Home Novel Cinta Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Haiza Haifa
22/2/2015 06:32:54
122,419
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

FILIA MERENUNG siling di bilik Tira. Petang tadi dia sudah dibenarkan keluar dari hospital. Sekarang dia bermalam di rumah Tira. Ibu dan ayah juga bermalam di sini. Sebenarnya sejak sebelum dia menjalani pembedahan lagi. Mereka berdua risaukan keadaan Filia lantas memutuskan untuk menumpang tinggal buat sementara waktu di sini. Tambahan pula ibu dan ayah Tira sudah pun mengenali dan mesra dengan mereka berdua sejak kedatangan mereka beberapa bulan yang lalu.

Farhan sejak dari pagi tadi entah berapa kali menelefon dan menghantar mesej. Jadualnya yang padat tidak memungkinkan dia menjemput Filia. Dia berasa begitu bersalah. Oleh itu, dia berjanji akan datang awal menjemput Filia apabila mahu ke kampung atuknya nanti.

Memikirkan itu Filia jadi resah, dia mengeluh perlahan,“Tira aku rasa macam tak nak pergi kampung dia.”

Tira berpaling dari bacaan novelnya lalu menongkat dagu. “Kenapa pula? Bukankah kau sudah berjanji hendak ke kampung dia, kenapa pula sekarang rasa tidak mahu? Boleh anda ceritakan kepada saya?”

Filia tepuk perlahan dahi Tira. “Buat main. Aku cakap serius ni.”

“Baiklah, sebenarnya kenapa? Kau gaduh dengan dia lagi?” Tira bertanya sekali lagi. Dia bangun duduk di birai katil, tangan di letakkan di bahu temannya itu. “Aku tengok kau dan dia baik je?”

Dia mengeluh perlahan, kemudian angkat bahu. “Entah aku sendiri tak tahu. Aku rasa macam tidak sedap hati. Rasa lain macam saja. Farhan memanglah aku kenal tapi keluarga dia? Dibuatnya dia orang ingat aku ini teman istimewa dia haru aku.”

Tira senyum. “La... apa susah mengaku sahajalah. Memang betul pun kau teman wanitanya!” gurau Tira.

Filia menampar lengan Tira. Mata dijegilkan. “Kau kalau nak bergurau pun jangan benda inilah. Aku dan dia hanya kawan.”

Tira menjuihkan mulut. “Berkerak dah telinga aku dengar ayat yang sama itu berulang kali. Cubalah sesekali ubah sikit, dah basilah ayat tu.”

“Memang itu yang aku rasa. Aku dan dia hanya kawan. Katalah apa yang kau nak kata. Pada aku hubungan persahabatan aku dan dia tidak akan berubah. Kami dah berjanji ikat kontrak mati teman sejati selamanya.”

“Memanglah hanya teman sejati bagi kau tapi pada pendapat aku teman sejati sehidup semati selamanya bagi Farhan. Kau tahu tidak betapa tak tentu arahnya dia bila dapat tahu pasal penyakit kau. Aku nampak sendiri dengan mata aku, dia hampir menangis.”

Tira sudah duduk menghadap Filia. “Kebelakangan ini pula aku tengok Farhan macam dah tak nak cover dia punya hidden secret. Minggu lepas dia datang melawat kau dengan identiti Ariel kan?” Filia angguk lemah. “Itu bermakna apa? Aku rasa kau sendiri dah boleh agak.”

Kosong. Entah mahu ditafsirkan sebagai apa perhubungan mereka tika ini. Tira mengandaikan Farhan ada hati padanya. Dari pandangan dia, Farhan nampak biasa sahaja. Baiklah ada kelainan sedikit, itupun sebab dia mengambil berat dan bimbangkan kesihatan dia selepas menjalani pembedahan. Dia sendiri pun sebenarnya risaukan Farhan. Dia bekerja sehari ke sehari, boleh pula berkejar ke hospital kerananya. Dia bimbang Farhan jatuh sakit kerana dirinya. Pagi tadi pun jenuh dia berkeras dengan Farhan agar jangan datang menjemputnya kalau dah sibuk. Barulah Farhan mengalah.

“Lusa ni ibu kau nak buat kenduri kesyukuran kan? Aku jamin seratus peratus dia mesti akan cuba sedaya upaya untuk datang.” ujar Tira penuh yakin.

Filia tertunduk lama merenung lantai, seketika kemudian matanya mula berkaca.

“Tira, throw away your prediction, aku dan dia hanya boleh kekal sebagai kawan. Okey, mungkin kau akan kata aku takut segala yang aku miliki dengan Farhan akan hilang. Ya, memang betul pun, aku takut kehilangan kawan yang baik seperti dia.”

Suara Filia seakan serak. “Dan lagipun aku tak rasa aku sesuai untuk dia. Dia tetap Ariel!! Penyanyi popular tanah air! Itu kenyataan dan realitinya sekarang kau cakap dia sukakan aku dan selama ini aku hanya sukakan seorang sahaja, orang itu Farhan!! Farhan! Bukan Ariel!!” Merembes keluar air matanya.

Tira sudah pun memeluk Filia. Dia mengusap lembut rambut Filia.

“Aku minta maaf aku tak patut selongkar rahsia hati kau tapi aku terpaksa aku tak suka tengok kau pendam perasaan seorang diri. Aku tahu sukar bagi kau mengakuinya tapi sesekali tidak salah untuk kita menyatakannya walau hanya pada diri sendiri. Selagi kau menolak semakin mendalam perasaan itu akan menguasai hati kau.”

Aku tahu kau sebenarnya keliru. Farhan kawan baik kau. Ariel pernah menjadi idola kau. Satu saja yang tidak berbeza mereka berdua itu orang yang sama. Dia cintakan kau cuma mungkin dia sendiri tidak berani menyatakannya, bimbang kau akan menolak.” Tira membuat kesimpulan.

Filia masih teresak menangis di dada Tira. “Tira tolong simpan rahsia ini.” Tira angguk. “Jangan bimbang, selama ini pun aku selalu ada di sisi kau susah atau pun senang kan?

Aku lega kerana akhirnya kau jujur pada perasaan sendiri. Dahlah janganlah nangis, hodohlah muka awak kalau menangis macam ini.” usik Tira cuba berseloroh.

Filia akhirnya ketawa perlahan.

Terima kasih teman, kau tak pernah tinggalkan aku sendirian. Dalam sunyi aku merasai kehadiranmu, tika sakit kau setia menemaniku, dalam aku keliru dengan perasaan sendiri, kau hadir menenangkan aku. Tira, kau sahabat aku dunia dan akhirat. Pada-Nya aku meminta agar berkekalan kasih kita.

SEGALA puji bagi-Nya, selesai sudah kenduri kesyukuran bagi meraikan Filia yang telah selamat di bedah.

“Filia, janji dengan ibu jaga diri. Amalkan pemakanan yang berkhasiat, jangan main taram saja makan minum kamu tu. Awak tu baru saja keluar dari hospital jangan sampai masuk kali kedua, nanti ibu dan ayah pula yang sakit.”

Filia terangguk-angguk mengiyakan saja. Al-maklumlah apabila ibunya, Puan Eliza ini sudah bertukar mod kepada doktor peribadi dirinya. Jalan penyelesaiannya lebih baik angguk atau diam saja. Kalau tidak lagi berjelalah ceramahnya. Agaknya sampai sebelum Subuh pun belum habis lagi da..

Si ayah, Encik Helmi mula mencelah. “Eliz, kalau iya pun jom masuk makan dulu, petang nanti kita dah nak bertolak balik, karang sampai Sungai Petani lewat pula. Esoknya saya dah nak masuk bertugas, awak tu takpalah, dapat cuti panjang. Bos saya tu, lambat sikit pun dah nak memekak. Saya paling pantang kalau pagi-pagi dah kena sound, dek orang tua tu.”

“Ya baik, saya datang. Sesekali nak bermanja dengan anak pun tak boleh. Sudahlah anak kita ni di ajak balik sekali tak nak, nak pergi bercuti di kampung kawan. Awak tu, ikutkan sangat budak ni, kalau jadi apa-apa macam mana.” rajuk Puan Eliza.

“Eliz, awak bukannya bermanja awak bagi ceramah kat budak tu, dia dah besar pandailah dia jaga diri. Sekali-sekala kita lepaskan dia tengok tempat orang. Kalau macam ni sampai bila-bila pun Filia takkan berkahwin sebabnya awak tu terlalu mengongkong dia.”

“Mana ada kalau tidak takkan terlepasnya dia belajar sampai di sini.”

Encik Helmi ketawa perlahan. “Emm, itu sebab saya yang pujuk awak kalau tidak…”

Puan Eliza bangun. “Dah jom masuk awak kalau dah mula bercakap payah nak berhenti.” Puan Eliza dan Encik Helmi sudah menghilang ke dalam rumah.

Filia geleng kepala. Ayahnya kalau dah mula berleter mengalahkan mak nenek. Siapa kata orang lelaki tak berleter, hah ini contoh terdekat, ayahandanya yang tercinta, sampaikan ibunya pun tidak terlawan.

Tira yang duduk disebelah Filia mengulum senyum. Ibu dan ayah Filia memang agak kelakar karakter mereka, bezanya macam langit dan bumi, tapi itulah kuasa Tuhan, tetap serasi bersama juga walau tinggi mana pun perbezaanya.

Filia menyiku Tira. “Senyum-senyum ni apahal? Kau nak nombor telefon Hospital Bahagia? Senang sahaja aku boleh minta kat ayah dan ibu nak tak?”

Tira tarik muka. “Oho, kau ingat otak aku dah merenglah?”

Filia gelak. “Aku tak cakap itu kau yang cakap.” Lalu berlakulah adegan kejar mengejar ala-ala filem Hindustan.

Tiba-tiba mereka berdua berhenti berlari. Filia menahan penat. Tira sudah terduduk. Mata Filia membulat. Jejaka itu entah dari mana munculnya sedang tersengih memandangnya.

Filia mendengus. “Apa tengok-tengok?”

Dia ketawa. “Bertenang janganlah marah-marah. Baru tiga hari tak jumpa kau dah garang ek?”

Filia tidak menjawab. Di pandang lelaki itu atas bawah, kemudian dia garu kepala, kepala pula digelengkan perlahan.

Tira pelik. Kenapa pula dengan Filia ni?

Lelaki itu pula lagilah tidak senang duduk di tenung Filia lama begitu.

“Farhan kenapa kau kurus sangat ni? Kau tak cukup tidur? Aku yang sakit, kau pula yang terlebih nampak sakit dari aku.”

Melopong terus Farhan dan Tira.

“Mana ada, aku sihat! Mungkin ini sebab aku diet.” ringkas jawapan Farhan.

Filia membalas, “Diet konon, macam lidi adalah.”

Senyap. Farhan menatap wajah Filia lama. Ayunya bila Filia bertudung. Kan bagus kalau dari dulu dia pakai macam ni . Cantik. Jelita.

Filia mengangkat kening bertanya. Farhan senyum. “Kau sihat?” Di angguk perlahan. Tira menguntum senyum lalu mengundur diri meninggalkan mereka berdua.

“Persiapan album baru kau macam mana?” Pertanyaan yang hanya sekadar di lontarkan tanpa arah. Filia jadi resah sendiri. Sesi luahan hati bersama Tira, membuatkan dia berasa segan berhadapan dengan Farhan.

Farhan melurutkan cermin mata tebalnya mata ke bawah, di kenyitkan mata, “Ini Ariel, jadi semuanya dah pun selesai dengan jayanya, tiada yang mustahil dengan adanya diriku ini.”

Filia mencebik meluat lalu di tadahkan tangan, “Ya Tuhan, bantulah temanku ini agar dia tidak terlalu membangga diri, amin!” Farhan menjeling geram. Filia senyum geli hati.

Angin petang berhembus perlahan. Sesekali selendang Filia berombak di sapa angin.

“Esok dalam pukul 8 pagi kita bertolak.” beritahu Farhan.

Filia yang sedang ralit menikmati angin yang menyentuh lembut pipinya, tidak mendengar dengan jelas butir bicara Farhan, terkebil-kebil matanya bertanya Farhan.

“8 pagi? Awalnya. Kita nak pergi mana?”

Farhan tolak perlahan kepala sahabatnya itu, “Kalau orang bercakap tolong dengar, buka telinga itu, bukannya berangan.” kata Farhan.

Filia sengih. “Kau bercakap pasal balik ke kampung atuk kau?”

Farhan geleng. Wajahnya bertukar serius. “Tak, kita balik Sutrasia! Aku bawa kau jumpa ibu dan ayah aku!” Farhan tersenyum penuh makna pabila melihatkan seraut wajah Filia mulai berubah keruh.

“Cik Filia, kenapa ni? Saya hanya acah sajalah bukannya betul pun! Lain kali jangan nak buat pekak tolong dengar bila saya bercakap.” sakat Farhan lagi apabila Filia masih tidak memberikan sebarang reaksi. Agak lama juga dan Filia masih tetap begitu. Farhan tolak bahu Filia. Filia tersentak. “ Kau okey?” tanya Farhan bimbang. Balas Filia, “Hmm… okey je!”

Farhan hela nafas. “Kau buat aku takutlah.”

Filia mengukir senyuman mendengar kata-kata Farhan itu. “Aku peliklah siapa diri kau yang sebenarnya ni? Farhan atau Ariel? Aku keliru.” Tanpa sedar dia bertanya soalan itu pada tuan empunya badan walhal kalau di ikutkan itu hanyalah lebih kepada monolog kepada dirinya sendiri.

Filia tersedar apabila Farhan bertanya padanya, “Apa maksud kau ni? Aku tak faham!”

Filia membalas dengan sengihan untuk menutupi kesalahan sendiri.

“Nothing, I’m just rumbling. Just ignore it.”

Farhan garu kepala berpura-pura tidak memahami. Walhal dia sendiri jelas mengapa Filia bertanya sedemikian rupa. Dia sendiri pun tiada jawapannya, dia juga keliru jadi manakan dapat dia menjawabnya.

Di sebelah sini dia hanya mahu kekal menjadi sahabat Filia, di jalan yang satu lagi, dia mahu terus mengejar impian menjadi penyanyi yang disegani ramai. Namun itu, sebenarnya telah pun dia miliki. Berpaling ke belakang, ada janji yang harus dia lunasi terhadap ayahandanya yang tercinta. Tanggungjawab yang berat sedang menantinya di hadapan. Ingin sekali dia meraung namun adakah ianya cukup untuk meleraikan segala kekusutan?

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Haiza Haifa