Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 36

"Saki!"

 

Saki tidak mengendahkan panggilan Takasaki. Dia cemas. Azusa tidak pulang-pulang dari kuil seberang sejak semalam.

 

Dia berjalan laju menuju gerbang buluh.

 

“Takasaki-san, maaf, aku harus pergi menyelamatkannya. Dia satu-satunya ahli keluargaku yang tinggal.”

 

“Saki!” Takasaki tidak mengendahkan kata-kata Saki dan terus menghalangnya, sambil dibantu Mariko.

 

“Saki, dengari aku. Mereka berdua selamat di kuil Furukawa. Kotobuki sami di situ mengutus surat memberitahuku. Ini.” Takasaki menyuguh surat itu kepada Saki.  

 

Saki membaca. Dia terduduk lega selepas mengetahui kakaknya sedang bersama Chisato dalam keadaan selamat.


Takasaki telah menulis surat palsu itu demi melegakan Saki dan mengelakkan lebih banyak masalah timbul apabila lebih ramai ahli rumah itu keluar tanpa kebenarannya. Kotobuki, aku mengharapkan engkau dan Ayame memastikan keselamatan mereka. Maafkan aku!

 

**

 

Sayonara, Hatsuki, Natsuki. Sehingga bertemu lagi kalian.”

 

Selepas masing-masing mengucapkan selamat tinggal, Hisamiko, Shinji dan Ryouji mula melangkah pulang, setelah berehat semalaman di kuil itu.

 

Azuchi mula menampakkan dirinya di atas mereka, mengekori ke mana sahaja arah laluan Hisamiko. Shinji dan Hisamiko kelihatan tenang, hanya Ryouji yang kerapkali mengelamun sepanjang perjalanan, sehingga Hisamiko menyedarinya.

 

Onii-san, engkau tidak apa-apakah?

 

“Aku baik-baik sahaja, Miko. Engkau tidak perlu risau.”

 

“Engkau mengelamun sahaja hari ini."

 

Ryouji tidak menjawab. Dia teringat kemarahan yang cuba disimpan sejak semalam. Kemudian dia meluahkannya.

 

“Miko, mengapa engkau keluar dari rumah berseorangan begini?”

 

“Aku risaukan engkau, onii-san. Engkau keluar tanpa memberitahuku. Dan aku tidak berseorangan. Aku bersama burung itu.” Hisamiko menunjuk ke arah Azuchi.

 

“Miko, ini misiku. Engkau tidak boleh menyertaiku tanpa kebenaran Takasaki. Engkau masih belum matang melakukan serangan.”

 

“Misi? Onii-san, apa yang engkau perkatakan? Engkau berkhidmat kepada siapa?”

 

Ryouji tergamam. Dia tidak sepatutnya memberitahu Hisamiko.

 

“Miko, engkau tidak perlu tahu. Ia antara kami dan Takasaki. Engkau belum matang dalam pertarungan, Miko.”

 

Onii-san, bukankah kita telah berjanji akan ke mana-mana bersama? Apakah engkau sudah lupa?”

 

“Aku tidak mahu kehilanganmu Miko. Engkau masih ingat bukan kejadian di hutan Furukawa? Aku rasa lebih baik engkau berdiam di rumah sahaja kerana itu lebih selamat.”

 

“Aku risaukan engkau juga onii-san!. Engkau pulang tercedera dahulu selepas keluar tanpa kebenaran. Engkau satu-satunya ahli keluargaku yang tinggal.”

 

Perbualan mereka terhenti menyedari bunyi ranting patah dipijak. Dari celah-celah semak muncul seorang lelaki berlilit kepala.

 

“Budak, kita bertemu lagi.”

 

Ryouji teringat lelaki tersebut yang hampir memancung kepalanya semalam. Mengapa dia kembali mencariku?

 

“Apa yang engkau mahukan kali ini? Beredar dari kami sekarang!”

 

“Apakah aku layak menerima kata-kata sebegitu, sedangkan engkau yang menyerang kami semalam?

 

Budak, ayuh ikuti aku dan kamu akan selamat.”

 

“Apa yang engkau mahu dari onii-san?!” Hisamiko memberanikan diri bersuara.

 

“Engkau sungguh berani, budak perempuan.” Lelaki itu, Shizuo berkata sambil memandang Hisamiko. Comel, fikirnya. Mungkin aku boleh menawarkan harga yang tinggi kepada pemerdagang karayuki.

 

“Namun ini antara aku dengan abangmu. Engkau akan aku uruskan kemudian.”

 

“Hisamiko, Shinji, kalian ke tepi. Biar aku yang uruskan lelaki ini.” Ryouji mengarahkan. Shinji berundur jauh dari mereka, namun Hisamiko enggan.

 

Onii-san, biarkan aku bertarung denganmu."

 

“Miko! Dengar kataku. Beredar jauh dan biarkan aku saja yang menguruskan lelaki ini.”

 

Hisamiko mengundur keberatan, mendengar Ryouji menengkingnya. Lelaki itu tiba-tiba menerpa ke arah Hisamiko dengan lajunya dan mahu menangkapnya, bertentangan dengan apa yang dia telah perkatakan iaitu menyerang Ryouji dahulu, namun dia terpaksa menghentikan pergerakannya dan mengelak pabila Ryouji dengan pantas menghayun pedangnya ke arah lelaki itu.

 

“Lari, Hisamiko!”

 

Hisamiko lari ke arah Shinji. Sekarang baru dia menyedari bahayanya. Lelaki itu bukan sembarangan lawan. Dengan badan yang besar dan tinggi begitu, amat mudah untuk dia menewaskan Hisamiko.

 

“Engkau anak Miura bukan?” Lelaki itu bertanya sedang pedang mereka masih terhunus, menanti sambungan pertarungan bila-bila masa.

 

Bagaimana dia tahu tentang bapaku?

 

“Miura bekas guruku sewaktu dia berkhidmat kepada Hamada. Hanya dia yang mampu melakukan jurus kesembilan kerana darahnya. Dan engkau budak, aku lihat engkau melakukan jurus kesembilan ketika bertarung semalam.”

 

Jurus kesembilan? Apa yang dia sedang merepek ini? Aku masih mencari jurus itu.

 

“Aku tidak faham apa maksudmu.”

 

“Jurus itu tidak diajarkan. Ia hanya boleh dicapai dari pertarungan dan latihan yang kerap, dan jika engkau datang dari darah keturunan yang mengikat perjanjian dengan hayabusa-no-kami seperti keturunan Miura, mencapainya menjadi lebih mudah tanpa senjata khas. Budak, ikuti aku.”

 

“Mengapa aku perlu mengikutmu? Nyah engkau dari sini. Aku tidak akan bersekongkol dengan pemerdagang anak gadis.”

 

“Aku akan bertarung denganmu. Jika engkau kalah, engkau harus mengikutku.”

 

“Kalahkanku jika engkau mampu.” Ryouji membuka pencaknya. Hari itu cerah di awal musim bunga 1871 meskipun suhu agak sejuk. Mereka berada di celah-celah hutan sugi di selatan pergunungan Hidagawa, di kawasan perbukitan yang beralun yang lantainya dipenuhi akar menjalar.

 

Hisamiko dan Shinji berlindung di sebalik semak melihat pertarungan itu. Azuchi pula sedang bertenggek di atas sebatang pokok sugi.

 

Mereka bergerak berpusingan di atas dataran hutan yang tidak sekata dan beralun-alun itu, sekali sekala melihat bumi sekiranya ada akar yang menjalar. Ryouji menganjak selangkah demi selangkah dan Shizuo mengekorinya. Ryouji sengaja membawa mereka berdua ke tempat yang sedikit rata dan tiada akar menjalar bagi memudahkan pertarungan, sementara Hisamiko dan Shinji mengekori. Seketika kemudian bunyi desingan pedang berbalas-balas. Kaki Ryouji masih tercedera maka dia perlu berhati-hati dan perlu lebih tumpuan bagi menepis serangan ke atas bahagian yang tercedera.

 

Jurus kesembilan? Apa yang lelaki ini mengarut kepadaku? Sebentar. Bukankah Takasaki menghantar aku kepada misi ini juga sebagai peluang kepadaku untuk mencari jurus kesembilan? Jika benar apa yang lelaki ini perkatakan, apa yang telah aku lakukan semalam sehingga berjaya melakukan jurus tersebut tanpa disedari?

 

Semalam, aku cuma bertarung seperti biasa, aku mengelak menggunakan jurus kelima. Kemudian, kemudian, seekor hayabusa melintas di atasku seperti selalunya jika Hisamiko berada berdekatanku. Dan kemudian, apa yang berlaku?

 

Apa yang berlaku sebenarnya? Bukankah selepas itu aku kesakitan di kaki dan tiba-tiba terbaring? Mengapa aku tidak dapat mengingat di antara lintasan hayabusa dengan kesakitan kaki? Apa yang telah berlaku sebenarnya?

 

Di saat itu, di taman bonsai, Takasaki termenung mengadap pohon shirakaba. Maafkan aku Ryouji, aku terpaksa membiarkan Hisamiko mengekorimu. Aku tahu dia akan sentiasa dilindungi hayabusa-no-kami. Dia akan menghantarmu seekor hayabusa. Hanya itu sahaja rahsia keluargamu untuk mencapai jurus kesembilan. Aku telah melihat pertarunganmu di gelanggang ketika burung itu sekali sekala melintas di atasmu dan setiap kali ia melintas, engkau secara tanpa sedar melakukan jurus tersebut. Aku kerap melihat pertarunganmu dengan Kobato, dan Kobato semakin lama semakin keliru. Dia berlatih bersungguh-sungguh, namun kemahiranmu sentiasa meningkat, sehinggalah ketika dia berjaya menguasai jurus kelapanpun, dia masih tidak berupaya mengalahkanmu.

 

Ryouji berbalas tetakan demi tetakan pedang. Dia menyedari yang Shizuo menggunakan pedang tidak bermata, sedang pedang bermatanya masih tersisip kemas di pinggang. Dia tidak bertujuan untuk membunuhnya. Dia hanya mahu Ryouji mengikutnya pulang.

 

Azuchi terbang ke atas mereka untuk melihat pertarungan dengan lebih dekat. Dan pada ketika itulah, Ryouji mula dikuasai pukauan hayabusa seperti yang dialaminya semalam. Dia tidak sedar apa yang sedang berlaku dan pergerakannya seperti dikawal oleh kuasa luar, seperti boneka. Kakinya yang tercedera bergerak normal seperti telah pulih. Shizuo yang sedari tadi menyerang dan Ryouji hanya banyak mengelak, kini menerima serangan demi serangan dari Ryouji, dan dia pula terpaksa mengelak dan mengelak. Berbanding semalam, Ryouji kini lebih tenang dan cermat mengawal tenaganya maka dia kekal dalam keadaan pukau itu lebih lama. Shizuo terduduk setelah bahunya ditetak oleh pedang tidak bermata Ryouji itu, barangkali tulang bahunya telah patah. Dia bingung dan ketakutan, seraya mengundur dan melarikan diri ke arah kudanya yang ditambat tidak jauh dari situ. Ryouji terbang mengejarnya, membeliakkan mata Shinji dan Hisamiko. Bagaimana dia boleh terbang? Shizuo pantas melompat ke atas kudanya dan melarikan diri sedang Ryouji masih terbang mengejarnya.

 

Azuchi pula terpegun melihat Ryouji. Dia terbang di atas Ryouji dan cuba mengekorinya.

 

Onii-san!” Hisamiko melaung memanggil Ryouji. Ryouji menoleh dan berpatah balik ke arahnya. Namun, dia bergerak laju sambil menghunus pedangnya ke arah Hisamiko.

 

Shinji berasa tidak sedap hati melihatkan Ryouji, lantas berdiri dan mendepangkan tangannya di hadapan Hisamiko. Namun, Ryouji, masih dalam keadaan pukau, cuba menyerang Shinji dengan tetakan pedangnya. Melihatkan cubaan serangan Ryouji, Hisamiko dengan pantas menolak Shinji ke tepi.

 

Onii-san, mengapa engkau...” Hisamiko sempat memandang mata Ryouji. Anak matanya membesar dan dia tidak menunjukkan sebarang perasaan, masih memegang pedangnya, bersedia untuk menyerang mereka sekali lagi. Dia mengangkat pedangnya, kemudian melibas ke pinggang Hisamiko. Hisamiko pantas mengelak, dan Ryouji mengejarnya, cuba menyasarkan serangan ke kakinya pula. Hisamiko mengelak, dan menyedari kakinya seperti bergerak sendiri, sama ketika dia bertarung dengan Funazuki, dan sama ketika dia mengelak tembakan peluru edamame. Seolah-olah dia sedang dibantu oleh kuasa luar.

 

Hisamiko berlari ke arah Shinji.

 

“Takeuchi-san, itu bukan onii-san. Kita harus melarikan diri.”

 

“Okuhida-san, apa yang engkau katakan?”

 

“Aku lihat anak matanya membesar seperti dirasuk sesuatu. Aku tidak tahu. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Aku kenal benar dia. Onii-san tidak akan bertindak sebegitu, menyerang engkau tiba-tiba. Ayuh, kita lari.”

 

Mereka melarikan diri. Namun Ryouji hanya mengejar Hisamiko, lalu terpisah dari Shinji.

 

Ketika menuruni bukit itu, Shinji tersampuk akar pokok, tergelincir dan berguling ke bawah. Tubuhnya terhenti pada sebatang pokok.

 

Hisamiko pula lari entah ke mana. Dia melarikan diri dengan pantas sehingga Ryouji benar-benar hilang dari pandangan. Kemudian dia terbaring keletihan di atas lantai hutan itu.


Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov