Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 35

Hari berikutnya...

 

Lelaki tinggi berkulit gelap dan berlilit di kepala itu memandang sekeliling jeti. Tiada orang mencurigakan berhampirannya.

 

Dua orang pengikutnya menjengket turun dari kuda masing-masing. Ketiga-tiga budak perempuan itu telah berada di dalam feri menuju Osaka.

 

“Bagaimana kamu berdua? Masih sakit?” Lelaki berlilit kepala itu bertanya keadaan mereka.

 

“Aku rasa seperti kepatahan. Argh!” salah seorang pengikutnya yang berbadan sedang dan bermisai panjang mengaduh kesakitan. Ini semua angkara budak sial itu!

 

“Shizuo, apa pendapatmu berkenaan budak sial itu? Aku tidak pernah melihat kepantasan begitu.” Lelaki bermisai panjang bertanya kepada lelaki berlilit kepala, Shizuo.

 

Subarashii. Aku tidak pasti sama ada dia menyedarinya. Itu sebenarnya jurus kesembilan. Jurus tersebut boleh dilakukan secara sedar atau separa sedar. Jurus kesembilan dan kesepuluh tidak diajar, dan hanya boleh dicapai dari latihan yang kerap atau melalui pertarungan. Mereka yang berada dalam perjanjian dengan hayabusa-no-kami, seperti puak Miura, mudah mencapainya tanpa senjata khas.”

 

Hayabusa-no-kami? Seperti yang aku dengari ketika mempelajari kaminari dahulu. Engkau masih percaya perkara begitu, Shizuo?”

 

“Ya, Takeo. Aku percaya kami. Miura guru kita itu berketurunan Okuhida. Puak mereka telah mengikat perjanjian itu. Dia bersama Takasaki mencipta kaminari-no-kaze. Namun hanya Miura yang boleh melakukan jurus kesembilan dan kesepuluh kerana darah Okuhida-nya, dan aku pernah melihatnya sendiri melakukan jurus kesembilan. Dia meramalkan jurus tersebut juga boleh dilakukan secara bawah sedar.”

 

“Jadi, engkau fikir budak itu anaknya? Yalah, lagipun wajah mereka amat serupa.” Pengikutnya yang kedua pula bersuara. Dia seorang lelaki pendek dan berkulit cerah. Takeo mengangguk bersetuju.

 

“Barangkali, Suneo. Benar wajah mereka hampir serupa."


Shizuo menyambung, "Aku lihat bilah pedangnya amat ringan dan kuat. Aku tidak pernah melihat bilah sebegitu.  Ringan dihayun, dan cukup kuat sehingga boleh mematahkan tulang. Bahan apa yang digunakan? Apa kaedah yang digunakan? Aku fikir bilah itu juga memudahkan dia mencapai jurus kesembilan.”

 

“Shizuo, engkau fikir patutkah kita melapor kepada Tsugiyama?” Takeo bertanya.

 

“Ya. Aku akan melaporkannya sendiri.” Shizuo memutus. Dia perlu melaporkan kepada Tsugiyama sekiranya berlaku serangan ke atas aktiviti mereka menghantar karayuki. Tsugiyama akan menasihati Hagiura akan tindakan yang patut mereka ambil seterusnya.

 

Shizuo masih tidak dapat menerima hakikat yang dia hampir dikalahkan Ryouji, jika bukan kerana kegopohan budak itu, sudah pasti dia tidak akan dapat mencederakan kakinya. Ryouji pantas, namun kurang berpengalaman. Dari pengamatannya, dia bertarung pantas namun gopoh. Nafasnya tidak teratur. Dia mengelak dengan jurus kelima bagi menjimatkan tenaga, kemudian entah mengapa dia terus melangkau terus ke jurus kesembilan, iaitu jurus menyerang dan mengelak serentak dengan kepantasan maksima tanpa sedikitpun menyentuh lawan dan mengawal rusuhan tenaga yang besar di dalam tubuh dengan kecermatan tertinggi. Dia nampak tidak menyedari langsung pergerakannya, tidak seperti Miura. Bahkan dia seperti dikawal oleh sesuatu, persis boneka.

 

Shizuo hanya faham kaminari sehingga jurus kelapan. Jurus ketujuh, dan kelapan, adalah jurus menyerang dan mengelak dengan kepantasan tertinggi. Jika petarung biasa yang tidak berada dalam perjanjian dengan hayabusa-no-kami melangkau ke jurus kesembilan dan kesepuluh, dia boleh pengsan atau mungkin mati jika tidak mengawal rusuhan tenaga di dalam badannya dengan rapi atau tidak menggunakan senjata khas.

 

Mungkin dia anak Miura, fikir Shizuo. Namun kebolehan mengawal rusuhan tenaga di dalam badan hanya menjadi lebih cekap jika seseorang puak Okuhida itu mencapai usia dewasa. Namun budak itu pada usia muda sebegitu sudah boleh mengawalnya meskipun pada tahap yang rendah, sekadar mengelakkannya dari pengsan.

 

Pada fikirannya juga, Ryouji mungkin dihantar oleh Kogen. Miura setahunya menyertai Kogen bersama Takasaki selepas meletak jawatan dari Hamada. Namun dia tidak nampak simbol Kogen pun pada pakaian Ryouji. Dia merasakan sedemikian melihatkan Kogen kerapkali memintas mereka ketika menghantar karayuki.

 

“Aku lihat pedangnya tidak bermata.” Suneo mengutarakannya, sambil menahan sakit di kakinya. Mungkin kepatahan.

 

“Ya, kebiasaan Kogen. Mereka tidak menumpahkan darah kecuali untuk mempertahankan diri atau menghukum pelaku jenayah berat seperti rogol atau menodai ahli rumah perlindungan mereka. Mereka amat menghargai nyawa. Mungkin, budak itu dihantar Kogen.” Shizuo membuat telahan.

 

“Takeo, Suneo, aku mahu menangkap budak itu. Jika dia anak Miura, mungkin kita akan dapat menjejaki di mana Takasaki. Hamada dan Hagiura amat berminat untuk mengetahuinya. Aku yakin mereka tidak jauh dari tempat kita diserang semalam.”

 

“Shizuo, engkau mahu melakukannya seorang diri?”

 

“Ya. Kamu berdua harus berjumpa tabib, bukan? Aku lihat kalian seperti kepatahan teruk.”

 

Mereka mengakui kebenaran nasihat Shizuo itu. Bagaimana untuk bertarung jika tidak boleh berjalan dengan baik?

 

Shizuo menunggang kudanya deras meninggalkan jeti itu. Dia mahu menangkap Ryouji secepat mungkin sebelum dia beredar jauh dari lokasinya semalam.

 

**

 

Azusa dan Chisato bangun awal keesokan harinya untuk mencari jalan pulang, seawal fajar menyingsing.

 

Sedang mereka sesat mencari jalan pulang, mereka terserempak sekali lagi dengan Tsugiyama. Tsugiyama memegang Goro yang tidak boleh terbang, sedang yang lainnya, kali ini tiga orang sahaja pengikut Tsugiyama, mengepung dua wanita itu.

 

“Pagi, kalian. Nyenyakkah tidur kalian malam tadi? Atau termimpikan kami?” Tsugiyama memulakan bicara sinis. Pengikut-pengikutnya yang lain tertawa.

 

“Chisato, aku akan meluru ke lelaki yang memakai happi bercorak sagi itu dahulu. Engkau tumpukan seorang yang berada betul-betul di depanmu.” Azusa mengatur strateginya. Lelaki yang memakai happi itu ialah Tsugiyama, sedang pengikutnya yang berada di hadapan Chisato bernama Tatsuya.

 

“Azusa, tidak mahukah engkau menggunakan jurus kedua sahaja?”

 

“Bukan aku tidak mahu, perjalanan kita masih jauh hari ini. Aku bimbang kita tidak berdaya untuk sampai ke rumah sebelum malam.”

 

“Baiklah.” Chisato menghunus pisau pendek atau tantou, diikuti Azusa melakukan perkara sama, sedang orang-orang Tsugiyama tidak seorangpun yang bersenjata. Mereka hanya mengepung. Apakah rancangan mereka? Apakah mereka punya udang di sebalik batu?

 

Chisato cuba membuka kepungan dengan meluru ke arah Tatsuya. Tatsuya mengelak. Namun elakan Tatsuya jauh lebih lambat berbanding Ryouji. Berbekalkan latihan yang diberikan Ryouji, Chisato tahu ke mana sasarannya akan mengelak, dan dia harus bertindak pantas. Dia menyerang kaki Tatsuya dengan tantounya.

 

Azusa pula menunggu peluang menyerang Tsugiyama. Dia sebenarnya menyasar kepada seorang pengikut Tsugiyama di sebelah kanannya, bernama Tetsugi. Dia merapat ke arah Tsugiyama, dan menyedari Tetsugi juga mendekatinya. Pantas dia merendahkan badan, memusing dan menghentak rusuk Tetsugi. Tetsugi jatuh terjelepok ke tanah dan tidak bangun-bangun. Rusuknya barangkali telah patah. Gerakan kaminari yang pantas membolehkan pukulan biasa dilakukan dengan impak yang tinggi.

 

“Hebat. Tidak silap aku engkaulah yang menewaskan tiga orang di antara kami semalam. Tsugaru, ayuh!” Tsugiyama mengarahkan pengikutnya yang berada di sebelah kiri Azusa.

 

Tsugaru terketar-ketar. Tangannya cuba menarik pedang dari sarungnya namun melihat jelingan tajam Tsugiyama, dia tidak jadi mengeluarkannya. Azusa mendekati Tsugaru, dan dia mengundur. Semakin Azusa mendekatinya, semakin jauh pula dia mengundur. Kemudian dia cuba melutut Azusa. Namun Azusa menumbuk lutut Tsugaru seperti karate. Tsugaru terduduk dengan lututnya yang kelihatan sudah patah.

 

“Sekarang biar aku selesaikan.” Tsugiyama membuka pencak. Kali ini, Azusa dan Tsugiyama bertarung. Mereka beransur-ansur meningkat sehingga jurus kelapan. Tiada siapa dapat menangkap pergerakan pantas mereka. Azusa dan Saki, adalah petarung wanita terbaik di rumah Takasaki pada ketika ini. Maka tidak hairanlah sekiranya dia berjaya menguasai jurus tertinggi yang boleh dikuasai manusia biasa yang tidak dikuasai sumpah hayabusa.

 

Azusa tidak boleh menggunakan kaedah rempuhan seperti semalam kerana keadaan yang cerah pada hari itu memudahkan lawan mengesannya, tambahan dengan fizikal Tsugiyama yang agak besar. Meskipun Tsugiyama seorang tua yang berumur sekitar lewat lima puluhan dengan janggut putihnya, badannya tegap seperti anak muda. Maka Azusa banyak mengelak dan cuba menyerang dengan tantounya. Namun Azusa bukanlah lawan setanding Tsugiyama. Azusa terlalu mudah untuk Tsugiyama. Dia berjaya diperangkap oleh Tsugiyama lalu disuntik sejenis cecair biru. Azusa memasuki alam separa sedar.

 

Tatsuya terjengket-jengket dengan kakinya yang masih berdarah selepas menerima hirisan tantou Chisato. Dia cuba menyerang balas Chisato, namun dihalang oleh seorang gadis bertopi kon secara tiba-tiba. Pergerakan gadis itu pantas sekali dan kurang sesaat sahaja dia berjaya mematahkan bahu Tatsuya menggunakan pedangnya yang tidak bermata itu.

 

“Chisato, berundur ke tepi dan bawa rakanmu keluar dari sini. Tunggu aku di pondok.” 


Chisato tersentak, mendengarkan gadis itu menyebut namanya. Siapakah gerangan gadis ini? 


“Pondok yang mana?” 


“Hanya ada satu pondok berdekatan kawasan ini.” 


Chisato teringat pondok tempat dia bermalam bersama Azusa.

 

Ketiga-tiga orang Tsugiyama sudah rebah. Tsugiyama bergerak ke arah Chisato namun pantas dihalang oleh gadis bertopi kon. Tsugiyama berubah posisi. Ketika itulah Chisato terlihat Azusa, yang sebelumnya terhalang oleh kelibat Tsugiyama, sedang terbaring di atas tanah tidak sedarkan diri. Tsugiyama mengeluarkan katananya, bersedia bertarung dengan gadis bertopi kon.

 

Chisato meluru ke arah Azusa, cuba mengejutkannya, namun dia hanya mengumat-kamit dalam separa sedar. Dia memapah Azusa kembali ke bangsal kuda tempat mereka bermalam, sedang Tsugiyama terus bertarung dengan gadis bertopi kon.

 

“Siapakah engkau wahai bijin (perempuan cantik)?” Tsugiyama menyoalnya.

 

“Tinggalkan kami segera atau aku akan mencederakan engkau seperti rakanmu itu.”

 

“Engkau fikir mudah menewaskanku. Aku antara petarung terbaik kaminari selepas Takasaki-san!”

 

“Benarkah begitu?” Gadis bertopi kon menduga Tsugiyama.

 

Gadis bertopi kon mengeluarkan jurus kesembilan. Hayunan pedang tidak bermatanya mula meningkat. Tsugiyama tidak berani meningkatkan dirinya ke jurus kesembilan ditakuti dia tidak dapat mengawal rusuhan tenaga mendadak di dalam tubuhnya. Siapakah gadis misteri ini, getus Tsugiyama. Adakah dia dari keturunan Okuhida?

 

Badan Tsugiyama mula sakit-sakit setelah ditetak oleh pedang tidak bermata itu berkali-kali. Gadis itu sengaja tidak mematahkan tulang Tsugiyama, agar dia dapat membawa pulang para pengikutnya. Sebaik menyedari Azusa dan Chisato sudah jauh meninggalkan mereka, dan Tsugiyama mengambil masa untuk bangkit, gadis bertopi kon pantas menghilangkan diri dari situ.

 

“Chisato, mari aku ingin periksa rakanmu.”

 

Gadis bertopi kon memeriksa tubuh Azusa.

 

“Kesan suntikan aotsuyu.”

 

Aotsuyu?”

 

“Cecair beracun berwarna biru. Ia racun yang akan menghilangkan kewarasan dan menyebabkan mangsa yang disuntik akan berperlakuan seperti dipukau.”

 

Gadis bertopi kon menggoncang-goncangkan tubuh Azusa. Matanya separa terkatup dan mulutnya terkumat-kamit, cuba berkata sesuatu namun tidak jelas pada pendengaran mereka.

 

“Ia digunakan ke atas sebahagian karayuki yang degil agar mereka patuh kepada para pelanggannya.”

 

“Maksudmu, karayuki-karayuki yang dijual keluarga Yoshitsugu itu disuntik racun ini?”

 

“Benar.”

 

Seksa. Aku tidak dapat menerimanya jika Chiho dan Chinami dijual dan diperlakukan begitu. Tindakanku betul pada ketika itu dengan memaksa diriku keluar menyelamatkan mereka. Mujur, mujur sahaja aku masih sempat dan berjaya mengesan mereka di jeti.

 

“Chisato, bapaku tahu bagaimana menyembuhkan rakanmu. Dia perlu dihantar ke sana untuk drawat segera, jika tidak dia akan selama-lamanya hilang kewarasan.”

 

“Maaf cik, boleh kutahu siapakah engkau? Bagaimana engkau mengenaliku?”

 

“Maafkan aku lewat memperkenalkan diri. Aku Shirasaka Ayame dari Kogen. Engkau boleh memanggilku Ayame.”

 

Shirasaka Ayame adalah seorang wanita berumur dua puluhan, tingginya lima kaki lima inci. Kurus, dan berkulit cerah, dadanya sederhana besar, dan rambutnya panjang dan hitam, diikat dan disorok di dalam topi kon yang dipakainya. Dia memakai baju yukata berwarna hitam dan seluar umanori kelabu dan but hitam dengan tabi hitam. Semuanya serba hitam seperti ninja. Agak cantik, secantik Chisato. Di balik topi kon itu tertera logo Kogen. Logo Kogen tidak dipamerkan kepada orang ramai kerana identiti ahlinya perlu dirahsiakan. Ia hanya dipamerkan kepada orang-orang tertentu sahaja.

 

“Aku tahu namamu dari Takasaki. Dia menemuiku di tebing Sungai Miya mengatakan ‘Gadis dengan yukata bercorak sakura bernama Chisato dan rakannya sedang dikejar Tsugiyama’ lalu memberikanku cebisan pakaianmu untuk dihidu hayabusa peliharaanku. Dan siapa nama rakanmu itu?”

 

“Funazuki Azusa.”

 

“Azusa-san desuka. Ayuh, lekas bawa rakanmu menerima rawatan. Engkau pandai menunggang kuda?”

 

Ada dua ekor kuda yang ditambat Ayame berdekatan bangsal itu.

 

“Ya. Aku pernah menjadi pengawal dahulu.” Balas Chisato.


Ayame meniup jarinya memanggil kuda-kuda yang dibiarkan tidak jauh dari situ.

 

“Chisato, cuba kuda yang hitam itu. Ikut aku.”

 

Chisato mencuba kuda hitam itu. Dia mengusap-usap kepala kuda itu bagi menenangkannya, kemudian memanjat pelana seperti seorang penunggang yang berpengalaman. Kuda itu berbunyi senang, seperti sesiapa jua yang berdekatan dengan Chisato yang pasti cair dengan keayuannya.

 

“Oh, ya Chisato. Pakai ini.” Ayame menyuakan dua utas kalungan berloket, satu kepada Chisato dan satu kepada Azusa. Dia juga memakainya. Di dalam loket itu terdapat sejenis batu resin kuning, sama seperti yang dihadiahkan oleh Ryouji kepada Hisamiko.

 

“Ia untuk menghalau hayabusa yang dihantar mana-mana pengintip. Terutama keluarga Yoshitsugu.”

 

Azusa yang masih separa sedar dan tercedera membonceng Ayame. Chisato menunggang kuda hitam tersebut mengikut Ayame merentas sungai Miya di bahagian cetek, dan berpatah balik ke utara menuju Furukawa.

 

Ketika menunggang kuda, mereka berbual-bual.

 

“Ayame-san, bagaimana engkau mengenali Takasaki?” Chisato bertanya ingin mengenali Ayame dengan lebih lanjut.

 

“Melalui penyertaan kami dalam Kogen.”

 

“Kogen? Maaf, aku baru teringat engkau ada menyebutnya tadi, namun aku tidak pasti apakah ia.”

 

“Takasaki tidak memberitahumu?”

 

“Tidak pernah.”

 

“Ia pertubuhan yang membiaya rumah perlindungan yang engkau huni. Ada banyak lagi rumah perlindungan yang sama di serata Jepun.”

 

Chisato terpegun mendengarnya. Takasaki tidak pernah menceritakannya dengan terperinci, hanya sekali-sekala merujuk pertubuhan itu namun tidak memberitahu namanya.

 

Terima kasih Takasaki kerana menyelamatkan kami!


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov