Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 78

Petang pun kunjung tiba. Kedai-kedai di tepi jalan yang paginya menjual barangan basah, kini bertukar kepada gerai-gerai yang menjual snek. Ada gerai yang menawarkan permainan, seperti mengail ikan emas, dan membaling jarum besi mengenai sasaran. Laluan utama Inotani diterangi pelita tanglung pelbagai bentuk. Tanglung yang paling banyak ialah tanglung berbentuk seperti telur dengan wajah hodoh hantu bermisai panjang melengkung. Ia berselang-seli dengan ofuda atau kertas-kertas berbentuk petak panjang yang bertuliskan pelbagai harapan dan doa. Pengunjung masih sedikit, hanya kelihatan pengusaha-pengusaha mengeluarkan dan menyusun barangan jualan. Yang menjual yakisoba sudah mula menggoreng. Yang menjual takoyaki sudah mula mengacau bancuhan.

Berlangsungnya matsuri (keramaian) ini menandakan bahawa penghujung musim panas 1872 sudahpun hampir. Musim luruh akan kunjung tiba dengan anginnya yang menderu tidak lama lagi. Daun-daun akan berubah perang dan gugur. Dunia akan beransur-ansur berubah dingin.

Ryouji sedang berdiri di hadapan rumah dandanan, menunggu Hisamiko dan Hotaru di dalam. Matanya tidak henti-henti melilau memerhati sekeliling. Baru tadi dia ke belakang premis itu untuk mengesan jika ada jalan Hotaru melarikan diri. Dia masih tidak mempercayai Hotaru yang dirasakan menipu itu.

Nampaknya tiada jalan menyusup keluar.

Hari sudah senja, dan laluan utama Inotani diterangi cahaya tanglung dan pelita. Hotaru dan Hisamiko akhirnya keluar.

Ryouji terpaku melihat kedua-duanya.

Dou, Ryouji? (Bagaimana, Ryouji?)”

Onii-san mite.” Hisamiko memandang Ryouji sambil tersenyum, memusing-musing tubuhnya memperagakan yukatanya, yukata ungu muda dengan obi putih, bercorak burung jinjang berwarna putih. Dia memakai capal kayu yang tinggi tumitnya. Rambutnya disisir dan diikat membunjut ke belakang, sedikit dilepaskan menutup dahi yang berparut itu dan sedikit jatuh menuruni bauk. Ada gincu merah pada bibirnya. Wajahnya disolek nipis.

Cantik, getus Ryouji. Aku tidak pernah melihat Hisamiko secantik begini.

“Kalian, aku perlu bertemu seseorang. Jaga diri!” Hotaru meninggalkan mereka. Ryouji menghembus nafas lega. Perempuan itu benar-benar menyibuk, namun tanpa dia, mungkin Hisamiko masih memakai pakaian sehari-hariannya itu. Apapun, terima kasih penyibuk!

“Mengapa engkau pilih warna ini Hisamiko?”

“Mengapa? Tidak cantik?”

“Cantik, sungguh. Adakah ini warna kegemaranmu?”

“Aku melihat bunga wisteria itu. Aku fikir itulah warna kegemaranku.”

Ryouji memimpin Hisamiko yang memakai capal kayu yang tinggi itu, berjalan meredah laluan utama Inotani yang semakin sesak dengan orang ramai.

Azuchi datang tiba-tiba mahu mendarat di atas rambut Hisamiko. Ryouji cepat-cepat menghalang dengan tangannya. “Azuchi! Tunggu, tunggu, jangan rosakkan rambutnya!” Hisamiko cepat menterjemah. Burung itu faham, seraya terbang di atas mereka setempat di udara, menanti Ryouji melakukan sesuatu. Ryouji mengeluarkan kain yang selalu dibawa bagi mengelap wajahnya, dan melilit pada lengan kirinya sedang tangan kanannya akan diperuntukkan untuk memimpin Hisamiko. Tujuannya bagi mengelakkan cengkaman cakar Azuchi dari mencederakan kulitnya atau mengoyakkan lengan yukatanya.

Kocchi suwattekoi (mari duduk di sini), Azuchi.” Hisamiko menterjemah arahan abangnya kepada Azuchi. Azuchi bertenggek di atas lengan Ryouji. Ryouji tidak lagi merasa berat. Mungkin Azuchi sudah kurus, atau dia sudah berlatih bertarung kerap sejak tiba di rumah Takasaki.

Banyak juga mata yang memandang mereka berdua. Seorang mak cik berkata kepada rakannya ‘kawaii ne, ano onnanoko wa. (comel gadis itu)’ memandang Hisamiko. Hotaru yang sedang berada di sebuah gerai bersama pasangannya hanya tersenyum mendengarkan kata-kata pujian mak cik itu. Tidak kurang orang ramai yang memandang aneh Ryouji yang menyangga Azuchi dengan lengan kirinya, seperti seorang pahlawan dari utara Qing. Ryouji merah muka namun dia harus bertahan. Demi Hisamiko. Aku mahu jadikan hari ini kenangan yang tidak akan dilupakannya. Yang aku akan terus hidup dalam memorimu. Meskipun aku akan pergi suatu hari nanti.

Onii-san, kocchi kocchi (ke sini ke sini!)!” Hisamiko menarik tangan Ryouji menuju ke sebuah gerai menjual ikan saba (mackerel) bakar. Sewaktu menarik-narik tangan Ryouji, perut Hisamiko berbunyi dan dia berhenti sejenak, malu.

Onii-san engkau mendengarnya bukan?” Hisamiko bertanya perlahan sambil tunduk sedikit, wajahnya merah.

“Hmm.” Balas Ryouji acuh tak acuh. Namun dia pantas mengalih topik, baginya itu hanya perkara kecil, “Engkau suka ikan itu bukan?”

“Hmm! Daisuki (Sangat suka)!” Hisamiko mengangguk, dia kembali menoleh memandang dengan mata membulat, kepingan-kepingan ikan saba yang sudah dipisahkan tulangnya dan dibakar di atas dapur arang oleh seorang tukang bakar. Sekali-sekala tukang bakar membalik-balikkan kepingan ikan itu dan disapunya perapan bancuhan sendiri, kemudian mengipas-ngipas mengawal api, melepaskan asap tebal. Bau ikan dan asap memanggang memenuhi ruang udara berdekatan mereka. Sungguh menyelerakan. Ia bau ikan dan arang itu, berbaur perapan yang harum dari kicap soya dan rempah-ratus rahsia dari Asia Tenggara. Air liur mereka berdua bertakung.

Ryouji memimpin tangan Hisamiko. Dia juga ingin sekali merasanya. Ikan saba bakar di sini aromanya berlainan sekali dari yang selalu dimakannya di rumah Takasaki mahupun di Kogen. Perapannya sungguh istimewa. Dia menempah dalam lima keping ikan tersebut. Penjual menghulurkan lima kepingan ikan tersebut yang setiap satunya dicucuk dengan pencucuk kayu dan dicelup dalam pembungkus kertas washi yang diisi cicahan dari perapan.

Sewaktu mereka mencari-cari tempat untuk makan, Ryouji melihat gerai-gerai menjual makanan ruji seperti dango dan onigiri mula dibuka. Terdetik di hatinya mahu membeli sebekas dua untuk dipadankan dengan ikan bakar tersebut. Barulah lengkap hidangan malam itu, mungkin dengannya perut mereka dapat bertahan sampai ke pagi. Namun tiada pula gerai menjual air minuman berdekatan situ.

“Hisamiko, makanlah perlahan-lahan.” Nasihat Ryouji sebaik melihat Hisamiko menjamah dengan lahapnya ikan itu. Mereka sedang berdiri di tepi sebuah kedai kosong, salah satu dari kebanyakan kawasan senggang di antara gerai-gerai. Habis bersememeh mulut Hisamiko dengan cicahan yang berwarna hitam, menutupi gincunya. Ryouji mengeluarkan kain pengelap yang selalu dibawa, lantas mengelap bibir Hisamiko. Hisamiko hanya memandang ikan pada cucuk tanpa mempedulikan abangnya yang mengelap mulut seperti khadamnya, masih mengunyah ikan. Adik-beradik, apa ingin dikisahkan. Hanya Ryouji seorang sahaja yang Hisamiko selesa diperlakukan begitu. Dia satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal.

Ryouji mengeluarkan secucuk kepingan ikan dan diberikan kepada Azuchi yang masih bertenggek di lengan kirinya. Azuchi mematuk satu persatu ikan itu. Dia berbunyi senang. Sedap mungkin pada lidahnya. Laju juga patukan-patukannya. Gelojoh seperti Hisamiko.

Ryouji tidak melepaskan peluang merasa ikan tersebut. Dia mengunyah-ngunyah dan mendapati ada tulang-tulang kecil. Meskipun kepingan ikan tersebut telah dibuang tulangnya, tulang-tulang kecil lain masih terdapat jauh di bahagian lain isinya. Dia menyemburkan tulang-tulang itu sekali-sekala. “Hisamiko, perlahan-lahan makan, ada tulang pada ikan ini.”

Dia memandang Hisamiko.

Hisamiko terbeliak mata. Jarinya mencucuk-cucuk dan mengurut leher.

“Hisamiko, Hisamiko!”

“Aak...ak...tulang...tulang terlekat...”

Air, di mana air minum?

Ryouji memandang Hisamiko yang bersandar sambil memicit-micit kerongkongnya, nafasnya tercungap-cungap.

Tiada air di sini. Penjaja air jauh dari sini. Mungkin, onigiri yang kubeli sebelumnya membantu.

Ryouji mengeluarkan onigiri dari bungkusan kertas washi dan mengepalkan sepotong sebelum disuapkan ke mulut Hisamiko.

“Hisamiko, cuba telan onigiri ini perlahan-lahan.”

Hisamiko menelannya. Dia masih bersandar pada tiang kedai yang sedang tutup.

Beberapa minit, keadaannya beransur lega.

“Bagaimana, Miko?”

“Sudah hilang.” Hisamiko menghembus nafas lega.

“Makanlah perlahan-lahan. Aku akan carikan air minum sebentar. Eh, di mana Azuchi?”

Azuchi terbang kemudiannya membawa Hotaru dan pasangannya. Hotaru berlari terkocoh-kocoh.

“Mengapa dengan adikmu Ryouji? Azuchi terbang menarik-narik yukataku.”

“Dia terlekat tulang.”

“Sini, aku bawakan air minum.” Hotaru menghulurkan sebekas air minum berupa bejana kecil dari bambu, ditutup dengan gabus.

Arigatou, Hotaru.” Ucap Ryouji.

Seorang lelaki muda, barangkali pasangan Hotaru sedang berdiri tenang. Dia datang mendekat, tersenyum.

Hajimemashite (Salam perkenalan), Okuhida-san. Aku Nomura Ryuuji. Hotaru telah menceritakan tentangmu.”

Ryouji bangun seraya menundukkan kepalanya. “Hajimemashite. Okuhida Ryouji desu.”

“Nama kita dekat benar bunyinya.” Nomura ketawa kecil. Ryouji hanya tersenyum.

“Bagaimana adikmu?” Tanya Nomura.

“Aku telah menyuapkan kepalan onigiri, tulang itu sudah dilepaskan.”

Sementara Hotaru mencangkung di sisi Hisamiko.

Dou, Miko-chan? Masih larat untuk melihat bunga api?”

Arigatou nee-chan. Aku tidak apa-apa.” Hisamiko mengusap Azuchi yang bertenggek di atas lututnya. Dia masih bersandar pada dinding kedai.

“Burung ini telah memanggilku tadi. Dia menarik-narik yukataku.”

“Maafkan aku! Bagaimana yukatamu nee-chan?”

Hotaru gelak kecil seraya membalas, “Tiada koyakan. Usah kau risau. Dia hanya menarik perlahan kolarku.”

Hisamiko berbisik sesuatu pada Azuchi. Azuchi membalas dalam bahasanya. Suara mereka kuat dan perlahan. Ia berakhir dengan Azuchi membuat bunyi seperti keluhan, dalam bahasanya. Barangkali telah kalah berdebat dengan Hisamiko.

“Burung ini namanya Azuchi, jika engkau mahu memanggilnya. Namun dia tidak akan faham bahasa kita. Aku boleh menterjemahkan untukmu.”

“Oh, dia punya nama rupanya!” Sememangnya begitu. Aku tahu nama itu bukan diberikan Hisamiko. Sepertimana Ayame, burung pengiring menamakan diri mereka sendiri.

“Ayuh Hisamiko, kita sudah terlambat. Acara bunga api itu akan bermula sebentar lagi.”

“Ke manakah kita akan pergi?”

“Sudah tentulah ke atas bukit siang tadi!”

Mereka berempat menyertai orang ramai yang mendaki tangga tinggi untuk ke lereng. Hanya lereng tersebut sahaja pemandangan acara bunga api dapat dilihat jelas. Hisamiko dipimpin Ryouji, sedang Azuchi bertenggek di tangan kiri Ryouji. Hotaru dan Nomura pula berjalan di hadapan mereka.

Ryouji memerhati pasangan itu. Aneh, getusnya. Mereka tidak pula berpegangan tangan. Atau adakah mereka sebenarnya bukan pasangan kekasih? Aku pasti, Hotaru memang dihantar Kotobuki memerhati kami di sini. Jika begitu, siapakah Nomura-san? Jika dia juga Kogen, aku tidak pernah pula melihatnya di Shirasaka-no-Kogen. Oh, barangkali dia berpangkalan di luar. Kogen tidak terhad kepada komuniti di tanah tinggi itu sahaja.

“Ryouji, Hisamiko, bergembiralah kalian. Kami beredar dahulu!”

Hotaru dan Nomura berjalan laju ke depan meninggalkan Ryouji dan adiknya.

Ne, onii-san. Ke manakah mereka mahu pergi?”

“Aku tidak tahu, abaikan mereka Miko. Lihat mana-mana di lereng yang masih kosong.”

Mereka meneliti lereng yang sudah dipenuhi orang ramai yang mengambil tempat duduk masing-masing. Berbagai ragam dapat dilihat. Ada yang bersama pasangan, ada yang membawa anak kecil dan ada juga kumpulan-kumpulan lelaki dan perempuan. Rata-rata memakai yukata yang baru. Cahaya dari pelita yang digantung di tiang-tiang menerangi tangga-tangga kerikil di lereng, memudahkan pelawat mendakinya. Tidak kurang warga tua mendaki lereng dengan bertongkat juga.

Onii-san, di situ.” Tuding Hisamiko di tempat yang paling tinggi. “Masih tiada sesiapa yang duduk di situ.”

“Gelapnya di sana. Tiada tiang pelita di situ.”

“Tidak mengapa, aku bawa batu ini.” Hisamiko mengeluarkan seketul batu penerang dari saku yukatanya dan menunjukkan kepada Ryouji.

“Hah? Hisamiko... dari mana engkau dapat batu-batu ini?”

“Nanti aku ceritakan.”

Mereka sampai di puncak lereng. Tiada sesiapa di situ kecuali mereka, lantaran tiada pelita dipasang meneranginya. Hisamiko mengeluarkan batu itu dan meletakkannya di atas rumput.

Onii-san, duduklah bersila.”

“Mengapa?”

Hisamiko tidak menjawab. Dia memegang bahu Ryouji dan menolaknya ke bawah, mengisyaratkan agar Ryouji segera duduk. Ryouji menurut sahaja. Dia duduk mengadap lembah di bawah. Bunga-bunga api bakal dilancarkan jauh di hadapan mereka. Nampaknya tempat ini lebih baik dari bahagian bawah lereng ini, yang dipilih dan lebih digemari sebahagian besar pelawat. Keseluruhan lembah di sekeliling Inotani dapat dilihat dari sini. Lampu-lampu pelita di hadapan rumah-rumah dan kedai-kedai menyinar seperti bintang-bintang di dada langit.

Usai Ryouji bersila, Hisamiko duduk di hadapannya, kemudian merebahkan kepalanya ke atas riba Ryouji.

“Aku mahu baring di atas ribamu.”

Fahamlah Ryouji. Apa sahaja yang menyenangkanmu, Miko.

Angin bertiup perlahan menyegarkan malam yang agak hangat di penghujung musim panas ini. Hingar orang ramai di lereng semakin berkurangan, mungkin petanda bunga api bakal dilancarkan.

Onii-san...

“Mengapa Miko?”

“Tiada apa-apa. Aku hanya mahu memanggilmu.”

Onii-san, aku takut. Aku takut berseorangan. Aku mahu mengikutmu keluar. Aku tidak tahu bila engkau akan dijemput ajalmu. Setiap detik ketika aku di tanah tinggi itu, aku bimbangkan engkau. Apakah aku masih berkesempatan menemuimu lagi? Atau engkau hanya akan pulang sebagai mayat?

Onii-san, bagaimana jika kita...” lari dari tanah tinggi itu?

Bamm! Dentuman bunga api kedengaran hampir serentak dengan suara perlahan Hisamiko. Langit terang benderang disinar bintik-bintik api yang berhamburan di angkasa, berseri dengan warna-warna kuning, merah dan hijau.

Tidak, jika kita lari, ke mana kita akan membawa diri?

Bamm! Sekali lagi letupan bunga api menyusul.

Ryouji khusyuk melihat bunga-bunga api. Suara Hisamiko tenggelam dalam dentuman demi dentuman bunga api.

“Engkau berkata sesuatu Miko?”

“Tiada apa-apa.”

Selepas beberapa dentuman, bunga api dihentikan seketika. Sunyi sebentar. Perhatian Ryouji beralih kepada batu penerang di sisi mereka.

“Oh ya, dari mana engkau dapat batu itu?”

“Shinji memberikan padaku.”

“Hah?”

“Aku bertanyakan dia bagaimana dia masuk terowong di perpustakaan.”

“Miko, apakah engkau...”

“Ya, aku masuk ke terowong itu tempoh hari ketika mencari kalian. Azuchi membantu aku mengesan kalian.”

“Apa lagi yang kau tahu berkenaan terowong itu?”

“Aku masuk sebentar dan keluar kembali.” Hisamiko merahsiakan pertemuannya dengan shugenja misteri itu, dan juga buku diari yang diambil dari pondok di bawah pokok gergasi.

“Aku bertanyakan Shinji berkenaan sama ada kalian ada menggunakan terowong itu. Dia mengiyakan dan mendedahkan berkenaan batu itu. Onii-san, batu apakah ini?”

“Aku tidak faham. Mengapa Shinji memberikannya kepadamu?”

“Aku yang meminta kerana berminat dengannya. Ia cantik seperti permata. Onii-san, mengapa?”

“Tiada apa-apa.”

Onii-san, mengapa?” Hisamiko mendesak.

“Aku bimbang batu ini mungkin membahayakanmu.” Ryouji memberi alasan.

“Bahaya? Bahaya bagaimana pula?”

“Mungkin ia pecah tiba-tiba dan serpihannya terkenamu? Seperti bunga-bunga api itu.”

Hisamiko ketawa kecil. “Onii-san engkau kelakarlah!”

Ryouji hanya mendiamkan diri. Harap perbualan ini tamat di sini. Shinji, mengapa engkau memberikan batu ini kepadanya?

**

Beberapa hari selepas Shinji sembuh dari kesakitan akibat digantung terbalik selepas keluar bertemu Hamada, Hisamiko bertemunya.

“Takeuchi-san, boleh aku bertemumu sebentar.” Kata Hisamiko, sambil memerhati sekeliling takut-takut abangnya berada di situ. Dia mahu pertemuannya dengan Shinji dirahsiakan.

“Ya, Okuhida-san.”

Hisamiko membawa Shinji ke bangku batu.

“Aku ingin tahu berkenaan terowong perpustakaan.”

Shinji terkejut.

Namun dia bercerita dengan galaknya. Serba-serbi diterangkan, termasuk bagaimana dia menerangi terowong itu dengan batu aneh. Resmi penyelidik, akan menerangkan pemerhatian mereka penuh perinci meskipun bakal mendedahkan perkara yang perlu dirahsiakan.

“Boleh aku lihat batu itu?”

Shinji meminta Hisamiko tunggu sebentar. Dia kembali ke biliknya untuk mengambil sesuatu. Beberapa minit kemudian dia kembali ke bangku batu membawa beberapa ketul batu.

“Ini. Batu ini selepas dijemur, akan menyinar pabila diletakkan di dalam gelap.”

“Wah, cantiknya!”

Perempuan, getus Shinji. Seperti Saki dahulu.

“Boleh berikan aku satu?”

“Hisamiko, bukan aku tidak mahu...”

“Ini...” Hisamiko mengeluarkan buku diari kecil dari saku yukatanya. “Aku menemui buku ini dari lembah Amaguri...”

Melopong Shinji mendengarnya.

“Aku tidak mampu membacanya. Mungkin engkau berminat dengannya? Jika engkau berikan batu itu kepadaku, aku akan berikan buku ini kepadamu.”

“Ambil satu!” Pantas Shinji menawarkan.

Hisamiko keterujaan. Dia membelek-belek setiap batu-batu itu yang ada lima kesemuanya. Dia memilih yang paling kurang bucu dan licin permukaannya. Ia sedikit lonjong.

“Untukmu.” Hisamiko menghulurkan buku itu kepada Shinji.

**

“Miko, aku dengar engkau menangis sewaktu aku keluar.”

“Aku mahu mengikutmu keluar.”

“Tidak boleh, Miko. Engkau perlu berlindung di sana.”

Onii-san, engkau akan mati jika engkau keluar menyertai misi-misi mereka lagi. Aku tidak mahu engkau mati!”

“Miko...”

Onii-san, kita lari.”

“Hah?”

“Kita lari. Lari sejauhnya dari tanah tinggi itu.”

“Mengapa engkau fikir begitu? Miko, aku tetap akan mati dalam masa tiga tahun sekalipun aku tidak keluar menyertai misi-misi Kogen...”

Hisamiko tiba-tiba menangis. Esakannya perlahan, cukup untuk tidak menarik perhatian orang ramai di bawah lereng, namun jelas di telinga Ryouji.

Ryouji membelai rambut Hisamiko dan mengusap ubun-ubunnya, cuba meredakan perasaan sayu di hati adik kesayangannya itu.

“Hisamiko, engkau perlu kuat. Engkau harus bertahan di Kogen. Rakan-rakanmu, mereka ada di situ. Percayai mereka. Mereka tidak akan membiarkanmu berseorangan. Chisato-nee chan kamu. Chiho, Chinami, Shinji dan Tsuneki. Dan Nariko nee-chan. Mereka sahabat-sahabat kita. Ne?”

Dentuman bunga api kembali. Saat itu Hisamiko berdoa bersungguh-sungguh meminta Tuhan memanjangkan umur abangnya dan menghapuskan sumpahan itu. Air matanya meleleh membasahi pipi. Ryouji juga tidak dapat menahan sebak. Dia menyeka air mata di pipi Hisamiko dengan lengan yukatanya. Azuchi hanya duduk di tepi batu penerang tama-no-iwa di sisi mereka, tidak mengerti apa-apa, hanya takjub memandang bunga-bunga api pelbagai warna yang meletup berdentum-dentam di angkasaraya.

Hisamiko masih menangis teresak-esak sambil berbaring di atas riba abangnya, memerhati bunga-bunga api sehingga tertidur keletihan, larut dalam hingar orang ramai yang turut menonton dan dentuman bunga-bunga api.

Ryouji pulang dengan mengendong Hisamiko ke bilik rumah tumpangan.

**

Sampai di bilik, Ryouji meletakkan Hisamiko di atas tilam futon, mengemaskan yukatanya, dan menyelimutkannya dengan gebar futon. Dia menatap wajah Hisamiko, mengusap ubun-ubunnya, menolak rambut yang menutup dahinya ke sisi. Ryouji tersenyum melihatnya tidur nyenyak, keletihan.

Hisamiko sudah remaja. Namun apabila dia bersamaku dia masih kebudak-budakan. Aku tidak sekali-kali menyangka  dia mampu menunggang kuda pada usia awal remaja begini. Namun itu tidak semestinya menandakan bahawa dia mampu berdikari tanpaku. Masih banyak perkara lain yang perlu dipelajarinya untuk hidup di luar. Dia masih seorang budak. Aku sedar fizikalnya sudah mula berubah menjadi seorang gadis namun hakikatnya, jiwanya masih jiwa seorang budak.

Bagaimanalah engkau akan teruskan hidup ini tanpaku. Bagaimanalah...

Dia meninggalkan bilik itu dan menguncinya. Kunci bilik itu boleh dibuka dari dalam jika berlaku kecemasan. Ryouji turun ke bawah. Dia tidak boleh tidur dan mahu melepak di salah satu meja di restoran yang kosong itu melayan perasaan. Dia akan cuba memilih kedudukan meja yang mana dia boleh melihat pintu biliknya dari tingkat bawah itu, sekiranya ada penceroboh yang cuba menceroboh bilik mereka dan mengganggu Hisamiko.

Saat dia menuruni tangga, tangan kanannya yang bertanda hitam itu disengat kesakitan yang menikam. Ia bermula dari tanda hitam itu, melarat sehingga ke pangkal lengan, kemudian ke bahunya dan badannya. Seluruh badannya seperti dicucuk mata pedang. Ryouji memegang tangan kanannya, bahagian yang paling sakit, dengan tangan kirinya. Dahinya berkerut dan mengeluarkan peluh. Giginya berlaga. Dia yang tadi berdiri, terduduk di atas tangga itu sambil memegang susurnya.

Tidak, tidak, aku tidak boleh mati sekarang!

Aku...aku tidak boleh...mati...sekarang...Mengapa...sekarang...

Dunia di sekelilingnya gelap dari saat itu. Dia ternampak Hotaru memanggil-manggil namanya dari bawah.

“Ho-ta-ru...ja-ngan...be-ri-ta-hu...Hi-sa-mi..ko...” Begitulah bunyinya pesan yang sempat ditinggalkan kepada Hotaru.

Dia rebah di tangga.

Previous: Bab 77
Next: Bab 79

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov