Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 7

Hisamiko sudah hampir sembuh selepas berehat semalaman. Ryouji mengendongnya di belakang agar dia dapat menyambung rehatnya. Mereka harus bergegas takut-takut orang-orang Hamada masih menjejaki mereka.

 

Mereka meneruskan perjalanan menuju ke kuil ketiga. Menurut catitan bapanya, ia kuil yang mengandungi dua patung gangsa berbentuk singa (shishi) di kedua-dua belah toriinya dengan satu patung Buddha berada di dalam halaman kuil itu.

 

Patung Buddha? Bagaimana patung Buddha boleh berada di dalam kuil Shinto? Ryouji bertanya sendirian. Apakah penganut Shinto di sini sudah murtad?

 

Sedang mereka menyusuri denai di tepi Sungai Miya seperti hari sebelumnya, seekor burung hayabusa masih mengekori mereka. Ia terbang berlegar seolah-olah menjaga ruang udara di atas trio itu.

 

Takasaki mendongak ke atas, seraya berbicara,

 

“Bapamu pernah menceritakan kepadaku tentang burung itu dan puakmu. Okuhida-no-Hayabusa, nama asalnya Fujiwara-no-Zenzaburo adalah pengasas puak Okuhida. Lebih kurang seribu tahun lepas, dia berhijrah dari kota Kyoto ke lembah Okuhida tidak jauh dari sini, lalu menukar nama keluarganya kepada nama lembah itu.”

 

“Dia meminta agar keturunannya dikurniakan kepantasan bertarung seperti burung hayabusa. Dia memakai nama burung itu sebagai namanya, dengan harapan para kami akan memakbulkan doanya.”

 

“Nampak seperti doanya telah dimakbulkan. Bahkan selain itu, dalam kalangan puakmu, setiap seratus tahun akan lahir seorang yang boleh menjinakkan burung ini tanpa perlu dilatih.”

 

“Nampaknya otou-san telah menceritakan padamu. Sami di kuil semalam mengatakan Hisamiko orangnya.” Ryouji menambah pada kata-kata Takasaki.

 

“Hisamiko?”

 

“Ya. Aku tidak mempercayainya. Masa depan adalah kerja kami, aku tidak pernah mempercayai tilikan atau ramalan nujum kecuali ada ilmu yang menyokongnya. Sekurang-kurangnya itu yang otou-san ajarkan padaku.”

 

“Ryouji, engkau mahukan bukti, bukan? Cara fikirmu tidak ubah seperti orang-orang dari England dan Belanda.”

 

Sekali lagi, England dan Belanda. Apa hebat sangatkah mereka itu? Ryouji mengangguk sahaja pelawaan Takasaki. Takasaki meminta Ryouji mengangkat tangan dominannya sambil membuat bunyi mengkukur.

 

Tiada respons. Bunyi higurashi seperti mentertawakan mereka.

 

Takasaki membuat bunyi siulan pula.

 

Sejurus kemudian, hayabusa itu terbang meluru ke arah mereka, seraya hinggap di lengan Ryouji. Ryouji hampir-hampir terduduk. Beratnya! Dia bingkas memperkuat kekudanya, menahan beban yang berat di lengannya itu. Mujur dia sedikit berotot. Jika tidak mungkin lengannya yang kurus itu sudah patah.

 

Takasaki terpaku dalam ketakjuban. Sungguh apa yang diperkatakan Miura itu benar.

 

Ryouji mengusap-usap jemala burung itu, dia sedikit kaget. Belum pernah seekor burung pun yang pernah dijinakkannya dan dibiarkan bertenggek di atas lengan sebegitu. Hayabusa itu unik, ia memiliki jalur putih yang menuruni jemala sehingga ke hujung ekornya.

 

Hisamiko di kendongan ketakutan seperti hendak menangis. Burung itu memandang Hisamiko, kemudian membuat bunyi teriak yang lembut. Dia seperti sedang berkata sesuatu kepada Hisamiko. Nadanya berlainan seperti mahu bersahabat dengannya.

 

Kemudian Ryouji melambung tangannya dan burung itu kembali terbang, berlegar di atas mereka.

 

“Kemahiran yang amat berguna. Terutama jika ingin menghalau burung-burung yang dihantar

mengintip kita. Hayabusa adalah burung terpantas di dunia. Bahkan ia boleh mencederakan manusia pengintip jika dilatih.”

 

Ryouji termangu. Pertama kali dia mempercayai kata-kata sami Shinto.

 

Mereka meneruskan perjalanan.

 

Onii-san. Kita akan selamat.” Hisamiko tiba-tiba berbisik, suaranya masih tersekat-sekat kerana demam yang belum sepenuhnya kebah.

 

“Apa?”

 

“Burung itu baru sahaja berbicara padaku. Tiada orang yang mengekori kita.”

 

Hisamiko adakah engkau bergurau denganku? Tidak, Hisamiko tidak bergurau seperti itu. Ryouji melihat mata Hisamiko tertutup. Mungkinkah dia mengigau?

 

Ketika matahari tegak di atas kepala, mereka sampai di kuil Shinto, kuil ketiga dalam siri kuil yang dinyatakan Miura. Seperti gambarannya, terdapat dua patung gangsa berbentuk singa di kedua-dua belah torii, dan di dalamnya terdapat satu patung Buddha sedang duduk bersila dengan tangannya diangkat seperti sedang menyapa pelawat yang hadir.

 

Ryouji mengingat bait seterusnya dari catitan bapanya yang berbunyi “menyeberang sungai di kawasan paling cetek.

 

Ryouji melihat ke kanan, di sepanjang Sungai Miya itu. Terdapat satu laluan merentasi sungai itu yang cetek, di mana batu-batu di dasarnya separa timbul. Mungkinkah yang itu?

 

Takasaki langsung berjalan di atas titian batu-batu itu. Dia sudah arif kerana itu kawasan kejiranannya. Rumahnya sudah tidak jauh dari situ. Ryouji menurut tanpa soal. Mereka berjalan dari tebing seberang mengikut sebuah denai. Lebih kurang dua ratus langkah, mereka mencari rimbunan hutan bambu. Takasaki menyorot di sekeliling hutan bambu itu sehingga tiba di sebuah pintu gerbang yang dibentuk oleh bambu yang tinggi yang melengkung dari sebelah kiri dan kanannya.

 

Mereka terus berjalan melalui gerbang bambu itu sehingga sampai di tengah-tengahnya. Rupanya keseluruhan rimbunan hutan bambu itu hanya bertindak sebagai 'pagar', di dalamnya hanyalah kawasan yang dipenuhi dengan tanah lapang, pokok-pokok biasa ditemui di dalam pergunungan Hidagawa dan beberapa bangunan kayu dan kertas. Ia penempatan tersembunyi yang didirikan dan ditutup dengan 'pagar' bambu itu yang berfungsi memberi ilusi seolah-olah ia hutan bambu yang padat dan tidak boleh diredah.

 

Okaerinasai (selamat pulang), Ryouji, Hisamiko,” Takasaki mengalu kedatangan mereka ke ‘rumah’ yang baru.

 

Tadaima, Takasaki-san.” Ryouji dan Hisamiko membalas.

 

Seorang wanita kurus dalam usia empat puluhan, memakai kimono berwarna sakura bercorak dengan obi berwarna hitam bercorak putih yang sudah menunggu setia di hadapan anjung rumah itu, tunduk hormat kepada mereka, dan mereka tunduk membalas.

 

“Ryouji, Hisamiko, ini isteriku Takasaki Mariko desu,”

 

Wanita itu hanya tersenyum dan berkata “Ryouji, Hisamiko, silalah masuk. Sekarang tempat ini adalah rumahmu. Ayuh ikutiku!”

 

Perkarangan rumah itu agak besar. Ia seperti tanah kuil Shinto lama yang telah diubahsuai dan dibesarkan. Puing-puing kuil Shinto lama itu masih kelihatan di tepi sebuah taman bonsai.

 

Teratak yang bermula dari gerbang bambu yang mereka lalui tadi berukuran tiga puluh langkah dan melepasi sebuah torii kecil sebelum bertemu bahagian anjung rumah itu, di mana mereka disambut oleh Mariko. Di kanan teratak batu kerikil itu, terdapat sebuah taman yang dipenuhi pokok bonsai, momijisakura dan shirakaba.

 

Di tengah-tengahnya terdapat sebuah kolam yang amat jernih, dan ikan koi dapat dilihat berenang-renang dari permukaan. Seperti biasa, jongkang jongket buluh shishi-odoshi sepertimana yang dilihat di kuil Shinto kedua semalam juga wujud di taman itu. Burung hayabusa yang mengekori mereka tadi sedang hinggap di atas pokok shirakaba yang tinggi di tepi taman itu seolah-olah mengawasi mereka. Daun-daun shirakaba sudah mulai perang. Sakura pula sudah rompong daunnya. Di sebelah kiri teratak kerikil itu pula terdapat sebuah dataran yang luas, kawasan khas untuk berlatih seni mempertahankan diri dan aktiviti lain seperti memanah.

 

Mereka bertiga berjalan masuk menelusuri sebuah koridor dan membelok ke kanan melalui koridor lain. Di kiri dan kanan koridor itu terdapat banyak bilik, dan setiap darinya dikhaskan untuk tujuan tertentu. Bilik pertama yang dilihat Ryouji ialah sebuah perpustakaan besar. Di hadapan perpustakaan itu pula ialah bilik pejabat.

 

Mereka dibawa ke sebuah bilik yang besar. Mariko menarik pintu gelangsar. Terpampang di depan mereka sebuah meja panjang yang dipenuhi dengan makanan. Ada nasi, sup miso, rumpai laut dan ikan bakar dan hirisan ikan mentah. Mariko menunjukkan tempat duduk mereka.  Ryouji menurunkan Hisamiko dari kendongan dan mereka berdua duduk bersebelahan.

 

Chotto machinasai (tunggu sebentar),” ujar Mariko lalu keluar menuju ke bilik-bilik bersebelahan yang kedengaran hingar-bingar dengan bunyi remaja dan kanak-kanak.

 

Hingar dari bilik-bilik bersebelahan mulai beransur kurang.

 

Seketika selepas itu datang lebih kurang lapan orang remaja dan kanak-kanak sebaya mereka, masuk dan mengambil tempat masing-masing. Dimulai dengan seorang remaja lelaki sebaya Ryouji, kemudian seorang lagi remaja lelaki sebaya yang lebih rendah fizikalnya. Seorang kanak-kanak lelaki sebaya Hisamiko kemudian menyusul diikuti dua remaja perempuan sebaya Ryouji.

 

Terakhir ialah seorang remaja perempuan dengan dua orang kembar di belakangnya, ketiga-tiga mereka memakai baju yang serupa warnanya dan bercorak sakura. Tiga orang penghuni wanita ini menarik perhatian Ryouji kerana mereka berjalan dalam keadaan berbaris. Yang paling belakang dan paling pendek di antara mereka mencubit obi pada yukata yang sederhana tinggi di depannya, iaitu kembarnya, sementara yang sederhana tinggi itu pula mencubit obi pada yukata yang paling tinggi di depannya. Wajah kembar dua itu amat serupa tidak seperti kembar-kembar lain yang pernah Ryouji lihat, dan hanya boleh dibezakan dengan ketinggian sahaja. Yang paling tinggi itu memiliki aura seorang perempuan dewasa yang matang, dan amat cantik pada pandangan Ryouji, dengan payudaranya yang besar. Perlakuan kembar itu yang mencubit yukata yang bercorak sama dan berjalan berbaris persis seekor ulat bulu.

 

Sekarang adalah waktu rehat. Semua kanak-kanak dan remaja itu duduk bersila di tempat masing-masing. Yang paling pendek dari kembar dua itu cuba mencapai lauk di hadapannya namun yang paling tinggi menepis lembut tangannya, agak marah namun wajahnya amat cantik dengan aura keibuan. Yang pendek memuncungkan mulutnya dan menunduk, kemudian mengangkat muka dan tersengih kepada yang tinggi. Kesemua yang lain duduk sambil mata mereka terpaku pada Ryouji dan Hisamiko. Hisamiko terpinga-pinga. Onii-san kita di mana? Siapa mereka ini?

 

Remaja lelaki sebaya Ryouji itu tadi memandang Ryouji, kemudian memandang Mariko, kemudian bertanya “Mariko-san, siapa mereka ini?” seraya menunding jarinya ke arah Ryouji.

 

“Kobato, perkenalkan dirimu dahulu.” Pinta Mariko tanpa menjawab soalan Kobato.

 

“Kozue Kobato desu,” Kozue memperkenalkan dirinya, Kozue Kobato, menundukkan kepalanya penuh adab. Ryouji membalas “ Okuhida Ryouji desu,” sambil menunduk balas.

 

“Dan di sebelahku ini adik perempuanku Hisamiko.” Hisamiko tunduk, dibalas Kozue. Kozue menatap Hisamiko seketika, dia berbisik sendirian “Comel!”

 

Takasaki tiba kemudian menyertai mereka.

 

Selepas makan, Mariko menunjukkan kawasan di sekitar sekolah itu, kemudian bilik-bilik mereka. Hisamiko berkongsi bilik dengan kembar tiga itu. Sementara Ryouji di bahagian asrama lelaki, berkongsi bilik dengan Kozue.

 

Saat hampir berpisah haluan, Hisamiko mulai risau berjauhan dengan abangnya.

 

Onii-san, doko iku no? (Ryouji ke mana kau mahu pergi?)”

 

Danshi no heya... kimi mo hayaku joshi no heya e modotte. (Ke asrama lelaki. Kamu pun harus segera ke asrama perempuan.)”

 

Miko kowai ne..hontou kowai... (Miko takut...sungguh...).”

 

Miko, onii-san nigetakunai... doko ni mo futari isshou ni iku wa yo. Ne? (Miko, abang tidak akan lari. Ke mana-mana pun kita akan sentiasa bersama, mengerti?)” Ryouji menepuk lembut kepala Hisamiko. “Sa, iku yo!” Dia menolak lembut Hisamiko ke arah koridor menghala ke asrama perempuan.

 

Mereka berpisah seketika.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov