“Namamu nama bangsa Yamato.”
“Bapaku memberikan nama ini dan mengajarkan bahasa kalian agar tidak disyaki Emishi dan dibunuh.” Terang wanita tua itu lagi. “Hanya aku dari puakku yang faham bahasa kalian.”
Sejak saat itu aku terus melalui hari-hari dengan Amaguri nee-chan di dalam rumah dalam bukit yang ditebuk itu. Apa yang dia masak, itulah yang aku masak. Apa yang dia makan, itulah yang aku makan. Tidak banyak bezanya makanan nee-chan dengan makanan Jepun yang lain yang kumakan di Kyoto sejak kecil. Nasi, ikan dan rumpai laut kering dan supnya adalah makanan biasa. Cuma nee-chan memakan daging haiwan kecil seperti arnab, yang mana aku tidak biasa memakannya. Nee-chan menggunakan pisau yang rendah kualiti dan kerap perlu diasah, tidak seperti pisau kami yang amat tajam dan tidak perlu selalu diasah. Teknologi memproses besi mereka ternyata jauh lebih mundur. Atau mungkin, bijih besi di sini di utara Honshu ini rendah kualiti dan banyak mengandungi bendasing yang menyebabkan pengaratan. Itu yang pernah kudengari dari tentera Yamato yang berbual sesama mereka.
Aku mendapati nee-chan kerap mengacau sesuatu di dalam tempayan besar di satu sudut semacam bilik kecil, di bawah tempayan itu ada unggun api. Di dalam bilik itu ada banyak kendi dan bejana tanah liat bertutup dengan gabus dan disusun di atas para.
“Apa yang nee-chan sedang lakukan?” Soalku.
“Aku sedang mencipta sesuatu.”
“Sesuatu?”
“Aku ingin lindungi bangsaku. Aku perlu cipta ini sebelum aku terlambat.”
Aku mengesan patah “sebelum aku terlambat” di hujung ayat nee-chan namun aku memandang enteng dan tidak mahu menyoal lebih.
“Apakah ia?”
“Kita tunggu semua kandungan tempayan ini habis mendidih dahulu. Kita lihat apa serpihan yang menunggu di dasarnya. Ayuh, bantuku mengacaunya.”
Melihatkan aku yang pendek, nee-chan meletakkan bangku kecil dan meminta aku berdiri di atasnya. Aku diberikan senduk yang panjang. Aku mengacau cecair entah apa di dalam tempayan bersama-sama nee-chan. Selepas lama mengacau, cecair itu kian berkurang dan akhirnya, ia mengering sepenuhnya dan kedengaran bunyi merekah dari dasar tempayan. Aku melihat serpihan-serpihan besar seperti kaca di dasar tempayan. Nee-chan memadamkan unggun di bawah tempayan. Kemudian dia mengikat tali pada keliling mulut tempayan, dan menariknya sehingga ia menyendeng. Kemudian dia mengambil penyodok dan mengeluarkan serpihan-serpihan seperti hablur atau kaca dari dasar tempayan, dan mengumpulkannya di atas sehelai kain.
Nee-chan melonggokkan semua serpihan itu ke dalam satu belanga batu dan memanaskannya, sehingga serpihan itu mencair dan bertukar warna jingga. Aku melihat penuh kagum. Nee-chan banyak melakukan aktiviti aneh di sini, tidak seperti Kyoto yang membosankannya dan hanya berkisar tentang upacara teh dan melukis kaligrafi dan berpuisi sehari-hari. Nee-chan amat berbeza, pakaiannya juga berbeza tidak seperti wanita lain di Kyoto. Aku teruja dan aku ingin tahu lebih berkenaan nee-chan. Aku tidak bosan tinggal di sini, aku mahu tinggal dengan nee-chan selama-lamanya.
Serpihan yang melebur dalam belanga batu dibiarkan sejuk semalaman. Esoknya, aku melihat nee-chan mengeluarkan serpihan itu yang kini berubah kepada seketul batu berwarna putih. Dia mengambil kapak baru yang tidak pernah kulihat dia menggunakannya, dari dalam sebuah peti di bawah lantai. Kapak itu dibalut kain. Dia mengeluarkannya, dan dapat kulihat wajahku pada permukaan kapak yang berkilat, yang aku yakini besinya bukan dari mereka namun dibeli dari Yamato atau mungkin dicuri dari tentera Yamato. Nee-chan mengamati batu putih itu dengan memutar-mutarkannya, seolah sedang menghafal seluruh permukaannya.
Nee-chan mengapak batu putih itu kepada tiga bahagian. Batu itu tidak menyerpih dan hanya bercerai pada bahagian yang dikenakan mata kapak sahaja.
“Mengapa ia tidak menyerpih nee-chan?” Soalku.
“Batu ini hanya bercerai pada bahagian tertentu. Aku menghentak pada bahagian itu selepas benar-benar pasti lokasinya.”
“Batu apakah ini? Bagaimana ia boleh melindungi bangsamu, nee-chan?”
“Inilah tama-no-iwa. Yang engkau kacau di dalam tempayan itu adalah tulang-temulang dan daging burung hayabusa yang banyak di utara ini.”
Aku menahan muntah. Rupanya aku mengacau adunan bangkai burung! Namun anehnya, tiada bau busuk langsung, kerana mungkin nee-chan sudah mencampurkan sesuatu ke dalam adunan itu.
“Tama-no-iwa?” Aku menyoal sambil menekup mulut menahan loya.
“Ya. Batu ini akan digunakan untuk menyeru hayabusa-no-kami. Dari situ lembah rahsia tercipta dan kaum kami dapat bersembunyi di dalamnya tanpa dikesan tentera Yamato. Sesuailah dengan kami yang tidak tahu bertarung ini. Dan dengan itu, tentera Yamato boleh menceroboh sepuas-puasnya hutan sini tanpa mengganggu hidup kami lagi.”
Mataku mencerlang seolah harapan baru terbit dari ufuk pagi bersama mentari. Aku mula terfikir, alangkah bagusnya jika aku punya batu begini. Aku dapat bersembunyi dari tentera Yamato dan mereka pasti tidak akan menemuiku! Aku tidak tahu bertarung, dan aku amat memerlukannya. Aku amat memerlukannya. Aku tahu nee-chan sentiasa menyimpan dalam buntil kain dan dibawa ke mana-mana sahaja dia pergi. Aku faham, dia tidak mahu batu itu dicuri. Aku faham, dia masih belum mempercayaiku sepenuhnya.
Suatu hari, tentera Yamato sampai ke sekitar kawasan rumah kami. Mereka mengesan pintu masuk ke rumah kami. Mereka menendang-nendang dan menghentak pintu itu menggunakan pedang-pedang mereka dari besi berkualiti, sehingga tercabut dan pecah-pecah pintu itu. Amaguri nee-chan dan aku tergamam, kami sedang bersembunyi di dalam sebuah bilik.
Amaguri nee-chan membawaku ke sebuah terowong rahsia. Di situ kami menelusur sehingga ke lubang di lantai hutan hinoki.
Tentera Yamato sedang berada di belakang kami, di dalam terowong itu. Nee-chan menolak aku agar berlari cepat. Dia mengeluarkan tama-no-iwa dan memberikan kepadaku agar menerangi hadapan terowong. Cahaya itu mengalih perhatian tentera Yamato yang menjerit meminta kami berhenti.
“Lari cepat Nadeshiko.”
Aku lihat nee-chan termengah-mengah. Aku sedar nee-chan sudah tua. Aku tidak sampai hati meninggalkannya di situ, aku papah dan tarik tangannya jua meskipun dia nampak sungguh tidak berdaya melarikan diri, nafasnya tersekat-sekat, dadanya berombak, mata kembang kecut, tubuhnya berat dan kakinya tersekat-sekat. Tentera Yamato semakin mendekat.
“Lepaskan tanganku Nadeshiko, lari cepat. Guna batu itu, lindungi bangsaku dari kekejaman Yamato. Lari!” Tegasnya lagi.
“Bagaimana mungkin... tanpa nee-chan!”
“Engkau pasti mampu lakukannya sendiri! Beranilah sedikit, Nadeshiko!”
“Nee-chan, gunakan batu itu. Bukankah ia boleh melindungi bak katamu?”
“Tidak.... Aku tidak boleh menggunakannya kerana aku penciptanya. Ia syarat dari hayabusa-no-kami.”
Tiba-tiba mata Amaguri terbeliak. Ada mata panah terkeluar dari dada. Darah membasahi pakaiannya. Dia rebah.
Dalam rebah Amaguri nee-chan masih menahan sakit luka dan menegaskan pesannya, “Lari Nadeshiko, selesaikan misiku. Lari!” Amaguri menolak tubuhku dalam lemah.
Tentera Yamato menghala panah ke arahku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa selain berulang kali mulut mengucapkan ampun dan maaf kepada nee-chan. Aku lari jua, sedang panah mula dilepaskan berterbangan ke arahku, mujur satu pun tidak mengena kerana batu tama-no-iwa bercahaya telah aku alihkan dari pandangan mereka. Usai aku tiba di lantai hutan hinoki, aku pecut ke luar hutan.
Di mana kaum Emishi? Di mana mereka?
Tidak. Bukankah batu ini di tanganku kini? Bukankah aku mahu mencipta ruang yang terhindar dari tentera Yamato?
Hatiku berbolak-balik. Apakah aku harus mengabaikan pesan nee-chan dan mementingkan diri saat ini, atau mempedulikannya dan menyelamatkan bangsanya yang sedang teraniaya?
Aku mencangkung di tepi sungai dan membasuh wajahku. Aku memandang citra sendiri pada air yang tenang mengalir. Aku tidak pasti. Aku tidak layak langsung. Aku hanyalah seorang budak perempuan. Mana mungkin orang-orang Emishi akan mempercayaiku, lagi pula aku orang Yamato.
Namun kudengar mereka bangsa yang baik. Mereka bangsa yang nekad. Aku tahu rahsia kekuatan tentera Yamato. Bahkan aku tahu siapa ketua mereka. Namun apakah Emishi akan mempercayai kata-kata seorang budak perempuan sepertiku?
Dan aku mesti membalas budi nee-chan. Nee-chan telah sudi menerimaku selama ini. Aku tidak sampai hati mengkhianatinya.
Tiba-tiba berlari seorang budak lelaki berpakaian aneh meranduk belukar tebal di belakangku yang menyempadani hutan hinoki. Dia nampak seperti sedang dikejar sesuatu. Aku mendengar jeritan yang amat biasa di telinga di kejauhan, seperti jeritan... ya, tentera Yamato. Aku dapat lihat topi tanduk mereka di kejauhan, mengejar dengan pedang terhunus. Mereka di arah yang sama budak lelaki itu berlari.
Apakah aku harus mencampuri urusan mereka? Apakah budak itu budak Emishi?
Aku tidak tahu. Namun aku tahu, budak itu sedang dianiaya. Tentera Yamato di sini hanyalah penjahat, dan penjajah. Dari pakaiannya aku yakin budak itu orang asli di sini dan dia sedang dikejar Yamato yang menceroboh. Dia mungkin sedang dalam perjalanan memberitahu orang kampungnya dan disedari tentera Yamato.
Aku mengekori budak itu, dengan penuh hati-hati. Aku tunggu sehingga tentera Yamato habis melalui kawasan ini, dan aku mengekor dari belakang. Ada tentera Yamato itu tercicirkan busur dan panah, dan aku pungut ia. Aku tidak pernah menggunakannya. Aku tidak tahu menggunakannya. Namun aku pernah melihat ia digunakan. Aku harus mencuba.
Aku memanjat sebatang pokok hinoki usai mereka semua beredar ke hadapan. Aku panah mereka satu persatu sehingga panahanku habis. Semua panahanku mengena. Aneh kurasa, kerana panahanku mengena dan aku seolah diatur sesuatu pada urat dan otak.
Mereka mula beralih arah dari mengejar budak itu. Budak itu perasan wajahku, matanya seolah mengucapkan terima kasih sebelum berlari ke arah hutan hinoki dan hilang ditelan bayang hutan. Sekarang semua tentera Yamato beralih ke arahku dan menunggu aku turun ke bawah.
“Turun jalang turun!” Tengking mereka sambil menghentak-hentak pedang ke batang pokok. Suara itu datang dari tentera Yamato yang pernah mengejarku dahulu, maka dia mengenali dan memanggilku jalang kerana dia tahu aku barang mainan mereka sekian lama. Aku seriau dan bimbang amat.
“Mengapa engkau lari dari kami ha?” Soal mereka lagi sambil menetak-netak batang pokok hinoki. Aku dilambung ombak sesalan kerana menuruti kata hati membantu budak itu, namun jauh di sudut hati aku lega kerana budak itu berjaya kuselamatkan.
Apakah aku harus terus-terusan menyesalinya? Apakah jika aku mati dibunuh tentera Yamato, matiku itu berbaloi kerana telah menyelamatkan seorang budak yang langsung tidak kukenali dari disembelih mereka? Apakah berbaloi pengorbanan ini? Apakah jika nee-chan hidup lagi sekarang, dia akan memuji dan mengalu-alukan perbuatanku ini?
Pokok makin kuat bergegar. Ia makin huyung-hayang dan aku akan jatuh bila-bila masa sahaja. Aku akan mati. Aku akan mati!
Pokok akhirnya jatuh dan menghempap beberapa orang tentera Yamato. Aku terlalu sakit kerana impak jatuhnya mengesani dadaku yang berpaut pada batang pokok itu. Namun sakit itu ansur menghilang seolah diresap ke udara. Tentera Yamato yang berbaki mendekati dan mencapai pakaianku. Aku dibelasah mereka. Namun anehnya, sekali lagi kesakitanku ansur berkurang.
Aku bangkit sedang mereka masih memukulku. Pabila mereka melihat aku bangkit, mereka cuba melanggar dan menindihku, namun mereka pula yang terjatuh, dan ia berlaku tiba-tiba. Semua tentera di situ berasa aneh. Ramai antara mereka terduduk dan mengaduh kesakitan, dan kepingaan memandangku. Aku masih berdiri. Ada antara mereka bersedia mahu membunuhku dengan pedang. Aku bersedia melarikan diri. Kala kaki diangkat, aku menyedari seorang demi seorang tentera Yamato dipanah dari jauh.
Aku perhati di kejauhan, ada sepasukan orang asli, berpakaian seperti budak tadi, sambil berlari, memanah ke arah tentera Yamato. Dalam huru-hara itu, aku sempat lari bersembunyi dalam belukar. Aku dapat melihat budak tadi berada di tengah-tengah pasukan pemanah orang asli itu. Ramai tentera Yamato tumbang dan berdarah-darah di lantai hutan. Ada yang berundur kembali. Namun yang pastinya, tentera Yamato tidak lagi berupaya menangkis serangan yang ganas dan mengejut dari orang asli itu.
“Arigatou, nee-chan.” Budak lelaki itu datang mendekatiku seraya berterima kasih. “Nee-chan mari ikut kami.”
Aku menurutinya tanpa berfikir panjang. Nee-chan sudah mati dibunuh tentera Yamato dan aku sudah tiada tempat kembali. Aku fikir mungkin budak ini dan para tenteranya inilah puak Emishi yang pernah dikhabarkan nee-chan, puaknya yang dikatakan ingin dilindunginya itu.
Kami sampai di sebuah perkampungan terpencil yang hanya ditumbuhi rumput. Rumah-rumah di sini aneh-aneh belaka. Ia diperbuat daripada kayu, kulit binatang dan rumput ogi dan bumbungnya dari rumput lalang ogi yang dikeringkan dan dianyam dan disusun dan diikat sehingga tebal-tebal. Pakaian mereka diperbuat daripada kulit binatang dan rumput kering. Wajah mereka sungguh berlainan dari Yamato; yang lelaki menyimpan jambang dan misai yang tebal, rambut mereka panjang seperti perempuan dan diikat, dada mereka berbulu lebat terdedah jika mereka tidak mengatup atas bajunya, dan hidung mereka kembang-kembang, mata mereka tidak sepet, kulit mereka kehitaman dan mereka lebih pendek dari orang Yamato. Aku tidak pernah melihat rupa aneh seperti ini di Kyoto.
“Tunduk semua. Kalian, inilah penyelamat kita yang pernah diramalkan Amaguri.” Kata salah seorang tentera mereka. Budak yang pernah kuselamatkan itu mula tunduk kepadaku, diikuti orang-orang kampung dan para tentera. Aku berasakan seolah diriku raja di sini.
Sebentar, Amaguri? Apakah mereka memaksudkan nee-chan? Dan penyelamat? Aku penyelamat yang diramalkan Amaguri?
Aku dijulang dan kemudian didudukkan di atas sebuah kerusi yang diperbuat daripada jerami kering yang diikat kemas-kemas di tengah-tengah kawasan lapang di tengah-tengah rumah-rumah mereka. Kemudian mereka duduk mengelilingi kerusiku. Mereka kemudian menyanyi dalam bahasa Jepun yang mana senikatanya memuji-muji seorang wanita ramalan yang aku fikir mereka sangkakan akulah wanita itu, dan mereka, lelaki dan perempuan dan kanak-kanak, bergerak mengelilingi kerusiku. Aku tidak pasti apakah rasa yang sesuai di saat ini, apakah aku patut bergembira atau gementar, apakah mereka sedang meraikan diriku? Bagaimana mereka mengetahui tentang Amaguri, tidak, apakah Amaguri yang mereka maksudkan itu ialah nee-chan? Yang anehnya, bagaimana mereka boleh bertutur dalam bahasa Jepun? Atau mereka orang asli di sini sememangnya bertutur dalam bahasa Jepun bahasa puak Yamato?
Aku kian keliru. Hingar suasana di situ semakin menenggelamkan diriku sehingga aku terlupa akan perkara demi perkara yang mengelirukan dalam sehari ini dan yang tertinggal hanyalah kisah sedih nee-chan yang dibunuh tentera Yamato. Dalam hingar itu aku seolah dirasuk ke dalam mimpi, mimpi yang berkitar akan hari-hari singkat yang aku lalui bersama nee-chan, dan tanpa kusedari air jernih mengalir menuruni pipi. Nee-chan maafkan aku. Nee-chan ampunkan aku.
“Engkau menangis? Mengapa, engkau takut dengan kami?” Soal seorang wanita tua yang bertindik pada hidungnya.
“Tidak. Aku kehilangan seseorang hari ini.” Tanpa kusedari aku meluahkan apa yang terbuku.
“Siapa?”
“Nee-chan.”
“Nee-chan?”
“Amaguri... nee-chan.”
“Amaguri?”
Mereka semua melopong mendengarkan nama itu. Aku sudah menjangkakannya.
“Bukan... bukan Amaguri itu.”
“Wanita ramalan itu akan ditemui Amaguri. Benarlah engkau wanita yang diramalkan itu. Dan hanya seorang Amaguri dari kalangan kami iaitu wanita tua itu.”
Maka Amaguri yang mereka maksudkan itu benarlah nee-chan? Dan mereka semua inilah Emishi yang dimaksudkan nee-chan?
“Apa telah berlaku pada Amaguri, Nadeshiko-chan?” Soal mereka.
“Dia telah mati dipanah Yamato sewaktu kami melarikan diri.” Jawabku.
“Benarlah. Ramalan itu benar. Amaguri sering menegaskan dia akan dibunuh Yamato.” Terang salah seorang dari mereka.
“Ano... bagaimana nee-chan terpisah dari kalian?”
“Dia yang meminta kami berhimpun di sini. Dia akan menjaga di luar hutan dan akan menghantar seseorang kepada kami. Engkaulah insan yang dihantarnya itu. Engkau sudah memunculkan diri, Nadeshiko.”