Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 99

Kata-kata Miura menerpa ingatan Ryouji, lama dahulu, ketika dia berlatih berpedang.

“Ryouji, jangan mudah memutus untuk membunuh, kecuali untuk mempertahankan dirimu. Persetankan bushidou, kita bukan samurai. Bushidou begitu mudah membenarkan samurai membunuh dirinya dan orang lain. Alasannya semudah kecalaran maruah, kesalahan tutur kata, kebiadapan.

Nyawa amat bernilai. Fikirkan, nyawa yang dicabut itu punya tanggungan, punya isteri, anak-anak dan ibu bapa. Selalu tekankan dalam dirimu bahawa hukuman bunuh hanya layak dijatuhkan oleh mahkamah dan undang-undang.

Jika engkau tiada pilihan dan terpaksa memilih untuk mencabut nyawa, dan agar engkau tidak menyesal kelak dengan pilihanmu, engkau harus membebaskan dirimu dari amarah, dari dendam. Lakukan ia demi melindungi dirimu, dan insan tersayang, dan masyarakat di sekelilingmu dan juga demi menangkap mereka untuk dihukum oleh undang-undang. Di era ini, penguatkuasaan undang-undang culas maka akan banyak situasi yang menimpa menuntut kita memutus sendiri. Jika engkau melakukannya kerana marah, kerana dendam, maka aku bimbang engkau akan dilemahkannya kelak.

Jangan sekali-kali engkau membunuh kerana dendam dan marah. Tenangkan dirimu, Ryouji, tatkala engkau memegang pedangmu. Betulkan niatmu. Engkau membunuh demi melindungi mereka, demi menguatkuasakan undang-undang. Jika engkau berjaya melakukan demikian, nescaya engkau tidak akan lemah. Nescaya awan yang mendung melindungi mentari dari menerangi hari-harimu berlalu. Dengan mengawal amarahmu.”

Aku membunuh dengan mandat Kogen. Demi melindungi Hisamiko dan Tsuneki, dan polis Kogen, dan penduduk pekan ini. Jika dia mengalah, aku akan menangkapnya untuk dibicarakan Kogen. Jika dia tegar pada kemahuannya, maka pedangku adalah jawapan.

Sementara itu, Tsuneki dan Hisamiko sudah berjaya menyusup keluar dari bangsal yang besar itu.

“Tsuneki, engkau perhati dari atas bumbung. Panah mana-mana dari mereka yang cuba menyerangku.”

“Serahkan padaku Hisamiko.”

Tsuneki memusingkan badannya di atas tanah berdebu itu, semakin lama putarannya semakin pantas, sekaligus menghamburkan debu ke sekeliling. Dia kini di jurus pertama. Menggunakan momentum yang dibina, dia pantas melompat ke atas bumbung. Beberapa orang di kiri dan kanan laluan berdebu itu terkejut melihatkan Tsuneki.

“Gouriki, mereka pastinya Kogen. Bukankah itu seni kaminari?” seorang lelaki muda berpakaian seperti ronin, iaitu sepasang yukata lusuh berwarna kelabu dan hakama perang gelap, menegur seorang lelaki pertengahan abad sebelahnya, barangkali ketuanya, tatkala mereka berdua memerhati Tsuneki melompat ke atas bumbung.

Mata lelaki pertengahan abad itu masih sedari tadi mengekori Tsuneki yang kini berlari pantas di atas bumbung, seolah-olah tidak menghiraukan kata-kata pembantunya. Sebaik Tsuneki mulai lesap dari pandangan, dia mengeluarkan arahan.

“Masubuchi, kerah orang-orang kita menangkapnya. Sekarang!” Ketua bernama Gouriki mengarahkan lelaki yang melapor kepadanya itu. Matanya masih melilau mencari Tsuneki yang sudah lesap di kejauhan.

“Baik, Gouriki!”

Hisamiko pula menyelinap masuk ke bangunan utama pusat sehenti polis yang mengawal pekan itu.

“Kalian, orang-orang Hamada mahu membakar tempat ini.”

Hisamiko sedang berdiri di muka pintu bangunan pusat itu. Dia perasan seseorang di belakangnya, seorang lelaki. Tsuneki di atas bumbung cuba memanah lelaki itu, namun dia berjaya mengelak menggunakan kaminari dan cuba menendang Hisamiko. Namun Hisamiko pantas mengelak tendangan dan sekaligus masuk ke dalam bangunan tersebut. Para polis yang sedang duduk di dalam bangunan itu keterpingaan melihatkan mereka. Sejurus kemudian, lelaki yang cuba menendang Hisamiko tadi mengunci pintu itu dari luar dan menyalakan puntung kayu kemudian mencampakkannya ke atas tanah yang sudah disimbah minyak tanah sebelumnya. Tsuneki cuba memanah lelaki itu sekali lagi namun dia mengelak dan melarikan diri pantas.

Api merebak dengan pantas mengellilingi bangunan polis itu. Ia membakar bawah, dan pantas merayap naik ke tingkat dua dan tiga, tingkat tertinggi bangunan di pekan tersebut.

Tsuneki turun dari bumbung. Dia cuba membuka pintu bangunan polis yang dikunci. Sebelah tangannya memegang hulu pedang. Dia tahu lelaki yang memulakan api tadi masih di situ, sedang bersembunyi dan menunggu dia turun. Sebaik menyedari lelaki itu di belakangnya, Tsuneki pantas mengeluarkan Saishi-tou dan melibas ke belakang. Tatkala lelaki itu mengelak, Tsuneki pantas menolak kayu sangga pada pintu itu dengan kakinya seraya membukanya. Asap hitam berkepul-kepul keluar dari muka pintu, seorang demi seorang keluar menyelamatkan diri. Hisamiko keluar, dia terbatuk-batuk.

“Hisamiko, engkau tidak apa-apa?”

“Aku tidak apa-apa. Lekas, kita harus bantu polis memberitahu penduduk di sini supaya melarikan diri.”

Kedengaran bunyi jeritan orang ramai tidak lama selepas itu. Hampir keseluruhan bangunan di pekan itu terbakar sekelip mata, menunjukkan bahawa orang-orang Honda sudah merancang dengan menyimbah bahan bakar di sekitar pekan itu awal-awal lagi, dan menyalakan api sebaik menerima isyarat dari Honda. Orang ramai bercempera lari menyelamatkan diri. Bangunan-bangunan di Narai-juku terdiri daripada bangunan-bangunan kayu dan kertas keras berupa rumah-rumah tumpangan, kedai teh, kedai soba, bangunan polis, pusat sehenti maklumat awam, bangsal kuda gantian dan bangunan rumah penduduk yang bilangannya sekitar seratus keluarga, yang semuanya pekerja di pekan tersebut. Jika Narai-juku musnah, maka pengembara dari barat Honshu yang melalui Nakasendo tidak akan dapat bermalam atau menggantikan kuda mereka di situ bagi meneruskan perjalanan ke sebelah timurnya. Mereka perlu memilih shukuba sebelum dan selepas Narai-juku yang tidak dilengkapi kemudahan-kemudahan tersebut.

Apa motif Hamada membakar shukuba ini? Mengapa dia semakin berani mencabar Maharaja?

**

Ketika Ryouji, Tsuneki dan Hisamiko tiba di kuil Furukawa kelmarinnya, Hamada mendapat berita dari pengintipnya yang mereka akan ke Yokuma. Hamada menghantar orang-orangnya berkawal sejauh Narai-juku.

“Hamada-sama!” Momota, pembantu Hamada menyeru namanya.

Hamada sedang duduk senang di anjung rumahnya mengadap taman bonsai, sambil membelek-belek kukunya yang panjang. Dia tidak menghiraukan Momota.

“Laporkan.” Hamada menyahut pendek, namun masih memandang kukunya.

“Dari pengintip kita, pewaris Higashihara dan anak-anak Miura sedang dalam perjalanan ke Yokuma. Mereka kini berada di Narai-juku.”

Hamada berpaling mengadap Momota. Berita itu nampaknya lebih menarik berbanding kukunya.

“Narai-juku?!”

Mata Hamada membeliak.

“Mengapa aku baru tahu sekarang? Arahkan Empat Terbilang sekarang menghabiskan mereka. Sekarang!”

“Baiklah, Hamada-sama.” Momota terpinga-pinga. Narai-juku dirasakannya masih jauh dari Yokuma. Mengapa gelabah benar orang tua pondan ini?

**

Ryouji, Shinsuke dan Kataoka masih di dalam bangsal, berhadapan dengan Honda dan tiga pembantunya.

Sedang Shinsuke dan Kataoka bertarung dengan tiga pembantu Honda itu di atas dataran bangsal yang berdebu, Ryouji berada di atas bumbung berhadapan dengan Honda.

“Honda, aku perlu membunuhmu. Jika engkau menyerah diri sekarang, aku akan menangkap dan membawamu ke Kogen. Di sana, engkau akan dihukum mati juga di atas jenayah kalian yang lain, namun engkau punya peluang diringankan hukuman jika engkau mengakui kesalahanmu. Jika engkau memilih untuk terus menyerangku, aku tiada pilihan selain membunuhmu.”

“Engkau benar-benar seperti bapamu nampaknya. Engkau sudah berubah sejak menyertai Kogen.”

“Aku tiada masa berbual panjang. Buat pilihanmu segera dan jangan membuang masa kami.”

“Aku hanya setia dengan Hamada dan aku akan mencincang mayatmu!”

“Cuba, jika engkau mampu!”

Tang! Bunyi pedang berlaga. Pedang Saishi-tou Ryouji melekap pada mata pedang Honda. Ryouji menarik pedang itu agar bergesel di sepanjang mata pedang Honda. Ia mengeluarkan bunyi yang mengilukan.

Dou, Honda?”

Pedang apakah ini? Selalunya ngilu yang terhasil tidak begini kuat.

Honda terjun dan mendarat di atas tanah. Ryouji menurut sama.

“Periksa mata pedangmu.”

Honda memerhati pedangnya. Matanya telah ditumpulkan.

“Honda, tiada gunanya lagi jika pedangmu tidak bermata. Menyerah diri sekarang.”

Honda mencampakkan pedangnya ke tepi. Dia ketawa.

“Engkau ingat semudah itu menewaskanku? Aku tidak akan menyerah!” Serentak itu, panah melayang ke arah Ryouji. Dia sempat mengelak. Ryouji sedar rakan musuhnya sedang bertarung dengan Kataoka. Dia sekali-sekali melihat mereka sambil mengelak panah. Berjaya. Salah satu dari panah itu mengenai pembantu Honda.

“Tak guna!” Honda memaki hamun.

Honda menghabiskan semua panah yang masih berbaki dengan memanah ke arah Ryouji. Namun, seperti biasa, semuanya gagal mengena. Honda dikuasai marah, lantas kembali mencapai pedangnya seraya berlari pantas menghunus ke arah Ryouji, terburu-buru, tanpa sebarang perancangan. Dalam fikirannya, dia hanya mahu menamatkan riwayat Ryouji.

Ryouji pantas menyimpan pedang Saishi-tou dan mengeluarkan pedang Miura yang dibawa, seraya melibas merentas perut Honda.

Pemuda tiga puluhan itu tersungkur seperti kerbau yang baru disembelih, memegang perutnya. Ryouji melibas pedang Miura bagi membuang kesan darah, dan menyarungnya kembali. Tangannya terketar-ketar. Namun dia perlu melakukannya.

“Honda, semoga Tuhan mengampunimu. Semoga engkau dilahirkan semula memberi manfaat kepada bangsa ini.”

Honda menghembuskan nafas terakhir, menelentang di atas tanah berdebu sambil memegang perut, matanya memandang Ryouji, terbeliak. Ryouji mencangkung dan menutup mata itu. Tidak jauh dari situ, pembantu yang terkena panah tadi terbaring dengan panah tercacak di bahunya. Dia mati akibat racun pada panah itu, dengan darah meleleh keluar dari mulut. Pembantu Honda yang sedang bertarung dengan Shinsuke berhenti mendadak, ketakutan melihatkan nasib yang menimpa ketua dan rakannya. Dia pantas melarikan diri.

“Kalian, kita berpecah dari sini. Aku perlu menyertai rakan-rakanku.”

Doumo, Ryouji.” Polis-polis itu menunduk hormat dan berterima kasih atas pertolongannya. Jika tidak kerana Ryouji mereka mungkin sudah ditewaskan kerana tidak tahu kaminari.

Ryouji pantas berlari keluar dari bangsal. Tangannya masih menggigil.

Aku tidak tahu mengapa. Meskipun aku menyandarkan pembunuhan itu kepada keperluan membanteras ancaman awam, tanganku masih menggigil. Ia pembunuhan pertama yang aku lakukan. Aku tidak mengenali lelaki bernama Honda itu. Aku tidak tahu siapa ibu, siapa bapa, siapa isteri, siapa adik-beradiknya, siapa anak-anaknya. Mungkin dia insan yang baik dan bertanggungjawab dalam hidup mereka. Namun aku memutus membunuhnya demi menyelamatkan lebih ramai manusia lain dari menjadi mangsanya. Demi menghentikan kegilaannya. Demi membantu polis menguatkuasakan undang-undang, polis yang tidak tahu kaminari itu. Dan aku menggerakkan pedangku di bawah mandat Kogen. Maka pembunuhan itu wajar, bukan?

Bukan?

Lamunan Ryouji terhenti tatkala seorang lelaki terjun dari bumbung dan menghalang laluannya. Lelaki itu adalah pembantu Honda yang bertarung dengan Shinsuke dan melarikan diri sebentar tadi.

“Engkau fikir engkau boleh lari, Okuhida-san? Bertarung denganku.”

“Aku nasihatkan engkau beredar. Engkau bukan tandinganku.”

Lelaki itu tidak mempedulikan amaran Ryouji, seraya mengeluarkan pedangnya dan mula menyerang. Ryouji bertindak balas dengan Saishi-tou. Pada ketika itu, kebakaran sudah mula menyebarluas oleh angin yang bertiup sederhana kuat dan minyak yang disimbah merata-rata oleh orang-orang Honda sebelumnya. Orang ramai semakin memenuhi laluan kiri dan kanan mereka, lari keluar menyelamatkan diri selepas menerima berita dari para polis. Risau libasan pedangnya mengenai orang awam, Ryouji pantas melompat ke atas bumbung, dituruti lawannya, mereka sambung bertarung di atas.

“Siapa namamu?”

“Hiiyama.”

“Hiiyama-san, aku mohon hentikan pertarungan ini. Kembalilah ke tempatmu. Aku perlu menyelamatkan orang-orang awam ini.”

“Tidak, kalian telah membunuh ketua kami.”

“Demi melindungi orang awam, aku perlu membunuh Honda-san. Dan saat ini, orang-orang awam ada yang telah mati dibakar dan kesesakan nafas dari asap api yang dimulakan kalian!”

“Hiiyama, buat pilihan yang tepat sekarang dan jangan membuang masaku.”

“Engkau pekakkah? Aku akan pastikan engkau mati di tanganku, hari ini!”

Baru kufaham mengapa dia melarikan diri tadi. Dia hanya mahu bertarung denganku seorang diri. Jika dia di dalam bangsal, mungkin polis itu akan masuk campur.

“Hiiyama-san, engkau punya tanggungan bukan?”

“Itu bukan masalahmu.”

“Bagaimana jika engkau mati? Apakah taat setiamu kepada Honda dan Hamada lebih penting dari isterimu? Anakmu? Ibu bapamu?” Sambil bertarung, Ryouji cuba menduga Hiiyama agar memikirkan kembali tindakannya.

Pedang berdenting-denting. Ryouji hanya menahan dan mengelak serangan demi serangan Hiiyama. Dia tahu Hiiyama bukan tandingannya. Hiiyama terlalu mudah. Terlalu banyak bukaan pada bentukannya. Boleh sahaja Ryouji menamatkan pertarungan tersebut secepat mungkin. Ryouji tidak mahu membunuh pengikut mereka. Hanya empat itu sahaja yang celaka. Pengikut mereka hanyalah bekerja demi tanggungan mereka.

“Hiiyama...”

“Diamlah!” Hiiyama menetak Ryouji. Ryouji pantas menggunakan gerakan Saishi-tou yang sama yang digunakan ke atas Honda bagi menumpulkan pedang Hiiyama. Api memercik dan bunyi mengilukan keluar tatkala Saishi-tou bergeser dengan pedang biasa itu.

Hiiyama berhenti, cuba menahan tangannya dari menekup telinga. Ryouji berdiri memerhati keadaan, waspada. Hiiyama membelek-belek bilahnya, wajahnya berubah kelam. Dia mencampakkan pedangnya ke tanah berdebu di bawah.

“Aku akan menuntut bela kematian Honda-san suatu hari nanti. Pasti!” Sebaik menghabiskan kata-katanya, Hiiyama melarikan diri.

Sebuah dendam telah lahir hari ini. Itu pasti berlaku, apabila engkau membunuh atas alasan apa sekalipun. Hanya jika ia dilakukan oleh undang-undang, dan pelakunya menutup muka melindungi identiti, maka dendam itu terkubur. Kerana saksi atau pewarisnya tidak tahu siapa yang menjatuhkannya, dan mereka mengakui keluhuran undang-undang mengatasi kepentingan diri. Namun aku tidak boleh terlalu memikirkannya. Aku akan mati jua tidak lama lagi. Ahli keluargaku yang masih tinggal hanyalah Hisamiko. Aku perlu pastikan yang Hisamiko mampu mempertahankan dirinya sendiri sebelum aku pergi.

Ryouji turun ke bawah. Keadaan masih huru-hara. Lorong-lorong dipenuhi asap hitam. Yang punya terusan kecil berhampiran rumah mereka amat beruntung, kerana mereka dapat menggunakan airnya bagi memadamkan kebakaran. Namun, ia tidak dapat dilakukan dengan pantas kerana semua bangunan di situ diperbuat daripada kayu dan kertas. Ditambah dengan tiupan angin sederhana kuat pada hari itu, api disebarkan dengan cepat dan jirusan air tidak mampu memadamkannya. Sekali dijirus, api telah merebak ke bahagian yang lain. Lebih malang jika penghuni rumah itu telah tua dan sakit dan tidak mampu bergerak keluar sendiri, apatah lagi mengangkut air.

Dia meredah orang ramai melawan arus, mencari Hisamiko dan Tsuneki. Dia mendengar suara dari celah hingar-bingar kebakaran dan orang ramai yang menyelamatkan diri.

“Orang muda...tolong nenek...”

Ryouji menoleh. Sebuah rumah dipenuhi asap dari sekitarnya, namun rumah ini belum terbakar. Ryouji mengamati betul-betul rumah itu, dan menemui seorang wanita tua terlantar di atas futon. Dia terbatuk-batuk menyedut asap yang kian tebal memenuhi ruang rumah tersebut.

Ryouji serba salah. Hatinya seakan mahu menjerit. Mengapa aku perlu memilih begini?

Namun, keadaan kecemasan menuntutnya bertindak lebih pantas dari melayan fikirannya. Dia meluru masuk ke dalam rumah itu sambil menutup hidung dengan kain, dan mendukung wanita tua itu keluar.

Dareka, dareka, tasuketekure! (Sesiapa sahaja, tolong aku!)

Mujur, pasukan polis yang sedang mengangkut orang sakit dan orang tua tiba di situ.

Obaa-sankoko kara ki wo tsukete ne (jaga dirimu, nenek).”

Arigatou, orang muda.”

Ryouji berlari meredah asap mencari Hisamiko.

Sebentar, mengapa aku terlupakan ini?

Ryouji mencapai dua biji resin beku aomomiji yang disimpan dalam yukata yang dipakainya. Dia melagakan resin itu berulang-ulang kali. Dia mengeluarkan sejenis alat penerima yang diberikan Shinji dan memasangnya di telinga.

Hisamiko, tolonglah. Berikanlah balasan. Hisamiko, jangan buat aku risau begini.

Hisamiko...

Masih tiada balasan dari Hisamiko. Alat penerima yang dipakai di telinga tidak memberikan sebarang isyarat elektrostatik.

Aku yakin dengan Shinji. Dia telahpun mencuba alat ini sebelum memberikan kepadaku. Bahkan aku sendiri menyaksikannya bagaimana ia mengeluarkan bunyi statik (electrostatic noise) tatkala Hisamiko memicit hidungnya.

Atau dia sudah dibawa keluar dari pekan ini?

Ryouji sampai di hujung pekan. Dia ternampak menara. Ada teleskop yang sedikit terjulur di jendela tingkat tiga, menghala ke bawah.

Mungkin menara Kogen. Hanya Kogen yang punya peralatan begitu. Ia peralatan dari Barat untuk melihat objek yang jauh. Barangkala menara merpati, kerana teleskop itu dihalakan ke bawah. Alang-alang aku di sini, aku perlu menghantar pesan kepada pasukan Kogen terdekat.

Ryouji pantas berlari ke arah menara, hanya mendapati peti merpati Nagano sudah dikosongkan. Siapa yang menghantar mesej ke Nagano?

**

Sebelumnya...

Tsuneki dan Hisamiko sedang berhadapan dengan orang Honda yang telah membakar bangunan pusat sehenti polis Narai-juku.

Hisamiko menghembuskan sedikit darah dari hidungnya. Sedikit, seperti ludahan.

“Hisamiko...engkau benar-benar tidak apa-apa?”

“Aku tidak apa-apa. Aku berasa cukup lega sekali selepas menghembus keluar darah itu.”

Barangkali mekanisme sama ketika dia di pusat rawatan Kogen, getus Tsuneki. Sebarang racun dari asap yang disedut akan dikeluarkan dari hidungnya sebagai darah yang dihembus.

Mereka melarikan diri dari bangunan polis yang sedang terbakar itu. Lelaki itu mengejarnya. Mereka menemui sebuah bangunan kosong dan bersembunyi di situ. Tsuneki mengeluarkan peta Narai-juku yang diberikan Imagawa dan cuba meneliti di mana lokasi mereka. Dia mencari lokasi menara merpati.

“Hisamiko, aku akan ke menara rumah merpati dahulu. Aku perlu meminta bantuan Kogen secepat mungkin.”

Hisamiko mengangguk. “Aku akan melindungimu.”

“Baiklah. Berhati-hati Hisamiko. Nyawa penduduk pekan ini di tangan kita.”

Mereka bergerak sepantas mungkin menggunakan jurus kaminari menelusuri lorong-lorong yang dipenuhi asap tebal dan orang ramai yang bertempiaran melarikan diri.

Tsuneki mula gundah. Aku tidak menyangka keputusanku berpatah balik telah memangsakan penduduk pekan ini! Bodoh, aku memang bodoh! Mengapa tidak sahaja aku berundur ke mana-mana di dalam hutan Nakasendo itu?! Mungkin telah ramai yang mati terbakar kerana kesilapan bodohku ini!

Air mata meleleh di sudut matanya, cepat dikeringkan oleh udara yang meniup tatkala dia meluru laju ke arah menara merpati. Mereka sampai di kaki menara itu, terletak di pinggir pekan itu berdekatan laluan masuk ke Nakasendo, iaitu tempat yang dilalui mereka dinihari tadi.

“Aku akan ke atas. Engkau berkawal di bawah. Hisamiko, jaga dirimu.” Tsuneki pantas merangkul Hisamiko dan memeluknya. Hisamiko menyambut pelukan itu.

Tsuneki masuk ke dalam menara yang tidak berkunci itu dan mendaki tangga berputar ke tingkat tiga. Meskipun ia tiga tingkat, tinggi keseluruhannya melepasi tinggi bangunan pusat sehenti polis yang terbakar itu. Binaan dalamannya dengan tangga berputar itu merupakan binaan Barat, cirian utama bangunan-bangunan Kogen yang cuba menyerap masuk elemen-elemen senibina Barat.

Rumah merpati terletak di loteng tingkat ketiga. Tsuneki mencari kabinet yang bertuliskan nama pangkalan pengintip terdekat dengan Narai-juku, iaitu yang terletak di Nagano. Ketua pengintip Kogen di Nagano bernama Okubo Satotsuke. Disebabkan mereka kekurangan ahli, maka pengintip di sana juga menjalankan kerja-kerja tugas khas.

Selesai mencoret surat meminta bantuan daripada pasukan Okubo, Tsuneki mengikat surat itu pada kaki merpati dari peti bertuliskan ‘Nagano’, seraya melepaskannya, berhati-hati jika terdapat mana-mana penembak  atau pemanah di lorong-lorong dengan memerhati ke bawah menara menggunakan teropong dari pedagang Belanda yang disediakan di situ. Disebabkan itu, rumah merpati ini didirikan di atas menara, bagi memudahkan penghantar surat memerhati dahulu keadaan di bawah sekiranya ada mana-mana pemanah atau penembak cuba menembak merpati mereka.

Dengan hampir keseluruhan pekan diselubungi asap tebal, mana mungkin pemanah dan penembak mampu mengamati lokasi tepat merpati yang dihantar Tsuneki. Merpati itu terbang pantas meninggalkan pekan Narai-juku menuju destinasinya di Nagano.

Tsuneki menyusur menuruni tangga berputar. Namun dia tersentak di pertengahan mendengarkan bunyi dentingan pedang. Hisamiko sedang bertarungkah?

Pantas dia melangkau anak tangga ke bawah. Asap hitam mulai memenuhi luar kawasan menara tersebut. Apakah kami sudah dikesan mereka?

Dia tersentak mendapati beberapa orang, seperti ronin, berada di luar muka pintu tingkat bawah menara itu, semua dengan pedang di tangan. Sah, mereka orang-orang Hamada! Hisamiko, bagaimana dengan Hisamiko?? Apakah Hisamiko sudah ditangkap dan dibunuh??

Tsuneki berlindung di balik tangga, bersedia dengan panah dan busurnya.

“Tsuneki! Lekas keluar dari sini!”

“Hisamiko!” Pantas Tsuneki memeluk Hisamiko.

“Tsuneki, pintu depan sudah dikepung. Di atas ada jalan keluarkah?”

“Bumbung bangunan lain terlalu rendah, aku fikir kita mungkin akan tercedera jika keluar dari atas dengan terjun.”

Api semakin marak dan asap semakin tebal. Ada kayu sudah gugur ke lantai. Mereka tiada pilihan. Mereka harus keluar sekarang atau akan ditelan bahang api dan dilemaskan asap hitam tebal.

Mereka keluar, terbatuk-batuk dan tidak bermaya. Ronin-ronin itu menghilang. Ke manakah mereka.

Tiba-tiba jaring digugurkan dan diketatkan.

“Hamada memberitahuku seorang gadis menyerang orang-orang kami berdekatan Inotani dua tahun lepas bukan? Engkau gadis itu bukan?”

Hisamiko tidak menjawab. Dia sudah diperangkap jaring bersama Tsuneki. Masing-masing mabuk akibat asap tebal.

“Hanya dengan jaring sahaja, dan kelekaan kalian, lebih mudah untuk kami menangkap kalian.”

Sebelumnya...

Beberapa orang ronin keluar dari rumah di sekitar menara itu. Hisamiko ternampak mereka dan bersembunyi. Sebaik ronin-ronin itu berada jauh sedikit dari rumah, rumah-rumah tersebut terbakar dari tapak masing-masing. Ronin-ronin itu bergerak ke arah menara. Hisamiko gentar.

Mereka telah memerhati kami sejak tadi! Ini bererti mereka merancang mahu memerangkap kami di dalam menara ini!

Sementara itu, ronin-ronin itu berbual sesama sendiri

“Bodoh mereka. Terang-terangan datang ke sini. Tidak sedarkah mereka, yang kita tahu mereka pasti akan ke sini meminta bantuan luar? Bagus Nakahara mencadangkan mereka diperangkap di sini.”

Nakahara, salah seorang dari ronin itu, tersengih dipuji sambil menggaru-garu belakang kepalanya.

Hisamiko berhadapan dengan mereka berseorangan. Dia harus mengotakan janjinya melindungi Tsuneki. Tangannya memegang hulu Saishi-tou, menanti untuk menarik keluar dari sarung bila-bila masa. Dia berdiri berhadapan mereka merenung wajah-wajah ronin itu satu persatu. Dia harus berani meskipun berseorangan.

Ojou-chan? Mahu bertarung dengan kamikah?” Ronin yang paling hadapan, barangkali ketua mereka, mempersenda. Sendaan itu diiringi gelak ketawa rakan-rakannya.

“Aku tidak akan membiarkan kalian memasuki menara ini.”

“Kami bukan mahu masuk. Kamu mahu ojou-chan masuk ke dalam menara itu. Masuk sekarang, ojou-chan.”

Untuk apa? Sedari tadi aku bau minyak tanah di sekitar ini.

Hisamiko memerhati sekeliling, dia mendapati seorang lelaki sedang menyimbah minyak tanah dari belakang menara itu sedang menuju ke depan.

Sial! Mereka mahu membakar menara ini!

Bagaimana mungkin aku melarikan diri dari mereka? Mengelak dari mereka amat mudah. Namun Tsuneki masih di dalam! Aku perlu mengotakan janjiku terhadap Tsuneki!

Tidak, aku akan bertarung dengan mereka.

Hisamiko meluru ke arah mereka. Dia menggunakan Saishi-tou menetak kaki salah seorang dari ronin berenam itu. Ronin yang menyimbah minyak tanah tadi, datang ke arah Hisamiko dan cuba menyimbahnya, namun Hisamiko mengelak dan simbahan minyak itu terkena salah seorang dari ronin tersebut.

“Kousaka!”

“Maaf Oosaki, aku tidak nampak.” Lelaki yang tersimbah rakannya itu meminta maaf sebaik namanya ditempik.

Ketua mereka pantas masuk campur. “Sudah, sudah! Kalian, fokus pada musuh kita ini.”

“Jangan bunuh mereka terus, tangkap dahulu.” Ketua mereka menambah.

“Kiritani-san, bukankah Hamada mengarahkan kita membunuh mereka terus?”

“Kita akan membunuh mereka di tempat lain.”

“Baiklah.”

“Bunuh terus hanya jika mereka terlalu berbahaya atau melawan.” Kiritani, ketua mereka itu menambah. “Namun jangan sekali-kali kalian bunuh gadis ini. Bunuh rakan lelakinya itu sahaja, jika dia terlalu berbahaya.”

Pengikut Kiritani mengangguk. Tiga orang sudah tumbang ditetak Hisamiko. Salah seorang dari ronin itu mencampakkan puntung kayu berapi ke arah menara itu, memulakan pembakaran. Hisamiko cemas. Kebakaran itu terlalu pantas. Dia mengundur dan masuk ke dalam menara.

Tsuneki masih di dalam! Aku harus lekas membawanya keluar!

“Bagaimana, Kiritani-san?”

“Kita tunggu. Mereka pasti akan keluar, dan kita akan menggugurkan jaring dan membawa mereka ke tempat lain dahulu.”

“Bagaimana jika mereka mati?”

“Kita tidak rugi apa-apa.” Kiritani menjawab acuh tak acuh. Sebenarnya dia yang akan kerugian, jika pewaris Higashihara itu berada di dalam menara. Dia belum tahu Tsunekilah pewaris itu.

Aku tidak pasti yang mana satukah pewaris Higashihara. Mereka sepatutnya bertiga. Dua orang dari mereka adalah anak kepada Okuhida Miura. Itu yang diberitahu Hamada. Aku tidak mahu pewaris itu mati. Jika aku berjaya memujuknya, aku akan mendapat sebahagian kuasa halimunan seperti Hamada.

Previous: Bab 98
Next: Bab 100

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov