Home Novel Cinta Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Haiza Haifa
22/2/2015 06:32:54
122,427
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

FILIA RALIT menghadap foto-foto yang baharu di berikan Farhan. Dia tersenyum. Pelbagai karenah dan ragam orang ramai boleh dilihat di showcase Ariel, yang paling mengujakan dapat bergambar dengan para artis terkenal.

Filia ketawa sendiri. Ini yang terbaik apabila mendapat kawan yang juga seorang penyanyi terkenal. Dia juga boleh menumpang sekaki terberkenalan dengan mereka. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Jikalau dahulu memang dia agak bengang dengan Farhan kerana membohonginya. Akan tetapi kini dia sudah boleh menerima ‘split personality’ Si Farhan Nerdy yang langsung tidak nerdy ini.

Filia tidak menyedari akan kehadiran Tira. Tira langsung duduk di sebelah Filia. “Mak aih,” suara Tira mencelah di tepi telinganya.

Filia hampir terlompat, pantas dia menutup album di tangannya. “Bagilah salam ini tidak main terjah macam itu sahaja.”

“Salam? Dah wassalam dah pun. Berkerak tekak aku ini. Aku ketuk pintu pun kau buat tak tahu sahaja. Jadi aku terus serbu masuk” Tira menarik senyum segaris. Kening di angkat.

“Ini kenapa pula? Tadi membebel tiba-tiba senyum? Apa hal ini?”

“Kawan, cukup sudah. Tidak usahlah pakai sembunyi segala. Mari sini aku nak tengok album gambar itu.” Terus dirampasnya album di tangan temannya itu.

Filia tersentak. Tira jelir lidah lalu menyelak helaian yang pertama. Matanya membulat. “Mesranya gambar kau dan Ariel. Fikri pun ada? Dashyat tu.” Tira pandang Filia penuh tanda tanya.

Filia tarik album. “Mana ada biasa sahaja, bak sini balik.”

Tira berdegil. Dia pasti Filia ada menyembunyikan sesuatu. “Janganlah kedekut. Aik, yang ini di restoran masa kita berempat keluar sekali. Farhan pula tetiba sahaja missing in action? Ke mana dia pergi ?”

“Tira, kau ni apa hal. Sudahlah aku nak tidur.” Filia menyambar foto album dari tangan Tira.

“Kau nak tahu satu perkara tidak? Sebenarnya aku tahu satu rahsia ini. Besarlah juga.”

“Tahu apa?” Filia menepis kemungkinan Tira tahu akan siapa Farhan yang sebenarnya. Mustahil!

“Identiti Farhan? Atau aku patut gelar dia dengan nama yang sepatutnya?”

“Merepeklah kau.”

“Tidak. Aku siap ada bukti. Gambar kau bersama Farhan di showcase Ariel. Setahu aku Farhan dia kurang meminati artis lelaki melainkan…”

Filia kelu. Mulutnya terkunci. Memang sah itu aku dengan Farhan di belakang pentas dan macam mana pula Tira boleh snap gambar ni? Tira ni part-timer reporter ke?

“Tira ini bermakna, kau tahu yang Farhan itu..?” Filia musykil. Benarkah Tira mengetahuinya atau dia hanya serkap jarang.

“Ya, aku tahu. Sebenarnya sudah agak lama juga aku tahu. Ingat tak lagi, semasa kau hendak hantar jaket Farhan tu, aku ikut kau dari belakang.”

Filia teringat kembali, memang Farhan ada memesan padanya supaya menghantar jaket yang dipinjamkannya kepada Filia. Farhan memang tidak betah jika tidak memakainya di konsert.

“Jadi kau ikut aku? Aku kan minta kau tunggu di tempat parkir. ..”

“Ya, tetapi rasa ingin tahu aku membuak-buak. Hati aku rasa macam ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa siang hari Farhan minta kau kirimkan jaket setebal itu? Aku ikut gerak hati dan intip kau sehinggalah aku nampak Ariel berdiri di luar bilik persalinan artis.”

“Kau mengekori aku hingga ke dalam?” Mulut Filia ternganga luas.

“Aku benar-benar minta maaf, aku tidak sengaja. Aku hanya hendak tahu benda apa yang kau cuba hendak rahsiakan dari aku. Bila Fikri pun ada sekali ketika itu, ramalan aku jadi benar belaka. Lidah aku bagai di gam.”

Filia pandang Tira “Kau marahkan aku? Sebab sembunyikan hal ini dari pengetahuan kau?”

Tira geleng. “Tidak sebab aku tahu, Farhan pasti minta kau jangan bongkarkan rahsia ini.”

Deringan telefon bimbit milik Filia menghentikan perbualan mereka. Usai salam di jawab, bibir Filia mengukir senyum ceria.

“Ibu nak Filia jemput di terminal? Ayah pun ada sekali? Baik, esok kita jumpa.!”

Filia memeluk Tira. “Tahu tak esok ibu dan ayah aku nak datang sini.” Beritahu Filia dengan riangnya. “Sudah hampir 3 bulan sejak mereka berdua ditugaskan untuk bantuan di Palestin.”

Tira turut teruja untuk mengetahui lebih lanjut. “Bagusnya dapat menghulurkan bantuan pada mereka di sana. Kalaulah aku pun diberi peluang macam ibu dan ayah kau, aku pun mahu turut serta. Mesti ramai sukarelawan dan doktor seperti ibu bapa kau dari seluruh pelusuk dunia ini mengharapkan dapat berkhidmat untuk rakyat Palestin tetapi itulah terlalu banyak sekatan yang dikenakan oleh Israel. Misi Keamanan Palestin dari negara kita bernasib baik kerana berjaya melepasi sekatan mereka.”

“Syukur pada-Nya, kalau niat kita baik ianya tentu dipermudahkan!”

Mereka berdua merenung jauh moga masih ada sinar buat saudara seislam di Palestin, dengan izin-Nya pasti ianya akan menjadi kenyataan.

NAFAS SHASHA tersekat-sekat menahan penat. “Filia, kau tahu tak?”

Filia mengangkat muka dari bacaan novel. “Apanya?”

Shasha sengih. “Ariel dia nak buat konsert di sini bulan depan di stadium bola!”

Filia merenung jauh. Berita itu sudah pun dia ketahui terlebih dahulu. Al-maklumlah dia sekarang merupakan penasihat tidak bergaji kepada Ariel.

Shasha menggoncang badan Filia. “Filia terujanya aku tak sabar rasanya nak tengok konsert Ariel yang julung kali diadakan di pantai timur. Mesti gempak kan?”

Filia hanya membalas dengan anggukan.

Shasha sedikit menempelak apabila melihatkan Filia tampak kurang berminat dengan ceritanya. “Filia cakaplah sesuatu, dari tadi asyik diam sahaja. Kau pun fans Ariel juga kan?”

Filia angguk lagi, kali ini dia mula bersuara, “Ya, tetapi takkanlah sampai aku nak menjerit sampai pecah anak tekak kot? Aku bukannya fanatik macam sesetengah orang itu..”

Shasha cebik bibir. “Pegi da. Dulu satu bilik kau ni penuh dengan poster Ariel apa cerita? Mengata aku, dia pun lebih kurang aja. Hairan aku benda apa yang dah merasuk kau hingga membuatkan kau slow down dengan hal Ariel ini?”

Filia senyum tawar. Dia tidak tahu jawapan apa yang boleh meyakinkan Shasha supaya tidak mengesyaki yang bukan-bukan. “Bukanlah macam tu, dia masih sumber inspirasi aku. Aku bukannya seorang yang fanatik, aku kagum dengan suara dan bakat dia itu sahaja.”

Ketawa Shasha pecah. “Suka hati kaulah, asalkan kau bahagia.” Bingkai gambar di tepi katil menggamit perhatian Shasha, di ambil dan direnungnya lama. “Tetapi aku musykillah?”

“Musykil? Maksudnya?”

“Gambar kau dan Ariel ni, nampak macam tersangat rapat. Macam kau orang berdua bersahabat baik. Entahlah ini pendapat aku saja. Takkanlah kau dan Ariel ada skandal itu memang mustahil.”

Filia tidak memberikan sebarang reaksi. Sebenarnya dia lebih kepada risau jika Shasha dapat mengesan perubahan riak wajahnya.

Tira yang baharu sahaja pulang dari kuliah dan terdengar perbualan antara mereka berdua hanya mampu menahan tawanya agar tidak meletus. Dia terus mengambil tempat di sebelah Filia.

Kini, apabila Tira juga sudah mengetahui perkara yang sebenar barulah dia sedar mengapa dahulu Filia cuba mengelak daripada Shasha. Jadi tidak menghairankan baginya jika Filia ‘geli’ minat dengan kawan sendiri. Paling kelakar, habis semua poster yang dilekatkan di dalam bilik asrama di tanggalkan dan di letak di dalam laci.

Filia yang perasan akan tingkah laku Tira, spontan tangannya mencubit mesra lengan temannya itu. Sejurus selepas Shasha beredar, terburai ketawa Tira.

“Sumpah, aku tak tahan. Perut aku ni dah macam kena sembelit. Melucukan! Cerita kau ni kalau di buat filem sah pecah panggung.”

Tira menyambung lagi, “Geli hati aku tengok Shasha soal siasat kau.”

Filia tarik muka “Tira yang kau ni pun dah ada dekat luar tadi kenapa tak masuk saja, bukannya dia nak tolong di gelakkan kita pula,” Fila merajuk, mukanya mencuka.

Tira senyum. “Kau nak aku buat macam mana? Aku cuma rasa lucu gila. Kau dan Ariel skandal? Memang terbaiklah kalau benda ini betul. Akan heboh satu poli dan satu Malaysia!”

Meledak tawa mereka berdua.

“Sudahlah pergi mandi, bau kambinglah.” Filia menolak badan Tira.

Tira mencebik. “Kata aku kau pun sama bau hapak!”

Filia sengih. “Cepat sikit nanti ibu dan ayah aku dok tunggu kenapa kita tak sampai lagi”

Mata Tira bersinar “ Eh, betullah hari ni kan?” Tira sudah menghilang ke dalam bilik mandi.

Filia angkat kening. “Ibu dan ayah aku yang nak datang dia pula terlebih teruja.”

TERMINAL semakin sesak dengan ketibaan bas yang ingin mengambil dan menurunkan penumpang juga orang ramai yang ingin menuju ke destinasi masing-masing.

“Ibu dan ayah sudah sampaikah belum?” Telefon bimbit didekatkan lagi ke telinga. Hinggar di terminal menyukarkan Filia mendengar suara ibunya. Matanya melilau mencari kelibat ibu dan ayahnya.

Tira membawa bungkusan minuman lalu duduk disebelah temannya itu. Keningnya terangkat bertanya. Filia angkat bahu tanda dia juga tidak tahu. Jam di tangan di pandang sekilas. Tidak mungkin dia terlambat. Suara ibunya, Puan Eliza menjawab, “Ibu dan ayah di belakang awak saja.” Filia menoleh, di usap dadanya perlahan terkejut di tegur begitu. Tira turut menoleh.

Filia sengih. “Ibu. Ayah.” Dia tunduk menyalami kedua orang tuanya. Tira membalas salaman dari ibu Filia. Pada ayah Filia, hanya senyuman yang diberikan.

“Ibu, ayah mari kita ke gerai depan tu,” ajak Filia. Dia menolong mengangkat sebahagian beg yang di bawa mereka. “Banyaknya barang. Ibu bawa buah tangan apa untuk Filia? ”

Puan Eliza memaut mesra bahu anaknya. “Bertuah punya anak bukannya dia nak tanya ibunya ini sihat ke tidak? ” Filia menggigit bibir. “Minta maaf, madam.”

Tira senyum melihat kemesraan mereka berdua. Ayah Filia menyampuk. “Ibu dan anak kalau bertemu beginilah jadinya. Ayah diketepikan.”

Tira ketawa mendengar kata-kata ayah Filia. “Pak cik dan mak cik tinggal di mana nanti?” dia bertanya sambil tangan membantu memberi minuman yang di bawa oleh pelayan. Jawab ayah Filia, “Di hotellah agaknya. Kenapa?”

Tira pandang Filia. Filia angguk. Ibu dan ayah Filia pandang mereka berdua. “Begini pak cik, mak cik. Saya ada beritahu ibu dan ayah dan dia orang berbesar hati kalau pak cik dan mak cik sudi bermalam di rumah kami.” Ibu dan ayah Filia terdiam.

“Saya tinggal di hostel jadi bilik saya terbiar kosong. Saya fikir kalau pak cik dan mak cik sudi, saya boleh bawa pak cik dan mak cik ke rumah saya.” tutur Tira hati-hati bimbang juga dia jika tersinggung hati mereka berdua.

Filia pula berkata “Ibu dan ayah tak perlu bimbang. Ibu dan ayah Tira pesara kerajaan mereka lagi suka dapat menambah kenalan.” Mereka berdua angguk perlahan. “Kalau begitu, tidak ada alasan untuk kami menolak.” ujar Puan Eliza.

MULUT Filia becok menerangkan itu dan ini di sepanjang perjalanan. Sebaik sahaja kuliah terakhir berakhir dia terus mendapatkan kedua ibu bapanya di rumah Tira lalu membawa mereka bersiar-siar di sekitar bandar.

“Filia kita berhenti makan dulu, ibu dah laparlah.” Filia senyum. Wajah ibunya tampak keletihan. Ayahnya angguk menyetujui kata-kata ibunya itu. Sebaik sahaja selesai menjamah makanan mereka singgah di sebuah taman rekreasi yang berdekatan. Semakin ramai pengunjung membanjiri kawasan rekreasi ini.

Keriangan sekumpulan kanak-kanak menarik perhatian mereka bertiga. “Ayah..” panggil Filia. Ayahnya menatap wajah Filia. Bertanya kenapa. “Dekat Palestin tentu susah nak melihat suasana yang sebegini kan?”

Senyum ayah Filia tampak pudar sebelum berkata, “Ada tetapi jarang, berlainan dengan kanak-kanak kat sini yang tak perlu risau akan kehilangan sahabat atau ibu bapa mereka bakal di bom atau di tindas oleh rejim yang kejam. Disini kita hidup aman jadi kita patut menghargai keharmonian negara kita. Susah bagi ayah untuk melihat setiap wajah kanak-kanak di Palestin benar-benar tersenyum.”

Filia memeluk erat bahu ayahnya. Dia yang mendengar sudah terasa sebak. Ayahnya tentulah berkali ganda pilu di hati apabila menyaksikan sendiri kedaifan dan kesengsaraan hidup mereka.

“Ibu pula tentu sukarkan nak merawat mereka? Dengan kelengkapan perubatan yang kurang?” Filia tidak dapat menghilangkan rasa ingin tahunya.

Puan Eliza berkata “Ya, jujur ibu katakan minggu pertama kami disana amat menyukarkan. Stok ubatan yang kami bekalkan habis. Kebetulan misi keamanan dari negara lain turut bekerjasama menghulurkan bantuan mereka setakat yang termampu. Segala puji bagi-Nya, semuanya berjalan lancar.”

Filia merenung jauh mendengar kata-kata ibunya. Kepalanya dilentokkan ke bahu ibunya. “Segala puji bagi-Nya juga kerana mengembalikan ibu dan ayah dengan selamat.” tuturnya perlahan. Mata mereka bertiga kembali tertumpu ke arah sekumpulan kanak-kanak tadi.

“Filia are you feeling okay?” Pertanyaan ibunya di biar sepi. Ayah Filia angkat kening bertanya. Filia angguk. “Filia sihat. Ibu dan ayah tak perlu risau dan tolong jangan kata apa-apa pada Tira. Tolong!” Wajah Filia penuh mengharap.

Kegusaran tetap terpancar jelas di wajah mereka berdua. Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak, sementelah mengetahui kesihatannya tidak menentu.

“Filia, ibu awak ni doktor jadi ibu amat peka kalau ada sesuatu yang tidak kena pada anak ibu ni.” Kedengaran lirih suara ibunya.

Filia menggetap bibir. “Ibu, seriously I am really okay!” ujarnya cuba menyakinkan.

Keluhan perlahan dilepaskan. Ibunya mengangguk.

Hampir seminggu sebelum dia menjejakkan kaki ke Palestin berita tentang penyakit Filia telah mengugat perancangannya untuk mengikuti misi keamanan. Itu pun dia di beritahu secara tidak

sengaja oleh rakan setugasnya yang kebetulan mengesahkan penyakit anak tunggalnya itu. Filia ketika itu bertegas dan berkata keadaannya baik, dia beralasan kemungkinan ujian yang dijalankan tidak benar.

“Kalau rasa tidak sihat jangan ke mana-mana stay saja di hostel.” pesan ayah Filia setelah seketika mendiamkan diri. Filia menjawab perlahan. “Baik, doctors.”

HARI INI hujung minggu jadi Filia dan Tira memutuskan untuk bermalam di rumah Tira. Hari ini juga hari terakhir bagi kedua ibu bapa Filia kerana esok petang mereka akan berangkat pulang. Halaman ruang tamu kecoh dengan suara Tira dan Filia bercerita mengenai hal kuliah dan rakan-rakan sekuliah. Ada yang melucukan, ada juga yang memalukan.

“Kalau nak tahu Filia ni kalau bukan Tira yang kejutkan dia gerenti kuliah dia tertuang. Tidur mengalahkan apa entah.”

Ibu Filia ketawa. “Di rumah pun macam tu, kalau cuti hujung minggu menjadilah malasnya, Azura. Kejutlah dua tiga kali tetap liat mata dia nak terbuka.” Laju mulut Puan Eliza bercerita kepada ibu Tira, Puan Azura.

Filia menebar pandangan, “Ibu, ayah ke mana?” Jawab Puan Eliza, “Tadi dia ada di luar.”

Puan Azura menyampuk, “Saya ada lihat Abang Helmi dengan suami saya pegang peralatan memancing, agaknya mereka ke sungai dekat hujung kampung sana tangkap ikanlah tu.”

Filia sengih.“Habislah nanti, ayah saya tu memang kaki pancing, memang kenalah sangat.”

Terhambur ketawa mereka.

“Satu lagi mak cik Liza, Filia memang pandai tukar topik perbualan agaknya berjangkit dengan Farhan.” Filia cepat-cepat menekup mulut Tira.

Ibu mereka berdua saling berpandangan.

Puan Eliza merenung tajam ke arah Filia. “Dalam diam rupanya ada teman tapi mesra.”

Filia sengih. “Ibu, dia kawan sahajalah.” Jelingan tajam di berikan kepada Tira yang sudah terkukik ketawa di sebelah Puan Azura.

“Gelakkan orang dia pun sama Chik Zura, secret admire dia Si Zikri tu bertahun tunggu dia tapi dia jual mahal.” Filia mengorak senyum kemenangan.

Tumpuan beralih ke arah Tira. Tira senyum kelat. “Mana ada, Filia reka aja cerita tu.”

Filia menongkat dagu kemudian keningnya di angkat. “Ada aja. Itu memang kenyataan.”

Tira bangun dan cuba mencubit Filia. Filia pantas berlari menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa cubitan Tira. Mereka saling berkejaran seperti budak kecil tidak cukup tanah. Ibu mereka berdua hanya mampu menggeleng perlahan melihat telatah mereka sebelum menghamburkan tawa.

PUAN Eliza menapak perlahan memasuki bilik tetamu. Tira menyahut. “Mak Cik Liza, Filia dah tidur nak saya kejutkan dia?”

Perlahan dia menggeleng. “Tak perlu, sebenarnya mak cik nak bercakap sikit dengan Tira, berkenaan hal Filia. Kita sembang di luar?”

Tira menuruti langkah Puan Eliza. Puan Eliza membuka kata. Dia menarik nafas panjang. “Filia, dia sebenarnya kurang sihat.”

Tira tekun mendengar apa yang ingin di sampaikan oleh Puan Eliza. Dadanya sedikit berdebar. Apakah ibu Filia turut mengetahui? Benar juga takkanlah keluarga sendiri pun hendak di rahsiakan.

“Maksud mak cik Liza?” tanya Tira meskipun dia sudah menjangkakannya.

“Selama ini, Filia merahsiakan sesuatu dari kami. Sebagai doktor mak cik dapat rasakan Filia bukannya pening atau sakit kepala yang biasa. Kekerapan sakitnya menyerang terlalu membimbangkan mak cik dan pak cik Helmi. Mak cik berkeras mahu membawa dia menerima ujian tetapi Filia tetap berdegil berbagai alasan yang dia berikan.

Sehinggalah seminggu sebelum kami berangkat ke Palestin barulah kami mendapat tahu, itupun kebetulan dari rakan setugas mak cik yang bertanggung-jawab mengesahkan penyakit Filia.” Ada air mata yang bergenang di tubir mata Puan Eliza.

Tira sendiri cuba menahan air matanya daripada jatuh.

“Filia larang mak cik beritahu Tira tapi mak cik...”

Tira memeluk erat ibu sahabatnya itu. “Mak Cik Liza, Tira sudah lama tahu. Filia selalu kata dia telan vitamin. Tira tak percaya, sebabnya setiap kali dia telan vitamin tu, wajah dia pucat sangat.”

Puan Eliza angkat muka. “Selama ini Tira dah tahu?”

Tira angguk. “Saya pantau kesihatan dia dalam diam. Saya jumpa doktor, dan ternyata tekaan saya memang tepat, barah otak.” Suaranya bergetar menahan sebak, muka diraup.

“Saya kelu seribu bahasa. Tangan saya terketar bila doktor beri saya laporan sampel ubat yang di telan Filia saban minggu. Setiap malam saya pandang wajah Filia, masihkah ada hari esok untuk sahabatku ini menjalani hidupnya. Saban malam saya berdoa, supaya di sembuhkan penyakitnya.”

Air mata sudah merembes keluar tanpa dapat di tahan lagi. “Barulah saya faham mengapa dulu Filia sering mengasingkan dirinya. Rupanya derita yang di alaminya…”

Sepi. Mahu pun Tira atau Puan Eliza terdiam seribu bahasa; saat sepasang mata itu bertentangan dengan mereka berdua.

Pantas Tira merangkul badan sahabatnya itu. “Maafkan aku. Aku tak patut buat begini tapi aku benar-benar sangsi.”

Pipi Filia sudah basah dengan air mata sejak dari mula dia terdengar perbualan ibunya dan Tira. Filia tidak tidur dia hanya mahu melelapkan mata seketika, selepas itu dia terdengar ibunya memanggil Tira, dia lantas berpura-pura tidur namun tidak disangkanya ibunya membongkarkan rahsia tentang penyakitnya dan sebaliknya pula Tira sudah lama tahu.

“Janji dengan aku. Simpan rahsia ni. Aku tak mahu yang lain tahu.” ujar Filia sambil jemarinya mengesat perlahan saki baki air mata dari pipi Tira. Tira angguk.

Ibu Filia menghampiri anaknya. “Tira mak cik amanahkan Filia dalam jagaan Tira. Kalau dia berdegil tak nak makan ubat Tira repot pada makcik” Air mata Puan Eliza jatuh lagi. Filia dan Tira di peluknya erat.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Haiza Haifa