Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 64

Beberapa hari sebelum Shinji dibawa Tatsuhiro ke lembah Amaguri, dia bertemu Kotobuki selepas selesai membantu Megumi, jururawat di situ, memerhati keadaan para mangsa aotsuyu.

 

Dou, Shinji? Engkau suka tempat ini?”

 

“Aku hanya suka perpustakaannya. Besar, banyak bukunya. Dan tiada sesiapa menggangguku di situ.”

 

Aku sudah agak jawapannya.

 

“Tingkat mana yang paling engkau sukai?”

 

“Aku paling suka tingkat empat di bawah tanah.”

 

“Engkau tidak suka bahan bacaan berat? Di situ juga banyak karya Belanda dan Inggeris yang belum habis diterjemah.”

 

“Aku lebih berminat dengan buku-buku berkaitan budaya zaman dahulu kala negara kita, zaman ketika ninja dan samurai bermaharajalela. Mengapa engkau bertanya, Kotobuki-san?

 

“Aku sedang mencari penterjemah karya Belanda dan Inggeris.”

 

“Aku boleh melakukannya. Namun aku bimbang tidak punya cukup masa di bengkel senjata dan pusat rawatan ini.”

 

“Itu engkau usah bimbang. Mencari kemahiran begitu mudah, namun mencari penterjemah agak sukar. Tidak ramai yang tahu bahasa asing di sini. Buat pengetahuanmu kami sudah ada calon yang sesuai untuk menggantimu di bengkel senjata dan pusat rawatan ini.”

 

“Baiklah, Kotobuki-san. Aku tidak kisah melakukannya.”

 

“Baguslah. Aku gembira dengan keputusanmu.”

 

“Shinji, aku harap engkau kekal di Kogen. Apakah engkau masih ingin ke Eropah?”

 

“Aku tidak pasti lagi Kotobuki-san. Aku hanya mahu tinggal di sini dahulu bersama rakan-rakanku.”

 

“Aku lega dengan jawapanmu. Shinji, buat pengetahuanmu, engkau tidak akan dibenarkan ke Eropah.”

 

“Kotobuki-san, apa maksudmu?”

 

“Ia keputusan kami. Kami telah menetapkan engkau salah seorang ahli Kogen yang tidak akan dibenarkan ke sana.”

 

“Apa alasan kalian?”

 

“Demi persediaan. Kami memerlukan bantuanmu.”

 

“Persediaan apa?”

 

“Itu rahsia kami. Namun hanya itu yang dapat aku maklumkan kepadamu dahulu.”

 

Kotobuki menundukkan badan, kemudian beredar, dia tidak mahu memanjangkan bicara. Suka atau tidak, Shinji perlu patuh. Dia sudah menjadi ahli Kogen dan dibayar gaji. Dia tidak boleh lari dari Kogen. Bahkan dia akan dihalang meletak jawatan dan akan dikurung di sini.

 

Shinji termenung mendengarkan makluman dari Kotobuki yang tiba-tiba itu. Aku tidak pasti lagi sama ada aku akan ke sana. Aku kini lebih gemar di sini bersama rakan-rakanku. Namun penetapan begitu dilakukan tanpa melibatkanku. Bagaimana jika aku ingin ke Eropah dan mereka masih menghalang? Apakah aku perlu menentang mereka demi kebebasan diri?

 

Rombongan kedua Maharaja akan dihantar melawat Eropah pada hujung musim luruh tahun ini. Majoriti ahli rombongan ini ialah saintis Kogen. Aku tidak akan lepaskan peluang tersebut.

 

**

 

“Shinji senyap-senyap merancang mahu menyertai rombongan kedua ke Eropah?”

 

“Benar. Tempoh hari Kazu memberitahuku Shinji mendaftar nama.” Ujar Tatsuhiro.

 

“Nampaknya aku terpaksa mendedahkannya sekarang.” Kotobuki berkata perlahan.

 

“Maksudmu?”

 

Kotobuki menjelaskan perancangannya mahu menambat Shinji, dengan mendedahkan Hamada bertanggungjawab ke atas kematian ibunya.

 

“Aku tidak mahu menyekatnya dengan paksaan. Mungkin berkesan dengan dendam.”

 

“Kotobuki, maksudmu kita perlu membawa dia ke lembah Amaguri? Bagaimana jika dia tahu kuasanya?”

 

“Biarkan.”

 

“Kotobuki-san! Segala apa yang kita bina ini akan dimusnahkan sekiranya dia tahu menamatkan kuasa tama-no-iwa!”

 

“Dia tidak akan melakukannya. Aku tahu engkau mampu memujuknya, Tatsuhiro. Jalankan tugasmu sebaiknya. Tatsuhiro, mulakannya sekarang.”

 

Tatsuhiro tunduk seraya beredar.

 

 

**

 

Selepas Tatsuhiro selesai melaksanakan arahan Kotobuki dengan membawa Shinji ke lembah Amaguri, dia hilang begitu sahaja. Shinji terpinga-pinga. Di dalam sakunya ada sekeping nota dari Tatsuhiro menjelaskan yang dia boleh pulang ke unjuran perpustakaan menggunakan terowong sama.

 

Perbualan dengan Kotobuki tempoh hari masih terngiang-ngiang di benak Shinji tatkala dia meninggalkan lembah Amaguri melalui terowong perpustakaan.

 

Aku mesti mencari jalan agar aku dapat keluar dari sini dengan mudah meskipun mereka menghalang dengan pelbagai cara. Kata-kata Tatsuhiro tadi jelas membawa pendirian sama dari Kotobuki; yang mereka akan tetap menghalangku keluar menyertai rombongan ke Eropah. Mereka memerlukan bantuanku. Untuk apa? Untuk menyelidik senjata sebagai persediaan perang saudara? Aku tidak pasti. Namun yang jelas dari Kotobuki, aku diperlukan sebagai penterjemah di sini, juga membantunya di bengkel senjata dan pusat rawatan selagimana penggantiku belum tiba.

 

Sebentar, tadi Tatsuhiro ada mengatakan hanya terowong ini yang membolehkan puak selain puakku Amaguri memasuki lembah Amaguri. Ini bermakna, aku boleh memasuki lembah tersebut dan keluar darinya tanpa melalui terowong ini! Aku pasti akan keluar, tujuan utamaku ialah Hamada, aku mahu bertemunya dahulu di rumahnya di Kawamoto dan meminta penjelasan mengapa dia membunuh ibuku. Namun bagaimana harus aku keluar melalui lembah Amaguri? Di sana hanya dipenuhi hutan.

 

Aku fikir, lebih baik aku cuba cara yang lebih mudah yang telah aku temui tadi. Sepertimana terowong ini, yang mampu memampatkan ruang, aku akan cuba mencipta terowong sama sehingga ke Kawamoto. Cara ini lebih mudah dan menjimatkan masa, dan aku boleh mencuri keluar tanpa disedari mereka, dan tidak akan dihukum gantung terbalik lagi. Jika tidak berhasil, aku tiada pilihan. Aku akan redah hutan di lembah Amaguri itu, mungkin dengan bantuan Tsuneki, mungkin berseorangan, sehingga bertemu jalan keluar ke Kawamoto.

 

Sementara itu, Tatsuhiro yang sedang meronda di luar tanah tinggi itu, menepuk dahinya sebaik dia mengingat kembali perbualannya dengan Shinji.

 

Bodoh! Mengapa aku boleh terlepas cakap perkara itu! Seboleh-bolehnya aku tidak mahu dia tahu! Aku perlu bertanggungjawab di atas kesilapan ini. Aku akan menunggu di unjuran perpustakaan itu ketika aku tidak meronda. Aku perlu menghalangnya dengan tanganku.

 

**


Pengenalan kepada Kogen

 

Kogen ditubuhkan pada tahun 1800 dan berpusat di sebuah pangkalan rahsia bernama tanah tinggi Shirasaka (Shirasaka-no-kogen), yang terletak di tengah-tengah pergunungan Tateyama dalam wilayah Kodama. Ia diasaskan oleh dan diketuai Shirasaka Omi. Kogen (高原, Kougen) bermaksud “lembah tinggi (plateau)”, bersempena ciri Shirasaka yang merupakan lembah yang tinggi di celah pergunungan Tateyama.

 

Matlamat Kogen ialah menyelamatkan anak-anak yatim atau anak orang miskin dan membawa pembaharuan dalam sosio politik di Jepun ketika era Tetsugawa. Kemudian selepas pengenalan ilmu sains dari Barat dan kejayaan Pembaharuan, mereka menggembleng sumber bagi menterjemah dan membawa masuk segala karya dan teknologi Barat, terutama dari pedagang Belanda.

 

Pada tahun 1872, Shirasaka Omi masih merupakan pemimpin tertingginya dan pembuat keputusan utama, dibantu oleh dua orang ahli keluarganya yang masih tinggal; Shirasaka Kotobuki dan Shirasaka Ayame. Omi, meskipun pemimpin tertinggi, orang-orang bawahannya hanya memanggilnya Omi-san dan bukannya Shirasaka-sama. Kebanyakan ahli-ahlinya pernah bersama-sama membangun dan mengembangkan Kogen dan dia menganggap mereka rakan-rakan rapatnya.

 

Kogen terbahagi kepada empat bahagian atau ketumbukan utama; pembiaya, pengintip, pasukan tugas-tugas khas dan penjaga rumah-rumah perlindungan.

 

Pembiaya adalah golongan usahawan yang menyumbang bantuan kewangan, seperti pengusaha sawah padi, pembuat kraftangan dan senjata, dan pedagang. Mereka membuat perjanjian dengan Kogen dan menyumbang sejumlah wang bagi membiaya pertubuhan ini. Okuhida Miura ialah salah seorang dari ahli bahagian Kogen yang ini, bekerja sebagai pesawah. Dia adalah penyumbang tertinggi sejak berjaya meningkatkan hasil padinya. Hamada mendapat tahu dan dalam usahanya melumpuhkan Kogen, dia membunuh Miura. Sejak Maharaja mengambilalih semua tanah-tanah sawah, pembiayaan diteruskan oleh ahli pembiaya yang bukan pesawah dan juga bantuan dana terus dari Maharaja.

 

Pengintip adalah bahagian terbesar dalam Kogen. Bahagian ini punya ratusan ribu ahli. Mereka bertugas sebagai rantaian pemberi maklumat dan berada di mana-mana di serata Jepun. Mereka bekerja seperti rakyat biasa, namun sebagai ahli Kogen, mereka juga menjalankan tugas sambilan secara sukarela sebagai pengintip dan melaporkan sebarang onar keluarga Yoshitsugu dan juga sebarang ketidakpuashatian rakyat kepada Kogen. Ada dari kalangan pengintip merupakan bekas penghuni rumah perlindungan, dan memilih untuk hidup di luar selepas keluar dari rumah itu. Selain pengintip sambilan, ada dari kalangan pengintip adalah pengintip sepenuh masa yang membantu dalam melaksanakan tugas-tugas khas kerana kekurangan sumber manusia di kawasan-kawasan tertentu, sebagai contoh Takumi dan Touma. Pengintip sepenuh masa dibayar gaji sepertimana pasukan tugas-tugas khas, tidak seperti pengintip separuh masa yang merupakan kerja sukarelawan. Pengintip sepenuh masa beroleh gaji yang lebih tinggi berbanding pasukan tugas khas kerana mereka perlu sentiasa bergerak memerhati masyarakat. Pengintip sepenuh masa yang dikhususkan memerhati penjaga rumah perlindungan adalah nazir, dan dijenamakan semula oleh Ayame sebagai Skuad Sakura.

 

Contoh pengintip separuh masa lain yang telah dipaparkan setakat ini ialah Kotobuki sendiri, penjual kraftangan yang bernama Inoue, pengusaha kedai ramen di pekan dekat Kisennuma dan pembawa kereta jerami. Pengintip sepenuh masa pula ialah Takuma, Touma dan Hotaru dan ahli Skuad Sakura lain seperti Ayame. Kotobuki, meskipun anak Omi, tidak berkeinginan menggantikan bapanya dan memilih untuk menjadi sami. Namun dia masih mahu menyumbang kepada Kogen dengan menyertai bahagian pengintip separuh masa yang menumpukan aktiviti dan sumbernya di sekitar Furukawa dan lembah Okuhida. Ayame pula ialah ketua pengintip Kogen maka meskipun Kotobuki bapanya, dia melapor kepada Ayame. Tugas Ayame lebih dinamik kerana dia membina jaringan dan hubungan baru dengan pengintip-pengintip lain dan dia sentiasa bergerak dan sibuk sepanjang masa, serta kerap berulang-alik menyampaikan berita kepada Omi di Shirasaka. Dia dibantu oleh kudanya dan juga hayabusa-nya Momoyama.

 

Pasukan tugas-tugas khas pula terdiri dari seratus pasukan, dan setiap satu dipimpin seorang ahli kanan Kogen dan dibantu oleh sekurang-kurangnya lima rekrut muda, dan mereka berkawal di serata Honshu. Tugas mereka ialah melaksanakan misi-misi Kogen yang memerlukan kemahiran pertarungan dan penggunaan senjata yang tinggi, seperti menumpaskan penghantar karayuki, menumpaskan samurai-samurai pengugut yang dihantar Hamada dan juga menyelamatkan kampung-kampung yang dilanda bencana alam dan kemalangan seperti kebakaran dan juga serangan penceroboh. Salah seorang ketua pasukan tugas khas ialah Goryuuin Tsushiko. Ryouji, Hatsuki, dan Natsuki adalah ahli baru yang direkrut. Selain memimpin pasukannya, Goryuuin Tsushiko juga memimpin keseluruhan bahagian tugas khas sebagai ketua kepada semua ketua pasukan tugas khas yang berjumlah seratus orang itu.

 

Bahagian keempat dan yang terakhir, ialah bahagian penjaga rumah-rumah perlindungan. Terdapat dua ratus rumah perlindungan Kogen di serata Honshu setakat tahun 1872, maka terdapat dua ratus keluarga yang menjaganya. Salah seorang dari para penjaga ini ialah Takasaki sendiri dan isterinya Mariko. Tugas penjaga ini juga adalah merekrut penghuni baru dengan berkelana ke serata Honshu, seperti yang telah dilakukan Takasaki, dan juga melatih para penghuni rumah mereka. Oleh itu, para penjaga juga sama seperti pasukan tugas khas, di mana mereka perlu mahir bertarung sebagai persediaan sekiranya mereka diserang orang-orang Hamada atau mana-mana penyerang lainnya.

 

Keunikan bahagian penjaga rumah-rumah perlindungan ini berbanding bahagian-bahagian lain Kogen ialah, mereka juga bertanggungjawab mendidik para penghuninya dengan pelbagai jenis kemahiran, agar penghuninya dapat berdikari setelah keluarnya mereka dari rumah itu. Oleh itu, selain tahu bertarung, mereka juga perlu tahu kemahiran lain di mana mereka akan dilatih di Kogen untuk suatu tempoh sebelum ditempatkan sebagai penjaga di sesebuah rumah perlindungan.

 

Selain itu, para penjaga rumah perlindungan juga adalah satu-satunya ahli bahagian Kogen yang membuat perjanjian tambatan dengan Shirasaka bagi melindungi kawasan rumah perlindungan mereka dari dicerobohi. Sekiranya mereka mati dan tiada pewaris (untuk sebahagian besar kes, kerana mereka tidak mahu keturunan mereka ditimpa sumpahan hayabusa), rumah perlindungan itu akan segera ditutup dan dibakar, dan ahli-ahlinya akan dipindahkan ke kawasan baru, atau di lembah Shirasaka sendiri. Ini kerana perjanjian tambatan hanya bertahan sehingga tiada lagi keturunan penjaga tersebut untuk satu-satu kawasan, dan hanya boleh digunakan semula untuk kawasan tersebut tiga tahun kemudian.

 

Kesimpulannya, bahagian penjaga rumah perlindungan ialah bahagian yang paling berat tanggungjawabnya dan dipandang berat oleh Omi sendiri, kerana ia berkait hal ehwal manusia yang masih muda dan kehilangan kasih sayang ibu bapa dan berada di fasa paling penting dalam kehidupan mereka. Shirasaka Ayame dan para ahli lain dari bahagian pengintip selalu dihantar bagi memerhati dan bertindak sebagai jemaah nazir rumah-rumah perlindungan Kogen. Dia juga berperanan membantu rumah perlindungan baru membuat perjanjian tambatan dengan puak Shirasaka.

 

Pada akhir tahun 1872, Maharaja berkenan meletakkan wakilnya di dalam Kogen sebagai pemerhati dan penyeimbang kuasa keluarga Shirasaka, juga sebagai badan pemeriksa untuk memastikan dana yang disalurkan Maharaja digunakan sebaik mungkin. Maharaja masih bimbang dengan pengaruh Kogen yang semakin meluas yang mampu mengancam pembaharuan yang sedang dilakukan, tambahan pula ura-ura yang sekian lama berlegar yang mengatakan Kogen bersekongkol dengan Tetsugawa sejak sebelum pembaharuan lagi.

 

Dalam Kogen terdapat beberapa orang ahli utama yang melapor terus kepada Omi, sebagai contoh Shirasaka Ayame dan Kotobuki, dan Goryuuin Tsushiko. Ketua tugas-tugas khas yang sembilan puluh sembilan orang itu melapor kepada Goryuuin, meskipun pangkat mereka setara.

 

**

 

Selingan mengenai Kod Kogen

 

Kod Kogen ialah kod undang-undang yang diubahsuai daripada Bushido, kod samurai. Tidak seperti Bushido yang menuntut seseorang samurai melakukan seppuku bagi menebus kesilapannya dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dan juga sebagai hukuman ke atas sebarang perlakuan jenayah, kod Kogen hanya membenarkan pembunuhan apabila seseorang melakukan jenayah berat seperti membunuh dan merogol, dan penganiayaan ke atas anak-anak yatim di bawah jagaan mereka. Kod Kogen juga terpakai ke atas mereka yang bersubahat dengan jenayah-jenayah tersebut. Maka Hamada juga dihukum bunuh menurut kod ini.

 

Kogen memandang serius sebarang bentuk penganiayaan ke atas anak-anak yatim dan kanak-kanak miskin di bawah jagaan mereka. Seseorang penjaga yang ditangkap dan terbukti bersalah akan dihukum bunuh serta-merta, seperti yang telah dilakukan oleh Ayame. Jika kesalahan jenayah dilakukan oleh penghuni rumah perlindungan itu sendiri, mereka akan dipenjarakan di sebuah lembah yang terasing namun ditambat dengan perjanjian dengan Shirasaka sepertimana perjanjian-perjanjian tambatan di rumah-rumah perlindungannya. Mereka akan diasingkan dan dikawal rapi sehingga berusia lapan belas tahun di mana mereka akan dibebaskan atau disambung dimasukkan ke dalam sistem penjara yang baru diwujudkan oleh Maharaja.

 

 

**

 

Imagawa Ichiro

 

Dari dua ratus buah rumah perlindungan Kogen yang terletak di celahan gunung, terdapat sebuah rumah perlindungan yang terletak di celah pergunungan di antara Kyoto dan Osaka. Rumah ini dihuni dua orang penjaga dan lima orang anak yatim, salah seorangnya Tatsuhiro. Selepas isteri penjaga tersebut meninggal dunia pada 1864, penjaga rumah itu meletak jawatan dan meninggalkan rumah tersebut.

 

Penjaga rumah perlindungan tersebut, seorang lelaki tua berusia lima puluhan bernama Imagawa Ichiro berkelana ke seluruh Honshu mencari pekerjaan baru. Kogen menghubunginya berkali-kali, mahu menawarkan kerja sebagai penjaga rumah perlindungan yang lain namun dia menolak. Dia memberitahu bahawa dia mahu mencari pekerjaan lain demi melupakan isterinya. Dia digaji sebagai pengawal pedagang tidak lama kemudian.

 

Selepas Pembaharuan 1868, ketika berjalan-jalan di Kyoto, dia terbaca pengumuman jawatan kosong sebagai polis. Maharaja baru sahaja memperkenalkan pasukan polis dan tentera yang baharu, yang mengikut model pasukan polis dan tentera di Eropah. Baginda merekrut tanpa mengira kedudukan dan pangkat; semua boleh memohon menyertainya tidak kira samurai mahupun petani. Imagawa tidak mensia-siakan peluang itu lantas memohon, dan dia diterima menyertainya.

 

Dia tidak sekali-kali menyangka bahawa baginda dan Kogen adalah dari satu pihak yang sama. Ini bererti dia masih berkhidmat bersama Kogen, melalui pasukan polis yang dinaungi Maharaja. Mereka punya tujuan yang sama, iaitu memastikan keamanan negara terjamin selepas Perang Boshin, iaitu perang menumpaskan Tetsugawa dan mengembalikan kuasa Maharaja. Selepas Perang Boshin dan penghapusan sistem samurai, ramai bekas samurai yang kehilangan sumber pendapatan menjadi perompak di laluan-laluan pedagang di hutan belantara dan kawasan pergunungan. Polis dan tentera amat diperlukan bagi menumpaskan bekas samurai yang terlatih dalam seni pertarungan ini.

 

**

 

Kotobuki sedang duduk bersila dan memejam mata, bertapa di atas pelantar batu di tepi tama-no-iwa utama Shirasaka, yang ditanam moyangnya Shirasaka-no-Hayabusa seribu tahun lepas. Dari sinilah serpihan tama-no-iwa dipotong dan kemudiannya ditanam di rumah-rumah perlindungan Kogen. Kawasan ini terletak di atas sebuah bukit di tengah-tengah Shirasaka-no-Kogen dan dilindungi bukit bukau yang tinggi dan pokok-pokok daun lebar yang sengaja ditanam, maka terlindung dari para penghuni tanah tinggi itu. Ia sebuah padang rumput yang sebahagian besarnya ditumbuhi lalang ogi (Amur silvergrass).

 

“Kotobuki.” Kedengaran suara menyeru namanya dari belakang.

 

“Laporkan, Tatsuhiro.” Arah Kotobuki, matanya masih terpejam, tubuhnya masih dalam posisi bertapa.

 

“Aku telah memberitahu segala-galanya kepada Shinji seperti arahanmu. Dia keliru dan marah.”

 

“Seperti dijangkakan.”

 

“Kotobuki, aku pasti dia akan bertemumu dalam masa terdekat.”

 

“Tatsuhiro, perhatikan gerak-gerinya. Halang jika dia cuba membatalkan kuasa tama-no-iwa.”

 

“Nampaknya engkau masih bimbang. Aku tidak faham, Kotobuki, mengapa engkau mengarahkanku melakukan semua ini? Bukankah ini berisiko memusnahkan segala apa yang telah Kogen bina?”

 

“Aku tahu. Usah bimbang, aku punya perancanganku.”

 

Tatsuhiro berdiri pegun. Dia mengepal tangannya dan menyembunyikannya dalam haori, menahan geram dengan reaksi tenang Kotobuki yang seolah-olah tidak memandang berat kesan pembongkaran rahsia itu kepada Shinji.

 

Ne Tatsuhiro, engkau masih ingat bekas penjaga rumah perlindunganmu?”

 

“Imagawa Ichiro, lima puluhan umurnya, sekarang dia menyertai pasukan polis.”

 

“Aku ada satu tugasan baru untukmu. Kerahkan orang-orang kita memerhatinya.”

 

“Ada apa dengannya Kotobuki-san?”

 

“Dia rakan lamaku. Aku memerlukan pertolongannya untuk satu perkara. Nanti akan aku dedahkan padamu.”

 

“Baik, Kotobuki-san.” Sejurus menghabiskan kata-kata, Tatsuhiro lesap sekelip mata dari pandangan.

 

**

 

Musim sejuk, 1872.

 

Bekas pengikut Tsugiyama, iaitu Tatsuya, sedang mengawal laluan Nakasendo dari Narai-juku menghala ke pergunungan Yokuma seorang diri. Dia diarahkan Hagiura mengawal laluan tersebut selepas kematian Tsugiyama.

 

Dia bersembunyi di atas bukit dan memerhati ke bawah, ketikamana sekumpulan anggota polis Maharaja berkuda melintas laluan tersebut. Seorang di bahagian paling belakang menarik perhatiannya.

 

“Tsugiyama?” Tatsuya cuba meneka. “Tidak mungkin. Mungkin pelanduk dua serupa.”

 

Tatsuya tidak berlengah seraya turun dan menyerang hendap polis itu. Pantas polis tersebut mengeluarkan pedangnya dan menahan tetakan Tatsuya dari udara.

 

“Siapa engkau?” Soal polis tersebut sebaik Tatsuya melutut ke tanah.

 

Suaranya sedikit berlainan meskipun fizikalnya benar-benar saling tak tumpah seperti Tsugiyama. Tsugiyama, tetapi mengenakan seragam polis.

 

“Aku Tatsuya. Mengapa kalian mendekati Yokuma?”

 

“Kami polis Maharaja, ini sememangnya tugas kami. Beredar sekarang atau aku akan menahanmu.”

 

“Aku tidak akan benarkan kalian mendekati Yokuma. Beredar sekarang!” Tatsuya sekali lagi mendaratkan tetakan.

 

“Sungguh berani engkau mencabar polis!” Polis itu melompat turun dari kudanya. Pertarungan diteruskan.

 

Sementara itu jauh di hadapan...

 

“Ichiro... Ichiro ketinggalan!” Salah seorang polis mula menyedari kehilangan rakan mereka di belakang.

 

Mereka berpatah balik. Namun tidak semena-mena mereka dihalang dua orang ronin.

 

Yo, polis. Kalian tahukah yang kalian tidak dibenarkan mendekati Yokuma?” Salah seorang ronin mengeluarkan pedangnya.

 

“Yokuma adalah hak Maharaja. Kami hanya menjalankan tugas yang diamanahkan baginda!”

 

“Ho ho ho. Habis, apa hak kami? Sudahlah tanah kami dirampas, dan gunung itu pun hak baginda? Kami pun mahu hidup juga.”

 

Ronin-domo, jangan menghalang kami atau kalian akan ditangkap!”

 

Polis-polis tersebut melepaskan tembakan amaran ke udara.

 

“Ryota, itu pistol sebenar bukan? Engkau dengar bukan?” Salah seorang ronin bertanya rakannya dalam ketakutan.

 

“Aku fikir baik kita beredar sekarang, Ikuta. Aku tidak mahir kaminari jurus tinggi untuk mengelak peluru.”

 

Ronin-ronin itu pantas beredar dengan kuda masing-masing menuju ke dalam hutan sugi.

 

“Ayuh jejaki Ichiro!” Salah seorang polis mengarahkan pasukannya berundur mencari ketua mereka, Ichiro.

 

Berbalik kepada pertarungan di antara polis dengan Tatsuya...

 

“Rupa engkau seperti seseorang yang aku kenali.” Ujar Tatsuya ketika pedangnya menahan pedang polis itu.

 

“Siapa?!” Polis tersebut menolak Tatsuya ke belakang menggunakan pedangnya.

 

“Tsugiyama.”

 

“Bagaimana engkau mengenalinya?”

 

“Aku pernah bekerja dengannya. Dan engkau pula, apakah engkau ada kaitan dengannya?”

 

“Aku abang kembarnya. Di mana dia sekarang?”

 

Tatsuya terperanjat mendengar jawapan polis itu. Dia tidak pernah pula mendengar dari Tsugiyama yang dia punya kembar.

 

“Kembar? Tsugiyama tidak pernah menceritakan padaku.”

 

“Nama sebenarnya Soichiro. Imagawa Soichiro. Dan namaku Ichiro. Aku ada bertemunya dua tahun lepas ketika dia cuba merompak pedagang yang mengupahku sebagai pengawal mereka.”

 

Kisahnya konsisten. Tsugiyama dan kami memang merompak pedagang dua tahun lepas sebelum diambil bekerja semula oleh Hagiura.

 

“Bagaimana kalian boleh terpisah? Dan apa yang berlaku selepas pertemuan itu?” Tatsuya menyoal, sambil tangannya menyarung kembali pedangnya. Melihatkan perlakuan Tatsuya, Ichiro turut menyarung kembali pedang. Namun tangannya diletakkan berhampiran pistol di pinggang, berwaspada sekiranya petarung Hamada itu cuba menyerang tiba-tiba.

 

Ichiro menceritakan segalanya. Kemudian tiba giliran Ichiro menyoal.

 

“Apa nasibnya sekarang?”

 

“Dia sudah mati, dibunuh seseorang.”

 

“Orang muda...”

 

“Panggil aku Tatsuya.”

 

“Tatsuya-san, benarkah apa kau katakan?” Air muka Ichiro berubah.

 

“Aku tidak menipu Imagawa-san. Aku boleh menunjukkan padamu pusaranya.”

 

“Bagaimana dia dibunuh?”

 

“Kami menyerang sebuah rumah perlindungan Kogen atas arahan Hamada.”

 

“Untuk apa? Untuk merompak dan menculik?”

 

Tatsuya tidak senang mendengar dakwaan Imagawa meskipun benar. “Benar. Memang itu kegiatan kami.”

 

“Maka aku tidak akan melawatnya. Biarkan dia mereput di dalam kubur itu.”

 

“Aku harap engkau memaafkannya satu hari nanti.”

 

“Oh, tak sangka engkau masih punya kemanusiaan meskipun engkau merompak pedagang di sini!”

 

“Kami merompak untuk hidup, Ichiro-san. Pembaharuan telah melenyapkan kedudukan kami. Kami punya tanggungan juga.”

 

“Mahukah engkau menyertai kami jika demikian? Sekurang-kurangnya kemahiran kalian berguna kepada Maharaja.”

 

Tidak, aku tidak mahu menyertai polis. Polis dan Kogen satu pihak. Jika aku menyertai mereka, aku terpaksa bersemuka dengan orang-orang Kogen, terutama penghuni rumah itu yang telah kubunuh penjaganya. Aku fikir budak lelaki yang mengangkut Mariko itu tidak nampak aku selepas aku memanah Mariko namun kebarangkalian untuk dia akhirnya mengetahui aku sebagai pembunuh Mariko masih ada.

 

“Ichiro-san, aku tidak akan menyertai kalian.”

 

“Jika begitu terserah kepadamu, aku hanya menawarkan. Tetapi aku tidak boleh jamin engkau dan pengikutmu akan selamat dari pedangku sekiranya aku menemui engkau mengganggu pedagang di sini lagi.”

 

“Tunggu dan lihat siapa yang lebih bernasib baik.” Tatsuya seraya bergegas ke kudanya, bersedia untuk beredar. Dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pertarungan dan hanya beredar, sehingga polis-polis tersebut berundur menjauhi Yokuma.

 

“Oh ya, sebelum itu, kubur adik kembarmu di tebing Sungai Miya, di seberang kuil patung singa dan patung gangsa. Sehari perjalanan menyusur tebing menghala ke selatan melepasi Furukawa. Sayounara.”

 

Sayounara. Aku akan melawatnya selepas reda kemarahanku nanti. Tsugiyama, engkau memang bodoh sehingga ajalmukah?

 

Imagawa terduduk mengenang adiknya. Paling akhir dia bertemu Tsugiyama dua tahun lepas.

 

Rakan-rakan polis di hadapan tiba tidak lama kemudian di lokasi Ichiro.

 

“Ichiro, apa yang telah berlaku?” Salah seorang polis bertanya.

 

“Aku tidak apa-apa. Kalian bagaimana?”

 

“Kami melepaskan tembakan amaran. Semua lari ketakutan. Nampaknya mereka tidaklah seberani mana jika diancam senjata api.”

 

“Barangkali mereka tidak tahu kaminari. Jika kita bertemu Empat Celaka, barangkali lebih sukar menentang mereka. Mereka tahu kaminari.”

 

“Mereka kelihatan muda. Seperti baru direkrut Hamada.” Salah seorang polis memberitahu. “Mungkin belum matang jurus tinggi kaminariNe, Imagawa-san, perlukah kita ke Yokuma?”

 

“Kita berhenti di sini dahulu. Tujuanku ke sini membawa kalian hanyalah untuk memeriksa sejauh mana kawalan Hamada ke atas Yokuma. Nampaknya pondan tua itu sudah meluaskan kawalannya sehingga ke sini. Entah apa yang dibimbanginya.”

Previous: Bab 63
Next: Bab 65

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov