Home Novel Cinta Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Suami Aku Putera Raja (Terungkap Kata Hati)
Haiza Haifa
22/2/2015 06:32:54
122,417
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

TIRA SUA BUKU yang dicari Filia. “Mana kau jumpa? Kenapa aku tak nampak pun tadi?”

Tira tidak menjawab, dia terus duduk menghadap Filia. Helaian buku itu diselaknya. Dia bersuara perlahan, “Filia sampai bila nak berterusan begini?”

Mukadimah dari Tira cukup untuk membuatkan riak di muka Filia berubah. Filia buat-buat tidak memahami. Tira tarik buku dari tangan Filia. Filia tarik muka.

Tira langsung tidak mempedulikan Filia dia terus berkata, “Dengar sini, kau yang sebenarnya lari dari perasaan sendiri. Ego. Kau dan Farhan sama-sama ego. Sahabat? Pada pendapat aku lelaki seperti Farhan tidak akan menjalinkan persahabatan dengan seorang wanita melainkan dia ingin bersama dengan wanita itu seumur hidup. Kalau tidak untuk apa dia hendak mengenali kau dengan begitu mendalam.

Farhan yang mana kau sendiri tahu identiti sebenar dia. Dia itu kalau boleh, petik sahaja jari dan akan datang beribu peminat dia melutut mahu menjadi teman wanita dia. Selama ni semua orang menyangka gosip itu ini tentang dia semua benar tapi aku tengok, setiap kali dia ada masa yang terluang dan tidak ada show, dia bersama siapa? Walaupun hanya terperuk je dalam library, dia sanggup.”

Filia terpempan mendengar kata-kata Tira. Tira sebelahkan Farhan? Jadi aku yang bersalah? “Tira, kau rasa aku yang bersalah? Farhan dia yang mulakan dulu. Dia mogok suara dengan aku dan kau menangkan dia?”

Tira menjawab pertanyaan Filia dengan, “My dear, kau dan Redza itu hal yang patut kau selesaikan. Barulah kau akan ‘dapat’ Farhan semula.”

Filia menongkat dagu. “Aku selesa berbual dengan Redza, dia hanya sekadar teman biasa yang mudah di ajak berbual itu dan ini. Farhan pula, mulanya amat merimaskan tetapi lama kelamaan aku berasa tenang dan selesa dengannya. Dari dialah aku mula belajar semula apa itu sahabat. Dia jujur dalam setiap tutur katanya. Dia tidak pernah sekali pun bertanya mengapa aku begitu benci persahabatan walaupun jauh di sudut hati pastinya dia ingin tahu. Cakapnya terkadang tu berisi kadang-kadang aku terasa dia bukan calang-calang orang. Jujur aku katakan dia kawan terbaik aku.”

Senyap. Mata masing-masing terpaku pada seseorang.

“Redza? Awak buat apa di sini?” tanya Filia. Dia tepuk dahi. Soalan yang agak bodoh? Inikan perpustakaan?

Redza menjawab juga soalan bodoh Filia. “Final exam makin dekat so final spot check?!” Dia mengukir senyum, “Anyway, seminggu lepas final exam kelab rimba ada buat jungle trekking dekat hutan simpan jadi nak ikut tak? Pakejnya lengkap siap dengan mendaki gunung.”

Mata Filia dan Tira bertemu. Harapnya Redza tidak mendengar butir-butir perbualan mereka berdua kalau tidak masak gulai kawahlah malam ini.

“Girls, macam mana jadi atau tidak?” tanya Redza.

Filia angguk.

Tira pandang Filia. “Seriously it’s a no!”

Filia kelam tidak faham. “Kenapa pula? Boleh hilangkan tekanan apa?”

Tira bangun dan menarik Filia agak jauh dari Redza. “Filia, kau sendiri tahu kesihatan kau kurang mengizinkan. Jadi, jangan pergi.” bantah Tira.

Filia mencebik, “Baiklah, kalau kau risau apa kata kita pergi bersama?”

Tira menarik muncung. “Filia you better take my advice as a note!” tuturnya tegas.

Filia terus berjalan ke arah Redza. “Baiklah, kami ikut, awak beritahu sahaja bila dan kami akan terpacak sejam lebih awal!”

“SATU jam lebih awal? Yalah tu, sekarang dah hampir pukul 9.” bebel Tira. “Dia orang mesti dah bertolak. Leganya hati aku, jadi tak payahlah kau memenatkan badan daki gunung segala.” bebelnya lagi.

Filia tidak mengendahkan bebelan Tira, kakinya di hayun laju menuju ke tempat berkumpul. Matanya bulat. Bas masih ada. Pelajar-pelajar pun masih ada yang berbual di sana sini.

