Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,355
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bab 3

ARISSA mengintai Puan Murni dari celah pintu yang tidak ditutup rapat. Dia memang tak senang duduk kalau melihat Puan Murni mulai segar sedikit. Semenjak kematian suaminya beberapa bulan lalu, Puan Murni lebih suka menyendiri. Dia tidak lagi berpersatuan ataupun bersosial bersama rakan-rakannya seperti dahulu. Dia juga sudah tidak ke pejabat.

Arissa memang suka akan keadaan Puan Murni yang sebegitu. Perempuan tua itu dianggap penghalang dalam apa sahaja kegiatannya setiap hari. Ini tidak boleh itu tidak boleh. Kalau salah sedikit mesti hendak dilaporkan ke Adam. Jadi anggap sahajalah sekarang masa pembalasan buat Puan Murni. Arissa menolak pintu bilik Puan Murni dan masuk ke dalam. Kemudian dia mengunci pintu bilik tersebut dari dalam.

Arissa berjalan dengan langkah liuk lentoknya itu sambil memandang Puan Murni dengan gerak laku sinis dan mengejek. Puan Murni yang sibuk memandang ke tingkap tidak sedar akan kehadiran Arissa ke dalam biliknya.

“Bangun awal nampaknya.. Murni,” Memang tiada lagi rasa hormat Arissa kepada ibu mertuanya ini.

“Kau buat apa masuk dalam bilik aku?? Keluar! Keluarrrr!” Puan Murni bingkas bangun dan cuba menolak Arissa keluar. Arissa menepis tangan Puan Murni dan kemudian mengelap tempat tangan Puan Murni memegang dirinya. Jijik!

“Eh! Eh! Aku boleh keluar sendirilah.. kau tak payah nak tolak-tolak aku. Aku datang jenguk kau pun sebab nak check.. kau ni hidup ke tak ke? Asyik terperap dalam bilik ni je.. Anak kau pun dah tak berani nak masuk bilik kau ni.” Arissa bersuara.

Sejak sikap Puan Murni berubah, anak-anaknya jarang sekali menjenguk. Puan Murni mempunyai tiga orang anak. Dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Fida, anak perempuannya itu tinggal di rumah ini bersama Adam dan Arissa. Manakala abang sulung mereka, Arman pula tinggal berasingan bersama isterinya, Paty di Damansara. Adam merupakan anak tengah dari tiga orang adik beradik.

Dahulu, Adam ada berkahwin dengan seorang perempuan bernama Bella. Mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Ameera. Namun selepas dua tahun berkahwin, Bella meninggal dunia akibat kemalangan. Adam menduda selama hampir tiga tahun sehinggalah dia bertemu dengan Arissa, gadis kelab malam yang menambat hatinya.

“Kau diam!” Puan Murni membetulkan rambutnya yang galak bertumbuh uban.

“Okey aku diam. Tapi aku datang ni cuma nak bagi tahu kau kebenaran mengenai hidup kau, Murni!” Arissa keluar dari bilik tersebut setelah dia berjaya merobek hati ibu mertuanya. Ketawanya menyelubungi koridor bilik Puan Murni. Asalkan kau tak bahagia Murni… Asalkan kau derita, aku yang gembira!

****

ADAM melangkah masuk ke pejabatnya dengan penuh perasaan marah. Mungkin sisa marah semalam bersama Arissa yang masih belum reda. Fail di tangannya dihempas sehingga mengejutkan Arman yang sedang duduk di kerusi berhadapan dengan meja tersebut.

“Kau okey ke Adam?” Arman bertanya.

“Aku okey,” Adam membalas dengan penekanan terhadap perkataan ‘okey’.

“Gaduh dengan Arissa?”

“Dengan sapa lagi kan?” Adam bertanya kembali.

“Kau tanya dia tak pasal hari tu yang aku nampak dia dengan..”

“Sudahlah.. aku tak mau cerita pasal tu. Aku percaya kan dia,” pintas Adam.

“Aku ni rasa kadang-kadang Arissa dah bomohkan kau tahu tak?”

“Aku tak suka kau cakap benda tak elok pasal isteri aku!” Adam mulai berang.

“Kalau kau dah fikir macam tu, apa boleh aku buat kan?” Arman bangun dari kerusi dan terus keluar dari pejabat. Lelaki macam Adam in sudah diguna-gunakan.

****

ARLISA seperti biasa bekerja di kedai kek Crown Pastries pada hari ini. Walaupun hatinya masih lagi terluka akibat kejadian semalam, dia tidak mahu terus terbawa-bawa. Mungkin apa kata Makcik Sue itu benar. Kalau Kamal seorang lelaki yang baik, sudah lama dia mengajak Arlisa berkahwin. Namun Kamal sudah beberapa kali menangguhkan hasrat berkahwin dengannya dan kadang-kadang cuba mengelak daripada berbicara soal perkahwinan.

KLING KLING! Loceng kedai kek itu berbunyi tanda ada pelanggan masuk ke kedai. Arlisa yang sedang sibuk menyusun cupcakes di ceruk dapur kek menjenguk ke kaunter tanpa membuka sarung tangan kain yang dipakainya.

Kelihatan Kamal yang berkemeja biru belang putih berdiri tegak di hadapan kaunter. Dia membawa beg sandang bersamanya. Mungkin dia ingin berjumpa dengan Arlisa buat kali yang terakhir.

Arlisa terkejut dengan kehadiran Kamal di tempat kerjanya seawal 9 pagi. Selalunya kalau Kamal hendak bertemu, dia akan membuat temujanji selepas pukul 4 petang. Arlisa menghela nafas panjang lalu menanggalkan sarung tangan yang dipakainya. Mereka berdiam buat beberapa saat sehingga Kamal memulakan bicara dahulu.

“Arlisa, saya dah nak pergi..” kata Kamal.

“Pergilah.. tiada siapa yang berhak menghalang awak, walaupun saya.” Arlisa tiba-tiba menyibukkan diri dengan kertas-kertas resit di atas meja kaunter. Dia hanya mampu menjeruk rasa.

“Saya nak minta maaf.”

“Awak tak bersalah dengan saya. Kita memang tak ada jodoh kan?” Arlisa masih mampu mengukirkan senyuman. Dia tidak mahu perpisahan ini memberi impak yang buruk pada suatu masa nanti. Biarlah, sudah tiada jodoh.

“Saya buat ni semua untuk kebaikan kita. Awak pun tahukan.. kita tak boleh hidup semata-mata dengan cinta.” Kata-kata Kamal membuatkan Arlisa terpempan seketika. Apa maksudnya? Tak boleh hidup hanya dengan cinta?

“Saya tak faham Kamal.” Arlisa meletakkan semua resit-resit yang dipegangnya ke atas meja.

“Saya rasa dunia sekarang ni, duit adalah segala-galanya, bukannya cinta. Cinta tidak boleh memberi jaminan untuk kita terus hidup, Arlisa.” Sekali lagi kata-kata Kamal mengguris hatinya. Barulah dia faham. Semua ini hanya kerana dia orang miskin, tak punya harta atau duit berbukit-bukit di bank. Dia cuma hidup berbekalkan budi dan kudrat. Manakala lelaki ini mahukan lebih dari itu.

“Saya faham.. Tapi satu saja nasihat saya, hidup ini jangan bertuhan duit Kamal. Duit semata-mata tak boleh beri kita kebahagiaan.” Arlisa mulai sebak. Kamal pula seakan-akan keliru dengan apa yang baru dikatakannya. Dia berkalih dari memandang wajah Arlisa. Takut-takut hatinya akan cair pula.

“Saya dah lambat. Kena pergi sekarang. Bye.” Kamal terus keluar dari kedai kek tersebut dengan pantas. Arlisa pula ditinggalkannya begitu sahaja. Gadis itu terduduk di kerusi kaunter tersebut sambil mengenang nasib hidupnya.

****

CINCIN emas bertatahkan sebentuk permata yang berkilau di atas meja solek itu dicapai dan dipakai. Itu adalah cincin perkahwinan Arissa dan Adam. Namun pasangan suami isteri ini adalah satu di antara sejuta pasangan yang pelik di Malaysia. Mereka tidak berkongsi bilik. Arissa mempunyai kamar miliknya yang tersendiri, manakala Adam mempunyai bilik khas untuk dirinya sendiri. Alasan Arissa yang mengatakan barangnya yang terlalu banyak dan tidak boleh berkongsi satu bilik dengan Adam membuatkan dia memiliki biliknya sendiri. Adam dilihat sebagai seorang lelaki yang bagai lembu dicucuk hidung kerana menuruti apa sahaja kehendak Arissa.

Yang sebenarnya, Arissa cuma mahukan privasi untuk dirinya sendiri. Dia tidak suka diganggu dan lebih suka membuat hal sendiri di dalam kamarnya. Adam juga kadang-kadang dianggap sebagai gangguan di dalam hidupnya. Dia hanya berkahwin dengan Adam untuk kepentingan masa depan iaitu sudah semestinya kepentingan kewangan dan bukannya kerana cinta. Oleh sebab itulah, hampir semua orang di dalam rumah tersebut termasuklah pembantu rumah iaitu Mak Jah sangat membenci Arissa. Arissa hanya parasit pada keluarga Adam. Cuma Adam sahaja yang masih buta dalam soal ini.

Arissa keluar dari biliknya dan menuju ke bilik Adam. Tombol pintu ditolak ke bawah dan kelihatan Adam sedang terbaring di atas katil. Adam kemudian bingkas bangun dan duduk di hujung katil.

“I ingat you tidur..” Arissa duduk di sebelah suaminya sambil membelai rambut hadapan Adam yang terjuntai ke dahi.

“Tak.. kejap lagi I nak mandi. I rehat dulu. Kenapa?” Adam menatap wajah isterinya dengan penuh kasih sayang dan kemudian tersenyum. Kulit wajah Adam sedikit coklat atau garing dan dia mempunyai misai yang bersambung dengan janggutnya. Namun janggut dan misainya itu dicukur rapi dan kemas. Buat wanita yang pertama kali terpandang akan wajahnya, mereka pasti akan jatuh hati dengan kekacakan Adam Farhan.

“Sebenarnya, I ada perkara nak cakap dengan you…” Arissa bangun dan berjalan ke cermin panjang yang tergantung di bilik Adam. Dia menatap wajahnya sendiri dan kemudian berkalih semula ke Adam.

“Cakap apa? Bagitahulah I..” Adam juga bangun mendekati Arissa.

“I…” Arlisa seperti main tarik tali. Dia beralih semula memadang biasan wajahnya di cermin.

“You..?” Adam mula berkerut dahinya. Dia menyentuh bahu Arissa lembut.

“I nak pergi bercuti.”

“Bercuti? Ke mana?”

“Penang.. Boleh?”

Sebaik saja mendengar pertanyaan Arissa, Adam pula yang berkalih dan membelakangkan Arissa. Dia berfikir sejenak. Penang? Kenapa tiba-tiba?

“I need a time out Adam. Lagipun kita tiap-tiap hari gaduh kan?” Arissa mendakapi pinggang Adam perlahan.

“You nak pergi dengan siapa?” Adam masih lagi berfikir akan keputusan yang bakal diberinya.

“Sorang,” jawab Arissa singkat.

“Okey. Tapi nak minta sesuatu dengan you,” putus Adam.

“Apa dia sayang?” Arissa mula bermanja dengan Adam. Dia membelai rambut Adam dengan jejari manisnya.

“Masa cuti nanti I nak you fikirkan yang terbaik untuk keluarga kita. Tolonglah berubah. Please?” Adam menatap wajah Arissa dengan penuh pengharapan. Wanita itu memberikan senyuman ringkas.

“I janji I berubah. I janji akan jadi isteri yang terbaik untuk you. I pergi sehari dua je. You jangan risau okey?” Arissa tersenyum sinis. Mission accomplished! Akhirnya dia berjaya mendapatkan pelepasan daripada Adam.

****

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail