Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 28

Seperti malam-malam kebiasaan selaku Yoru-no-kaze, Ryouji dan Hisamiko akan berehat di mana-mana kuil atau pokok-pokok rendang. Mereka tidak boleh berdiam di perumahan tetap, termasuklah rumah yang sudah lama ditinggalkan di Gero itu. Rumah di Gero itu pun sudah dikembalikan semula kepada Kogen. Andai mereka berdiam di tempat yang tetap, mereka akan dijejaki dan kerahsiaan mereka pastinya lebur begitu sahaja. Lagi pula, orang-orang Kasukabe sedang mengejar mereka kerana melarikan diri dari polis dan bertindak sendiri.

 

Malam ini mereka memilih bermalam di sebuah kuil berhampiran Wakayama. Siangnya mereka mengedarkan risalah akan bantuan mereka kepada orang-orang di sekitar pelabuhan Wakayama. Ryouji yang mencadangkan agar mereka memilih Wakayama kali ini, mendengarkan banyak berita pemerasan barang dagangan di pelabuhannya. Hisamiko hanya bersetuju. Biasanya menjadi penyiasat memerlukan mereka bertindak di kawasan yang banyak dilaporkan jenayah. Mana-mana pemancing pun pastinya akan bertandang ke kawasan yang banyak ikan. Mereka tidak perlu risau akan dijejaki orang-orang Kasukabe kerana Wakayama terletak jauh dari Nakasendo mahupun Kyoto.

 

Kuil ini terletak di atas sebuah bukit dan agak sunyi disebabkan itu mereka memilihnya. Hanya ada seorang sami yang menjaganya. Rumah-rumahnya bersawang kerana tidak ramai pengunjung. Maka Ryouji dan Hisamiko yang berkuda dua hari, dan penatnya masih belum bubar, terpaksa mengerah tenaga membersihkan dahulu penginapan mereka. Sebagai balasan, sami membenarkan mereka menginap di situ percuma, selama mana mereka mahukan, bahkan sami tersebut turut berjanji merahsiakan identiti mereka. Dek terlalu penat, mereka tidur nyenyak malam itu, sehingga terlewat bangun esoknya. Sami di situ memasak dan menghidangkan sarapan pagi untuk mereka.

 

Esoknya, selepas sarapan, mereka berdua hanya berlegar-legar di sekitar pelabuhan Wakayama demi memahami susun letak bangunan di sekitarnya. Malamnya barulah mereka memulakan kerja. Dalam risalah yang mereka edarkan, mereka meminta sesiapa yang berminat meminta bantuan agar datang ke tepi sebuah jambatan lebar yang merentangi Sungai Kino. Ryouji dan Hisamiko bersembunyi di atas sebatang pokok sakura demi mengamati siapa yang akan datang ke situ.

 

Onii-san. Engkau fikir apa yang membuatkan pelabuhan ini jadi sasaran pemeras?” Soal Hisamiko ketika mereka di atas pokok menanti mana-mana pengadu.

 

“Aku fikir kerana keterpencilannya.” Balas Ryouji. “Ia jauh dari bandar-bandar besar, tak seperti pelabuhan di Nagoya, Tokyo dan Osaka. Jadi di sini banyak penyeludupan, terutama barang-barang seperti candu dari Tanah Besar (Qing/ China). Perompak sukakan barang ini yang mahal.”

 

“Barang seludup? Ini bermakna barang-barang itu melanggar undang-undang?” Tebak Hisamiko.

 

“Ya.”

 

“Maka kita mungkin akan melindungi penyeludupkah?”

 

“Tidak juga. Mungkin kita akan melindungi pedagang yang mengikut undang-undang. Seperti pedagang teh dan sutera.”

 

Ryouji mendekatkan jari pada mulutnya, mengisyaratkan agar mereka diam sebentar. Matanya menumpu ke arah jambatan. Seorang lelaki dengan lilitan kain membendung kepalanya, dan berpakaian yukata dengan haori kelabu, berdiri di atas jambatan itu seorang diri, dan matanya melilau-lilau.

 

“Hisamiko, perhatikan lelaki itu. Engkau kesan sebarang benda dari besi?”

 

“Tiada.”

 

“Cuba periksa dalam lingkungan setengah ri (dua kilometer).”

 

“Pedang-pedang para samurai, besi roda, ladam kuda…macam-macam… namun tidak menghampiri sini mahupun lelaki itu. Dalam satu perempat ri (satu kilometer), langsung aku tak kesan apa-apa.”

 

“Bagus. Ayuh!” Ryouji mengemaskan topengnya, seraya turun ke bawah diikuti Hisamiko.

 

Dalam kaminari, mereka pantas menghampiri belakang lelaki itu tanpa dia sedari. Lelaki itu masih leka memandang ke sungai, sebelum Ryouji mencuit bahunya dan dia menoleh. Terkejut bukan kepalang lelaki itu pabila terpampang di depan matanya dua orang, lelaki dan wanita bertopeng di hadapannya. Hisamiko memata-matai sekeliling sedang Ryouji memulakan perbualan.

 

“Engkau melihat risalah yang bertampalan?”

 

“Ah, hai. Kalian yoru-no-kaze?”

 

Sebuah kereta kuda melepasi jambatan yang hanya diterangi tanglung dan cahaya bulan itu, mematikan perbualan mereka seketika. Sebaik bunyi derapan dan kaki kuda itu benar-benar jauh dan menghilang, Ryouji kembali pada perbualan mereka.

 

“Ya. Kami yoru-no-kaze. Apa bantuan yang engkau perlukan?”

 

 “Namaku Oono Kousuke. Aku pedagang gula tebu dan selalu berlayar ke Taiwan membeli gula dan menjualnya di sini, sejak Maharaja menyingkirkan shogun Tetsugawa dan membuka pelabuhan ini. Namun yoru-no-kaze, hanya sekali ini aku perlukan bantuanmu.”

 

“Teruskan.”

 

Oono mengisyaratkan agar Ryouji merapatkan telinganya. Hisamiko lagi menumpu, bimbang abangnya diapa-apakan.

 

Oono berbisik, “Kargo gulaku ini juga datang dari pulau Ogasawara.”

 

“Pulau Ogasawara?”

 

“Ya, pulau di tengah-tengah antara Taiwan dengan Jepun ini. Aku hanya mendapat permit diraja untuk mengimport gula dari Taiwan sahaja. Namun gula dari Ogasawara ini sudah melebihi kuota importku. Kastam Maharaja pasti akan merampas gula dari Ogasawara ini. Yoru-no-kaze, bantu aku melepasi mereka.”

 

“Ini menyalahi undang-undang!”

 

“Bantu aku, yoru-no-kaze. Aku merayu! Petani-petani miskin di Ogasawara, mereka perlu menjual gula mereka. Hanya aku yang mengambil risiko ini... Jika aku ditangkap, habis pendapatan mereka.”

 

“Mengapa tidak pedagang lain melakukan perkara sama sepertimu?”

 

“Pedagang lain tidak tahu berbahasa Jepun dan tidak mendapat mandat dari Maharaja. Mereka ramainya orang Barat sahaja.”

 

“Mengapa kau tidak menjual gula ini ke tempat lain?”

 

“Pasaran di Qing dan Joseon sudah penuh. Hanya di sini sahaja harga yang tinggi aku boleh dapat.”

 

“Hah, rupa-rupanya mahu untung besar juga...” Gumam Ryouji sinis.

 

“Bukan mengejar untung semata-mata, tetapi demi rezeki petani di Ogasawara itu juga. Dan untungku tidak seberapa, mengambilkira kos pekerja dan bahan bakar kapalku.”

 

“Namun aku akan menentang pegawai Maharaja!”

 

“Aku sanggup membayar apa sahaja yang kaumahukan kelak. Aku amat berharap bantuanmu.”

 

“Tadi engkau menyebut Ogasawara. Perincikan tentang pulau itu.”

 

“Pulau yang subur tetapi orangnya kurang. Maka ia dipanggil Pulau Bonin juga (“pulau tiada orang”).”

 

“Bagaimana kehidupan di sana? Orang-orangnya?”

 

“Kebanyakan petani dan nelayan. Ekonomi mereka sara diri. Ada yang kerja di ladang tebu dan mengharapkan kami pedagang menjualnya keluar.”

 

“Cuacanya?”

 

“Panas dan lembap. Lebih panas dari musim panas di sini. Di hujung tahun, ia bertukar nyaman dan kerap hujan.”

 

Ryouji mengangguk-anggukkan kepala.

 

“Bagaimana penguatkuasaan undang-undang di sana?”

 

“Tiada polis. Namun kami ada rukun tetangga dan ketua kampung yang menyelesaikan masalah dan pertelingkahan.”

 

“Jenayah?”

 

“Hampir sifar. Masing-masing bekerja keras untuk hidup.”

 

Ryouji mengangguk-anggukkan kepala lagi. Oono berasa aneh seraya bertanya, “Mengapa kau tanya terlalu banyak?”

 

“Hanya untuk pengetahuan. Apa jenis kapalmu?”

 

“Kapal jenis stim, bahan bakar arang batu.”

 

Ryouji tidak memikir panjang, seraya menerima tawaran Oono.

 

“Kami akan selesaikannya. Namun Oono-san, engkau tidak perlu membayar apa-apapun. Kami akan menuntut ‘bayaranmu’ kemudian. Engkau kata engkau akan memberi apa sahaja yang kami mahu?” Soal Ryouji.

 

“Ah, ya...” Oono mengiyakan dengan teragak-agak, bimbang disalahertikan mahupun diperalatkan Ryouji dengan permainan bahasa. Pada Oono, ‘apa sahaja yang mereka mahu’ itu ada hadnya, ada had yang dia mampu lakukan.

 

Namun semua ini tiada hitam putihnya, getus Oono. Jika mereka meminta bayaran yang bukan-bukan, aku bolehlah melarikan diri selepas ini. Namun tunggulah, tunggulah dahulu aku mendapat laba yang besar dari jualan gula seludup ini.

 

Ryouji dan Hisamiko beredar selepas mereka berbincang perancangan seterusnya dengan Oono. Dalam perjalanan pulang ke kuil, Ryouji berpesan kepada Hisamiko.

 

“Miko, engkau tahu bukan apa yang patut dilakukan?”

 

“Ya, jangan bunuh seorang pun, kerana mereka pegawai Maharaja. Jika kita terbunuh, biarkan. Namun usahakan agar dapat mengelak dari dibunuh mereka.” Hisamiko mengulang pesanan abangnya.

 

“Ya. Misi kali ini lain sedikit. Lawan kita bukan ronin, bukan penjenayah, tetapi pegawai kastam kerajaan.”

 

“Kita melindungi penyeludup...” Gumam Hisamiko.

 

“Oono-san terpaksa menjualnya di sini. Lagipun bekalan gula kita sudah kurang, harganya naik kerana ura-ura perang itu, yang mana akan ada pemberontakan di Kyushu dan juga pemberontakan di sini dipimpin Yoshinobu. Ini masanya kita melakukan kebaikan, membenarkan gula murah masuk ke pasaran sini.”

 

“Kebaikan yang bagaimana sedangkan ia melanggar undang-undang?”

 

Betul juga, getus Ryouji dalam hati. Seolah kata-kata Hisamiko itu sama gemanya, sama nafasnya dengan kata-kata Kobato.

 

“Undang-undang tidak akan dapat melindungi sepenuhnya diri kita. Para petani di Ogasawara itu memerlukan bantuan kita.” Ryouji memberi pandangannya. Padanya, berpegang pada gerak hati dan ihsan itu lebih utama dari membutatuli patuh pada undang-undang.

 

Hisamiko tidak meneruskan kata-kata, dan dia hanya mengangguk kecil tanda faham.

 

Gula Oono tiba bersama kapalnya dalam dua hari kemudian. Hisamiko dan Ryouji berkawal di pelabuhan itu dan memerhati tajam para pegawai kastam yang memeriksa kapalnya. Gula Oono melepasi pemeriksaan tersebut, Hisamiko dan Ryouji menghembus nafas lega. Mereka tidak perlu bertempur dengan pegawai kerajaan. Namun tugas mereka tidak tamat di situ. Gula itu akan dihantar ke utara, menerusi jalan Nakasendo. Di sinilah cabaran sebenar bermula. Gula yang sedang mahal di sini menjadi sasaran para perompak. Ryouji dan Hisamiko sudah mengesan mata-mata mereka yang berkeliaran dan mencurigakan di pelabuhan Wakayama. Mereka mengekori perompak ini dan menumpaskan seorang demi seorang.

 

Oono berpuas hati dengan mereka berdua, lantas bersetuju menawarkan bantuan pabila Ryouji memintanya kelak.

 

Onii-san, mengapa Oono tidak membayar kita?”

 

“Dia akan membayarnya kemudian.”

 

“Membayar kemudian?”

 

“Ya, Miko. Nanti kau akan tahu juga apa sebabnya.” Balas Ryouji yang melangkah lebih laju seolah mengelak dari Hisamiko. Hisamiko terpinga-pinga di belakang. Dalam hati Ryouji berbisik, ia sebagai persediaan. Ogasawara nampaknya pulau yang sesuai untuk kita melarikan diri dari sini jika perlu kelak, jika engkau sudah berubah menjadi seperti ramalan itu, Miko. Namun aku hanya boleh meminta bantuan Oono sekali sahaja. Kerana aku hanya membantunya sekali sahaja. Aku harap aku akan dapat bantuan yang sekali ini, jika aku memerlukannya kelak.

 

**

 

Pekan Narai-juku

 

Sudah tiga tahun lebih pekan ini dilanda kebakaran besar, yang dilakukan orang-orang Hamada demi menangkap Ryouji, Hisamiko dan Tsuneki.

 

Kini ia pantas memulih. Rumah-rumah yang dahulu hitam hangus kini telah pun dibaiki. Dalam beberapa bulan pertama selepas tragedi, lorong utamanya lengang. Namun disebabkan pekan ini persinggahan pedagang, ia amat penting buat mereka yang perlu berehat dan menukar kuda sebelum meneruskan perjalanan jauh ke timur. Disebabkan itu Maharaja mempercepatkan pembinaan semula pekan ini. Kogen turut menyumbang peruntukan kepada usaha pembaikan.

 

Pasukan polis ditambah demi mengawal keadaan agar tragedi kebakaran itu tidak berulang lagi. Polis dilengkapi dengan senjata moden. Namun jika penjenayah itu tahu kaminari, senjata moden seperti pistol mungkin sukar menumpaskan mereka.

 

Penduduk masih mengharapkan duo bernama yoru-no-kaze itu membantu mereka. Duo itu semakin terkenal di serata Jepun. Mereka tahu kaminari dan mereka harapan terakhir jika polis gagal menumpaskan penjenayah. Berita tentang keboleharapan mereka tular seperti api yang marak membakar hutan kering. Ia hinggap dari kota ke kota, dari sejauh-jauh Hakata di Kyushu hingga ke Aomori di muncung utara Honshu.

 

Narai-juku masih kekal aman sejak kebakaran besar pada hari itu. Kedai-kedai makan dan rumah persinggahan beroperasi seperti biasa. Hanya sekali-sekala ada pertengkaran antara pelanggan dan tuan kedai atau rumah, namun itu semua berjaya diselesaikan oleh bugyou yang ditugaskan di pekan itu oleh Maharaja.

 

Bekas samurai yang berkeliaran di hutan berhampiran mulai memasuki shukuba-shukuba pabila polis Maharaja kerap berkawal dan menghalau mereka dari mengganggu pedagang yang melalui Nakasendo merentas hutan itu. Mulanya mereka masuk ke shukuba dan meminta makanan dari kedai-kedai makan dan rumah persinggahan. Tuan-tuan kedai berasa kasihan dan memberi mereka makan juga melihatkan mereka yang cengkung kelaparan, namun pabila terlalu kerap, tuan-tuan kedai mulai muak dan bersikap dingin dan menghalau mereka. Ada antara mereka datang makan namun tidak menjelaskan bayaran dan menyebabkan berlaku pertelingkahan dengan tuan kedai.

 

Di satu kedai soba di Narai-juku, seorang lelaki tua bernama Okuyama yang bekerja sebagai pelayan seperti biasa menemui pelanggan dan meminta bayaran di meja mereka. Satu hari seorang ronin masuk dan memesan soba. Selepas makan, ronin itu langsung bangkit dan cuba melarikan diri, namun ditahan Okuyama dengan teguran.

 

Ronin itu berpaling, dan cuba menarik pedangnya. Mujur Okuyama juga tahu berpedang, maka ronin itu tidak dapat mengapa-apakannya. Keesokannya, ronin itu datang sekali lagi dengan membawa rakan-rakannya dan berlakulah pertarungan di luar kedai. Okuyama berjaya menewaskan semua ronin-ronin itu.

 

Namun nasib tidak selalu menyebelahi Okuyama. Ronin-ronin itu nekad. Satu malam, mereka menculik Okuyama yang sedang menutup kedainya dan tidak bersenjata. Okuyama dibawa ke sebuah persembunyian. Di sana dia diseksa. Jarinya dipotong satu-persatu.

 

“Orang tua, selepas ini aku akan potong tanganmu.”

 

“Buatlah apa kalian mahu, aku tetap tidak akan menerima kalian ke kedaiku lagi. Aku hanya berniaga, dan kalian hanyalah penangguk!” Tegas Okuyama, wajahnya berkerut menahan kesakitan akibat dipotong jari.

 

Kala ronin itu cuba mencantas lengan Okuyama, dia ditetak kelibat hitam bertopeng kabuki, namun tetakan itu sempat ditahannya. Dari pandangan Okuyama, kelibat itu memakai pakaian serba hitam dan bentuk badannya wanita. Dia memakai topeng kabuki. Kelibat itu bertarung beberapa ketika dengan ronin itu sehingga ronin itu berjaya disembelihnya. Nasib yang sama menimpa rakan-rakan ronin itu.

 

Okuyama dibawa wanita berpakaian hitam dan bertopeng kabuki itu ke sebuah rumah tabib untuk dirawat. Esoknya, Okuyama pulang ke rumah dan menceritakan kisahnya. Dia tidak lagi bertemu wanita itu sejak malam tersebut.

 

“Itu pasti yoru-no-kaze.” Tebak salah seorang rakan Okuyama.

 

“Tidak mungkin.” Celah seorang lagi, seraya menyambung, “Yoru-no-kaze itu berdua. Sedang Okuyama-san katakan tadi bahawa dia hanya berseorangan.”

 

“Apakah yoru-no-kaze sudah berseorangan? Apakah pasangannya sudah terbunuh?” Soal rakan Okuyama yang ketiga.

 

“Boleh jadi begitulah.” Okuyama mengutarakan fikirannya. “Kerana kepantasannya, aku fikir dia tahu kaminariYoru-no-kaze tahu kaminari.”

 

“Jika demikian, yoru-no-kaze tidaklah sekuat yang disangka. Mereka kuat hanya ketika berdua.”

 

“Atau mungkin, mereka sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing?”

 

“Boleh jadi.”

 

“Hmm. Adakah mereka pasangan suami isteri, dan penceraian telah menyebabkan mereka terpisah? Atau mereka pasangan adik-beradik?”

 

“Tiada siapa pun yang tahu.”

 

“Jika mereka membawa haluan masing-masing, mereka mungkin tidak akan sekuat seperti yang digambarkan. Mereka hanya boleh menghasilkan ribut jika mereka berdua.”

 

Tanpa mereka sedari, wanita berpakaian hitam itu sedang mendengar mereka di atas bumbung. Wanita itu hanya tersenyum di balik topeng kabuki yang dipakainya.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov