Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,358
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Bab 19

Malam itu adalah Khamis malam Jumaat. Hujan turun mencurah-curah lebatnya di luar. Adam melihat kawasan diluar jendela dengan wajah yang sayu. Kilat sabung menyabung. Cahaya dari sabungan kilat tersebut menyilaukan mata Adam. Dia akhirnya terpaksa mengalah dan menarik semula langsir jendela biliknya.

Adam mundar mandir di dalam biliknya. Lalu ditatap jam dinding kayu yang tergantung berhadapan dengan meja tulisnya. Jam menunjukkan tepat pukul lapan malam. Adam bercadang untuk ke bilik Arissa. Dia harus berbicara dari hati ke hati dengan Arissa. Wanita itu kemungkinan masih lagi bersisa sedihnya atas perkara yang berlaku pagi tadi.

Adam nenyelinap keluar dari biliknya. Ternyata semua isi rumah dengan hal mereka yang tersendiri. Dia mengetuk beberapa kali kamar Arissa. Tiada jawapan. Dipanggil beberapa kali nama isterinya itu, namun masih tiada jawapan. Lalu Adam memulas tombol pintu. Kosong! Arlisa tiada di bilik tersebut. Kemanakah wanita ini pergi?

Adam kemudian menapak ke bilik anaknya. Apabila dia semakin mendekat, kelihatan Mak Jah sedang terbongkok-bongkok mengintai ke bilik Ameera. Apa pula Mak Jah tengah buat tu? Kalau nak masuk, masuk sajalah. Ni duduk terhendap-hendap.

“Mak Jah…” Adam menguis bahu Mak Jah perlahan.

Kuisan itu membuat Mak Jah hampir-hampir melatah. “Opocot mak ekau..! eh..” Mak Jah cepat menutup mulutnya. Takut-takut kedengaran orang lain. “Encik Adam.. terkejut Mak Jah..” Mak Jah bercakap dalam bisikan sambil mengurut dadanya. Lalu diisyaratkan Adam untuk diam sambil meletakkan jari telujuk kanan di bibirnya.

“Ada apa ni Mak Jah?” Adam bertanya dalam nada bisikan.

“Dengar tak Encik Adam..”

“Dengar apa?” Adam mengerutkan dahi. Keliru.

“Kat dalam bilik Ameera..dengar tak?” Mak Jah menyuruh Adam memicing telinganya betul-betul.

“Kejap.. kejap..” Adam mendekatkan telinganya ke pintu kamar puteri tunggalnya. Belum sempat dia mendengarkan apa-apa. Pintu itu dibuka dari dalam. Adam yang sedang melekap di pintu tersebut hampir-hampir jatuh kerana kurangnya imbangan. KEDEBUSH! Adam terjelepuk mengiring di hadapan wanita yang siap bertelekung.

“Adam? Mak Jah?” Arlisa terkejut melihat perbuatan dua orang manusia ini. Mengendap!

“Puan.. ahh.. ahh Mak Jah tadi..” Mak Jah tercari-cari alasan yang sesuai sambil tergaru-garu serkup tudungnya.

Manakala Adam pula cuba untuk bangun dengan perlahan sambil menggosok-gosok pinggulnya yang sakit akibat hentakkan di lantai.

“Aduhh.. Arissa. You buat apa kat bilik Ameera ni?” Adam memadang ke arah Arlisa sambil melirik ke Mak Jah.

“Korang berdua buat apa?” Arlisa bertanya semula kepada Adam dan Mak Jah.

“Ni tadi I tengok Mak Jah terhendap-hendap dekat bilik Ameera, so datang tengok kenapa. Mak Jah buat apa?” Kedua-dua pasangan itu memandang ke arah Mak Jah.

Mak Jah menelan air liur. Dia cuba untuk mencari kata-kata yang sesuai untuk jawapan kepada pasangan suami isteri itu.

“Mak Jah tadi lalu depan bilik Ameera.. tiba-tiba Mak Jah terdengar ade suara orang mengaji. Tu yang Mak Jah hendapkan tu. Takkanlah si Ameera tu pulak kan? Tak sangka suara Puan boleh tahan sedap. Bagus jugaklah Puan ambil masa ajarkan Ameera tu Al-Quran..” Mak Jah tersenyum meleret. Dia mengagumi suara Arlisa yang didengarinya tadi. Kali ini dia percayakan kata-kata Puan Murni, wanita ini bukan Arissa tetapi orang lain. Wanita ini juga baik budinya. Seperti seorang calon isteri yang sesuai untuk Encik Adam.

“Mana ada Mak Jah.. biase je lah..” Arlisa mengukir senyuman. Dia kemudian memandang wajah Adam yang kelihatan masih dalam kekeliruan. “Adam? You okey?” tanya Arlisa.

“Yeah. I’m fine.. you mengaji ke tadi?” kata Adam yang masih dalam kebingungan. Tadi pagi dia menangis, malam ni pulak dia mengaji.. pelik.. tapi benar!

“Yes.. you nak join sekali ke?” Arlisa mengajak lembut. Walaupun dia tahu Adam pasti menolak kerana tidak pernah sekali dia melihat Adam mengerjakan solat.

“Tak! It’s okey. I masuk bilik dulu..” Wajah Adam memerah menahan malu. Dia malu apabila dia berhadapan dengan orang lebih tinggi ilmu agama dari dirinya yang jahil. Kemudian Adam berlalu pergi.

Mak Jah masih lagi tercegat di situ. Ada sesuatu yang ingin diperkatakan olehnya kepada Arlisa.

“Puan.. saya suka dengan apa yang Puan buat ni. Teruskanlah! Moga-moga semua oang dalam keluarga ini akan ikut..” Selajur mengatakan itu, Mak Jah pun berlalu dengan membawa hati dan berita yang senang kepada Puan Murni.

****

MAK Jah terkocoh-kocoh berlari dan terus memasuki bilik Puan Murni tanpa mengetuknya terlebih dahulu. Puan Murni yang sedang khusyuk membaca buku tersentak dan cepat-cepat menutup buku miliknya sambil menurunkan cermin mata kecil ke bawah.

“Apa halnya Mak Jah?” kata Puan Murni.

“Puan! Sekarang saya percaya.. saya percaya!” jawab Mak Jah sambil mengangkat sumpah.

“Percaya apa pulak ni?” Puan Murni berkerut dahinya. Apa pulak si Mak Jah ni??

“Saya percaya.. saya percaya semua kata Puan. Memang bukan dia!” Mak Jah masih lagi tidak menjelaskan butir bicaranya pada Puan Murni.

“Kamu bercakap tentang siapa ni Mak Jah??! Jangan sampai buat saya naik angin!” Puan Murni sudah tidak boleh bersabar. Sudah masuk bilik tak berketuk, lepas tu.. saya percaya.. saya percaya. Percaya apanya?

“Puan Arissa! Puan Arissa tu bukan Puan Arissa! Saya percaya semua cakap Puan! Memang bukan dia. Dia bukan Arissa!” kata Mak Jah dengan wajah penuh keyakinan. Hari ini barulah dia mengakui kata-kata Puan Murni yang dia sangka dulu sekadar berhalusinasi.

“Arissa!” Kata-kata Mak Jah memang menarik perhatian Puan Murni. Lalu dia bangun dari katilnya dan mendekat. “Apa yang dia buat kali ni?” kata Puan Murni dengan nada gembira.

“Dia mengaji. Dia mengajarkan cucu Puan mengaji. Encik Adam pun ada sekali masa saya terdengar perempuan tu mengaji. Memang betul dia bukan Puan Arissa. Jauh panggang dari api!” kata Mak Jah beriya-iya.

“Alhamdulillah.. akhirnya ada juga orang nak ajarkan cucu saya tu mengaji. Tapi.. kita tak boleh bagitahu hal ini pada orang lain tau Mak Jah. Ini rahsia kita. Saya suka perempuan tu. Kita tengok apa pulak dia nak buat lepas ni..” balas Puan Murni dengan seukir senyuman.

“Tapi walaupun Encik Adam?”

“Ya terutamanya, Adam.” Puan Murni memberi pengkhususan kepada perkataan ‘terutamanya’. Dia merasakan jikalau anaknya itu tahu akan hal sebenar sudah tentu perempuan itu akan dihalau keluar atau dilaporkan kepada pihak polis.

“Tapi.. saya risau. Mana perginya Puan Arissa yang sebenar Puan? Lagi satu, kita belum tentu lagi yang perempuan tu betul-betul bukan Puan Arissa. Mana tahu kalau dia dah berubah?” tanya Mak Jah yang dihurung kekeliruan. Tiba-tiba kepercayaannya tadi jadi goyah.

“Tentang Arissa, Allah saja yang tahu di mana dia. Tapi saya yakin Mak Jah, Arissa mesti ada pelan disebalik semua ni. Kita tunggu dan lihat apa yang dia nak buat lepas ni. Yang penting sekali saya yakin yang perempuan dalam rumah kita sekarang, bukan Arissa. Dan saya juga yakin dia perempuan yang baik,” jelas Puan Murni. Wanita kemudian beralih tatapan ke jendela yang dibasahi air hujan yang lebat.

“Kalau macam tu baguslah. Nampaknya, Puan dah jumpa calon menantu.” Mak Jah sengaja mengusik Puan Murni.

“Calon menantu…” kata Puan Murni sambil ketawa kecil.

****

ARLISA bangun awal pagi untuk bersiap-siap ke pejabat. Hari ini ada perbincangan penting untuk projek koleksi fesyen terbaru dari Fashionista. Arlisa yang berbaju kemeja biru air laut dan dipadankan dengan seluar ‘high waisted’ berwarna hitam menuruni tangga dengan perlahan. Dia menuju ke ruang makan. Mak Jah yang terlihatkan kelibat Arlisa menuruni tangga, cepat-cepat ke ruang makan untuk mengambil arahan dari wanita itu.

“Assalamualaikum Mak Jah,” ucap Arlisa terlebih dahulu apabila dia terlihat susuk tubuh Mak Jah mula mendekati meja makan.

“Waalaikumussalam Puan. Puan nak apa-apa ke? Saya boleh siapkan.” Mak Jah melayan Arlisa jauh dari kebiasaan. Selalunya Mak Jah agak tegang bila bertutur dengan Arlisa, namun hari ini lain pula ceritanya.

“Aii Mak Jah happy semacam je saya tengok? Tak ada apelah kot. Saya buat sendiri nanti.” Arlisa kemudian hendak mencapai teko berisi air kopi berdekatan dengan tangannya. Namun cepat-cepat Mak Jah mengambil teko tersebut dari tangan Arlisa.

“Tak pe tak pe Puan. Panas ni.. biar saya tuangkan,” jelas Mak Jah. Arlisa yang melihat kerenah Mak Jah berasa pelik. Apa kena pulak dengan Mak Jah hari ni? Baik semacam je.. Selalunya macam harimau nak terkam aku.

“Terima kasih Mak Jah.” Arlisa meleretkan senyuman.

Kemudian Adam bersama Puan Murni masuk ke ruang makan. Mereka masing-masing menduduki kerusi masing-masing yang mana Adam duduk di hujung meja sebelah kanan manakala Puan Murni duduk di hujung meja belah kiri. Arlisa yang melihatkan Puan Murni baru saja duduk di kerusinya, dia terus bangun dan menuangkan secawan kopi buat Puan Murni dan juga Adam.

Puan Murni hanya tersenyum melihat tingkah laku Arlisa. Iya, mungkin benar cakap Mak Jah. Wanita ini calon menantu yang baik. Tetapi bagaimana dia mahu mengahwinkan anaknya dengan wanita ini? Lagipula dia tidak kenal siapa sebenarnya wanita yang menyamar menjadi menantunya, Arissa. Adam pula sudah semestinya tidak boleh diberitahu. Nanti mesti wanita ini akan dihalau keluar. Berserah sajalah. Hanya waktu yang bakal menentukan segalanya.

Adam melirik pada Arlisa. Isterinya dahulu tidak pernah begini. Begitu rajin, begitu pandai. Begitu berbeza dengan apa dirinya sebelum ini. Buat sejenak waktu, Adam termenung.

“Mama nak apa-apa saya buatkan? Roti dengan kaya?” tanya Arlisa pada Puan Murni.

“Boleh juga,” jawab Puan Murni ringkas.

Adam turut mencelah. “I pun nak jugak.”

“Okey..” Arlisa tersenyum sambil ketawa kecil dihujung kata.

Fida masuk ke ruang makan dengan emosi yang panas. Dia mengerling pada Arlisa yang sedang menyapu mentega pada roti. Fida kemudiannya menuangkan kopi panas. Lalu bangun mendekati Adam.

“Haiii Adam. Rajin pulak isteri kau hari ni,” sindir Fida. Namun Arlisa tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia kemudian menghidangkan roti-roti yang telah disapukan mentega dan kaya kepada Adam dan Puan Murni.

“Fida…” Adam mula menegur cara halus. Dia tidak suka Fida cuba menyindir isterinya.

“I cakap benda baik pasal isteri you lah! Bukan benda jahat pun kan? Kalau I cakap yang jahat…” Fida mula mengacah. Dia terganggu dengan kediaman Arlisa. Kenapa perempuan ni macam tiada reaksi? Penat aku cuba buat dia marah.

“Fida sudah!” Puan Murni masuk campur. Dia cuba melindungi si penyamar Arissa itu. Tambahan pula, wanita ini tidak bersalah.

“Oh mama sekarang pun dah sebelah kan dia? I just tak fahamlah! Kenapa semua orang dalam rumah ni sayangkan dia ye? What potion does she put to all of you?” Fida meningkah kata ibunya. Dia sudah tidak tahan lagi. Mengapa dia dipersalahkan? Padahalnya, dulu Puan Murni yang beriya-iya menyokongnya dari belakang.

“Fida mama tak suka kita bergaduh depan rezeki. Lagi pun apa salahnya si Arissa kali ni?” Puan Murni cuba mengawal keadaan walaupun dalam nada yang dituturkannya itu agak kasar.

Fida mendekati Arlisa. Lalu dicurahkan air kopi panas yang berada di tangannya itu ke lengan kiri Arlisa. “INI SALAHNYA!” kata Fida sambil menuangkan kesemua air kopi tersebut.

AHH! Arlisa mengerang kesakitan. Dia cuba untuk mengelak dari curahan air kopi tersebut tapi tidak sempat. Sakit terkena air panas itu bukan kepalang. Air panas itu pula terkena pada bahagian lengannya yang tidak bertutup. Memang kecelakaan itu disengajakan. Secara tiba-tiba lengannya bertukar merah menyala.

“Arissa!” jerit Adam. Dia yang melihat keadaan berkenaan bingkas bangun untuk cuba melindungi Arlisa.

Adam menolak adiknya ke tepi sehingga cawan yang berada di tangan Fida jatuh pecah mengenai lantai. Sementara itu, Mak Jah dan Siti yang terdengar akan kekecohan di ruang makan tersebut bergegas keluar untuk melihat. Manakala Puan Murni mendekati anak daranya yang membuat onar di pagi hari itu.

“Ya Allah Fida! Apa yang kau buat ni!” Puan Murni menjerkah ke arah Fida.

“Mama, abang dan semua orang dalam rumah ni sama saja!” tingkah Fida.

“Eh kau dah gila ke hah?” jerit Adam pula. Dia mengusap-usap tangan Arlisa lalu mengarahkan Mak Jah mengambil ais di dapur.

“Isteri kau tu yang buat semua orang gila!” Fida mendekati Arlisa dan kemudian menampar pipi gadis itu.

Aduh! Arlisa serta merta mengalirkan airmata. Apalah dugaannya di rumah ini. Sudah terkena air panas sekarang ditampar pula. Ya Allah ampunilah dosa-dosa hambaMu ini!

Puan Murni menarik bahu Fida yang cuba melarikan diri untuk ke kamarnya. Lalu diberi suatu tamparan sulung buat anaknya. “BIADAP!” kata Puan Murni.

Tamparan yang mengenai pipi mulus Fida itu telah membuatkan gadis itu menggosok pipinya berulang kali. Lalu airmatanya mengalir deras. Dia tidak pernah menyangka Puan Murni menampar wajahnya hanya disebabkan perempuan murahan itu. Fida terus berlari anak naik ke atas kamarnya.

Manakala Arlisa masih menahan kesakitan. Di pipi dan juga kesakitan yang paling menyengat adalah di lengannya yang sudah hampir melecur. Adam mengambil ais dari besen yang dihulurkan Mak Jah dan dilalukan ais itu ke tangan Arlisa. Dia kemudian mengumpalkan ais bersama kain dan ditekapkannya ke bibir Arlisa yang bengkak akibat ditampar Fida.

Puan Murni bimbang melihat keadaan Arlisa. Sesekali dia mengerling kepada Mak Jah memberi isyarat yang dia sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Tidak pernah Puan Murni menyangka bahawa puteri tunggalnya itu mampu berkelakuan sebegitu. Mungkin dia sudah salah ajaran atau dia kurang memberi perhatian pada Fida sejak akkhir-akhir ini.

“Adam.. apa kata kamu bawak Arissa ke klinik. Mama risau tengok tangan Rissa yang melecur ni…” saran Puan Murni.

“Meeting hari ini macam macam mana Adam?” tanya Arlisa pula. Dia tidak mahu pekerjaan tergendala akibat dirinya.

“I bawak you pergi klinik. Lepas tu you rehat kat rumah. Pasal meeting tu jangan risau. Kami akan teruskan tanpa you. Nanti you bagitahu I apa usul you okey?” kata Adam. Lantas dia terus bangun mendapat kunci kereta dan memimpin Arlisa keluar. Puan Murni dan Mak Jah pula menghantar mereka hingga ke pintu utama.

Puan Murni sempat bermonolog di dalam hatinya, ‘Sempat lagi dia berfikir pasal kerja dekat office… siapa perempuan ni sebenarnya?’. Puan Murni menggelengkan kepalanya lalu masuk ke dalam rumah.

****

DOKTOR Fazrin menganalisa tangan Arlisa yang melecur di samping melihat kesan lebam di pipi mulus gadis itu. Dia memberi reaksi curiga pada Adam dan kemudian berkalih pada Arlisa.

“Puan, maaflah kalau saya bertanya. Tapi saya harap Puan jawab dengan jujur. Macam mana boleh jadi macam ni?” tanya Doktor Fazrin sambil melirik tajam pada Adam.

Adam merengus keras. Dia telah mengagak. Mesti doktor ini menganggap dia seorang lelaki yang kejam terhadap wanita. Memukul isterinya sehingga meninggalkan kesan yang mendalam. Maaf! Dia bukan kaki pukul. Malah tidak pernah sekali pun mendera Arissa. Malah dia amat menyayangi wanita itu.

“Doktor, air panas tu terjatuh dekat atas tangan saya..” Arlisa membalas pertanyaan Doktor Fazrin dengan senyuman.

“Puan tak menipu saya bukan? Lebam kat pipi tu kenapa pulak?” tanya Doktor Fazrin lagi sambil mengerling tajam pada Adam.

Adam yang tidak tahan dengan kerlingan Doktor Fazrin cuba hendak bangun dari kerusinya dan menumbuk wajah doktor tersebut. Namun tindakannya pantas dihalang Arlisa dengan menggengam erat lengan Adam. Dia tidak mahu Adam disalahertikan.

“Tak ada apa doktor.. lebam ini pun sebab kesan saya terjatuh ke lantai.”

“Puan.. saya faham Puan cuba untuk melindungi suami Puan, tapi..” Kata-kata Doktor Fazrin pantas ditingkah Arlisa.

“Maafkan saya Doktor Fazrin. Tapi bukan suami saya yang buat semua ni. Suami saya seorang lelaki yang penyayang dan dia tidak pernah sekalipun menyakiti saya. Jikalau dia ada berkelakuan sedemikian, saya berjanji di lain hari saya pasti akan melaporkan.. bukan pada doktor tapi pada polis,” tegas Arlisa.

Adam mengalihkan pandangannya kepada Arlisa sebaik sahaja wanita itu habis bertutur. Kata-kata Arlisa menusuk ke kalbunya. Dia sedang memuji dan membela dirinya. Ternyata Arissa masih sayangkannya. Hati Adam tersenyum.

“Baiklah. Awak boleh ambil ubat awak di luar.” Wajah Doktor Fazrin memerah. Dia terasa malu dengan tindakannya yang melulu menuduh suami pesakitnya. Namun dia masih tidak percaya dengan penjelasan kesan lebam di pipi Arlisa. Kesan lebam tersebut merupakan kesan tampar.

Mereka keluar dari bilik doktor tersebut. Adam masih lagi terpana dengan kata-kata Arlisa sebentar tadi. Dia memimpin Arlisa ke kerusi berdekatan sambil memandang wajah wanita itu dengan perasaan gembira yang tidak terkata.

“Arissa, thanks for backing me up. I mintak maaf pasal adik I..” kata Adam dengan nada kekesalan.

“It’s okey Adam. Untuk apa you ada seorang isteri kalau bukan untuk menyokong suaminya?” kata Arlisa sambil tersenyum. Namun hatinya sedang berduka. Mengapa dia bukan Arissa? Ya Allah! Tolonglah hambaMu ini. Kuatkanlah imannya. Amin.

Demi mendengar kata-kata Arlisa, Adam terus melebarkan senyuman dan mengucup dahi wanita itu. Tindakan Adam itu membuatkan Arlisa tersentak. Dia tidak dapat melakukan apa-apa dan hanya membatu dan membiarkan dirinya dikucup di dahi oleh Adam.

****

MAKCIK Sue, Nida dan Fisya berada di sebuah klinik. Masing-masing sedang menyalahkan antara satu sama lain akibat musibah yang menimpa mereka.

“Tu lah aku dah kata kat hang Nida, jangan main hujan.. jangan main hujan! Haa tengok sekarang dah deman! Hish!” bebel Makcik Sue.

“Alaaa Makcik Sue ni.. semalam mana main hujan. Ni semua sebab Fisya la, dia bawak kita jalan-jalan shoping dekat Jalan TAR masa hujan!” kata Nida yang mula meletakkan kesalahan pada Fisya.

“Eh.. eh.. kau ni salahkan aku plak!” Fisya menepuk paha rakannya dan berkata, “Kau tu kalau aku tak bawak berjalan semalam.. mulalah nak menangislah, merajuk la… betul cakap Makcik Sue, kau ni degil. Sekarang ni satu keje pon tak siap!” kata Fisya yang pada masa yang sama mengejek-ngejek tingkah laku Nida.

“Hek’eleh.. kalau saya ni Makcik Sue, tak paksa Fisya pegi Jalan TAR semalam.. tak delah Makcik Sue nak beli tudung ala-ala Siti Nurhaliza tu sampai 10 helai! Jadi… eh… tu macam kenal je tu??” Nida yang sedang sibuk membebel itu tiba-tiba berhenti berbicara. Matanya tertancap pada satu pasangan suami isteri yang berada di kaunter dispensari.

“Kenapa Nida?” tanya Fisya yang cuba mengalihkan matanya ke arah bahagian yang ditenung tajam Nida.

“Tu.. tu… Makcik Sue nampak tak tu…” Tangan Nida menuding ke arah sepasang suami isteri yang sedang membuat bayaran di kauter.

“Yang mana?” kata Makcik Sue yang belum dapat melihat siapa yang Nida cuba tunjukkan.

“Makcik Sue tengok perempuan yang pakai kemeja biru tu.. tu bukan… Arlisa ke? Tapi gayanya macam Arissa. Eh tapi.. entahlah!” kata Nida yang kekeliruan.

“Ah dia.. dia tu.. Makcik Sue nampak… jom kita pegi tanya dia.” Makcik Sue terus bangun namun dia kemudian ditahan Fisya.

“Tunggu korang tunggu! Kita tak tahu yang mana satu dorang kan? Arlisa ke tu, ataupun Arissa ke? Apa kata kita hendap dulu tengok,” kata Fisya yang memberi cadangan.

“A’ah jomlah.” Makcik Sue dan Nida bersuara serentak.

Mereka mula mendekati pasangan itu tetapi dari jarak jauh. Kemudian mereka bertiga menyorok di sebalik dinding yang membataskan pasangan tersebut dari terlihat akan mereka. Arlisa dan Adam bergandigan keluar dari klinik tersebut.

Sebaik sahaja Arlisa dan Adam keluar dari klinik itu, mereka bertiga keluar dari tempat persembunyian dan mendekati pintu masuk berkaca klinik tersebut. Adam membuka pintu keretanya dan memimpin Arlisa masuk ke dalam kereta. Kemudian kereta tersebut meluncur keluar dari perkarangan klinik.

“Makcik Sue… tu Arlisa kan?” tanya Nida kehairanan.

“Tak mungkinlah! Tapi kalau bukan Arlisa.. mestilah dia Arissa kan?” telah Makcik Sue.

“Tapi Makcik Sue… gaya dia jalan, gaya dia bercakap macam bukan Arissa! Dia Arlisa lah Makcik Sue!” tegas Nida pula.

“Betul jugak cakap kamu tu! Tapi kenapa Arlisa tiba-tiba boleh jadi macam tu..” Makcik tergaru-garu kepalanya mencari penjelasan.

Tiba-tiba Fisya bersuara. “Lelaki tu hensem…”

“Hensem?” Makcik Sue dan Nida bersuara serentak.

“Iyalah.. aku kenal laki tu,” kata Fisya yang mempamerkan wajah serius.

“Kau kenal?!” kata Makcik Sue dan Nida serentak lagi.

“Aku pernah kerja kat tempat dia dulu… nama dia Encik Adam Farhan Iskandar. Perempuan yang dengan dia tu isteri dia, Puan Arissa Rahman,” jelas Fisya lagi.

“APA?!!!” jerit Makcik Sue dan Nida serentak dalam keadaan tercengang-cengang.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail