Mereka menyemadikan mayat bapanya di sebelah gua itu. Selesai pengebumian, mereka tidak pulang ke rumah sebaliknya bermalam di dalam gua kecil. Ryouji tidak yakin akan mampu bertarung di dalam gelap di rumahnya. Di gua itu mereka selamat kerana pintunya hanya boleh dimasuki oleh Ryouji yang bersaiz sederhana dan masih remaja.
Hisamiko menceritakan bagaimana penyerang berkimono perang itu dalam keadaan tercedera dan mahu berlindung di dalam gua kecil itu namun tidak dapat memasukinya kerana pintunya yang kecil. Dia menggigil ketakutan di dalamnya dan tidak berani keluar. Sejurus selepas itu, bapa mereka tiba dan membentak pembunuh upahan itu dan bertarung, sambil Hisamiko memerhati.
Ryouji tidak dapat tidur lena malam itu. Dia kebingungan bagaimana untuk meneruskan kehidupan di bendang itu. Bendang keluarga Okuhida terletak bersebelahan dengan bendang-bendang petani-petani lain, yang juga merupakan bekas samurai atau ronin yang diambil bekerja oleh Daimyo Kimura. Sebahagian dari mereka memiliki penuh bendangnya, manakala sebahagian lagi berkongsi pemilikan dengan Daimyo Kimura. Sebahagian yang lain pula langsung tidak memiliki bendang yang mereka kerjakan. Ia bergantung kepada Kimura untuk menentukannya, berdasarkan hasil setiap bendang tersebut.
Sejak beberapa tahun belakangan, hubungan bapanya dengan petani-petani yang lain bertambah buruk. Ia bermula sejak dua tahun lepas apabila pekerja-pekerja bendangnya mula berpindah bekerja untuk bendang-bendang bersebelahan. Disebabkan itu, Miura terpaksa mengupah pekerja upahan dari luar dan juga meminta bantuan Ryouji.
Di dalam kalangan pesawah di kampung itu memang terdapat satu dua petani yang mencemburui Miura. Hasil bendangnya sentiasa tinggi dan berkualiti kerana dia menggunakan kaedah penanaman dan pengairan yang moden dan baka yang bagus serta pembajaan yang kerap. Ini kerana Miura sanggup menghabiskan sejumlah besar wang demi menambahbaik hasil tanamannya dan membeli baja berkualiti, serta banyak bertanya kepada petani-petani di luar Hidagawa. Bahkan Miura juga mencedok pengetahuan dari pedagang-pedagang luar dari Barat. Miura memperoleh pendapatan lumayan dengan peningkatan hasilnya dan kualiti berasnya dan ini menambah lagi hasad mereka terhadap Miura. Beras Miura yang berkualiti menarik minat pembeli di pasar berbanding membeli beras-beras dari petani lain yang kurang berkualiti dan mengandungi banyak bubuk yang menyukarkan pencuciannya.
Ryouji menerawang menyorot kembali cerita yang didengarinya dari orang-orang kampung. Dia membelek-belek peti gangsa kecil yang diberikan oleh bapanya itu, kemudian membukanya. Di dalam peti itu berisi satu lipatan kertas. Dia membuka lipatan itu, dan duduk di tepi unggun api di luar gua lalu membacanya:
Ryouji,
Bawa dirimu dan Hisamiko menemui seorang ronin di selatan Hidagawa bernama Takasaki Nakatsu. Dia akan menyambung melatihmu seni berlawan pedang yang telah kuajarkan selama ini. Dia akan menyediakan tempat tinggal untukmu. Lupakan bendang ini. Takasaki-san akan menguruskan pindah milik dan pekerja-pekerja upahanku kepada Daimyo Kimura.
Dari bapamu, Miura
Ronin adalah samurai atau bekas samurai yang tiada tuan, sama ada kerana tuannya atau Daimyo mati, atau samurai itu sendiri meletak jawatan. Miura dan Takasaki, kedua-duanya adalah ronin, atau bekas samurai. Kedua-dua mereka meletak jawatan dan merupakan kenalan lama. Miura memilih untuk menjadi petani dan memohon berkhidmat di bawah Daimyo Kimura, seorang daimyo yang memiliki tanah sawah yang besar dan mengumpulkan semua ronin di bawahnya untuk mengusahakan tanah-tanahnya. Beliau memberikan hakmilik sebuah tanah bendang kepada Miura untuk diusahakan. Pada mulanya pemilikan Miura ke atas bendang itu adalah separa, dan Daimyo Kimura menjanjikan pemilikan penuh seandainya Miura mampu mengeluarkan hasil yang tinggi. Miura berjaya memenuhi sasaran hasil itu dan Daimyo akhirnya bersetuju menghadiahkan pemilikan penuh bendang tersebut kepadanya.
Ryouji bertanya sendirian, bagaimana harus kutemukan Takasaki-san? Otou-san tidak pula meninggalkan petunjuk. Dia bingung.
Saki baki higurashi di hutan itu masih sekali sekala berbunyi. Malam sudah larut, Hisamiko sedang nyenyak tidur keletihan.
Dia membelek-belek kertas itu sekali lagi. Dia mulai bosan lalu bermain-main dengan seni origami. Dahulu ketika dia kecil ibunya kerapkali mengajarnya pelbagai jenis origami. Origami kegemaran ibunya ialah origami angsa. Kerapkali dia meminta Ryouji dan Hisamiko melipat origami itu sewaktu dia terlantar sakit dan menggantungkannya di bumbung biliknya. Ryouji perasan terdapat garisan halus pada lipatan kertas itu. Di bawah sekali pada tulisan bapanya, dia menemui nota kecil berbunyi “origami angsa Ritsuko”. Dia lantas melipat mengikut garisan-garisan halus lalu membentuk lipatan seekor angsa. Lipatan-lipatan itu membentuk serangkap tulisan yang membawanya ke lokasi Takasaki:
Dari titik Sungai Miya terdekat dengan rumah, mudik ke hilir selama dua hari berjalan kaki sehingga bertemu torii ketiga yang ada patung Buddha dan dua patung gangsa berbentuk singa, menyeberang sungai di kawasan paling cetek. Ikut denai, dua ratus langkah ke hadapan. Rumah Takasaki-san di belakang rimbunan bambu.
Fahamlah Ryouji, bahawa lokasi Takasaki adalah rahsia.
Esoknya, dia mengejutkan Hisamiko, dan kembali pulang ke rumah sambil mengendongnya.
Mayat penceroboh di bilik utama sudah mulai berbau. Mereka berdua mengebumikan mayat tersebut bersebelahan belukar bersama pedangnya. Ryouji masih berwaspada kalau-kalau dia diekori oleh sesiapa. Dia tidak mahu membuang masa menjawab pelbagai persoalan orang ramai. Mujur dia tiba awal di rumahnya, jika tidak mungkin pekerja upahan bapanya nampak apa yang berlaku.
Ryouji bergegas mengambil beberapa barangan penting untuk dibawa semasa mengembara. Dia memeriksa dua pedang kecil atau tantou, masih berada di dalam sisipan pinggang. Dia memberikan Hisamiko satu, mungkin berguna sekiranya berada dalam kecemasan. Lagipun dia dan bapanya telah melatih Hisamiko untuk menggunakannya. Dia juga membawa senjata tambahan iaitu pedang simpanan bapanya sebagai gantian sekiranya pedangnya rosak. Makanan yang masih berbaki di dalam rumah itu dibungkusnya selagi belum rosak, untuk dimakan tengahari nanti.
Setelah bersiap, mereka menatap rumah itu buat kali terakhir. Ryouji dan Hisamiko berdiri bertafakur seketika. Berbagai kenangan bermain di fikirannya. Dia membesar di rumah itu tiga belas tahun.
Dia merenung pohon sakura di depan rumah yang pada waktu itu sudah perang daunnya dan masih terbayang-bayang kelibat bapanya memahat patung kayu di bawah pohon itu, sambil dia berlari-lari mengejar kucing di di bawah pohon sakura itu dengan kelopaknya yang rancak menari-nari di udara, dan mendarat memenuhi kepalanya. Ibunya pula sedang mendukung Hisamiko yang baru berusia setahun, dan dia berumur lima tahun pada ketika itu.
Kampung ini aman dan terpencil di celah pergunungan Hidagawa, dan penduduknya amat sedikit dan tinggal berjarak antara satu sama lain, masing-masing di dalam petak bendang mereka. Rumah keluarga Okuhida juga didirikan di atas tanah di tengah-tengah bendang mereka, jauh dari rumah-rumah pengusaha bendang yang lain. Tanah rumah mereka bertapak itu seolah-olah sebuah pulau yang lautannya bendang.
Selama dua ratus tahun sejak Pertempuran Sekigahama pada tahun 1600, di bawah pemerintahan Shogun Tetsugawa, bumi Jepun di dalam keadaan aman selepas hampir tiga ratus tahun lamanya bergolak dan rakyatnya saling berbunuhan sesama sendiri, dalam era yang digelar Negeri-Negeri Berperang (sengoku jidai). Miura meletak jawatan sebagai samurai dan hidup sebegini sejak enam belas tahun lepas. Dia membuat keputusan menjadi seorang petani dan sanggup melepaskan kedudukan dan pangkat tinggi yang dikecapi sewaktu menjadi samurai.
Ryouji sebak. Mungkin, jika nyawa mereka panjang, mereka akan kembali ke sini. Namun untuk apa kembali? Mereka tidak lagi memiliki apa-apa di sini. Ibu dan bapa mereka sudah tiada. Mereka hanya ada satu sama lain dan kehidupan ini harus diteruskan.
“Ittekimasu. (aku pergi dahulu) ” Ryouji melaung ungkapan itu, menyarung topi kon seperti yang biasa dipakai seorang ronin, dan menyarung topi sama yang bersaiz lebih kecil ke kepala Hisamiko, seraya memulakan perjalanan tanpa menoleh lagi ke belakang, menuju ke tebing terdekat Sungai Miya. Dia memimpin tangan Hisamiko yang berjalan di sisinya. Tali yang panjang diikat di pinggangnya dan pinggang Hisamiko, ditakuti jika Hisamiko diculik secara senyap tanpa dia sedari. Sekiranya berlaku kecemasan, terdapat satu simpulan yang apabila ditarik Hisamiko, akan meleraikan tali itu dan membebaskannya, agar dia dapat berselindung tanpa terlibat dalam pertarungan antara Ryouji dengan penyerangnya. Jika Hisamiko kepenatan, Ryouji sudah bersiap dengan kain anduh untuk membantunya mengendong Hisamiko.
Sebaik dia melangkah pergi, teriak burung falko belalang atau hayabusa sayup-sayup kedengaran di udara, kelihatan seperti sedang terbang mengejar makhluk yang mungkin unggas di dalam belukar berdekatan.
Namun ia bukanlah unggas. Seorang pengintip sedang bersembunyi sambil memerhatikan Ryouji dan Hisamiko, dan dia berbisik sendirian “Itterasshai (selamat berpergian kalian)” dengan nada sinis selepas mendengar laungan Ryouji.