Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 6

Pertarungan mereka terhenti di tengah-tengah.

 

Ryouji dan Saitou masing-masing mencungap.

 

“Gunakan kemahiran terbaikmu Saitou. Keluarkan semuanya. Buktikan engkau samurai. Bukankah Takasaki sudah tiada? Tiada alasan lagi untuk engkau melarikan diri.” Cabar Ryouji.

 

Perkataan ‘melarikan diri’ itu sudah cukup membangkitkan kemarahan Saitou. Tiada samurai melarikan diri dari pertarungan. Sama ada mereka mati ditewaskan atau di-seppuku-kan, atau hidup memenanginya.

 

“Engkau sudah menambahbaik, Ryouji.” Saitou cuba berpura-pura tenang, namun di hati siapa tahu maraknya api kemarahan.

 

“Ya, jika tidak masakan aku mampu menewaskan Empat Celaka yang dihantar kalian?” Ryouji mencurah minyak ke api lagi.

 

“Usah terlalu bongkak, kerana aku belum mengeluarkan sepenuh kemahiranku lagi.”

 

Aku tidak boleh membunuh budak ini. Yoshinobu-sama pasti akan memenggal kepalaku sekiranya aku melakukannya.

 

Namun aku tidak peduli. Budak ini adalah saksi pembunuhan di kuil itu. Aku akan membunuhnya. Bahkan dia mempermain-mainkan maruahku! Aku sudah tidak peduli, persetankan keluargaku dan pekerjaan di sini. Aku akan bunuh budak ini!

 

Saitou tidak pernah dikuasai amarah sehebat ini. Di Kyushu tiada sesiapapun yang berani bertarung pedang dengannya. Dia ialah samurai terbaik Hamada, setanding Tsugiyama. Dia jaguh di Honshu, dan juga di Kyushu. Kemahiran berpedangnya ialah yang terbaik dalam kalangan mereka yang tidak boleh mencapai tahap Okuhida dan Shirasaka. Dengan kematian Mitsuo, Takasaki, dan Tsugiyama, dia ialah satu-satunya samurai terbaik yang masih berbaki dan pernah berkhidmat kepada keluarga Hamada.

 

Namun gerakannya kini kucar-kacir. Ia bukan lagi diatur mengikut rentak yang biasa dipelajari dan diatur akal dan pengalaman. Ia dikucarkacirkan amarah, lantas mudah bagi Ryouji menyahsenjatakannya. Saitou tersungkur akhirnya sedang pedang Mariko terlepas dari tangannya. Hisamiko melopong dari balik hutan buluh. Tatsuya perlahan-lahan menggerakkan tangannya mencari tantou yang diselit di pinggang.

 

Saitou, sedang masih tertiarap, memandang Tatsuya seperti mengisyaratkan sesuatu. Tatsuya faham renungan Saitou, seraya pantas membaling tantou ke arah leher Ryouji.

 

Onii-san!” Laung Hisamiko seraya keluar dari hutan buluh.

 

Ryouji tersungkur. Darah mengalir deras dari bahunya. Sempat dia mengelak lemparan pisau itu dari mengenai lehernya, namun pisau itu masih tercacak pada bahu kanan. Mungkin nyawanya sudah melayang jika dia terleka sedikit tadi.

 

Saitou tersengih. Dia bangkit dan menepuk-nepuk pakaiannya dari debu tanah.

 

“Engkau main kotor...bajingan...” Ujar Ryouji dalam lemah. Bangsat...mereka terlepas lagi dari tanganku nampaknya.

 

Onii-san...”

 

Hisamiko datang mendekati Ryouji, menarik pisau itu perlahan-lahan keluar dari bahunya. Kemudian dia mengeluarkan kain yang selalu dibawa dan membalut luka Ryouji.

 

Tatkala Tatsuya dan Saitou cuba mendekati mereka, Hisamiko berteriak.

 

“Jangan engkau dekati kami!” Hisamiko berdiri dengan pedang terhunus. Ryouji tergamam sedang masih duduk di atas tanah.

 

“Hisamiko...”

 

“Aku akan melindungimu onii-san. Usah kau risau.”

 

Ryouji sebenarnya tidak mahu melibatkan Hisamiko. Namun mengambilkira bagaimana Hisamiko bertahan dalam insiden-insiden sebelum ini di Saikawa dan Yokuma, dan peningkatan kemahiran bertarungnya tahun demi tahun, bahkan telah membantunya menewaskan Hamada, Ryouji memutus kali ini untuk berjudi dengan Hisamiko.

 

Namun aku tidak boleh sekali-kali memanjakan diriku dengan bantuan Hisamiko. Mungkin, dalam saat-saat begini, bantuannya amat berguna. Namun jangan sekali-kali memanjakan diriku kelak.

 

 “Wahai bijin (perempuan cantik), berani sungguh engkau. Apa kata engkau serah diri sahaja ojou-chan?”

 

Hisamiko tidak berganjak. Dia mengitari hadapan Ryouji, mengawasi mereka dari cuba-cuba mendekati abangnya. Dia memerah derianya bagi menghasilkan gelombang pengesan besi. Dia tahu Tatsuya sedang bersedia melempar sebilah lagi tantou.

 

Tepat telahannya, Tatsuya membaling sebilah lagi tantou ke arah Hisamiko. Namun pantas Hisamiko menghentak pedangnya ke tantou yang sedang melayang itu dua kali dengan pantas, memecahkannya kepada tiga.

 

Melopong Tatsuya. Selalunya petarung akan bertarung terlebih dahulu sebelum mengenal bahagian lemah satu-satu bilah di mana ia mudah dipecahkan. Bagaimana gadis ini mampu mengesan lokasi lemah bilahku? Dan libasannya pantas sekali.

 

Saitou meluru pantas ke arah Hisamiko dan melibas pedangnya. Saitou sememangnya sudah hilang akal, libasannya dilakukan bertujuan membunuh Hisamiko. Maruahnya sudah dicalarkan kata-kata Ryouji dan tidak pernah dia dihina sebegitu seumur hidupnya.

 

Hisamiko tidak gentar. Sepertimana sewaktu dia bertarung dengan Shizuo di Nambashi dahulu, gerakannya diatur bagi memanipulasi gerakan lawan agar dibalikkan semula bagi mencederakan atau menyukarkan lawan itu. Pedang Saitou juga dipecahkan tiga. Muka Hisamiko merah berapi. Matanya merah menyala merenung mereka seperti seekor naga yang sarangnya diceroboh.

 

Ryouji tergamam. Mereka sememangnya sudah hilang akal dan mahu membunuh kami!

 

Lebih mengejutkan Ryouji, wajah Hisamiko amat berlainan seperti seolah-olah sedang dirasuk.

 

“Hisamiko...” Ryouji cuba menegur adiknya.

 

Onii-san, biar aku uruskan mereka.” Balas Hisamiko bagi membuktikan bahawa dia masih sedang mengawal diri. Ryouji sedikit lega namun dia sudah pun berdiri dan bersedia membantu Hisamiko sekiranya dia tidak mampu menundukkan mereka. Tangan kirinya memegang hulu pedang.

 

“Saitou, engkau nampak apa yang aku nampak?” Soal Tatsuya, suaranya jelas bergetar ketakutan.

 

“Bukankah itu jurus kesepuluh?” Soal Saitou.

 

“Aku tidak pasti. Aku fikir baik kita beredar sahaja dari sini.”

 

“Engkau pengecutkah? Dia hanya seorang gadis.”

 

“Saitou, pernahkah engkau mendengar berkenaan Kaisenjyo?”

 

“Kaisenjyo? Ah... itu karutan. Aku pernah mendengarnya dari Mitsuo. Mereka akan muncul dari mana-mana puak yang membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami seperti puak Okuhida.”

 

“Aku fikir dia di hadapan kita sekarang. Bukankah dia anak Mitsuo?”

 

“Apa maksudmu?”

 

“Siapa yang mampu menetak bilah yang sedang terbang dua kali hampir serentak sehingga terbelah? Dan pedang engkau pun boleh terbelah sedangkan ia pedang rahsia mereka? Mereka yang berada di jurus kesembilan pun tidak mampu melakukannya.”

 

Saitou tidak mengendahkan kata-kata Tatsuya. Dia lebih tertumpu kepada Hisamiko yang semakin mendekatinya.

 

“Kalian beredar dari sini dan jangan lagi muncul di hadapan kami.” Hisamiko memberi amaran keras. Suara Hisamiko kedengaran normal di telinga Ryouji namun amat berlainan di telinga Saitou dan Tatsuya. Kelangsingan lebih rendah seolah-olah bukan datang dari tenggoroknya.

 

Saitou merenung mata Hisamiko yang merah menyala. Tidak semena-mena wajah Saitou berubah kelam. Gambaran seorang wanita asing menjelma tiba-tiba, membayangi Hisamiko seperti kabus di hadapannya. Wanita asing itu bertelinga runcing menikam udara, rambutnya ada jalur-jalur putih dan panjang mengurai, ada taring keluar dari rahang atasnya. Meski wajah wanita itu sungguh jelita bak Yamato Nadeshiko yang digambarkan para pujangga, telinga runcing dan siungnya memberi kontras menakutkan. Tambahan, dalam benak Saitou memikirkan mungkin hanya dia seorang yang melihat lembaga itu.

 

Saitou perlahan-lahan menapak undur seraya berkata perlahan kepada Tatsuya, “Tatsuya, kita beredar dahulu. Aku fikir engkau benar.”

 

Mereka melarikan diri akhirnya jauh ke dalam hutan. Hisamiko masih berdiri di lokasinya sehingga dua penyangak itu hilang dari pandangan, tenggelam dalam batang-batang pokok hutan. Hari sudah tengahari dan cahaya matahari menusuk dari celah-celah daun hutan dan rimbun buluh.

 

Ryouji terpinga-pinga. Apa yang sedang berlaku?

 

**

 

Onii-san, kita berehat dahulu di rumah. Aku lihat tadi bilikmu masih terlindung, atapnya masih utuh. Aku cuma perlu membersihkannya.”

 

Arigatou, Miko. Sebentar, apa kau buat di bilik kami?” Ryouji menyoal kehairanan.

 

“Cuma melihat-lihat. Manalah tahu aku bertemu peninggalan Tsuneki.”

 

Tsuneki. Nampaknya Hisamiko masih belum dapat melupakanmu. Andai aku dapat meleburkan nestapa dan kerinduan Miko terhadapmu. Sayangnya, engkau langsung tidak meninggalkan apa-apapun selain kenangan kenakalannya yang mencuit hati-hati kami, dan juga peninggalan yang tidak disangka-sangka. Iaitu kuasa Higashihara.

 

Budak bertuah engkau Tsuneki! Mengapa engkau begitu berani mengorbankan dirimu? Pada umur semuda itu? Pada umur semuda itu engkau sanggup menggadaikan nyawa demi melindungiku? Apa yang engkau fikirkan pada saat itu, Tsuneki?

 

Mata Ryouji mulai panas tatkala dia mengenang Tsuneki. Cepat-cepat dia mengelamun perkara lain sebelum tumpah lagi air matanya.

 

Hisamiko memapah abangnya menuju sisa puing rumah Takasaki. Lengan kanan Ryouji dipaut mengelilingi bahu Hisamiko yang rendah dan hanya berketinggian lima kaki tiga inci itu.

 

Keras bahumu Miko. Tidak langsung seperti gadis-gadis normal. Engkau tampak lebih kuat berbanding gadis seumurmu. Apakah aku telah silap mendidik Hisamiko dalam tahun-tahun belakangan ini sehingga menjadi begitu jantan tubuhnya?  

 

Tatkala mereka melalui hadapan taman bonsai, kelibat Tsuneki sedang berlari-lari di hadapan bangku itu dikejar Azuchi menerpa mata. Pedih, sehingga bergenang. Kelibat itu menghilang tatkala mata kabut dek air yang bergenang. Ryouji memejam buka matanya membiarkan ia mengering ditiup bayu kering musim luruh.

 

Ryouji duduk di atas katil sedang Hisamiko menyapu daun-daun dan tanah di atas lantai. Pasti dibawa ribut. Tingkap bilik itu juga terbuka. Habis tilam-tilam itu dicemari daun-daun kering dan tanah.

 

Mereka tidak bercadang untuk bermalam di sini. Kawasan ini terlalu terbuka dan kotor sekali. Banyak binatang sudah mula membuat sarang mereka di sini. Pencucian yang dilakukan Hisamiko sekadar memberi ruang kepada Ryouji untuk berehat di atas katilnya sejenak sementara menunggu bahunya pulih.

 

Onii-san, siapa yang menjaga kuil keluarga Funazuki di seberang?”

 

“Aku dengar dari Koichi, ia kini diambilalih Kogen. Mengapa?”

 

“Apakah mereka masih mengekalkan fungsi rumah penginapan di situ?”

 

“Aku dengar begitulah. Juga fungsi kuilnya masih dikekalkan.”

 

“Nampaknya kuil itu masih hidup.”

 

“Sememangnya. Aku dengar Kogen menambah pusat rawatan di situ. Mungkin kerana tempat ini terlalu jauh dari kuil beronsen Furukawa.”

 

Kogen mengambilkira peristiwa Chisato disuntik aotsuyu sehingga aku terpaksa berkuda ke kuil beronsen Furukawa.

 

“Aku mahu ke sana sebentar memanggil tabib. Engkau tunggulah di sini. Aku fikir Saitou dan pengikutnya tidak akan kembali ke sini.” Ujar Hisamiko.

 

“Miko...sebentar. Apa yang berlaku tadi? Aku lihat mereka ketakutan sewaktu merenungmu.”

 

“Aku pun tidak tahu. Namun aku tidak kisah kerana yang penting, mereka sudah berambus dan tidak mengganggu kita lagi.”

 

Hisamiko bergerak menuju ke kuil di seberang Sungai Miya untuk memanggil tabib. Tidak lama kemudian datang seorang tabib bersamanya. Tabib itu menyuntik sejenis ubat demi mencegah kancing gigi. Hisamiko memberitahu dia melihat karat pada pisau Tatsuya. Pasti pisau dari besi jenis murah. Barangkali disebabkan itu juga Hisamiko begitu mudah memecahkannya. Tabib itu membantu memapah Ryouji ke kuil Funazuki di seberang Sungai Miya. Mereka bermalam di pusat rawatan di sana.

 

“Apakah engkau ke sini hanya kerana rindukan rumah itu, onii-san?” Soal Hisamiko tatkala mereka bergerak ke kuil itu.

 

“Itu sebahagian dari tujuanku. Selebihnya demi menunaikan wasiat Imagawa.”

 

“Wasiat Imagawa?”

 

“Ya. Aku perlu menanam patung kayu adiknya Tsugiyama di kuburnya. Aku fikir kuburnya di sini. Tidak sia-sia aku ke mari, ia memang benar di sini. Aku sangka mayatnya telah dibakar. Rupanya masih ada yang tidak mahu jasadnya menjadi abu.”

 

“Meskipun mereka jahat, masih ada insan yang menganggapnya sahabat.” Ujar Hisamiko selamba.

 

Ryouji sedikit tersentak mendengarkan kata-kata Hisamiko. Seolah-olah kata-kata itu ditujukan kepadanya. Apakah Hisamiko memaksudkan dia dengan Kobato? Tidak, pastinya tidak. Namun Hisamiko benar. Sejahat mana sekalipun seseorang, mereka pasti punya ibu, bapa, anak, rakan...

 

Dunia ini tidak semudah hitam dan putih, Ryouji. Kata-kata Imagawa kepadanya pada malam sebelum misi di Yokuma itu bermain-main di benaknya.

 

Itulah kehidupan. Dalam musuh, ada sahabat yang merindu. Dalam hanyir pembunuhan dan peperangan, ada nyawa yang dibela. Dalam kotor permainan perniagaan, ada mulut untuk diberi makan, ada risiko perniagaan yang mengharapkan perlindungan. Namun dalam daging, ada duri yang mencengkam. Dalam sayang, ada perbezaan yang menguji.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov