Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 24

 Mereka keluar awal pagi esoknya. Mereka sampai di kampung Chisato, Kisennuma setelah menumpang sebuah kereta kuda membawa jerami yang melintas di kaki bukit yang menempatkan kuil itu. Chisato tidak mampu berjalan jauh dengan kaki yang masih tercedera.

 

Chisato sampai di rumahnya. Masih diingati laluan ke rumahnya yang merentas bendang. Sawah padi di situ baru bertanam, masih hijau. Ryouji berjalan di sebelahnya. Chisato masih boleh berjalan namun perlu berhenti kerap. Cuaca tidak terlalu panas pada hari itu di awal musim bunga. 

 

Sampai di rumahnya, Chisato terperanjat melihatkan rumahnya telah diubahsuai. Dia ingat benar inilah tapak rumah bapanya, meskipun dia meninggalkannya hampir empat tahun lepas. Dia bertanyakan seorang lelaki yang sedang duduk di depan rumahnya sambil mengukir patung.

 

“Ya, cik. Ini rumahku. Aku telah membeli tanah bendang dan rumah ini dari Maharaja. Tiada lagi daimyo. Bekas daimyonya telah berpindah ke Kyushu dan tempatnya diganti oleh gabenor.”

 

“Tuan masih ingat orang yang pernah tinggal di sini?”

 

“Aku tidak pernah menemuinya. Ketika aku sampai di sini pada tahun lepas, hanya kelihatan rumah dengan kesan terbakar. Tanah-tanah dipenuhi debu hitam. Tiang-tiang hanya tinggal separuh, habis semuanya rentung. Aku dengar ia terbiar begitu sejak tiga tahun sebelumnya.”

 

Chisato terpana mendengarkan kata-kata lelaki itu. Terbakar? Adakah rumah kami dibakar, dan bapaku dibunuh? Siapa yang melakukannya?

 

Chisato merayau-rayau di kawasan rumah lain di sekitar bendang itu. Namun semua petani di situ tidak pernah dilihatnya. Mereka semua petani yang baru di sini. Adakah aku tersilap kampung? Tidak, inilah kampungku! Jalan yang aku lalui tadi amat aku kenali.

 

Chisato menemui seorang lelaki yang selalu berjudi dengan bapanya. Dia sedang merayau-rayau tanpa arah tujuan di pertengahan jalan.

 

Ano sumimasen, encik Kazumi-san bukan?” Lelaki itu menoleh, rambutnya panjang dan kusut masai, pakaiannya compang-camping dan kotor, wajahnya penuh celoreng dan berkaki ayam. Dia nampak seperti kurang siuman, amat kurus seperti sudah sebulan tidak makan. Namun Chisato tiada pilihan, dia hanya mengenali lelaki itu sedikit sahaja ketika mana dia melawat rumah bapanya suatu ketika dahulu, maka mungkin dia orang yang tepat untuk ditanya.

 

“Chisato-chan, bukan?” tutur lelaki itu selepas menatap Chisato seketika.

 

“Ya.” “Engkau telah banyak berubah, semakin cantik!”

 

Chisato tersipu malu dipuji, namun terus bertanya, tidak mahu melengahkan masa, “Kazumi-san, masihkah engkau ingat apa yang telah terjadi kepada otou-san?”

 

“Minoru-san ka?” “Aku pergi ke rumahmu suatu hari, namun mendapati dia sudah rentung bersama rumahnya. Mayatnya kami bakar kerana tiada sesiapa yang menuntut.”

 

Rumah Chisato terletak jauh dari rumah-rumah petani lain maka kebakaran lambat dikesan. Lagi pula kejadian itu berlaku di waktu malam pada musim luruh, maka bau kebakaran itu mungkin disangka bau kebakaran akibat seseorang membakar daun kering.

 

“Benarkah begitu Kazumi-san?” Chisato masih tidak dapat mempercayai apa yang didengarinya.

 

“Ya, aku berada ketika upacara pembakaran. Malang nasib Minoru, seringkali kalah berjudi bahkan ditipu kerap.”

 

Chisato terdiam, fikirannya kaku. Dia tidak dapat mengungkapkan kesedihannya. Pilu kerana dia tidak sempat melihat bapanya buat kali terakhir. Pandangan terakhirnya yang dilihat Minoru adalah sebuah pandangan penuh kebencian dari seorang anak perempuan, bahawa perbuatannya adalah jijik dan tidak boleh dimaafkan. Aku bapa yang jijik! Aku tidak layak menjadi bapa! Aku layak ditinggalkan mereka!

 

"Chisato, pulanglah sejenak bersama adik-adikmu. Aku amat merindui kamu semua. Pulanglah Chisato! - aku kerap bermimpi bapamu menjerit kata-kata itu sedang api membakar tubuhnya." tutur Kazumi.


Setiap kali dia bertemu Minoru, Minoru kerap bercerita tentang mereka bertiga, betapa dia merindui mereka. Jika bukan kerana hutang berjudi dan pemiutang yang mengejarnya setiap hari bahkan mengancam untuk membunuh anak-anaknya, sudah pasti dia tidak menjual mereka.

 

“Aku bersedih dengannya. Dia pergi keseorangan. Aku tiada di sisinya semasa dia terperangkap di dalam kebakaran itu. Pasti dia terseksa benar. Tiada siapa yang mendengar jeritan terakhirnya akan betapa dia merindui anak-anaknya.”

 

Apakah itu yang otou-san fikirkan?

 

Chisato terduduk mendengarkan Kazumi. Dia amat membenci perbuatan bapanya, namun tidak sekali-kali dia terfikirkan untuk menghukum bapanya agar mati sebegitu kejam.

 

Apa yang telah aku lakukan? Adik-adikku seringkala bertanya bilakah mereka dapat pulang ke kampung bertemu otou-sanOtou-san amat merindui kami. Dan aku telah memisahkan mereka sehinggalah otou-san bertemu ajal.

 

Apa yang telah aku lakukan? Chisato menutup mukanya sambil menunduk mengadap bumi, masih melutut di atas tanah berdebu itu. Ryouji membiarkan dia melayan perasaannya. Dia juga sedih. Keperitan Chisato mungkin lebih lagi. Tidak, kisah Chisato sungguh mengelirukan. Insan yang menjadi darah dagingmu melakukan perkara yang memusnahkan hidup darah dagingnya sendiri. Dan engkau terpaksa bertindak, mungkin merentas batas kemanusiaan agar dapat melindungi darah dagingmu yang lebih memerlukan perlindungan. Natijahnya, adalah satu pengorbanan besar. Engkau mendapat sesuatu dengan kehilangan sesuatu.

 

Hati Chisato perit. Keliru. Sedih. Malu. Pelbagai perasaan menerjah mindanya. Dia bingung.

 

Mereka tiba-tiba ditegur seorang lelaki. Kazumi sudah jauh meninggalkan mereka.

 

Okaerinasai, Chisato-chan!” lelaki itu melaung sinis. Chisato tersentak. Lelaki inilah yang menyerangnya dan Ryouji di pekan yang ada kedai ramen! Dia lelaki berjanggut uban yang memakai happi bercorak sagi di belakangnya. Bagaimana dia mengetahui kampungku? Chisato mendiamkan diri sambil memandang lelaki itu penuh kemarahan.

 

“Apa yang engkau buat di sini, Chisato-chan. Engkau ingin melawat bapamu itukah? Dia sudah mati, sayang.”

 

Menyirap darah Chisato mendengarnya. Ryouji memegang bahu Chisato.

 

“Akulah Tsugiyama, orang yang membakar rumahmu itu.”

 

“Mengapa... mengapa engkau buat begitu?! Apa salahnya?”

 

“Aku telah membayarnya wang semasa aku mengambil adik-adikmu. Namun sejurus menerima dia terus menggunakan semua wang itu untuk membayar hutang-hutangnya. Kemudian engkau mengambil semula adik-adikmu dari orang-orangku tidak lama kemudian.”

 

“Jadi?”

 

“Maka aku mencari bapamu dan membakar rumahnya. Chisato-chan, tiada duit percuma di dunia ini.”

 

Chisato tidak dapat menahan sebak. Dia pulang ke kampung bersusah-payah, hanya mendapati bapanya sudah tiada.

 

“Chisato-chan, engkau masih berhutang nyawa denganku. Engkau membunuh rakanku ketika di jeti.”

 

“Chisato, engkau melindungi adik-adikmu. Ingat kata-kataku semalam di pekan? Jika aku dalam situasi begitupun aku pasti akan membunuh mereka. Mereka harus dibunuh atau kita yang akan dibunuh. Tiada pilihan.” Ryouji berkata kepada Chisato dengan nada perlahan, kemudian memandang Tsugiyama.

 

“Sebelum engkau apa-apakan Chisato, langkah mayatku dahulu!” Ryouji berteriak.

 

“Siapa engkau? Budak hingusan yang hanya tahu membuat ribut?” Tsugiyama masih ingat wajah Ryouji di pekan itu. Dia bertanggungjawab membuat ribut tiruan di sana.

 

“Beredar sekarang dari sini dan jangan mengganggu kami!” Ryouji memberi amaran keras.

 

“Budak hingusan, engkau tiada kena-mengena dalam hal ini. Ini antara aku dan keluarganya. Usah campur tangan, budak!”

 

Chisato, biarkan aku bertarung dengannya. Kaki engkau masih tercedera. Hayabusa-no-kami, jangan engkau kembalikan sumpahmu di saat-saat genting seperti ini, sekali lagi! Onegai! (Tolong!)

 

Selepas bangun dari tidur pagi itu, tangan kanan Ryouji kembali pulih. Namun tanda hitam seperti yang diberitahu Kotobuki telah mula muncul tanpa perlu ditekan. Ia agak pudar, dan saiznya sebesar bulatan separuh saiz kuku. Apapun, Ryouji bersyukur kerana masih boleh menggunakan tangan kanannya kembali.

 

Aku tidak boleh menggunakan jurus kedua. Hari ini masih panjang, aku perlu menyimpan tenagaku, fikir Ryouji. Kaminari-no-kaze, jurus pertama.

 

Tsugiyama mengelak dengan mudah. Pantas! Sepantas dirinya.

 

Kaminari-no-kaze? Siapa yang mengajarmu? Takasaki, atau Miura?” Tsugiyama bertanya soalan sama yang pernah ditanya kepada Kobato pada musim sejuk lepas. Tsugiyama ialah bekas samurai yang sekarang ini merompak di Nakasendo. Dia pernah bekerja bersama Takasaki untuk Hamada, kemudian ditukar berkhidmat kepada Hagiura dan kemudian dipecat selepas Pembaharuan. Dia datang ke pekan itu untuk mencari peluang pekerjaan baru dan tidak menyangka akan terserempak dengan Chisato, dendam lamanya.

 

Dia mengenali otou-san dan Takasaki-san? Siapakah lelaki ini sebenarnya? Bukankah dia orang keluarga Yoshitsugu melihatkan simbol sagi itu? Mungkinkah dia bekas anak murid mereka berdua?

 

“Wajahmu mengingatkan aku dengan Miura. Siapakah engkau wahai budak?”

 

“Aku anaknya.”

 

“Seperti aku telah agak.”

 

Sedang mereka sibuk bertarung, seekor burung hayabusa yang besar datang terbang sambil berteriak. Tsugiyama berundur dari situ, mengejut.

 

Mata ne. Sehingga kita berjumpa lagi. Aku tidak dapat meneruskan pertarungan ini. Dan perempuan itu, aku masih berdendam dengannya atas nyawa rakanku! Aku pasti akan kembali lagi!” Seraya menghabiskan kata-katanya dia beredar dari situ dengan pantas, mengikut arah terbangnya hayabusa itu.

 

Jika dia tangkas sebegitu bertarung, mengapa dia tidak bertarung begitu denganku di pekan?

 

Oh ya, aku lupa! Jurus kedua adalah jurus terkuat yang tidak boleh ditentang dengan jurus-jurus lain dan hanya boleh dilakukan bersama regu, satu-satunya jurus sebegitu dalam kesemua sepuluh jurus. Ia jurus untuk melarikan diri sahaja, bukan untuk bertarung. Namun tenaga engkau dibazirkan dan engkau tidak lagi boleh bertarung selepas melakukannya.

 

Belajar teori dari Takasaki memang berguna. Namun hanya di dalam dunia realiti sahaja barulah teori-teori itu mendatangkan makna, di mana dan pada ketika mana ia sesuai digunakan. Mungkin inilah tujuan Takasaki menghantarku keluar!

 

**

 

Chisato masih bersedih dan membisu sepanjang perjalanan pulang semula ke kuil.

 

Sampai di kuil, Ryouji memapah Chisato ke bilik mereka. Chisato masih membisu.

 

Masuk ke bilik, Chisato kemudian membuka pintu gelangsar perlahan-lahan dan duduk mengadap taman. Ryouji duduk di sebelahnya, dipisahkan sedikit jarak.

 

“Chisato, aku pergi keluar dahulu. Engkau tenangkanlah dirimu di sini.” Ryouji bangun meninggalkannya. Namun yukatanya ditarik Chisato. “Ryouji, tunggu.”

 

Ryouji kembali duduk. Chisato membisu. Kemudian dia menyandar kepalanya ke bahu Ryouji, dan menangis. Ryouji tidak pandai memujuk wanita. Dia hanya duduk pegun di situ seperti patung Buddha di seberang Sungai Miya, sambil memandang ke arah taman. Dia memegang bahu Chisato. Menangislah Chisato sepuas-puasnya. Sementara bahu ini masih utuh ditonggak nyawaku. 


Ryouji memandang tangan kanannya. Kotobuki, engkau satu-satunya sami yang sukar untuk tidak aku percayai kata-katamu. Apakah engkau benar seorang sami, atau sebenarnya seorang mistik yang tahu perkara ghaib?

 

**

 

“Hagiura-sama!” Tsugiyama melutut hormat kepada gabenor yang merupakan bekas daimyonya itu. Dia datang mengejut ke Kisennuma. Mengapa dia mencariku di sini? Bukankah dia telah memecatku? Dan disebabkan pemecatan itulah aku hidup dengan merompak di Nakasendo.

 

“Tiada salahnya aku melawat bekas samuraiku yang paling setia.” Dia mengangkat lengannya, dan seekor burung hayabusa datang bertenggek ke atasnya sedang dia masih utuh dan tenang berdiri, tidak seperti Ryouji yang terduduk mengaduh berat. Dia nampaknya seorang penjinak hayabusa yang mahir.

 

“Goro merampas surat ini dari seekor merpati pengutus.” Hagiura menyuguh sekeping surat kepada Tsugiyama

 

“Ia dari Maharaja kepada Taishii Kimura.” Tsugiyama memberitahu setelah membuka dan membaca surat yang dihulurkan Hagiura. Meskipun mesej yang tertulis di dalamnya dikodkan, Tsugiyama masih dapat membacanya kerana Maharaja menggunakan kod yang lama yang telah bocor kepada mereka.

 

“Ya, seteruku yang berpindah ke Kyushu itu,” Hagiura mengiyakan, sambil mengusap-usap jambul Goro, hayabusa kesayangannya itu.

 

“Orang tua kutuk itu tidak habis-habis menyusahkan aku. Dia mengumpul bekas-bekas samurai bapaku dan aku untuk berkhidmat di bawahnya sebagai petani. Untuk meluaskan pengaruhnya saja. Sekarang kerjanya melobi Maharaja pula!” wajah tembam Hagiura berkerut ketat, bonjol-bonjol lemak degil timbul di pipi. Wajahnya tidak langsung seperti bapanya Hamada si pondan tua itu.

 

“Hagiura-sama, berdasarkan kandungan surat ini Maharaja memperkenan pertubuhan Takasaki dan Miura nampaknya. Bukankah dahulu ia pertubuhan menentang baginda?”

 

“Jauh sekali dari apa yang engkau sangkakan. Ia hanya spekulasi bagi memburukkan mereka. Mereka menyokong kemasukan Barat, maka rata-rata akan berfikir mereka menentang Maharaja dan bersekongkol dengan Shogun Tetsugawa. Ini kerana mereka menyangka Maharaja memusuhi Barat dan Tetsugawa pula penyokong Barat. Ada pihak mahu mengambil manfaat dari kekeliruan itu agar nama bapaku diburukkan, kerana Takasaki dan Miura kedua-duanya bekas samurai bapaku. Dengan buruknya nama bapaku, mereka dapat merebut tempatnya dan menjadi daimyo paling berkuasa di sebelah Maharaja yang menguasai wilayah-wilayah tengah pergunungan ini.”

 

“Namun selepas perang dengan Tetsugawa, baginda terang-terangan mahu membuka pelabuhan-pelabuhan negara ini kepada Barat, mahu menterjemah karya-karya Barat yang disimpan pertubuhan Takasaki, bahkan mahu menghantar utusan kita mencedok ilmu di Barat. Segala usaha kita mengampu baginda selama ini sia-sia. Bahkan, tanah-tanah kita pula diambil dan kita dilantik sebagai gabenor dengan diberikan gaji.”

 

Sebentar, bapaku membunuh Miura bagi melumpuhkan pertubuhan itu yang disangkanya untuk merekrut tentera menyokong Tetsugawa. Miura adalah pembiaya utama pertubuhan itu. Namun sekarang Maharaja pula memperkenan pertubuhan itu, maka bekas-bekas daimyo yang menyokong pertubuhan itu sudah pasti akan mendapat keutamaan baginda. Tidakkah dia berasa terkilan kerana membunuhnya? Bodoh benar bapaku!

 

Namun apakah keutamaan dari baginda penting? Paling hebatpun engkau cuma dilantik sebagai gabenor dan diberikan gaji. Tiada lagi cukai dapat dikenakan ke atas petani kerana kami tidak lagi memiliki tanah. Perjuangan apakah yang kami telah lakukan?

 

Perjuangan yang sia-sia! Kami sepatutnya menentang Maharaja sedari awal lagi!


"Tsugiyama, aku mahu mempelawa engkau kembali kepadaku."


"Benarkah begitu, Hagiura-sama?"


"Untuk apa pula aku main-main? Aku hanya percayakan engkau. Engkau sudah terlalu lama berkhidmat kepada keluargaku, sejak bapaku mula mewarisi jawatan daimyonya."


"Arigatou, Hagiura-sama!" Pantas Tsugiyama menunduk hormat. Dia fikir hanya dengan cara ini sahaja hidupnya akan stabil, dengan pendapatan stabil, dalam era yang huru-hara begini. Berapa ramai samurai di luar sana yang terpaksa berkelana mencari pekerjaan baru. Tidak kurang yang merompak dan melakukan kegiatan lain seperti menjadi tentera upahan. 


Dengan kembalinya aku kepada Hagiura, lebih mudah untuk aku memujuknya menyewakan kepadaku Goro, hayabusanya itu. Sebentar, simpananku masih belum mencukupi untuk menyewanya. Mungkin aku harus menunggu beberapa minggu lagi. Dengan adanya Goro, aku pasti akan dapat menjejaki Takasaki, menangkapnya dan mendapatkan pulangan lumayan dari Hagiura atau Hamada. Selepas itu, aku mahu bersara di kampungku. 


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov