Home Novel Cinta Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Haiza Haifa
22/2/2015 06:32:54
122,412
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

“KENALKAN, INILAH, Tok Wan kesayangan aku.” Farhan memeluk erat atuknya. Sesekali tangannya nakal bermain janggut atuknuya tu. Atuk Farhan ketuk kepala cucunya itu. Farhan ketawa kecil sambil menyendeng ke bahu atuknya.

Buat-buat comel plus manja la konon. Tapi... memang dia comel pun.

Filia dan Tira ketawa kecil.

Farhan melangkah setapak ke arah seorang wanita yang kelihatan anggun walaupun hanya mengenakan blaus dan skirt labuh. “.... dan yang ini pula Mak Usu aku yang tercinta…” sebelum sempat Farhan menghabiskan sesi kenal mengenal, Mak Usu terus memeluk Filia dan berlaga pipi. Tira terkebil-kebil matanya memerhati gelagat ibu saudara Farhan yang cepat mesra ini.

Filia diterpa rasa malu di layan sebegitu.

Farhan senyum. “Mak Usu dah buat Filia seganlah, tengok muka dia dah merah.” usiknya pula.

“Filia, pedulikan sahaja budak tak cukup umur ni, dia ni bukan boleh di layan, kalau di layan makin menjadi.” ujar Mak Usu. Dia hanya membalas dengan anggukan.

Mak Usu masuk sebelah aku ? Yess…Filia jelir lidah. Farhan sengih.

Si atuk yang melihat gelagat mereka berdua, hanya mampu tersenyum. Cucunya ini ternyata bahagia. Hati tuanya dapat merasakan.

“Eh, mana Fikri kata nak mai sekali?” tanya Mak Usu.

Farhan, Filia dan juga Tira serentak ketawa mendengar pertanyaan Mak Usu.

“Dia ada dalam kereta tengah membuta agaknya. Dah dikejutkan tapi liat bukan main.” beritahu Farhan dengan ketawa yang masih bersisa.

Semakin riuh jadinya bila Fikri dah terjaga dan jalannya pula terhuyung-hayang macam orang mabuk. “Bro, dah sampai ke belum?” tanyanya sambil menenyeh mata.

“Dah berkurun dah pun.” balas semua yang berada di situ. Fikri tersengih malu.

Mereka tiba agak lewat petang, jadi usai sahaja makan malam dan membersihkan diri. Mereka berempat terus masuk bilik merehatkan badan.

“Ini bilik Filia dengan Tira kalau ada apa-apa jangan segan-segan nak panggil Mak Usu iya? Bilik Mak Usu hanya selang dua bilik dari hampa berdua saja.” beritahunya ramah.

Tersipu malu keduanya masih tidak biasa. Usai Mak Usu menutup perlahan daun pintu, Filia dan Tira saling berpandangan sesama sendiri.

“Kau ada fikir apa yang aku terfikir tak?” tanya Tira. Filia angguk.

“Siapa Farhan yang sebenarnya ek? Rumah atuk dia begini punya besar, bilik dah macam bilik istana luas gila. Jujur cakap rumah ni macam banglo kat tengah kampung.” bisik Tira perlahan.

Filia telan liur. Memang banyak yang dia tak tahu tentang Farhan. Badan dibaringkan di atas katil, mata dipejam celik memikirkan sesuatu. Tira turut melakukan perkara yang sama.

“Empuknya tilam. Aku rasa macam dah tak nak baliklah pula. Rasa macam tinggal dalam hotel. Selesanya.” Tira mula berguling.

Filia ketawa lucu. “Sakailah hang ni,overacting betui!”

Tira ketawa, “Sesekali hang keluar loghat utara, jenuh aku garu kepala tak faham.” Terus meledak ketawa mereka berdua.

Telefon Filia berlagu tiba-tiba. Tertera nama Farhan di mesej masuk. Meleret senyuman Tira. “Hai, jarak hanya satu bilik pun nak ber ‘SMS’?” usiknya. Filia menggetu lengan Tira. “Adoi sakitlah mak ketam.”

Filia ketawa. “Bila masa aku kahwin dengan bapa ketam?”

Tira menjawab selamba. “Semalam!” Terkukik dia ketawa. Filia menggeleng geram.

Mesej Farhan di buka.

Salam. Maaf. Ganggu ke? Tentu kau agak terkejut kan? Tok Wan dan Mak Usu aku memang macam tu. Mesra alam. Harap kau tak kisah.

Filia senyum dan membalas ringkas,

Tak. Tak pa.

Farhan senyum nipis. Sikit punya panjang aku hantar mesej. Sekali Filia hantar mesej banyak tu sahaja?Dia tidak puas hati lalu ditekan butang hantar.

HUH? ITU JE??

Filia kerut kening. Farhan ni biar benar, dia nak suruh aku cakap apa? Dia lalu membalas dengan dungunya,

Dah tu?

Farhan ketap bibir. Dia menahan sabar, kemudian tersenyum penuh makna.

Sudahlah pergi tidur. Jumpa esok. Selamat malam, sweetie!! Dream of me will you?

Terbuntang mata Filia. Hai sejak bila Farhan sudah naik taraf ni? Dah pandai mengayat nampak. SMS di hantar. Filia sengih.

Will do but aku akan mimpikan kau bergayut atas pokok makan pisang. HUHAHUHA. DA….

Filia ketawa puas. Hambik kau kan dah kena sejibik. Ini Filialah.

Farhan pegang dahi. Pening aku macam ni, memang dasar hati batu, konkrit!

MATAHARI malu-malu di sebalik cik awan. Cuaca pagi itu amat mendamaikan. Filia menarik nafas kemudian di hembus perlahan. Nyamannya udara di kampung. Hamparan permaidani kuning a.k.a padi yang menguning pasti memukaukan mata sesiapa yang memandang.

Angin sepoi bahasa yang bertiup bagai menghantar irama yang begitu indah. Kicau burung yang terbang bebas membelah awan. Filia tenggelam dalam diri sendiri, dia begitu leka tanpa menyedari ada sepasang mata yang memerhatinya dalam diam.

Fikri menghampiri Farhan yang duduk di pangkin bawah pohon rambutan. Dia menyuakan secawan teh pada Farhan. Dia berdehem perlahan sebelum duduk di sebelah Farhan.

“Hai, sudah-sudahlah pandang anak gadis orang macam tu, kalau betul berkenan hantar rombongan habis cerita.The end!” sakat Fikri.

Farhan berpura-pura tengok tempat lain. “Mana ada, aku tengah tengok cik burung tu bagi anak dia makan.” Tunjuk Farhan pada seekor burung di celah bumbung rumah.

Fikri ketawa sakan. “Kawan, aku dah lama kenal kau dari zaman tok kaduk lagi, ni tak payah nak kona pusing kiri kanan. Dah basilah.”

Filia yang sudah habis bertafakur berjalan ke arah mereka berdua.

“Wei mana aci makan tak ajak aku.” marah Filia tapi tangan tetap pantas menyambar kuih tepung talam lalu di suapkan ke mulutnya. Tak malu sungguh minah ni kan? Farhan dan Fikri tidak terkata apa. Fikri tetiba ketawa. Farhan senyum cuba menahan dari ketawa juga.

Filia binggung tidak faham. “Korang apahal? Pagi-pagi dah mereng?”

Farhan dan Fikri menggeleng. “Tak! Mana ada!”

Hermm… apa-apalah labu. Filia angkat bahu, kemudian di ambilnya air teh tanpa bertanya jika ada yang sudah meminumnya terlebih dahulu. Hening tiba-tiba.

“Kenapa?” tanya Filia.

Fikri selamba berkata,“Itu air Farhan!”

Berubah air mukanya. Spontan tersemburlah air teh yang di minumnya tadi dan tepat pula ianya tersembur ke muka Farhan yang duduk kat depannya tu. Fikri tanpa dapat menahan lagi terus ketawa dengan galaknya.

“JOLOKLAH atas sikit, mana nak kena buah tu,” beritahu Tok Wan. “Kalau kamu tolak macam tu sampai bila pun buah tu tak jatuh ke tanah. Itulah balik kampungnya jarang, bila di suruh buat kerja sikit, mulalah nak merungut letih badanlah, sakit sendi tulanglah.”

Farhan menadah telinga mendengar. Atuknya kalau di suruh membantu di dusun beginilah jadinya. Itu tak kena ini tidak kena, semuanya tak betullah pendek kata. Dia sayang benar dengan dusun buah-buahan dia ini. Rosak sedikit sahaja buah-buahan dia mulalah dia berleter mengalahkan arwah nenek.

Filia senyum simpul mendengar Farhan kena marah dengan atuk. Farhan jeling Filia dengan ekor mata. Oho, kau happy tengok aku kena bebel dengan atuk iya? Nanti kau. Farhan mula merencanakan sesuatu.

“Aduh, sakitlah,” Sebiji buah manggis jatuh atas kepala Filia.

Farhan dengan muka tidak bersalah lalu berkata, “Maaf, sengaja.” Dia tersenyum nakal lalu mengenyit mata.

Filia mendengus marah. Sengaja nak kenakan akulah tu.

Tira dan Fikri pula sibuk mengait buah mangga. “Fikri sebelah sana tu, kuning dah elok sangat tu, sebelah sini pun ada, lagilah besar.”

Fikri penat terkinja sana terlompat sini. Tira pula tak henti bercakap. Galah di tangan terus diberikan pada Tira. “Kau pula cuba kait. Penat aku tahu tak? Boleh tak seminit mulut kau tu di zipkan sebentar. Bising tahu tak?” Fikri sudah duduk bersila di atas tanah. Tira mencebik.

Disebabkan oleh kelempaban tanah selepas hujan awal tengah hari, tadi maka tanpa di sangka, pacat mencium lutut Fikri yang sekadar memakai seluar bermuda. Tira terus lari lintang pukang ke arah Tok Wan, Farhan dan Filia.

Mereka bertiga pula terus berlari mendapatkan Fikri setelah di ceritakan apa yang terjadi. Setibanya disitu, kelihatan Fikri terlompat-lompat menahan sakit akibat di hisap darahnya oleh si anak pacat. Hendak di buang, dia tidak berani memegang, dia geli dengan spesis yang panjang melingkar dan bendalir macam pacat, cacing dan terutama sekali ular.

Filia ketawa dengan galaknya. “Fik, kau ni memang buat malu kawan sejenislah. Pacat pun takut? Apalah…”

Fikri sedaya upaya cuba mengkontrol macho. “Mana ada aku cuma terkejutlah.”

Farhan pula dengan pantasnya terus mencabut keluar pacat itu lalu di campaknya ke tanah. “Kau macam mana okey?” tanyanya setelah melihat agak banyak juga darah yang mengalir keluar.

Fikri geleng “Rasa pedih sikit, tapi nanti bubuh minyak angin hilanglah.” Farhan angguk mendengar jawapan Fikri.

Tok Wan dah tergeleng kepala. “Kamu ni Fikri dari kecik sampai sekarang fobia kat pacat masih juga tak hilang.”

Filia dan Tira ketawa perlahan. Spontan timbul idea dalam kepala Filia. Tira yang perasan akan tingkah laku Filia yang sudah mencangkung ke tanah dan matanya pula mula meliar mencari sesuatu di sebalik daun yang lembap, dia sudah dapat menangkap. Segera dia melarikan diri ke sebelah Tok Wan.

Filia tersengih bila sudah mendapat apa yang di cari. “Hujung kampung ni ada sungai kan? Filia nak pancing ikan. Manalah tahu rezeki kita dapat ikan yang besar-besar boleh kita buat ikan bakar lepas tu cecah air asam.”

Tok Wan hanya tersenyum sambil menggeleng.

Fikri menahan geli melihat Filia begitu bersahaja memegang pacat dan juga cacing.

Farhan menghampiri Filia. “Wei, kau ni biar betul, tak takut ke?”

Filia geleng. “Tak, aku dah biasa, aku selalu pergi memancing dengan ayah kalau time cuti dulu. Jadi benda ni, benda kecil saja bagi aku. Betul tak Tira?” Dia menyuakan pacat ke muka Tira.

Dia terjerit. “Filia, aku tahulah kau berani pegang benda tu, tapi aku lemah semangat, aku pengsan nanti baru kau tahu.”

Farhan juga tidak ketinggalan mengusik Fikri. Pacat di tangan Filia di ambil dan di acah mahu dilemparkan ke arah Fikri. Bertempiaran lari Fikri dan Tira dek kenakalan Farhan dan Filia.

Tok Wan pula hanya mampu tergeleng dan tergeleng kepala dengan gelagat cucu dan kawan-kawan cucunya ini. Perlahan-lahan bibir tuanya mengukir senyum, dia benar-benar terhibur dengan karenah mereka berempat. Tambahan pula, Farhan dilihatnya sudah mampu riang ria dan seakan kembali seperti dahulu. Tidak lagi bermurung dan menyendiri. Filia… pastinya ada kena mengena dengan gadis ini. Dia pasti akan itu.

PETANG ITU, Filia duduk termenung di beranda. Tira pula sudah terlena di buai mimpi di kamar beradu. Fikri dengan Tok Wan entah bersembang apa di ruang tamu. Malas dia mahu mencuri dengar. Mak Usu ke rumah kawannya mengambil kain baju yang di tempah. Farhan pula entah ke mana menghilang, rindu pula rasanya. Filia berdehem sendiri mendengar kata hatinya.

Tanpa dia sedar Farhan sudah terpacak di bawah. “Jom…” ajak Farhan sambil tersenyum. Basikal tua di sisi ditongkat.

Filia pandang dia pelik. “Pergi mana?”

Farhan senyap. “Ikut dulu pastu baru kau tahu.”

Filia geleng. “Beritahu dulu kalau tidak aku tak mahu pergi.” Filia tetap dengan pendiriannya.

Farhan menjawab malas, “Tempat rahsia aku!”

Filia tarik muka tak faham. “Tempat persembunyian aku sewaktu kecil.”

Filia ketawa. “Nostalgia juga kau ni.”

“Sudah jangan nak banyak songeh, naiklah cepat, then baru kau tahu, kalau aku cakap banyak pun tak guna, nanti tak supriselah.”

Setibanya di situ, tanpa mukadimah, Farhan bercerita dengan penuh bersemangat.

“Ini namanya Pondok Impian! Tempat aku melepaskan tekanan, melalak waktu kecil. Kononnya berangan nak jadi penyanyi yang terkenal dan tak sangka pula impian itu tercapai.”

Filia meliar memandang kawasan sekitar pondok. Ada bukit kecil tidak jauh dari situ. Tempat ini memang cantik, tambah pula ada anak sungai yang mengalir di belakang pondok.

Farhan senyum melihat Filia tertinjau sana dan sini sejak dari tadi. Dia tahu Filia tentunya terpegun dengan keindahan lanskap di sini. Farhan bangun lalu memetik sekuntum bunga yang di tanam.

“Untuk kau.” ujar Farhan lalu di selitkan ke celah tudung Filia.

Filia mencerun memandang Farhan. “Kenapa aku rasa kau macam pelik saja hari ini?”

Farhan menahan gemuruh yang dirasai. “Mana ada, lagipun aku tengok bunga tu cantik dan spontan saja aku terfikir nak bagi pada kau. Kalau kau nak tahu agak lama juga aku tanam pokok ini, tapi tak pernahnya nak berbunga.”

Filia menguntum senyum. Bunga yang terselit di ambil dan di belek. “Tempat ini terjaga dengan elok, kau ada suruh orang tolong jagakan?”

Farhan senyum mengangguk, “Puteri Bunian yang tolong jagakan untuk aku.”

Filia jatuh bahu. “Mood aku tengah baik sekarang. Jangan nanti ada yang mati kena makan dengan aku.” Filia menahan geram yang memuncak.

Farhan menyusun sepuluh jari. “Aku gurau sajalah. Aku yang bersihkan tempat ni tadi sebelum pergi ambil kau tadi, kalau tidak tempat ni macam sarang tikus.” jelas Farhan.

Filia terpempan. Tempat ini agak jauh dari rumah atuk, dan si Farhan berpatah balik dengan mengayuh basikal tua sekadar untuk menjemputnya?

“Filia…” panggil Farhan lembut. Filia berpaling kemudian tertunduk ke bawah. Farhan ketap bibir. Aku ada tersinggung hati dia ke? Belum sempat dia membuka mulut bertanya Filia terlebih dahulu mendahuluinya.

“Kalau balik ke sini, kau dengan Fikri selalu lepak sinilah?”

Farhan angkat kening mendengar pertanyaan sahabatnya itu. Dia mengeluh lega. Rupanya hanya perasaan dia sahaja.

“Kalau kau nak tahu aku tak pernah bawa Fikri ke sini pun. Kau orang pertama yang aku bawa.”

Filia jelas tidak percaya. “Bohonglah, Fikri kan kawan baik kau. Habis tu takkan kau lepak sorang-sorang?”

“Fikri tidak pernah tahu. Sebenarnya aku selalu menghabiskan masa di sini berjam-jam dengan seorang kawan ni. Kawan zaman kanak-kanak aku.” beritahu Farhan. Farhan memejamkan mata kemudian badan di rebahkan seakan mengimbau kenangan silam. Sejujurnya dia rindukan temannya itu, tapi sehingga sekarang jejaknya tidak dapat dia kesan.

Filia dapat merasakan Farhan begitu merindui teman semasa kecilnya itu.

“Mana dia sekarang? Dia masih di kampung ni?”

“Entah aku tak tahu. Masa umur aku 13 tahun, keluarga dia berpindah dan terus terputus hubungan macam tu je. Kalau kau nak tahu dialah yang sering beri aku sokongan dan dia juga pengkritik tetap aku, dan dia juga cikgu yang mengajar aku bermain gitar.”

“Aku ingatkan Fik seorang sahaja kawan baik kau dunia dan akhirat..”

“Habis tu? Kau ingat aku ni apa tak reti berkawan? Kau tu bukan kawan aku?”

“Bro, janganlah marah-marah. Aku cakap sajalah yang kau emosi sangat apahal?”

Farhan geleng kepala. Betul juga Filia tidak tahu tentang perkara yang sebenarnya tentang hidup dia. Dalam sekelip mata dia kehilangan seorang teman baik sewaktu kecil yang terjun parit, panjat pokok dan mandi sungai bersama. Zaman kanak-kanaknya hilang begitu sahaja, semuanya selepas dia di kejutkan dengan kenyataan yang sehingga ke hari ini masih sukar untuk dia menerimanya.

“Kadang-kadang tu kan aku rasa nak jadi macam kau dan orang lain, menjalani kehidupan yang normal, yang biasa, yang rutin tapi aku tahu ianya tidak mungkin.”

Dia renung Farhan lama. Apa maksud Farhan? Sungguh dia tak faham langsung. Raut wajah Farhan jelas menampakkan ada sesuatu yang mahu dia bicarakan tetapi kenapa dia kelihatan seakan ragu-ragu untuk menyatakannya?

“Bukankah kau yang pilih untuk menjadi penyanyi? Tidak semua benda kita boleh dapat di dunia ini. Kadang tu mungkin kau dapat yang ini, yang itu tak dapat. Itulah namanya kehidupan kan? Lagipun kau adadouble life kan? Sekarang kau Farhan.

Hal Ariel just ignore it for a while. Sehingga sekarang semuanya masih berjalan dengan lancar. Jadi apa yang merisaukan kau lagi?”

Farhan senyum tawar. Filia memang pandai menyejukkan hatinya. Namun, bukan itu yang menganggu benaknya tika ini. Ingin sekali dia meluahkan rahsia hati akan tetapi seiring dengan itu masih ada sesuatu yang perlu dia jelaskan kepada Filia terlebih dahulu.

Dia menarik nafas sedalam yang mungkin. “Filia, kalau aku katakan aku ini bukan hanya sekadar Ariel atau Farhan yang kau kenali, kau masih akan tetap jadi kawan aku tak?”

Terbit senyuman kecil di bibir Filia. “Kiranya kau nak jelaskan kau ni pewaris harta atuk kau? Kau rasa bersalah sebab tak beritahu aku yang atuk kau kaya begitu?”

Rupanya Farhan runsing memikirkan bagaimana mahu menjelaskan duduk perkara yang sebenar padanya. Mulanya terkejut juga dia. Rumah atuk Farhan umpama sebuah vila di tengah kampung siap dengan ada dusun buah-buahan yang berekar-ekarlah juga.

Farhan garu pelipis. Alahai, sebahagiannya tu memang betul. Masalahnya bukan itu, Filia. Farhan yang di depan kau ini lebih dari sekadar pewaris. Aku pewaris takhta kerajaan Sutrasia. Kalau aku cakap aku ini Putera Raja, agaknya kau akan pengsan sebagaimana ketika kau tahu aku Ariel tak?

Dia garu kepala. “Itu pun betullah juga tetapi sebenarnya apa yang aku nak beritahu kau, ianya lebih daripada itu,”

Filia pandang Farhan lain macam. Siap dengan bahasa baku segala. Farhan betul ke tidak ni? “Maksud kau?”

“Janji jangan nak gelak atau cop aku tak betul ke apa!”

“Aku janji!”

Ya Tuhan, berikan aku kekuatan. Amin. “Kau tahu kan aku berasal dari Sutrasia. Kau pernah kata yang nama ayah aku sama dengan sultan yang memerintah sekarang kan?”

Filia angguk, “Apa kena mengenanya? Sultan tu bapa kau?” tebak Filia sekadar ingin bergurau namun senyumannya mati tatkala melihat wajah serius Farhan.

“Kalau aku cakap iya dan aku sebenarnya putera mahkota kau percaya?” Farhan masih tidak berubah riak.

Filia pula seakan hilang terus dalam dirinya. Dia pandang Farhan meminta kepastian. Farhan merenungnya lama, sengihan yang semakin melebar di wajah Farhan membuatkan Filia terasa mahu menghempuk semahunya kepala temannya itu.

Farhan ketawa mengekek. “Aduh sakit perut aku. Muka kau memang kelakar tak hingatlah. Kau nampak macam percaya gila dengan cerita aku.” Dia menahan perutnya yang terasa sakit kerana penat menahan ketawa.

Filia menjeling tajam. Cabuk! Otak gila! Macam nak terbang jiwa aku tadi. Dia boleh buat lawak tak bodoh dia tu.

Farhan senyum dan senyuman itu hanya dia seorang yang mengerti. Filia maafkan aku sayang, belum tiba masa untuk kau tahu siapa aku yang sebenarnya. Andai saat itu tiba biarlah aku jauh dari sisimu, aku tidak sanggup melihat duka di matamu… Farhan terkedu sendiri. Alamak hai bila masa aku jadi jiwang sangat ni? Dia tergaru kepala yang tidak gatal.

Sergahan dari Filia mematikan lamunannya. Dia langsung tersengih malu.

Awan mendung yang berarak sejak tadi melimpahkan isinya. Farhan dan Filia ralit memerhati titisan hujan yang jatuh ke bumi. Sejenak sepi menyelubungi.

Kedinginan yang mencengkam tubuh memaksa Filia memeluk erat badannya. Farhan senyum tipis. Baju sejuk yang di pakai di letakkan pada bahu Filia. Filia senyum. Bibirnya perlahan mengucapkan terima kasih. Farhan angguk lalu mata di tala ke hadapan semula, menghadap bukit kecil yang kini di kaburi hujan.

Sepi semula. Farhan petik jari, “Hmm… seperti yang aku janjikan. Lagu yang aku cipta dah pun siap. Nak dengar tak?”

“Hujan lebat kau nak nyanyi? Ribut taufan nanti macam mana?” usik Filia.

Farhan senyum dengan geramnya. “Hello, aku Ariel okey? Kau tu dah berkira bertuah tahu tak dapat dengar aku menyanyi? Tapi kalau kau tak nak dengar aku nyanyi takpa boleh je, lagipun siapalah Ariel pada kau kan?” Farhan buat-buat merajuk.

Filia mengulum senyum, lalu di hulurkan gitar pada Farhan. “Sorry, can you please sing for me, please!!” Matanya dikelip-kelipkan lalu tersenyum comel.

Farhan telan liur. Alamak, dia dah buat gaya menggoda tu pula. Ini yang cair ni. Di hadapan Filia harus control macho lalu Farhan mendengus keras. “Tak payah nak senyum sangatlah, aku tak tergoda pun!” Farhan senyum melebar melihat cebikan Filia. “Tapi aku ni jenis yang berpegang pada janji jadi aku akan nyanyikan untuk kau..”

“Aku tahu kau takkan sanggup nak kecewakan aku.”

Farhan sudah pun bersedia dengan gitar di tangan, tali gitar terus di petiknya perlahan. Nafas di tarik, “ Baiklah,here we go. Specially for Miss Filia sincerely from me, Ariel.

Secebis senyumanmu menggetar jiwa

Hatiku terpaut rindu padamu

Kasih-Nya yang menemukanku

dengan dirimu,

Jelingan matamu merantai hatiku

Hadirnya dikau memberi sinar

pada jiwaku yang kian kelam…

Nafasku terhenti saat menatapmu

Salam kasih ku hulur,

berikanlah aku jawapanmu….

Filia terkedu, suara Farhan begitu meruntun kalbu. Bagaikan lagu itu ditulis untuk dirinya, tapi ah tak mungkinlah. Siapa aku pada dia? Dia dan Farhan tidak layak di gandingkan bersama. Atau mungkin juga iya itupun jika Farhan hanyalah Farhan dan bukannya Ariel.

Air mata menitis tanpa sempat di seka. Farhan berhenti menyanyi, “Dear, are you okay?” Filia senyum nipis. Dia senang dipanggil dengan nama manja sebegitu oleh Farhan. Farhan hanya akan memanggilnya begitu jika dia terlalu risaukan dirinya.

Semuanya kerana Farhan bimbang jika sel barah di dalam otaknya masih ada. Di fikirkan balik, selepas pembedahan Farhan agak memanjakan dirinya. Cakaplah apa sahaja sedaya upaya dia akan tunaikan. Mereka juga sudah jarang bertengkar tak tentu hala seperti dahulu.

“Aku terharu, macam bukan betul macam dalam mimpi! Truly to say aku masih lagi sukar nak percaya kau ialah Ariel!”

“Even aku bawa kau khas ke konsert aku?” Filia angguk. Farhan terus bertanya, “Ataupun sebabnya aku pakai spek mata tebal ni? Dan rambut aku pula langsung tak stylo? Atau gaya aku yang agak simple ni?” Filia geleng. “Dah tu?”

Filia angkat bahu. “Entah aku sendiri tiada jawapan untuk itu.” ujarnya perlahan.

“Maksud kau?”

“Look, kau Farhan, memang kawan baik aku yang loyar buruk dan terkadang agak merimaskan aku dan tidak terlarat aku nak melayan karenah kau yang pelik, manja dan entah apa-apa tu.”

Farhan sengih. “Ada ke pula cakap aku macam tu? Kutuk aku terang-terangan pula tu.”

“And here come Ariel inside in you. Aku memang tak kenal langsung sisi kau yang itu. I’m still adjusted to it! Ariel… popular, penyanyi yang dikenali ramai dan yang kononnya, dengar iya? Kononnya jejaka terhangat idaman Malaya jadi kegilaan ramai dek kerana kekacakan dan kecomelannya.”

Farhan merenung dalam ke mata Filia. “Apa yang kau cuba nak sampaikan ni?”

Filia memikir sebentar. “Farhan kau memang kawan aku tapi Ariel aku rasa macam kelakarlah. Macam tak logik pun ada. Eventhough you and him is that same person I know. Berbeza yang amat sangat.”

“Dan kau nak tahu kenapa? Ariel itu memang sebahagian dari diri aku tapi diri aku yang sebenar adalah Farhan yang berada depan kau sekarang ini. Jadi tidak kira rupa atau gaya yang macam mana aku bawa, kau kena ingat aku masih tetap orang yang sama dan aku janji pada kau aku takkan sesekali berubah.”

Janji Farhan padanya terasa begitu mendalam. Dia bagaikan ternampak sinar kejujuran di mata Farhan. Pada Farhan pula dia mengatakan seikhlas hati, dan benar-benar memaksudkan. Meskipun begitu dia tahu semuanya di tangan Tuhan. Ikhlas atau tidak hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Farhan menyambung lagi, “Dan kau ingat senang aku nak handle semua ini? Hanya di depan kau sahaja aku boleh jadi diri sendiri dan aku sendiri tak tahu kenapa? Perangai gila-gila panas baran semua terkeluar.”

Filia tersenyum. “Dan jangan lupa kau juga teramatlah degil dan kepala batu.”

“Kau kutuk aku ek!” Dia jeling Filia tajam kemudian tersenyum. “Tapi kan kalau kau rasa tak selesa dengan imej aku yang ini aku boleh je jadi Ariel untuk peminat setia aku ni. Lagipun kat sini jarang orang lalu lalang.”

“Gila. Ingat apa sini kawasan pendalaman kat Sabah tu ke? Kalau ada orang yang terlalu sini dan nampak kau, tak ke nahas?”

“Wei, sini tempat rahsia akulah, jadi aku tahulah.” Dia terus melurut jatuh spek mata tebalnya. Rambut yang agak berjuntai di tarik ke belakang.

Filia mencebik tapi dalam masa yang sama. Kuatkan iman hambaMu Ya Allah. Memang dia akui Farhan memang boleh membuatkan jiwa dan hatinya cair dalam sekelip mata.

“Kau apahal dah tergoda dengan ketampanan aku ke?” Farhan buat muka comel.

Filia mencebik geram. Tapi kan kalau dia dah mula bercakap terasa macam gunung berapi nak meletus pulak rasanya.

Hujan yang lebat tadi kian surut. Sang suria kembali menyapa di sebalik bukit. Di sebalik awan kelihatan pelangi mula terbentuk. Sepi keduanya. Mungkin terpegun dengan keindahan panorama selepas hujan.

Farhan bersuara tiba-tiba. “Kalau aku katakan aku tidak mahu menyamar lagi, apa pendapat kau?”

Filia berpaling, tajam matanya cuba menelah maksud di sebalik kata-kata Farhan itu. “Kau biar benar? Dari tadi pun aku tengok kau macam nak luahkan sesuatu. Jadi ini apa yang kau nak cakapkan?”

Dia angguk perlahan. “Terkadang tu aku rasa, sudah cukup aku membohongi semua orang, sampai bila aku ingin semua ini berterusan. Paparazzi tetap juga ingin membongkar latar belakang aku, intip aku sana dan sini. Sudah sampai masanya untuk aku berhenti dari membohongi para peminat aku. Bagi keluarga aku pula sudah cukup bagi mereka terpaksa menjaga rahsia aku ini.”

“Jika itu apa yang kau rasakan terbaik. Just do it. Tapi kalau akibatnya hanya akan memakan diri kau semula, aku rasa kau patut berfikir dengan lebih rasional. Nama kau sekarang tengah berada di puncak, kalau kau beritahu sekarang, ianya akan…”

Farhan memintas, “Membawa bencana?” Filia angguk.

“Dari mula lagi aku dah bersedia dengan segala kemungkinan. Aku hanya mahu capai impian aku tapi tak terjangka begitu havoc jadinya. Atau sebenarnya Dia sedang menguji aku, untuk aku lebih dekat pada-Nya?” Farhan terdiam agak lama.

Filia lalu mengutarakan pendapatnya,“Mungkin apa yang kau cakap tu ada betulnya juga. Tuhan takkan sengaja menjentik akal kau untuk berfikir sedemikian jika ianya bukan untuk kebaikan kau kan? Setiap yang terjadi pasti ada sebab dan akibatnya.”

Farhan tersenyum tawar, “Walaupun aku punya segalanya tapi hati aku terasa kosong. Adakah kerana aku tidak di cintai atau mencintai? Atau sebenarnya aku dah jauh dari Dia? Sejujurnya, seringkali aku solat tidak pernahnya nak kusyuk dan sukar juga untuk aku mencukupkan lima waktu akibat kekangan jadual kerja aku yang padat.” luah Farhan. Keluhan kecil di lepaskan.

Filia merenung lama wajah Farhan. “Kalau itu keadaanya, kau harus buat solat Isthikarah itu sebaik-baik jalan bagi setiap keputusan yang mahu atau ingin kita lakukan. Berkenaan solat, cuba kuatkan hati dan sentiasa beringat hidup kita ditangan-Nya, dan bayangkan itu solat terakhir yang kita kerjakan.”

Farhan senyum, “Kau kalau berceramah dah macam ustazah pula,” usik Farhan.

Terherot mulut Filia, “Aku pun bukannya baik sangat, tapi tak salah kan kalau saling menasihati, sampaikan walau hanya sepotong ayat…”

Farhan angguk. “Aku setuju, aku berterima kasih sesangat pada kau. Aku pun tak tahu kenapa ringan sangat aku beritahu semua ni pada kau. Pada Fikri pun susah aku nak bukak mulut bercerita, rasa malu walhal aku dan Fikri dah lama bersahabat. Fikri tu kalau kau nak tahu nampak saja santai, lepak macam tu tapi kalau bab agama serah kat dia. Ada juga dia nasihat aku, kadang tu jalan juga tapi kadang tu….”

“Aku faham sebab bukan kau seorang saja yang buat macam tu, banyak lagi hamba Allah kat luar sana yang masih tidak terlintas di fikiran mereka untuk berubah ke arah kebaikan. Sekurang-kurangnya kau ada buat walau tak kusyuk dan tak cukup waktu tapi akan lebih baik jika kau berusaha untuk lebih kusyuk dan mencukupkan lima waktu.”

“Filia, actually thanks for everything. Kalau bukan kerana kau di timpa penyakit aku takkan tersedar dari mimpi indah aku ni. Aku pernah sakit jantung dan di bedah, dan atas kuasa-Nya aku terselamat, tapi begitu cepat aku lupa. Aku lupa untuk mengingati-Nya di masa senang.”

“Farhan sedar atau pun tidak kau juga yang memberi aku semangat untuk menjalani pembedahan.At that time, kata-kata kaulah yang banyak menyedarkan aku. Ingat kita bukan malaikat, kita manusia dan manusia tidak dapat lari dari membuat kesilapan.”

“Filia kau sedar tak, bukan aku yang mengajar kau apa itu persahabatan tapi aku yang belajar dari kau. Kau satu dalam sejuta. Nampak keras dari luar tapi hati kau lembut dan penyayang.” beritahu Farhan dalam senyuman yang semakin memekar.

“Aku rasa macam kita berdua ni punya chemistry yang kuat. It’s only you that can understanding me better and so do me to you. Do you realise that?” tanya Farhan.

Filia menelan liur. Ke mana arah perbincangan mereka hendak di tala? Farhan seakan ingin menyampaikan maksud yang lebih mendalam? Otak Filia pula seakan sudah tidak dapat berfungsi.

Filia tidak menjawab. Dia mencari jalan selamat dengan menukar topik. “Dahlah jom balik hujan pun dah reda, nanti depa semua dok pakat cari kita pula.”

“Itu di tanggung beres. Aku cakap ajelah aku bawa awek aku ni pergi dating sat dan ronda keliling kampung jadi Tok Wan pun tak membantah sangat. Tok Wan aku ni sporting tahu tak.”

“Bila masa aku jadi awek kau hah? Boleh blah tak hingin aku.”

“Cakap di mulut memanglah tapi kat hati tu? Sukanya aku.” usik Farhan.

“Kau tak nak balik lagi kan? Takpa biaq aku balik sendiri. Jalan kaki lagi bagus dari naik basikal dengan kau..”

Farhan menyaingi Filia. “Alahai che adik, janganlah merajuk, abang memang tak reti nak pujuk. Kalau kucing abang yang merajuk abang boleh belai dia tapi kalau buah hati pengarang jantung, memang putus nyawa pun tak tau nak pujuk lagu mana… Sumpah!”

Filia menahan gelak. “Bila masa pula kau bela kucing?”

Farhan sengih pabila melihat Filia sudah mula tersenyum. “Baru saja sesaat yang lepas.”

“Otak tak betul, mereng!”

Farhan mengeluh. “Okey sorry! Cepatlah naik dah nak senja. Tok Wan paling pantang kalau dah maghrib pun ada kat luar rumah lagi.”

“Macam tak ikhlas je.”

“Saya minta maaf tuan Puteri.” Farhan mula menahan geram.

“Itu baru ikhlas.” Filia lalu duduk di belakang.

“Mengada-ngada, kasihan sungguh aku pada laki kau nanti nak memujuk bini yang keteqaq macam kau ni.”

Serentak dengan itu belakang Farhan di tamparnya.

“Sakitlah.”

“Mulut tu tutup kaki aja yang mengayuh.”

“Baik puan besar!” Pecah ketawa antara mereka berdua.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Haiza Haifa