“TUAN Muda Syed Badi, apa masalah Tuan Muda Syed Badi
yang sebenarnya?”
Tanya Ainul Mardhiah, tidak puas hati sewaktu lelaki itu memberhentikan
keretanya di perkarangan parkir yang disewakan buat Ainul Mardhiah. Tiada
jawapan melainkan sorotan mata majikannya buat Ainul Mardhiah.
“Kau ingat aku bermasalah ke Ain?”
“Kalau Tuan Muda Syed Badi tak ada masalah, kenapa Tuan Muda Syed Badi buat
saya bermasalah?”
“Kan aku dah kata, aku nak kahwin dengan kau. Apa masalah kau ni?
Marah-marah aku pulak.” Terang Syed Badiuzzaman sambil matanya menatap wajah
Ainul Mardhiah. Masam seperti cuka. Itu cop yang sesuai buat muka Ainul
Mardhiah ketika ini. Tapi Syed Badiuzzaman tahu, marah Ainul Mardhiah sekejap
saja. Takkan Ainul tak mahu kahwin dengan aku yang kacak ni? Pewaris Empayar Al
Hadad pulak tu!
“Tak lalu saya nak kahwin dengan Tuan Muda Syed Badi.” Luah Ainul Mardhiah,
berkira hendak menolak pintu kereta namun Syed Badiuzzaman lebih cekap, dia menekan
butang kunci pada pintu itu.
“Takkan kau tak faham lagi, Ain? Kalau aku dah bawa kau sampai jumpa
ayahanda aku, aku bersungguhlah tandanya.” Jelas Syed Badiuzzaman, tidak puas
hati apabila Ainul Mardhiah mempertikaikan hasrat hatinya.
“Atau kau mahu macam mana? Aku beri bunga dan ayat-ayat manis, aku janji
bulan dan bintang. Aku senyum, kau ketawa. Kau menangis, aku ikut bersedih.
Begitu?” tanya Syed Badiuzzaman dengan suara tingginya. Ainul Mardhiah tidak
menjawab. Hanya matanya sahaja yang merenung Syed Badiuzzaman tanpa suara,
kemudian, pandangannya beralih ke luar tingkap. Mengenali seorang lelaki
bernama Syed Badiuzzaman yang aneh membuatkan hidup Ainul Mardhiah huru- hara
seketika.
“Bukan kau sendiri yang kata, kalau berbuah hati boleh membawa kau hingga
ke jinjang pelamin, hingga ke Jannah, kau akan mahu?”
“Ya.”
“Aku ingin tunaikan apa yang kau mahu, Ain. Kalau kau mahu berbuah hati,
aku sanggup jadi buah hati kau, tapi jauh di sudut hati, aku inginkan kau
sebagai isteri.”
“Aku dah penat berkasih-kasihan, Ain. Rasanya umur aku dah tak sesuai lagi
untuk jadi buah hati kau. Sebab itu, di depan ayahanda, aku buat pengakuan
hendak mengahwini kau.”
“Tuan Muda Syed Badi hendak mengahwini saya tanpa perasaan sepatutnya?
Takkanlah!”
Bidas Ainul Mardhiah pula. Dia sedar perkenalan mereka sangat singkat,
maka, tidak semudah itu hati Syed Badiuzzaman tersangkut padanya. Sedangkan dia
pun tidak punya perasaan terhadap lelaki itu.
“Kau saja yang tak tahu.” Kata Syed Badiuzzaman, buat Ainul Mardhiah
berpaling untuk melihat wajahnya.
“Kau tak percaya, Ain?”
Ainul Mardhiah menggeleng pantas. Bab hati dan perasaan, Ainul Mardhiah
tidak sudi masuk perangkap.
“Baik, mari aku jumpa Tuan Haji di kampung. Aku minta izin darinya.” Tambah
Syed Badiuzzaman lagi, tidak puas hati melihat gelengan itu. Dia cepat
memasukkan gear R sebelum memecut keretanya laju. Ainul Mardhiah tak percaya?
Apa dia ingat aku kaki temberang dan suka menabur janji?
“Tuan Muda Syed Badiuzzaman...berhentikan kereta sekarang! Saya tak mahu
balik kampung dalam keadaan tergesa-gesa macam ni.” Rayu Ainul Mardhiah.
Melihat Syed Badiuzzaman terus memandu, dia mulai gusar. Akal sedarnya mula
menerima bahawa lelaki itu tidak pernah menabur janji manis. Dia pengota apa
yang dikata.
“Kau tak percaya aku bersunguh-sungguh, takkan aku nak biar kau perlekeh
kesungguhan aku!”
“Ya, saya percaya sekarang. Kalau Tuan Muda Syed Badi tak keberatan, tolong
hantar saya balik.”
“Kenapa kau tak mahu aku jumpa keluarga kau?”
“Tuan Muda Syed Badi...tolonglah faham! Tiga minggu lepas, saya dibawa ke
KL atas urusan kerja, selepas tiga minggu, saya pulang semula ke kampung untuk
meminta restu calon suami pula? Tuan Muda Syed Badi tak rasa ke ini semua
gila?”
“Apa Tuan Muda Syed Badi ingat keluarga saya akan terus beri restu?”Tanya
Ainul Mardhiah, tegang. Dia boleh bayang rupa kecewa Haji Karim jika dia pulang
untuk meminta restu seperti yang Syed Badiuzzaman mahukan. Baru tiga minggu
pergi, dan pulang membawa calon suami?
“Habis tu, kau tak sudi terima aku?”
“Saya tak mahu fikir lagi tentang hal ni. Otak saya dah penat dan tepu.”
Luah Ainul Mardhiah, perlahan. Dia membuang pandang keluar, berharap supaya
Syed Badiuzzaman yang mementingkan diri sendiri itu mengerti. Terlalu banyak
kejutan yang diberi sepanjang tiga minggu ini.