Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 56

“Shinji...”

 

“Shhh!!! Engkau diam boleh tak?”

 

“Shinji engkau yakin dengan rancanganmu?”

 

“Pasti berjaya, dengan syarat engkau diam sebentar!” Shinji menegur keras separa berbisik.

 

Ketika itu dinihari. Mereka berdua sengaja tidur awal demi berjaga pada waktu itu, untuk mencuri salah seekor dari kuda Kogen di bangsal tidak jauh dari rumah mereka. Hanya seawal dinihari begitu sahaja penjaga bangsal kuda tiada. Penjaga bangsal kuda menjaga bangsal itu sedari matahari terbit sehingga malam. Namun Tsuneki dan Shinji tidak akan mencuri kuda itu pada waktu malam, kerana untuk apa fikir mereka? Berlatih pada waktu siang lebih sesuai.

 

Pintu gerbang bangsal itu diperbuat daripada kayu dan dikunci menggunakan mangga mekanikal yang juga diperbuat dari kayu dan sedikit logam.

 

Shinji mengeluarkan sebatang besi kecil yang hujungnya sedikit bengkok.

 

“Shinji, engkau sudah fikir masak-masak akibat perbuatan kita ini?” Tsuneki sekali lagi membuat bunyi.

 

“Habis, bukankah engkau yang memintaku mengajar menunggang kuda?”

 

“Maksudku, hukuman yang akan kita terima sekiranya ditangkap. Apakah kita akan dipenjarakan?”

 

“Aku tidak fikir begitu. Mungkin kita akan dijemur.”

 

“Dijemur?”

 

“Ataupun engkau akan diikat pada kerusi dan dicucuh besi panas. Di sini.” Shinji menunjukkan pehanya. “Sehingga engkau terkencing dan terberak.”

 

“Heeee...” Tsuneki seriau mendengarnya. “Engkau tidak takut, Shinji?”

 

“Engkau tidak takut?” Shinji memulangkan soalan itu kembali kepada Tsuneki. Tsuneki hanya tersengih. “Tsuneki tolong diam atau kita akan ditangkap sekarang.”

 

Shinji si ulat buku ini hanya menceritakan pembacaannya, realiti mungkin berbeza, getus Tsuneki. Kami masih remaja dan budak. Mungkin tidak akan dihukum begitu.

 

Shinji memasukkan besi yang hujungnya bengkok itu ke dalam lubang mangga dan memusing-musingkannya, sambil merapatkan telinganya pada kotak mangga itu.

 

Kuat betul bunyinya! Shinji menjarakkan sedikit telinganya dari mangga. Sejak bila telingaku menjadi begitu peka? Oh, ya. Disebabkan perkara itu. Aku hampir terlupakannya.

 

Selepas beberapa ketika dengan Tsuneki memerhati sekeliling, dia berjaya membukanya.

 

“Hebat! Mana engkau mempelajarinya?”

 

“Sistem mekanikal di celah jariku Tsuneki.”

 

Mereka bergerak laju separa mengitik dalam kelam dinihari menuju ke dalam bangsal kuda. Tsuneki menutup kembali gerbang di belakang mereka bagi mengelakkan curiga.

 

Shinji memerhati setiap kandang satu persatu sehingga menemui seekor kuda yang agak kecil, sesuai dengan Tsuneki yang tidak terlalu tinggi. Tinggi Tsuneki pada ketika ini lima kaki empat inci, setinggi Chisato. Dia baru berumur dua belas tahun. Beberapa tahun lagi mungkin ketinggian dia akan menyamai Shinji dan Ryouji.

 

Shinji mengisyaratkan tangannya kepada Tsuneki di belakang. Dia mengulang beberapa kali, namun tiada respons. Dia menoleh, dan nampak Tsuneki sedang asyik memandang ke belakang. Entah apa yang dipandangnya. Shinji geram seraya mencapai batu kecil dan membalingnya ke kepala Tsuneki.

 

“Sakit!” Tsuneki mengaduh perlahan.

 

“Shhh, diamlah musang!”

 

Masih menggosok-gosok kepalanya, Tsuneki bergerak mengitik menuju ke kandang di sebelah Shinji.

 

“Apa yang kau lihat tadi? Ada orang mengekori kita?”

 

“Aku nampak bayangan. Seperti burung hitam berlegar-legar di pintu utama. Kemudian dia terbang entah ke mana.”

 

“Mungkin Azuchi, burung hayabusa Hisamiko itu. Persetankan.” Shinji mengagak. Burung apa lagi yang berlegar di tengah dinihari selain burung pengiring Hisamiko itu?

 

“Sebentar, bagaimana jika Hisamiko tahu dan memberitahu Nariko nee-san?”

 

“Aku akan pujuk dan menyogok dia. Dia suka tanghulu (gula-gula bercucuk Cina) bukan? Aku akan minta Inoue-san belikan banyak-banyak.” Inoue ialah penjaja dan pengintip Kogen yang berulang-alik ke tanah tinggi itu dan pernah singgah di rumah Takasaki memberikan resin aomomiji untuk digunakan Shinji membuat pedang Saishi-tou.

 

“Shinji, aku pun nak juga...” Tsuneki juga suka manisan itu nampaknya.

 

“Ya, ya. Semua akan dapat. Apapun kita akan fikirkan lanjut tentang itu kemudian. Sekarang, aku mahu engkau ikut gerak-geriku. Kita akan menenangkan kuda ini dahulu.” Shinji meminta Tsuneki masuk ke dalam kandang itu.

 

Shinji agak gugup. Ini kali pertama dia melakukannya, sebelum ini dia hanya memerhati Ryouji, Azusa dan Saki, ketika Chisato melatih mereka.

 

Kuda itu sedang tidur. Shinji menarik nafas sedalam-dalamnya, menghembuskan sekaligus berhati-hati agar tidak mengejutkan kuda. Dia kemudian meletakkan tangan keatas kepala kuda itu, perlahan-lahan, diperhatikan Tsuneki yang seperti hendak terkencing ketakutan.

 

Mata kuda itu terbuka. Dia jelas kelihatan terkejut dan mula mendengus. Saat itu Shinji dengan tenangnya menggosok-gosok kepala kuda itu dan menepuk lembut dagunya dengan sebelah lagi tangannya sambil berkata “Tenang, tenang, tenang si kuda cantik,” dengan suara yang lembut dan menenangkan. Tsuneki melopong melihatnya. Dengan sekali cuba sahaja, Shinji mampu menenangkan kuda itu.

 

“Sekarang aku mahu engkau pula lakukan.”  Shinji menarik Tsuneki yang takut-takut merapat ke kuda itu.

 

Demi Hisamiko. Demi cinta hatiku. Aku mahu melindungi Hisamiko. Aku perlu belajar menunggang kuda. Jika Hisamiko boleh, mengapa tidak aku? Dia perempuan, aku lelaki, aku sepatutnya lebih pandai darinya.

 

Perlahan-lahan Tsuneki meletakkan tangannya di atas rambut kuda itu dan menggosok meniru bulat-bulat perlakuan Shinji tadi. Kuda itu mendengus, Tsuneki terkejut, dan Shinji pantas menutup  kesilapannya dengan menenangkan kuda itu kembali.

 

Kuda itu pun mula berdiri. Lutut Tsuneki yang sedari tadi terketar-ketar, mulai beransur tenang.  Ketika ia berdiri, bahunya separas leher Tsuneki. Shinji mengemaskan pelana kuda itu, masih sekali sekala mengusap leher kuda itu, dan mengambil tangga kecil untuk Tsuneki yang masih rendah itu memanjat pelana.

 

“Tsuneki, sebaik engkau memanjat pelana ini, engkau akan berseorangan mengawalnya.”

 

“Hah?”

 

“Takkan kau nak aku bonceng pula? Aku tak fikir kuda ini mampu membawa dua orang, tubuhnya kecil.”

 

“Apa kata engkau yang cuba tunggang dahulu?”

 

“Aku tak mahu. Setakat ini sahaja yang mampu aku lakukan.”

 

“Shinji...onegai (tolong).”

 

“Tsuneki, risikonya satu, engkau mungkin mati jika terjatuh akibat impak, atau mungkin kuda ini memijakmu. Aku tidak mahu menghadapi itu semua. Aku ada banyak perkara yang ingin kucapai.”

 

“Aku juga ada banyak perkara yang ingin kucapai! Aku juga tidak mahu mati!”

 

“Maka turunlah. Lupakan rancanganmu. Ayuh, kita balik dan sambung tidur!”

 

Tsuneki memikirkan kembali rancangannya. Sanggupkah aku menghadapi risiko ini? Bukankah aku menyukai Hisamiko? Atau aku sudah goyah perasaanmu terhadapnya? Setakat ini sahajakah cintaku terhadapnya?

 

“Shinji, jika aku mati, beritahu Hisamiko yang aku mati kerana aku cintakan dia.”

 

Shinji tersenyum.“Tsuneki, gambare!”

 

Tsuneki memanjat pelana sehingga kukuh duduknya. Shinji membantu menarik kuda itu keluar, sehingga ia berdiri benar-benar berhadapan dengan pintu utama. Shinji membuka pintu itu, bersedia melepaskannya dengan Tsuneki di atas menunggang.

 

“Ingat Tsuneki, untuk berjalan perlahan, tarik tali ini ke belakang lembut. Untuk memecut,rentap ia ke bawah agar membentuk alunan. Kemudian untuk berhenti, tarik ke belakang sederhana kuat.”

 

“Terima kasih Shinji. Ittekimasu.”

 

“Tsuneki, ingat, semua atas risikomu.”

 

Tsuneki, aku hanya mengajarmu atas permintaanmu. Engkau mengambil risikomu sendiri. Jika engkau mati, aku mungkin akan dimarahi Ryouji dan lainnya dan mungkin akan dibenci mereka. Namun engkau telah memutus dan aku hanya membantumu. Aku mengambil risiko didenda dan dibenci kerana membantumu. Dan jika engkau kembali dalam keadaan selamat, aku memerlukan pertolonganmu untuk satu perkara.


Aku berjaya melakukannya! Aku kini menunggang seekor kuda!

 

Tsuneki hampir-hampir tidak dapat mempercayainya. Dia kini menunggang seekor. Dahulu dia hanya membonceng, dan ketika Takasaki masih hidup dia tidak dibenarkan menunggang kerana di bawah umur, hanya Hisamiko satu pengecualian. Dia benar-benar teruja dan berasa bebas-sebebasnya. Tiada pagar buluh yang menghalangnya seperti rumah perlindungan itu. Hanya laluan pergunungan Tateyama seluas mata memandang.

 

Tatkala Tsuneki meninggalkan bangsal itu, Shinji teruja. Dengan sekali percubaan sahaja, Tsuneki mampu mengendera kudanya dengan baik. Aku harap dia kembali dengan selamat. Kerana aku perlukan pertolongannya kelak.

 

**

 

“Di mana aku?”

 

Matahari sudahpun terbit. Tsuneki sudah jauh turun di bawah cerun, semakin hampir dengan kaki pergunungan itu.

 

Dia memerhati sekeliling. Kaki langit berwarna oren. Pokok-pokok sudah semakin jelas disinar mentari. Dia turun dari pelana, dan mengusap-usap kepala kuda itu bagi menenangkannya. Sejuk bukan kepalang di sini. Tsuneki menggigil menahannya. Diharap sejuk begini tidak lama, sementara menanti matahari naik lebih tinggi.

 

Tsuneki memerhati sekeliling, cuma mencari pemandangan yang biasa ditemui. Tidak, dia tidak langsung biasa di sini. Dia masuk ke Kogen dengan pasukan berkuda yang dipimpin Goryuuin Tsushiko, dan sejak itu, dia tidak pernah keluar dari Kogen sehinggalah sekarang. Dan laluan yang ditelusuri bersama Tsushiko itu tidak langsung ketara di sini. Ia denai yang bermula di pantai di bawah sana, berdekatan kampungku.

 

Selepas kami melaluinya untuk ke sini, kami memasuki sebuah belukar dan menemui denai yang dibarisi pepohon renek di bahu kiri dan kanannya, semakin lama cerunnya semakin tinggi, dan pokok-pokok di sekeliling juga semakin tinggi, sehingga pantai itu jauh dari pandangan mata kami, dan puncak-puncak pergunungan Tateyama di kejauhan nampak seolah-olah berdiri searas dengan kami. Tidak lama kemudian, kami berada di dalam hutan di atas tebing tinggi dengan pantai tersebut jauh dibawah sana, masih kelihatan dari celahan dedaun hutan. Aku hampir termuntah dek ketinggian mendadak dan goncangan kuda yang aku bonceng. Penunggang yang membawaku, Natsuki tidak silap aku, memberikan sebotol cecair dan menyuruhku meminumnya bagi menghilangkan mabuk. Aku beransur lega namun masih perlu berehat beberapa hari sebelum pulih sepenuhnya.

 

Tsuneki membiarkan kudanya meragut rumput dan rumpai di situ. Dia duduk di bawah sebatang pokok yang dipanggil kaede. Kawasan itu separa landai dan ditumbuhi pepohon yang berjarak di antara satu dengan yang lainnya.

 

Jika aku kembali sekarang, sudah pasti aku akan dimarahi dan akan didenda Kogen. Hanya menunggu masa sehingga Kogen membongkarkan salah laku kami. Aku harap Shinji berjaya menangguhkan penemuan mereka. Namun penjaga bangsal itu pasti akan menemuinya seawal pagi begini, kerana dia akan melakukan bancian harian kudanya. Mati aku!

 

Apapun alang-alang aku sudah di sini, aku mahu memanfaatkan peluang yang ada. Aku akan ‘merasmikan’ tempat ini.

 

Dengan kencing!

 

Tsuneki melurutkan hakama umanori-nya dan melepaskan hajat di tepi pokok kaede. Lega! Sedari tadi aku mahu terkencing.

 

Oi, Tsuneki.” Kedengaran suara memanggil namanya. Siapa pula selain aku di sini?! Tsuneki cepat-cepat menarik dan mengemaskan kembali seluar hakama-nya.

 

Tsuneki menggeletar. Takkan pula ada yurei(hantu) di pagi yang muda ini?

 

Tsuneki berdoa dalam ketakutan. Semua jenis roh-roh hutan yang diajar bapanya disebut dan diseru.

 

Oi, musang. Sedap kencing!”

 

Tsuneki mengimbas sekeliling panorama. Dari mana datangnya suara itu? Aku pernah mendengar suara ini tapi aku tidak ingat di mana.

 

“Pandang ataslah, musang! Ini akulah.”

 

Tsuneki terkejut dan memandang ke atas pokok yang dikencingnya.

 

“Tatsuhiro! Bagaimana engkau berada di sini?”

 

Seorang budak lelaki kelihatan sebayanya, tersengih, sedang berdiri di antara celah dua dahan besar mencabang dari batang pokok itu. Dia terjun dari pokok itu, kemudian berdiri di hadapan Tsuneki, sambil menepuk-nepuk yukatanya.

 

“Bau pandan!” Pantas dia menutup hidungnya.

 

Tsuneki malu mendengarnya. Kencing yang bau seperti pandan begini biasanya kencing musang. Apakah aku memang seekor musang?

 

“Patutlah orang panggil engkau musang. Nama keluarga engkau pun Kitsune.”

 

“Tatsuhiro, engkau tidak takut didenda dengan keluar begini?”

 

“Habis, engkau tak takut?”

 

Tsuneki tersengih.

 

“Mana engkau dapat kuda itu?”

 

“Aku curi di bangsal.”

 

“Hah?”

 

“Aku dan...”

 

“Dan apa?”

 

“Aku dan bayang-bayangku.” Tsuneki menahan diri dari menyebut nama Shinji, dengan membuat lawak kering.

 

“Memanglah bodoh! Ne, Tsuneki. Tahukah engkau apa hukumannya melarikan kuda Kogen?”

 

“Apakah ia?”

 

“Engkau akan digantung terbalik pada sebatang pokok dan tidak diberi makan selama sejam.”

 

“Hanya sejam?” Berlagak betul Tsuneki bertanya begitu. Dia belum pernah merasanya lagi. Betapa peningnya kepala selepas digantung begitu sejam. Malah engkau boleh mati jika dibiarkan tergantung begitu lebih dari sehari.

 

“Jika engkau mengulangi kesalahanmu mereka akan meningkatkannya kepada dua jam. Kemudian tiga jam. Dan semakin meningkat jika engkau mengulanginya.”

 

“Adakah aku akan mati dengan hukuman itu?”

 

“Sepatutnya tidak. Namun engkau akan pening dan mual. Kerana perut kosong, asid dalam perutmu akan naik ke tenggorok dan engkau akan mual. Jika lebih lama, engkau akan sesak nafas. Lebih dari sehari, engkau akan mati.”

 

Tsuneki menggosok-gosok lengannya, seriau mendengarkan kenyataan Tatsuhiro. Apapun, aku sudah bersedia untuk mati. Rancangan ini amat penting bagiku. Demi Hisamiko.

 

“Bagaimana engkau sampai ke sini? Di mana kudamu?” Tsuneki hairan bagaimana Tatsuhiro boleh sampai ke situ seawal pagi begini. Sekejap benar dia melupakan ketakutannya.

 

“Aku mengikut jalan pintas ke sini.”

 

“Jalan pintas?”

 

“Jika engkau rajin ke perpustakaan bawah tanah, engkau akan menemui kepingan kayu di salah satu bahagian lantainya di tingkat bawah tanah yang paling bawah. Ia laluan ke terowong bawah tanah.”

 

“Terowong?”

 

“Shh, Tsuneki! Jangan bising-bising. Ini hanya rahsia engkau dan aku sahaja. Jangan sekali-kali bongkarkan. Mengerti?”

 

“Mengerti. Bagaimana engkau menemuinya?”

 

“Aku gemar duduk di dalam perpustakaan itu dan membaca buku. Aku bosan tinggal di situ. Tiada pengembaraan...”

 

Nampaknya budak ini dari ‘baka’ yang sama dengan Shinji, ulat buku.

 

“Aku mengembara dalam dunia novel-novel yang kubaca. Satu hari aku berjalan dan terperasan satu-satunya kepingan kayu yang longgar yang tersembunyi di balik rak-rak buku yang jarang dikunjungi pelawat perpustakaan.”

 

“Aku mengalihkan kepingan kayu itu dan menemui tangga menuju ke sebuah terowong bawah tanah.”

 

“Apa guna terowong itu sebenarnya?”

 

“Untuk ke sinilah. Ketika kecemasan, orang-orang Kogen akan keluar melalui terowong itu ke sini untuk berkumpul.”

 

Kecemasan? Di Kogen tidak ada penceroboh yang boleh memasukinya. Apakah ada musuh di dalam? Atau mungkin, terowong menyelamatkan diri sekiranya berlaku bencana alam atau kebakaran?


“Aku turut menemui batu ini dalam terowong itu.”

 

“Benda apakah ini?”

 

“Aku tidak tahu. Aku menemui batu ini di dalam terowong itu. Ia terang dan menarik perhatianku. Aku menggunakannya untuk berjalan merentas terowong gelap itu.”

 

**

 

Suatu hari, ketika Tsuneki baru seminggu tinggal di Kogen-no-shita, dia duduk berseorangan di tepi lagun sambil membaling batu ke dalamnya, kebosanan. Shinji sedang sibuk di atas menyertai para saintis Kogen di sana melakukan penyelidikan.

 

Tsuneki kebosanan. Tatsuhiro datang dan menegurnya.

 

Hajimemashite, Yamada Tatsuhiro desu.

 

Tsuneki menoleh, terperanjat. Di hadapannya berdiri seorang budak lelaki, kurus dan rendah sepertinya. Mungkin sebaya.

 

Dia membalas dengan memperkenalkan diri.

 

“Kitsune Tsuneki desu.”

 

“Engkau baru di sini, Kitsune-san?”

 

“Ya. Panggil aku Tsuneki sahaja.”

 

Tatsuhiro mengambil tempat di atas batu di sebelah Tsuneki.

 

“Engkau dari rombongan terbaru Goryuuin Tsushiko bukan?”

 

“Benar.”

 

“Aku melihat kalian masuk tempoh hari. Apa terjadi pada rumah perlindunganmu?”

 

“Kami diserang orang-orang Hamada.”

 

“Patutlah. Pasti Omi yang mengarahkan kalian ke sini.”

 

“Ia serangan kedua mereka. Ryouji telah menewaskan mereka ketika serangan pertama.”

 

“Okuhida itu?”

 

“Engkau pun mengenalinya?”

 

“Siapa tidak kenal pewaris Okuhida. Nama Ryouji terkenal di sini. Bapanya pencipta seni kaminari-no-kaze.”

 

“Dan kamu Tatsuhiro, apa telah terjadi pada rumah perlindunganmu?”

 

“Isteri penjaga kami meninggal dunia. Penjaga itu meletak jawatan dan aku dipindahkan ke sini. Kogen tidak punya calon yang sesuai untuk menggantikan penjaga itu.”

 

“Siapa lagi selainmu?”

 

“Hanya aku seorang. Penghuni lain semua memilih untuk membawa diri. Paling muda antara mereka berumur 17 tahun.”

 

**

 

Kembali ke hari Tsuneki melarikan kuda Kogen...

 

“Tsuneki, ambillah batu ini. Aku tidak memerlukannya. Jangan lupa untuk pergi ke terowong itu nanti. Sayonara!” Tatsuhiro menghulurkan batu aneh itu kepada Tsuneki. Tsuneki mengambil dan membelek-beleknya.

 

Ano...” Tsuneki menoleh mahu memandang Tatsuhiro, namun dia hilang tiba-tiba.

 

Apa yang telah berlaku? Tatsuhiro, Tatsuhiro!

 

Tidak, aku yakin benar aku sedang bercakap dengan Tatsuhiro. Bahkan buktinya batu ini aku terima dari tangannya. Di mana engkau Tatsuhiro?

 

Aku kenal benar dia. Aku kerap bertemunya di tepi lagun. Dia tinggal di rumah perlindungan di sebelah rumah kami. Dia bukan youkai (hantu),bukan!

 

Tsuneki mula ketakutan sedang masih cuba meyakinkan dirinya bahawa Tatsuhiro bukanlah hantu. Dia memandang ke atas pokok, tiada. Bagaimana dia boleh hilang dari pandangan mataku tiba-tiba?

 

Tsuneki gementar, dia segera bersiul memanggil kudanya. Kudanya datang deras, dia mengusap-usap tengkuk kuda itu. Dia mengambil sebongkah batu, diletakkan di tepi kuda itu dan menggunakannya untuk memanjat pelana. Sebaik tali ditarik, kuda itu bergerak perlahan menuju menelusuri sebuah denai. Tsuneki tidak pasti ke mana harus dituju, dia sudah tersesat jauh dari rumah perlindungan. Hanya denai itu yang kelihatan. Apa yang penting, dia mahu melarikan diri secepat mungkin dari tempat yang keras itu. 


Dia berbelah bagi tentang Tatsuhiro. Jika dia benar youkai, bagaimana aku boleh mendapat batu aneh ini? Dan bagaimana pula aku boleh sering menemuinya di tepi lagun di rumah kami? Aneh! Apakah dia tahu jurus kaminari yang pantas itu? Ada kemungkinan. Apapun, aku akan bertanya kepada Shinji sekembalinya aku nanti.

 

Hari beransur petang. Tsuneki kelaparan. Dia berhenti di tepi sebatang sungai. Perutnya berkeroncong. Dia mahu menangkap ikan. Dia tahu menangkap ikan. Bapanya dahulu sering membawanya memancing. Namun aku tidak tahu memasak. Aku tidak akan makan ikan mentah. Bapaku mati kerana memakan ikan mentah!

 

Dia baring di tepi anak sungai itu, keletihan. Di sini tidak ada pokok yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Hanya pokok torikabuto itu. Itu pokok racun yang orang-orang Hamada letak dalam aotsuyu.

 

Sebentar, dari mana punca sungai ini? Bukankah dari atas sana? Bukankah sungai-sungai di sini hanya mengalir dari atas sana dan turun ke laut di bawah?

 

Tsuneki menepuk kepala. Mengapa sekarang baru aku fikirkan perkara ini?

 

Pantas dia menunggang kudanya menuju ke hulu sungai. Mujur, hulu sungai itu akhirnya membawanya beransur-ansur kembali mendaki cerun, dan pabila matahari hampir terbenam, dia mula menemui kawasan-kawasan yang pernah dilihatnya. Dia sampai di hadapan rumah perlindungannya setelah senja.

 

Kelihatan penjaga bangsal kuda sedang berdiri. Shinji sedang dipegang dua orang pemuda, barangkali pegawai Kogen melihatkan haori yang dipakai mereka. Haori Kogen berwarna biru gelap dengan logo Kogen di bahagian dalamnya. Haori ini boleh diterbalikkan dan dipakai normal jika pemakainya mahu mempamerkan logo Kogen tersebut terutama ketika berada di dalam kawasan Shirasaka-no-Kogen, dan diterbalikkan jika mereka mahu menyembunyikannya ketika berada di luar.

 

“Rakanmu menghubungi kami tentang kehilanganmu. Mujur engkau selamat, kami baru sahaja bersedia hendak keluar menjejakimu. Ayuh segera ikuti kami!”

 

Dua orang lagi pengikutnya memegang Tsuneki sebaik dia turun dari kudanya. Mereka berdua disoal siasat, kemudian dihantar pulang ke rumah dan dihalang keluar dari bilik sehingga dipanggil salah seorang pegawai esoknya.

 

Previous: Bab 55
Next: Bab 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov