Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 79

Ryouji membuka mata dan menyedari dia berada di atas katil di dalam sebuah bangunan kayu, benar-benar seperti bilik rumah tumpangan yang disewanya. Namun tiada Hisamiko. Di manakah aku?

Dia menyelak selimut futon, dan menggosok mata. Ryouji menoleh ke kiri, mendapati Hotaru sedang duduk di sebelahnya, tidur dalam tunduk. Dia tiba-tiba terjaga mendengar bunyi derapan kayu lantai tempat Ryouji berbaring tatkala dia menggerakkan badan.

“Ryouji, sudah bangun engkau. Syukur, tekanan mata urat yang diajar Ayame berjaya.”

“Apa yang telah berlaku? Di mana aku?”

“Bertenang, engkau pengsan tadi. Ini bilikku.”

“Hah??”

“Shhh...! Hisamiko sedang tidur di sebelah. Engkau tidak mahu dia tahu engkau pengsan bukan?” Hotaru merujuk kata-kata terakhir Ryouji sebelum dia pengsan.

Rupanya Hotaru menyewa di sebelah bilikku!

Ryouji cuba mengingat. Tadi aku di tangga. Aku mengunci bilik dan meninggalkan Hisamiko berseorangan di dalam. Kemudian aku rebah dan Hotaru di hadapanku di bawah tangga.

Mujur, aku masih hidup rupanya. Memang, aku tidak takut mati. Sudah berkali-kali kuulang kata-kata ini dalam benakku, dan kupegangnya erat-erat. Namun, mengapa tanganku masih menggigil?

Ryouji menggenggam kedua-dua tangannya.

Apa yang berlaku malam ini sedang menggugat peganganku. Kali pertama aku diserang kesakitan begitu dan pengsan. Bayangkan jika tiada Hotaru tadi. Bayangkan jika aku mati, dan membiarkan Hisamiko berseorangan di sini!

Sumpah itu benar-benar menunjukkan taringnya kini. Dan semakin banyak petanda yang muncul, semakin aku sedar akan sebuah hakikat. Bahawa mati itu benar-benar menakutkan. Apakah aku masih mampu menipu diriku setelah ditampar petanda demi petanda?

Aku masih terlalu muda untuk mati. Masih banyak kenangan yang aku mahu bina bersama Hisamiko, bersama Chisato, bersama rakan-rakan di Kogen. Sejujurnya, aku tidak mahu mati lagi!

“Ryouji, mengapa tangan engkau?” Teguran Hotaru mengembalikan Ryouji ke alam nyata.

“Oh, tiada apa-apa.”

Hotaru masih memandangnya. Bunyi higurashi yang semakin berkurangan di luar jendela dari hutan berhampiran masih memecah kesunyian malam.

“Hotaru, aku mahu bertanyakan sesuatu.”

“Silakan.”

“Adakah engkau mengekori kami ke sini?”

Hotaru menguntum segaris senyuman.

“Ya. Aku melaksanakan arahan Kotobuki. Dan aku tidak menipumu, aku memang berasal dari sini.”

“Engkau menipuku tentang ketidaktahuan berkenaan Shirasaka.”

“Ya, maafkan aku. Ketika itu Hisamiko ada bersama kita. Aku tidak mahu dia curiga denganku.”

Kotobuki risaukan aku rupanya. Mungkin, dia juga telah memberitahu pengintip kami yang berpangkalan di Furukawa memastikan keselamatan kami ketika ke sana kelmarin.

“Hotaru, engkau pernah memerhati Takasaki bukan? Sewaktu kami masih tinggal di rumahnya.”

Hotaru tersenyum lagi. Benarlah seperti laporan Takasaki kepada Kotobuki tahun lepas. Ryouji sudah menyedari kehadiranku di rumah itu dahulu lagi.

“Ya. Aku hanya melaksanakan arahan Ayame.”

“Arahan Ayame? Apakah ia berbeza dari Kotobuki?”

“Mereka berdua ahli tertinggi Kogen selepas Omi-san. Semua arahan mereka adalah demi kemaslahatan Kogen. Namun aku melapor terus kepada Ayame yang merupakan ketua pengintip Kogen.”

Benarkah begitu? Mereka berdua seperti sedang berselisih. Ayame mengasaskan Skuad Sakura, ia dibentuk dari pasukan nazir yang ditransformasi menjadi pasukan perempuan sahaja. Aku tidak pasti sama ada Kotobuki telah tahu akan perkara ini.

“Engkau tahu apa-apa berkenaan Skuad Sakura?”

“Ya. Aku salah seorang ahlinya. Mengapa, Ryouji?”

“Apakah Kotobuki tahu berkenaan skuad ini?”

“Ya.” Hotaru ketawa kecil sambil menutup mulutnya.

“Engkau menyoal siasat akukah Ryouji?”

Begitu rupanya. Namun aku masih bingung. Di rumah Tokui, salah seorang dari tiga budak perempuan itu ada berkata ‘simbol inilah, ia berlainan dari Kogen’ sebaik melihat Ayame menunjukkan simbol Skuad Sakura. Mereka bertiga rela hati menyerah diri selepas melihatkan itu. Sebelumnya, mereka mengatakan mereka tidak mempercayai Kogen.

Padaku, ia mengisyaratkan yang skuad tersebut pasukan berlainan, asing dari Kogen, seolah-olah menunjukkan Ayame sedang merancang sesuatu di belakang Kotobuki, di balik Skuad Sakura yang dikendalinya. Atau Kotobuki juga bersamanya, dan mereka berdua sedang menentang satu musuh dalaman lain yang aku sendiri tidak tahu, menggunakan Skuad Sakura?

“Ryouji?”

“Aku cuma hairan. Maafkan aku, aku mengesyaki Ayame sedang merancang sesuatu di belakang Kotobuki.”

Hotaru ketawa kecil, kali ini lebih kuat, tangannya masih diangkat ke mulut.

“Skuad itu ditubuhkan bagi membersihkan pasukan nazir. Engkau tahu bukan nazir amat penting sebagai mata-mata Kogen di rumah-rumah perlindungan? Ia perlu bersih-sebersihnya.”

“Ryouji, kesetiaan Ayame hanya pada Kogen. Kami hanya mahu memastikan Kogen terus dipercayai orang awam. Tentang Skuad Sakura itu, ia hanyalah penjenamaan semula nazir Kogen oleh Ayame.”

“Tokui, seorang penghuni di rumah perlindungan kita di Suruga, pernah memberitahuku, dia tidak mempercayai Kogen namun hanya Skuad Sakura. Aku fikir mereka juga menyangka kalian berlainan dari Kogen.” Ryouji mengutarakan pemerhatiannya.

“Benar. Itulah yang dijangka dan dimahukan Ayame berlaku ke atas fikiran penghuni, namun tidak pada fikiran kita. Rata-rata penghuni rumah perlindungan akan mula berprasangka terhadap kebolehharapan Kogen, jika penjaga mereka melakukan jenayah terhadap mereka. Namun dengan penjenamaan semula, dan dengan menanam kepercayaan bahawa unit yang dijenamakan semula itu asing dari Kogen, mereka akan mula melapor jujur kepada unit tersebut. Jika nazir Kogen kekal di bawah nama Kogen, mana mungkin mereka akan membuka mulut, kerana mereka tidak lagi mempercayai Kogen.”

“Namun kita selaku pegawai Kogen, tidak boleh berfikir begitu. Kita semua sama, ahli Kogen. Usaha Ayame itu adalah sekadar usaha pembaharuan dalam pasukan nazir.”

Masing-masing membisu seketika. Hotaru menyambung bicara.

“Juga, maafkan aku tidak memberitahumu awal-awal. Kotobuki dan Ayame memberitahuku dan Nomura, lelaki yang mengiringiku malam semalam, agar memerhati kalian sepanjang kelana kalian. Dalam tiga tahun sebelum ajalmu, engkau akan diserang kesakitan begini. Ia hanya berlaku sekali sekala. Dan setiap kali selepas ia berlaku, tanda hitam itu akan semakin memekat.”

Maka fahamlah Ryouji mengapa Hotaru mengekorinya. Ryouji memeriksa tangannya dengan mendekatkan pada pelita. Benar kata Hotaru, ia semakin membesar dan memekat.

“Jangan-jangan kalian ada meminta pengintip kalian mengekori kami di Hidagawa kelmarin?”

“Benar. Ada dari mereka petani persendirian di kawasan rumah bapamu itu.”

**

Ryouji pulang ke biliknya tidak lama kemudian.

Dia melihat Hisamiko masih nyenyak tidur. Bagus. Aku tidak mahu langsung dia tahu yang aku pengsan akibat sumpah itu malam tadi. Aku tidak mahu percutian ini berakhir dengan kedukaan. Dia pun sudah penat menangis malam ini.

Dia membuka selimut futon dan segera sambung tidur, sehinggalah Hisamiko mengejutkannya berkali-kali ketika matahari sudah naik tinggi esoknya.

Mereka sampai di Kogen ketika hampir malam. Tsuneki yang muncul dahulu di hadapan mereka dan memeluk Ryouji. Ryouji memberikan buah tangannya, yang sempat dibeli pada malam acara bunga api itu. Kemudian dia beralih untuk menerkam Hisamiko dan memeluknya.

“Menjijikkan!” Hisamiko mengelak pantas. Tsuneki terpeluk Shinji yang berdiri di belakang Hisamiko.

“Argh, musang jauhkan dirimu!” Tsuneki tidak melepaskan pelukan meskipun Shinji menolak dahinya.

Kemudian Ryouji memberikan buah tangan untuk Shinji. Dan tidak lupa Chiho dan Chinami dan Nariko, di mana Hisamiko yang membelikannya.

Aku bersyukur tiada aral melintang sepanjang kelana ini. Terima kasih Kotobuki dan Hotaru.

 

**

 

Lewat musim luruh, 1872.

 

Ryouji menyertai satu lagi siasatan dalaman, juga kes yang serupa, di mana penjaga rumah perlindungan menodai penghuninya. Ayame dan Tokui turut menyertainya. Tokui telah dilatih menjadi salah seorang ahli Skuad Sakura yang akan membantu Ayame, oleh Ayame sendiri. Tokui cepat belajar, dan dalam masa dua bulan sahaja dia sudah menguasai jurus kelapan kaminari.

 

Selepas peristiwa di rumahnya di Suruga, Tokui mengubah fikirannya lantas menolak tawaran bekerja sebagai saintis Kogen.

“Aku mahu mengelakkan kejadian sama berulang ke atas penghuni lain rumah-rumah kita. Aku fikir selepas berlatih dengan Ayame, aku lebih berminat dengan seni pertarungan berbanding penyelidikan.” Katanya kepada Ryouji suatu hari.

“Engkau tidak akan menyesal nanti? Bukan senang mendapat peluang menjadi saintis Kogen. Bukankah itu cita-citamu sekian lama?”

“Sejak peristiwa itu aku fikir inilah tempatku.”

“Tempatmu?”

“Jika difikirkan kembali mengapa aku ingin menjadi saintis, aku bilang ia kerana aku ingin menyumbang kepada masyarakat. Selepas peristiwa itu, dan selepas sekian lama berlatih berpedang di sini, aku bilang aku lebih sesuai menyumbang sebagai petarung.”

Aku perlu perhatikan Tokui. Aku belum benar-benar memahami peribadinya. Bagaimana seseorang yang belum pernah membunuh, begitu mudah membunuh penjaganya sendiri hanya selepas mengetahui bahawa mereka layak dijatuhi hukuman bunuh di atas jenayah mereka? Sedang aku sendiri pun teragak-agak melakukannya. Apakah Tokui pernah membunuh orang sebelumnya? Atau dia sememangnya sudah terlalu lama menahan marah terhadap Segawa lalu dilepaskannya pada hari itu?

Aku bimbang dia sudah dikuasai berahi darah selepas kejadian itu. Berahi darah itu seperti satu sumpahan. Sekali engkau membunuh, engkau tidak akan teragak-agak melakukannya lagi. Aku tahu dia marah akan apa yang telah berlaku kepada rakan-rakannya di Suruga. Aku bimbang, sekiranya dia cuba menggunakan peluang menyertai misi-misi Kogen dan hukuman bunuh Kod Kogen demi melepaskan geram ke atas pelaku jenayah sama seperti Segawa dan Masami.

Peribadi Tokui padaku masih membingungkan. Ia mirip Kobato, namun kufikir aku perlu memahami latar belakangnya terlebih dahulu. Tahap kebijaksanaannya juga mirip Shinji. Ia seperti watak Shinji dan Kobato digabungkan.

“Tokui, bagaimana engkau menyertai rumahmu di Suruga?”

“Aku menjadi anak yatim ketika usiaku lima tahun. Ibuku meninggal dunia akibat demam, sedang bapaku sudah lama melarikan diri.”

“Engkau tiada adik-beradik?”

“Aku anak tunggal. Selepas kematian ibuku, orang kampung melaporkan kepada Kogen tentangku. Segawa datang dan mengambil aku tinggal bersamanya.”

Maka dia tinggal bersama Segawa sehinggalah peristiwa kami menghukumnya.

“Tokui, aku masih tidak faham, maafkan aku bertanya. Bagaimana engkau boleh mengambil keputusan membunuh mereka pada hari itu?”

“Kerana Kod Kogen.”

“Kod Kogen?”

“Masami telah membunuh Ayako. Maka Kod Kogen telah menghalalkan darahnya.”

“Itu hanya Masami bukan? Segawa tidak terlibat...”

“Segawa telah menodainya! Ryouji, mengapa engkau masih bertanya semua ini? Bukankah aku telah jelaskan ketika kalian menyoal siasatku di Kogen?”

“Maafkan aku. Aku masih tidak faham. Segawa dan Masami, mereka menjagamu sejak kecil. Apakah tiada sebarang sesalan sedikit pun selepas engkau membunuh mereka?”

“Ryouji, zaman ini tiada undang-undang. Segalanya terletak di tangan kita. Sebaik aku mendapat tahu Kod Kogen menghalalkan darah mereka, aku seolah-olah berasa telah diberi mandat untuk melakukannya. Tidak, bukan mandat. Tetapi sokongan. Bukankah Ayame telah tercedera? Ryouji, aku telah menelaah Kod Kogen. Aku faham benar kod itu. Usah kau risau.”

“Apakah engkau punya rasa tidak tenteram barang sedikitpun? Selepas membunuh mereka?”

“Bohonglah jika aku tidak merasakannya. Sejujurnya aku masih gusar. Segawa dan Masami menjagaku sedari kecil. Namun kepercayaanku terhadap mereka luntur sekelip mata tatkala memerhati onar-onar yang telah mereka lakukan terhadap Ayako dan budak-budak perempuan itu.”

“Ryouji, kami bukan setakat dikhianati, bahkan turut diperangkap tanpa dibenarkan membuka mulut di dalam rumah itu. Dan engkau tiada kekuatan untuk menumpaskan mereka. Lalu apa yang mampu engkau lakukan?”

Benarkah kerana Kod Kogen? Atau engkau sememangnya menuruti amarahmu yang mahu membalas dendam untuk Ayako?

Ryouji, engkau tidak tahu. Setiap hari aku berdoa di hutan buluh dan memendam sakitku. Aku tahu, setiap kali aku duduk di situ melepaskan geram pada rimbunan buluh-buluh di situ dengan tetakan pedangku, Masami sentiasa mengintai dengan panahnya tersarung menanti untuk dilepaskan ke arahku. Sepatah mulut kubuka demi mendedahkan kepada mana-mana nazir yang cuba membuka perbualan denganku, sejurus itu nyawaku akan melayang.

**

Pada misi kali ini, rombongan berkuda yang terdiri dari Tokui, Ayame dan Ryouji akan menuju ke sebuah rumah perlindungan Kogen di celah pergunungan yang terletak di tengah-tengah wilayah Hyogo. Hyogo ialah wilayah yang terletak di barat laut Osaka. Pekan pelabuhan Kobe terletak dalam wilayah ini. Kobe ialah pekan pelabuhan yang telah lama dibangunkan, dan kini sejak perjanjian berat sebelah dengan Marcus Palgraves ditandatangani, ia dibuka kepada pedagang Barat.

Perjalanan berkuda ke sana dari Kogen memakan masa sehari setengah. Mereka bermalam di sebuah rumah tumpangan di pekan Kisennuma berhampiran kampung Chisato, yang diselia pengintip Kogen sebelum meneruskan perjalanan esoknya terus ke rumah tersebut.

Pada malam itu, Ayame menerangkan perincian berkenaan rumah perlindungan tersebut beserta jenayah yang telah dilakukan penjaganya.

“Penjaganya pasangan Takahata. Suami bernama Takahata Yusei, isterinya Shizue. Ahli rumah perlindungan tersebut ada lima orang, semuanya anak gadis belasan tahun. Tiga daripada mereka dipungut dari ibu bapa miskin yang nyaris-nyaris mahu menjual mereka. Dua lagi anak yatim piatu.”

“Apakah mereka dilacurkan pasangan tersebut?” Ryouji bertanya, sebelah tangannya meneleku wajah pada meja di hadapannya. Jelas dia cuba menahan diri dari meletup di situ. Dia tahu Ayame akan menyampaikan khabar yang amat tidak disenanginya.

“Tidak.”

“Hah?”

“Pasangan tersebut bersubahat menodai mereka.”

Kuso!” Tokui menghentak meja dengan buku lima tiba-tiba sebaik mendengar khabar Ayame. Mujur orang ramai agak jauh dari lokasi mereka maka bunyinya tidak terlalu mengejutkan. Mereka bertiga sedang duduk di ruang makan kosong rumah tumpangan itu yang sudah menutup perniagaannya pada hari tersebut.

“Mahu aku perincikan lagi? Tokui?” Ayame merenung Tokui yang jelas marah.

“Teruskan.” Pinta Ryouji, pendek. Hampir serentak, Tokui juga meminta sama, nada suaranya perlahan namun jelas dapat dirasakan amarah yang membuak-buak di balik getarannya.

“Setiap minggu... Takahata akan menodai seorang dari lima penghuni itu.”

Masing-masing membisu terkesima. Ayame berhenti sejenak.

“Sejak bila ia berlaku?”

“Sejak empat bulan lepas. Ada yang telah menggugurkan kandungan. Nazir kami mendapat maklumat dari tabib yang diupah menggugurkan kandungan mereka.”

“Empat bulan? Selepas empat bulan ia berlaku mengapa baru sekarang kita mendapat tahu?” Tokui menyoal, suaranya sedikit membentak.

“Kami memerlukan bukti sebelum memberkas mereka. Nazir kami dihalang dari memasuki kawasan rumah dan ahli rumah tersebut juga dikurung, maka hanya selepas nasi menjadi bubur barulah ia dapat dibongkarkan. Maafkan kami.”

Tokui bangun tiba-tiba. Wajahnya merah. Jelas kelihatan dia menggenggam kedua-dua penumbuknya. Dia beredar meninggalkan mereka berdua. Mata Ayame menyorot kelibat Tokui sehingga dia benar-benar hilang dari pandangannya.

“Ryouji, perhatikan Tokui. Aku dapat merasakan sesuatu yang tidak diingini bakal dilakukannya.”

RyoukaiNe, Ayame-san. Berkenaan pasangan itu, bagaimana tahap bertarung mereka?”

“Kedua-dua mereka tahu kaminari. Tertinggi jurus kelapan.”

“Apa sejarah mereka? Bagaimana mereka boleh ditugaskan di situ?”

“Takahata Yusei bekas penghuni rumah perlindungan kami. Dia tinggal di rumah perlindungan kami sejak umurnya sepuluh tahun. Begitu juga Shizue, yang tinggal di rumah sama dengannya.”

“Apakah dia terus berkhidmat sebagai penjaga rumah perlindungan selepas keluar dari rumahnya?”

“Tidak, sebelumnya dia ditugaskan membantu kami mendapatkan buku-buku untuk dibawa masuk ke perpustakaan besar Kogen. Pendek kata, sebagai penyelia aliran masuk buku-buku, dari Barat mahupun buku-buku karya tempatan. Kemudian dia berkahwin dengan Shizue yang merupakan penyelidik kami dan memohon dari Omi-san ditugaskan menjaga rumah perlindungan kami. Kami telah membenarkan.”

“Namun ada satu peristiwa yang ingin aku kongsikan denganmu. Beberapa bulan lepas, pengintip kami di Hyogo menjejaki satu kargo berkuda yang membawa barang makanan kering yang banyak dan mencurigakan. Selepas kami menahan dan menyelidik kargo itu, di dalamnya ada disembunyikan buku-buku lucah perihal senggama dengan gadis remaja dan kanak-kanak. Sudi engkau dengar perinciannya Ryouji?” Ayame tiba-tiba menyoal melihatkan Ryouji menutup mulutnya seperti keloyaan.

“Teruskan...teruskan. Aku tidak apa-apa.”

“Hasil siasatan kami, kargo itu milik Takahata. Kargo begitu telah membawa buku-buku tersebut sejak tahun lepas. Namun aku tidak pasti sejak bila Takahata berminat dengan buku-buku begitu.”

“Jadi, apakah engkau cuba menyimpulkan yang buku-buku itu ada kaitan dengan jenayah yang dilakukan Takahata?”

“Barangkali.”

**

Mereka bertolak menunggang kuda awal pagi dari rumah tumpangan yang terletak di tengah-tengah pekan Kobe itu. Cuaca pagi yang dingin di penghujung musim luruh 1872 ini memaksa mereka masing-masing mengenakan baju kapas tebal membaluti luaran yukata. Mereka perlu meredah hutan belantara hinoki di celah pergunungan Hyogo untuk sampai ke rumah tersebut. Ayame memimpin mereka.

Di sepanjang perjalanan Ryouji dapat mengesan kelibat di atas pokok yang seolah-olah mengekori mereka. Ia bergerak pantas, dan sebaik Ryouji menengadah sejenak, ia hilang dari pandangan. Ketika kudanya beriringan dengan Tokui, dia sempat bertanyakan perkara tersebut.

“Tokui, apakah kita sedang diekori?”

“Aku tidak pasti. Aku juga perasan itu.”

“Usah risau kalian.” Sampuk Ayame di hadapan sebaik mendengar mereka, seraya menyambung, “Mereka pasukan Kogen yang akan membantu kita, berpangkalan di sini.”

Mereka sampai di rumah tersebut ketika tengahari.

Ketika memasuki perkarangan rumah tersebut selepas menelusuri laluan denai merentas hutan buluh, mereka menemui seorang wanita dalam lingkungan empat puluhan usianya, sedang berdiri di taman bonsai. Wanita itu merenung mereka.

“Akhirnya kita bertemu kembali, Ayame. Ohisashiburi.” Wanita itu berkata kepada Ayame dan tersenyum, namun tangannya memegang katana, bersedia. Dia memakai yukata dan umanori berwarna perang dan topi kon. Rambutnya separas bahu dan masih hitam tanpa uban, dibiarkan lepas. Wajahnya cerah namun cekung seperti mayat, dan kedutan-kedutan ada namun tidak ketara. Matanya sedikit besar dan agak tersembul keluar dari soketnya.

“Shizue-nee sanOhisashiburi.”

Nee-san? Apakah Ayame mengenali Shizue-san? Benak Ryouji terduga oleh apa yang baru didengarinya.

“Lama benar aku tidak menjejakkan kaki ke Kogen. Engkau sudah dewasa rupanya Ayame-san, dan semakin cantik. Seperti baru semalam kita berbual-bual di tepi taman itu.”

“Aku ingin sekali menemuimu nee-san, namun bukan seperti ini. Bukan pertemuan seperti ini.” Ayame memandang sayu wajah wanita empat puluhan itu.

Nee-san, ayuh, serah dirimu. Kogen bakal meringankan hukumanmu jika engkau menyerah diri sekarang. Di sana engkau boleh meminta untuk dibicarakan.” Pinta Ayame dengan suara lembut, jelas menghormati wanita yang dipanggil kakak itu. Namun nadanya penuh penyesalan berbaur kasihan. Garis-garis di wajah Ayame yang merenung Shizue jelas menggambarkan dirinya yang berada di persimpangan dalam melaksanakan arahan Kogen ke atas seorang rakan lama.

“Maafkan aku Ayame. Aku sudah melupakan Kogen. Hari ini aku akan bertarung bermati-matian dengan kalian.”

Nee-san, fahamkah engkau natijahnya jika engkau ingkar? Kami diberi mandat untuk membunuh kalian jika kalian melawan. Engkau mahu begitukah, nee-san? Jika engkau dibicarakan, masih ada peluang bagimu untuk terlepas dari dihukum begitu.”

“Engkau mengugut akukah Ayame?”

Ayame tersentak ditegur begitu. Itulah kelemahan Ayame, yang cuba bertegas dengan nada lembut namun seringkali disalahsangka mengugut. Kelemahan komunikasi yang sukar diperbetulkan.

Gomen, nee-san. Aku hanya melaksanakan arahan Kogen. Onegai.”

Shizue-nee san, segera buat pilihanmu sekarang. Aku sangat tidak ingin melakukannya.

“Ayame, jika aku dibicarakan sekalipun, kalian sudah punya cukup bukti mensabitkan aku. Aku tetap akan dihukum bunuh di sana. Maka lebih baik aku melawan kalian di sini!”

Shizue meluru ke arah Ayame dengan pedangnya terhunus. Ayame pantas mengeluarkan pedangnya dari sarung seraya menebas pedang Shizue. Shizue terundur.

Jelas, nee-san hanya menggertakku. Dia menghentikan tetakannya sebaik aku menahan dengan pedangku. Dia juga tidak mahu membunuhku. Nee-san...

Mereka berdua masing-masing di jurus rendah. Angin sejuk musim luruh berhembus lembut menebarkan daun-daun kirmizi dari pokok momiji beserta daun-daun keyaki yang menguning di taman bonsai itu, seolah-olah cuba menyejukkan api debaran yang membakar di hati para petarung. Atau mungkin, cuba memadamkan api memori lama mereka berdua yang kembali membara, sewaktu di Shirasaka-no-Kogen dahulu.

Nee-san, mengapa engkau berubah begini? Apa dosa anak-anak kita itu diperlakukan begitu?”

Shizue hanya membisu.

“Jawab aku, nee-san!”

“Pernahkah engkau merasakan cinta, Ayame?”

Ayame menggelengkan kepala perlahan.

“Sesungguhnya cinta itu buta, dan membutakan. Aku tahu Yusei bersalah. Namun aku membiarkan sahaja dia memperlakukan budak-budak itu sesuka hatinya. Asalkan dia kekal di sisiku.”

“Aku tidak faham...”

“Yusei mengugut mahu meninggalkan aku berseorangan di sini jika aku tidak membenarkan dia menodai budak-budak itu.”

“Aku tidak faham! Nee-san, walau siapa sekalipun yang melakukan jenayah, hatta keluargamu sendiri, engkau patut laporkan kepada kami! Jika engkau hanya membiarkannya berlaku maka engkau sama bersubahat dengan mereka dan layak dihukum mengikut Kod Kogen!”

“Senang katamu, Ayame. Engkau pernah ada sesiapa yang engkau hargai seumur hidupmu? Kekasih? Ibu? Abang?”

Ayame terdiam.

Aku hanya ada bapaku. Ibu telah lama meninggal dunia. Aku tidak pernah memiliki pacar. Aku bimbang sekiranya aku berpacaran, aku akan melahirkan zuriat, dan sumpahan hayabusa itu akan berkesinambung. Keturunanku akan melalui penderitaan sama yang aku pernah lalui. Aku tidak mahu ia terus-menerus menimpa keturunanku.

“Ayame? Mengapa engkau membisu?”

“Benar, aku tidak pernah punya sesiapa yang benar-benar aku hargai.” Tutur Ayame perlahan.

Sou ne (Kan)! Jadi engkau tidak akan faham.”

Demo cho wakaru (Namun aku masih amat faham)!”

Dou (Bagaimana)?”

“Aku...aku tidak tahu...” Riak Ayame seperti cuba menyembunyikan sesuatu.

“Jadi engkau hanya berbohong. Ayame, jika engkau faham aku, engkau sepatutnya menghentikan pertarungan ini sekarang dan melepaskan aku.”

“Tidak nee-san. Disebabkan aku faham, aku mahu engkau dibicarakan! Onegai, nee-san. Serah dirimu. Usah mendesakku melakukannya.”

Ryouji masih memerhati sekeliling Ayame dan kawasan sekeliling rumah perlindungan jauh di balik belukar, tidak mendengar jelas bicara mereka, sekali-sekala mengerling ke arah Momoyama, bimbang kalau-kalau tindakan Momoyama cuba mengalih fokus Ayame seperti di rumah Segawa dahulu.

“Tewaskan aku, dan aku akan menyerah diri!”

Taman bonsai di rumah perlindungan tersebut sedikit berlainan berbanding taman bonsai di rumah Takasaki. Ia tiada kolam, hanya replika taman zen yang meniru kolam sebenar dengan batu-batu granit putih dan kelabu. Pokok yang paling banyak ditanam di situ ialah pokok keyaki dan pokok momiji. Maka di kala musim luruh begini, warna kuning keyaki dan merah momiji menghiasi taman tersebut, seperti seolah-olah taman tersebut marak dijilat api kuning merah.

Fruhhhh!! Bunyi api marak menyambar ke arah Ayame setiap kali Shizue menghayun pedangnya. Api yang berwarna kuning kemerahan dan berlatarbelakangkan warna keyaki dan momiji mengelirukan Ayame, hampir-hampir sahaja api tersebut menjilat tubuhnya jika dia tidak pantas mengelak.

Aneh, pedang apakah yang digunakan nee-san?

Dou, Ayame? Terujakah engkau?”

Ayame tidak membalas. Memori lama sewaktu di Kogen bersama Shizue menerpa benak. Ketika itu musim luruh 1858. Ayame ketika itu berusia dua belas tahun sementara Shizue berumur dua puluh dua tahun dan bertugas sebagai saintis Kogen di situ. Shizue mula menyertai pasukan penyelidik Kogen selepas umurnya mencecah lapan belas tahun.

Previous: Bab 78
Next: Bab 80

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov