Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 73

Sebelumnya...

Aku perlu melakukannya sendiri. Mimpi itu datang berulang kali. Aku yakin ada seseorang sedang meminta bantuan di bawah sana.

Aku akan menggunakan tali dari bangsal kuda yang kulihat hari itu untuk turun ke bawah gaung dan kembali ke atas. Aku tidak tahu berapa ramai yang sedang memerlukan bantuanku.

Tsuneki bangun turun dari katil. Dia melihat katil Shinji dan Ryouji kosong. Ke manakah mereka?

Aku tidak tahu bagaimana memecahkan mangga pintu perpustakaan. Tidak mengapa, aku akan turun mengikut arah anak sungai dari sini.

**

Mereka membawa seketul tama-no-iwa Amaguri yang telah dijemur Shinji pada siangnya bagi menerangi jalan, batu sama ketika mereka menggunakan terowong tadi.

Setelah jauh meredah belukar dan onak menuruni pergunungan itu, Ryouji meminta Shinji berhenti.

Matte, Shinji. Engkau nampak kabus itu?”

“Ada apa dengannya?”

“Di bawahnya adalah gaung yang kukatakan tadi.”

“Di manakah tempat ini sebenarnya?”

“Ia sempadan gunung Kogen. Ayuh ikut aku.”      

“Gunung Kogen?”

“Salah sebuah dari gunung dalam banjaran ini. Hanya Shirasaka-no-kogen dan lembah tempat kita diami itu menempati gunung ini.”

“Banyak benar perkara yang kau tahu Ryouji.”

“Tak adalah. Mungkin aku tidak tahu apa-apapun jika Tsuneki tidak membantuku hari itu.” Dan terima kasih pada shugenja misteri itu juga.

Shinji menuruti Ryouji terus meredah gelap malam yang hanya diterangi bulan mengambang dan cahaya batu tama-no-iwa.

“Hah, jumpa pun. Kami turun dari lereng padang rumput di atas itu sehingga ke sini.” Ryouji menunjuk ke arah sisi kanan mereka, sebuah bukit separa landai dan berumput, hanya ditumbuhi pepohon gunung jarang-jarang. “Di padang rumput itu ialah pintu keluar terowong dari unjuran perpustakaan itu.”

“Yang ada pokok kaede itu?”

“Benar. Eh, engkau pun tahu?”

“Aku pernah membawanya ke situ sewaktu engkau ke Suruga. Jadi apa kaitan dengan Tsuneki berada di sini?”

“Dia bermimpi dan mendengar suara itu di sini. Maka dia pastinya akan datang ke sini.”

“Dan mengapa pula dia memilih malam ini?”

“Aku hanya menurut firasatku. Mungkin, dia bangun malam dan menyedari kita tiada, lantas mengambil kesempatan? Shinji, lihat itu.”

Ryouji menunjuk ke arah tali panjang yang diikat dan dililit kemas pada sebatang tunggul, tempat shugenja yang ditemui Ryouji pernah duduk.

“Tali apakah ini?” Shinji memegang tali itu dan duduk mengamati strukturnya. “Ia seperti tali yang pernah digunakan untuk menggantung kita di pokok.”

“Engkau tahu di mana tali ini boleh didapati?”

“Seingatku ia disimpan di tepi bangsal kuda di dalam sebuah setor di situ.”

“Hairan. Dari mana Tsuneki belajar menyimpulkan dan menyambungkan tali-tali ini?” Ryouji memegang bahagian lain tali itu. Ia disambung dengan satu sama lain dengan simpulan-simpulan sehingga membentuk tali yang panjang, menjalar dari tunggul dan menghilang ke dalam gaung sana.

“Ryouji, apa perancangan kau?”

“Jika kita turun, kita akan mati. Itu kata shugenja itu...”

“Argh...” Shinji pantas menutup hidungnya, tatkala bayu malam tiba-tiba bertiup. “Bau apakah ini? Busuknya!”

Ryouji juga menutup hidungnya. “Aku tidak pasti. Yang aku tahu ia datang dari dasar gaung itu.”

“Ryouji, cuba kau tarik tali tu. Aku tidak nampak ia tegang...”

Ryouji menarik tali itu. Sehingga hujungnya. Sah, Tsuneki tiada. Sama ada dia tertinggal di dasar gaung, atau dia tidak turun ke dalamnya sama sekali.

“Tsuneki! Tsuneki!” Laung Ryouji ke dasar gaung. Shinji turut melaungkan nama Tsuneki.

“Kalian!” Keluar suara dari balik batu-batu dan pepohon renek di belakang mereka. Tsuneki memunculkan diri.

“Mengapa kalian di sini?”

“Apa kau buat malam-malam buta di sini Tsuneki? Kami risaukan engkaulah!” Shinji menengking.

“Aku...aku mahu menyelamatkan suara di dasar gaung itu. Namun aku takut. Aku takut tidak akan dapat naik semula ke atas.”

“Tsuneki! Bukankah aku telah ingatkan engkau, abaikan sahaja mimpi itu?” Ryouji memarahi Tsuneki pula.

“Suara itu berulang kali muncul dalam mimpiku. Aku tidak boleh tidur memikirkannya.”

“Tsuneki ceritakan lanjut.” Pinta Shinji. “Ryouji, aku fikir mungkin ada benarnya kata-kata Tsuneki.” Shinji mengenyitkan sebelah mata kepada Ryouji.

Tsuneki mengisahkan mimpinya sepertimana yang pernah diberitahu kepada Ryouji dulu.

“Tsuneki, kita tidur dahulu. Esok aku ada perancangan. Aku mahu bertanya Kotobuki dahulu berkenaan gaung ini.”

“Mengapa bukan sekarang? Bagaimana jika orang di dasar gaung itu mati?”

“Habis, engkau sudah tahu bagaimana untuk naik semula ke atas permukaan ini? Tsuneki, jangan engkau ambil risiko kecuali jika engkau sudah tahu bagaimana menguruskannya. Aku akan membantumu ‘menyelamatkan’ orang di dalam gaung itu, selepas kita memahami gaung tersebut.”

“Aku tidak faham, Shinji.” Sampuk Ryouji pula. “Apakah engkau sudah mempertimbangkan risikomu sewaktu engkau merancang ke Kawamoto?”

“Ya. Aku tahu Kotobuki akan menghantar orangnya ke sana.”

“Apa?”

“Mereka tidak akan membiarkan aku mati. Bukankah sudah aku katakan nyawaku amat berharga pada mereka?”

“Ryouji, Shinji, aku tidak takut mati.” Tsuneki tiba-tiba mencelah.

“Tidak, Tsuneki.” Terpacul kata-kata itu dari mulut Shinji. Tsuneki tergamam.

Shinji menyambung. “Maafkan aku hari itu membiarkan engkau keluar berseorangan dengan kuda itu. Dan engkau Ryouji. Aku juga tidak mahu kehilanganmu.”

“Aku pasti akan menyelamatkan ‘orang itu’. Kita perlu memahami dahulu gaung ini. Ryouji, apa lagi maklumat yang kau tahu berkenaan gaung ini?”

“Menurut shugenja itu, bau mayat yang mereput di dasar dihalang naik oleh kedalaman gaung itu sendiri dan hanya tiba ke permukaan pabila angin bertiup.”

“Apa yang membunuh mereka di situ?”

“Katanya mereka mati akibat sesak nafas.”

“Sesak nafas? Bagaimana dia tahu mereka mati akibat sesak nafas, sedangkan mereka mati di bawah sana?”

“Aku tidak tahu.”

“Jika benar, maka mungkin sama ada udara di dasar gaung itu beracun, atau melemaskan, atau kedua-duanya. Bukankah sini kawasan gunung berapi?”

“Barangkali. Aku lihat hanya gunung itu yang mengeluarkan asap.” Ryouji menunjuk ke arah satu puncak Tateyama yang asapnya berkepul keluar, diterangi cahaya bulan mengambang. “Mungkin kawasan lain juga begitu namun masih di tahap rekahan.”

“Jika gunung berapi, berkemungkinan ia mengeluarkan juzuk udara berat yang akan mendap di dasar gaung dan menyesarkan juzuk oksigen ke permukaan. Sesiapa yang terperangkap di dasar gaung tidak akan boleh bernafas. Atau mungkin bersama juzuk udara itu, ada udara beracun yang menambah seksa mereka yang terperangkap di sana.”

“Aku faham udara beracun. Tetapi apa maksudmu dengan juzuk oksigen?”

“Juzuk udara yang ditemui saintis Inggeris seratus tahun lepas. Ia digunakan kita dan hidupan lain untuk fungsi badan dan disedut masuk ketika bernafas. Ia hanya seperlima dari udara yang kita sedut ini. Selebihnya juzuk-juzuk lain yang lebih berat dan ada yang lebih tumpat dari oksigen.”

“Apa kaitannya dengan gunung berapi?”

“Aku fikir juzuk udara yang lebih berat itu lebih banyak di dasar gaung ini kerana beratnya, maka ia tenggelam dan menyesarkan juzuk lain ke atas. Mungkin penghasilannya ada kaitan dengan tindakan seismik di sini. Mungkin bersamanya juga udara beracun, aku tidak pasti.”

Ryouji mengangguk faham.

Shinji mengalih pandang ke arah Tsuneki yang sedari tadi tercegat.

“Tsuneki, fahamkah engkau jika engkau selamat turun ke bawah sekalipun, engkau tidak semestinya akan selamat naik kembali, faham?”

Tsuneki membisu.

“Tsuneki, nyawa hanya sekali. Matilah dengan cara yang bijak, bukannya mati katak.”

“Tapi engkau boleh pula keluar berseorangan!” Balas Tsuneki. “Mengapa engkau tidak mengajak aku sekali seperti yang engkau janjikan Shinji?”

“Aku telah fikirkan perancanganku dahulu. Jika aku bawa engkau sekali, mungkin aku tidak akan dapat melindungimu. Engkau dan aku sama-sama tidak tahu bertarung. Dan aku lihat engkau keletihan hari itu maka aku tidak jadi mengejutkanmu.”

**

Esoknya mereka tiba lagi di situ. Mujur unjuran perpustakaan itu tidak dikunci pada siangnya maka mereka bertiga menggunakan terowong untuk kembali ke tempat itu. Kali ini mereka membawa tali yang panjang dan tikus yang telah ditangkap Shinji.

Selepas mereka berjaya keluar ke lereng berumput, Shinji merosakkan batu-batu pemantul tama-no-iwa di situ agar tiada sesiapapun yang dapat menjejaki mereka. Dia mengambil seketul dua batu itu dan menyimpannya ke dalam buntil kain yang dibawanya.

Beberapa jam selepas itu di taman zen...

Onii-san! Di mana onii-san? Chinami, Chiho di mana mereka?” Hisamiko gelabah.

“Kami nampak dia dengan Shinji dan Tsuneki ke perpustakaan tadi.”

Perpustakaan di awal pagi? Untuk apa? Onii-san bukanlah ulat buku!

Hisamiko berlari ke arah perpustakaan. Azuchi terbang turun mengikut Hisamiko.

“Mengapa engkau gelabah pagi-pagi buta begini?”

“Aku mahu mencari onii-san. Engkau tidak perlu mengikutku.”

“Aku mahu mengikutmu!” Azuchi bertegas.

“Baiklah, tapi engkau jangan terbang. Hanya berjalan di belakangku.”

“Baiklah.”

Hisamiko berjalan dituruti burung itu. Tidak ramai yang berada di dalam bangunan itu pada pagi ini. Pustakawan tidak dapat mengesan Azuchi kerana dilindungi meja. Azuchi hanya separas lutut Hisamiko.

Nee-chan, di mana tiga orang budak lelaki yang baru masuk tadi?” Tanya Hisamiko pada seorang gadis pustakawan di situ yang sedang duduk di belakang meja besar dan tinggi.

“Barangkali mereka di tingkat bawah. Tidak pasti aras yang mana.”

Arigatou.”

“Azuchi, engkau bau apa-apa?”

“Aku bau Ryouji. Tetapi tidak kuat. Ia datang dari bawah sana.”

Mereka turun tingkat demi tingkat, sehinggalah Azuchi berhenti di sebelah dinding di tingkat tiga di bawah tanah perpustakaan itu.

“Tup, tup.” Azuchi mematuk dinding. “Aku fikir bau itu datang dari dalam. Ada bau Tsuneki dan Shinji sekali.”

“Di sini? Engkau yakin Azuchi?”

“Cubalah tolak.”

Hisamiko menolak perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia mendapati sebuah unjuran di situ.

Azuchi terbang rendah dan hinggap di atas penutup lantai di antara dua rak tinggi.

“Dari bawah ini.”

Hisamiko menekan-nekan. Penutup lantai itu terjungkit tiba-tiba, memeranjatkan mereka berdua. Hisamiko perlahan-lahan mengangkat penutup itu dan melepaskannya. Lubang terowong terpampang di hadapan mereka.

“Gelapnya.”

“Pelita itu masih bernyala sedikit Hisamiko.” Azuchi menghalakan paruhnya ke arah sebuah pelita yang belum dipadamkan, terletak tidak jauh dari muka terowong, di sisi salah sebuah rak buku besar. Minyaknya masih berbaki.

Hisamiko mengambil pelita itu, dan berhati-hati menuruni anak tangga menuju ke dalam terowong.

**

Berbalik kepada trio Ryouji di tebing gaung...

“Kalian, bantu aku simpulkan tali-tali ini sehingga panjang. Ikut simpulan yang aku akan tunjukkan.”

Ryouji dan Tsuneki mengangguk.

Selesai penghasilan tali yang panjang, mereka mengikat satu hujung pada tunggul kayu di situ. Mereka akan mencampakkan satu lagi hujung ke dasar gaung mengikut lokasi yang ditentukan Shinji.

Tiba-tiba Shinji mendengar sesuatu. Ia seperti bunyi lemah seseorang meminta tolong, datang dari dasar gaung di hadapan mereka.

“Tunggu sebentar...” Shinji melepaskan tali yang dipegangnya dan bergerak merapat ke tebing gaung. “Aku mendengar seseorang. Jeritannya lemah.” Dia mencorongkan tangan ke telinga, cuba mendapatkan isyarat yang lebih jelas.

“Di sini. Suara itu datang dari sini.”

Mereka mencampakkannya. Tali itu bergerak-gerak.

Mereka bertiga memerhati penuh tumpuan.

Oi! Kami akan membantumu!” Ryouji melaung ke arah gaung.

Dari jauh kedengaran bunyi sahutan, namun kurang jelas dan tidak dapat difahami. Hanya Shinji yang mendengarnya.

“Dia berkata ‘tunggu aku sedang memanjat ke atas’.” Shinji menyampaikan mesej dari gaung itu.

Tali itu bergoncang-goncang. Semakin lama ia semakin kuat. Ryouji mengangkat tali itu agar tidak bergeser dengan permukaan tanah berbatu yang akan memutuskannya.

Seorang lelaki dengan haori lusuh berwarna perang dan hakama hitam, koyak di sana sini, naik ke tebing seraya rebah tertiarap, tercungap-cungap keletihan.

Arigatou, kalian.”

Setelah keadaan lelaki itu sedikit baik, dia menceritakan kisahnya.

“Aku terperangkap di bawah bersama rakanku. Kami berpaut pada dahan pokok-pokok yang tumbuh di lereng curam gaung.”

“Di mana mereka?”

“Mati akibat kelemasan udara gaung. Aku sempat memanjat ke dahan lebih tinggi. Namun di sekitar mereka tiada dahan yang lebih tinggi, maka mereka dilemaskan udara gaung.”

“Bagaimana kalian boleh berada di situ?”

“Kami tinggal di seberang sana.” Lelaki itu menunjuk ke arah tebing seberang gaung yang ditumbuhi hutan sugi. Kami masuk ke daratan titian itu dan tersesat, sehingga kami menemui lereng gaung itu dan cuba memanjat ke atas. Sewaktu memanjat, kami melihat bawah dan menyedari daratan titian itu sudah bergantikan lohong yang gelap, serentak itu aku menyedari rakanku terjatuh ke dalamnya pabila dia melepaskan pegangan pada dahan pokok lereng.”

Aneh, getus Shinji. Jika dia penghuni seberang gaung ini, dia tidak akan dibenarkan masuk ke sini oleh kuasa Shirasaka bahkan tidak akan bertemupun tempat ini. Lelaki ini cuba menipuku!

“Orang muda, beritahu kisah sebenar kepada kami.”

Ryouji tersentak. Dia memandang Shinji yang merenung tajam lelaki itu.

“Aku tidak menipu kalian. Percayalah aku.”

“Engkau tinggal di seberang gaung itu bukan? Jika demikian engkau tidak akan dibenarkan masuk ke sini oleh kuasa Shirasaka!”

Lelaki itu tergamam.

“Kuasa Shirasaka akan membenarkan sesiapa yang sudah lama tinggal di sini terus tinggal di sini, termasuk seberang gaung itu.” Jelas lelaki itu, cuba membela dirinya.

“Bohong! Kuasa Shirasaka hanya melindungi gunung Kogen dan sempadannya ialah tebing gaung sebelah sini!”

Lelaki itu kehilangan hujah. Dia cuba bangkit untuk melarikan diri, namun kakinya yang tercedera membatalkan hasratnya. Ryouji ternganga mendengar pernyataan Shinji. Dari mana dia tahu semua ini?

“Shinji mana kau tahu semua ini?”

“Nanti aku beritahu. Seorang pengangkut barang bernama Musashi-san memberitahuku.”

“Engkau dari sini bukan? Apa kau buat di gaung itu? Beritahu kami perkara sebenar!” Ryouji pula mengambil urutan menyoalsiasat.

Lelaki itu masih mendiamkan diri.

“Engkau dari penjara Kogen bukan?” Shinji tiba-tiba membuat tekaan dengan yakinnya.

“Hah?” Ryouji terkejut, memandang Shinji.

“Sewaktu aku dan Tsuneki ditahan di lokap selepas keluar tanpa kebenaran, kami melihat tahanan yang akan dihantar ke penjara Kogen dibawa keluar. Di tangan mereka ada gelang itu.” Shinji membisik, dan menunjuk ke arah tangan lelaki itu. Gelang logam itu berkunci, dan dipasang pada sebelah tangan sebagai penanda.

“Benar. Aku melarikan diri.”

Ryouji pantas mendekati lelaki itu.

“Pemuda, di manakah letaknya penjara Kogen? Di mana?!” Ryouji memegang dan menggoncangkan bahu lelaki itu.

“Aku tidak akan kembali ke sana!”

“Penjara Kogen terletak di satu tempat tersembunyi...” Shinji cuba memberitahu Ryouji, namun Ryouji tidak mengendahkan, masih menumpu pada tahanan mereka.

“Sebentar. Engkau... engkau Kentaro bukan?” Ryouji merenung tajam wajah lelaki itu. Ia kurang jelas dek rambut panjang yang menutup wajahnya dan mukanya dicemari celoreng dari tanah-tanah gunung  dan misai beserta jambang yang tidak dicukur. Namun wajahnya kian jelas tatkala Ryouji duduk mengadap dan merenungnya kala ini.

“Ryouji...engkau kenal dia?” Shinji menyoal. Tsuneki pula hanya duduk memerhati mereka sedari tadi.

Lelaki itu mengangguk. “Ya Ryouji. Mengapa engkau masih ingat aku? Dan mengapa engkau di sini?”

Kuso (sial)!” Ryouji tiba-tiba melepaskan tumbukan ke muka lelaki itu.

“Engkau pembunuh Keisuke!” Shinji dan Tsuneki pantas merangkul lengan Ryouji dan menariknya sekuat hati ketika dia mahu menendang lelaki bernama Kentaro itu.

“Hukumanmu belum habis dan engkau mahu melarikan diri pula ya! Di mana bangsat dua ekor itu? Di mana mereka? Di mana Satoru dan Michio?”

“Mereka sudah mati, Ryouji. Mereka mengikutku melarikan diri. Kami menyelinap keluar melalui sebuah terowong di penjara itu, sehingga tiba di penghujungnya. Kami mendapati Gaung Maut benar-benar di muka terowong itu. Aku keluar dan terus memanjat ke atas menggunakan dahan pokok lereng. Namun Satoru terjatuh langsung ke bawah, Michio pula lambat memanjat dan dilemaskan udara di gaung itu.”

Ryouji kembali duduk melutut, beransur tenang. Shinji dan Tsuneki melepaskan rangkulan mereka.

Previous: Bab 72
Next: Bab 74

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov