Pada hari ini mereka akan ke lembah Okuhida. Ryouji mahu mempercepatkan penyembuhannya. Tidak sampai dua jam kelana mereka, mereka tiba di lembah mistik itu.
Seperti biasa, sekitarnya bersih. Rumput-rumputnya yang panjang ada kesan disabit seseorang. Pasti Koichi yang melakukannya. Dia semakin sibuk menguruskan Kogen sekarang, selepas Omi kerap sakit-sakit, namun masih mampu meluangkan masa di sini. Namun sukar untuk kutemukan dia di sini. Mungkin kerana aku terlalu jarang ke sini? Ingin sekali aku bertemunya dan berbicara panjang. Pelbagai perkara telah kami harungi selama empat bulan lebih meninggalkan Kogen. Tentang pengkhianatan rakannya itu, apakah punca sebenar di sebaliknya Koichi? Sedang dia rakanmu yang telah lama berkhidmat kepadamu di Furukawa. Aku runsing. Apa yang telah berlaku sebenarnya, Koichi?
Ryouji melekapkan tangan pada satu tanda bulat di tama-no-iwa, seperti yang diajarkan Koichi. Tidak semena-mena kegelapan muncul kembali. Segala-galanya hitam di pandangan mata Ryouji. Kegelapan yang sama yang muncul ketika kematian Tsuneki dahulu.
“Hayabusa-no-kami?”
“Ya. Apakah engkau menyeruku?” Bergema suara kami itu sehingga meremang bulu tengkuk Ryouji.
“Tidak. Aku hanya mahu merawat kecederaan di bahuku ini.”
“Aku akan membantumu.”
“Terima kasih. Sebentar, kami-sama.”
“Ya, Ryouji.”
“Sebenarnya aku sudah lama ingin bertanyakan soalan ini. Siapakah Kaisenjyo?”
Jeda seketika.
“Aku tidak tahu, ia rahsia Tuhan, sedang aku hanyalah ciptaan-Nya sama sepertimu. Namun jawapannya akan lahir dari tindak-tandukmu. Karmamu. Hanya itu sahaja yang aku tahu.”
“Maka, apakah aku dapat mencegah kemunculannya jika aku berusaha?”
“Pasti, Ryouji. Kita berusaha sedaya yang termampu. Jangan berputus asa sekalipun.”
Kata-kata dari semangat itu sedikit sebanyak memberi kekuatan dan harapan kepada Ryouji serta merungkaikan kerisauannya terhadap ramalan Amaguri. Meski Koichi pernah mengatakan adiknya adalah calonnya, namun ia boleh dielakkan dengan usaha yang berterusan.
“Kami-sama, beberapa hari lepas, musuh kami melarikan diri ketika bertarung dengan adikku. Engkau tahu apa puncanya?” Ryouji mencuba nasib. Lebih baik dia mencuba dari sekadar berdiam diri dan hidup diselubungi misteri.
“Kaisenjyo mampu datang dari masa hadapan dan melindungi calon-calonnya.”
“Melindungi calon-calonnya?”
“Ya. Semua calon-calon Kaisenjyo akan dilindunginya. Dan, hanya musuh yang paling mengesani memori calon itu yang dapat melihatnya.”
“Mengesani memori, apa maksudmu?”
“Setakat itu sahaja yang dapat aku jelaskan.” Sejurus itu suara tersebut lesap.
Tak guna. Dia hanya menjelaskan sedikit-sedikit kemudian hilang begitu sahaja!
Apa maksudnya Saitou mengesani memori Hisamiko? Sebentar, Hisamiko tidak pernah bertemu Tatsuya. Dia hanya pernah bertemu Saitou. Saitou pernah membunuh orang benar-benar di hadapannya. Kemudian Hisamiko demam ketakutan pada malam hari tragedi itu.
Ryouji menepuk-nepuk kepalanya.
“Onii-san, engkau baikkah?”
Ryouji menghela nafas.
“Hisamiko, aku pohon, jelaskan padaku...”
“Onii-san...”
“Apakah yang engkau rasakan selepas melihat Saitou membunuh penjaga kuil itu?”
Hisamiko tunduk. Dia diam sejenak. Ryouji menunggu dia bertenang dan menyusun kata.
“Aku takut. Aku tidak pernah melihat seseorang dilibas pedang dan mati di hadapanku. Sewaktu aku demam, aku bermimpi Saitou mengejarku dengan pedang terhunus.”
Maka benarlah.
“Apakah engkau masih merasakan perkara sama sewaktu bertemu kembali Saitou?”
“Ya. Namun jika dia membahayakan onii-san, aku tidak lagi takut.”
Ini bermakna Saitou telah melihat Kaisenjyo. Kaisenjyo datang dari masa hadapan melindungi calonnya. Hisamiko adalah calon Kaisenjyo!
Tidak, hayabusa-no-kami menyebut calon-calon bukan? Bererti Kaisenjyo juga datang melindungi Ayame-san bukan? Bererti ada kemungkinan Ayame yang bakal dipilih bukan? Kaisenjyo hanya seorang petarung tunggal. Mana mungkin kedua-duanya dipilih. Kaisenjyo akan memilih salah satu dari jasad mereka dan menumpang mereka, barangkali sebagaimana sumpahan hayabusa menumpang jasadku sebelum ini.
Ryouji memegang kedua-dua belah bahu adiknya, merenung tajam wajahnya. Pegangannya kuat sehingga Hisamiko berasa sedikit tidak selesa.
“Hisamiko, berjanji denganku engkau tidak akan membunuh nyawa sewenang-wenangnya.”
“Apa maksudmu onii-san?”
“Ne, Hisamiko? Berjanji denganku engkau tidak akan membunuh nyawa sewenang-wenangnya? Berjanji denganku Hisamiko!” Ryouji menggoncang-goncang tubuh Hisamiko.
“Onii-san!” Hisamiko memekik. Ryouji seolah-olah baru tersedar dari rasukan tatkala disentak pekikan Hisamiko.
“Onii-san, apa maksud pertanyaan-pertanyaanmu itu?”
“Tiada apa-apa...”
“Onii-san hen... (Onii-san engkau aneh...)”
Hisamiko masih belum mengetahui tentang ramalan itu. Nampaknya aku harus menyembunyikan ia dari pengetahuannya.
Hisamiko, aku akan melindungimu. Walau apa sekalipun ketentuan dan ramalan mereka, aku akan melindungimu!
**
Mereka pulang kembali ke kampung berhampiran Gero. Sebelum pulang, mereka sempat singgah di pekan Kisennuma membeli buah tangan untuk Kiku dan adiknya. Ryouji sudah sembuh sepenuhnya selepas semalaman berehat di lembah Okuhida.
Mereka memilih susur berlapik batu yang dibina Kogen menghala ke Kisennuma, iaitu kampung Chisato, kerana laluan ini lebih dekat dengan Gero.
Ryouji berhenti singgah di sebuah kedai ramen, tempat dia pernah berhenti bersama Chisato meminum air. Tiada lagi Tsugiyama dan orang-orangnya yang memakai happi bercorak sagi. Hanya beberapa orang pemuda sedang sibuk bermain catur go. Beberapa orang lagi sedang menikmati ramen.
Tatkala Ryouji melihat-lihat sekelilingnya, dia meneka-neka. Barangkali dalam ramai-ramai mereka ini, ada mata-mata Kogen. Begitulah yang Takasaki pernah maklum kepadaku. Pengintip Kogen ada di mana-mana. Hatta ketika aku pulang ke kampungku di utara beberapa tahun lepas, mereka turut memerhatiku.
“Engkau mahu pesan apa-apa, Hisamiko?” Soal Ryouji.
“Aku masih kekenyangan. Aku akan membeli makanan kering di luar sana.” Hisamiko menunjuk ke arah sebuah kedai makanan kering yang dapat dilihat dari dalam kedai ramen itu. Ada buah pisang kaki kering disusun di atas para di hadapan kedai, seperti buah-buah sempoa di dalam bingkainya. Itu yang paling menyerlah.
Pekan Kisennuma ialah pekan persinggahan pedagang yang rata-rata datang dari Osaka. Ia salah sebuah dari pekan pintu masuk ke lebuh Nakasendo. Oleh itu, banyak rumah-rumah penginapan dan kedai makan didirikan di sini demi kemudahan para pengembara.
“Onii-san, sini hampir dengan kampung nee-chan bukan?”
“Ya, Miko.”
“Bolehkah kita singgah di kampung nee-chan?”
“Untuk apa?”
“Aku hanya mahu melihat tempat Chiho dan Chinami.”
“Aku sudah melihatnya dahulu, Miko. Ia sama seperti kampung kita. Dan rumah mereka sudahpun tiada. Aku fikir sia-sia sahaja kita ke sana.”
Aku tahu engkau rindukan mereka Miko. Namun engkau harus kubawa keluar dari Kogen, atau engkau akan menyertai misi-misi mereka dan mengotorkan tanganmu lagi. Cukuplah dengan tertumpasnya Hamada. Aku tidak mahu engkau beransur-ansur menjadi seperti ramalan Amaguri itu.
“Onii-san, bila kita boleh melawat Kogen?”
“Tunggulah sehingga Koichi membenarkan. Dia masih mahukan kita berada di luar dahulu. Itu arahannya. Kita harus tetap tinggal di rumah sekarang di Gero.”
“Hmm. Tak mengapalah.” Hisamiko bersuara hampa.
“Aku mahu pesan ramen. Aku belum pernah mencubanya. Hisamiko, sungguh engkau tak mahu?”
“Tidak mahu.” Hisamiko menggeleng kepala.
Ryouji memesan ramen pilihannya dari helaian menu. Tidak lama kemudian, datanglah semangkuk hidangan itu. Hidangan yang berasal dari tanah besar Qing dan dibawa ke sini sekitar lima dekad lalu itu berupa mi kuning yang kecil melidi diperbuat daripada gandum dengan kuah jernih yang kaya rasa umami, datang dari air rebusan rumpai laut, ikan dan kicap soya, disajikan bersama di atasnya tempura udang, tofu, hirisan ikan bonito atau katsuobushi dan daun bawang. Ryouji mengambil sudu dan menghirup kuahnya, sambil membuat bunyi, memandang Hisamiko.
“Sedap baunya.” Ujar Hisamiko perlahan. Ryouji tersenyum. “Mahu?” Ryouji mempelawa sambil menghulur sudu baru.
Hisamiko mengambil sudu itu, mencedok sedikit kuah dari mangkuk Ryouji.
“Umai ne (sedap).”
Lantas Hisamiko turut memesan satu. Ryouji ketawa kecil.
Sedang asyik mereka menjamu selera, Ryouji mula berbual kosong.
“Miko, engkau tahu apa kegemaran Kiku?”
“Mengapa? Oh, engkau mahu membelikannya buah tangan?”
“Ya.”
Mereka sudah sebulan lebih tinggal di kampung Kiku. Namun hanya Hisamiko yang kerap bersama Kiku.
“Dia sukakan kucing.”
“Itu semua orangpun tahu, Miko.”
“Oh ya, dia sukakan tanghulu. Aku pernah menceritakan tanghulu yang engkau belikan. Katanya dia pernah memakannya namun sejak bapanya jarang berada di rumah dan ibunya sakit-sakit, dia jarang keluar dari rumahnya.”
“Bagaimana di pekan Gero?”
“Tiada tanghulu di sana.”
Benar juga. Gero bukanlah pekan persinggahan pedagang yang pesat. Ia jauh dari Nakasendo. Tanghulu dibawa pedagang Qing ke Osaka, kemudian dari Osaka, dijaja ke sepanjang laluan Nakasendo.
Selesai makan, mereka singgah sebentar di kedai menjual tanghulu, hanya terletak bersetentang dengan kedai menjual makanan kering yang diperhatikan mereka tadi.
Tidak jauh dari mereka, satu kelibat susup-sasap dari balik bangunan-bangunan kedai. Kelibat itu pantas menghilang ke dalam salah satu bangunan kayu yang merupakan sebuah rumah tumpangan yang telah lama ditinggalkan.
Kelibat itu melutut mengadap dua orang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.
“Bagaimana Tetsuro?” Soal salah seorang dari lelaki yang sedang berdiri.
“Saitou-san, Tatsuya-san, benar, itu anak-anak Mitsuo.”
“Ekori mereka sehingga ke kampung mereka. Laporkan kepadaku di mana dan perhatikan siapa yang rapat dengan mereka. Kita akan jadikan mereka tebusan.”
“Ryoukai, kalian.” Balas Tetsuro seraya menghilangkan diri.
**
“Wah, besarnya. Apakah ini Hisamiko?” Kiku menyoal sebaik melihat kotak kayu yang dihulurkan Hisamiko.
“Nee-chan bukalah.”
Kiku mengambil seraya membuka peti kayu berbentuk segiempat itu. Menganga Kiku melihat dalaman kotak. Ia berisi bebola-bebola kaca, dapat dilihat di dalam teras setiapnya berbagai jenis buahan kering yang dikecilkan. Ada buah ichigo (strawberi), buah ringo (epal), buah beri hitam dan buah pear. Bebola-bebola kaca itu bersaiz sebesar ibu jari dewasa.
Hisamiko selamba mengambil satu dan menjilatnya. Seriau wajah Kiku melihat perbuatan Hisamiko.
“Apakah ia boleh dimakan?”
“Nee-chan cubalah.”
Kiku mengambil seraya menjilat satu. Manis rasanya. Rupanya ia gula-gula. Di dalamnya ada pelbagai jenis jus yang dipejalkan menggunakan pemekat makanan dan diwarnakan dengan pewarna makanan. Rasa jus-jus tersebut mewakili buah yang dibentuknya.
“Ia tanghulu bebola.”
“Huwa....” Melopong mulut Kiku, membulat matanya. Gembira tidak terkata dia.
“Arigatou, Miko-chan. Hontou ni. Sudah lama aku kepingin merasanya.”
“Kami sebenarnya mahu membeli yang bercucuk, namun bimbang nanti dihurung semut. Bekas ini kedap serangga, nee-chan. Engkau boleh mengitarnya semula untuk kegunaan lain.”
Kiku meletakkan bekas gula-gula itu ke atas pangkin dan memegang kedua-dua belah tangan Hisamiko.
“Arigatou, Miko. Nee-chan sugoku ureshii ne (Nee-chan sangat gembira).” Ujar Kiku sambil merenung mata Hisamiko.
Hisamiko merah muka ditenung Kiku. “Doumo...”
Itu hanyalah tanghulu. Mengapa, hadiah seremeh ini sungguh menggembirakan hatinya? Keluarga nee-chan kaya-raya, mereka pedagang. Mereka mampu sahaja membelinya berkotak-kotak.
Namun aku gembira. Jika onee-chan gembira, aku pun turut gembira.