana tidak yakin Ryouji akan membenarkannya. Namun pada hari ini, entah apa mimpinya Hisamiko mendapat satu semangat baru dan begitu nekad, dia meminta kebenaran tanpa berdolak-dalik lagi.

 

“Aku tidak benarkan.”

 

Onii-san!”

 

“Tetapi aku mahu keluar ke rumah perlindungan kita dulu. Engkau dan Azuchi boleh ikut sekali.” Ryouji mencadangkan perancangan lainnya yang mungkin akan menarik perhatian Hisamiko dari Nara.

 

Mata Hisamiko cerah mendengarnya.

 

“Tetapi mengapa onii-san tidak benarkan aku ke Nara?”

 

“Aku tidak pernah ke sana, ia asing buatku. Dan aku tidak akan benarkan engkau ke sana sendiri.”

 

Onii-san, aku bersama Azuchi.”

 

“Usah degil, Miko. Engkau pun tahu bukan bagaimana engkau ditewaskan orang Hamada meskipun bersama Azuchi ketika di Nambashi dulu?”

 

Hisamiko terdiam sejenak.

 

“Hmm. Tak apalah. Yang penting aku masih berpeluang keluar dari sini. Bila kita akan bertolak?”

 

“Mungkin dalam dua hari lagi.”

 

Hisamiko meloncat kegirangan kemudian menari. Ryouji hanya tersenyum. Jarang sekali dia melihat Hisamiko gembira sehingga menari-nari. Sambil menari tarian yosakoi, dia menyanyikan lagu yang sering didendangkan Kiku.

 

“Kiku turut mengajarkanmu lagu itu, Miko?”

 

“Hmm.” Hisamiko mengangguk. Dia kembali mendekati abangnya.

 

Matte, nii-san. Apa yang engkau ingin lakukan di sana?”

 

“Aku rindukan rumah itu.”

 

Hisamiko menambah perlahan, “Aku pun merinduinya. Banyak benar memori kita di rumah itu.”

 

“Musim bunga tahun depan, genaplah tiga tahun kita meninggalkan rumah itu. Sekarang sudah dua tahun lebih, aku mahu melihat-lihat keadaan sekeliling, sebelum ia dibuka kembali oleh Kogen tahun depan. Entah apa yang tinggal di tapak rumah itu sekarang.” Luah Ryouji.

 

**

 

Hari yang ditunggu-tunggu tiba.

 

Ryouji membungkus makanan dan pakaiannya. Hisamiko dan Ryouji akan menunggang kuda masing-masing untuk ke rumah perlindungan Takasaki yang terletak di utara pekan Gero. Mereka hanya perlu menyusur tebing Sungai Miya sehingga ke utara. Jarak rumah perlindungan Takasaki itu lebih dekat dari Gero berbanding rumah asal mereka di Hidagawa, yang mana ia terletak lebih jauh ke utara, berhampiran Furukawa. Gero, Furukawa, kampung mereka dan rumah perlindungan Takasaki, semuanya terletak dalam kompleks pergunungan Jepun Tengah yang dinamakan Hidagawa.

 

Ryouji turut membawa sekali patung kayu yang diwasiatkan Imagawa. Dalam fikirannya, mungkin dia dapat bertemu pusara Tsugiyama, kerana paling akhir dia melihatnya mati dibunuh Mariko di gelanggang rumah perlindungan mereka. Itupun jika mayatnya dikebumikan dan tidak dibakar. Dan ia juga bergantung sekiranya ia dikebumikan berhampiran rumah itu. Jika tidak, maka terpaksalah dia membiarkan sahaja wasiat Imagawa itu tidak tertunai.

 

Tanamkan patung kayu kesayangannya ini di pusaranya...” Begitulah bunyi pesan akhir Imagawa dalam suratnya.

 

Aku mendapat berita Imagawa akhirnya meninggal dunia ketika misi kami di Yokuma. Mayatnya dibawa pulang oleh pasukan Hotaru yang masuk campur dalam misi itu, ke Kogen. Kisah Imagawa menyedihkan. Dia bermati-matian bertarung dan membantuku demi menebus dosa-dosa adiknya Tsugiyama itu. Aku harap dia bertemu kematian yang aman.

 

Imagawa-san, kita telah memenangi pertempuran itu. Hamada telah ditewaskan. Namun perjalanan kita masih terlalu jauh. Sesungguhnya perjalanan Pembaharuan ini masih terlalu jauh, onaknya berselirat menikam. Hanya jiwa-jiwa yang tegar sahaja yang mampu mengharunginya.

 

Sesungguhnya aku masih belum benar-benar yakin apakah aku salah seorang dari jiwa-jiwa yang tegar itu, namun, aku cuba menjadikannya sebagai aspirasi. Setiap misi yang aku sertai, aku akan cuba jayakan. Semua halangan akan aku rempuhi. Onak-onak yang menikam itu pasti aku akan cantas semuanya.

 

Memikirkan kisah Imagawa itu, aku amat bimbang. Aku bimbang, sekiranya kisah yang sama berulang kepada kami, di mana Hisamiko menjadi pembunuh yang sukar ditewaskan, dan aku sendiri terpaksa mengakhirinya atau mungkin, cuba menebus dosa-dosanya sepertimana Imagawa. Namun Imagawa sudah terlambat. Tsugiyama adiknya sudah keras hati. Aku bertekad, aku akan cuba sedaya upayaku mengelakkan Hisamiko dari terjerumus ke lembah kegelapan, sebelum aku terlambat seperti Imagawa. Akan aku buktikan bahawa ramalan Amaguri berkenaan Kaisenjyo adalah satu kesilapan besar yang telah dijaja ahli sihir itu beralaf lamanya.

 

“Jaga diri kalian, Ryouji, Miko.” Laung Kiku sambil mendukung Igirisu dan membelai bulunya. Kucing-kucing lain yang dengki mengiau-ngiau mengerumuni Kiku. Takeru turut berada di situ.

 

“Miko nee-chan, Ryouji nii-san jaga dirimu.” Laung Takeru, dia menyambung, “Jangan lupa bawa balik buah tangan.”

 

“Pasti Takeru.” Hisamiko senyum. Dia menganggap Takeru seperti adik kecilnya. Ketika ini Hisamiko sudah pun berumur lima belas tahun dan tubuhnya sudah menampakkan cirian seorang wanita dewasa. Perawakan Hisamiko bercampur aduk antara keanak-anakan dan kematangan; dia masih muda remaja pada wajahnya, namun ada garis-garis di bawah mata dan sinar mata yang kelam selepas mengharungi perit dari kematian Tsuneki dan pelbagai cabaran getir sewaktu melaksanakan misi Kogen. Tangannya ada garis-garis kasar hasil latihan seni berpedang. Tubuhnya sedikit keras dan cergas berbanding wanita seumur. Di mata Kiku dan Ryouji, wajah keanak-anakan Hisamiko masih menyerlah, meskipun Ryouji sedar seri wajahnya sudah mulai pudar sejak kematian Tsuneki. Di mata Takeru, Hisamiko tampak seperti seorang kakak yang baik dan matang. Bahkan dalam diam, Takeru amat mengagumi Hisamiko namun belum ke tahap cinta kerana jurang umur.

 

Mereka menyarung baju yang agak tebal kerana musim telah beralih dingin. Daun-daun perang semakin pekat dan banyak meliputi dahan-dahan pepohon hutan. Sebagai pemastautin Hidagawa sejak lahir, mereka maklum keadaan di dalam gunung seperti rumah perlindungan Takasaki itu lebih dingin dari di luar.

 

Mereka menunggang perlahan kuda masing-masing sehinggalah tiba di satu laluan berumput di tepi Sungai Miya. Azuchi di atas terbang mengekori mereka. Mereka memecut laju merentas denai berumput itu menuju utara.

 

Saat Ryouji menempuh laluan di hadapan kuil Shinto lama dan juga belukar yang menutupi laluan Kogen ke Osaka dan Wakayama – iaitu laluan yang pernah ditelusuri bersama Chisato sewaktu ke kampungnya dulu - dia memaklumkan, “Miko, kita sudah hampir.” Hari masih pagi. Jelaslah rumah perlindungan Takasaki itu tidak terlalu jauh dari Gero.

 

Ryouji merentas tebing Sungai Miya tempat Kobato mati dimamah rusuhan tenaga. Sebak menikam sanubari. Saat itu dingin musim luruh serasa begitu mencengkam, lebih mencucuk dari biasa. Air mata bergenang tatkala mengenang seorang sahabat yang berubah menjadi pembunuh. Tidak jauh dari situ Ryouji mengecam lokasi mayat Saki dan Azusa yang dibunuh Kobato, mereka saling berpegangan tangan. Seolah-olah jasad mereka masih segar dan jelas di matanya.

 

Jiwa-jiwa mereka gugur, murahnya nyawa mereka gugur seperti daun-daun kering. Kematian mereka sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Hanya kerana dikuasai amarah dan dendam, Kobato menggadaikan segala-galanya termasuk kemanusiaannya.

 

Semua ini bersebab, ia tidak muncul sendiri seperti kerlipan bintang dan hilang begitu sahaja. Ia berakar, dan aku percaya Kobato jadi begitu bukan kerana lahirnya, atau semulajadinya. Ia bertunas dari keputusasaan, kerana undang-undang tidak dikuatkuasakan dan golongan sepertinya tidak terbela. Dan kesannya masih aku rasai. Dari kematian yang tidak terbela oleh undang-undang, bertunaslah rasa tidak puas hati. Jika Saki dan Azusa punya waris, pasti kitaran dendam ini akan berkesinambung. Masing-masing akan cuba menegakkan benang yang basah, cuba mengambilalih peranan undang-undang dengan tangan sendiri dan menurut kata hati sendiri. Seolah-olah kami masih sedang mengulangi kesilapan nenek moyang kami yang tercatat dalam sejarah, ketika Era Negeri-Negeri Berperang (Sengoku jidai).

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov