Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 57

Esoknya, seperti yang diperkatakan Tatsuhiro, mereka berdua digantung terbalik dengan kaki diikat pada sebatang pokok, selama sejam.

 

“Ini semua salahmu!” Tsuneki membentak Shinji yang digantung di sebelahnya.

 

“Apa pula salahku? Bukankah telah aku katakan, jika engkau mahu keluar, semua atas risikomu? Orang sudah tolong, dimakinya pula...” gerutu Shinji.

 

“Maafkan aku Shinji.”

 

“Huh!”

 

“Maafkanlah aku Shinji. Semua ini sebenarnya salahku. Aku bergurau saja tadi.”

 

Shinji tidak mengendahkan. Merajuk nampaknya.

 

“Shinji.” Tsuneki mencucuk-cucuk pinggang Shinji dengan jarinya, dengan kedua-dua belah tangan berikat.

 

Shinji tidak mengendahkan Tsuneki. Rimas dicucuk-cucuk, dia akhirnya merengus.

 

“Apa??!”

 

“Engkau kenal siapa Tatsuhiro?”

 

“Siapa dia?”

 

Tsuneki mula pucat, mendengarkan jawapan itu.Shinji, aku harap engkau tidak bergurau denganku.

 

“Budak lelaki, yang tinggal di sebelah rumah kita.”

 

“Sebelah rumah kita? Mereka semua perempuan, Tsuneki. Takkan engkau masih belum tahu? Atau memang benar ada perempuan yang bernama Tatsuhiro di situ?” Shinji menyoal sinis.

 

“Manalah aku kenal mereka. Shinji, engkau telah hafal nama-nama gadis-gadis di rumah itu? Mungkin salah seorang dari mereka sebenarnya lelaki, namun menyamar sebagai perempuan?” Telahan Tsuneki mungkin betul, kerana Tatsuhiro berwajah keanak-anakan seperti budak perempuan berumur awal belasan tahun. Cuma rambutnya pendek dan dadanya rata.

 

“Ahlinya cuma enam orang. Seorang gadis bernama Sae, dan adiknya Sumire dan Shiori. Shiori dirawat di atas sana selepas disuntik aotsuyu. Yang lagi tiga bernama Satomi, Kaede dan Ume.”

 

“Wah, Shinji! Aku kagum denganmu! Perkenalkan aku dengan mereka nanti!”

 

“Habis, Hisamiko engkau nak letak di mana?”

 

Tsuneki terdiam. Betul juga. Aku terlupa akan Hisamiko.

 

“Hisamiko salah seorang dari koleksi pacarku.”

 

“Bodoh! Engkau ingat mereka barang mainankah?!” Bentak Shinji.

 

Bentakan Shinji menyedarkan para penghuni lain yang sedang bersantai di tepi lagun. Kawasan pokok tempat mereka digantung agak terlindung dari pandangan umum maka tidak ramai yang menyedarinya. Selepas mendengar suara Shinji, ramai yang datang ingin tahu. Mereka terkejut melihat Shinji dan Tsuneki sedang digantung pada kaki mereka. Berdekatan mereka terpampang papan tanda “Dua orang ini sedang menjalani hukuman kerana kesalahan melarikan kuda Kogen.”

 

Semakin ramai yang datang mengerumuni mereka berdua. Chinami dan Chiho ketawa mengekek. Semakin ramai pula yang ketawa.Tidak lama kemudian mereka meninggalkan tempat itu. Namun Chinami dan Chiho datang kembali, kali ini bersama Hisamiko.

 

“Padan muka, huh!” Hisamiko menjerit ke arah Tsuneki seraya meninggalkan tempat itu.

 

Malunya. Semua sudahpun tahu, getus Shinji.

 

Chinami dan Chiho tidak melepaskan peluang keemasan tersebut dengan membawa papan lukis dan melukis mereka.

 

“Seperti kelawar bukan?”

 

Mereka sambung ketawa. Malunya, getus Shinji. Aku paling tua di sini jika Ryouji tiada, aku sepatutnya menjadi contoh kepada mereka.

 

Kotobuki melihat dari jauh. Shinji, engkau seorang yang bijak. Namun aku perlu mengajarmu agar engkau tidak menyalahgunakan kebijaksanaanmu. Bukan ini yang mahu aku lihat darimu. Aku mahu engkau buktikan sesuatu. Buktikan yang engkau mampu mengawalnya. Bukannya memperalat Tsuneki.

 

Tsuneki masam mencuka setelah dikutuk Hisamiko. Aku akan pastikan aku berjaya menawan hatimu suatu hari nanti. Aku berkorban begini demimu Hisamiko. Aku tahu engkau akan keluar bila-bila masa mencari Ryouji, jika aku tidak peka.

 

Selepas tiada sesiapa lagi di sekeliling mereka, Shinji mula bertanya.

 

“Tsuneki, engkau memang benar-benar sukakan Hisamiko? Bukan kerana mahu mempermainkan dia?”


“Mengapa Shinji?”


“Aku harap engkau tidak menjadi seperti Kobato.”


“Aku tidak faham.”


“Tidak apa, Tsuneki. Namun aku harap engkau jujur dengannya dan tidak mempermainkannya.” Barangkali Tsuneki masih belum faham. Belum umurnya lagi.


“Mengapa dengan Kobato?”


“Tiada apa-apa.” Takkan dia tidak tahu? Yang Saki dibunuh Kobato? Semua di antara kami pun tahu itu.


“Aku faham. Aku bukan seperti itu, Shinji. Aku benar-benar sukakan dia. Aku fikir dia kesunyian. Jika tiada salah, aku ingin sekali memeluknya dan mengesat air matanya. Namun aku juga tidak mahu mengganggunya.”


Shinji terpegun mendengar kata-kata budak berumur dua belas tahun itu. Dari mana dia belajar berkata begini? Dari novel-novel romantis zaman Sengokukah?


Tsuneki kembali menyambung perbualan yang tergantung tadi. Dia tidak mahu perkara misteri tersebut diketahui sesiapa selain Shinji.

 

“Shinji, engkau pasti memang tiada penghuni bernama Tatsuhiro di sini?”

 

“Ya, pasti.” Shinji mengamati wajah Tsuneki selepas memberikan jawapan itu. Wajahnya bertambah pucat dan dahinya berkerut.

 

“Mengapa Tsuneki? Engkau hendak terkencingkah?”

 

“Tiada apa-apa. Aku bingung. Shinji, engkau percaya hantu?”

 

“Hantu? Aku percaya hantu. Namun hantu tidak lebih dari sekadar bekas.”

 

“Bekas?”

 

“Lebihan tenagamu yang kau tinggalkan di dunia ini selepas engkau mati.”

 

“Apa engkau mengarut Shinji? Engkau percaya hantu atau tidak?”

 

“Aku percaya hantu memang wujud. Terutama di luar tempat ini, di dalam hutan sana. Banyak yang berkeliaran. Jika engkau keluar di malam hari, mereka akan menangkap dan menghisap darahmu.”

 

Seriau Tsuneki mendengarnya. Shinji menyembunyikan sengihnya. Dia menipu Tsuneki.

 

“Begini Shinji. Aku bertemu seorang budak bernama Tatsuhiro di sini, sejak kita berpindah ke sini. Aku merahsiakan tentangnya sehingga sekarang.”

 

Shinji memasang telinga membiarkan Tsuneki bercerita lanjut.

 

“Dia sering datang berbual denganku ketika engkau di makmal. Aku kurang sunyi ketika berbual dengannya.”

 

“Kemudian dia bertemuku lagi sewaktu aku sesat semalam di bawah sana. Dia memberikan aku batu ini. Selepas itu dia hilang sekelip mata.” Tsuneki mengeluarkan batu itu dari poketnya dan diberikan kepada Shinji.

 

“Sejak dia hilang sekelip mata, aku mula curiga tentangnya. Aku fikir dia hantu. Maka aku fikir engkau mungkin lebih tahu berkenaan hantu. Apakah hantu memang punya batu-batu begini Shinji?”

 

Shinji membelek-belek. Sekali-sekala batu itu hampir terjatuh dari tangannya, kerana keadaan mereka yang terbalik.

 

“Aku tahu batu ini. Ia mineral yang menerangi ruang gelap jika engkau menjemurnya di bawah matahari terlebih dahulu.”

 

“Wah, menarik! Ceritakan lagi, Shinji!”

 

“Ia menyerap tenaga dari matahari. Apabila di dalam gelap, ia melepaskan kembali tenaga dari matahari sebagai tenaga cahaya, lantas menerangi ruang gelap itu.”

 

“Begitu rupanya. Dari mana asalnya batu ini?”

 

“Aku tidak tahu. Mungkin aku boleh mengkajinya jika engkau mahu.” Shinji melilau matanya. Dia sebenarnya berbohong. Dia tahu lebih dari apa yang dikatakannya berkenaan batu itu.

 

Tsuneki berbelah bagi. Dia sebenarnya mahu menggunakan batu itu untuk ke terowong bawah tanah yang dikisahkan Tatsuhiro.Jika benar wujud terowong itu, dia mahu menggunakan batu tersebut bagi meneranginya.

 

“Tak mengapa, Shinji. Aku akan berikan kepadamu kemudian. Apapun, aku masih tidak sedap hati. Aku fikir Tatsuhiro benar-benar wujud. Mungkin, yang aku temui di bawah sana itu rohnya atau hantunya. Ataupun mungkin, dia hidup seperti kita namun mahir jurus kaminari dan mampu menghilangkan diri dengan pantas.”

 

Shinji merenung kata-kata Tsuneki. Benar juga katanya. Tatsuhiro itu mungkin mahir kaminari. Kemudian dia kembali bersuara.

 

“Tsuneki, aku bilang kita rahsiakan dahulu penemuanmu ini antara kita berdua sahaja. Aku mahu bawa engkau ke satu tempat nanti. Harapnya engkau tidak sakit-sakit akibat digantung begini.”

 

“Mengapa Shinji?”

 

“Nanti akan aku beritahu. Bawa batu itu sekali. Dan berkenaan Tatsuhiro, maafkan aku menipumu tadi. Benar, aku juga menemuinya. Dia hidup, seperti kita. Dia bekas ahli rumah perlindungan di sini. Namun dia tinggal di rumah para penghuni wanita itu sebelum para wanita itutiba di sini. Dia kini ditugaskan Kogen sebagai pengintip di luar kogen-no-shita, di dalam hutan belantara pergunungan ini. Kadangkala dia akan masuk ke sini bertemu salah seorang dari kita, dari masa ke semasa.”

 

“Mengapa pula begitu? Dia kelihatan sebaya aku sahaja. Tingginya hanya sekitar tinggi aku.”

 

“Pertumbuhannya bantut. Dia berumur dua puluh tahun sebenarnya.”

 

Tsuneki terkejut mendengarnya.


“Ada ramai lagi pengintip seperti itu di luar kawasan ini?”

 

“Ada seratus lebih pengintip yang sedang berkeliaran semuanya.”

 

“Ramainya! Mengapa diletakkan begitu ramai pengintip di luar kawasan ini? Siapa yang mahu menyerang kita?”

 

“Orang-orang Hamada dan Hagiura berkeliaran di luar pergunungan ini cuba menjejaki lokasi Kogen. Disebabkan itu kita dilarang keras keluar dari kawasan ini. Disebabkan itu juga Kogen meletakkan para pengintipnya di sekitar pergunungan ini. Mereka akan sekali-sekala datang dan melaporkan keadaan semasa kepada Omi dan Kotobuki.”

 

Kogen dilindungi oleh tama-no-iwa maka mustahil dapat dijejaki oleh orang-orang keluarga Yoshitsugu. Kogen meletakkan para pengintip ini di luar sebagai pasukan penampan yang akan memandu pendatang luar keluar dari hutan belantara itu dan mengalih perhatian mereka, pendek kata, sebagai persediaan awal agar mereka langsung tidak mendekati kawasan Shirasaka-no-kogen. Para pengintip Kogen seringkali berpakaian dan berperlakuan seperti petani yang tinggal di kawasan pergunungan bagi mengelirukan pendatang luar terutama orang-orang keluargaYoshitsugu.

 

“Gila! Mana engkau tahu semua ini Shinji? Dan di mana engkau menemui Tatsuhiro?”

 

“Shh, Tsuneki! Perlahankan suaramu.”

 

Tsuneki menyoal, “Beritahuku Shinji.”

 

“Dia menemuiku ketikamana aku di perpustakaan. Nanti akan aku ceritakan lanjut tetapi bukan di sini. Selebihnya akan aku beritahu nanti. Di tempat di mana aku akan membawamu.Tetapi sebelum aku membawamu ke sana engkau perlu lakukan sesuatu untukku.”

 

“Apa dia?”

 

“Esok akan aku beritahu. Aku bilang kita berehat dahulu hari ini. Dadaku sedikit sesak sekarang.” Shinji menegakkan kepalanya mendekati dada agar dapat menghilangkan rasa mual dan menolak paru-parunya kembali ke atas bagi mengurangkan sesak.Tsuneki turut merasa perkara sama lantas menuruti perlakuan Shinji.

 

Selepas sejam, mereka dilepaskan. Kedua-duanya terbaring keletihan di atas tanah di bawah pohon itu.

 

“Engkau serik untuk melakukannya lagi, Tsuneki?”

 

Tsuneki masih mencungap-cungap.“Aku pasti akan keluar mengejar Hisamiko sekiranya dia cuba keluar.”

 

“Wah, kuat benar cintamu!”

 

Tsuneki tidak larat menyahut gurauan Shinji. Dia terlalu penat.

 

 

**

 

Ryouji kembali selepas keluar selama lebih dari seminggu menyertai misi Kogen, iaitu misi pertama yang disertainya sejak tinggal di Kogen-no-shita. Misi itu diketuai Ayame dan turut disertai dua orang petarung Kogen bernama Touma dan Takumi.

 

Musim bunga 1872 sudah hampir ke penghujungnya. Siang semakin panas dan panjang. Para petani mula menyemai padi huma di atas sana. Higurashi bernyanyi riang dipokok-pokok yang daunnya lebar seperti shirakaba dan momiji yang ditanam di mana-mana di situ. Pokok itu masih boleh hidup di situ meskipun suhunya agak rendah dan lebih sesuai untuk pokok-pokok konifer.

 

“Ryouji, aku mahu berbincang denganmu sebentar.” Shinji bertemu Ryouji esoknya selepas sarapan. Dia mengisyaratkan kepada Ryouji agar mengikutnya menuju ke taman zen. Mujur tiada sesiapa duduk di bangku panjang di taman itu.

 

Mereka melabuhkan punggung di atas bangku. Shinji memulakan bicara.

 

“Bagaimana Ryouji dengan misimu? Lama benar engkau ke selatan.”

 

“Banyak perkara aku temui, Shinji.”

 

“Ryouji mengapa? Engkau nampak pucat...”

 

“Tidak ada apa-apa Shinji. Aku sedikit keletihan.”

 

“Jika engkau keletihan aku boleh membincangkan di hari lain. Ia tidak sepenting manapun...”

 

Matte Shinji.Duduklah dahulu.”

 

Shinji perlahan-lahan duduk kembali.

 

Perlukah aku memberitahu Shinji? Aku selagi boleh tidak mahu menghuruharakan fikirannya. Kami sudah diselamatkan dari malapetaka dua bulan lepas dan kembali hidup normal di sini. Shinji sudah mula berprasangka tatkala melihat orang-orang Kogen mengakap di luar kawasan ini dahulu. Aku tidak mahu menambah pada prasangkanya. 

 

Apakah yang berlaku ketika misi Ryouji baru-baru ini?

 

**

 

Disebabkan Kogen banyak menumpu kepada misi di luar, sumber manusianya kurang ditumpukan bagi membanteras keculasan dalaman, jenayah yang dilakukan penjaga rumah perlindungan ke atas penghuninya sendiri.

 

Selain mengetuai pengintip, Ayame juga memimpin jemaah nazir menyiasat keculasan dalaman di rumah-rumah perlindungan dan bertanggungjawab menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah mengikut Kod Kogen yang akan diterangkan kemudian dalam kisah ini. Pasukan Ayame yang disertai Ryouji selama beberapa bulan pertama menyertai Kogen telah ditugaskan menyelesaikan beberapa masalah dalaman pada separuh kedua 1872. Masalah-masalah dalaman yang diselesaikan itu tidak punya impak yang terlalu besar pada Ryouji melainkan dua peristiwa, iaitu yang berlaku sewaktu misi pertama dan kedua yang disertainya bersama Ayame.

 

Penghujung musim bunga, 1872.

 

Ketika ini Ryouji sudah dua bulan tinggal di Kogen-no-shita. Dalam tempoh tersebut, dia dilatih menyesuaikan diri dengan Kogen dan operasinya dan hanya keluar dari tanah tinggi itu sehingga ke pantai di Onuma, Yozehama untuk tujuan latihan. Dia dibawa bertemu pegawai-pegawai kanan Kogen yang menguruskan dana, yang melapor terus kepada Omi dan Kotobuki dan berpangkalan di tanah tinggi itu dan juga yang mengawal selia usaha-usaha penampanan Kogen dari orang-orang keluarga Yoshitsugu di luar tanah tinggi itu.

 

**

“Ayame, aku nasihatkan engkau agar membawa Ryouji sekali mengikutmu ke Suruga.” Kotobuki menasihati anaknya pagi itu.

 

Otou-san,dia masih baru di sini. Aku bimbang...”

 

“Aku tahu. Namun aku fikir ini peluang yang tidak harus dia lepaskan. Aku dan Takasaki memerhatikan dia sekian lama. Aku yakin dia mampu membantumu.”

 

“Baiklah otou-san.Aku harap engkau tidak menyesal dengan keputusanmu.”

 

“Aku yakindengannya. Aku harap engkau pun yakin dengannya, Ayame.”

 

Ayame mengangguk. Aku akan cuba. Mungkin ini peluang untuk aku menilai potensinya.

 

Ayame, ada sesuatu berkenaan Segawa dan Masami yang aku fikir engkau tidak mampu menangkisnya berseorangan. Aku kenal benar mereka, yang telah berkhidmat untuk Kogen sejak aku masih remaja. Mereka bukan calang-calang petarung. Bahkan mereka mempelajari sendiri kaminari-no-kaze seawal penciptaannya, langsung dari buku Miura yang telah kupinta engkau salin itu. Mereka cepat belajar dan bijak menyusun strategi baru ketika bertarung, belum dikira pengalaman luas bertarung yang pastinya membantu mereka. Aku memerlukan Ryouji membantumu.

 

Kerana aku tidak mampu kehilanganmu Ayame. Cukuplah Tsubomi seorang. 

 

**

 

Kali ini, Ryouji akan mengikut Ayame melakukan siasatan dalaman dan penjatuhan hukuman di sebuah rumah perlindungan Kogen. Ini ialah misi pertama Ryouji selepas menyertai Kogen secara rasmi, dan juga misi pertama bersama pasukan Ayame. Selain dia dan Ayame, turut menyertai adalah petarung Kogen bernama Touma danTakumi yang sudah sekian lama berkhidmat kepada Ayame sebagai pengintip Kogen di selatan Jooryoku, wilayah yang mereka tuju hari ini. Touma dan Takumi juga adalah bekas penghuni rumah perlindungan Kogen.

 

Rumah perlindungan yang mereka tujui ini terletak di celah pergunungan di selatan Wilayah Jooryoku, iaitu hampir dengan Teluk Suruga. Sewaktu menelusuri laluan hutan menuju selatan selepas menyimpang keluar dari Nakasendo, rombongan mereka dapat melihat dari jauh Gunung Fuji yang terkenal itu berdiri megah dengan puncaknya diselaputi salju yang memutih, citranya amat jelas kerana pada hari itu cerah tidak berawan, di awal pagi penghujung musim bunga 1872 ini.


“Bukankah itu Fuji-san (Gunung Fuji)?”


“Cantik bukan? Aku ingin sekali melencongkan kudaku ke sana, jika bukan kerana tugas penting ini.” Ayame menyambut tutur Ryouji penuh keterujaan. Dia pernah bercita-cita mahu pergi ke kaki Gunung Fuji namun masih belum berkesempatan melakukannya.


Penting. Benar. Amat penting tugas ini.


Terngiang-ngiang di benak Ryouji kata-kata Ayame ketika dia memberi taklimat dan perbualan susulan mereka sebelum bertolak pada hari tersebut.


“Kalian, semalam aku menerima laporan baru tentang satu kes di rumah perlindungan kita di dalam pergunungan di Suruga di selatan Jooryoku. Penjaganya Segawa Tasutake telah menodai seorang ahli rumah itu dan melacurkan yang lainnya.”


Ryouji tersentak mendengarkannya. Riak mukanya berubah. “Ayame-san, apa yang engkau cuba sampaikan?”


“Ryouji, aku akan bertemumu sebentar lagi. Sebelum itu, mohon engkau dengar dahulu baik-baik taklimatku.”


“Bersabar dahulu, Ryouji.” Takumi memandangnya tersenyum sambil memegang bahunya. Takumi seorang pemuda berusia dalam lingkungan tiga puluhan. Tubuhnya rendah sedikit dari Ryouji, badannya kurus. Di hujung matanya ada kedutan, dan wajahnya tenang, dan terdapat garis-garis kedutan yang bukan akibat penuaan namun dari mengharungi pelbagai cabaran getir sebagai pengintip Kogen. Kulitnya sedikit gelap berbanding Ryouji. Dia dan Touma, seorang pemuda dalam lingkungan dua puluhan, memakai pakaian serba hitam seperti ninja dan akan menutup separuh bawah mukanya ketika berkuda. Hanya Ryouji dan Ayame memakai yukata seperti hari-hari biasa.


Ayame menerangkan perancangannya. Takumi dan Touma hanya mendengar dan mengangguk. Mereka sudah biasa dengan perkara begini. Mungkin telah berlaku beberapa kes sama sebelum ini. Mereka tidak kelihatan sedikitpun terkejut sewaktu Ayame memerikan jenayah itu di permulaan taklimatnya. Dalam taklimat itu Ayame mengingatkan mereka agar berhati-hati dengan Segawa dan isterinya kerana mereka mahir kaminari, dan tidak pernah sekalipun berjaya ditangkap oleh pengintip Ayame yang memerhati rumah itu dan cuba mengekori Segawa ketika dia membawa ahli rumah itu keluar di malam hari untuk dilacurkan.


Tidak sedikitpun dalam fikiranku menyangka perkara begini boleh berlaku! Takasaki-san satu-satunya penjaga rumah perlindungan Kogen yang aku pernah temui dan dalam bayanganku, mereka juga punya keperibadian sama seperti Takasaki, amanah dan bertanggungjawab.


Namun kesialan apakah ini? Kogen, yang sepatutnya membela mereka, namun dalam Kogen sendiripun ada binatang begini?!


Ryouji menggenggam penumbuk menahan amarah di dada. Jika Segawa si bangsat itu berada di hadapanku sekarang, akan aku penggal kepalanya hidup-hidup. Binatang ini sepatutnya membusuk di neraka awal-awal lagi! Mengapa Kogen menerimanya bekerja? Bagaimana Kogen menapis calon penjaga rumah perlindungan?


“Aku tahu engkau marah, Ryouji.”


“Aku tidak dapat menerimanya, Ayame-san. Ia bertentangan dengan tujuan Kogen mendirikan rumah-rumah ini! Bagaimana si bangsat itu boleh terlepas masuk ke Kogen?”


“Aku juga marah, Ryouji. Namun perkara ini sudahpun berlaku. Kita akan ke sana memuktamadkan bukti-bukti jenayahnya. Dan sekaligus menjatuhkan hukuman sekiranya dia benar-benar bersalah.”


“Ia boleh dielakkan jika Kogen menapis calon mereka betul-betul!”


“Ia tidak semudah itu Ryouji. Sistem tapisan kami amat ketat. Namun engkau tidak akan dapat mengesan jika calon itu berubah sikap selepas dia bekerja. Satu-satunya cara yang kami mampu lakukan, ialah dengan memerhati melalui para nazir kami.”


Kata-kata Ayame ada kebenarannya. Sikap manusia boleh berubah. Malah ada yang bijak, menyembunyikan sikap sebenar mereka, seperti Kobato. Perkara begini amat sukar dikesan ketika mereka ditapis masuk ke Kogen.


Namun, kelukaan pada jiwa mangsa-mangsa si bangsat itu tidak akan mudah disembuhkan. Ia berparut sehingga hari kematian mereka. Hanya jika Kogen berhati-hati memilih calon penjaga. Namun menyesalinya sekarang sudah tidak berguna, nasi sudah menjadi bubur.


Aku bertekad, sekembalinya aku ke Kogen nanti, aku akan melihat kembali bagaimana mereka menapis calon penjaga rumah perlindungan. Dan bagaimana mereka memantau penjaga rumah-rumah ini. Ia tidak seharusnya berulang lagi! Bahkan ia tidak sepatutnya berlaku!


Mereka tiba di rumah perlindungan itu ketika hari hampir tengahari.


Seperti rumah Takasaki, ia didirikan di atas bukit dan dikelilingi pagar dari hutan buluh. Semua ahli Kogen dibenarkan masuk ke rumah perlindungan Kogen, di mana kebenaran memasukinya dianugerahkan Omi ketika upacara penerimaan mereka ke dalam Kogen dengan meletakkan tangannya pada dahi mereka.


Mereka berempat tiba di gerbang buluh. Saat itu, Takumi dan Touma berpecah selepas memaklumkan kepada Ayame dengan bahasa isyarat agar tidak menghasilkan bunyi-bunyi mencurigakan.

Berdasarkan rancangan Ayame, mereka berpecah demi memastikan tiada pakatan Segawa berada di mana-mana mengepung kami. Ada kemungkinan dia bersama seseorang demi menyerang hendap kami. Atau mungkin, ada ahli jemaah nazir yang berpakat dengan Segawa.


 

 

Previous: Bab 56
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov