Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 17

MEREKA berdua melangkah masuk ke dalam sebuah pusat menjual fabrik terbesar di Kuala Lumpur. Tahu yang dia sedang berjalan dengan seorang lelaki kacak, Ainul Mardhiah sengaja melambat-lambatkan langkahnya, supaya tiada orang yang memandang serong akannya. Tiap kali melangkah, pasti mereka diperhatikan, itu yang buatkan Ainul Mardhiah bertambah segan.

“Aku dah minta Lukman uruskan peralatan yang kau nak guna untuk menjahit nanti.”

“Mungkin petang ni atau pagi esok, barang-barang tu akan sampai.”

“Okay.” Jawab Ainul Mardhiah cepat.

Beberapa kali bersembang dengan Syed Badiuzzaman membuatkan Ainul Mardhiah sedar yang lelaki itu suka menggunakan ancaman jika tidak memberi respon pada masa yang sepatutnya. Sebab itu, dia cuba untuk lebih peka, mengenali Syed Badiuzzaman seperti yang sepatutnya kerana Syed Badiuzzaman merupakan majikannya.

“Kalau Tuan Muda Syed Badi tak keberatan, boleh kongsi dengan saya warna kegemaran Tuan Muda Syed Badi?”

“Aku suka warna yang boleh menyerlahkan kekacakan yang aku miliki, yang boleh menampakkan kehebatan aku, dan boleh membuat mata orang lain terpaku tiap kali melihat aku. Boleh kau pilih warna tu untuk aku?” Tanya Syed Badiuzzaman selamba.

Ainul Mardhiah menentang pandang wajah lelaki itu. Biar betul? Siapakah Syed Badiuzzaman ini? Hebat sangatkah dia sehingga mahu dirinya dilihat hebat? Atau dia orang yang tak hebat tetapi hanya menyamar hendak nampak hebat? Tapi kereta dia? Dan kondo miliknya?

Ah! Baik aku cepat, tak payah fikir Syed Badiuzzaman itu siapa? Asalkan dia bayar titik peluh aku, cukuplah. Ainul Mardhiah mendapatkan seorang pekerja wanita yang sedang menongkat dagu di atas segulung kain.

“Cik, tumpang tanya, saya nak cari kain untuk buat kemeja. Di mana ya?”

“Cik jalan terus, kain-kain tu ada di sebelah kiri, selepas rak ketiga.”

“Terima kasih.” Ucap Ainul Mardhiah sambil melorek senyuman. Dia berjalan dan membelok selepas rak yang ketiga. Ada pelbagai jenis kain di situ. Dia meraba beberapa jenis kain sebelum mencari tanda namanya.

“Cik cari kain apa?”

“Saya cari fabrik jenis poplin. Ada tak?”

“Ada, tapi tak banyak jenis. Saya rasa ada dua atau tiga corak sahaja.”

“Tak apalah saya nak tengok dulu.” Dia mengikut langkah wanita muda itu, barangkali sebaya dengannya. Syed Badiuzzaman juga ada di belakang. Semenjak bila? Ainul Mardhiah tidak perasan.

“Aku tak minat corak begini. Jom balik!” Putus Syed Badiuzzaman.

Terpinga-pinga namun Ainul Mardhiah mengikut juga langkah lelaki itu. Mereka masuk ke dalam kereta yang diparkir menghadang sebuah kereta lain. Syed Badiuzzaman memang suka bertindak sesuka hati. Deras sahaja enjin kereta dihidupkan sebelum dipandu oleh majikannya.

“Kau ada passport?”

“Passport? Tak ada.”

“Buat passport kejap lagi.”

“Err...nak beli kain pun kena ada passport ke?” Tanya Ainul Mardhiah, lurus bendul. Kedai mana yang nakkan passport tu?

“Kena ada lah. Kalau tak macam mana nak ke Paris?” Syed Badiuzzaman bercerita, walaupun hatinya tak ingin hendak memberitahu hal itu. Hatinya bengkak semenjak melihat pilihan kain yang ada di kedai itu. Sudahlah coraknya terhad, jenis kain juga terhad. Kata fabrik terbesar di Malaysia?

“Paris? Tuan Muda Syed Badi, biar betul?”

“Betul tak betul, kau buat passport dulu.”

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.