Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 88

 

Sonzaemon mengambil burung merpati yang ditembaknya jatuh itu.

 

Dia mengamati kakinya, mengambil gulungan kertas yang dilekatkan pada kaki itu dan membukanya.

 

Dia cuba membaca. Dahinya berkerut. Mukanya berubah kelat, seperti melihat tulisan pada buku-buku orang Belanda. Dia memandang rakannya kemudian merenyukkan kertas itu, dan menyimpan ke dalam sakunya.

 

“Dia menggunakan bahasa kod.” Sonzaemon bersuara hampa.

 

“Sebentar Sonzaemon, berikan burung itu padaku.” Ootoshi meminta.

 

“Engkau hendak buat apa? Mahu memakannya?”

 

“Tidak, aku ingin memeriksanya.”

 

Ootoshi membelek-belek bangkai burung itu. Dia mengeluarkan beberapa ekor hama dari bawah bulu pelepahnya.

 

“Burung ini penuh hama dari biasa, bererti dia dikurung di tempat tertutup dan lembap. Aku fikir di bumbung yang banyak bocor dan terdedah pada lembapan salji atau air hujan. Berapa lama masa yang kita ambil dari keluar dari rumah Hamada tadi sehingga engkau menembaknya?” Tanya Ootoshi.

 

“Aku tidak ingat.”

 

“Barangkali kita perlu memeriksa semua loteng di pekan Kawamoto.” Satoshi menambah.

 

“Mengapa pula?”

 

“Bangunan dengan loteng hanya terdapat di situ. Aku syak bangunan bugyou.” Terang Satoshi.

 

Mereka dikejutkan dengan kawanan merpati, dalam empat ekor, berterbangan ke arah yang berlainan.

 

“Bangsat! Kogen sudah tahu.” Sonzaemon cuba menembak burung-burung itu sehingga habis pelurunya, namun tidak mengena.

 

Sementara itu, Kazuhito baru sahaja melepaskan semua merpati-merpatinya di bumbung bangunan bugyou.

 

“Maafkan aku. Aku terpaksa menutup tempat ini, mereka sudah menjejakiku. Semua seratus merpati ini akan kulepaskan ke destinasi rumah mereka masing-masing.” Kazuhito berbisik sendirian, sambil memerhati orang-orang Shizuo sedang menunggunya di luar bangunan itu, dari balik rekahan dinding kayu di loteng itu.

 

Maafkan aku Kogen! Kazuhito melarikan diri sekali lagi mengikut laluan bumbung, sambil dikejar Shizuo buat kali kedua. Namun sekali lagi, Shizuo gagal. Kazuhito meniup jarinya memanggil kuda dan bergegas menuju Shirasaka.

 

Omi-san, mengapa engkau tidak meletakkan tama-no-iwa di sini?

 

**

 

Sonzaemon membawa pulang kertas itu ke rumah Hamada.

 

“Engkau masih tidak ke sana?” Hamada menyoal sebaik melihat Sonzaemon di hadapannya.

 

“Aku fikir mereka sudah tahu. Aku perlu menunggu masa yang sesuai.”

 

“Hamada-sama, aku mahu berjumpa pengintip Kogen dalam tahananmu. Aku mahu mereka memecahkan kod ini.”

 

“Semoga berjaya.” Hamada tersenyum sinis. Sonzaemon bingung melihatnya.

 

Hamada, aku mahu menggugat kepercayaan Omi terhadap pengintipnya. Dengan pengunduran sementara ini aku akan membina tanggapan Omi bahawa mesej kepadanya telah dibocorkan orang Kogen yang sedang dalam tahananmu. Bahkan, selepas mereka melepaskan semua merpati di sini, pengintip mereka tidak lagi akan dapat menghantar maklumat. Menggunakan kesempatan ini, kita boleh menculik gadis-gadis pengemis di tempat lain juga, bukan hanya di Nambashi. Aku tahu di Onuma juga banyak gadis pengemis, juga di Furukawa dan Kisennuma. Bahkan di sini di Kawamoto ini pun.

 

Di bilik tahanan...

 

“Engkau boleh membunuhku, aku tidak akan sekali-kali membocorkannya!

 

“Apa yang engkau dapat, dari kesetiaan membabi buta sebegini?”

 

“Kogen menjagaku dari kecil. Jika bukan kerana mereka, aku sudah mati kebuluran di tengah-tengah pekan. Aku membela mereka dengan nyawaku!”

 

Besi panas itu dicucuh Sonzaemon ke peha pemuda itu. Terkencing dia menahan sakitnya sedang mulutnya berteriak terseksa. Pemandangan di bilik itu seperti neraka, dengan bau hancing dan busuk najis dari tahanan yang diseksa, dan arang pembakar besi memenuhi ruang udaranya, sedang cahaya api dari pelita menerangi. Pemuda itu digantung pada siling kedua-dua belah tangannya.

 

Tidak lama kemudian, pemuda itu pengsan, di mana ini adalah kali kelima pengsannya. Sonzaemon tidak dapat meneruskan soal siasatnya.

 

Buat masa ini hanya ada dua tahanan Hamada. Seorang lagi sudah tenat di bilik sel sebelah. Yang lain sudah tiada, dibunuhnya dengan diseksa begini. Sejak Hamada menjadi daimyo – sekarang gabenor – bilangan semua tahanan Kogen yang pernah ditahannya berjumlah seratus orang, namun kadar tangkapan semakin berkurang apabila para pengintip itu semakin arif. Semua seratus orang itu sudah mati kecuali dua orang ini.

 

**

 

“Nampaknya mereka tidak akan membongkarkan kod mereka.” Sonzaemon memberitahu Hamada. “Jika bukan kerana mereka berdua tahanan Kogen yang masih berbaki dalam tahanan kita, sudah pasti aku tidak teragak-agak untuk menyeksa mereka sehingga mati.”

 

“Aku benar-benar hairan bagaimana para ahlinya begitu setia dengan Kogen. Sejak aku menjadi daimyo sehingga kini, aku masih belum dapat memperolehi apa-apa maklumat berkenaan mereka.”

 

“Aku fikir ini peluang baik buat kita Hamada-sama. Tidak mengapa jika tiada kod itu. Kita boleh melencongkan rancangan kita ke tempat lain.”

 

“Maksudmu?”

 

“Kita akan cuba di Saikawa. Kogen sudah melepaskan semua merpatinya di Kawamoto. Komunikasi mereka dengan pengintip di sini sudah terputus.”

 

“Saikawa? Dan mengapa pula mereka melepaskan semua merpati mereka?”

 

“Aku tidak pasti. Sebentar, di mana Shizuo siang tadi?”

 

Hamada mengangkat bahunya, tidak ketahuan.

 

“Tentang Saikawa itu, aku baru mendapat maklumat. Ada ramai gadis yang mengemis di sana.”

 

**

 

Kazuhito bertemu Omi.

 

“Omi-san, maafkan aku!”

 

“Kazuhito-san, aku harap kesilapan ini tidak berulang lagi.”

 

Kazuhito masih duduk melutut sedang Omi berdiri di hadapannya, di dalam bilik pejabatnya di tanah tinggi itu. Pejabat Omi bersebelahan dengan dewan besar ber-tatami, di dalam sebuah rumah yang bumbungnya diperbuat daripada jerami tebal. Pejabatnya tidaklah terlalu besar, dan hanya dapat memuatkan lima orang sahaja pada satu-satu masa.

 

“Kazuhito-san, aku baru mendapat berita. Orang-orang kita di Nambashi memberitahu tiada orang Hamada yang datang ke sana.”

 

“Apa?”

 

Sebentar, bukankah Sonzaemon bertolak sejurus menerima arahan dari Hamada pada pagi ini? Apakah dia berundur kembali selepas menembak merpatiku? Apakah dia memahami tulisan kami?

 

“Omi-san, aku bersumpah aku telah mengkodkan tulisanku. Aku tidak pasti sama ada orang-orang kita dalam tahanan Hamada telah membongkarnya.”

 

Sial! Apa permainanmu Sonzaemon?

 

“Kazuhito-san, rumah merpati di loteng bugyou itu ialah pangkalan utama merpati kita di Kawamoto. Sekarang, selepas engkau melepaskan semua merpati-merpati itu, Hamada mengetahui kita sudah tiada pengantara dengan Kawamoto, maka melakukan aktiviti menculik gadis-gadis menjadi mudah. Bukan hanya di Nambashi, malah di tempat lain.”

 

“Bagaimana dengan merpati dalam jagaan pengintip kita di sana? Aku telah menggunakan merpati Sagaya.”

 

“Memang setiap mereka ada membela seekor. Untuk kecemasan. Selagi boleh aku tidak mahu menggunakannya kecuali dalam kecemasan. Kazuhito-san, disebabkan engkau telah lama berkhidmat denganku dalam bahagian tugas khas, aku mempercayaimu. Aku yakin dengan kebolehanmu. Disebabkan itu engkau dilantik sebagai ketua pengintip baru di Kawamoto.”

 

Kazuhito masih tunduk, tidak berani mengangkat mukanya. Dia tahu dia telah melakukan kesilapan besar. Kesilapan yang bermula dari kemunculannya di rumah Hamada yang disedari oleh Sonzaemon.

 

“Kazuhito-san, jangan sia-siakan kepercayaanku. Sediakan secepat mungkin pangkalan rumah merpati baru di sana. Sementara itu, nasihatkan para pengintip kita agar berhati-hati menghantar mesej melalui merpati mereka.”

 

“Baik, Omi-san. Sekali lagi, maafkan aku!”

 

Sebentar, aku ingin memudahkan kerjaku. Bagaimana jika aku meminta tama-no-iwa bagi melindungi rumah merpati baru itu?

 

“Bukan aku tidak mahu meletakkannya di sana. Tama-no-iwa tidak membenarkan kemasukan apa jenis binatang pun kecuali yang masuk bersama dengan orang yang dibenarkan batu itu. Aku bimbang burung yang kuhantar ke sana tidak dapat memasukinya.” Omi memberikan jawapannya. Omi tidak membongkarkan bahawa hanya hayabusa Ayame dan Hisamiko yang boleh memasukinya tanpa pengiringan.

 

Memang benar, aku pernah menghuni rumah perlindungan Kogen sewaktu kecil. Tidak pernah seekor pun binatang memasuki rumah perlindungan kami seperti kuda, kecuali diiringi oleh orang yang dibenarkan memasukinya. Binatang yang wujud di dalam rumahku itupun memang sudah sedia wujud di situ. Dan mereka tidak boleh keluar darinya sehingga batu itu runtuh.

 

Kazuhito bergegas kembali ke Kawamoto.

 

Omi kebingungan. Apakah orang-orangku yang ditahan di sana sudah membelot? Tidak, tidak pernah seorangpun sebelum ini. Bahkan mereka sanggup mati dari membocorkan rahsia. Aku yakin, Hamada hanya menggertak kami.

 

 

**

 

Awal musim bunga, 1873.

 

Ryouji memanggil Hisamiko mengikutinya ke kaki pergunungan Tateyama di bawah Kogen-no-shita, di sebuah tanah lapang yang ditumbuhi bungaan liar.

 

“Hisamiko, aku tahu engkau telah menguasai sehingga jurus kelapan hanya melalui pengamatan dan penghafalan. Engkau juga telah membuktikan kebolehan bertarung menggunakan senjata.”

 

Hisamiko hanya mengangguk. Dia tahu abangnya merujuk kepada peristiwa dia menewaskan penyerangnya bersama Tsuneki.

 

“Ada apa onii-san membawaku ke sini?”

 

Ryouji mengeluarkan sebilah pedang bersarung dari pinggangnya yang disisip rapat dengan pedang Saishi-tounya, namun pedang bersarung ini bersaiz lebih pendek dan lebarnya lebih kecil. Sesuatu yang sedari tadi diperhatikan Hisamiko namun dia tidak bertanyakan apa-apa. Dia memegang pedang kecil itu dengan kedua-dua belah tangannya dan menghulurkan kepada Hisamiko.

 

“Di tanganku ini pedang Saishi-tou yang ditempa khas oleh Shinji untukmu atas permintaanku. Pedang ini tidak bermata. Ambillah, engkau tuannya sejak hari ini.”

 

Arigatou, onii-san!” Hisamiko teruja seraya mengambil pedang itu. Dia membelek-belek dan mengeluarkan bilah dari sarungnya. Dia melihat pantulan wajahnya pada bilah yang berkilauan, yang memantulkan cahaya matahari pada hari yang redup di tengah-tengah musim panas di kaki pergunungan Tateyama. Cantik pedang ini, fikirnya. Shinji pastinya tahu apa yang perlu dilakukan. Kemudian, dia menghayun-hayunkannya, ringan fikirnya. Sesuai dengan tangannya yang kecil. Sememangnya pedang ini direka khas untukku.

 

Sebentar, bagaimana dia mampu menanggap kekuatanku? Dia tidak pernah pula memanggilku sewaktu dia menempa pedang ini.

 

“Hisamiko, mulai hari ini aku akan melatihmu mengawal rusuhan tenaga. Aku tahu engkau masih belum mahir jurus kedua.”

 

“Baik onii-san. Aku pun sudah lama ingin mempelajarinya.”

 

“Jurus kedua penting bagi melepaskan dirimu dalam pertarungan yang tidak dapat engkau menangi. Ia juga jurus kecemasan jika rusuhan tenaga menguasai tubuhmu, bagi melepaskan tenaga berlebihan ke persekitaran.”

 

Jurus kedua ialah jurus yang tidak dapat dipelajari dengan pengamatan. Ia amat bergantung kepada kesesuaian regu. Oleh itu, petarung jurus kedua mesti berlatih dahulu dengan regunya, atau regunya mestilah sesuai secara semulajadi, seperti kembar. Maka, jurus ini tidak akan dapat dimanfaatkan jika seseorang berada dalam kecemasan dengan lawannya namun regunya yang serasi tiada, atau tidak pernah berlatih dengannya. Meskipun puak Okuhida memiliki had tampungan tenaga yang tinggi berbanding manusia biasa, Hisamiko tetap diajar jurus kedua sebagai keperluan ketika kecemasan.

 

Ryouji membuka pencak. Hisamiko menurut sama. Mereka berdua bergerak berpusingan dengan Saishi-tou masing-masing, bersedia melakukan serangan pemula. Ryouji menyerang dengan jurus pertama. Hisamiko mengelak dan menghayun pedangnya ke leher Ryouji. Ryouji menahan dengan pedangnya dan menolak Hisamiko yang bertubuh ringan. Hisamiko tidak berundur dan menganjak ke jurus ketiga dan berpusingan di udara. Dia cuba menyerang dari udara ke arah Ryouji, sekaligus meningkat ke jurus keempat dengan pecutan graviti, dan dielak Ryouji dengan jurus kelima, kemudian menyerang dengan jurus ketujuh.

 

Pukulan dan penahanan berbalas-balas, sedikit demi sedikit sehingga masing-masing berada di jurus kelapan.

 

Mencabar! Aku tidak pernah bertarung dengan lawan sepantas ini. Barangkali hanya Ayame yang mungkin dapat mencapai kepantasan sama. Dia meningkat dengan pantas ke jurus lapan dan aku terkejar-kejar. Apakah kepantasan yang sama yang digunakannya ketika menyerang lima lelaki itu? Dia tidak langsung nampak dirasuk melihatkan matanya. Mungkin aku harus mengujinya dengan menegurnya.

 

“Sekarang Hisamiko!” Ketika di tengah-tengah jurus kelapan itu, Ryouji melaungkan isyaratnya untuk turun ke jurus kedua, bagi melatih Hisamiko bagaimana merencatkan rusuhan tenaga di jurus tersebut.

 

Hisamiko menurut.

 

Dia sedar! Menakjubkan, kerana ini bermakna kepantasan itu dari dirinya tanpa bantuan mana-mana kuasa luar seperti hayabusa-no-kami. Kepantasan hasil dari latihan kaminari.

 

Ryouji menjejakkan kakinya ke bumi, merendahkan pusat graviti demi menstabilkan badan, dan memusing-musingkan badannya dengan sebelah kakinya mendepang seperti jarum jam sementara hujung tapak kaki yang sebelah lagi melekap pada bumi, badannya berpusing berpusatkannya bagi membina momentum. Momentum putar badannya akan meningkatkan geseran dengan zarah-zarah udara bagi melepaskan tenaga berlebihan.

 

Hisamiko mengikut sama, dan pabila putaran mereka semakin perlahan, mereka masing-masing mendekatkan badan dan memegang tangan masing-masing dan berpusingan berdua. Selaku pemedang handal, Hisamiko memiliki had tampungan tenaga yang lebih tinggi dari Ryouji, maka Ryouji perlu mengalirkan lebihan tenaga  kepada Hisamiko atau rusuhan tenaga akan memakan dirinya. Namun, disebabkan beza had tampungan tenaga antara mereka dan tubuh Hisamiko yang kecil, pengaliran tenaga mendadak dari Ryouji ke Hisamiko berlaku.

 

Hisamiko rebah tiba-tiba, tangannya memegang kepalanya.

 

Ryouji kembali ke keadaan normal.

 

“Hisamiko!” Ryouji kaget, dia melihat hidung Hisamiko berdarah.

 

“Aku tidak apa-apa, onii-san. Kepalaku sedikit pening.” Hisamiko bangun perlahan-lahan, namun rebah juga.

 

Ryouji tidak mempedulikan kata-kata Hisamiko, dia segera mengendong Hisamiko membawanya ke bilik rawatan di atas sana.

 

**

 

Tidak lama selepas peristiwa Hisamiko tercedera sewaktu berlatih, Hisamiko bertemu Ryouji sekali lagi di dataran di hadapan rumah perlindungan mereka di Kogen-no-shita.

 

Onii-san, aku mahu berlatih lagi.”

 

“Tidak Hisamiko. Engkau akan tercedera lagi.”

 

Onii-san no baka (Ryouji bodoh)!” Hisamiko tiba-tiba meluru ke arah abangnya sambil menghunus Saishi-tounya.

 

“Hisamiko...apa yang merasukmu?!”

 

Onii-san, bertarung denganku, atau engkau akan dipukul Saishi-tou ku ini.”

 

Hisamiko terus menghayun pedangnya dan Ryouji mengelak sebelum mengambil kesempatan mengeluarkan Saishi-tounya. Dia terpaksa melayan Hisamiko. Dia tahu kedegilan Hisamiko.

 

Aku tidak boleh berputus asa. Sama ada aku mati kerana berlatih, aku tidak peduli. Aku mahu menjadi kuat. Jika tidak lebih ramai akan menjadi mangsa seperti Nariko nee-chan, seperti Chisato-nee chan, seperti Mariko-san, seperti Azusa dan Saki-nee chan! Aku perlu menjadi kuat, demi mereka, demi diriku, demi onii-san.

 

Hari ini, aku akan memaksa onii-san yang bodoh ini melatihku. Aku tahu bagaimana menyingkirkan rusuhan tenaga. Aku tahu, dan aku akan buktikan hari ini. Kerana memori dan pemerhatianku tajam. Aku tahu mengapa aku tercedera pada hari itu.

 

Sekian lama bertarung, mereka berada di jurus kelapan. Ryouji memberi isyarat, seperti sebelumnya, agar Hisamiko turun ke jurus rendah. Hisamiko menurut.

 

Ketika berada di jurus kedua, ketika mereka berpusingan bersama seperti latihan sebelumnya, Hisamiko menghayun badan abangnya sekuat hatinya sedang Saishi-tounya dilepaskan bagi meningkatkan tumpuan. Ryouji terkejut, dan sejurus selepas itu, mereka kembali ke keadaan sebelum pertarungan. Hisamiko tidak tercedera, hanya keletihan.

 

“Hisamiko...bagaimana engkau melakukannya?”

 

“Pada hari itu, ketika aku tercedera, aku hanya menerima dan mengikut gerakanmu. Tenagamu telah dialirkan mendadak kepadaku, disebabkan itu aku tercedera. Namun kali ini, aku cuba memusingkan badanmu dengan sekuat hatiku dan melepaskan Saishi-tou dengan harapan pusinganmu yang lebih pantas akan menghindar tenaga itu dari menempati tubuhku.”

 

Ryouji berdiri, menghulurkan tangan kepada Hisamiko yang sedang duduk. Hisamiko menyambut tangannya dan bangun. Mereka tersenyum kepada satu sama lain.

 

Hisamiko, engkau telah berubah. Peristiwa-peristiwa yang menimpa kita berdua sejak kematian otou-san telah mengubahmu. Engkau telah menjadi kuat. Sehingga aku sendiri pun tidak pasti apakah aku mampu mengawalmu. Engkau menjadi seperti seekor burung yang bebas, tanpa kongkongan. Hisamiko, terima kasih. Terima kasih kerana memaksaku hari ini. Terima kasih kerana tidak mengalah dengan sikapku. Terima kasih Hisamiko. Arigatou, hontou ni!

 

**

 

Pertengahan musim bunga, 1873.

 

“Kotobuki, apakah engkau masih mahu meneruskan hidup sebagai sami?”

 

Kotobuki menoleh memandang wajah Omi, hairan dengan soalan itu. Dia sedang termenung di hadapan taman zen di depan pejabat Kogen, ketika Omi datang menegurnya.

 

“Mengapa engkau bertanyaku begitu, otou-san?”

 

“Aku sudah terlalu tua, Kotobuki. Umurku sudah 96 tahun. Bila-bila masa sahaja aku akan pergi, dengan sakit-sakitku ini. Dan hanya kita bertiga waris keluarga Shirasaka yang masih tinggal di dunia ini.”

 

Kotobuki mengangguk mengiyakan. Dia sudah dapat mengagak baris seterusnya yang akan dituturkan oleh bapanya.

 

“Kotobuki, tinggalkanlah dunia kesamian. Pimpin pertubuhan ini.”

 

Seperti yang telah dijangkakan.

 

Otou-san, aku...”

 

“Engkau tidak yakin dengan kepimpinanmu? Engkau mahu hidup yang tenang dan tidak berminat dengan hal ehwal manusia dan politik?”

 

Kotobuki mendiamkan diri, hanya membenarkan kata-kata Omi di dalam hati. Dia pernah meluahkan perkara tersebut kepada ibunya, dan ibunyalah yang menyampaikannya kepada Omi.

 

“Kotobuki, makna dari pendekatan dirimu kepada kerohanian, datang dari bakti kepada manusia lain. Aku harap engkau menemuinya jua. Anak-anak kita itu, masih memerlukan rumah-rumah perlindungan yang kita dirikan. Perlindungannya akan lenyap sebaik puak kita pupus. Oh ya, bagaimana dengan cadanganku mengahwinkan Ayame dengan Ryouji? Engkau sudah mengubah fikiranmu?”

 

“Aku masih tidak bersetuju dengan cadangan itu. Ryouji punya pilihan hatinya. Ayame juga.”

 

“Kotobuki, fikirkan, hanya dengan perkahwinan ini, kuasa Okuhida akan diserap masuk ke dalam puak kita, selain penerusan keturunan Shirasaka. Dan kita akan memiliki lembah Okuhida dan mengembangkan pangkalan kita di selatan Honshu. Dengan memiliki pecahan majoriti kuasa hayabusa, kita juga akan dapat menghapuskan kuasa hayabusa dalam pemilikan Hamada.”

 

“Dan Ryouji, dia tidak akan hidup lama. Selepas dia pergi, hanya Hisamiko seorang sahaja yang tinggal dari puak mereka dan dia akan berada di dalam kawalan kita. Kita akan memiliki dua orang pemedang handal.”

 

“Itu tertakluk sama ada Hisamiko akan taat dengan kita.” Kotobuki mengingatkan Omi akan syaratnya. Sebuah syarat yang amat sukar disangkal.

 

“Aku akan memaksanya taat. Jika dia memberontak, kita akan gunakan Ayame untuk menghapuskannya.”

 

Otou-san, aku tahu cita-citamu. Engkau mahu berkongsi kuasa dengan Maharaja bukan? Dengan kuasa lapan persepuluh hayabusa, engkau mahu mencabar Maharaja agar berkongsi kuasa bukan?

 

Otou-san, kadangkala aku berfikir, alangkah baiknya jika engkau mati secepat mungkin dan pertubuhan ini diserahkan kepada Maharaja untuk diselia baginda. Aku tidak langsung berminat dengan kegilaanmu ini. Dan, mengahwinkan Ayame dengan Ryouji? Bagaimana dengan Ayame selepas Ryouji mati? Otou-san, bagaimana dengan emosi Ayame? Ia tidak semudah yang kau sangka. Jurang umur mereka amat besar.

 

**

 

Beberapa bulan kemudian, di awal musim panas 1873. (Ryouji berumur lapan belas tahun)

 

Ryouji dipindahkan ke dalam pasukan tugas-tugas khas Kogen yang diketuai Goryuuin. Turut dipindahkan adiknya Hisamiko, dan Tsuneki. Mulai dari penyertaannya dalam pasukan Goryuuin, dia akan terlibat dalam penggagalan rancangan-rancangan Hamada.

 

Ini peluangku. Aku tahu, mengeluarkan Hamada mungkin mustahil namun aku yakin, dengan bersungguh-sungguh di dalam tugas sebegini, aku pasti akan dapat melemahkannya dan dia akan keluar juga satu hari nanti. Aku akan pastikan tiada satupun rancangan penculikannya terlepas dariku. Aku akan pastikan dia merana tanpa pengaruh dan sumber kewangan.

 

Berdasarkan maklumat dari pasukan pengintip, Hamada akan menghantar orangnya menculik gadis di Saikawa, sebuah pekan yang terletak di timur Jooryoku. Hamada menukar sasaran kepada Saikawa atas nasihat Sonzaemon setelah maklumat berkenaan rancangannya di Nambashi bocor kepada Kogen.

 

Perancangannya hanya dapat dilakukan sekarang, setelah berbulan-bulan berlalu sejak Kazuhito melepaskan merpati-merpati Kogen di Kawamoto. Ini kerana laluan ke Saikawa yang merentas hutan belantara dan melibatkan logistik kereta kuda yang akan membawa keluar gadis-gadis dari pekan itu.

 

Kesilapan Koyasu Kazuhito, ketua pengintip baru di Kogen yang berpangkalan di Kawamoto yang telah memusnahkan infrastruktur komunikasi Kogen di sana telah menyukarkan komunikasi Kogen dengan pengintipnya di sana. Hamada menggunakan peluang ini bagi merancang penculikan anak-anak gadis di pekan yang lain, iaitu di Saikawa. Namun ia masih berjaya dibongkarkan kepada Kogen, meskipun agak lewat.

 

Pasukan tugas-tugas khas Goryuuin akan bergabung dengan pasukan tugas-tugas khas di Nambashi, Wilayah Jooryoku yang diketuai Takehito bagi melindungi penduduknya.

Previous: Bab 87
Next: Bab 89

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov