Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 95

Ryouji bertemu Hisamiko di taman zen.

 

“Hisamiko, kita akan meninggalkan Kogen.”

 

“Hah? Onii-san, apa maksudmu? Mengapa tiba-tiba sahaja engkau kata begitu?”

 

“Kita akan tinggal di lembah Okuhida.”

 

“Tinggal di sana? Untuk apa, onii-san? Chisato nee-chan, Chiho dan Chinami, Nariko nee-chan, semua di sini. Aku akan keseorangan di sana, onii-san.”

 

“Kita akan keluar untuk beberapa ketika sahaja, Hisamiko.” Ryouji cuba mencipta alasan. Dia tidak mahu membongkarkan tujuannya melarikan diri adalah demi kebaikan Hisamiko. Mereka mungkin akan keluar dari Kogen untuk selama-lamanya, meskipun masih kekal sebagai ahli Kogen.

 

Hisamiko memusing-musingkan jarinya, cuba memikirkan sesuatu.

 

“Berapa lamakah kita akan meninggalkan tempat ini?”

 

“Mungkin sehingga selepas aku mati. Engkau akan ditemani Tsuneki. Engkau mencintainya bukan? Aku mendengarnya dari seseorang.”

 

Hisamiko merah padam. Dia menganggukkan kepalanya perlahan. 

 

“Terima kasih onii-san. Aku fikir engkau akan menghalang jika Tsuneki menyertai kita.”

 

“Pada mulanya memang aku fikir begitu. Hisamiko, aku harap engkau tidak berseorangan di sana. Selepas aku mati, engkau hiduplah di sana bersama Tsuneki. Kotobuki juga akan melawat kalian di lembah Okuhida. Sekarang, kita harus meninggalkan Kogen dahulu.”

 

Onii-san, boleh kutahu mengapa kita harus meninggalkan Kogen sekarang?”

 

“Aku tidak boleh beritahu engkau Hisamiko. Ini arahan Kotobuki. Dia pemimpin Kogen baharu menggantikan Omi-san yang sedang terlantar.” Ryouji tidak mahu menghurai lanjut.

 

“Jika ia arahannya, maka aku terpaksa akur.”

 

Hisamiko, maafkan aku. Demi kebaikanmu, aku terpaksa melakukan ini. Aku bimbang. Amat bimbang denganmu. Jika aku membiarkan engkau terus-menerus menyertai misi-misi Kogen, ramalan Kotobuki akan menjadi kenyataan. Engkau akan menjadi penumpah darah, bahkan menjadi seorang yang amat berbahaya kepada Maharaja, kepada bangsa ini, kepada negara yang kami bina ini. Demi engkau, Hisamiko, demi negara ini, demi kerajaan yang telah diperbaharui Maharaja, aku mahu hentikan semua ini dengan tanganku.

 

Sebelum aku benar-benar terlambat.

 

**

 

Musim panas, 1874

 

Pada tengah malam itu mereka akan meninggalkan Kogen. Seperti rancangan Kotobuki, mereka tidak berkumpul beramai-ramai bagi mengelakkan curiga. Ryouji bertemu Chisato terlebih dahulu, di tepi kawasan lagun.

 

Hisamiko berdiri agak jauh dari situ dan bersembunyi di balik rimbunan pepohon renek, memerhati mereka berdua dan mengawasi keadaan.

 

Chisato dan Ryouji duduk bersebelahan di atas sebuah bangku panjang, mengadap lagun. Air terjun tidak jauh dari situ menghasilkan hingar, menghalang perbualan mereka dari didengari mereka yang cuba mendengarnya.

 

“Chisato, aku terpaksa membawa Hisamiko keluar dari sini. Dan aku fikir lebih baik jika engkau kekal di sini bersama adik-adikmu. Keluarga Yoshitsugu masih memburumu. Ajalku sudah dekat, aku risaukan keselamatanmu sekiranya engkau mengikutku.”

 

Chisato hanya diam tunduk mendengar kata-kata Ryouji. Dia sudah menjangkakannya.

 

“Maafkan aku, Chisato. Kita harus berpisah.”

 

Chisato masih dalam tunduk. Air matanya mengalir. Chisato terpaksa akur dan memutus sama. Hanya di sini sahaja dia dapat meneruskan kehidupan normal bersama adik-adiknya. Dia baru sahaja sembuh dari racun aotsuyu, dan kini mereka perlu berpisah pula.

 

“Ke mana engkau mahu membawa Hisamiko, Ryouji?”

 

“Aku akan membawanya ke lembah puak kami Okuhida. Dia akan tinggal di situ selepas kematianku nanti.”

 

“Ryouji. Apa yang engkau cuba rancangkan?”

 

“Aku akan membawa Tsuneki sekali dan dia akan menemaninya. Mereka saling mencintai. Kotobuki akan menjenguk mereka sekali-sekala.”

 

“Ryouji, mengapa tidak sahaja engkau biarkan Hisamiko di sini? Hanya perlu menghalangnya dari menyertai misi-misi di luar, bukankah itu sudah cukup untuk menjaga kemanusiaannya?”

 

“Dia berdegil mahu menyertai misi tersebut meskipun dihalang. Aku tidak mampu menghalangnya. Apatah lagi mereka di sini yang rata-rata tidak mampu menandingi Hisamiko dalam bertarung. Hanya ikhtiar terakhir yang mampu kulakukan ialah membawa dia pergi jauh dari sini.”

 

“Dengan mengurungnya di lembah puakmu itu?”

 

“Jika itu sahaja cara yang berkesan, ya.”

 

Kemudian dia memandang Ryouji seraya memeluknya. Ryouji tergamam, namun disambut pelukan itu jua.

 

“Ryouji, hanya seketika. Biarkan aku begini seketika.” Chisato meminta Ryouji membiarkan dia memeluknya seketika. Masa seakan terhenti. Tiada kata yang terungkap dari bibir masing-masing saat itu. Hanya bunyi air terjun memecah suasana.

 

Hisamiko yang memerhati dari jauh tidak dapat menahan sebak meskipun tidak dapat mendengar perbualan mereka. Dia pernah meminta Ryouji berjanji mengahwini Chisato. Namun apakan daya, nasib malang yang tidak disangka-sangka menimpa mereka. Ajal Ryouji semakin dekat. Hisamiko kini terpaksa membantunya bertarung kerana tangan dominannya sudah semakin lemah, dan kadangkala semakin kerap tidak berfungsi tiba-tiba seperti di Kisennuma dahulu.

 

Chisato menangis teresak-esak sedang masih merangkul tubuh Ryouji. Ryouji membiarkannya begitu sehingga dia tenang kembali.

 

Chisato, kekallah hidup di sini dan berbakti kepada Kogen. Carilah cinta yang baru di sini.

 

Chisato juga sudah bertemu Hisamiko sebelumnya.

 

“Hisamiko...” Chisato memeluk Hisamiko di bangku yang sama mengadap lagun, sebelum bertemu Ryouji. Mereka berdua menitiskan air mata.

 

“Maafkan aku nee-chan, aku terpaksa meninggalkan tempat ini. Aku perlu mengiringi onii-san.” Hisamiko tidak tahu Ryouji memutus meninggalkan Kogen kerananya. Ryouji risaukan kemanusiaannya.

 

“Hisamiko, tangan kami sentiasa terbuka menerimamu kembali di sini.”

 

“Aku pasti akan kembali ke sini bilamana keadaan mengizinkan kelak. Sayonara, nee-chan.”

 

**

 

Mereka duduk mengambil masa, mengungkit memori-memori lama.

 

“Engkau masih ingat bukan? Seperti baru semalam kita bertarung di hutan bambu itu.”

 

“Aku masih ingat, Chisato. Mana mungkin aku lupa hari terindah itu.”

 

“Mengapa engkau kata hari terindah?”

 

“Bukankah itu malam pertama kita?” Ryouji senyum nakal.

 

Chisato mencubit pehanya. “Sakit...sakit!”

 

“Rasakan, Ryouji miang!”

 

Ryouji menggosok-gosok pehanya. Pasti sudah biru dicubit. Chisato ketawa kecil. Matanya bersinar seperti rembulan purnama di malam itu. Dia merenung Ryouji, seraya berkata perlahan.

 

“Ryouji, jika engkau ingin melakukannya denganku, malam ini...” Tangan Chisato memegang sebelah tangan Ryouji. Matanya merenung Ryouji seperti merayu. Ryouji tidak membalas renungan itu. Wajahnya merah.

 

“Tidak mengapalah. Aku bergurau sahaja.” Chisato pantas melepaskan tangan Ryouji, faham mungkin dia belum bersedia. “Apapun, aku sudi. Jika engkau mahu.” Nadanya kembali serius

 

“Chisato, bukan aku tidak mahu...”

 

“Habis tu?”

 

“Aku bimbang aku akan meninggalkan sesuatu denganmu. Chisato, maafkan aku. Aku bimbang jika engkau melahirkan anak tanpa bapa. Kerana umur pendekku ini...”

 

“Aku tidak kisah Ryouji, aku akan menjaganya.” Pantas dia merangkul tengkuk Ryouji merapat ke wajahnya, merenung wajah Ryouji sedalamnya. Ryouji tidak lagi dapat mengalih matanya. Dia cuba mengalih matanya ke bawah, lalu terpandang dada Chisato yang besar itu. Lama pandangannya tercatuk di situ. Chisato menyedarinya.

 

“Ryouji, engkau memang mahu mengendap aku bukan? Aku dengar dari Azusa engkau telah mengendap kami di onsen.” Chisato sengaja mengusik Ryouji, sambil tersenyum memandangnya. Dia melepaskan rangkulannya.

 

Ryouji merah padam. Tak sangka Azusa sudah memberitahu Chisato! Malang Azusa, engkau tiada lagi di sini, semoga engkau tenang di alam sana.

 

“Maafkan aku Chisato. Aku mengikut Tsuneki yang bodoh itu. Aku tiada niat langsung mengintaimu.”

 

“Aku tahu. Aku faham perangai engkau Ryouji. Aku tahu engkau tidak akan melakukannya.”

 

“Chisato, aku mahu engkau tahu aku menyukai engkau sejak kali pertama bertemumu di bilik makan itu.”

 

Sou ka (benarkah begitu)?” muka Chisato pula merah padam. Dia tunduk malu memandang rumput.

 

Sou datta (benar). Engkau berjalan masuk berbaris dengan adik-adikmu seperti seekor ulat bulu.”

 

Chisato ketawa kecil. Ulat bulu kau kata?

 

“Kita tidak seperti pasangan-pasangan lain bukan? Kali pertama engkau keluar denganku pun, kakimu dicederakan pedangku dan engkau dirundung kesedihan kemudiannya. Kemudian, engkau disuntik aotsuyu pula dan terlantar setahun lebih.”

 

“Ryouji, itu semua tak penting padaku. Setiap malam di hutan bambu itu sudah cukup sebagai kenangan. Dan kehidupan sehari-hari di rumah perlindungan itu. Tak kira ketika berlatih berpedang atau hanya berbual kosong. Padaku itu semua sudah cukup sebagai kenangan.”

 

“Ryouji, engkau tetap satu-satunya lelaki yang benar-benar aku cintai. Maafkan aku tidak mampu mengotakan janjiku untuk sehidup semati.”

 

“Aku pun.” Ryouji mengalirkan air mata juga. Dia memeluk Chisato kembali, dan menangis semahunya.

 

Sayonara, Chisato.” “Kimi mo (engkau pun), Ryouji. Sayonara.”

 

Selesai bertemu Chisato buat kali terakhir, Ryouji mula bergerak kembali ke rumah perlindungan mereka. Hisamiko pula telah mengatur pertemuan dengan Chinami dan Chiho di dalam bilik mereka.

 

Hisamiko memeluk mereka berdua. Ketiga-tiga menangis, namun suara mereka cuba direncatkan dan lampu bilik dipadamkan demi mengelakkan curiga. Mengikut perancangan Kotobuki, semua pertemuan terakhir ini perlu dilakukan secara sembunyi dan mereka semua dilarang berkumpul beramai-ramai.

 

“Ayuh Hisamiko. Kita tidak punya banyak masa lagi.” Ryouji berkata kepada Hisamiko, mereka berdua sudah di atas kuda masing-masing. Tsuneki sedang menunggu bersama Kotobuki di kaki pergunungan itu. Namun sebelum itu, mereka akan berjumpa Shinji terlebih dahulu.

 

Shinji memeluk Ryouji.

 

“Shinji, zenbuu arigatou (terima kasih atas semuanya). Aku akan merindui celoteh engkau yang pelik-pelik itu.”

 

“Engkau pun Ryouji. Jaga dirimu. Hisamiko, engkau pun. Jangan lagi berani keluar seorang diri. Pastikan musang itu dijaga elok-elok!” Shinji berseloroh. “Dia tu hidung belang sedikit, Hisamiko! Kalau dia curang, tarik telinganya supaya lebih capang.”

 

Hisamiko ketawa kecil mendengarkan jenaka Shinji.

 

“Terima kasih Shinji. Berkenaan pedang yang kau tempa itu, sungguh aku amat menyukainya. Amat sesuai dengan tubuhku.” Hisamiko mengambil kesempatan memuji hasil kerja Shinji. “Maaf tidak berkesempatan memberitahumu lebih awal.”

 

“Benarkah begitu? Aku gembira engkau menyukainya. Hisamiko, jaga ia baik-baik. Itu mahakaryaku.” Shinji mengerling ke arah Ryouji sambil mengenyitkan mata. Ryouji tersipu-sipu.

 

“Benarkah begitu?”

 

“Ya. Aku hasilkan dengan kaedah yang telah ditambahbaik.”

 

“Baiklah Shinji, kami harus bergegas sekarang.”

 

“Sebentar, Ryouji. Aku ada sesuatu untukmu.” Shinji menghulurkan patung telur musang tanuki itu.

 

“Ini...bukankah ini...”

 

“Ya, aku mengambilnya dari saku Kobato. Aku fikir ada manfaatnya. Jika kau memerlukan pertolonganku kelak, hubungiku menggunakannya. Goncangkannya dan seekor merpati hitam akan mengekorimu. Merpati itu suka nasi dan roti. Jika engkau mahu menghantar surat, ikatkan pada kakinya dan lepaskan. Ia akan datang ke rumah merpati di sana.” Shinji menunjuk ke atas pokok matsu.

 

“Aku perlu membiarkan dia mengekoriku dari sini?”

 

“Benar. Goncangkannya sekarang, dia akan datang kepadamu.”

 

Ryouji menggoncangkan patung telur itu. Merpati hitam itu datang terbang dan hinggap di atas bahu Ryouji.

 

“Dia akan terbang jauh di atasmu, usah bimbang. Patung telur ini punya unsur yang tidak aku ketahui, namun merpati ini mampu mengesannya di mana sahaja engkau berada.”

 

Arigatou, Shinji. Aku fikir amat berguna alat ini nanti.”

 

“Dan Ryouji, jangan lupa akan alat untuk dipakaikan di telingamu itu.”

 

Ryouji meraba saku yukatanya. Ada. Masih di situ.

 

“Ada di sini. Shinji, alihkan ke luar Kogen rumah burung itu. Burung tidak boleh sendirian memasuki lembah ini. Tama-no-iwa menghalang kemasukan binatang yang tidak diiringi penghuni tempat yang dilindunginya”

 

“Oh aku lupa! Terima kasih mengingatkanku Ryouji.”

 

Doumo. Shinji, kami harus bergegas sekarang. Kotobuki dan Tsuneki sedang menunggu kami. Sayounara!”

 

Sayounara!”

 

Sayounara, kalian.

 

Hati Shinji tiba-tiba ditebak rasa sendu. Dia tidak pernah merasakannya sebelum ini. Ketika Jesuit di gereja Kyoto itu menghilang, ketika Takasaki, Kobato, Funazuki bersaudara mati, ketika mendapat tahu kematian Mariko, semua itu tidak sedikitpun memberi kesan kepadanya, dan dia tidak langsung menangisinya. Namun kali ini, rasa sendu itu sungguh kuat menguasai benak. Air matanya meleleh tanpa disedari.

 

Dia menyekanya. Sebentar, aku menangis?

 

Shinji, engkau menangis?

 

Tidak, tidak. Bagaimana aku yang beremosi batu ini menangis?

 

 

**

 

Siang esoknya...

 

“Kotobuki-san, Takasaki pernah memberitahuku engkau dan Ayame dari puak Shirasaka bukan?”

 

“Benar.”

 

“Kotobuki-san, jika tidak keberatan, boleh engkau jelaskan tentang Ryouji?”

 

“Apa yang engkau ingin tahu?”

 

“Apa sebenarnya yang berlaku ke atasnya? Dia pernah menyerang kami dalam keadaan tidak sedar ketika misi pertama kami.”

 

“Shinji, rupanya engkau masih belum tahu. Kemas mereka menyimpan rahsia.”

 

“Maksudmu, Kotobuki-san? Apakah Ryouji menyimpan rahsia dariku?”

 

“Benar. Shinji, rakanmu itu tidak lama hayatnya. Dia ditimpa sumpah hayabusa.”

 

“Sumpah hayabusa? Apakah itu?”

 

“Ia bayaran kepada kepantasan bertarungnya hasil perjanjian dengan hayabusa-no-kami.”

 

“Aku sedia maklum berkenaan perjanjian itu, namun tidak pula sumpah hayabusa.”

 

“Puakku juga dikenakan sumpah yang sama. Mangsanya isteriku Tsubomi.”

 

“Maafkan aku Kotobuki-san.”

 

“Tidak mengapa. Ia sudahpun lama berlaku.”

 

Ryouji, sekarang baru kutahu mengapa engkau menangis!

 

Sebentar, bukankah malam akhir dia di sini...? Mungkin, mungkin itulah kali terakhir aku melihat wajah sahabatku itu!

 

Tak guna Ryouji! Jika aku tahu aku pasti akan mengejarmu!

 

**

 

Tiba di laluan rahsia, Tsuneki sudah menunggu mereka di atas kudanya. Tsuneki sudah menemui kesemua ahli-ahli rumah perlindungan siang tadi, kerana dia harus menunggu jauh sedikit dari rumah tersebut pada malam itu.

 

“Ayuh kalian, Kotobuki-san sudah menunggu kita di bawah.” Tsuneki memberikan kepada mereka satu pelita kecil yang tidak menghasilkan cahaya yang besar yang boleh menimbulkan curiga sesiapa. Sedari tadi mereka berdua hanya dipandu oleh cahaya jamung dari rumah perlindungan itu yang sekarang ini gemerlapnya sudah semakin suram di kejauhan.

 

Mereka menunggang kuda perlahan-lahan agar tidak mengejutkan sesiapa pada malam itu. Kawasan rumah perlindungan di Kogen-no-shita semakin lama semakin jauh dari pandangan. Mereka perlu berhati-hati menuruni satu laluan berbatu, kerana laluan ini bukanlah laluan biasa untuk turun dari pergunungan Tateyama.

 

Setelah hampir sejam menuruni laluan curam berbatu dan dipandu cahaya malap dari pelita kecil, mereka tiba di kaki pergunungan Tateyama. Kotobuki sudah menunggu di bawah. 

 

“Ryouji, Tsuneki, Hisamiko, kalian perlu singgah sebentar di kuil Furukawa beronsen, ada sesuatu untukmu yang perlu kalian bawa ke lembah Okuhida. Susur tebing sebelah barat Sungai Miya dari pekan Inotani. Engkau tahu bukan tentang pekan itu?”

 

“Ya, aku dan Hisamiko bercuti ke sana dahulu. Tanda utama pintu masuk pekan itu ialah sebuah papan tanda besar di sempadan Wilayah Kodama – Jooryoku.”

 

“Ryouji, aku tidak pernah mendengar nama wilayah Jooryoku.” Tsuneki mencelah.

 

“Nama lama Wilayah Hidagawa.”

 

Gambarinasai (semoga berjaya), sayonara.” Kotobuki melambaikan tangannya.

 

Sayonara, Kotobuki-san.”

 

Malam itu secara rasminya mereka meninggalkan Kogen. Kotobuki memilih malam itu kerana Ayame tiada di Kogen atas urusan mustahak di Furukawa. Nariko juga menyertai Ayame.

 

Bebaslah kalian seperti burung hayabusa, Kotobuki menggumam sendirian, memandang ketiga-tiga remaja itu yang semakin jauh meninggalkannya dalam kelam dinihari.

 

Sementara itu, di balik pepohon hutan di kaki pergunungan itu, seorang pengintip sedang bersembunyi memerhati mereka semua.

 

“Bangsat engkau Kotobuki. Uragirimono! (Pembelot). Engkau mengkhianati Omi dan Ayame. Aku akan melaporkan kepadanya.”

 

“Siapa yang bangsat dan pembelot?” sebilah tantou hinggap di leher pengintip itu tiba-tiba. Seperti dia pernah mendengar suara itu. Suara yang sungguh menenangkan. Pengintip itu perlahan-lahan menoleh.

 

Kotobuki-san! Bagaimana dia boleh berada di sini dengan tantounya di leherku? Bukankah aku sedang melihatnya di depanku? Jurus apakah ini?

 

Kotobuki melepaskan tantounya dari leher pengintip itu, seraya beralih posisi ke hadapannya

 

“Kazuhito.”

 

Pengintip itu, Kazuhito tunduk menahan malu ditangkap oleh pemimpin tertinggi Kogen sendiri.

 

“Kotobuki-san, engkau boleh bermimpi menjadi ketua Kogen. Engkau langsung tidak layak memimpin pertubuhan ini.” Meski masih tunduk, Kazuhito masih berani mengutarakan pendapatnya.

 

“Apa hujahmu?”

 

“Engkau mahu menyerahkannya kepada Maharaja. Engkau hanya mahu berlepas tangan!”

 

“Apa buktinya?”

 

Kazuhito terdiam. Benar, ia hanya ura-ura. Kazuhito seorang penyiasat. Setiap hujah perlu disertakan bukti. Ketiadaan bukti tidak sesuai dengan jiwanya.

 

Meskipun aku tiada bukti, aku faham benar apa tujuanmu. Aku mendengar orang bercerita berkenaan perbualanmu dengan Omi-san, getus Kazuhito dalam hati.

 

“Kazuhito, lupakah tujuan utama pertubuhan ini? Demi anak-anak di rumah perlindungan kita, demi Pembaharuan Maharaja dan bangsa ini, aku mohon kesetiaanmu. Onegai (tolong), Kazuhito!” Kotobuki tunduk separas pinggang. Kazuhito tercengang melihat pemimpin tertinggi Kogen itu tunduk rendah di hadapannya.

 

Seorang pemimpin tertinggi pertubuhan besar sebegini, tunduk di hadapanku? Permainan apakah ini?

 

Aku percayakan Kazuhito. Kesilapannya tahun lepas di Kawamoto itu sememangnya satu kesilapan yang tidak disengajakan. Ia bukan diada-adakan. Kazuhito segera membina rumah merpati baru selepas diarahkan Omi. Ia kesilapan hasil kegopohan Omi menempatkan Kazuhito sebagai ketua pengintip menggantikan bekas penyandangnya di sana sedangkan dia kurang pengalaman. Omi memilih berpandukan kepercayaan, bukan kemahiran dan pengalaman.

 

“Kazuhito, aku membawa ideologi yang sama dengan Omi-san. Aku akan pastikan pembaharuan Maharaja dijayakan.” Kotobuki menyebut ‘Omi-san’ jika merujuk kepada bapamu di hadapan ahli Kogen.

 

“Kotobuki-san, beritahu aku ideologimu jika benar sama dengan Omi-san.

 

“Aku mahu menggubal semula Kod Kogen. Aku tidak mahu lagi hukuman bunuh sewenang-wenangnya dikuatkuasakan.”

 

“Dan lagi?”

 

“Aku mahu menghapuskan korupsi. Aku dengar engkau kerapkali bersungut di hadapan Omi tentang ketirisan pengurusan Kogen bukan? Ketirisan dalam kalangan penjaga rumah perlindungan dan seratus orang ketua tugas-tugas khas.”

 

“Jika engkau mengotakan kata-katamu, aku akan setia denganmu, Kotobuki-san. Jika engkau mengingkarinya, aku mahu melihat engkau lakukan seppuku di hadapanku demi menebus maruahmu.”

 

Meskipun Kogen bukanlah samurai, amalan seppuku masih dilakukan sebagai sebahagian dari adat resam menebus maruah yang tercalar, terutama ketika melakukan perjanjian. Namun ia tidak sekali-kali dilakukan bagi menghukum penjenayah.

 

“Baiklah, Kazuhito. Aku berjanji.”

 

Kotobuki terpaksa berjanji begini. Selain kepercayaan, Kazuhito adalah antara petarung terbaik Kogen selepas Goryuuin. Kazuhito masih mempelajari jurus kesembilan dari Seijuro dan Takajiro, dua petarung yang telah dilatih Ayame. Kotobuki tahu, hanya Kazuhito yang tidak condong kepada sesiapa. Dia menyokong Omi kerana ideologinya, namun akhir-akhir ini digoyahkan oleh berleluasanya korupsi dalam kalangan ketua tugas-tugas khas dan penjaga rumah perlindungan.

 

Namun Kotobuki masih tetap dalam rancangan asalnya, menyerahkan Kogen kepada Maharaja. Dia terpaksa memegang Kogen seketika demi menyekat pengaruh Ayame yang mahu mengekalkan hukuman bunuh mengikut Kod Kogen.

 

Kazuhito membalas tunduk Kotobuki, penuh hormat. Angin dinihari bertiup lembut seperti seolah-olah sedang mendengar janji di antara keduanya.

 

Di balik belukar, sepasang mata sepet dengan kesan jerawat lama pada wajah seorang gadis yang putih mulus  berambut keriting berikat, berpakaian hitam ala ninja sedang mengintai dan mendengar kata-kata mereka, bersama tiga orang pengikut perempuan juga berpakaian serupa.

 

“Hotaru nee-chan, perlukah kami mengejar budak perempuan dan dua remaja lelaki itu?” Tanya salah seorang pengikut perempuan kepada gadis berjerawat dan berambut keriting itu.

 

“Tidak perlu, Hikari. Aku hanya mahu memastikan perkara ini sahaja. Aku akan melaporkan kepada Ayame dan menunggu arahan seterusnya. Ayuh kembali ke pangkalan!”

 

Ryoukai!

 

**

 

Sekilas mengenai berahi kuasa (power lust).

 

Berahi kuasa mengesani pemedang handal terpilih setiap lima ratus tahun. Hanya pemedang handal yang datang dari puak yang memegang pecahan terbesar kuasa hayabusa yang akan menerima malang ini. Maka hanya puak Shirasaka sahaja yang akan dikesaninya di mana dalam kitaran terkini, Shirasaka Ayame ialah pemedang handal yang menerima malang berahi kuasa.

 

Pemedang handal yang mendapat berahi kuasa akan cuba menggunakan kekuatan dan kemahiran bertarung luar biasanya bagi mendapatkan seberapa besar kuasa politik, termasuk memerangi Maharaja jika perlu. Matlamat pemedang handal yang menerima malang ini ialah menguasai seluruh Jepun. Selepas mereka berjaya menakluk seluruh Jepun, mereka akan berhenti menakluk.

 

Kotobuki tidak bersetuju berkahwin ketika dipaksa Omi, bagi mengelakkan dia memiliki zuriat yang mana zuriat itu mungkin akan menerima berahi kuasa. Namun semua itu tidak lagi dapat diundur selepas Ayame dilahirkan. Kotobuki terpaksa menerimanya meskipun hatinya perit.

 

Kotobuki sedang mencuba sedaya upaya bagi menyekat pengaruh Ayame. Dia dapat menghidu bahawa Ayame sedang cuba menggunakan Kogen, khususnya melalui Skuad Sakura bagi membina pengaruh dan menentang Maharaja.

Previous: Bab 94
Next: Bab 96

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov