“BADI tak tahan begini,
bonda! Ada saja yang tak kena bila hantar pakaian Badi untuk dijahit.”
“Kalau tak ketat...geleber. Bila dah fit,
ketiak pulak sendat. I must hire my own designer.
He or she must be with me 24 hour. Senang sikit Badi nak control.” Beritahu Syed Badiuzzaman
ketika anak beranak Syed Abu Dzar berkumpul di ruang tamu malam itu untuk
berbual-bual seperti selalu. Bonda Syarifah Abiyah hanya mendengar, begitu juga
dengan Syed Abu Dzar. Hanya Syarifah Afeefa yang sibuk melayan earphone tanpa
wayar. Entah lagu apa yang didengarnya, sehingga terangguk-angguk kepala sambil
mulutnya terkumat-kamit menyanyi mengikut rentak lagu.
“Kalau Syed Badi mahukan impak terbaik, ayahanda cadangkan agar Syed Badi
iklankan di akhbar dan media massa. Mesti boleh pilih designer yang berkenan di hati.”
“Buatlah apa yang patut Badi. Susah sangat nampaknya nak jumpa designer yang betul-betul boleh puaskan
hati Syed Badi ni.”
“Setuju! Akan Badi buat secepatnya.” Jawab Syed Badiuzzaman lantas bergegas
naik ke tingkat atas. Sebaik abang sulungnya tiada di ruang tamu itu, Syarifah
Afeefa terus menarik earphone dari telinganya.
“Ala...pasal baju aje pun. Kecoh! Satu Malaysia nak cananglah tu kisah baju
dia.” Omel Syarifah Afeefa sebelum bangkit dari baringannya. Dia duduk sebelum
menunjukkan buku lima kepada abang sulungnya yang sudah hilang di dalam bilik.
Bonda Abiyah terkejut dengan tindakannya. Terus pahanya ditepuk tanda
peringatan akan sikapnya. Jika Bonda Abiyah berbulu dengan sikapnya yang kuat
protes, Syarifah Afeefa pula berbuku di hati dengan sikap mereka yang perasan
bangsawan tak tentu pasal. Haishh! Malu aku nak mengaku keturunan Syed Al
Hadad!
“Bonda dan ayahanda ni...sayang sangat kat abang Bendi tu! Bajet retis
agaknya nakkan designer sendiri.
Eee...menyampah!”
“Syarifah Feefa, tak elok cemburukan abang sendiri. Kalau mahu, kata mahu.
Bonda boleh carikan seorang designer untuk anakanda juga.”
“Iya, kata bonda tu betul, Syarifah Afeefa! Itu kan hak abang untuk mencari
apa yang sesuai dengan dirinya. Kalau Feefa mahu, ayahanda boleh carikan juga
seorang fashion designer untuk
Feefa.”
“Tak payahlah ayahanda, bonda! Feefa tak suka membazir. Itu amalan
syaitan!” Perlinya lantas bergegas masuk ke dalam bilik yang terletak
bertentangan dengan bilik si Bendi, Syed Badiuzzaman.
Sempat dia mengangkat kaki kanan, lagak bagai hendak menyepak Syed
Badiuzzaman, tetapi bila pintu bilik itu terkuak tiba-tiba, Syarifah Afeefa
terkedu. Cepat-cepat dia berlari ke biliknya lalu memulas tombol pintu.
“Feefa ingat Abang Badi tak nampak?” Tanya Syed Badiuzzaman, kuat. Ketika
itu Syarifah Afeefa sudah selamat berada di dalam biliknya. Dia menekup muka
lalu ketawa sesuka hati. Kemudian, dia melompat ke atas tilam, menikmati
ketenangan peraduan di malam hari.
“BABAH, Ain nak cari kerja
part time dulu, boleh tak?” Tanya Ain
kepada Haji Karim yang sedang khusyuk membaca kitab. Begitulah Haji Karim pada
masa lapangnya. Dia akan banyak menghabiskan masa dengan membaca kitab atau
hadis di anjung rumah.
“Tak payahlah Ain. Ain berehat di rumah aje dulu. Tolong umi, belajar
memasak ke? Setakat kita lima enam beranak ni, duit bendang cukup lagi.”
“Alah...babah ni. Ain nak cari pengalaman jugak! Penat tau duduk di rumah
tak buat apa.”
“Ain nak kerja apa?” tanya Haji Karim kembali. Dia sedar, anak itu sudah
mencapai usia dewasa. Tidak boleh dikawal rapat seperti masa remajanya dahulu.
“Apa pun boleh babah, kerja kat warung jual ABC pun boleh. Kerja kat
stesyen minyak pun boleh. Asalkan halal.” Jawab Ainul Mardhiah, perlahan.
Itu kali terakhir dia membuat permohonan dari babah. Sekiranya babah masih
tidak mengizinkan, Ainul Mardhiah perlu akur. Haji Karim terus membaca namun
hatinya tidak tenang dek kerana Ainul Mardhiah masih menanti jawapannya. Hendak
ditolak, terasa dirinya kejam.
“Buatlah Ain...Babah izinkan.” Jawab Haji Karim akhirnya.
Jawapan itu membuatkan Ainul Mardhiah bagai hendak melompat bintang.
Terujanya!
“Terima kasih, babah! Ain janji akan kerja bersungguh-sungguh dan jaga nama
baik babah, nama baik umi.”
“Alhamdulillah. Babah suka dengan niat baik Ain. Semoga segala urusan Ain
dipermudahkan.”
“Aminn.” Ucap Ain lalu meraup mukanya. Dia bangun lalu mencium pipi Haji
Karim. Dengan pas kebenaran itu, dia perlu bersiap-siap untuk mencari peluang
kerja. Mudah-mudahan doa babah itu berkat.
“Ain masuk ke dalam ya, babah? Ain nak bersiap-siap, nak keluar cari
kerja.”
“Amboi, cepatnya!” Usik Haji Karim, dengan senyumannya. Ain ikut senyum.
“Ain tak suka buang masa lah, babah! Rugi.”
“Betul! Babah setuju tu. Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian.”
Sokong Haji Karim sebelum menutup kitabnya. Dia menggenggam jemari anak
bongsunya sebelum menghantar langkah anak itu ke dalam rumah.
Ain pula sangat teruja.
Mudah-mudahan usahanya ini akan membuahkan hasil selepas gagal dalam temuduga
pertamanya minggu lepas. Teringat kata umi ketika dia sedang makan malam.
“Gagal sekali bukan bermaksud kita orang yang gagal. Ain boleh usaha lagi.
InsyaAllah, umi sokong setiap langkah Ain, asalkan Ain di jalan yang betul. Umi
pasti sokong!”
Ain senang hati apabila semua ahli keluarganya menyokong niatnya hendak
mendapatkan rezeki halal.
“KENAPA awak nak berkerja
di stesyen minyak ni?”
Tanya Pengurus bertubuh genit itu ketika dia baharu sahaja duduk di atas
kerusi. Belum panas pun lagi punggungnya.
“Saya nak cari duit poket, sementara nak cari kerja tetap.” Jawab Ainul
Mardhiah, jujur.
“Oh, maksudnya, awak tak berniat nak kerja lama lah di sini?”
Ainul menggeleng perlahan. Dia meneguk liur yang terasa kesat. Terasa
soalan itu satu perangkap buatnya, dan jika benar ia perangkap, kenapa perlu
menipu? Bukankah berkata benar itu menghindar diri dari sebarang masalah?
“Tapi polisi kat sini, kalau nak berhenti kerja, awak perlu beri notis
seminggu sebelum berhenti. Tak bolehlah main suka hati berhenti.”
“Err...maksudnya, saya dapat ke kerja ni?” Ainul Mardhiah bertanya, cuba
ingin mengerti. Pengurus stesyen minyak itu mengangguk sebelum meletakkan
kembali borang permohonannya ke atas meja.
“Awak boleh mula kerja hari ni.”
“Err...” Ainul Mardhiah bagai hendak bertanya tetapi suaranya tersekat di
kerongkong. Dia jadi tidak yakin pula.
“Kenapa? Tak jadi ke?”
“Bukan! Saya nak tanya, betul ke saya dapat kerja ni?”
“Ya, Tahniah!” Kata pengurus itu. Pada tanda namanya, tercatat nama
Hafizah.
“Panggil saya Kak Fizah, nanti saya minta kawan-kawan yang lain tolong
tunjuk mana yang patut pada Ainul.”
“Ain!” Dia cepat membahasakan diri, malah terasa makin serasi bila Kak Fizah
tersenyum padanya. Kak Fizah menarik tangannya, lalu mereka berjalan beriringan
menuju ke kaunter bayaran. Dua orang rakan memandang terus ke arah mereka
berdua.
“Nurul, Tifa...ini kawan baru kita, Ain! Ainul Mardhiah.”
“Saya Ain.”
“Tifa!” Sahut wanita yang bertudung hitam. Orangnya tinggi dan manis.
“Nurul!” Sahut wanita yang seorang lagi. Tubuhnya agak gempal dan kulitnya
sawo matang. Pada Ain, Nurul juga manis.
“Ain orang mana?” Nurul terlebih dahulu menyoal, buat Kak Fizah tersenyum.
Dia menompang tangan di atas kaunter yang dijaga Nurul.
“Ain orang sini jugak, Nurul. Orang Kampung Gunung Semanggol.”
“Oh! Habis tu, Ain datang sini dengan apa?”
“Ain pinjam kereta babah, maklumlah bas dan teksi tak tentu masa.” Jawab
Ain. Segan pula menjawab soalan itu. Bimbang rakan-rakan baharunya bersangka
lain pula. Nurul terangguk-angguk sedang Tifa sibuk melayan pelanggan yang membayar
harga minyak.
“Ain jaga pam, ya? Kalau ada customer
datang, bolehlah Ain tolong isikan minyak mereka. Kalau nampak cermin
kereta mereka dah tak rupa cermin kereta, tolong lapkan.”
Pesan Kak Fizah sebelum pengurus mereka meminta izin untuk menyambung
kembali tugasnya. Nurul meninggalkan Ain bersama dengan Tifa sebelum kembali
mendapatkan Ain dengan uniform kerjanya.
“Ain salin baju sekarang, ya?”
“Okay.” Sahut Nurul. Ain menghadiahkan sebuah senyuman, namun matanya
sempat juga menangkap reaksi Tifa yang bersahaja, bagai tak mengalukan
kehadirannya di situ. Ah, salah sangka aku sahaja!