Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 13

HAJI Karim tidak segera menyahut bila Syed Badiuzzaman selesai bercerita tentang kedatangannya ke Kampung Gunung Semanggol malam itu. Pada dirinya yang juga seorang ayah, tentu tidak manis jika dibiarkan Ainul Mardhiah ke Kuala Lumpur bersama lelaki itu pada waktu malam begini tetapi gaya lelaki itu bagai tak sabar lagi hendak membawa anak gadisnya pergi.

“Begini saja, Tuan Muda Syed Badi.”

“Tuan Haji boleh panggil saya Syed Badi saja.” Syed Badiuzzaman mencelah. Perasaannya tidak senang apabila dibahasakan dengan penuh hormat oleh Haji Karim. Entah mengapa, aura lelaki itu membuatkan Syed Badiuzzaman naik segan.

“Baiklah, begini saja Syed Badi, pakcik ni ayah kepada seorang anak gadis, kalau Syed Badi perasan. Ainul Mardhiah ni anak bongsu pakcik. Pakcik izinkan Ainul Mardhiah berkerja dengan Syed Badi, tetapi satu saja syaratnya.”

“Apa dia Tuan Haji?”

“Kalau betul Syed Badi nak bawa Ain ke Kuala Lumpur, biarlah ia berlaku di siang esok sahaja. Tak elok rasanya Syed Badi dan Ain berdua-duaan dalam kereta pada waktu malam. Pagi esok sahaja, ya? Lagipun hari dah lewat malam ni. Pakcik risau betul nak lepaskan Ain malam ni.” Beritahu Haji Karim akan kegusaran hatinya. Syed Badiuzzaman tidak menjawab. Lama dia membisu. Dia tak suka penolakan tetapi kerana Ainul Mardhiah, dia harus akur. Dia yang datang meminta Ainul Mardhiah daripada keluarganya, jadi dia perlu akur dengan syarat mereka. Adat meminta hak orang!

“Baiklah, saya setuju. Kalau begitu, saya minta diri dulu Tuan Haji. Saya datang jemput Ainul Mardhiah jam lapan pagi esok.”

Putus Syed Badiuzzaman setelah sekian lama membeku. Dia bangun, hendak mengundur diri namun ditahan tuan rumah itu.

“Bermalam aje di sini.”

“Tak apa. Tuan Haji tak perlu susah. Saya boleh bermalam di mana-mana.”

“Dah lewat ni Syed Badi...Esok pagi boleh terus bergerak ke KL. Bermalam saja di sini.” Pelawa Haji Karim sekali lagi. Tak sampai hati pula hendak membiarkan anak muda itu bermalam di luar sedangkan di rumahnya masih ada bilik kosong untuk diinap oleh tetamu.

Bagi Syed Badiuzzaman, bagaimana dia boleh bermalam di rumah Ainul Mardhiah sedangkan dia datang ke situ sehelai sepinggang? Takkan dia nak bermalam di rumah itu dengan kain pelekat yang tak pernah dipakai seumur hidup?

“Terima kasih, Tuan Haji tapi saya tak dapat penuhi pelawaan Tuan Haji yang satu ni. Maafkan saya. Saya balik dulu.” Putus Syed Badiuzzaman, akhirnya.

Tanpa ucapan salam, dia menyalami ayah Ainul Mardhiah. Tuan rumah juga ikut bangun, menghantar langkah tetamu hingga ke pintu. Syed Badiuzzaman sempat mengerling Ainul Mardhiah yang tidak banyak bicara di sebelah ibunya.

“Baik betul hati Syed Badi...sanggup datang menjemput anak kita.”

“Kak Long ni, babah...berdebar!” Kak Long Aqilah mula membuka cerita apabila kereta lelaki itu mula beransur hilang dari pandangan.

“Eh, kenapa pulak Kak Long yang berdebar? Dia bukan nak bawak Kak Long ke KL.”

“Bukan...bukan itu maksud Kak Long. Tadi, masa dia sampai ke rumah kita. Tak ada simpang siur, terus kata nak bawak Ain ke KL malam ni. Terkejut Kak Long! Ain tak ada cerita nak KL malam-malam buta dengan orang lelaki, tup-tup, datang mengaku nak bawak Ain ke KL. Aduhai!Nak gugur jantung Kak Long dibuatnya. Ingatkan orang jahat manalah tadi.”

“Ha ha ha.” Haji Karim tidak dapat menahan gelak. Begitu juga dengan anak beranaknya.

“Terus-terang betul Syed Badi tu. Terkejut jugak umi dibuatnya. Nak bawak anak dara kita ke KL malam-malam buta ni? Biar betul!”

“Ain pun tak tahu menahu pasal ni, umi. Terpacul dia di depan rumah kita malam-malam hari.”

“Ain pun tak sangka nak bergerak secepat ni. Ain ingatkan nak ke sana minggu depan aje.” Luah Ainul Mardhiah pula. Mereka bertiga duduk di ruang tamu. Semua tidak menyangka itu malam terakhir buat Ainul Mardhiah bersama keluarganya.

“Bukan Ain sepatutnya gembira ke dapat kerja ni? Ain kan nak sangat jadi designer.” Tanya Haji Karim pula. Air muka Ainul Mardhiah nampak suram pula selepas kepulangan bakal majikannya tadi.

“Memanglah Ain gembira, tapi sedih lah nak tinggalkan rumah tiba-tiba sedangkan Ain belum bersedia lagi.”

“Jangan sedih-sedih, Ain bukan nak masuk hutan jaga sempadan pun. Bila-bila masa senang, Ain baliklah ke kampung. Nanti kalau umi dan babah ada peluang, kami ke KL jumpa Ain, ya?”

“Mari kita tolong Ain kemas pakaian, nak?” Pelawa Kak Long Aqilah pula. Dia memeluk bahu Ain sebelum menghadiahkan sebuah kucupan di pipi Ain.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.