Dia menarik nafas lega. “Tira tengok kita taklah lambat sangat, masih ada lagi yang belum datang.”

Redza menghampiri mereka berdua, “Assalamualaikum, dah lama sampai? Kenapa saya tak nampak awak pun tadi?”

Filia sengih. “Waalaikumussalam, sebenarnya saya baru sampai,”

Tira ketawa. “Redza, kalau awak nak tahu dia ni susah sikit nak bangun pagi.”

Filia jeling Tira. Redza turut ketawa. “Rasanya semua dah ada, mari kita bertolak.”

SEBAIK kaki melangkah keluar dari perut bas, Filia tidak lepas dari menjamu mata melihat panorama indah ciptaan tuhan. Tira mencuit bahu Filia, “Kau sudah makan ubat?” bisiknya perlahan. Filia angguk. Tira berpesan, “Kalau kau rasa tak sedap badan, kau beritahu aku. Jangan pendam seorang diri.”

Filia paut bahu temannya itu. “Tira, terima kasih ambil berat hal aku tetapi setakat ini aku okey.” Lambat-lambat Tira mengangguk. “Baiklah, aku percayakan kau.”

Redza melaung memanggil mereka berdua, “Filia, Tira... mari sini dengar taklimat.” Filia dan Tira berlari anak mendapatkan Redza.

“Baiklah semua, kalau boleh saya mahu anda semua bekerjasama, jangan sesekali berpecah dari kumpulan ini.” beritahu Pak Abu, selaku pemandu arah dan renjer di hutan simpan ini. “Kalau ada yang berasa kurang sihat segera maklumkan pada saya atau rakan anda.”

Usai taklimat, mereka mula bergerak. Sepanjang trek Pak Abu tidak jemu menerang itu dan ini. “Ini sejenis tumbuhan herba, namanya gelenggang padang. Bukan gelanggang iya. Ingat apa gelanggang bola, badminton?” Meletus tawa mereka semua mendengar jenaka Pak Abu.

Dia menyambung lagi, “Daunnya boleh di buat mengubati penyakit panau dan kurap, caranya bubuh dalam minyak tanah cincang lumat dan sapu pada tempat kurap atau panau.” Filia, Tira dan Redza serta rakan-rakan yang lain begitu kusyuk mendengar penerangan Pak Abu.

“Dan yang ini pula…” Jari telunjuknya di halakan ke kanan, “Kamu tengok buah pokok ni, ini pokok apa?” tanyanya pula.

Serentak mereka menjawab, “Nangka!” Ada juga dua tiga yang menyebut cempedak. Pak Abu geleng kepala, “Salah!” Dia ketawa kecil melihat riak muka masing-masing yang sudah pelik

dan kehairanan, “Namanya pokok buah bakung. Sekali pandang memang nampak macam cempedak atau nangka. Bijinya boleh dimakan dan di rebus buat ulam, cecah dengan sambal belacan memang sedap.”

Mendengar sambal belacan ada yang menelan air liur, lapar. Filia ketawa. Tira senyum. Redza melihat jam di tangan. “Sudah hampir menginjak tengah hari. Pak Abu kita berhenti makan sebentar, nanti dalam setengah jam kita gerak semula,”

Pak Abu angguk, “Molek sangatlah tu, saya pun dah lenguh mulut bercakap dari tadi, yang kamu semua ini asyik angguk saja kerjanya, entahkan faham entah tidak!” kata-katanya di- sambut dengan hilai tawa.

Sedang enak menjamu selera, terdengar jeritan kecil dan esak tangis seorang pelajar perempuan. Rupanya kakinya di cium pacat. Pecah ketawa di kalangan pelajar lelaki, tidak kurang ada yang menyakat.

Tidak ketinggalan Filia, dia datang menghampiri rakannya itu, “Ku Zahara,” panggilnya lalu sebotol air minuman kosong yang penuh dengan pacat disuakan hampir mengenai muka Ku Zahara. Dia lari menjauhi Filia. Filia ketawa terbahak-bahak.

Tira juga tidak menyangka Filia seberani itu. Dia sendiri geli dengan pacat, Filia pula dengan selamba pegang pacat yang masih hidup dan boleh pula di buat bermain sebelum di masukkan ke dalam botol kosong. “Filia kau jauhkan botol tu dari aku. Nanti jangan tanya kenapa muka kau dapat cap mohor dari aku.”

Filia sengih. “Benda alah yang kecik macam ini pun kau takut, bukannya dia boleh buat apa-apa pada kita pun.” sakat Filia, di tangannya masih ada beberapa ekor pacat yang akan di masukkan ke dalam botol. Di dekatkan pada muka Tira mengacah.

Tira terjerit kecil, dia berlari dan menyorok di belakang Redza. Redza senyum geli hati melihat telatah Filia yang gemar mengusik itu.

Pak Abu menghampiri Filia yang sedang ralit mencari pacat bersama rakan-rakan lelaki.

“Anak ini dulu membesar di kampung?” Filia angkat kening bertanya. “Pak Abu tengok kamu ni langsung tak takut dengan pacat. Selalunya kalau budak perempuan mereka ini paling takut dengan pacat, lintah. Geli. Kamu tak geli?”

Redza turut berminat untuk mendengar yang lain juga turut memasang telinga.

Filia senyum. Dia geleng. “Saya membesar di bandar. Ayah saya dia minat memancing, dia selalu ajak saya ikut sekali. Saya ni anak tunggal. Jadi saya ikut sahajalah ayah, sekadar nak mengambil hati dia. Lama-lama saya dah terbiasa main dengan cacing, pacat dan juga lintah.” ceritanya ringkas.

Pak Abu senyum. Patutlah…

“KECILNYA pandangan dari atas ini. Indahnya…” Filia terkagum sebentar. “Betapa agungnya ciptaan Ilahi.” Dari jauh kelihatan laut terbentang luas dari atas puncak gunung. Berbalam-balam bukit kecil yang di selaputi awan yang singgah memayungi.

Tira mendekat, “Cantiknya, Filia…”

Filia sengih, “Kau tengah puji akukah? Terima kasih!”

Tira tolak bahu Filia, “Jangan nak terperasan sangat, aku tengah katakan yang pemandangan dari atas ini sangat cantik dan memukaukan mata kita yang memandang dan bukannya aku memuji kau, ada faham!”

Filia ketawa. “Alahai, sahabat aku yang seorang ini, seriusnya dia…” Tawanya terhenti. Tiba-tiba Filia terasa kepalanya seakan dicucuk duri, tangannya cepat-cepat meraba isi di dalam beg.

Tira turut membantu. “Filia, kau okey tak ni?” Tira kelihatan cemas sangat. Dia risau melihat muka Filia yang sudah berubah menjadi pucat lesi.

Filia terus menelan ubat. Di teguk air perlahan-lahan. Tira membaringkan Filia ke ribanya, “Kau tidur sebentar, nanti aku kejutkan..”

Sebelum menutup mata Filia sempat bergurau dalam letihnya itu, “Kau jangan tinggal aku, nanti aku terbang cari kau…”

Tira tertawa perlahan, “Aku takkan tinggalkan kau, sahabatku.” Dan aku takkan sanggup kalau aku kehilangan kau wahai sahabat, rintih Tira sendiri.

Redza yang sekadar memerhati sedari tadi, berjalan perlahan mendekati, dia bertanya Tira, “Filia dia nampak macam teruk? Dia sakitkah?”

Tira geleng. “Tak adalah, dia baik, agak letih sedikit dan juga mengantuk.” kata-kata Tira disambut dengan tawa oleh Redza. Tira juga ikut ketawa.

FARHAN BERJALAN ke hulu ke hilir. Fikri langsung bertanya, “Farhan kau ada masalah?” Dia geleng kepala. Fikri sengih. “Filia? Kau resah sebab mogok suara dengan dia? Kau teringin sangat hendak berjumpa dengan dia?”

Farhan masih sepi tanpa suara. Benar mulutnya yang agak lancang bersuara sehingga melukakan hati Filia. “Fikri aku tahu aku salah, aku yang ego, berat sangat nak mengaku aku yang terlebih batas kali ini.”

Fikri angkat kening bertanya, “Hmm… dah tu tunggu apa lagi, telefonlah dia.”

Farhan mendail nombor telefon Filia. Berkali dicubanya namun gagal di hubungi. Akhirnya… “Filia…?” Tiada jawapan. “Hello…?”

Selang seminit suara garau seorang lelaki menyapa gegendang telinga, “Awak ini siapa? Redza?” teka Farhan kerana setahunya Filia dan Tira turut serta dalam ekspedisi kelab rimba. “Filia mana?”

Sebaik mendengar ayat terakhir Redza. Farhan terus rebah, tidak sedarkan diri. Fikri kelam kabut mendapatkan Farhan. Telefon bimbit di capai, suara di sebelah sana bertanya, “Farhan awak dengar tidak? Filia dia ada di hospital. Hello?” Sebelum menutup talian, Fikri bertanya lanjut di hospital mana Filia ditempatkan. Farhan juga segera di bawa Fikri ke hospital. Bimbang sakit Farhan menyerang kembali.

“TIRA, kenapa aku boleh ada di sini?” tanya Filia sebaik sahaja terbangun dari perbaringan.

Tira menyuruh Filia merehatkan badan, “Kau jangan bergerak banyak sangat. Badan kau masih lemah. Kemungkinan kau bakal di tahan selama beberapa hari.”

Mata Filia terbeliak, mindanya separa sedar teringat kembali kejadian yang berlaku petang tadi, “Maksud kau aku pengsan sebaik sahaja mendaki turun petang tadi?” Tira angguk mengiyakan. “Redza? Dia yang bawa aku ke sini?”

Tira angguk lagi, “Muka Redza masa tu pucat gila. Dia memang risau yang teramat. Satu lagi, Farhan telefon kau dan Redza beritahu kau masuk hospital.” Filia pegang bahu Tira. “Farhan? Mana dia? Dia ada di luar?”

Tira geleng kemudian angkat bahu. “Jangan mengharap sangat Filia, dia tak datang pun.” Tira mengambil hirisan buah epal lalu di suapkan ke mulut Filia.

“Filia, awak sudah sedar. Lega hati saya.” Entah bila Redza sudah mengambil tempat di sebelah Tira. Filia senyum. “Terima kasih tolong bawa saya ke sini.” Matanya singgah pada Tira mengisyarat agar membantunya.

“Satu sahaja saya nak tanya kenapa awak sanggup mencari bala, menempah maut ke atas diri sendiri?” Tanpa mukadimah Redza terus sahaja meledakkan amarahnya. “Kalau awak dah tahu diri kurang sihat kenapa berkeras juga nak mendaki? Awak Tira sebagai kawan sepatutnya nasihatkan dia, ini tidak awak ikut rentak dia…”

Bak peluru berpandu lancar sahaja Redza memarahi Filia dan Tira persis seorang abang yang begitu mengambil berat akan keselamatan adiknya.

Suara Filia bergetar, “Redza awak rasanya agak terlebih risau, saya hanya letih dan kekurangan air dalam badan.”

Redza senyum sinis, “Masih lagi nak menipu? Saya dah tahu awak sebenarnya sakit betul kan?” Tajam mata Redza merenung Filia.

Filia menunduk. “Mana ada saya sihatlah!”

“Kalau begitu kenapa awak nampak resah? Benarkan?”

Filia membisu. Takkanlah doktor terberitahu dia penyakit aku..

“Doktor terberitahu saya, dia salah sangka saya ini abang awak jadi tak perlu awak nak berdolak-dalih lagi.”

Filia angkat muka. Dia boleh dengar suara hati aku? “Redza? Awak dah tahu?”

Redza lambat-lambat mengangguk, “Memang ianya masih di peringkat awal tapi jangan sampai mengabaikan kesihatan dan berlagak macam awak itu sihat. Faham!”

Tira ketawa perlahan setelah agak lama mematungkan diri. “Redza, awak bercakap macam awak ni abang Filia.”

Redza menyilangkan tangannya, kemudian tersenyum penuh makna, “Terlanjur awak cakap macam tu, Tira. Mulai dari saat dan detik ini, saya angkat diri saya jadi abang Filia!”

Ternganga mulut Tira dan juga Filia, “Apa dia?”

Redza sengih, “Jadi Filia dan kau juga Tira kena panggil aku abang, ada faham?” Hilang terus frasa saya, awak dari mulut Redza.

“Abang? Hish, tak naklah dah macam laki bini pula,” ujar Tira membantah.

Lama Filia berfikir. Aku anak tunggal. Bagus juga merasa ada seorang abang. Bolehlah aku buli dia.

Filia senyum tiba-tiba, matanya terkebil-kebil, “Baiklah, tapi dengan satu syarat saya nak panggil awak Along bukan abang?”

Redza angguk, “Yalah, adikku sayang.” Kemudian mereka bertiga tertawa.

“Along tolong simpan rahsia ini, terutamanya daripada Farhan, Filia tak mahu dia tahu tentang penyakit ni.”

Redza diam, lama baru dia mengangguk, “Along ada beritahu dalam telefon Filia masuk hospital. Lepas itu Fikri ke nama kawan si Farhan tu yang tolong mengangkat sebab lepas along beritahu terus tak terdengar suara dia. Tadi on the way nak masuk ke sini along ada ternampak Fikri. Ingatkan nak masuk ke sini tapi dia masuk wad lain.”

Filia kerut dahi, “Wad lain? Wad apa along?” tanyanya.

“Kalau tak silap, wad untuk pesakit jantung.”

Pandangan Filia terus kelam. Sayup-sayup kedengaran suara Redza dan Tira memanggil namanya dan doktor.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Haiza Haifa