Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 71

Kompleks makmal penyelidikan senjata Kogen terletak di hujung Shirasaka-no-Kogen, hampir dengan Gaung Maut dan jauh serta terlindung dari perkampungan, sawah padi dan kompleks bangunan-bangunan pejabat pengurusan oleh pokok-pokok sugi yang sengaja ditanam. Kompleks ini terdiri daripada bengkel relau tempat menempa dan membaiki pedang-pedang Kogen, dan juga tempat menyelidik senjata biologi, kimia dan senjata api. Oleh itu, kompleks ini merupakan destinasi utama di Shirasaka-no-Kogen bagi penghantar bekalan bahan mentah seperti tamahagane, bahan-bahan kimia seperti garam Chile, asid, bancuhan kultur mikroorganisme, tumbuhan-tumbuhan herba dan lain-lain. Kompleks penyelidikan lain di Kogen ialah kompleks makmal penyelidikan ubat-ubatan dan kompleks makmal penyelidikan pertanian, namun disebabkan keterhadan ruang, maka kedua-dua makmal ini terletak di sebuah kawasan tersembunyi di Gunung Kogen yang hanya boleh dilawati oleh mereka yang telah diberi kebenaran oleh keluarga Shirasaka.

Shinji sedang duduk membaca berseorangan di dalam bengkel relau di kompleks penyelidikan senjata, memikirkan kaedah baru bagi menambahbaik Saishi-tou demi memenuhi janjinya dengan Ryouji, sebelum tiba-tiba pintu bengkel relau diketuk.

“Ya, Musashi-san.” Shinji berdiri di muka pintu gelangsar.

“Seperti biasa. Bijih tamahagane, dan resin aomomiji yang engkau tempah.” Musashi membawa turun seguni bijih dan sebuntil kain berisi resin.

ArigatouNe Musashi-sanchotto ii ka (boleh tunggu sebentar)?”

Hai, doushita no (ya, ada apa)?”

“Engkau akan menghantar guni-guni lain garam Chile itu ke hab simpanan senjata bukan?” Shinji menunjuk ke arah guni-guni kembung di dalam gerabak tunggal kereta kayu yang tidak berbumbung dan ditarik dua ekor kuda yang dikawal Musashi itu.

“Ya. Mengapa?”

“Bagaimana jika aku mahu mengikutmu masuk ke sana?”

Ano, Shinji. Bukan aku tidak mahu...”

“Ini...” Shinji mengeluarkan sesuatu yang disorok di balik pintu dan menayangkan kepada Musashi.

Mata Musashi membeliak melihat objek yang disuguh Shinji.

“Aku dengar engkau banyak kali diancam panah oleh orang-orang Hamada yang cuba mencuri bahan-bahan mentah kita. Aku telah siapkan baju rantai (chainmail) ini untukmu.”

“Shinji, arigatou. Ahaha...baju begini hanya tentera sahajalah yang memakainya, Shinji. Ia terlalu mahal untukku.”

Musashi menyambung, “Namun engkau tahu bukan aku tidak punya kuasa membenarkan engkau ke sana. Semua atas keluarga Shirasaka.”

“Tidak, tidak perlu kebenaran begitu. Aku cuba dahulu mengikutmu, dengan menyorok di balik guni-guni itu. Jika kuasa Shirasaka menghalangku, maka aku terpaksalah bertemu mereka dahulu.”

“Mengapa tidak sahaja engkau meminta kebenaran Kotobuki-san terus? Bukankah dia rapat denganmu?”

“Tidaklah serapat yang engkau fikirkan. Namun aku fikir lebih mudah mengikutmu. Kotobuki pasti tidak akan membenarkan sembarangan orang masuk ke sana, dan aku malas berbasa-basi dengannya demi mendapatkan kebenaran. Dia amat sukar.”

“Dengan merancang ini, engkau telah beranggapan awal bahawa kuasa mereka tidak akan berkesan ke atasmu?”

“Aku fikir begitulah.”

“Apa alasanmu?”

E to, aku pun tidak pasti. Aku fikir aku boleh menghindarnya.” Tidak, aku tidak boleh memberitahu Musashi bahawa aku dari keturunan Amaguri. Tujuanku menyelinap ke tempat simpanan senjata ialah demi memastikan bahawa jika aku boleh menghindar kuasa Shirasaka, barangkali aku boleh memasuki kawasan-kawasan rahsia lain juga. Seperti penjara mereka.

“Engkau memang peliklah Shinji. Baiklah, ke sini baju rantai itu.”

Musashi membelek-belek baju rantai. “Dari mana engkau dapat bijihnya? Ia nampak baru. Tiada tompok karat.”

“Aku tidak membuatnya di sini, Musashi-san. Aku membelinya dari seseorang dengan wang sendiri.”

Hontou ka (sungguh)?”

Hontou da yo (sungguh). Rakanku kenal pembekal dari kalangan pedagang Belanda. Musashi-san, hanya pakai di dalam sahaja dan jangan heboh-hebohkan.”

“Selalunya ia dipakai di luar. Namun baju begini tidak sesuai dikenakan bersama kimono maka aku memang akan memakainya di dalam. Usah bimbang Shinji, aku tidak akan hebohkan pemberian ini kepada sesiapapun.”

Arigatou.”

Ne, Shinji. Tunggu di sini esok.”

Shinji tersenyum lebar sebaik Musashi beredar jauh dari pandangan.

Terima kasih Inoue-san membelikan aku baju rantai antik itu dari pedagang Belanda. Aku tidak akan melupakan jasamu. Baju itu amat berkualiti kerana ia direka khas bagi mengalis peluru juga. Kelulinya setanding dengan keluli dalam bilah katana.

**

Esoknya, Musashi datang lagi dengan membawa kereta kuda berisi guni-guni. Kali ini juga guni berisi tamahagane untuk disimpan di hab simpanan senjata.

“Ayuh, cepat. Kita tidak punya banyak masa.”

Shinji melompat masuk ke dalam gerabak kereta kuda dan menyorok di balik guni-guni.

“Jika kuasa Shirasaka menghalangmu, engkau akan tertinggal di belakang, barangkali di tengah-tengah padang rumput tanpa engkau sedar.” Musashi memaklumkan sebelum dia menggerakkan kereta kudanya. “Jika demikian, tunggu sehingga aku kembali.”

“Faham.”

Kereta kuda itu membawa mereka mengelilingi denai sekeliling Shirasaka-no-Kogen sehingga tiba di kawasan yang lebih rendah dari Kogen-no-shita. Kemudian mereka menuruni cerun landai yang lurus sehingga tiba di lereng berumput dan ditumbuhi pokok-pokok gunung yang berjarak.

Shinji menjulur keluar kepala dan mengintai dari balik guni-guni bagi merakam persekitarannya. Mereka menuju ke kawasan yang dipenuhi batu-batu besar di tepi sebuah bukit yang hanya ditumbuhi rumput. Di balik batu-batu besar itu rupanya sebuah terowong.

Mereka memasuki terowong itu. Sekejap sahaja, sekeliling kembali terang.

“Shinji? Engkau nampak apa yang aku nampak?”

“Ya. Tembok-tembok batu yang tinggi. Dua orang pengawal di pintu gerbang utama.”

“Maka engkau dibenarkan masuk ke kawasan ini. Inilah penjara Kogen.”

Penjara?

“Abaikan ia dahulu. Kita akan ke tempat simpanan senjata di hadapan sana.” Musashi mengerah kudanya.

Shinji teruja. Maka dia dibenarkan masuk ke kawasan penjara oleh Shirasaka. Namun masih terlalu awal untuk bergembira. Dia perlu memastikan bahawa dia juga dibenarkan memasuki tempat simpanan senjata.

Musashi berhenti sekali lagi, jauh sedikit dari pintu masuk kawasan simpanan senjata.

“Sekarang kita sudah sampai. Sekali lagi soalanku, engkau nampak apa sekarang?”

“Tembok batu juga. Kali ini lebih rendah dari tembok batu penjara itu.”

“Bagus. Engkau tidak terkesan oleh kuasa Shirasaka nampaknya.”

Shinji menjerit kegembiraan, dalam hati. Aku tidak tahu mengapa aku tidak terkesan oleh kuasa itu, mungkin kerana aku berdarah Amaguri. Terima kasih Musashi membantuku.

“Sekarang engkau bersembunyi baik-baik. Mereka akan memeriksa guni-guni itu. Ingat semua yang kita telah setujui.”

“Baik, Musashi-san.”

Shinji menyorok pada bahagian sudut gerabak itu, di bawah guni-guni dengan mengekalkan susunan asal guni-guni tersebut. Sebelum bertolak pada hari tersebut Shinji menerangkan perancangannya, di mana ia dipersetujui oleh Musashi.

“Aku sebenarnya ingin melihat apa yang ada di dalam kawasan simpanan senjata itu.”

“Untuk apa?”

“Hanya melihat. Aku mahu mendapatkan gambaran.”

“Gambaran?”

“Apakah Kogen ada bahan kimia yang aku perlukan.” Shinji berbohong di sini.

“Untuk apa?”

“Aku ingin memperbaharui komponen badan senjata api yang kami jiplak dari versi pedagang Belanda.” Shinji menambah bohong lagi.

“Gigih benar engkau. Mengapa tidak sahaja engkau minta aku lihatkan?”

“Aku tidak boleh memberitahumu bahan kimia itu. Sekiranya berjaya, ia akan dijadikan formula rahsia Kogen.” Lagi dia berbohong.

“Hmm. Apa-apalah. Ingat Shinji, kebiasaannya mereka akan memeriksa lapisan guni teratas saja. Dan jangan alih guni-guni itu. Hanya menyorok di bawahnya. Jika engkau alih, susun kembali ke kedudukan asal agar mereka tidak mengesyaki kita.”

Ryoukai (faham).”

**

Kereta kuda itu menapak di tepi bangunan kayu yang panjang, tingginya setingkat dan berbumbungkan jerami tebal, bumbungnya amat tinggi, setinggi empat ekor kuda dewasa berdiri di atas satu sama lain. Sengaja Musashi memberhentikan kereta itu agar pintu belakang gerabak berhadapan benar-benar dengan pintu masuk ke bangunan itu.

Sebaik dia membuka pintu belakang gerabak, dia memanggil Shinji separa berbisik.

“Shinji, engkau boleh keluar sekarang.”

Shinji turun. Dia terus masuk ke dalam bangunan kayu yang panjang dan tinggi itu. Di hadapannya ada longgokan guni-guni. Rupanya bangunan itu gudang simpanan bahan mentah untuk pembuatan senjata. Satu kawasan hanya ditempatkan guni-guni berwarna perang. Satu lagi kawasan menempatkan guni-guni berwarna kuning.

“Sini ialah gudang simpanan. Engkau boleh meninjau sekeliling. Bukankah itu ‘gambaran’ yang engkau mahukan?”

“Apa dalam guni perang itu?”

“Belerang.”

“Kalian masih menggunakan belerangkah?”

“Ya. Kami tidak mahu membazirkannya. Ia dilombong dari lombong belerang di rumah perlindunganmu dahulu.”

“Bukankah belerang digunakan dalam ubat bedil berasap? Bukankah itu berbahaya kerana ia mendedahkan lokasi penembak?”

“Benar. Namun kami tidak menggunakannya dalam pistol mahupun senapang. Kami menggunakannya dalam meriam. Lokasi meriam tidak penting kerana musuh semestinya tahu ia berada di benteng pertahanan.”

“Meriam?”

“Di atas bukit pada setiap lapan pintu masuk ke pergunungan ini, kami meletakkan meriam sebagai persediaan sekiranya kami diserang secara besar-besaran, seperti peperangan.”

“Pintu masuk pergunungan...maksudmu yang terletak di luar Gaung Maut?”

“Ya. Setiap dari kalian yang masuk ke sini pasti akan melalui salah satu dari pintu-pintu tersebut. Dari mana engkau masuk pada hari perpindahanmu ke sini?”

“Aku masuk dari pantai Yozehama.”

“Maka itu Pintu Barat. Tujuh lagi pintu lain dinamakan dengan arah mereka, seperti Pintu Timur Laut, Pintu Timur, Utara dan Selatan. Empat dari pintu-pintu ini ialah terowong bawah tanah.”

“Terowong-terowong ini tidak akan merentas Gaung Maut bukan?”

“Pandai engkau. Benar. Ia hanya merentas perut Daratan Titian. Namun mereka yang tidak dibenarkan memasuki oleh kuasa Shirasaka, akan turut tersesat meskipun sudah memasuki bahagian terowong ini di bahagian Daratan Titian. Daratan Titian ialah benteng terakhir yang dikawal oleh kuasa Shirasaka.”

“Jika kuasa Shirasaka lesap, mana-mana penceroboh yang merentas Daratan Titian, baik melalui terowong di bawahnya mahupun mengikut daratan itu, akan berjaya sampai ke Gunung Kogen?”

“Benar. Tetapi sebelum mereka berjaya sampai, mereka perlu terlebih dahulu berhadapan dengan pengakap Kogen yang mengawal Daratan Titian di luar Cincin Penampan atau Gaung Maut itu.”

“Musashi-san, engkau tahu begitu banyak perkara.”

“Aku bekas pengakap Kogen.”

Naruhodo ne (baru kutahu). Bagaimana engkau boleh bekerja mengangkut bahan mentah pula?”

“Aku ditawarkan gaji lebih tinggi. Aku tidak tahu mengapa Omi begitu berhati-hati sekarang sehinggakan semua pengangkut bahan mentah digaji dari kalangan mereka yang tahu bertarung. Barangkali mahu mengurangkan risiko bahan mentah dirompak dan merugikan Kogen. Begitu ketat dia mengawal kewangan Kogen sekarang.”

Nampaknya Musashi-san tidak tahu apa-apapun berkenaan motif sebenar Omi, getus Shinji.

Shinji berjalan menuju bahagian lain gudang simpanan itu. Dia mendapati guni-guni kelabu diletakkan bertimbunan di sisi kirinya. Itu guni berisi tamahagane. Di hadapannya ialah sebuah pintu ke bahagian lain gudang.

“Apa dalam bahagian itu?”

“Garam Chile dan bahan-bahan kimia lain yang perlu dihindarkan dari udara lembap.”

Shinji memasuki bahagian gudang itu. Musashi mengekorinya, kemudian bersuara sebaik mereka berdua di dalam.

“Shinji, aku akan keluar mengangkut guni-guni tamahagane itu masuk. Selepas engkau selesai nanti, pindahkan guni jerami dengan serbuk putih di luar bilik ini ke dalam.”

“Baiklah. Apa tujuan guni serbuk putih itu?”

“Demi mengeringkan lembapan dalam bilik ini. Tutup pintu bilik ini ketika engkau di dalam, dan selepas engkau meninggalkannya.”

Ryoukai.”

Shinji mengamati bahan-bahan yang disimpan di dalam bilik gudang itu. Di tepi atas bumbung bilik dipasang batang-batang besi, seperti penjara. Udara luar dibiarkan masuk dan keluar pada waktu itu dengan penutup pada batang-batang besi ditopang buka menggunakan penyangga kayu. Mungkin cuaca sejuk pada musim awal musim luruh ini menghantar udara kering masuk dan keluar.

Ada guni bertuliskan ‘garam Chile’. Ada guni bertuliskan nama bahan kimia yang tidak pernah didengarinya. Namun Shinji mengambil peluang mencatit nama-nama tersebut ke dalam buku nota yang dibawanya. Juga kedapatan guni-guni berisi beras dibiarkan di situ bagi menyerap lembapan.

Melihatkan kuantiti bahan-bahan ini, dan bahan di luar, aku syak mereka sememangnya melakukan persediaan untuk berperang. Garam yang disimpan di sini terlalu besar kuantitinya. Meskipun mereka cermat menghindarnya dari kelembapan, paling lamapun kuanggarkan hanya akan bertahan selama tiga bulan di dalam simpanan.

Bererti, mereka akan berperang dalam masa terdekat? Tidak mungkin. Atau garam ini digunakan untuk tujuan lain juga, seperti membaja tanaman? Aku perlukan bantuan Ryouji. Bukankah dia didenda di ladang padi huma kami? Selain itu, mungkin juga mereka menggunakannya untuk senjata. Pasti ada kawasan tersembunyi Kogen yang dikhaskan bagi menghasilkan ubat bedil di sini. Ia tidak akan didirikan di Shirasaka-no-Kogen. Pasti sebuah kawasan tersembunyi seperti tempat ini.

Shinji keluar, memindahkan guni serbuk putih ke dalam, dan menutup pintu bilik itu.

“Selesai?” Musashi sudah duduk dan bersedia membawa keluar kereta kuda itu.

“Ya.” Shinji menutup pintu belakang gerabak, dan bersembunyi di balik timbunan jerami.

“Musashi-san, dari mana pula jerami-jerami ini?”

“Oh, aku menukar gerabak lain. Engkau tidak perasan?”

Shinii melihat pintu belakang gerabak. Ada dua selak kunci. Gerabak sebelumnya ada tiga kunci.

“Ya, lain. Ke manakah jerami ini akan dibawa?”

“Ke Kogen-no-Shita. Ada bumbung rumah yang perlu dibaiki. Engkau boleh terus turun pulang ke rumahmu pabila kita sampai di sana nanti.”

 

**

Beberapa hari kemudian, Ryouji menemui Shinji.

“Shinji, bagaimana dengan hari ini?”

“Berkenaan apa?”

“Tentang rancangan kita ke lembah Amaguri.”

“Oh. Apa kata malam ini?” Shinji memerhati sekeliling sebelum mengutarakan cadangannya. Dia tidak mahu Tsuneki atau yang lainnya menyedari perancangan mereka.

Ryoukai.”

Ne, Ryouji. Aku boleh membantumu, dengan satu syarat.”

“Apa dia?”

“Mari, kita duduk di taman zen. Aku rimas di sini, takut-takut ada pencuri dengar.”

Mereka berdua mengambil tempat masing-masing di bangku batu di taman zen.

“Apa yang berlaku sebenarnya ketika engkau ke Suruga?”

E to... . Apakah ini syaratnya agar engkau membantuku ke lembah Amaguri?”

“Ya. Aku mahu memastikan satu perkara.”

Lama Ryouji membisu. Dia berbolak-balik.

Pada hari aku mahu menceritakan pengalamanku di Suruga, aku telah mengubah fikiran. Kebetulan selepas itu Shinji pula sibuk bertanyakan hal pedang Kobato, maka aku layan sahaja. Kemudian dia tidak bertanya lanjut berkenaan pengalaman Surugaku itu dan meninggalkanku. Mungkin hatinya sakit mengingatkan Saki. Entahlah. Dia langsung ke perpustakaan bersendirian seperti biasa.

Jika aku beritahu Shinji, bagaimana tanggapannya terhadap Kogen kelak? Adakah dia akan meninggalkan Kogen tanpa menoleh lagi?

“Ryouji, meski Kogen dibubarkan, aku akan tetap bersama engkau. Dan aku harap engkau bersama aku, Tsuneki dan yang lainnya.” Shinji cuba memancing Ryouji.

E to...

“Haih... .” Shinji mengeluh, melihatkan Ryouji masih teragak-agak. “Ryouji, engkau tidak yakin dengan Kogen bukan? Engkau menaruh syak terhadap pertubuhan ini bukan?”

Ryouji tunduk membisu, kemudian menjawab perlahan, “Benar.”

Sa ne. Aku pun.”

“Engkau pun?” Ryouji terkejut.

“Aku fikir ada pasukan renegad sedang dibentuk.”

Sou ka. Apa yang membuatkan engkau mengesyakinya?”

“Nanti aku kisahkan. Sebelum itu ceritakan dahulu kisahmu di Suruga!”

“Baiklah, baiklah. Begini...”

Ryouji mengisahkan pengalamannya di Suruga, bagaimana dia terpaksa menggantikan Ayame, bagaimana dia gagal melaksanakan tugas Ayame sehingga ia dilakukan Tokui, bagaimana Ayame sembuh dari racun torikabuto.

“Aneh. Pertama kali aku mendengar perkara ajaib begitu berlaku ke atas pemedang handal.” Shinji mengulas dari kisah Ryouji, merujuk kepada bagaimana Ayame sembuh dari racun itu.

“Aku pun tidak faham apa yang telah berlaku.”

“Bayangkan jika engkau tiada Ryouji. Mungkin Touma dan Takumi sudah ditewaskan pasangan itu. Ayame mungkin sudah dibunuh. Kotobuki seperti sudah dapat mengagak Ayame tidak akan mampu menewaskan pasangan itu. Mungkin disebabkan itu dia menghantarmu.”

“Aku fikir pedangmu telah menyelamatkanku, Shinji.”

“Pedang Saishi-tou itu?”

“Ya. Masami-san bertarung setanding Ayame meskipun dia satu jurus di bawahnya. Namun dengan Saishi-tou, aku mampu menewaskan Masami-san sekelip mata, bahkan memudahkan aku naik ke jurus sembilan dengan lebih cepat.”

“Benarkah begitu?” Shinji seolah-olah tidak mempercayai ‘testimoni’ Ryouji. Shinji kemudiannya tersenyum berpuas hati.

“Pedangmu telah membantuku beberapa kali sebelum ini juga. Arigatou.”

Doumo. Namun Ryouji, aku masih menambahbaik proses penghasilannya. Aku fikir ia masih boleh dipecahkan.”

“Maksudmu?”

“Tiada ciptaan manusia yang sempurna. Untuk pengetahuanmu, Saishi-tou masih boleh dipecahkan dengan kelajuan hentakan tertentu oleh pedang lawan, pada bahagian lemahnya.”

“Bahagian lemah?”

“Ya. Semua pedang yang dihasilkan, akan memiliki satu titik lemah terletak mana-mana di antara hujung mata dengan hulunya. Seorang pemedang yang bijak akan mengesan kedudukan titik ini sewaktu bertarung menggunakan bunyi hentakan pedangnya, bagi memudahkannya memecahkan bilah lawan. Ryouji, berhati-hati dengan pemedang berpengalaman. Nasib engkau baik Masami-san belum sampai ke tahap kecekapan begitu.”

“Meskipun selepas dicampur resin aomomiji?”

“Benar, resin itu hanya meringankan bilah dan menguatkannya, namun titik itu masih wujud. Namun mengesannya pada Saishi-tou lebih sukar berbanding pedang biasa.”

“Dan berbalik kepada Skuad Sakura yang engkau kisahkan itu, adakah Ayame sudah menerangkannya lanjut?” Shinji kembali ke topik asal perbualan.

“Tidak. Hanya ketika itu sahaja, ketika dia memujuk tiga orang budak perempuan itu. Apa yang kau tahu lebih tentangnya?”

“Aku bertemu seseorang sewaktu aku dan Tsuneki ke lereng berumput, malam sebelum aku ke Kawamoto. Namanya Hotaru.”

“Hotaru?”

“Ya. Mengapa?”

“Aku pernah mendengar seorang nazir bernama Hotaru dihantar Kogen mengawasi Takasaki, dari Chisato. Chisato mendengar dari Azusa. Hotaru sering datang ke kuil patung Buddha dan patung singa dan berbual dengan Azusa.”

“Mengawasi Takasaki? Maksudmu?”

“Semua penjaga rumah perlindungan akan diawasi dari masa ke semasa, oleh pasukan nazir atau pengintip khas Kogen yang dinamakan Skuad Sakura itu.”

Naruhodo (Baru kutahu). Nampaknya Kogen mengesyaki penjaga rumah perlindungan...”

“Bukan begitu Shinji. Ia sebagai langkah berjaga-jaga. Lihatlah, tanpa mereka, mungkin Segawa dan Masami masih bebas melakukan jenayah mereka.”

Shinji menyambung berkenaan Hotaru.

“Aku fikir Hotaru yang kutemui di lereng berumput itu Hotaru sama yang mengintip Takasaki-san. Dia memberitahuku dia dari pasukan nazir.”

“Nazir? Dia ada kata apa-apa mengenai Skuad Sakura?”

“Dia mengaku dia dari pasukan itu. Dia berada di lereng berumput atas tugas sambilan mengawasi persekitaran Kogen.”

Masing-masing berdiam diri sejenak, cuba menghadam maklumat-maklumat baru yang dikongsikan sesama sendiri.

“Aku tidak pernah menyangka akan berlaku perkara sebegitu di rumah perlindungan kita.” Shinji kembali bersuara.

“Aku pun.” Ryouji menambah. “Aku perhati Ayame amat marah akan apa yang telah berlaku. Katanya tragedi begitu berlaku jarang-jarang, namun meningkat sejak beberapa tahun belakangan ini.”

“Ryouji, apa yang telah berlaku kepada Kogen? Pertama kejadian yang engkau alami di Suruga. Kemudian persoalan mengenai Skuad Sakura. Apakah Kogen masih boleh dipercayai? Apakah pasukan Ayame sedang cuba memecahbelahkan Kogen?”

Soalan begini. Soalan beginilah yang menakutkanku. Dan ia terpacul juga akhirnya dari insan yang paling kutakuti akan menaruh syak terhadap Kogen, iaitu Shinji. Belum cukup dengan Tokui, kini tambah lagi seorang. Lebih malang, kedua-duanya pelapis bijak pandai Kogen.

“Ryouji, apa fikirmu tentang Ayame? Apakah dia masih setia dengan Kogen?”

Aku telah lama ramalkan yang soalan begini akan keluar dari mulut Shinji. Nasi sudah menjadi bubur. Hotaru telah membongkarkannya. Mahu tak mahu aku terpaksa mengendalinya sekarang.

“Aku yakin Ayame cuma mahu memperbaharui Kogen melalui pasukan itu. Usah kau bimbang Shinji.”

“Aku tidak bimbang. Aku hanya mahu mengetahuinya lebih awal. Jika Kogen tidak lagi boleh diharapkan, aku bersedia melarikan diri.”

“Apa yang buat engkau fikir begitu?”

“Aku tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan mereka. Baik pertelingkahan sesama sendiri, mahupun pertelingkahan dengan pihak luar seperti perang saudara yang pernah kuramalkan itu. Aku harap engkau dan rakan-rakan kita yang lain turut menyertai kita.”

“Apakah kau punya perancangan terperinci? Terutama bagaimana melindungi diri kita. Engkau tahu bukan keadaan di luar tidak tenteram? Bekas samurai berjenayah, orang-orang Hamada masih menjejaki kita?”

“Aku akan melindungi diriku dengan senjata api. Kita akan melindungi diri kita dengan senjata masing-masing. Buat apa kita berlindung di sini jika mereka semua sudah tidak boleh diharapkan?”

“Tidak semudah itu, Shinji. Aku punya Hisamiko. Chisato pun masih dirawat di sini. Jika aku membawa Chisato keluar, aku juga perlu membawa sama Chiho dan Chinami. Aku perlukan perancangan rapi sebelum keluar dari sini. Dan aku tidak punya kemahiran lain selain bertarung. Entah apalah pekerjaan yang sesuai denganku di luar sana.”

“Betul juga katamu.” Benar katamu Ryouji. Aku berseorangan. Mudah bagiku melarikan diri. Namun tidak padamu. Kita sebaya. Namun engkau jauh lebih dewasa dariku.

“Selain itu Shinji, aku mahu kekal di sini. Aku mahu mengubah Kogen. Aku percayakan Ayame dan Kotobuki. Aku tidak akan membiarkan anak-anak di rumah perlindungan Kogen dikhianati lagi. Dan aku pasti akan menumpaskan Hamada, melalui Kogen. Dengan menggunakan segala apa yang ada di sini.”

Shinji merenung mata Ryouji yang bercahaya ketika dia menuturkan kata-kata itu.

“Engkau ada mendengar bukan? Tentang tawaran menyertai pasukan polis dan tentera Maharaja? Mungkin engkau boleh menyertainya sebagai pekerjaan baru di luar?”

“Aku ada mendengarnya. Namun ia memerlukan aku menyertai kem latihan selama lima tahun sebelum diterima masuk. Namun aku...”

“Mengapa?”

“Tidak ada apa-apa.” Nyaris aku membongkarkannya tadi! Tidak, aku tidak boleh sekali-kali memberitahu yang aku akan mati dalam tempoh tiga tahun. Jika Shinji mengetahuinya, dia akan lemah. Aku tidak boleh mensia-siakan Shinji. Dia harapan Kogen.

Shinji merenung Ryouji. Sekali lagi. Sekali lagi engkau cuba menyembunyikan sesuatu dariku, Ryouji.

“Ryouji, mengapa dengan kem latihan lima tahun itu?”

“Aku risau di mana aku akan tempatkan Hisamiko selama aku dilatih.”

Benarkah begitu?

Ryouji mengerling wajah Shinji yang sedang merenungnya. Harap engkau menelannya Shinji!

Aku tahu engkau sedang menyembunyikan sesuatu, getus Shinji. Tidak mengapa. Aku akan lepaskanmu hari ini. Mungkin aku harus menyogok Hisamiko. Aku harap Hisamiko cukup naif. Hisamiko pun seperti tahu sesuatu.

Ma, iika (Tidak mengapalah). Mungkin aku patut kekal di sini. Ryouji, walau ke mana sekalipun engkau pergi, aku akan mengikutmu.”

Ryouji tersenyum tawar, matanya merenung langit musim bunga yang cerah. Engkau tidak akan mampu mengikutku Shinji. Tempat yang aku tujui itu terlalu jauh, sunyi. Ia sebuah kematian. Ia tempat yang engkau tidak akan kembali darinya. Hiduplah. Carilah kehidupanmu di sini. Selagi umurku berbaki, aku akan cuba membina harapan di sini. Demi kalian dan keturunan kalian. Melalui Kogen.

Previous: Bab 70
Next: Bab 72

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov