Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 1

1

MORNING umi! Morning babah, Morning all.” Ucap Ainul Mardhiah, ceria lalu memeluk umi dan babah dari belakang. Mereka sedang menikmati sarapan pagi sedang Ainul Mardhiah berkejaran masa. Dia bakal menghadiri satu temuduga selepas berhempas pulas mendapatkan diploma dalam bidang Reka Fesyen dua minggu lepas.

Morning Ain! Mari sarapan. Hari ni interview pertama, kan? Perut mesti kenyang supaya bertenaga untuk menepis soalan-soalan perangkap dari sang soal.” Pelawa Haji Karim, sambil menarik kerusi untuk anak bongsunya.

Ainul Mardhiah duduk juga walau dia hendak cepat. Tak sampai hati hendak menolak pelawaan babah itu. Dia minum secawan susu dan dua biji kurma. InsyaAllah, dia cukup bersedia untuk temuduga pertama itu.

“Umi, Kak Long, Babah, Aisy. Ain pergi dulu. Daa! Assalammualaikum.” Ucapnya lalu menyalami semua. Pipi Hajah Sameera dan Haji Karim dikucup seperti selalu.

Good Luck! Kak Long doakan Ain dapat kerja ni.” Ucap Kak Long Aqilah ketika Ain menyalaminya.

“InsyaAllah, mudah-mudahan kerja ni milik Ain. Thank you Kak Long, atas doanya,”

Dia mengambil dua buah fail yang mengandungi koleksi portfolio terbaiknya sebelum tergesa-gesa melangkah keluar dari rumah. Doa dan harapan bagai berlumba, saling mencuri tumpuannya, lalu dengan langkah Bismillah, dia menapak keluar dari rumah besar di tengah Kampung Selamat. Perjalanan Ke Kuala Lumpur bakal mengambil masa selama tiga jam, dan dia perlu tabah menempuh perjalanan itu. Mudah-mudahan dengan usaha yang bersungguh-sungguh, dia bakal beroleh pekerjaan. Aminn.

Ainul Mardhiah meraup mukanya sebelum menghidupkan enjin kereta. Kereta kancil milik babah bakal menemani perjalanannya pagi ini.

“MAAF, kami tolak permohonan awak!”

Ainul Mardhiah mengangkat mukanya. Dia kecewa dengan ungkapan itu. Dia sudah perah mindanya, melukis gaun labuh bermotif floral seperti yang mereka minta, sebelum mendapat jawapan yang dirinya ditolak dari jawatan itu.

“Boleh puan beritahu apa kekurangan pada rekaan saya?”

“Idea awak ni, biasa-biasa aje. Floral dress awak ni...idea basi. Kata awak menang award. Takkan ini aje yang awak boleh bagi pada kami? Sorry, awak, kami reject!” Komen Puan Lily Andrew sambil memulangkan kertas putih kepadanya sebelum keluar dari galeri khas milik LiLy Andrew Couture. Dia meninggalkan Ainul Mardhiah terpinga-pinga di dalam bilik itu.

Perlahan-lahan Ainul Mardhiah bangkit dari kerusi yang menjadi pelabuhannya semenjak tadi. Dia berasa hampa, rasa malu dan rasa tiada arah hendak dituju namun wajah babah dan umi cepat mengembalikan minda sedarnya.

“Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Aku boleh cuba lagi kan?”

Ainul Mardhiah memujuk diri sendiri. Dia mengemas semua peralatan di dalam galeri itu sebelum meninggalkan nota, “Terima kasih. =)” buat pemiliknya. Walaupun hampa, dia perlu terus melangkah. Melangkah ke hadapan untuk pulang ke rumah di Kampung Gunung Semanggol, Perak.

“Nak beritahu apa pada babah, ye?”

“Aku gagal? Atau belum ada rezeki? Agaknya, babah kecewa tak?” Soal Ainul Mardhiah sendirian. Soalan itu tidak dapat dijawab sehingga tak sedar yang dia sudah tiba di perkarangan meletak kenderaan. Dia menarik nafas dalam-dalam, melupakan keperitan tadi serta mengembalikan riak wajah yang ceria.

“Bismillahirrahmaanirrahim.” Ucap Ainul Mardhiah perlahan lalu membuka pintu kereta. Dia menghidupkan enjin kereta, namun belum bersedia memandunya. Cermin di sebelah cermin pandang belakang ditarik ke bawah. Ainul Mardhiah melihat wajahnya yang masih sugul. Dia menarik kedua-dua belah pipinya, cuba untuk senyum.

“Senyumlah, senyumlah!”

Dia memujuk diri lagi.

“Heeee.” Ainul buat-buat senyum. Kemudian dia ketawa kecil.

“Hah, kan manis? Aku anak babah dan umi. Hati mesti kuat! Kuciwa sikit aje, janganlah emosi lebih-lebih pulak.” Katanya, terus memujuk hati. Dia lalu menekan gear reverse sebelum keluar dari petak parkir.

TUK! Tuk!

Pintu biliknya berbunyi dua kali. Syed Badiuzzaman menoleh tepat ke arah pintu. Dua kali itu ialah tanda, yang memang seisi rumah tahu tentangnya kerana ia adalah tanda bahawa pakaian yang ditempah telah tiba.

“Masuk.” Sahutnya, agak kuat.

Tidak lama, pintu terkuak dan seseorang menghampirinya dengan pakaian di tangan kanannya. Syed Badiuzzaman mengerling jam di hujung bilik bujangnya. Lima minit sebelum angka tujuh setengah pagi.

Bagus! Dia memuji di dalam hati.

“Baju Tuan Muda Syed dah siap.” Kata pembantu peribadinya, Lukman.

Syed Badiuzzaman mengangguk. Tidak lama kemudian dia bangun. Seperti selalu, baju baharu itu akan dicuba sebelum memakainya. Jangan tak tahu, Syed Badiuzzaman sangat cerewet perihal baju. Sepanjang usianya, dia tidak pernah membeli pakaian siap. Pakaiannya ditempah khusus mengikut citarasa. Jika yang ditempah pun masih tidak berkenan di hati, maka buruklah padahnya.

Kata bonda, “Keturunan Syed Al-Hadad sangat disegani di Semenanjung Malayisa, jadi kita mesti menjaga penampilan diri dan nama baik keluarga. Pakaian hendaklah indah dan kemas serta tiada duanya. Bonda tak mahu anak-anak bonda berpakaian sama seperti anak-anak orang kebanyakan.”

Pesanan bonda Syarifah Abiyah lima belas tahun lalu disemat sebaiknya di dalam minda. Pesanan itu jugalah yang diamalkan sehingga kini. Kot berwarna biru tersarung kemas di tubuhnya. Dia memusing badannya ke kiri, lalu melihat gayanya di cermin, kemudian dia memusing badannya ke kanan pula. Terasa bagai ada yang tidak kena pada pakaian itu. Syed Badiuzzaman menilik bahagian bawah ketiak. Bahagian itu agak ketat buatnya.

“Lukman!” Panggilnya dari bilik persalinan.

“Ya, Tuan Muda Syed Badi!”

Tailor mana yang jahit baju ni?”

“Kenapa, Tuan Muda Syed Badi? Tailor tu tip top, yang selalu buatkan baju pengacara Aril Syafiq.” Jawab Lukman, sambil mengingat nama pengacara televisyen terkenal itu. Syed Badiuzzaman sakit hati. Kot dan kemeja ditanggalkan serta merta. Dia membalut kembali tubuhnya dengan tuala serta keluar dari bilik persalinan itu.

“Hantar balik baju tu pada dia. Pesan kat dia, kontrak tamat serta-merta. Pulangkan semua kain yang aku kirim dan paling penting, tajaan aku batal serta-merta.”

Pesan Syed Badiuzzaman sebelum bergegas masuk ke bilik air untuk menyegarkan diri. Lukman tidak menjawab, hanya mengangguk sebelum keluar dari bilik itu.

“Tailor gred AAA pun tak lepas? Aduhai Tuan Muda Syed. Susahnya jadi dirimu yang cerewet.”

Komennya perlahan sambil memijak anak tangga untuk turun ke tingkat bawah. Di pertengahan tangga, dia bertembung dengan Syarifah Abiyah, cepat-cepat kepala ditunduk tanda hormat.

Dua bulan berkhidmat di rumah agam itu, Lukman sudah betah dengan perangai ahli-ahlinya. Perangai Syed Abu Dzar Al Hadad, perangai Syarifah Abiyah, perangai Syed Badiuzzaman dan tak ketinggalan perangai Syarifah Afeefa yang comel. Hanya Syarifah Afeefa yang comel dan baik hati berbanding tiga lagi Syed dan Syarifah di rumah itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.