Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 77

Mereka sampai di Inotani untuk bermalam selama dua malam. Mereka akan menghabiskan masa di pekan itu. Ada pesta bunga api pada malam esoknya. Disebabkan itulah Ryouji memilih waktu begini untuk keluar. Selain menggembirakan Hisamiko, dia mahu mengambil masa berfikir akan keputusannya menyertai Kogen. Dengan nyawa yang berbaki paling lama tiga tahun itu, adakah dia masih mahu memendekkannya lagi?

Jika aku meninggalkan Kogen, ke mana aku akan membawa diri? Aku hanya tahu bertarung. Aku juga ada belajar menghasilkan pedang namun tidak semahir mana. Mungkin aku boleh menyertai pasukan polis? Namun aku dengar untuk menyertai polis, engkau perlu menyertai akademi mereka terlebih dahulu, selama lima tahun sebelum diserap masuk. Lima tahun...untuk apa? Aku akan mati selepas tiga tahun!

Alangkah baiknya jika aku bijak seperti Shinji. Hanya bekerja di makmal dan bengkel. Kemudian mendapat gaji setiap bulan.

Ryouji mengeluh. Dia sedang berendam di dalam kolah mandi air panas. Dia menyewa sebuah bilik yang besar bersama Hisamiko. Namun di situ, kolah mandi air panas atau onsen berkongsi dengan penghuni lain dan diasingkan mengikut jantina. Pekan Inotani terletak di sempadan Wilayah Kodama dan Jooryoku dan penanda sempadan sistem pergunungan Hidagawa. Pengunjung pekan ini kebanyakannya pedagang sutera dari Edo dan dataran Kansai yang mahu ke utara dan berhenti singgah di sini untuk bermalam. Juga ramai pengunjung dari kalangan pelombong sulfur atau belerang, lombong yang banyak terdapat di dalam pergunungan Hidagawa.

Bangunan rumah tumpangan ini dua tingkat, dan semua bilik penginapan di tingkat atas, sedang di tingkat bawah ialah restoran dan kolah mandi onsen.

Ryouji sememangnya mahu berseorangan melayan perasaan dan tidak mahu berbual dengan sesiapapun, maka dia mencari tempat yang sedikit tersorok dari pengunjung lain, yang dilindungi batu-batu besar yang sengaja diletakkan di tengah-tengah kolah itu. Kolah itu boleh memuatkan lima puluh orang. Jika semua lima puluh orang masuk mengejut, akan keringlah air kolah itu disesarkan mereka, lebih-lebih lagi jika mereka gemuk-gemuk belaka seperti Hagiura.

Hanya Ryouji dan beberapa orang lelaki tua sekitar enam puluhan sedang berada di dalam kolah itu. Kumpulan lelaki tersebut, nampaknya pelombong sulfur melihatkan pakaian mereka ketika di luar, juga sedang diam sepertinya di dalam kolah meskipun mereka datang bersama. Barangkali teruja dengan kehangatan air onsen ini, setelah penat di lombong siangnya.

Hisamiko pula sedang duduk berendam di kolah onsen wanita. Tiada sesiapa selainnya di kolah wanita sekarang. Rambut hitamnya yang panjang dilepaskan mengurai. Fizikal Hisamiko yang kini berumur tiga belas tahun sudah mula menampakkan cirian seorang wanita. Badannya kecil dan kurus, ketinggiannya hanya lima kaki. Wajahnya bersih cerah kekuningan, tiada jerawat. Matanya sepet ke dalam, namun bermula dari tengah kelopaknya dua dan ruyup ke sisi. Kulitnya putih kekuningan sepertimana kebiasaan kebanyakan wanita Yamato, dan licin sekata. Ada sedikit parut di belakang badan dan dahinya akibat terjatuh di lereng sewaktu dikejar Sonzaemon, dan juga parut di lutut selepas terjatuh dari pokok sakura sewaktu dia kecil.

Agaknya bila onii-san akan keluar? Aku perlu peka. Dia akan memanggil namaku dari luar. Aku tidak akan kembali ke bilik berseorangan. Di sini banyak lelaki-lelaki tua. Muka mereka nampak jahat. Tidak seperti Takasaki-san, tidak seperti otou-san. Mereka nampak jahat seperti si gemuk di hutan Furukawa itu.

Ojou-chan...hitori? (Adik, seorangkah?)” kedengaran suara seorang gadis, lembut. Seperti suara Chisato.

Hisamiko menoleh. Bila masa gadis ini masuk? Sungguh aku tidak menyedarinya.

Seorang gadis dengan rambutnya hitam keriting berikat, tersenyum memandang Hisamiko. Gadis itu nampaknya berumur dalam sekitar dua puluhan.

“Tidak. Aku datang bersama abangku.” Hisamiko menjawab ringkas.

Sou ka.” Gadis itu tiba-tiba mendekati Hisamiko sedang masih berendam, seraya menyentuh belakang tubuh Hisamiko, tepat pada tanda yang pernah ditemui Kotobuki, iaitu tanda pemedang handal. Hisamiko sedikit tersentak.

“Apa yang engkau lakukan, nee-chan?”

“Aku tertarik dengan tanda ini. Siapa namamu?”

“Okuhida Hisamiko...”

Nagai namae da ne (panjang namamu). Namaku Yoruno Hotaru.”

**

“Hisamiko! Hisamiko!” Ryouji melaungkan nama adiknya selesai keluar dari onsen lelaki.

Hisamiko yang sedang berbual dengan Hotaru mendengar suara Ryouji.

Nee-chan, maafkan aku, aku perlu keluar sekarang. Kita sambung berbual di lain kali, ya.”

“Abangmu?”

“Benar.”

“Baiklah Hisamiko. Mata ne!”

Mata ne, onee-chan! (jumpa lagi, kakak)” Hisamiko pantas keluar dari kolah menuju ke bilik persalinan, dan menukar pakaiannya. “Matte onii-san! (Tunggu aku, Ryouji!)”

Hotaru ketawa kecil. Patuh benar dia dengan abangnya! Dia menenggelamkan diri ke dalam air kolah yang suam itu, seperti awalnya.

Atau dia hanya setia kerana dia pemedang handal? Yang akan melindungi mereka yang ditimpa sumpah itu?

Ayame-san, engkau benar, Hisamiko adalah pemedang itu dari puak Okuhida. Bukti pada tubuhmu seperti yang ada pada tubuh Hisamiko.

Di bilik penginapan mereka...

Hisamiko dan Ryouji berbaring di atas tilam futon yang berasingan, pelita sudah dimalapkan. Masing-masing di dalam gebar futon, menanti mata untuk lelap.

Onii-san, tadi di dalam onsen aku bertemu seorang kakak.”

“Hmm.” Ryouji menyahut, sedang matanya terpejam. Kakak mana pula kali ini, Hisamiko...

“Namanya Yoruno Hotaru. Hotaru nee-chan.”

Ryouji tersentak mendengarkan nama itu. Ia nama sama dengan nazir Kogen yang pernah dihantar mengawasi Takasaki. Namun dia memendamnya, masih memejam mata. Dia membiarkan Hisamiko berceloteh.

“Dia memegang kawasan bertanda di belakang bahuku.”

Hanya ada satu kawasan bertanda di belakang tubuh Hisamiko. Iaitu tanda yang pernah ditunjukkan Kotobuki.

“Kemudian dia berkata yang dia tertarik dengan tanda itu, seraya bertanyakan namaku.”

“Aku memberitahu namaku dan dia memberitahu namanya. Aku memberanikan diri bertanya dia dari mana. Katanya dari sekitar kawasan ini.”

“Hmm.” Ryouji masih mendengar meskipun matanya terpejam.

**

“Engkau datang ke sini seorangkah?” Hotaru membuka perbualan.

“Tidak, aku bersama abangku.”

Sou ka. Dari mana kalian datang?”

“Jauh di utara, di Shirasaka-no-kogen.”

“Shirasaka-no-kogen? Aku tidak pernah mendengarnya. Di manakah ia?”

“Di atas pergunungan Tateyama.”

“Di atas gunung? Wah...pasti sejuk di sana.”

“Sejuknya lebih mencengkam dari tempat asal kami di Hidagawa.”

Sou ka... bagaimana kalian boleh berpindah ke sana dari Hidagawa?”

Hisamiko menceritakan sejarah hidupnya, bagaimana bapanya dibunuh, dan bagaimana rumah perlindungan mereka diserang dan penjaganya dibunuh.

"Hidoi ne (teruknya), kisahmu." Hotaru membelai rambut Hisamiko yang kebasahan air onsen, kasihankannya. "Mengapa engkau lalui semua ini di usia mudamu, Hisamiko." Hisamiko hanya membisu. Dia sudah terbiasa dengan perkara begitu dan telah lama belajar menerimanya. Air matanya sudah lama kering.

"Aku rindukan nee-chan..." Terpacul kata-kata itu dari Hisamiko. Mungkin telah lama dipendamnya. Kali ini sahaja barulah dia mendapat peluang berbual dengan seorang wanita sepertinya.

"Nee-chan?"

"Seorang kakak bernama Chisato. Dia sangat baik terhadapku."

"Apa yang telah berlaku pada Chisato?"

"Dia telah disuntik sejenis racun oleh penyerang rumah perlindungan kami dan tidak sedarkan diri, sehingga sekarang masih dirawat di Shirasaka-no-kogen."

"Sou ka... zannen na... (kasihannya). Aku harap dia dapat disembuhkan."

"Dia pasti akan disembuhkan. Kotobuki-san sedang bertungkus-lumus mencari penawarnya."

Sou ka... Ne Hisamiko, bagaimana hidupmu di sana sekarang?" Hotaru masih memegang kepala Hisamiko, matanya menatap wajah gadis remaja itu penuh rasa kasihan.

"Chisato nee-chan punya dua adik. Aku bersahabat dengan mereka. Tsuneki, Shinji juga sahabatku. Nariko nee-chan juga..."

Kemudian Hisamiko menerangkan apa yang dilihatnya di Kogen sehari-hari. Hotaru melayani Hisamiko dengan menadah telinga. Sepanjang berada di Kogen, pemerhatian Hisamiko terhad kepada rumah perlindungan, perpustakaan, kawasan lagun dan lembah Amaguri.

Penceritaan Hisamiko terlajak meliputi lembah Amaguri. Dia ingin benar meluahkan kisah lembah misteri yang meruntun rasa ingin tahunya itu kepada seseorang. Namun ditahannya dahulu dari mendedahkan kepada mana-mana penghuni Kogen, termasuk abangnya. Namun Hotaru adalah orang asing. Bahkan dia tidak pernah tahu di mana kewujudan Kogen. Maka lebih selamat mendedahkan kepadanya. Mungkin dia tidak akan memberitahu sesiapapun di Kogen.

Nee-chan, di perpustakaan itu kutemui satu lorong aneh.”

“Lorong aneh?”

“Lorong itu boleh membawa pengembaranya dari sana terus ke sebuah kawasan lembah berhutan di Hidagawa.”

“Benarkah?"

“Jika engkau datang ke Shirasaka-no-kogen aku boleh menunjukkan kepadamu.”

“Apa yang kau temui di kawasan lembah berhutan itu?”

Hisamiko memberitahu dia menemui seorang lelaki misteri bernama Saionji dan pondok di bawah pohon gergasi. Namun dia menahan diri dari memberitahu berkenaan buku diari yang dicuri dari pondok tersebut.

Nampaknya Saionji sudah bertemumu, getus Hotaru.

"Aku mahu ke sana, Hisamiko. Bawaku ke sana satu hari nanti." Hotaru memujuk Hisamiko, berlakon.

"Engkau boleh mengikut kami pulang lusa nanti."

"Heee..."

"Onii-san menunggang kuda besar. Engkau boleh memboncengnya..."

"Heeeee...!" Bertambah terkejut Hotaru mendengar saranan Hisamiko.

"Aku ada kudaku sendiri Hisamiko." Wajah Hotaru merah.

"Hontou desuka. Nee-chan di mana engkau belajar berkuda?"

Perbualan mereka berlanjutan sehinggalah Ryouji memanggil Hisamiko.

**

Siang di pekan Inotani adalah waktu yang sibuk. Di kiri dan kanan bahu laluan utama pekan persinggahan pedagang itu dibarisi kedai-kedai menjual barangan basah. Ryouji dan Hisamiko bangun agak lewat kerana terlalu letih setelah seharian menunggang kuda.

Di Inotani terdapat sebuah bukit yang tinggi dan kuil Shinto di puncaknya. Miura pernah menceritakan tentang bukit itu yang membolehkan dia melihat hampir keseluruhan Hidagawa tanpa perlu mendaki puncak-puncak lain yang lebih tinggi, namun tidak berkesempatan membawa Ryouji melihatnya. Ryouji fikir dia harus mengambil kesempatan ini dengan pergi ke situ sendiri, bersama Hisamiko.

Ryouji dan Hisamiko duduk bersebelahan di sebuah meja kayu petak di tingkat bawah rumah tumpangan itu, sedang bersarapan, ketika Hotaru muncul tiba-tiba dan duduk bersetentang dengan mereka.

Kimi Okuhida Ryouji ne (engkau Ryouji bukan)?” Hotaru berteleku merenung Ryouji dengan wajah segar, tersenyum manis dengan rambut keritingnya berikat.

Ryouji terkejut. Suaranya benar-benar seperti suara Chisato, namun ada bibit-bibit kematangan, seperti seorang gadis berusia lewat dua puluhan.

Dia memandang Hisamiko di sebelah. Hisamiko separa berbisik “Itulah Hotaru nee-chan.”

“Ah, hai (ya). Hisamiko memberitahuku yang engkau Hotaru-san?”

“Ya.” Hotaru tersenyum dan memandang Hisamiko.

Ryouji mengamati gadis yang sedang duduk di hadapannya itu. Matanya cantik, runcing ke dalam. Rambutnya keriting panjang dan diikat membonjol, sedikit dibiarkan mengurai menutup telinga dan pipi dan sedikit jatuh menutup dahi. Dia tidak bersolek, dan wajahnya cerah dengan sedikit kesan jerawat lama. Dia nampak seperti seseorang yang berumur sekitar dua puluhan.

“Boleh kutahu dari mana engkau, Hotaru-san?”

“Aku dari sini. Sini kampungku.”

Ryouji cuba menduga dengan soalan maut. “Bukan dari Shirasaka?”

“Shirasaka? Aku tidak pernah mendengar tempat begitu.” Jawab Hotaru tenang. Ryouji membaca wajah itu. Yang dilihatnya hanyalah bintik-bintik jerawat lama dan wajah putih mulus dan mata sepet runcing ke dalam. Tiada garis-garis menipu yang ketara dari raut itu.

Ne, Ryouji. Apakah tempat itu? Setahu aku di Jepun tidak pernah wujud tempat dengan nama itu. Hisamiko juga ada menceritakan tentangnya semalam. Kalian datang dari sana bukan?”

“Ya, kami dari sana. Aku fikir engkau juga dari sana. Namun tidak mengapalah jika begitu jawapanmu.”

Aku tahu engkau sedang menipuku, Hotaru! Aku tahu engkau dari Kogen. Bahkan engkau sedang mengekori kami! Bijak engkau menyembunyikannya dari wajahmu.

Atau mungkin juga, ada kebarangkalian yang engkau pemerdagang dan penculik anak gadis. Itu lebih dahsyat! Siapa sekalipun engkau, aku harus berhati-hati denganmu.

“Ryouji-kun...”

“Hanya Ryouji. Teruskan.”

“Apa yang membuatkan engkau fikir aku dari sana?” Hotaru merenung mata Ryouji sedalam-dalamnya, masih dalam meneleku wajahnya.

“Hanya firasatku.”

Heeee... . Engkau lelaki aneh, Ryouji.”

Hotaru menyeluk saku yukatanya mencari-cari sesuatu.

“Ryouji, sebelum kalian melihat bunga api malam nanti, aku ada satu pemberian untukmu.”

Hotaru menunjukkan sekeping kupon dengan gambar perempuan bermata sepet dan tembam, wajahnya disolek tebal putih dan rambutnya diikat membonjol dengan sepit kayu yang panjang berwarna hitam dan memakai kimono bercorak burung jinjang berlatarkan warna merah. Dia disolek seorang ahli sihir tua.

“Kupon ini untuk adikmu.”

Hisamiko teruja melihatnya. “Onii-san...aku mahu ini!”

“Dengar tu, Ryouji. Adikmu mahukannya. Jangan kau berani tolak.”

Ryouji berbelah bagi, membelek-belek kupon yang berbentuk segi empat lonjong seperti wang yang baru dikeluarkan kerajaan Maharaja. Kupon apakah ini?

“Boleh kutahu kupon ini untuk apa Hotaru-san? Dan mengapa engkau memberinya kepada kami?”

“Aku mendengar dari Hisamiko ketika kami di onsen, yang kalian mahu melihat bunga api. Aku bilang apa salahnya Hisamiko berdandan di sini sebelum kalian menontonnya.”

“Mengapa ada ahli sihir tua dilukiskan di kupon ini?”

Hotaru pecah ketawa. Tidak ramai penghuni rumah tumpangan itu yang sedang makan di sekeliling mereka namun mereka tetap memandang, terkejut mendengarkan tawa Hotaru.

“Itu simbol sahaja Ryouji, dan bukan ahli sihir tua!” Hotaru menahan ketawa.

“Rumah dandanan itu sudah lama ditubuhkan dan mereka masih menggunakan formula lama. Itulah yang dimaksudkan dengan gambar wanita tua itu. Ia dikunjungi ramai geisha.” Hotaru mengesan kening Ryouji terangkat sedikit mendengarkan ‘geisha’ dan merenung tajam Hotaru. Riak wajahnya seperti menjerit ‘Engkau fikir adikku geishakah??’.

Hotaru pantas menyambung, “Juga orang kebanyakan. Ramai di sini yang mengunjunginya sebelum aktiviti keraian di sini, seperti bon, dan sambutan tahun baru, selain pertunjukan bunga api. Mereka mahu menyewa yukata-yukata cantik yang mereka miliki. Aku kerap ke sana, dan kenal pengurusnya.”

“Nantilah aku fikirkan.” Ryouji memberi maklum balas.

Onii-san!” Hisamiko membisik keras ke telinga Ryouji, kedua-dua tangannya menggoncang-goncang lengan Ryouji.

Aku agak bimbang jika Hisamiko menjadi perhatian ramai sedang dia masih di bawah umur. Namun bukankah perjalanan ini demi menggembirakan hatinya? Aku fikir apa salahnya, mungkin sekali seumur hidup. Lebih tepat, hidup aku. Mungkin ini kali terakhir aku berkesempatan melihat adik kandungku berhias. Dahulu okaa-san ada mengajar dia berhias namun sejak dia jatuh sakit, Hisamiko yang sememangnya tidak gemar aktiviti keperempuanan jarang sekali duduk di dalam rumah dan mengikut aku mengail sahaja. Pasti Chisato yang memupuk kembali minatnya.

Ryouji memandang Hisamiko. “Ii ne (Baiklah). Syaratnya engkau pergilah dengan Hotaru-san.”

Arigatou, onii-san!” Hisamiko memeluk abangnya dari sisi, menyandarkan pipinya pada lengan Ryouji, tersenyum lebar.

“Hotaru-san, jangan sekali-kali kau biarkan dia berseorangan!”

“Baiklah, abang yang tegas! Hu hu!” Hotaru tabik seperti seorang askar Prussia. Ryouji terkejut melihat tabik begitu. Ia seperti lukisan di muka depan sebuah buku yang pernah dijinjing Shinji selepas kami berpindah ke Kogen. Nanti selepas pulang aku akan bertanyakan dia. Mungkin ini petunjuk yang Hotaru dari Kogen. Kogen menggunakan model Prussia dalam membangunkan pasukan pertahanan mereka, model yang sedang ditimbangtara oleh kerajaan Maharaja untuk tentera diraja yang bakal ditubuhkan.

Aku sebenarnya tidak mempercayai Hotaru. Kami baru sahaja mengenalinya di sini. Aku perlu berhati-hati. Mungkin ini Hotaru yang berlainan. Mungkin dia bukan dari kalangan kami, Kogen. Mungkin dia penculik yang mencari anak-anak gadis dan akan memabukkan mereka sebelum dijual kepada sindiket Hamada itu. Aku akan perhatikan dia serapat mungkin ketika melepaskan Hisamiko ke situ. Aku akan tunggu di hadapan rumah dandanan itu, dan memerhati pintu belakang mereka sekiranya ada lorong tikus membawa Hisamiko keluar.

**

“Ke mana kita akan pergi, onii-san?” Hisamiko bertanya diselang-seli dengan mencungap. Mereka sedang mendaki tangga yang amat tinggi menuju ke puncak sebuah bukit. Ryouji memegang galang di sebelah kirinya sedang tangan kanannya memimpin tangan Hisamiko.

“Sebuah tempat yang pernah diceritakan otou-san. Engkau pasti menyukainya.”

Pepohon di kiri dan kanan tangga yang curam itu masih lagi hijau. Hari itu cerah dan suhu sederhana, tiada angin bertiup. Matahari baru mencecah suku langit. Kabus-kabus di bukit itu sudah mulai berkurangan.

Tangga yang didaki ini lebih kurang sama tingginya dengan tangga yang didaki Ryouji ketika dia di Kisennuma bersama Chisato menuju sebuah kuil di atas bukit. Mereka tiba di sebuah dataran luas berhadapan sebuah kuil Shinto di atas puncak bukit itu. Sekeliling kawasan itu dipagar dengan pagar-pagar buluh. Pokok-pokok yang tinggi ditanam hanya di kawasan berhampiran kuil Shinto. Oleh itu, para pelawat dapat melihat ke bawah bukit dengan berdiri di tepi pagar buluh tanpa dihalang pokok-pokok yang tinggi.

Hisamiko melepaskan pegangan tangan abangnya dan berjalan laju ke pagar buluh, teruja mahu melihat apa yang ada di bawah bukit. Sebaik memandang ke bawah, mulutnya melopong, matanya membulat.

Mereka hanya mendaki tidak sampai setengah jam, namun apa yang dilihat di bawah mereka ialah seolah-olah mereka berada di atas gunung yang sangat tinggi. Segala-galanya kecil seperti serangga. Dari atas ini dapat dilihat laluan Nakasendo di kejauhan dengan beberapa rombongan pedagang dapat dilihat di kawasan yang tidak dilitupi kanopi hutan. Namun pekan Inotani sama sekali tidak dapat dilihat dari sini. Bukit ini dan pekan Inotani sudah berada di kawasan yang tinggi dari paras laut. Dengan mendaki bukit tersebut, mereka akan dapat melihat keseluruhan Hidagawa termasuk kawasan lebih rendah yang terlindung dari pekan Inotani oleh gaung, rumah-rumah kedai dan rimbunan hutan.

Banjaran pergunungan Hidagawa berdiri megah jauh di ufuk dari pagar buluh itu. Salji dapat dilihat di lereng-lerengnya memantulkan cahaya matahari. Banjaran Hidagawa seolah-olah mengelilingi puncak bukit ini tanpa henti. Seolah-olah memagari belahan bumi sini dari serangan gergasi dari belahan bumi sana.

Aku fikir jika Hamada itu mampu bertukar menjadi gergasi, dia masih tidak akan dapat menyerang kami di sini kerana dihalang gunung-ganang yang tinggi-tinggi menggapai langit dan barisannya yang tidak berpenghujung ini. Apakah yang ada di celahan gunung itu selain dari kampungku dan rumah-rumah perlindungan kami? Ia masih misteri. Aku ingin sekali menerokanya, jika aku diberikan umur seribu tahun lagi. Aku yakin, tidak semua kawasan-kawasan tersebut didiami anak-anak Kogen. Gunung-ganang ini terlalu besar dan memakan terlalu banyak kawasan. Disebabkan itu, kami tidak punya kawasan yang cukup untuk penempatan dan bercucuk tanam. Sebahagian darinya mengeluarkan lahar yang panas dan membinasakan. Sebahagian lagi meruntuhkan batu-batu ketika gempa bumi.

Sedang Ryouji mengelamun, Hisamiko masih melopong. Dia tidak pernah melawat kawasan begini tinggi. Dia tidak pernah keluar dari kampungnya, tidak seperti Ryouji yang pernah ke Furukawa.

Onii-san, apakah ada kawasan yang lebih tinggi dari sini?”

“Gunung Fuji.”

“Gunung Fuji?”

“Ya. Mengapa?”

“Tiada apa-apa. Lebih tinggi, lebih dekat dengan otou-san dan okaa-san. Mungkin lebih mudah untuk aku melompat ke atas dari puncaknya untuk bertemu mereka.”

Ryouji hanya tersenyum memandang adiknya. Aku tahu engkau amat merindui mereka. Aku pun.

Onii-san, bila kita akan ke Gunung Fuji?” Ke situ pula soalan Hisamiko.

“Entahlah Hisamiko. Yang pasti, aku akan membawamu sekali jika aku ke sana.”

Tentang bila soalnya, aku tidak boleh berjanji apa-apa. Baru sebulan lepas aku melihat gunung itu. Usahkan mendaki, menjejakkan kaki benar-benar di kaki gunung itupun belum tentu. Terlalu banyak perkara yang aku ingin capai, namun terlalu singkat masaku yang masih berbaki.

“Aku tidak memaksa, onii-san. Aku sudah cukup bersyukur engkau di sisiku. Hanya ini yang kumahu.” Hisamiko senyum memandang abangnya kemudian berpaling memandang pergunungan Hidagawa. “Pemandangan begini cantik tiada makna apa-apapun jika aku melihatnya berseorangan bukan?”

Hisamiko kembali memandang abangnya. “Onii-san...engkau masih bersedih bukan? Atas apa yang berlaku pada nee-chan, Azusa dan Saki nee-chan dan Takasaki dan Mariko-san, dan otou-san. Dan sumpahmu itu...” Sebak kedengaran dari suara Hisamiko.

“Hmm.”

Aku tidak takut mati. Aku lebih bimbangkan engkau. Bagaimana selepas aku tiada nanti? Apakah engkau boleh meneruskan hidup di situ? Sedangkan aku keluar sebentarpun engkau menangis.

Azuchi yang sedang bertenggek di atas salah satu pokok memandang mereka berdua sedari tadi. Kemudian dia terbang tiba-tiba dan duduk di atas topi kon Hisamiko, di atas permukaan rata. Dia mematuk-matuk lembut sisi topi itu, sengaja membuatkan Hisamiko tidak selesa.

Bagus Azuchi! Aku tidak mahu dia meneruskan perbualan sedih itu.

Mou yamete yo Azuchi...(hentikan Azuchi...)!”

**

Mereka turun dari bukit itu ketika matahari tegak di kepala. Ketika menuruni anak tangga yang tinggi itu, barulah mereka perasan terdapat simpang menghala ke kiri di pertengahan anak tangga. Pelawat yang memasuki simpang itu akan bertemu sebuah denai yang di kanannya ditanam pokok-pokok renek sebagai benteng bagi mengelakkan pelawat terjatuh ke lereng. Di atas dan sepanjang denai itu didirikan batang-batang bambu dibentuk melengkung seperti pelangi, membumbungi pelawat seperti terowong, dan padanya pokok-pokok bunga fuji atau wisteria dibiarkan tumbuh melilitnya dan berjuntaian.

Onii-san, aku mahu melihatnya.”

“Baiklah Hisamiko.” Ryouji juga teruja ingin tahu, kerana pemandangan di situ sangat cantik, segalanya di dalam ‘terowong wisteria’ itu ungu. Dia melihat beberapa orang pelawat yang menuruni anak tangga itu di hadapan mereka turut masuk ke ‘terowong wisteria’ tersebut.

Ryouji memegang pergelangan tangan Hisamiko kerana risau melihatkan ramai pelawat di situ. Azuchi duduk di atas topi Hisamiko. Ada pelawat yang hairan melihat Azuchi duduk di atas topi Hisamiko, namun Hisamiko tidak mengendahkannya.

“Hisamiko, aku bau Hotaru kakak kau itu.” Azuchi memberitahu Hisamiko.

“Di mana?”

“Ah, Ryouji to Hisamiko ka.” Kedengaran suara Hotaru.

“Hah, itulah dia.” Jawab Azuchi.

Ah, perempuan ini lagi! Ryouji menggerutu.

Hotaru nampaknya datang seorang diri.

“Boleh aku sertai kalian?”

Doumo...” Ryouji membalas perlahan, keterpaksaan.

“Ya!” Hisamiko pula pantas membalas keterujaan.

Jika Hisamiko gembira dengan kemunculan Hotaru, aku tidak mampu menghalang.

Kami berjalan sehingga ke hujung terowong. Hisamiko rancak berbual dengan Hotaru. Namun aku tidak menyedari mereka sudah jauh ketinggalan di belakangku sehinggalah Hisamiko memanggilku. Aku menoleh.

Onii-san!”

Aku melihat Hotaru menutup mulut menahan ketawa.

Aku tidak pasti, adakah Hotaru boleh dipercayai. Aku tidak nampak apa-apa yang mencurigakan pun padanya. Namun mengapa dia tiba-tiba sahaja mendekati kami di sini, dan rapat dengan Hisamiko? Adakah percutian kami di sini telah dibongkarkan kepadanya oleh Kotobuki?

Tidak, aku percaya pada firasatku. Aku masih mencurigainya.

“Ryouji, mari ke sini.” Hotaru memanggilku.

Aku kembali menyertai mereka. Kami sudahpun berada di hujung terowong wisteria itu. Tiada lagi bumbung wisteria, hanya langit biru yang cerah. Hotaru membawa kami ke lereng bukit di sebelah kanan yang hanya ditumbuhi rumput. Jauh di atasnya dapat dilihat pagar-pagar buluh yang mengelilingi puncak bukit tersebut.

“Di sinilah...di sepanjang lereng inilah ramai penonton akan datang untuk melihat bunga api.”

“Apakah mungkin aku dapat menontonnya di atas sana?”

“Kuil itu ditutup pada waktu malam. Kalian boleh duduk-duduk di lereng ini sewaktu acara berlangsung. Pemandangan di sini lebih jelas.”

Previous: Bab 76
Next: Bab 78

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov