Home Novel Cinta Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Haiza Haifa
22/2/2015 06:32:54
122,421
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

‘ARIEL BERCINTA DENGAN Surya Alya!’. Gamat seisi dewan kuliah dengan jeritan pelajar-pelajar perempuan yang meminati Ariel.

Shasha menunjukkan muka depan majalah hiburan itu, “Filia kau tengoklah ini. Mereka berdua ni memang tidak sepadan langsung.”

Filia angguk, kemudian geleng. Sesaat kemudian dia jongket bahu. “Entah, no comment.” jawabnya pendek.

Shasha kerut dahi. “Apa? Bukankah kau minat juga dengan Ariel kan?”

Filia senyum nipis, bawah bibir digigit. Kalaulah boleh di laung sekarang lega rasanya hati. Sebulan telah berlalu. Sukarnya untuk dia menyimpan rahsia.

Kenapalah dulu Shasha boleh ternampak album Ariel di dalam begnya. Ditariknya Filia masuk ahli kelab peminat, dalam terpaksa dia merelakan diri. Terasa menyesal pula sekarang ini.

“Sha, hal dia biarkan sajalah. Asalkan dia bahagia. Aku gerak dulu.” Dia mula bangun.

Shasha tidak puas hati. “Kau betul atau tidak ni. Surya ni sudahlah gedik. Dia ingat dia cantik sangat. Kalau betullah cerita ni, aku ganyang perempuan ni.” Bersemangat Shasha membangkang ‘percintaan’ Ariel.

Filia ketawa sehingga mengalir air mata. “Macamlah kau berani sangat nak buat macam tu. Tak takutkah di buatnya si Surya itu pun mak singa macam kau, gerenti masuk Buletin Utama.”

Shasha cebik bibir. “Cubalah dia serang aku balik. Aku nenek segala singa. Lagipun aku presiden kelab. Jadi siapa yang nak jadi girlfriend Ariel harus berdepan dengan aku.” ujar Shasha masih tidak habis dengan lagaknya.

Dalam Filia dan Shasha sedang asyik berborak, Farhan menerpa duduk di sebelah Filia. “Filia, ikut aku,” Beg sandang Filia sudah di ambilnya. Filia buat muka. Ini sudah tentu nak ‘jelaskan’ mengenai gosipnya dengan Surya.

Shasha meyampuk “Kau tak reti beri salam dulu, main terjah ikut suka hati.”

Farhan memekakkan telinga malas mahu melayan karenah Shasha. “Filia, benda ini penting,” desak Farhan. Filia merengus perlahan. Dia bangun.

Shasha terkulat-kulat di tinggal begitu. “Filia, assignment ni macam mana.?” jerit Shasha “Kau kata nak discuss di library.

Filia melaung dari jauh “Malam ni aku datang ke blok kau.”

“TERUK betullah, memandai saja dia orang reka gosip yang gila macam ni? Aku hanya bertegur sapa sahaja dengan Surya, itupun masa kita selisih dengan dia di KLCC. Siap ada kau dengan Fikri lagi, boleh dia orang tulis hanya aku dan Surya sahaja. Siap makan malam ala romantik pakai lilin segala. Ingat penggambaran filemkah apa?”

Filia ternganga, panjangnya dia berleter, mengalahkan ibu aku. “Farhan, bertenang! Kau kalau dah mula bercakap bukannya tahu nak berhenti.”

Farhan melabuhkan punggung, duduk di sisi Filia.

Fikri memerhati sahaja gelagat mereka. Nasi goreng di suap ke dalam mulut. Terfikir olehnya bagaimanalah mereka berdua boleh menjadi sahabat? Walhal masing-masing ibarat kutub utara kutub selatan. Hairan aku?

Farhan di lihat melepas nafas perlahan. “Bukankah bagus macam ni. Tenang. Farhan kau jangan ikutkan perasaan sangat, nanti kau boleh sakit jiwa. Tekanan perasaan yang melampau boleh mengancam nyawa.” nasihat Filia.

Hening. Farhan tongkat dagu. Berseleranya melihat Fikri menjamah nasi goreng. Perutnya mula memalukan gendang. “Kak Timah, nasi pattaya satu, jus oren kurang gula satu...”

Pesanan makanan secara tiba-tiba oleh Farhan membuatkan muka Filia memerah menahan kegeraman. Dalam pada dia tengah serius menasihati, boleh pula Farhan aci redah pesan makanan macam itu sahaja.

“Farhan, kau pernah tengok gunung berapi meletus di Malaysia tak?” lunak suaranya bertanya.

Farhan dengan muka tidak bersalahnya bertanya, “La… kau pernah nampak? Di mana? Sempadan Siam?”

Filia menggepal penumbuk. “Kalau aku jatuhkan bom ke muka kau, rasanya pasti otak kau berfungsi semula kan?”

Farhan ketawa. Sensitip betullah minah ni.

Fikri yang dari tadi enak menjamu selera menyampuk. “Filia, comellah bila kau marah.”

Filia merenung mereka berdua lama. Farhan dan Fikri terdiam terus.

Farhan mula serius. “Iya, aku tahu. Akan tetapi kali ini mereka agak melampau, aku bersabar selagi aku boleh bersabar. Sekarang ini bukan saja peminat aku yang marah. Aku ni lagi membara.

Surya tu sudahlah perhubungannya sesama rakan artis terlalulah rapat melebihi sempadan usia. Sesama jantina mungkinlah agak terkawal tetapi yang berlainan semuanya dia nak sapu. Aku dengar yang pangkat Datuk pun, dia kebas. Ini bukan gosip tapi fitnah. Kalau mak bapak aku tahu, habislah berkecai kerjaya seni aku.”

“Farhan kalau pun kau marahkan wartawan tak baik tuduh Surya yang bukan-bukan. Mungkin dia juga mangsa. Aku tengok Surya lemah lembut sahaja. Kita tidak sepatutnya bersangka buruk dan mengadili sikap seseorang kerana yang selebihnya akan terarah kepada kita.”

Filia, kau tak tahu Surya tu macam mana. Kau tak tahu dunia artis ni macam mana. Namun, dia tetap angguk bersetuju. Dia tahu, Filia hanya ingin menenangkannya. “Thanks,” ucapnya pendek.

Filia senyum. “Most welcome!”

“Idea!” Fikri terus bangun. Filia dan Farhan terkejut. Filia mengusap dadanya. “Apa kata kau mengaku bahawa kau sudah ada teman istimewa. Jadi takkan ada gosip liar tentang kau lagi.”

“Kau gila! Dia orang buat semua itu sebab mahukan Farhan dedahkan ‘awek’ tak wujud dia.” bangkang Filia. “Paling bahaya bila mereka ini dapat hidu siapa Ariel yang sebenarnya. Kau mahu kehidupan peribadi Farhan terjejas?”

“Filia nampaknya kau begitu mengambil berat hal Farhan. Why not kau jadi awek Ariel?” Fikri angkat kening “What say you?”

Farhan tenung Fikri tajam. Fikri membuang pandang ke arah lain.

Filia kaku di situ, beberapa saat kemudian “Aku ada hal, nanti Tira cari pula ke mana aku pergi. Aku janji nak temankan dia outing.”

“Filia, kau sahabat aku kan?” suara Farhan menerpa perlahan.

Filia berkata untuk sekian kalinya, “Aku tak nak terlibat dalam perkara ni. Betul aku sahabat kau. Aku sentiasa menyokong kau tapi untuk menipu begini aku tak setuju!!”

“Baiklah, aku tak nak paksa. Aku hormat keputusan kau. Filia, Fik, thanks! Aku tahu kau orang risaukan aku tapi bila di fikirkan balik, biarlah aku selesaikannya dengan Abang Murad.” Putus Farhan.

FILIA dan Fikri termanggu seketika, sabar menanti panggilan dari Farhan. Filia mula tidak sedap hati. Wajahnya mula menampakkan riak kerisauan. Bimbang sekiranya Farhan melakukan perkara yang tidak masuk akal hanya kerana gosip itu.

“Fik, aku gerak dulu.” beritahu Filia.

Fikri mengajukan pertanyaan, “Kau nak pergi mana? Cari Farhan?”

Filia tidak menjawab. Dia terus beredar.

Fikri hanya mampu menggeleng kepala. Dia amat berharap dapat menyatukan mereka berdua dalam keadaan ini, nampaknya semuanya terserah pada takdir.

KELEGAAN jelas terpancar di mukanya. Akhirnya orang yang dicari, ditemui. Entah bagaimana dia dapat merasakan Farhan bukannya pergi jumpa Abang Murad akan tetapi datang mencari ketenangan di kawasan perbukitan ini. Filia memberi salam. Mata Farhan membuntang, namun dia tetap membalas salam dan mempersilakan Filia duduk di sisinya.

“Macam mana kau tahu aku…”

“Ada di sini?” Potong Filia.

Farhan angguk.

Filia sengih. “Heh! Tak tahu pun! Aku main agak saja.”

Farhan tunduk mencebik.

Kicauan burung mengalunkan melodi indah mengisi kesunyian antara mereka.

Filia bersuara memecah kebisuan “Farhan…”

Farhan menyahut perlahan, “Ya, saya!” matanya masih melekat pada sekawanan burung yang seakan menari pabila disapa sang angin.

“Hidup ini kalau tidak ada cabaran bukan hidup namanya. Contohnya, kau jadi artis pastinya ada liku-liku yang kau harus tempuhi. Akan tetapi kerana minat, sabar dan yakin pada diri. Kau tetap teruskan langkah walaupun jatuh.”

“Aku pasti sebelum jadi artis kau tentunya sudah dapat merasakan yang perkara sebegini pasti akan berlaku. Lumrah alam. Tidak semua orang suka melihat kejayaan pada seseorang itu.”

Filia diam sebentar sebelum meneruskan. Farhan hanya menjadi pendengar yang setia.

“Aku pelik juga dengan kau sebenarnya, walhal sebelum ini banyak lagi gosip yang mengarut tentang kau tapi kau sedikit pun tidak goyah tetapi sekarang?”

“Ada tokoh jadi pakar motivasi rupanya sahabat aku ni.” Farhan berkata perlahan tetapi tetap jelas di pendengaran Filia.

Filia mencebik. “Itu mengata akulah tu. Kita ini bersungguh bagi nasihat kat dia boleh pula dia kata macam tu?” Filia merajuk.

Farhan ketawa. “Buruknya rupa. Aku gurau sahajalah. Whatsoever, thanks a lot! I’m really appreciate it.” Farhan merenung lama ke dalam anak mata Filia tanda dia jujur menghargai dorongan dan sokongan dari Filia.

Filia berdehem kecil. Dia tidak selesa di tatap sebegitu rupa. Panahan mata Farhan seakan mengocak benteng hatinya. “Jom, hari pun dah petang sangat ni,”

Farhan tidak mengendahkan ajakan Filia. Dia masih tidak berkutik walaupun sesaat.

“10 minit lagi. Aku nak tengok matahari terbenam.” Suaranya seakan merengek. Manja.

“Mengada-ngadanya!” Filia terpaksa menurut lalu duduk semula.

Indahnya. Langit bertukar menjadi jingga disimbah sedikit warna seakan kemerahan. Filia punya impian mahu melihat pemandangan ini dengan seseorang yang istimewa tetapi seringkali jua dia melihat bersama Farhan. Pertama kali masa di pantai dan kali ini di sini. Apakah ini suatu kebetulan yang aneh atau takdir sedang melukiskan sesuatu yang tidak terduga buat mereka?

“Kau tahu tak kau dah merosakkan impian aku?”

Farhan pandang Filia tidak faham.

“Maksud aku... ini kali kedua aku tengok matahari terbenam dengan kau. Aku kan selalu angankan dapat tengok ini dengan seorang yang istimewa tapi hancur…”

“Aku pun sama juga Filia. Memang agak pelik bila lelaki mengharapkan benda yang macam ini tapi pada aku, it’s a nice thing.”

“Tapi kau mesti agak kecewa kan?”

“Kenapa pula?”

“Yalah, terpaksa melihat panorama nan indah ni dengan aku. Mana nak romantiknya tengok dengan kawan kan? Tengok dengan awek barulah tangkap cintan.”

“Awek? Siapa awek aku?”

“Surya Alya.” Filia ketawa. Seronok dapat mengenakan Farhan.

Farhan yang geram dengan telatah Filia spontan mencubit hidung sahabatnya itu.

“Sakitlah. Apa cubit-cubit ni! Hidung aku ni hanya untuk suami aku je tau. ” Sejak bila Farhan dah berani sentuh-sentuh aku ni?

Giliran Farhan pula yang ketawa. “Sebenarnya bagus juga tengok dengan kau. Kau pun istimewa juga di hati aku.”

Filia tergamam. Matanya membulat kemudian mencebik. Dia tahu Farhan memaksudkannya tetapi dalam erti kata seorang sahabat.

“Filia..”

“Hmm… saya!”

“Filia…”

“Apa dia? Aku tahulah nama aku sedap tak payahlah nak panggil banyak kali. Aku masih boleh mendengar bukannya pekak.”

“Jom couple?”

Sepatah kata dari Farhan memaksa Filia spontan berdiri membelakangkan Farhan.

“Aku serius.”

Filia ketawa mendengar ajakan Farhan. “Kau kalau iya pun tengah runsing dengan hal gosip tu. Janganlah sampai nak buat lawak pula.” Terasa melucukan. Dia dan Farhan? Memang dashyat sungguh otak Farhan boleh pula dia fikir perkara luar alam.

Farhan senyum nipis. Dia sendiri kurang pasti mengapa di saat Filia berkata tidak pada cadangan Fikri, hatinya sedikit terguris. Apa yang kurang padanya sehinggakan hanya untuk menyamar sebagai teman wanita, Filia tidak sudi.

“Kenapa? Kau tidak sukakan akukah? Bukankah kau suka Ariel? Jadi kenapa kau menolak untuk menyamar sebagai teman wanita? Apa alasannya?” Farhan jelas menuturkan apa yang dirasainya.

Filia binggung, dia memikirkan Farhan mungkin keliru dan tertekan. “Aku rasa kau ini tidak demam, sihat masih waras lagi. Apa yang tidak kena sebenarnya ni?”

Farhan memicit dahinya. Suhu badan terasa makin panas meruap hingga ke kepala. Lembabnya, takkan kau tak tahu apa sebabnya perempuan. Aku cintakan kaulah, Filia. Farhan terkedu, mendengar suara hatinya sendiri.

“Sudahlah, cakap dengan kau serupa bercakap dengan tunggul kayu!” Farhan sudah berjalan jauh meninggalkan Filia.

Filia terpingga-pingga, tidak sempat memproses apa yang Farhan katakan.

“Filia, jom balik...” laung Farhan.

Filia menyahut sambil kelam kabut berlari mendapatkan Farhan.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Haiza Haifa