Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 36

“Aku mencadangkan kita mengkaji kabus yang melitup Gaung Maut, Koichi-san.” Ujar Shinji suatu hari, kala Koichi melawatnya di makmal.

 

“Apa alasanmu, Shinji?”

 

“Aku fikir kabus itu mampu mengekang bau busuk dari dasar Gaung. Hanya pabila kabus itu ditiup angin dan terbuka sahaja barulah bau melepasi ke atas.”

 

“Jadi?”

 

“Aku fikir ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Kabus ini semacam ada sesuatu yang boleh menghilangkan kekotoran. Bau busuk itu satu kekotoran. Aku tak fikir kabus itu menghalang bau tersebut seperti penyekatan, namun ia menapisnya sehingga angin busuk dari dasar gaung dikeluarkan tanpa bau kerana ditapis kabus. Tanpa kabus itu, angin busuk naik langsung ke atas.”

 

“Bagaimana mungkin engkau boleh mengumpul kabus?”

 

“Bukan mengumpulkannya, tetapi mendapatkan cara bagaimana menghasilkannya sendiri. Aku tak fikir kabus itu dihantar angin, akan tetapi pastinya ia dihasilkan sesuatu yang sememangnya sudah wujud di gaung itu. Kita boleh dapatkan punca penghasilannya dari gaung, dan kita boleh menggunakannya untuk tujuan kita.”

 

“Jadi, manfaatnya pada kita yang kau boleh ramalkan?”

 

“Andai ada gas beracun dilepaskan, kita boleh meneutralkan gas itu dengan menghasilkan kabus serupa.”

 

**

 

Pintu gelangsar diketuk. Ayame yang sedang sibuk menulis sesuatu di atas kertas dengan dakwat celup, berhenti dan mengamati bayang-bayang pada pintu kertas itu. Bayang seorang budak perempuan, getusnya.

 

Ayame mempersilakan si fulan di balik pintu gelangsar masuk.

 

Pintu gelangsar ditarik buka. Citranya digelapkan cahaya matahari terang yang melatari, namun pabila lembaga itu melangkah masuk dan menutup kembali pintu gelangsar, jelas di mata Ayame bahawa dia Chiho, adik Chisato.

 

“Engkau Ogasawara Chiho, adik kepada Chisato bukan?”

 

Chiho merah padam menyedari dia diingati oleh Ayame, antara orang kuat Kogen dan ketua Skuad Sakura yang sungguh dikaguminya. Skuad Sakura adalah idolanya, wawasan dan cita-citanya. Chiho mahu menjadi salah seorang dari petarungnya dan menyelamatkan rumah-rumah perlindungannya sepertimana rumahnya diselamatkan dahulu dari Tsugiyama. Chiho masih tercegat berdiri dan merenung Ayame dalam-dalam dengan mata membulat. Cantiknya Ayame-san, getus Chiho dalam hati.

 

Ayame menyedari Chiho tidak duduk-duduk dan asyik memandangnya, sebelum dia berkata, “Suwannai? (tak mahu dudukkah?).”

 

Hai!” Chiho pantas menyahut seolah baru dikejutkan dari mimpi, dan duduk bersetentang Ayame dipisahkan satu meja teh yang sekarang ini dihampar kertas yang ditulis entah apa. Ayame meletakkan penanya di dalam balang dan menutup bekas dakwat, dan menanti remaja perempuan berusia enam belas tahun itu memulakan bicara.

 

“Ada apa Chiho-chan mahu bertemuku sekarang?” Ayame hanya menggunakan nama peribadi Chiho disertai panggilan -chan sebagai tanda kemesraan. Bagi Ayame, mereka sekadar rakannya.

 

“Ak...aku mahu menyertai Skuad Sakura.”

 

Sou... apakah kakakmu membenarkan?”

 

“Kakak tidak akan membenarkan. Maka aku mahu menyertaimu sendiri.”

 

“Oh, engkau terlalu muda, Chiho. Pinta kebenaran kakakmu dahulu.”

 

“Tapi aku sudah menguasai jurus kedua!” Tegas Chiho. “Aku mampu melakukannya dengan Chinami, dari jarak jauh. Dari jarak jauh aku mengawal Chinami, seperti tulisan dalam bukumu! Dan kami tidak keletihan langsung selepas melakukannya.”

 

Ayame agak terkejut mendengarkannya. Teori yang selama ini dijangkakannya dalam buku itu ternyata mampu dizahirkan secara praktikal. Yalah, getus Ayame, mereka berdua pun kembar. Sedang aku mencubajaya teori itu hanya dengan Nariko, Tsushiko dan Hotaru. Mungkin untuk yang bukan kembar seperti kami, aku memerlukan kuasa tambahan demi membolehkan jurus kedua jarak jauh itu dilakukan.

 

Jika benar dakwaan Chiho ini bererti dia aset yang cukup berharga buat pasukanku. Tidak ramai yang mampu melakukan jurus kedua tanpa terjejas dengan kehilangan tenaga yang banyak. Dan dari kalangan yang tidak ramai itu, lebih jarang lagi yang mampu melakukan dari jarak jauh mengawal pasangannya.

 

“Chiho, kiite (dengar aku).” Ayame berkata lembut dan memaku pandangan pada Chiho. Serta-merta Chiho seolah ditarik memandang Ayame seperti magnet. “Engkau di bawah umur, dan aku akan berbincang dengan kakakmu dahulu.”

 

Wajah Chiho berubah sugul. “Tapi kakak tidak akan benarkan, jika kau berbincang dengannya dahulu.”

 

“Menyertai kami tidak mudah, Chiho. Nyawa kalian bakal dirisikokan. Sebab itu kakakmu merisaukan kalian. Apapun, aku akan berbincang dengan Chisato dahulu. Chiho, aku yakin dengan potensimu.”

 

Wajah Chiho berubah cerlang. Ayama senyum di hujung kata-katanya.

 

“Engkau dan adikmu dan kakakmu aset berharga untuk masa depan Skuad Sakura. Aku akan yakinkan dia yang engkau mampu menyertai kami. Namun itu tertakluk pada ujian-ujian yang kami akan berikan kepadamu. Andai engkau lepasinya, engkau akan dibenarkan menyertai kami.”

 

Chiho seolah menjerit kegembiraan dalam hatinya, namun yang terzahir hanya keceriaan di wajah dan senyuman yang terukir. Dia mengucapkan terima kasih kepada Ayame dan keluar dengan agak pantas, seperti berlari, seolah mahu mengumumkan kepada seluruh warga Kogen yang dia dibenarkan Ayame menyertainya.

 

**

 

Musim luruh 1875.

 

Di Sangenchaya, salah sebuah shukuba dalam jalur Tokaido

 

“Ayame-san.”

 

Tokui menegur Ayame yang sedang termenung. Penyepitnya belum dipatahkan. Nasi dan supnya masih panas tidak bercuit. Mereka baru sahaja pulang dari salah sebuah rumah perlindungan Kogen berhampiran Tokaido dan kini sedang berehat di salah sebuah pekan shukuba dalam laluan pedagang digelar Tokaido (‘Jalan Laut Timur), iaitu laluan yang paling hampir dengan Lautan Pasifik dan menghubungkan Osaka dengan Tokyo di sepanjang pesisir timur Honshu.

 

“Ayame-san.”

 

“Oh, Tokui.”

 

“Apa yang engkau menungkan? Habiskan makananmu sebelum ia sejuk.”

 

Ayame mencapai penyepit dan mematahkannya perlahan-lahan. Namun ia tidak patah sepenuhnya. Tokui memesan penyepit baru, berhati-hati mematahkannya dan memberikan kepada Ayame.

 

Doumo.”

 

“Apa yang kau menungkan?”

 

“Oh, tidak ada apa-apa.”

 

Tokui memerhati Ayame sekali-sekala sedang penyepitnya sibuk menyuap nasi, cuba memastikan dia menghabiskan makanannya. Tokui menyedari mata Ayame separa terkatup beberapa ketika, seperti menahan pitam atau mengantuk. Wajahnya pucat, kepalanya separa tunduk merenung nasi di hadapan tanpa sekalipun menyentuhnya.

 

Tokui mengambil nasi dan sup Ayame seraya menghabiskannya. Ayame masih tidak berganjak seperti patung. Selepas Tokui habis melahapnya dan meletakkan mangkuk ke atas meja sehingga berdetak bunyinya, barulah dia tersedar, matanya membulat.

 

“Engkau mengambil makananku!”

 

“Sebelum ia sejuk lebih baik aku habiskan. Ayame-san, engkau pergi berehat dahulu di bilik.”

 

Ayame kembali termenung membatu.

 

“Ayame-san, dengarlah nasihatku. Engkau pergilah ke bilik. Aku akan pesan makanan ke bilikmu kelak. Atau engkau mahu aku memapahmu ke sana?”

 

“Berani ya engkau sekarang. Aku boleh berjalan sendiri!” Ayame melempar renungan tajam kepada Tokui, dan berdiri agak lama. Tokui tidak menghiraukan, masih sibuk melahap saki-baki lauk dan sayur. Ayame meninggalkan Tokui berseorangan di situ.

 

Tokui menghirup sup sehingga licin. Kemudian dia mencapai saki-baki tofu dan ikan yang masih bersisa yang dipesan untuk dua orang. Selesai makan, batang hidung Ayame sudahpun lesap sepenuhnya dari pandangan. Tokui bertemu juruwang dan membayar makanan, kemudian berkata sesuatu kepada juruwang itu.

 

“Ayame-san.” Tegur Tokui sambil mengetuk pintu. “Ayame-san.”

 

Tiada jawapan.

 

Tokui ke biliknya. Mungkin Ayame sedang tidur atau sedang termenung dan tidak mahu diganggu.

 

Malam itu Tokui keluar dari biliknya dan melihat dulang makanan Ayame di luar bilik dengan makanan masih sempurna tidak disentuh, lengkap dengan penutup bekas-bekasnya, menandakan dia tidak menjawab panggilan penghantar makanan. Tokui berasa tidak sedap hati, namun dipendamkan. Barangkali Ayame sememangnya tidak mahu diganggu.

 

Namun Ayame belum menjamah sebarang makanan pun sejak petang tadi. Sebentar. Mengapa biliknya gelap? Biasanya penghuni akan menyalakan pelita malap ketika tidur. Namun bilik Ayame gelap gelita dari luar tanpa sebarang garis cahaya dari bawah pintu.

 

Tokui bergerak turun menuju ke bilik tuan rumah tumpangan di bawah. Dia mengetuk pintu. Beberapa kali diketuk barulah tuan rumah tumpangan membuka pintu. Matanya separa terkatup, dia memakai yukata tidur, petanda tidurnya diganggu.

 

“Ya, ada apa encik?”

 

“Aku mohon bantuanmu. Rakanku kufikir telah diapa-apakan.”

 

“Engkau pastikah?”

 

“Dia tidak menyentuh makanan yang aku pesan. Biliknya gelap. Ketukan-ketukanku tidak berjawab. Aku tidak sedap hati.”

 

Chotto mattete ne.” Tuan rumah mengisyaratkan kepada Tokui agar mengikutnya keluar. Tokui menurut. Mereka berjalan merendah malam menuju ke belakang rumah tumpangan itu. Sebaik sampai di sana, tuan rumah mengangkat tanglung demi menerangi tingkap belakang bilik Ayame.

 

“Tingkapnya terbuka.” Tuan rumah memaklumkan.

 

Tokui tergamam. Ayame, apa yang cuba kaulakukan?

 

Tokui ke bangsal kuda. Kuda Ayame juga sudah lesap. Ini bererti Ayame tidak diculik. Seingat Tokui juga, tiada bunyi pergelutan. Biliknya hanya di sebelah Ayame dan mudah untuk sebarang bunyi dikesan. Ayame nampaknya telah melarikan diri.

 

“Tuan, boleh kaupinjamkanku kunci bilik Ayame?”

 

Douzo.” Tuan rumah mengeluarkan bergugus kunci dan mencari-cari. Dia mengeluarkan satu yang berlabel nombor bilik Ayame. Tokui mengaut kunci dari tangan tuan rumah seraya bergegas ke bilik Ayame.

 

Ada satu nota disendal dengan cawan teh di atas meja. Tokui membuka dan membacanya.

 

Tokui, tunggu aku di situ. Aku keluar sebentar. Ada perkara mustahak yang ingin aku lakukan.”

 

Tokui meletakkan surat. Dia tidak berlengah, bingkas ke biliknya menukar pakaian.

 

“Tuan, ini bayaran penginapan jika kami tidak kembali. Sayounara.”

 

“Engkau mahu ke mana?”

 

“Mencarinya. Dia keluar entah ke mana.”

 

“Baiklah. Hati-hati.” Tuan rumah itu mengingatkan, seraya bergegas masuk ke biliknya untuk menyambung lena, enggan berbicara lanjut hal ehwal mereka. Tokui ke bangsal kuda seraya menunggang keluar meninggalkan shukuba yang bernama Sangenchaya itu. Bunyi detakan deras kaki kuda memecah keheningan dinihari sehingga mengejutkan sebahagian penduduk. Sangenchaya terletak di selatan Hidagawa dan beriklim pergunungan maka suhu di pagi hari ini agak mencengkam, lebih-lebih lagi di musim luruh 1875 ini.

 

Ayame, di manakah engkau? Mengapa engkau bertindak sendiri? Bukankah kita satu pasukan? Apa kata Koichi nanti sekiranya engkau diapa-apakan?

 

Sementara itu di satu kawasan hutan...

 

Detakan kaki kuda meredah laluan tengah hutan Tokaido, memecah hening malam. Di atas kuda itu Ayame digoncang, entah ke mana hala tujunya dinihari ini.

 

Sudah hampir setahun, getus Ayame. Aku masih dengan misi-misi Skuad Sakura. Tegahan bapa tidak aku endahkan kini. Dahulu aku patuh arahannya agar tidak pergi ke kubu Hamada di Kobe, namun hanya kali itu sahaja. Aku tidak mahu terperuk dalam lembah itu sahaja. Aku akhirnya ingkar. Otou-san seolah sudah tidak lagi menghiraukanku. Tidak, dia masih menghiraukanku, dia menghantar pengintipnya memerhatiku, atau mendekati Seijurou dan Takajiro. Hah, otou-san! Aku bukan budak-budak lagi, aku sudah berusia tiga puluh tahun lebih, mengapa sehingga begitu sekali engkau mengawalku? Sungguh memalukan, engkau meminta Seijurou dan Takajiro melihat-lihatkan aku!

 

Beberapa hari lepas, aku berjaya menyusup keluar menyelesaikan satu kes di sebuah rumah perlindungan kami di Izu, berhampiran Tokaido bersama Tokui. Namun ada sesuatu yang benar-benar aku tidak jangka di sana. Tokui tidak menyedarinya. Aku menyedarinya kerana deria pengesan besi di belakang hidungku. Bila dia tidak tahu, maka hatinya tidak ada apa ingin dibimbangi, makan pun kenyang, sehingga makanan aku pun dihabiskannya, budak bertuah!

 

Engkau tidur cukup-cukup di rumah itu ya Tokui! Usah menyibuk dalam urusanku ini. Aku akan selesaikan dan buktikan tanpa engkau pun, aku mampu menyelesaikannya. Agar dengan ini aku buktikan sesuatu kepada otou-san, bahawa aku tak selemah yang dia sangka.

 

“Hotaru. Keluar sekarang.” Seru Ayame dengan suara yang sederhana perlahan.

 

Sekilas meloncat turun dari pokok-pokok tiga orang wanita berpakaian serba hitam seperti ninja.

 

“Ayame, orang-orang akahana (‘hidung merah’/ van Nekk) akan bertandang ke Yozehama tiga hari dari sekarang. Masa sesuai kita memasang orang di sekitar.” Suara Hotaru yang serak-serak basah itu jelas kedengaran dari topeng muka seorang wanita yang paling tinggi dalam kalangan kumpulan bertiga itu.

 

“Bagus. Teruskan memerhati. Kalian.” Ayame memandang satu-persatu wajah-wajah bertopeng, seraya menyambung, “Aku diekori di Izu.”

 

Sebaik Ayame mula meneruskan kata-kata sebatang jarum melayang, namun sempat Ayame mengelak. Dari jauh satu kelibat susup-sasap dan menghilang dalam gelita malam.

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov