Home Novel Cinta Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Haiza Haifa
22/2/2015 06:32:54
122,422
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

BUNYI DAUN PINTU dibuka menyedarkan Farhan dari alam mimpinya. Dia lihat Fikri berdiri di sebelah katil wad sedang merenungnya. “Fikri, Filia dia macam mana? Dia baik-baik sahaja kan?”

Itu yang terkeluar dari mulut Farhan? Fikri kerut dahi. “Dalam sakit macam ini kau masih bimbangkan dia? Sayang betul kau kat dia kan?”

“Fik, berapa kali aku nak cakap. Dia kawan baik aku sama macam kau juga.” ujar Farhan tegas.

“Wahai sahabatku, itu memang tidak dinafikan tetapi lelaki dan perempuan susah untuk kekal sebagai sahabat. Terutamanya dalam kes kau ini, kau dah teruk kawan. Ini baru dapat berita Filia pengsan, masuk hospital. Kalau kau dengar dia jatuh gaung aku tak tahulah apa nak jadi lepas ni.” sindir Fikri dalam seriusnya.

Mendengar Fikri menyebut ‘masuk hospital’, Farhan seolah tersedar, jika dia dan Filia ditempatkan di hospital yang sama, kemungkinan rahsianya pecah amat tinggi.

“Hospital? Filia dia kat hospital ni juga ke?”

Belum sempat Fikri berkata apa-apa, kelibat Filia sudah pun muncul di muka pintu. Tergamam mereka seketika. Linangan air mata di pipi Filia bertambah deras apabila melihat wayar yang berselirat pada tubuh Farhan. Wajah Farhan pucat. Matanya kuyu.

Tira tengok Filia dengan ekor matanya. Filia eloklah sangat korang berdua ni. Saling merahsiakan penyakit masing-masing. Dan sekarang entah siapa yang terlebih berahsia.

“Farhan…” rintihnya perlahan dalam sendu. Air mata cuba ditahan agar tidak mengalir.

Farhan tidak mempamerkan sebarang reaksi. Air mukanya tampak kosong. Tangannya ringan sahaja mahu menyapu sisa gerimis yang mengalir di pipi Filia. Namun di campak jauh angannya itu.

Fikri dan Tira menghilang entah ke mana. Kini yang tinggal hanya Filia dan Farhan. Filia menyelak langsir memberi ruang udara dan cahaya masuk menyinari.

“Filia,how that you know?” Farhan terlebih dahulu membuka kata.

Filia masih bersandar ditepi jendela. Pandangannya di tala ke bawah melihat deretan kereta yang bersusun. Petang begini memang ramai yang melawat pesakit. Hujung minggu pula tu. Mana tak ramainya.

“Filia, macam mana kau tahu? ” ulang Farhan.

Filia jawab, “Redza nampak Fikri dan the rest is as you can see now.”

Sepi semula. Sesaat kemudian Farhan pandang muka Filia. “Maaf, aku tak datang melawat kau.” ujar Farhan. “Kau macam mana? Sihat? Aku tengok kau macam sakit. Fikri kata Red cakap kau pengsan sebab kekurangan air dalam badan.” sambung Farhan.

Filia masih kaku. Farhan renung Filia yang masih berada di tepi jendela. Serupa bercakap dengan dinding Filia langsung tidak memandang ke arahnya.

Tadi Filia menangis kan? Maknanya dia dah tak marah kat aku lagilah? Farhan garu kepala. Takkan kot? Kalau betul mesti dia pandang aku. Ini nak tengok muka aku pun tak nak. Ini apa kes aku terbercakap dengan diri sendiri pula ni. Haila ada kawan datang melawat pun diam aje memanjang. Sepatah di tanya, sepatah di jawab.

“Farhan, mulai dari hari ini, janji dengan aku jaga kesihatan kau.”

Ayat ambil berat dari Filia membuatkan Farhan mengoyak senyum di pinggir bibir.

“Awak juga Cik Filia. Jangan nak nasihat saya sahaja. Kesihatan awak pun amat penting, jangan sampai pengsan lagi.” Akhirnya Filia juga turut tersenyum meskipun tawar. Farhan tenung wajah Filia, dia bersuara perlahan, antara terkeluar dan tidak, “Rindunya aku pada senyuman kau.”

Filia angkat kening. “Apa kau cakap?”

Farhan tersengih malu-malu. “Tak ada apalah. Cuma aku terfikir lama tak jumpa kau. Kau semakin cantik dan comel.” selorohnya.

“Kepala otak kau.” bidas Filia kasar. Dia kembali dingin.

Farhan mengeluh. “Filia sayang, aku minta maaf for anything I did wrong, mulut aku memang tak ada insuran. I admit it so can you accept my apology?” pintanya separuh merayu.

Seminit berlalu dan barulah Filia mengangguk. Terpancar kelegaan pada wajah Farhan. Dikerling sekilas, Filia masih memakai baju pesakit bermakna, dia masih di tahan di hospital. “Aku rasa kelakar pula, pesakit lawat pesakit. Elok sangatlah tu dan ada juga faedahnya, ada juga kawan buat ajak bersembang. Lagipun doktor dan cik misi pun tak bising walau waktu melawat dah tamat kan?”

“Apalah yang kau merepek ni?”

Farhan angkat bahu. “Entah, just throw apa yang terlintas aja.”

“Farhan kau asal mana? Aku tak pernah nampak mak bapak kau lawat kau sepanjang kau kat sini. Tak pernah juga tengok kau balik kampung ke apa macam orang lain. Di fikirkan balik kita ini tak habis lagi sesi perkenalan kan?” tutur Filia.

“Ibu bapa aku jauh nun di seberang sana, Sutrasia. Keluarga yang sederhana, penuh dengan kasih sayang dan aku di didik dengan ilmu agama yang secukupnya. Ibu aku suri rumah sepenuh masa dan ayah pula pegawai kerajaan.” cerita Farhan ringkas meskipun hanya separuh darinya yang betul.

“Sutrasia? Negara pengeluar kain sutera yang terbesar di Asia. Sutrasia adik-beradik dengan Brunei kan? Cuma kedudukan geografi Sutrasia menghala ke utara Sabah kan?”

Farhan ketawa. “Banyak juga yang kau tahu iya?”

“Mestilah. Subjek Geo, time PMR dulu aku skor A. Jadi semua dalam kocek aku sajalah.” Filia senyum bangga. “Sultan Sutrasia, sultan kedua terkaya selepas Sultan Brunei di Asia Tenggara ini.”

“Riak pula dia. Baik kalau macam tu apa nama sultan yang memerintah sekarang?” tanya Farhan bersahaja.

Filia berfikir sejenak, “Sultan Zakaria Izzudin!” Filia garu kepala. “Kejap, bukankah nama bapak kau pun Zakaria Izzudin?” Imzi Farhan bin Zakaria Izzudin.

Farhan terkelu. Sejarah pun dia skor juga ke ni? “Kebetulan aja tu…” Farhan berdehem, lebih kepada menyembunyikan gemuruh yang di rasainya.

Filia angguk. Mungkin juga. “Farhan selama dekat sini kau duduk dengan siapa, sementara cuti sem? Yalah, maksud aku, bukannya selalu boleh balik Sutrasia tu kan? Dahlah jauh. Tambang pun mahal.”

Farhan sengih. “Kepoh juga kau ni, aku ada atuklah kat sini. Ibu aku asal orang Malaysia. Kahwin dengan ayah dia berhijrah ke Sutrasia menetap terus di sana.” beritahu Farhan dalam tawanya.

Filia membulatkan matanya. “Asal negeri mana?” Dia teruja mahu tahu.

Farhan gelak lagi. “Kepala Batas, Pulau Pinang.”

Filia terjerit kecil. “Tak jauh manalah kita ni rupanya. Hang pun orang utara jugalah kiranya. Aku orang Sungai Petani. Padanlah cara hang bercakap pun ada bunyi utara.”

Farhan ternganga mendengar betapa pekatnya dialek utara Filia. Kemudian dia tergelak besar.

“Hahlah, aku dulu pernah duduk sementara kat sini, atuk aku yang jaga mana pula aku tak pandai cakap utara, cuma dia sesekali saja terkeluaq...” Mereka ketawa lagi. “Apa kata, lepas kita keluar hospital aku bawa hang pi kampung aku.” cadang Farhan.

Filia memikir. Kampung Farhan memanglah tak jauh dari rumah tapi kalau bagitau ibu mesti ibu tak bagi punya. Tambah pula dia dah tahu aku masuk hospital. Ini Tiralah punya pasal, tak boleh nak simpan rahsia langsung. Bedah! Ibu suruh dia menjalani pembedahan.

Itu yang paling dia takuti tapi doktor kata kalau tak buat pembedahan, ianya boleh membawa maut. Dia tahu dan dia sedar tapi…

“Filia…” Lamunannya terbang. “Lamanya fikir, jangan risaulah. Mak Usu aku dia tinggal sekali dengan atuk, jadi kau ada kawan untuk di bawa bersembang. Kalau kau rasa kekok juga kau boleh ajak Tira.”

Filia masih diam memikir. “Bukan aku tak nak cuma…”

“Filia, kau duduk semalam pun jadilah lepas tu kau terus balik SP, okey?” usul Farhan.

Filia ketap mulut. “Aku tak boleh nak janji, kena beritahu ibu dulu. Kalau o.k. then baru aku cakap kat kau.” Jenuhlah nak beritahu ibu, kawan lelaki pula tu.

Sepi seketika. Mungkin ini hikmahnya mereka di masukkan ke hospital. Ironinya kini mereka lebih saling mengenali.

“Okey, now about you. Ibu bapa kau kerja apa?” tanya Farhan.

Filia menjawab sepatah, “Doktor!”

Mata Farhan bersinar. “Dua-dua doktor? Kau masuk hospital dia orang tahu?”

Filia angguk. “Mana taknya kenalan mereka merata ceruk.”

Farhan ketawa sakan. Dia sendiri tak tahu di mana lucunya. Mungkin kerana wajah Filia yang cemberut membuatkan dia tertawa.

“Maaf, it’s just sound so funny to me.”

Filia turut tersenyum. Maaf juga kerana aku tak jujur dengan kau. Aku yang terlebih berahsia. Farhan aku sakit, sakit yang boleh membawa maut.

“Kau okey? Aku tengok muka kau agak pucat.” Sedari tadi diperhatikan Filia tampak lemah berbandingnya.

“Aku sihat, cuma letih. Orang nak daki bukit, gunung aku pun nak join tapi kurang preparation jadi inilah akibatnya.”

Farhan angguk seakan berpuas hati dengan penjelasan Filia.

Filia menyambung kata, “Aku memang sahabat yang teruk, langsung tak peka akan kesihatan kau. Jantung kau betul-betul stabil? Tak perlu buat pembedahan?” Filia tidak tahu apa yang sepatutnya diperkatakan lagi kalau boleh dia tidak mahu Farhan bertanya lebih lanjut tentang dirinya.

Farhan senyum. “Aku dah pernah bedah, jantung aku baik-baik sahaja mungkin dia agak terkejut.” ujarnya bersahaja. “Yalah, siapa yang tak terkejut dengar kawan dia pengsan kan? Siap masuk hospital lagi. Fikri tu saja yang terlebih aksi bawa aku ke hospital.” Tanpa sedar Farhan terlajak kata.

Teragak-agak Filia mahu bertanya, “Kau pengsan sebab terkejut dengar berita aku pengsan?”

Farhan tergagap. Senyumnya serba tidak kena. “Taklah bukan macam tu aku…” Akan tetapi kata-kata Farhan itu tidak cukup kuat untuk meyakinkan Filia.

Seribu persoalan mula berlegar. Farhan pengsan kerana aku? Kenapa? Adakah? Andaian itu ditepis. Mungkin sebab…? Sebab apa Filia? Filia sendiri jadi takut untuk menghuraikannya. Senyap. Masing-masing terus mengunci mulut. Selepas seketika.

“Farhan, rasanya aku patut balik ke wad. Aku rasa macam dah ganggu kau nak berehat,” bicara Filia sekadar berbahasa.

Farhan buat muka. “La, mana ada. Lagipun boringlah aku kalau kau keluar nanti. Sudahlah dalam wad ni tak ada pesakit lain selain aku.” Farhan melirik memandang dua buah katil yang kosong di kiri dan kanannya.

Filia senyum. Penakut cakaplah penakut. “Fikri kan ada teman kau.”

“Memanglah tapi tengoklah ke mana dia menghilang aku pun tak tahu. Ala, kau tunggulah sekejap sahaja lagi, sehingga Fikri datang.” pintanya dengan nada separuh manja.

Filia membulatkan mata. Dia tersalah dengarkah? “Baiklah, Farhan.”

Farhan menguntum senyum. “Itulah namanya kawan.”

Filia tukar topik, “Kau masuk sini wartawan tahu tidak? Aku tak nak tiba-tiba aku keluar nanti silau mata aku kerana lampu kamera.” tanyanya, kerana sekarang Farhan adalah Ariel.

Farhan geleng. “Aku minta Fikri diamkan sahaja perkara ini dan beritahu doktor dan para jururawat supaya rahsiakan keberadaan aku di sini,” jelasnya.

“Pelik juga aku. Kalau tidak bukan main beriya kau menyamar segala. Masuk hospital apasal kau tak menyamar?” ujarnya setelah agak lama dia memikirkan selamba sahaja Farhan guna identiti sebagai Ariel.

Mana nak sempatnya fikir pasal itu semua. Kepalanya ketika itu berserabut. Dia berada pula di set penggambaran untuk video muzik bagi lagu terbarunya. Sebaik dengar ayat keramat Red melalui telefon, jantungnya terasa sakit, dadanya mula berombak, akhirnya dunianya terus gelap. Bila buka mata semula, dia sudah pun berada di atas katil hospital.

“Bunyi macam lain macam saja ni. Kau takut aku termenggoda nurse-nurse kat sini ek?” Renungan Farhan tajam menembusi mata Filia.

Filia berdehem. “Gi-la! Mana ada.” Hai hati kenapa dengan kau ni. Janganlah berdebar sangat. Bukan di hadapan lelaki ini. Tenang Filia. Farhan sekadar bergurau sahaja tu.

Farhan terkukik ketawa.

Kurang asam jawa. Buat main pulak dia. “Aku keluarlah kalau macam ini,” rajuk Filia.

Farhan masih lagi dalam mood mengusiknya, “Ala busuk-busuk, maaf itu hanya gurauan semata. Sumpah tiada niat pun.” Farhan siap mengangkat tangan lagak orang mengangkat sumpah. “Kecil hati betullah awak ni.”

Filia membalas dengan jelingan tajam.

“Aduh, terpana aku dalam renunganmu itu,” ujarnya penuh puitis.

Tak padan dengan sakit. Kali ini Filia pula ketawa. “Gila!” Terburai ketawa keduanya. Penuh bahagia. Tetapi benarkah ada bahagia hingga ke penghujungnya?

AIR yang di pesan tidak terusik. Fikiran Tira melayang entah ke mana. Fikri pelik. Kenapa pula dengan minah ini. “Tira, tadi kau yang ajak aku datang kantin. Air itu apa hal tak diminumnya?” tanyanya.

Tira tidak menyahut. Dia masih hilang dalam diri sendiri. Fikri menjerit kecil di tepi telinga Tira. Bahunya sedikit berhinggut.

“Fikri aku tak pekaklah,” marahnya.

Fikri terus membalas, “Aku tengok kau macam ada masalah berat sahaja. Jarang nak nampak kau termenung macam ni.”

Berat teramat berat sehingga tidak tertanggung. Dia tersepit di celah kemelut ini. Maju ke hadapan, ada yang akan terluka. Jika statik pada titik asal tetap juga ada yang menanggung derita. Bibir tersenyum, akan tetapi hati yang telah sedia bernanah jika tertusuk jarum pasti akibatnya teramat menusuk. Air di minum sekadar membasah tekak. Tira terus bangun. “Aku nak ke wad Filia. Kau nak naik sekali tak ke wad Farhan?”

Fikri geleng. “Kau pergilah dulu. Aku nak habiskan makan laksa ni dulu.”

Tira angguk. Dia terus mengatur langkah. Matanya berkelip tidak percaya. Bibir spontan tersenyum penuh mesra. “Mak cik?”

“Tira, Filia mana? Mak cik perlu bercakap dengan budak degil ni. Kali ini dia sudah melampau. Dia macam orang yang tak sayangkan nyawa.” Suaranya serak di sulami sebak yang menghuni. Tubir mata Puan Eliza juga mulai dipenuhi gerimis.

Fikri yang ternampak situasi itu dari jauh, kian di buru rasa ingin tahu.

Encik Helmi, ayah Filia memaut bahu Puan Eliza. “Eliz, cuba bawa bertenang. Kita naik jumpa Filia dulu.” Setelah di lihat mood Puan Eliza kembali tenang, Tira kemudiannya membawa kedua ibu-bapa Filia ke wad Farhan, kerana dia pasti Filia masih berada di situ.

DAUN pintu ditutup perlahan. Sebaik dia berpusing ke belakang. “Ibu? Ayah?” Nada suaranya bergetar. Matanya bertanya pada Tira. Tira angkat bahu. Filia menunduk menyalami ibu dan ayahnya.

“Tiada alasan lagi, kali ini kamu harus menjalani pembedahan. Muktamad!” tutur Encik Helmi tegas.

Puan Eliza memeluk anaknya, “Filia jangan rasa takut, ibu dan ayah yang akan bedah Filia. Kami pasti akan selamatkan Filia dengan izin-Nya.” pujuknya lembut.

Tira mengajak mereka ke wad Filia, mengerti perasaan Filia yang diterjah sebegitu. Dia juga bimbang sekiranya Farhan terdengar dari dalam.

Sebaik menapak masuk, Encik Helmi terus menjadi pemula bicara, “Ayah sudah pun berbincang dengan Doktor Sulaiman, dan dia mengatakan keadaan kamu sekarang sesuai untuk dibedah.” beritahunya.

Filia pandang sepi kedua ibu-bapanya. Suaranya bercampur sebak,

“Ayah, ibu… Filia tidak bersedia lagi. Filia tak mahu hilang memori. Ibu dan ayah sendiri tahu tumor itu berada dekat dengan peti memori. Filia tak mahu hilang segala kenangan. Tumor itu mungkin tidak sebesar mana tetapi Doktor Sulaiman sendiri yang cakap risiko untuk Filia hilang ingatan tinggi jika pembedahan itu berjaya sekali pun.” Air mata mula membasahi. Filia meminta pergertian dari keduanya. Matanya penuh berharap agar mereka menimbal semula keputusan yang telah dibuat.

Puan Eliza mengesat air mata Filia. “Filia, kalau kamu berterusan bersikap degil macam ni, ianya akan lebih membahayakan nyawa kamu.Try to be confident. Setiap kesulitan pasti ada kemudahannya. Ingat, Tuhan sentiasa mengabulkan doa hambanya, yang yakin dan ikhlas berdoa kepadanya.”

Dilentokkan kepala ke bahu Puan Eliza, “Ibu, Filia pinta sekali ini sahaja. Filia perlukan masa dan untuk itu Filia mohon agar ibu dan ayah beri keizinan untuk Filia tenangkan fikiran. Filia janji akan ikut cakap ibu dan ayah dan bersedia untuk dibedah.”

Mereka berdua saling berpandangan. Hanya Filia seorang anak mereka. Anak tunggal ini sering ditinggalkan sendirian lantaran pekerjaaan mereka berdua yang menuntut mereka bertugas di luar kawasan. Filia tidak pernah merungut. Kali ini hanya itu permintaaannya, dengan rasa berat hati mereka memberi kata putus dan memberi Filia ruang untuk bertenang dan berfikir sebaik mungkin.

“Tira, mak cik nak kamu temankan Filia. Kalau ada apa-apa yang buruk terjadi, senang untuk kami juga kerana Tira ada bersama.”

Tira angguk. Rasa sedih yang bertamu cuba di tahan sebaik mungkin. “Mak cik, saya balik dulu dah agak lewat ni.” pinta Tira mengundur diri. Tangan Puan Eliza disalamnya. Dia terus melangkah keluar.

Air mata yang mengalir turun disapu. Tidak di sangkanya, rupanya itulah sebab mengapa Filia berkeras tidak mahu menjalani pembedahan. Dia takut memorinya hilang, itu satu tamparan yang besar baginya. Segala kenangan terindah bersama ahli keluarga serta pengalaman suka dan duka bersama sahabat juga akan luput seiring dengan berjayanya pembedahan.

“Tira,” sapaan satu suara mengejutkan Tira.

“Kau? Kenapa kau boleh ada kat sini?”

“Tira, aku nak kau jelaskan satu persatu.” pintanya.

“Jelaskan apa?”

Dia tersenyum sinis, “Aku dah terdengar semuanya, jangan nak berdalih lagi.”

Tira gugup. “Baiklah.” Lalu mereka berdua berbual panjang.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Haiza Haifa